Friday, October 30, 2009

Perampas Tidak Harus Dibiarkan Merajalela

Sudah lama saya hendak menyentuh fenomena yang berlaku di kebanyakan bandar besar dan sebilangan bandar kecil ini, malah fenomena ini juga berlaku di taman-taman perumahan yang terletak di bandar-bandar kecil atau besar. Tentang fenomena ini, saya sangat pasti, terdapat undang-undang yang menetapkannya sebagai suatu kesalahan; dan yang sepatutnya melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang ini sudah tentulah pihak berkuasa tempatan.

Saya tidaklah berasa iri hati akan perlakuan orang-orang yang mencetuskan perbuatan yang telah menjadi fenomena itu, tetapi tidak saya nafikan rasa sakit hati memang ada dalam diri saya. Hal ini demikian kerana fenomena itu sering mencetuskan kesulitan kepada saya dan orang lain yang hendak berurusan dengan hal-hal yang tidak berkenaan dengan fenomena itu. Banyak kesulitan yang timbul daripada perbuatan mereka. Kelancaran lalu lintas terjejas, keselamatan orang awam tidak terjamin, dan pelbagai kesulitan lain lagi. Semuanya kerana tempat yang disediakan untuk orang awam telah “dihakmilikkan” oleh mereka.

Inilah situasi yang dialami oleh orang ramai daripada fenomena ini. Orang-orang yang mencetuskan fenomena yang saya maksudkan ini ialah para pengusaha restoran. Mereka, dengan berani dan tanpa rasa bersalah, menguasai dan mengehakmilikkan lot-lot parkir di hadapan restoran mereka walhal lot-lot itu sebenarnya diperuntukkan kepada orang awam. Kerusi dan meja serta skrin besar berserta projektor (TV) diletakkan di lot-lot yang “telah menjadi hak milik mereka” itu.

Dalam sesetengah keadaan, ada pengusaha restoran yang memperlihatkan keangkuhan mereka dengan meletakkan bangku dan meja lipat di lot-lot parkir tertentu seawal jam 5:30 petang lagi walhal waktu operasi kutipan parkir di bandar itu berkuat kuasa hingga jam 6:00 petang. Saya tidak pernah melihat ada pengguna yang bertindak berani untuk mengalihkan bangku dan meja lipat itu (tetapi seorang kawan saya mendakwa dia pernah menyondol bangku yang diletakkan di tempat parkir di hadapan sebuah restoran di PJ).

Lebih buruk lagi, ada kalangan pengusaha restoran yang meletakkan tempayan dan dapur (sesetengahnya berderet-deret) di kaki lima yang sepatutnya menjadi laluan selamat kepada pengguna. Para pengguna yang hendak pergi ke kedai bersebelahan untuk urusan tertentu langsung tidak dapat melalui kaki lima yang lebih selamat itu sebaliknya terpaksa menggadai nyawa dengan berkongsi laluan dengan pengguna kenderaan di jalan raya di hadapan restoran itu.

Perbuatan pengusaha restoran ini sebenarnya dapat diistilahkan sebagai “perampas”. Mereka telah merampas belasan (mungkin puluhan) lot parkir awam untuk mengutip lebih banyak wang daripada perniagaan yang diusahakan mereka. Di sesetengah kawasan, perbuatan mereka menyebabkan banyak pemandu yang terpaksa “bertawaf” berkali-kali untuk mencari lot parkir yang kosong. Sesetengahnya terpaksa membuat “double parking” dan kadang-kadang kerana terlupa, menimbulkan kemarahan pemilik kenderaan yang terhalang lalu mencetuskan pertengkaran. Jelas bahawa “kesulitan di pihak pengguna adalah kemakmuran bagi pengusaha restoran”.

Secara logiknya, disebabkan lot parkir yang menjadi hak orang ramai telah dirampas, para pengusaha restoran yang melakukan perbuatan ini haruslah mengongsikan kemakmuran yang diperolehnya dengan pengguna. Dengan kata lain, harga makanan dan minuman yang dikenakan kepada pengguna yang makan dan minum di meja yang terletak di atas lot parkir itu haruslah lebih rendah daripada harga standard. Harga secawan Milo ais yang berharga RM1.60 sen, misalnya, haruslah dikenakan bayaran RM1.20 sahaja. Wajar, bukan?

Untuk menangani fenomena ini, pihak PBT perlu menguatkuasakan undang-undang yang diperuntukkan. Informer atau penyiasat perlu diguna pakai dalam hal ini. Datang dengan membawa lori untuk merampas bangku dan meja bukan tindakan yang sesuai kerana pihak pengusaha restoran biasanya sempat menyimpan kerusi bangku sebelum pihak PBT bertindak (malah mungkin ada sebilangan pengusaha restoran yang mempunyai informer yang memaklumkan kehadiran pihak penguat kuasa ini).

Sebagai contohnya, ketika saya bertiga beranak minum di dalam sebuah restoran di Kota Damansara pada petang Selasa yang baru lalu, sebuah lori PBT berserta pegawai penguat kuasanya datang. Sebelum pegawai penguat kuasa sempat turun dari dalam lori itu, berebut-rebutan pekerja restoran itu melipat meja dan mengangkat kerusi ke sisi dan kaki lima restoran (kebetulan hujan renyai-renyai dan tiada pelanggan duduk di situ). Setelah beberapa minit, lori PBT pun berlalu dan tidak lama kemudian, bangku dan meja kembali memenuhi lot parkir!

Sudah sampai masanya masalah ini diatasi segera. Menyediakan undang-undang tanpa ada iltizam untuk menguatkuasakannya bukan sikap orang yang bertamadun. Pihak PBT perlu bertindak. Antara langkah yang sesuai untuk diguna pakai, pada pandangan saya, adalah dengan menghantar penyiasat (yang bersih, jujur, dan amanah) makan minum di restoran yang terlibat, mengambil gambar-gambar dan video-video sebagai bukti, dan sehari kemudian tindakan tegas diambil. Hukuman yang paling baik untuk perbuatan “merampas” hak orang awam ini, pada pandangan saya, ialah mengarahkan perniagaan mereka ditutup untuk satu tempoh tertentu (mungkin dua minggu atau sebulan).

Kaedah lain yang boleh diguna pakai ialah memberikan kebenaran kepada para pengusaha restoran menggunakan lot parkir terbabit pada waktu tertentu, misalnya bermula dari jam 11:00 malam (kerana pada waktu itu, kebanyakan kedai lain telah pun menutup operasinya dan dengan itu orang ramai tidak lagi berurusan dengan mereka). Ataupun, mungkin pihak PBT boleh mengenakan caj-caj tertentu kepada pengusaha restoran yang berhajat untuk menggunakan lot parkir awam (misalnya RM50 sebulan untuk setiap lot parkir yang digunakan). Dengan cara ini, pihak PBT dapat menambah hasil kutipan mereka dan orang awam tidak merasakan hak mereka dirampas.

Jika fenomena ini masih leluasa, orang akan mengatakan slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” itu hanya retorik semata-mata, malah dapat disamakan pula dengan peribahasa “cakap berdegar-degar, tahi tersangkut di gelegar” atau “kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi”. Seharusnya, slogan yang dicetuskan oleh YAB Perdana Menteri kita itu disambut dengan hati terbuka oleh penjawat awam yang memang tugasnya berkhidmat untuk negara dan masyarakat. Seharusnya kalau “seletus bedil berbunyi: mencebur ikan dalam laut, berkokok ayam dalam hutan”!

Thursday, October 29, 2009

Syukur, Semuanya Telah Ditemukan

Semua mayat mangsa Tragedi Dipang selamat ditemukan. Mayat mangsa kedua. M. Devatharsini, 11 tahun, ditemukan oleh anggota Rela di Kampung Tanjung Tualang pada pukul 11.30 malam tadi manakala mayat mangsa ketiga, V. Diryasree, 12 tahun, dijumpai di persimpangan Sungai Chenderiang, Tronoh Mines dekat Batu Gajah pada pukul 9.45 pagi ini. Mayat mangsa pertama, N. Dina Deve, 11 tahun, dijumpai di jalan lama Kuala Dipang pada pukul 8.40 pagi kelmarin.

Demikianlah, anak-anak itu hanya dapat mengecap keseronokan dunia ini untuk tempoh yang singkat, sekitar 11 dan 12 tahun. Untuk tempoh yang singkat mereka menjadi milik keluarga termasuk juga rakan-rakan dan tetangga sedangkan hakikat yang sebenarnya, anak-anak itu hanya dipinjamkan Allah untuk sementara. Untuk tempoh yang panjang dan abadi, mereka kini menjadi milik Allah.

Kepada ibu bapa N. Dina Deve, M. Devatharsini, dan V. Diryasree, bersabarlah. Ujian datang dalam pelbagai bentuk dan ujian dalam bentuk kehilangan memang lama berbekas dalam hati, sangat lama, dan kadang kala kekal.

Wednesday, October 28, 2009

Panas Buntut Mereka

Tragedi Jambatan Gantung Kuala Dipang yang telah meragut nyawa murid sekolah itu pasti “memanaskan buntut” beberapa pihak yang terlibat. Pihak penganjur tidak senang duduk kerana ada pihak yang mendakwa guru yang menyelia perkhemahan berkonsepkan 1Malaysia itu tidak cukup.

Ada pihak yang berkata, hanya 13 orang guru sahaja yang hadir dalam program yang disertai oleh 298 orang murid dari 60 buah sekolah di sekitar Tronoh, Batu Gajah, dan Kampar itu. Menurut laporan itu lagi, sepatutnya guru yang terlibat ialah 41 orang, namun 28 orang lagi tidak hadir kerana tidak mendapat kelulusan daripada guru besar sekolah. Jika hal ini benar, dapat kita bayangkan betapa beratnya tanggungjawab 13 orang guru itu untuk mengawal kerenah 298 orang murid yang pelbagai bangsa dan peringkat umur itu.

Hal lain yang dapat dibabitkan dengan pihak penganjur adalah tentang pengetahun mereka tentang aktiviti lasak. Adakah mereka tahu bahawa bilangan orang yang melalui jambatan gantung perlu dihadkan pada satu-satu masa kerana jambatan gantung akan berbuai-buai apabila digunakan dan dapat menyebabkan penggunanya tercampak. Dalam hal ini, berdasarkan laporan awal, lebih daripada 50 orang murid menggunakan jambatan gantung itu pada masa itu dan mereka melompat-lompat “keseronokan” semasa melaluinya (memang sifat kanak-kanak demikian). Perlu diingat, 50 suatu jumlah yang sangat banyak!

Tetapi, pihak yang paling resah sekarang ialah pihak kontraktor yang dipertanggungjawabkan untuk membina jambatan gantung itu. Hal ini demikian kerana banyak pihak yang merasakan bahawa aspek pembinaan jambatan gantung itulah yang menjadi punca tragedi itu berlaku. Hal ini demikian kerana konkrit yang menjadi lapik tiang jambatan gantung itu didapati tidak diperkuat oleh cerucuk besi. Saiznya pula sangat kecil dan tidak sepadan dengan tiang besi jambatan yang turut menampung kabel besi jambatan. Simen pada kaki jambatan gantung itu juga didapati masih belum kering benar.

Besarnya konkrit! (Sumber: Berita Harian)

YAB Timbalan Perdana Menteri telah mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa siasatan yang diketuai Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dan dianggotai oleh para pegawai daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan wakil kerajaan Perak. Tumpuan siasatan sudah tentulah untuk menentukan fakta yang sebenarnya yang menyebabkan berlakunya tragedi berkenaan.

Di pihak YAB Menteri Besar Perak, beliau mengarahkan satu siasatan dibuat terhadap aspek pembinaan jambatan berkenaan sama ada mengikut spesifikasi ataupun sebaliknya.

Tuesday, October 27, 2009

Syukur Alhamdulillah

Syukur alhamdulillah, tragedi jambatan gantung runtuh di Sungai Dipang tidak sampai menelan 22 nyawa seperti laporan awal yang kita dengar dan kita baca. Pihak polis mengesahkan bahawa hanya 3 orang murid sahaja yang dihanyutkan air deras dalam kejadian itu. 1 mayat murid perempuan berbangsa India yang dikenal pasti sebagai Dina Deve a/p Nathan telah ditemui pada jam 8.40 pagi tadi (takziah kepada keluarganya). 2 orang murid lagi masih hilang (semoga mereka selamat).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Datuk Kong Cho Ha menafikan laporan awal yang mengatakan 22 orang murid telah hilang. Yang berlaku, kata beliau, pihak penganjur kem tersalah dalam membuat pengiraan murid (inilah bahananya mengajarkan Matematik dalam bahasa Inggeris).

(Sumber berita: Berita Harian Online)

Tragedi, Tragedi, Tragedi

TRAGEDI I

Jambatan gantung di Sungai Kampar, Kuala Dipang runtuh. Tidak mengapalah jambatan itu runtuh kalau pada masa itu tidak orang yang menggunakannya. Tetapi, malangnya dan yang sangat mengharukan perasaan kita, pada masa jambatan gantung itu runtuh, dipercayai ada 59 orang pelajar sekolah rendah sedang menggunakannya. Kini, 22 orang daripada 59 orang pelajar yang menyertai perkhemahan hilang setelah terhumban ke dalam sungai dan dipercayai dihanyutkan arus. (Barangkali, Tragedi Pos Dipang pada 29 Ogos 1996 dahulu berlaku di sungai yang sama. 44 nyawa terkorban dalam kejadian itu.)

Tragedi itu berlaku kira-kira jam 10.30 malam. Pelajar-pelajar itu dikatakan menggunakan jambatan gantung yang baru dua minggu disiapkan itu untuk pulang ke khemah masing-masing selepas menikmati minum malam.

Mereka adalah antara 255 orang pelajar (115 orang berbangsa Melayu, 73 orang berbangsa India, dan 62 orang berbangsa Cina) dari 80 buah sekolah rendah sekitar Daerah Kinta Selatan yang mengikuti Kem Satu Malaysia Peringkat Daerah Kinta anjuran oleh PPD Kinta Selatan.

TRAGEDI II

Untuk menyara diri dan keluarga, dia merantau dari Indonesia. Barangkali, oleh sebab tiada kelayakan yang sesuai dengannya, dia telah berkhidmat sebagai pembantu rumah di negara ini. Yang menyedihkan, hasrat menggunung untuk menyara diri dan keluarga telah membawa kematian kepada dirinya! Pembantu rumah berusia 36 tahun yang bernama Mantik Hani itu telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 26 Oktober 2009, kira-kira jam 10 pagi di Unit Rawatan Rapi Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Mantik ditemui separuh pengsan dengan kesan lebam dan luka hampir seluruh badan, dipercayai didera oleh majikannya di dalam tandas sebuah rumah di Taman Sentosa, Klang pada hari Selasa lepas. Mantik dikurung dalam tandas, dicukur kepalanya hingga hampir botak, dan tidak diberi makan beberapa hari oleh majikannya. Dia diselamatkan oleh pihak polis pada pukul 7:00 petang hari yang sama selepas menerima laporan mengenai penderaan itu daripada seorang tukang sapu yang bertugas membersihkan kediaman rumah suspek.

Susulan daripada kejadian itu, pihak polis telah menahan reman majikan pembantu rumah itu yang bekerja sebagai peniaga pasar dan isterinya untuk membantu siasatan. Lelaki itu menyerah diri kepada pihak polis dan direman sehingga 28 Oktober manakala isterinya direman sehingga 27 Oktober.

ULASAN TRAGEDI I
Saya sangat terharu. Anak-anak yang berusia antara 8-10 tahun yang berpotensi untuk menerajui negara pada masa depan ditimpa tragedi sedemikian. Ya, Allah, selamatkanlah anak-anak itu. (Tragedi itu memang sudah ditetapkan Allah tetapi bagaimanakah jambatan itu boleh runtuh?)

ULASAN TRAGEDI II
Presiden Indonesia khabarnya akan melawat ke Malaysia. Akan disentuhnyakah tragedi yang masih berulang-ulang ini? Atau, isu ini akan dijadikan modal oleh rakyat Indonesia untuk menghentam kita? Jika benar majikan itu bersikap di luar sifat kebinatangan, dia memang wajar dijatuhi hukuman gantung kerana membunuh! Dia juga layak dihina kerana memalukan nama Malaysia.

(Pada masa yang sama, polis sedang memburu seorang pembantu rumah warga Indonesia yang melarikan diri selepas mendera anak-anak majikannya yang berusia enam dan satu tahun setengah di samping turut mencuri komputer riba dan wang tunai RM200.00 milik majikannya di Desa Subang Permai, Jumaat lalu. Pembantu rumah itu bernama Susanti Lutfiyah, berusia 27 tahun dan berasal dari Malang, Jawa Barat.)

Monday, October 26, 2009

Pengguna Bila-bila Pun Terkena

Baru-baru ini, dengan ditemani isteri, saya berkunjung ke pusat jualan komputer terkenal di ibu kota untuk membeli komputer riba baharu. Seorang jurujual di kedai komputer yang pertama kami kunjungi menyatakan bahawa kami boleh membeli komputer secara bayaran mudah tanpa interest (skim Zero Interest) dengan menggunakan kad kredit. Saya dan isteri tidak memberikan kata putus dalam hal ini, sebaliknya terus berkeliling untuk mencari komputer riba yang mempunyai ciri-ciri yang menarik dan berpadanan dengan budget kami. Semasa berkeliling itu barulah kami ketahui bahawa semua kedai komputer yang kami kunjungi turut menyediakan skim ini. Maka, sambil membuat survey untuk mencari komputer riba yang mempunyai ciri-ciri yang menarik hati kami, kami berbincang dan akhirnya bersetuju untuk memanfaatkan skim itu.

Setelah hampir longlai membuat survey, akhirnya kami menemukan sebuah kedai komputer yang turut menjual komputer riba idaman kami. (Hampir semua kedai meletakkan harga yang berbeda-beda untuk model yang menambat hati kami itu.) Harga yang ditawarkan oleh kedai itu adalah yang paling rendah antara belasan kedai lain yang kami kunjungi. Seperti semua kedai lain, kedai ini juga menyediakan skim Zero Interest.

Semasa menyerahkan kad kredit untuk membuat bayaran, kami terkejut apabila juruwang di kaunter bayaran itu mengatakan bahawa untuk memanfaatkan skim Zero Interest ini, kami akan dikenakan caj tambahan sebanyak 6% sebagai caj handling fee. Hal ini bermakna, jika komputer riba itu berharga RM2900.00, kami akan dikenakan bayaran tambahan sebanyak RM174.00! Kami tidak berfikir panjang. Pembelian itu kami batalkan.

Baru-baru ini juga, saya pergi ke sebuah syarikat penerbitan yang banyak mengeluarkan buku dan majalah bahasa dan sastera. Saya membeli beberapa buah majalah di samping beberapa buah buku eksklusif. Kebetulan saya mempunyai kenalan di sini, maka saya menggunakan nama beliau untuk mendapatkan diskaun bagi pembelian majalah-majalah dan buku-buku tersebut. Apabila saya hendak menggunakan kad kredit untuk membuat pembayaran, pembantu jualan menolaknya dengan alasan buku-buku yang diberi diskaun tidak boleh dibayar dengan menggunakan kad kredit. Saya berasa hairan dengan polisi bodoh ini dan apabila ditanyai rasionalnya, dia memberitahu saya bahawa hal itu dilakukan kerana pihaknya terpaksa membayar sewa dan kos lain untuk memperagakan majalah dan buku di situ. Tidak masuk akal!

Dua situasi itu menyerlahkan perihal “kedunguan” saya tentang hak-hak pengguna. Untuk situasi yang pertama, kad kredit yang digembar-gemburkan banyak mempunyai kebaikan kerana tidak perlu membawa tunai ke hulu dan ke hilir, rupa-rupanya menjadi alat untuk peniaga-peniaga membuat wang daripada skim-skim tertentu yang diperkenalkan mereka. Untuk situasi yang kedua, anda fikirkanlah sendiri.

Tentang komputer riba ini, yang menarik untuk difikirkan ialah, kerajaan menghendaki kita menjadi rakyat yang cerdas dalam teknologi maklumat dan komunikasi (celik komputer). Kerajaan menggalakkan kita memiliki komputer malah pada suatu ketika dahulu ada pihak-pihak (kerajaan?) yang memperkenalkan kempen "1 Rumah 1 Komputer". Malah, untuk merealisasikan hasrat kerajaan itu, kos pembelian komputer ditolak daripada cukai pendapatan.

Dalam hal kad kredit, kerajaan menggalakkan kita berbelanja (sehingga banyak orang yang akhirnya terjerat dengan hutang kad kredit ini). Apabila menyedari bahawa galakan itu telah menyebabkan orang boros berbelanja, melalui Belanjawan yang baru dibentangkan, kerajaan akan mengenakan caj RM50.00 setahun kepada pengguna kad kredit (sebagai bayaran perkhidmatan apa, kurang pasti pula saya. Kasihan orang yang memang sudah sedia banyak hutang dengan kad kredit. Bertambah RM50.00 lagi hutang mereka.)

Awalnya, kerajaan menggalakkan kita berbelanja untuk merangsang ekonomi sampai peratusan caruman KWSP pun dibenarkan untuk dikurangkan supaya rakyat mempunyai duit yang lebih di dalam poket untuk berbelanja. Oleh itu, apabila kerajaan mengesyorkan hal ini, bank-bank seperti mendapat lampu hijau untuk mempermudah dan memperbanyak pengeluaran kad kredit. Maka, berpusu-pusulah ejen-ejen kad kredit di pusat-pusat beli-belah “mengganggu” orang supaya mengisi borang untuk memohon kad kredit yang dipromosikan mereka. Banyak orang yang menolak tawaran mereka, tetapi banyak juga yang terpengaruh.

Semua situasi yang berkaitan dengan kad kredit ini mengelirukan saya. Yang pasti dipersetujui banyak pihak ialah, janganlah gunakan kad kredit. Berbelanjalah secara tunai. Atau, mungkin boleh menjadi seperti rakan saya yang hanya menggunakan kad kredit untuk mengisi petrol sahaja.

Friday, October 23, 2009

Binatangkah Manusia Itu?

Sekali lagi, manusia melakukan perbuatan yang binatang sendiri tidak melakukannya. Tidak, binatang tidak melakukannya! Rasa saya, tidak ada binatang – katakanlah bapa kucing – yang tergamak untuk menyetubuhi kucing lain tatkala kucing lain itu masih berada “dalam usia kanak-kanak”. (Samalah juga, tidak ada kucing yang menyetubuhi kucing yang sejantina dengannya – jantan dengan jantan, betina dengan betina. Tetapi manusia melakukannya.) Oleh itu, tidak tepatlah ungkapan orang, yang apabila melihat manusia melakukan perbuatan songsang, menyamakan kesongsangan yang dilakukan manusia itu dengan ungkapan “berhati binatang” atau “berwajah manusia, berhati binatang”, dan sebagainya. Barangkali, masyarakat syaitan sendiri tidak melakukannya, Wallahua’lam.

Itulah gambaran awal yang dapat diberikan tentang perbuatan lelaki Sudan yang telah mendera serta merogol dan meliwat seorang kanak-kanak berusia 3 tahun, Aaliyah Aiman Hussin Abdullah, sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak itu (al-Fatihah, untukmu Aaliyah).

Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat YB Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyentuh hal ini. Beliau telah menyarankan pesalah kes penderaan dan keganasan kanak-kanak dikenakan hukuman maksimum. Beliau juga meminta pihak polis dan mahkamah memberikan keutamaan terhadap kes kanak-kanak malang ini dan berharap agar mahkamah dapat memberikan tarikh awal bagi mempercepat perbicaraan kes ini. Selain itu, beliau turut meminta ahli keluarga, jiran, pengamal perubatan, dan mereka yang mendapati mana-mana kanak-kanak berada dalam persekitaran yang membahayakan supaya membuat laporan. Beliau turut menegaskan bahawa kegagalan membuat laporan boleh dianggap melanggar undang-undang.

Sebagai pemimpin, Senator itu telah melaksanakan tanggungjawabnya dan beliau berjaya memperlihatkan keprihatinannya. Memang ada saranan beliau yang menyamai saranan pemimpin-pemimpin lain yang apabila berlaku sesuatu tragedi yang melibatkan kematian (termasuk tanah runtuh, kemalangan maut, dan sebagainya), akan mencadangkan perkara yang sama – hukuman yang maksimum wajar dikenakan kepada pesalah yang terbabit. Walau bagaimanapun, permintaan beliau supaya ahli keluarga, jiran, pengamal perubatan, dan mereka yang mendapati mana-mana kanak-kanak berada dalam persekitaran yang membahayakan supaya membuat laporan perlu diberi perhatian.

Saranan beliau itu berkaitan dengan konsep “Cegah Sebelum Parah”. Maksudnya, kita perlu bertindak sebelum berlakunya tragedi. Dalam hal tragedi yang menimpa Aaliyah ini tampaknya konsep ini dikesampingkan oleh masyarakat. Sehingga demikian kita berasa pelik mengapakah tidak ada masyarakat (jiran-jiran) yang berasa sangsi akan hubungan yang wujud antara ibu Aaliyah dengan pemuda Sudan itu? Suami isterikah mereka atau bersekedudukan? Pihak pengurusan dan para pengawal sendiri, tidakkah mereka berasa perlu untuk mengambil peduli akan hal ini? Atau memang menjadi tanggungjawab dan kecenderungan mereka untuk menutup mata terhadap fenomena bersekedudukan ini?

Sekarang, menurut berita terbaharu, ibu Aaliyah itu telah dibebaskan tanpa syarat oleh pihak polis selepas siasatan mendapati dia tidak bersalah tetapi dia akan diminta hadir ke mahkamah sebagai saksi utama kejadian itu.

Timbul tanda tanya, adakah perbuatan ibu Aaliyah tinggal serumah dengan pemuda Sudan itu tidak salah? Apakah pendirian Majlis Agama Islam dalam hal ini? Tidak adakah peruntukan undang-undang yang membolehkan wanita ini disiasat atas kesalahannya bersekedudukan selepas dia “terlibat” dalam apa-apa tragedi? Tidak bolehkah laporan polis digunakan untuk menyiasat “kesalahan” wanita ini bersekedudukan dengan pasangannya itu? Atau barangkali hal ini perlu “dipinggirkan” sementara oleh pihak Majlis Agama Islam bagi memberikan laluan kepada wanita itu menjadi saksi terhadap kes ini?

Apa-apa pun, Aaliyah Aiman Hussin Abdullah telah pergi sebagai akibat penderaan zahir batin yang ditanggungnya. Yang dituduh membunuh ialah pemuda Sudan itu dan yang “memberikan peluang” kepada pemuda Sudan itu untuk berkelakuan di luar sifat kebinatangan itu ialah ibu Aaliyah Aiman sendiri.

Aaliyah Aiman, amanlah hendaknya engkau di sana. Kami yang engkau tinggalkan terasa semakin tidak aman.

Thursday, October 22, 2009

Allah SWT Mempamerkan Kehebatan-Nya Lagi: Masihkah Kita Leka?

MOSCOW – Majlis Mufti Rusia kelmarin sebulat suara menyatakan bahawa ayat suci al-Quran yang muncul dua kali seminggu pada kulit Ali Yakubov, iaitu seorang bayi lelaki yang berusia sembilan bulan di wilayah Dagestan, selatan Rusia merupakan amaran Allah kepada semua penduduk Islam di Rusia dan Dagestan.

Menurut kenyataan majlis itu, mengikuti perintah Allah dan meninggalkan segala persengketaan, mewujudkan keamanan sesama umat Islam dan dengan jiran, membersihkan diri daripada dosa, dan mula mengamalkan prinsip kejiranan selain bermaaf-maafan akan membolehkan penduduk Islam di negara tersebut mendapat keampunan Allah.

Menurut beberapa laporan, ibu bapa Ali yang tinggal di bandar Kizlyar di wilayah Dagestan dan kalangan imam tempatan mendakwa ayat suci al-Quran itu muncul pada hari Isnin dan Jumaat sebelum hilang dan digantikan dengan ayat baharu.

Salah satu ayat itu bermaksud: “Allah ialah Pencipta segala yang ada”.

Apabila ayat suci seterusnya muncul, Ali tidak dapat tidur sepanjang malam dan menghidap demam dengan kepanasan badannya tidak dapat dikurangkan walaupun dengan menggunakan ubat-ubatan kuat.

Semasa dilahirkan, Ali didapati menghidap penyakit jantung dan penyakit yang berkaitan dengan otak tetapi dia sembuh sepenuhnya selepas ayat al-Quran mula muncul pada tubuhnya. AGENSI

(Sumber: Kosmo!, 22 Oktober 2009)
KOMEN SAYA:
Jikalau berita ini sahih, kita telah diperlihatkan dengan satu lagi kehebatan ALLAH SWT. Maha Suci Allah, marilah kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada-Nya. Marilah kita sama-sama menghayati dan mendalami salah satu ayat yang dikhabarkan tertera di tubuh kanak-kanak yang bernama Ali Yakubov itu – “Allah ialah Pencipta segala yang ada”. Janganlah kita berleka-leka dan bersenang-senang dengan yang bersifat duniawi sahaja sehingga kita melupakan hal-hal ukhrawi. Penuhilah masjid dan segala bentuk musolla sepertimana kita memenuhkannya sepanjang Ramadan yang lalu. Semoga kita menjadi orang yang bersyukur.

Dialah Politikus Sejati

Tentang orang ini, banyak sangat gelaran yang telah melekat pada batang tubuhnya. Semuanya kerana peranan, mainan, atau sandiwara beliau dalam politik. Beliau lasak, kadangkala ganas. Beliau degil dan selalu berani. Beliau lepas cakap dan sukar beralah. Ada kalanya beliau seperti tidak berpendirian sehingga sanggup menjilat orang yang pernah menyingkirkannya, ada kalanya bermuka tebal, kurang ajar serta seperti tidak mengenang budi. Tetapi yang pasti, beliau tidak pernah undur dan tidak mudah putus asa. Beliau pemain politik yang pintar, seorang oportunis yang dahaga akan peluang. Beliau kereta kebal walaupun kadang-kadang kelihatan seperti kereta bebal.

Itulah ciri-ciri yang mewarnai susuk tubuh Dato’ Paduka Ibrahim Ali yang pernah juga dilekatkan dengan gelaran “Raja Katak” oleh segelintir orang. Beliau pernah menyergah Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa pemimpin PKR itu “membela diri” selepas disingkirkan daripada UMNO dahulu. Tetapi kononnya beliau pernah pula “meminta” untuk kembali bersatu dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim apabila pemimpin PKR itu tamat tempoh penahanannya dahulu. Beliau beberapa kali mengkritik PAS dan PR yang memberinya ruang untuk bertanding di Pasir Mas semasa PRU ke-12 dahulu. Malah, beliau pernah memberikan beberapa dalil tentang kewajaran TG Dato’ Nik Abdul Aziz melepaskan jawatan MB Kelantan!

Sekarang, beliau membuat kenyataan baharu sekali gus tergambarlah akan pendiriannya yang sebenarnya (selepas berlakunya beberapa siri “krisis” yang tercetus [dicetuskannya sendiri?] dengan PAS). Beliau telah mengisytiharkan bahawa hubungannya dengan PAS sudah berakhir melalui penjelasan yang berikut:

“Pada waktu itu (semasa PRU ke-12), PAS merasakan parti itu lemah terutamanya di Kelantan. Maka, mereka menghulur tangan untuk bekerjasama dengan saya dan menjadi lumrah bagi orang yang tidak berparti memberi kerjasama kepada mana-mana parti politik yang mendekati kita.

“Mereka minta kerjasama saya dan saya beri kerjasama, bila selesai pilihan raya selesailah kerjasama di antara saya dengan PAS dan saya tidak menyertai PAS, hanya sekadar itu,” katanya.

Beliau seterusnya menegaskan bahawa beliau:

“... bersedia (untuk) bekerjasama dengan mana-mana pihak tetapi kecenderungan saya sekarang ini ialah menyokong UMNO, iaitu kepimpinan kerajaan sekarang sebab saya tengok sudah ada tanda-tanda positif yang cukup baik.

“Buat masa ini, belum ada keperluan untuk saya menyertai UMNO.... Saya membuat pendirian ini juga sebab saya tidak mahu nanti dituduh menyertai UMNO kerana UMNO sudah mula bertambah kuat, kerana ada kepentingan diri, atau kepentingan peribadi dan seumpamanya.

“Saya juga perlu menjaga integriti dan kredibiliti saya sebagai pemimpin Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), iaitu sebuah badan bukan kerajaan dan perlu kekal sebagai anggota Bebas yang tidak mewakili mana-mana parti politik.”
(Sumber: mStar dan Malaysia Kini)
Yang dapat saya simpulkan daripada pendirian beliau itu ialah, beliau memanfaatkan falsafah yang digambarkan oleh Otto von Bismarck, iaitu “Die Politik ist die Kunst des Möglichen” (Politics is the art of the possible) dengan sebaik-baiknya. Beliau memang seorang oportunis tetapi sudikah UMNO Kelantan menerimanya semula? Perkara itulah, pada pandangan saya, yang sedang menghantuinya sehingga beliau “berlapik-lapik” semasa memberikan alasan tidak akan menyertai UMNO-BN pada masa ini.

Wednesday, October 21, 2009

Kisah Anak Raja dan Raja

Terkejut saya apabila mendapat panggilan daripada seseorang. Suaranya seperti pernah didengar. Semasa memulakan bicara, suaranya “keras”. Saya kekagetan seketika.

“Engkau ada baca berita di Bernama Online?” Dia menyoal saya.

“Mengapa?” Saya menyoalnya semula, tanpa menanyakan gerangan dirinya dengan harapan secara perlahan-lahan saya akan dapat mengecam dirinya.

“Ada baca tak?” Dia mengulang pertanyaannya, masih dengan suara yang keras.

“Belum lagi. Sibuk.” Saya menjawab dengan suara yang rendah.

“Yang dia bercakap hal tu, apasal? Macamlah pandai sangat, macamlah bagus sangat. Adik sendiri pun tak terjaga.” Dia membebel.

“Engkau ni apa hal? Cuba cakap elok-elok.” Saya membidasnya walaupun saya masih tidak berupaya untuk mengenali dirinya.

“Ni ha, Tengku Faris menyokong usaha kerajaan Kelantan untuk mandapatkan royalti petroleum. Dia dah memihak dan macam hendak mengatakan Kerajaan Persekutuan tidak adil. Mana boleh macam tu?” Dia berkata.

“Eloklah macam tu,” kata saya. “Sebagai raja, hal itu menjadi tanggungjawabnya. Err..., tapi, engkau ni siapa? Aku tak camlah.” Akhirnya saya mengalah.

“Ini bukan Jalal ke?” Dia menyoal saya.

“Bukan, aku Zulkifli.”

Talian segera terputus. Saya terpinga-pinga. Telefon pejabat saya letakkan ke gagangnya.

Saya segera melayari Bernama Online dan menemukan berita itu. Saya geleng kepala dan tumbuh rasa kagum dalam diri saya terhadap anak raja itu. Baginda menuntut hak demi kesejahteraan negeri dan rakyatnya.

Dan, kemudian saya segera teringat akan titah baginda DYMM Sultan Pahang September lepas. Baginda menghendaki rakyat negeri itu terus menyokong kerajaan BN agar lebih banyak pembangunan sosial, ekonomi, dan pendidikan dapat dilaksanakan untuk faedah mereka. Kedua-dua orang raja ini melaksanakan tanggungjawab masing-masing mengikut pandangan masing-masing.

(Cuma yang berbahayanya titah baginda Sultan Pahang itu ialah baginda secara terbuka seperti mencuba untuk mempengaruhi rakyatnya supaya memihak kepada parti tertentu. Hal ini tidak harus berlaku kerana jika kelak ada raja dari negeri lain mengeluarkan titah yang berlawanan dengan baginda, tentu gawat jadinya. Kelak raja sesama raja bermusuhan hanya kerana mereka menyokong parti yang berlainan. Oleh sebab raja Melayu merupakan tonggak bangsa Melayu, kita tidak mahu mereka berbalah dalam hal-hal yang merugikan orang Melayu.)

Berbalik kepada titah Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra, Pemangku Raja Kelantan itu, saya tidak nampak akan kejanggalan titahnya itu. Tidak percaya? Bacalah titahnya itu di sini.

Tentang orang yang “menyergah” saya itu, walau sesiapa pun dia, dia juga berhak memberikan pandangannya, sama seperti kita yang sering berbeda pendapat. Tetapi, dia tidak berhak bercakap dengan orang lain tanpa memberikan salam lebih dahulu dan kemudian meletakkan gagang tanpa meminta maaf.

Tuesday, October 20, 2009

Perihal Annona muricata, Guyabano, Sirsak, dan Ang Mo Lau Leen

Kalau disebut sebagai Annona muricata, saya pasti banyak rakan saya yang tidak mengenali tumbuhan ini. Kalau disebut sebagai Guyabano atau Sirsak atau Ang Mo Lau Leen pun, saya pasti masih banyak orang yang tidak mengenalinya. Kalau disebut sebagai Soursop, bagaimana? Hm, saya pasti sudah ada yang mula kenal lebih-lebih lagi kalau disebut sebagai Durian Belanda.

Tumbuhan yang bernama Durian Belanda ini sangat popular kepada saya dan adik saya semasa kami kanak-kanak dahulu. Kami tidak menanam tumbuhan ini tetapi jiran yang kami panggil Tuk Alang Majid (Allahyarham, al-Fatihah untuknya) ada menanam tumbuhan ini dan lazimnya tumbuhan ini tidak popular kepada mereka, maka dengan itu buahnya kerap masak di tangkai atau tergolek di tanah (menjadi benyek dan bersebati dengan tanah). Sebagai kanak-kanak yang sedang membesar, yang selera pun ikut membesar, kami bersama-sama dengan cucu-cucu Allahyarham Tuk Alang Majid seperti Ali, Arshad, dan sesekali Seman, Bontak dan Petot akan melahap buah yang kemasam-masaman ini dengan mata terkenyit-kenyit.

(Begitulah kehidupan zaman silam kami – sukarnya untuk menikmati makanan yang sedap-sedap sehingga demikian “biskut mayat”, “cream cracker”, jambu batu, tebu, buah berembang, dan termasuklah Durian Belanda ini menjadi terlalu enak kepada tekak. Sekarang, makanan melimpah-ruah tetapi banyak yang tidak boleh dimakan kerana kencing manis, darah tinggi, gout, dan sebagainya. Dulu makanan susah didapat lazat dimakan; sekarang makanan senang dicapai tak dapat dimakan. Dulu, selera besar makanan tiada; sekarang wang melambak makanan banyak, tapi selera terpaksa dikecilkan.)

Berbalik kepada cerita tentang Durian Belanda ini, rupa-rupanya melalui kajian dan penyelidikan yang dilakukan, tumbuhan ini merupakan pembunuh semula jadi sel kanser yang paling berkesan, malah dikatakan 10 000 kali lebih kuat dan lebih berkesan daripada kemoterapi!

(Malangnya, kehebatan buah ini yang mempunyai kesan antitumor dan dapat merawat semua jenis kanser seperti tersembunyi atau disembunyikan oleh pihak-pihak tertentu – sudah tentulah pihak-pihak yang menaja para penyelidik tersebut. Sebabnya tidak lain tidak bukan kerana mereka ingin mendapatkan imbalan daripada usaha penyelidikan yang dilakukan mereka sejak bertahun-tahun itu dengan membuat bahan-bahan sintetik daripada buah yang ajaib itu!)

Kajian yang dilakukan menunjukkan bahawa penggunaan ekstrak daripada tumbuhan ini sebagai bahan (terapi) untuk merawat kanser tidak akan meninggalkan kesan sampingan yang sama kepada penghidap kanser yang menjalani kemoterapi. Rawatan melalui penggunaan Durian Belanda:
1. tidak akan menyebabkan nausea, kehilangan berat badan, dan keguguran rambut;
2. melindungi sistem imunisasi dan menghindarkan jangkitan-jangkitan maut;
3. menjadikan pesakit berasa lebih kuat dan sihat sepanjang menjalani rawatan; dan
4. meningkatkan tenaga serta memperbaik penampilan diri.

Seperti yang ditegaskan, buah ini 10 000 kali lebih kuat dan lebih berkesan daripada kemoterapi. Dengan kata lain, buah ini 10 000 kali lebih kuat dalam memperlambat pertumbuhan sel-sel kanser berbanding dengan adriamisin, yang umumnya digunakan sebagai ubat kemoterapi! Yang menariknya ialah, tidak seperti kemoterapi, sebatian-sebatian yang diekstrak daripada pokok ini hanya “memburu” dan membunuh sel-sel kanser tanpa mengancam dan membahayakan sel-sel yang sihat! Tumbuhan ini dapat “memburu” dan membunuh sel-sel malignan bagi 12 jenis kanser, termasuklah kanser kolon, kanser payu dara, kanser peparu,dan kanser pankreas. Alangkah ajaibnya!

Semua maklumat ini diperoleh daripada salah sebuah pengeluar ubat-ubatan terbesar di AS (dibocorkan oleh salah seorang daripada pasukan penyelidik) yang telah membuat pelbagai ujian di lebih daripada 20 buah makmal sejak tahun 1970 lagi! Persoalannya ialah, mengapakah tidak ada seorang onkologis pun yang menggalakkan pesakit mereka supaya memanfaatkan kelebihan tumbuhan ini setelah mereka mengetahui kelebihannya?

Jawabannya ialah, saya pasti, semua orang dapat mengagaknya – bahawa kehidupan dan kesihatan manusia ditentukan oleh WANG dan KUASA! Uh, alangkah menakutkan!

Usaha pihak-pihak yang berkepentingan ini (siapa lagi kalau bukan syarikat pembuat ubat-ubatan terbesar di Amerika) melakukan kajian terhadap kehebatan Durian Belanda sebagai penyembuh kanser bermula apabila mereka mengetahui masyarakat orang Asli (Indian) di Amerika Selatan menggunakan pokok ini sejak berkurun-kurun lamanya untuk merawat pelbagai jenis penyakit. Mereka mendapati, hampir semua bahagian tumbuhan ini – termasuklah kulitnya, akarnya, daunnya, buahnya, biji benihnya – dijadikan ubat oleh masyarakat ini bagi merawat penyakit berkaitan jantung, asma, hati, dan artritis. Lantas, hanya dengan berpandukan sedikit kajian saintifik, syarikat itu telah mencurahkan modal untuk mengkaji kehebatan tumbuhan ini dan hasil yang diperoleh mereka sangat menakjubkan – Durian Belanda yang hidup di Hutan Hujan Amazon itu dapat melawan kanser!

Kajian dan penyelidikan yang dibuat oleh syarikat tersebut serta dapatan yang diperoleh daripada kajian dan penyelidikan mereka itu telah menimbulkan kegusaran kepada sebilangan orang. Mereka bimbang, syarikat itu akan mempaten tumbuhan itu lalu menjadikannya sebagai hak eksklusif mereka. Sehingga demikian, kelak mereka dapat memanipulasi tumbuhan itu dengan semahu-mahunya untuk dijadikan apa-apa sahaja yang dapat mendatangkan duit kepada mereka.

Jangan bimbang, mereka tidak akan dapat mempatenkannya kerana tumbuhan ini bukan tumbuhan liar tetapi tumbuhan semula jadi yang memang telah sejak sekian lama dimanfaatkan manusia. (Undang-undang Persekutuan Amerika menetapkan bahawa tumbuhan semula jadi yang memang telah sejak sekian lama dimanfaatkan manusia tidak boleh dipatenkan.) Usaha mereka untuk menghasilkan ubat-ubat sintetik daripada bahagian-bahagian tertentu tumbuhan ini pula tidak berjaya. Oleh sebab itulah mereka merahsiakan kehebatan tumbuhan ini daripada pengetahuan umum.

“Aku berputih tulang, kalian berputih mata,” begitulah agaknya prinsip mereka (prinsip orang yang mementingkan wang, prinsip orang yang tidak ikhlas untuk menyelamatkan manusia sejagat, prinsip yang jelas dipegang oleh Yahudi).

Saya hanya berkongsi hal yang saya baca. Sahabat-sahabat mungkin sudah pernah membacanya. Sahabat-sahabat mungkin sudah mengetahui kehebatan Durian Belanda ini tetapi sahabat-sahabat kadang-kadang lupa. Di sini, saya datang untuk menyegarkan ingatan kalian semula. Ambillah manfaatnya. Kalau memiliki tanah atau ada sedikit ruang di laman rumah, apa salahnya Durian Belanda ini dengan izin Allah, dibiarkan hidup di situ.

Monday, October 19, 2009

16 September Diisytiharkan sebagai Cuti Umum Hari Malaysia Mulai Tahun 2010

YAB Dato’ Seri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak telah mengumumkan bahawa mulai tahun hadapan, tarikh 16 September dijadikan sebagai cuti umum di seluruh negara sebagai memperingati Hari Malaysia.

Hal ini diumumkan beliau pada sidang Dewan Rakyat pagi ini. Dengan perisytiharan ini, rakyat Malaysia akan merayakan dua hari kebangsaan, iaitu Hari Merdeka pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September.

Menurut YAB Dato’ Seri Mohd. Najib, pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat merupakan satu titik sejarah yang amat penting.

Hari Merdeka mengingatkan kita kepada perjuangan menuntut kemerdekaan daripada penjajah manakala Hari Malaysia diraikan pada setiap tahun untuk memperingati pembentukan Persekutuan Malaysia yang membabitkan penyertaan Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963.

Hari Merdeka akan dirayakan dengan pelbagai acara rasmi seperti perarakan dan sebagainya untuk mengingati detik sejarah itu. Hari Malaysia pula akan dirayakan dengan acara-acara yang bersifat mengeratkan perpaduan, persefahaman antara kaum, kejayaan, dan pencapaian masyarakat menerusi bidang sukan, sosiobudaya, kesenian, dan lain-lain yang akan menyemarakkan semangat 1Malaysia.

KOMEN SAYA

Sebagai pekerja, pertambahan cuti umum ini memang bagus kerana menambahkan cuti rehat rakyat Malaysia. Sebagai majikan, pengumuman ini tentu kurang menggembirakan mereka, agaknya.

Thursday, October 15, 2009

Mengajar Orang Lain yang Kurang Ajar terhadap Islam

Cerita ini disampaikan oleh almarhum bapa mentua saya. Beliau berkata, semasa dia menjadi salah seorang tenaga kerja di sebuah syarikat kereta ternama dunia, seorang rakan bukan Islam bertanya kepada beliau tentang solat. Bapa mentua saya sedar bahawa soalan itu untuk memerangkap dan mempersenda-sendakannya sebagai penganut agama Islam.

Rakannya itu bertanya, mengapakah orang Islam bersolat dengan menonggeng-nonggengkan buntut kepada orang lain; mengapakah mesti mengangkat-angkat tangan seperti orang surrender dalam perang sedangkan kononnya orang Islam sayang akan Tuhannya, orang Islam suci dan tidak bersalah? Begitulah lebih kurang cerita almarhum bapa mentua saya. Waktu itu saya masih baru sebagai ahli keluarganya.

Apakah reaksi beliau (bapa mentua saya) terhadap soalan rakannya itu? Ya, oleh sebab rakannya itu hendak mempersendakannya, beliau menjawab dengan sendaan juga. (Barangkali beliau pernah mendengar jawaban yang serupa terhadap pertanyaan seperti itu daripada orang lain atau gurunya. Saya kurang pasti akan hal itu tetapi saya sangat tertarik dengan jawaban beliau.)

“Kita orang sangat bersih. Sebab itulah kita orang tunjuk semua bahagian, tidak sorok-sorok,” kata beliau. “Kita orang angkat tangan dan buka supaya Tuhan nampak kita orang punya tapak tangan sangat bersih, tidak ada dosa. Kita orang tonggeng bukan mahu ejek siapa-siapa, tapi mahu tunjuk bahawa bahagian itu juga bersih. Kemudian kita orang sujud, dan masa kita orang sujud, kita orang tunjukkan bahawa kita orang punya tapak kaki pun bersih dan tidak ada dosa.

“Kita orang tidak serupa you orang. You orang semasa sembahyang semua mahu sorok sebab tidak bersih dan banyak dosa. Dua-dua tangan kasi tutup sebab mahu sorok itu tapak tangan yang kotor. Dua-dua tangan kasi rapat pada badan sebab ketiak pun kotor. Kemudian, duduk cangkung sebab mau sorok itu punggung dan tapak kaki yang juga kotor dan banyak buat salah.”

Begitulah lebih kurang jawaban almarhum bapa mentua saya (menurut yang diceritakannya kepada saya). Jawaban “kebodoh-bodohan” yang dapat dikatakan realisitik sangat sesuai untuk soalan yang jelas bodoh dan bertujuan mempersenda-sendakan agama dan kepercayaan orang lain.

Begitulah sebahagian cerita tentang sikap orang bukan Islam yang sudah sedia kita ketahui sangat memusuhi, membenci, dan bersyak wasangka terhadap agama Islam yang suci ini serta penganut-penganutnya. Malah, banyak cerita lain lagi yang biasa kita dengar tentang usaha-usaha orang bukan Islam hendak mempersenda-sendakan dan memperlekeh agama yang kita junjung ini.

Dalam satu peristiwa, diceritakan bahawa seorang lelaki Islam yang agak berumur sedang berwuduk di singki di dalam sebuah bilik air (tandas?). Apabila tiba ke bahagian kaki, dia mengangkat kakinya ke dalam singki. Apabila melihat perlakuan yang demikian, orang bukan Islam yang turut berada dengannya di dalam bilik air (tandas?) itu menegur perbuatan lelaki berumur itu dengan berkata dengan sinisnya, “Hello, sink bukan tempat untuk cuci kaki tau, tapi untuk cuci muka. You telah mengotorkan sink ini”.

Orang tua itu tidak memberikan reaksi segera sebaliknya terus menyudahkan wuduknya dan setelah usai dia pun berkata, “Boleh saya tahu, berapa kalikah awak membasuh muka awak dalam sehari?”

“Dua kali sehari,” jawab orang bukan Islam itu.

“Kalau begitu, kaki saya lebih bersih daripada muka awak kerana saya membasuh kaki saya sekurang-kurangnya lima kali sehari,” lelaki berumur itu berkata dan berlalu.

Terserlah sekali kebijaksanaannya dalam mematahkan sindiran lelaki bukan Islam itu. Saya sendiri mempunyai pengalaman tentang perkara ini. Seorang rakan setugas bukan Islam bertanya sama ada saya pernah membasuh kaki di singki. Saya menggeleng kerana tidak pernah melakukannya (sekarang sudah pernah, khususnya di rumah sendiri). Dia bertanya kerana pernah melihat teman saya melakukan perbuatan yang sama dengan lelaki berumur dalam cerita di atas. Saya tidak memberikan komen kerana tidak tahu apa yang difikirkannya. Cuma saya terfikir, betulkah singki bersih sedangkan orang sering berludah dan berkahak malah ada yang muntah di dalamnya sehingga tersumbat dan sebagainya? (Kalau pada masa itu saya sudah mendengar cerita ini, tentu saya akan memberikan hujah yang sama dengan lelaki berumur itu.)

Ada satu lagi cerita menarik yang pernah saya dengar tentang sikap orang bukan Islam yang hendak memperlekeh Islam ini. Seorang bukan Islam bertanya, mengapa orang Islam kalau terbatal solat kerana terkentut perlu mengambil wuduk dengan membasuh muka. Pada pandangannya, yang kentut ialah buntut, maka buntutlah yang perlu dibasuh (diwudukkan?) Ah, alangkah kurang ajarnya!

Seorang pemuda yang bijak menjawab dengan tenang, “Solat dalam Islam ialah suatu perjumpaan, suatu majlis. You, kalau berada dalam suatu majlis dan tiba-tiba terkentut, bahagian manakah pada diri you yang berasa malu? Muka atau buntut? Tentulah muka, bukan. Jadi sebab itulah kami membasuh muka lebih dahulu dan bahagian-bahagian lain apabila terkentut.”

Jawaban yang memukul ini perlu kita praktikkan tetapi lakukanlah dengan berhemah dan berhikmah. Allah SWT sendiri telah menasihati Nabi Allah Musa dan Nabi Allah Harun (sebelum kedua-duanya menemui Firaun) supaya bercakap dengan lembut apabila berhadapan dengan “raja” yang sombong itu.

Dengan cara itu, moga-moga mereka akan tertarik dengan Islam.

Tuesday, October 13, 2009

Kalau Marah Dibiarkan Beraja di Dalam Diri

Apakah tindak balas kalian kalau kalian menemukan harta kalian yang dicuri sedang digunakan dengan wewenang oleh orang yang mencuri? Apakah tindakan kalian ke atas orang yang mencuri itu tatkala kalian bertembung dengannya? Adakah kalian akan memintanya dengan baik dengan penjelasan tertentu atau memberinya sedikit “tunjuk ajar” atas kezalimannya itu?

Hal ini telah beberapa kali saya fikirkan sejak kereta saya hilang kira-kira dua minggu yang lalu. Kesabaran memang beraja di hati saya tetapi biasalah, iman seorang orang biasa (awam) seperti saya rupa-rupanya tidaklah setebal mana kerana sesekali saya akan ber“kalau” tentang hal yang saya bayangkan itu.

Ya, kalau saya terserempak dengan orang yang mencuri harta saya itu dan tatkala itu dia sedang dengan selambanya menggunakan harta saya yang dicurinya itu, saya mungkin akan “membelasahnya”. Perihal bayangan terhadap tindakan saya ini ada saya luahkan kepada rakan taulan saya dan mereka menyetujui tindakan saya. Huh, memang fikiran saya dan fikiran mereka itu “ngam”, sangat “ngam”!

Hal ini saya rasa “wajar” kerana disebabkan oleh kejahatan si pencuri itu, saya terpaksa berdepan dengan pelbagai kesulitan daripada kehilangan itu:
  • membuat laporan polis (yang kerana saya tidak memahami prosedur dan pegawai yang mengambil laporan sedikit “dungu” telah menimbulkan kesulitan lain pula sehingga memungkinkan pihak insurans tidak akan membuat ganti rugi);
  • berurusan dengan pihak insurans;
  • mengambil cuti untuk berurusan dengan pihak insurans (sedangkan pada waktu ini banyak kerja urgent yang perlu dibereskan);
  • berurusan dengan JPJ; serta
  • pelbagai kesulitan lain, termasuk sekali-sekali, tekanan perasaan.

Apatah lagi kalau saya mendapati orang yang mencuri itu berbangga-bangga dan tidak menunjukkan rasa bersalah kepada saya walhal yang dibangga-banggakannya itu ialah harta curian yang selama ini menjadi kesayangan pemilik asal, yang selama ini dibayar dengan titik peluh dan air mata darah oleh pemilik asal, iaitu saya dan isteri saya! Bukankah wajar tindakan saya itu kalau saya memang ditakdirkan untuk bertembung dengan “orang itu”?

Hah, tentu akan ada sahabat yang bertanya, bukankah saya ada menzahirkan rasa sabar saya pada posting terdahulu? Saya ada mengatakan bahawa hal ini suatu musibah kecil berbanding dengan musibah kubra yang menimpa sahabat-sahabat kita di Padang? Ya, betul tetapi fahamilah, bukankah saya orang biasa yang fikiran saya kerap berubah-ubah? Hari ini sabar, esok hilang sabar, esok sabar semula, dan begitulah seterusnya.

Kawan-kawan, saya insan yang lemah. Sesekali saya akan ber“kalau” terhadap ujian Allah. Mengapakah demikian? Sudah tentulah kerana saya “kurang jelas” mengapakah hal seumpama itu diujikannya kepada saya?

Sebagai manusia yang lemah juga, sesekali saya akan ber“kalau” juga. Seperti yang diketahui oleh semua orang, kalau itu jika sering diungkapkan selepas kita ditimpa sesuatu musibah, akan membawa kita kepada kekufuran kerana ada rasa tidak redho terhadap ujian daripada Allah Yang Maha Mengetahui.

Sebenarnya, saya suka membayangkan hal ini kerana kelaziman yang ada dalam diri saya ialah apabila saya merancang untuk melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan kehendak agama, apabila saya memikir-mikirkan perkara-perkara yang mencetuskan kemarahan saya, saya pasti tidak akan melakukannya apabila hal yang saya bayangkan, hal yang saya rancangkan, dan hal yang menimbulkan api kemarahan saya itu benar-benar menjadi kenyataan. Itulah kelazimannya.

Jadi, sang pencuri yang mungkin ada membaca blog ini, jangan bimbang, anda akan selamat daripada belasahan saya kalau kelak saya terserempak dengan anda. Cuma, tunggulah pembelasahan daripada Allah SWT dan saya tidak perlu ber“kalau-kalau” tentang hal itu.

(Tapi, rasa saya kalau setakat menempeleng pencuri harta saya itu, boleh, kan? Isy, nak jugak)

Monday, October 12, 2009

Pasca-PRK Bagan Pinang: Tan Sri Mohd. Isa Hebat?

Saya rasa, baik PAS mahupun PKR, mereka sedar bahawa memang susah hendak menawan hati orang Melayu di negeri-negeri Selatan tanah air yang kecintaan dan keasyikan mereka hanyalah pada UMNO-BN. Percayalah, usaha itu sangat berliku. Hal ini berbeda dengan orang Cina yang terbuka minda mereka terhadap kelangsungan politik mereka, yang tahu hak-hak mereka, yang sentiasa bersedia untuk mengubah pendirian demi kelangsungan hayat bangsa mereka. Jika mereka, orang-orang Cina ini, berasa BN tidak bagus, mereka akan mengundi seteru BN; jika mereka merasakan yang menjadi seteru BN tidak bagus, mereka akan mengundi BN. Buktinya, lihatlah di Bahau!

Di Negeri Sembilan, walaupun orang-orang Melayu yang berani mengubah pendirian sudah banyak, namun jumlahnya masih belum mencukupi untuk mengubah landskap politik di negeri itu. Walaupun ada kawasan yang dimenangi calon Melayu dari parti selain UMNO-BN, iaitu PKR dan PAS, tetapi jumlahnya sangat sedikit. Daripada 36 kerusi DUN, wakil Melayu PAS dan PKR hanya menang tiga di negeri itu, iaitu di:
  1. N13 Sikamat – Aminuddin Harun, PKR (majoriti 499),
  2. N14 Ampangan – Rashid Latif, PKR (majoriti 165), dan
  3. N25 Paroi – Mohd Taufeq A. Ghani, PAS (majoriti 1107).

Wakil Melayu dari UMNO-BN mempunyai 19 kerusi daripada 21 kerusi yang dimenangi mereka (dua lagi masing-masing dari MCA dan MIC). Hal ini bermakna daripada 36 kerusi DUN, orang Melayu mempunyai 22 kerusi (19 BN dan 3 PR) manakala 14 lagi bukan Melayu. Kesemua kawasan yang dimenangi, sama ada oleh BN atau PR, merupakan kawasan majoriti Melayu. (Memang ada beberapa kawasan yang dimenangi UMNO-BN sangat kecil majoritinya. Tetapi, banyak orang berpendapat bahawa yang mengecilkan jumlah majoriti itu bukan undi orang Melayu tetapi undi orang-orang selain Melayu!)

Berdasarkan hakikat ini, kemenangan TS Mohd. Isa di Bagan Pinang bukanlah sesuatu yang pelik, malah memang telah diduga oleh banyak pemerhati politik. Dengan dua ciri utama yang penting – sifat orang Melayu di negeri-negeri Selatan yang masih tebal kecintaannya terhadap UMNO-BN dan kebetulan 66% pengundi di Bagan Pinang ialah Melayu – maka kemenangan itu sudah memang terjamin untuk TS Mohd. Isa. Pihak PAS sendiri sekadar menyasarkan untuk mengurangkan majoriti UMNO-BN sahaja. Dengan kata yang lebih mudah, mereka tahu bahawa mereka tidak akan menang kerana mereka tahu bahawa negeri-negeri Selatan merupakan kubu UMNO-BN yang kebal.

Cuma yang tidak diduga pemerhati politik ialah kemenangan TS Mohd. Isa dengan majoriti yang sangat besar – 5 435 daripada 2 333 undi sebelum itu (PR12, 2008) – sedangkan kebanyakan pemerhati politik merasakan bahawa berdasarkan senario politik semasa, majoriti yang waras untuk diperoleh oleh TS Isa hanyalah sekitar 2 000 hingga 3 000 undi sahaja.

(Walaupun ada yang berhujah bahawa kemenangan UMNO-BN itu bukanlah kemenangan mutlak kerana mereka sekadar mempertahankan kerusi, namun saya berpendirian bahawa UMNO-BN memang menang, sama dengan kemenangan PAS dan PKR di kerusi-kerusi seperti di Manek Urai, Bukit Selambau, Permatang Pasir, dan lain-lain kecuali di Terengganu.)

Berdasarkan hakikat kemenangan TS Mohd. Isa itu, jelas bahawa di negeri-negeri Selatan, calon bukan faktor penting. Yang penting ialah parti. Kalau TS Mohd. Isa tidak menjadi calon pun, saya yakin UMNO-BN akan menang sama halnya dengan Datuk Seri Utama Rais Yatim yang terus menang apakala bertanding atas tiket UMNO-BN walhal pada tahun 1990 semasa bertanding atas tiket Semangat 46, beliau tewas dan “sejuk” seketika di arena politik negara.

(Di Malaysia, pada pandangan saya, calon tidak hebat. Jika calon itu hebat, di mana-mana pun mereka bertanding, mereka akan disukai dan akan dipilih menjadi wakil rakyat. Jika tidak percaya, letakkanlah Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein bertanding di Parlimen Permatang Pauh dan Dato’ Seri Anwar pula bertanding di Parlimen Sembrong. Isu juga tidak penting. Mainkanlah isu Kelantan mundur sama ada semasa pilihan raya umum atau pilihan raya kecil, orang Kelantan tetap memilih parti yang dicintai mereka. Mainkanlah isu kerendahan moral TS Mohd. Isa Samad, orang Bagan Pinang tetap cinta akan orang ini!)

Walau bagaimanapun, SYABAS Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.

Thursday, October 8, 2009

Susah Rupa-rupanya Hendak Memahami Demokrasi

Sudah pernah saya jelaskan, dengan pengetahuan yang tidaklah sedalam mana, tentang perlunya setiap rakyat yang menghuni negara bernama Malaysia ini memahami erti demokrasi dengan sebenar-benarnya, dengan sedalam-dalamnya.

Demokrasi membenarkan pertandingan atau pemilihan para wakil yang dibuat oleh ahli atau rakyat yang bergabung dalam satu kesatuan atau persatuan, parti atau partai atau dalam konteks yang lebih luas, sebuah negara untuk memilih pemimpin yang disukai.

Dalam pemilihan, sudah tentulah ada lobi-melobi. Para ejen atau juak-juak calon yang bersaing boleh menjalankan kempen dan “melonjak-lonjakkan” calon atau parti yang diwakili mereka. Boleh juga mereka hendak menghentam calon yang menjadi seteru.

Sekadar itu. Cukuplah. Pergaduhan biarlah setakat pertikaman lidah yang bukanlah mencaci-maki dan mencerca peribadi calon lain. Makian dan cercaan bukan sekadar mengaibkan calon tetapi orang-orang yang dekat dengan calon juga – ibu bapanya, anak isteri, adik-beradik, dan seterusnya.

Tambah-tambah lagi sampai membantaibelasah, melukacederakan orang lain hanya semata-mata kerana persaingan memilih calon. Perbuatan ini bukan sekadar menimbulkan trauma yang bukan sedikit kepada mangsa tetapi mencalar nama baik negara yang dikenali memiliki rakyat tepu sopan, penuh santun.

Para pemimpin parti, kesatuan dan persatuan, nasihatilah penyokong supaya memanfaatkan akal dengan sebaik-baiknya. Jadilah orang, bukannya yang selain daripada orang. Manusia yang bertamadun ialah manusia yang membudayakan kebaikan. Pemimpin tidak harus menggalakkan keganasan!

Kalau benar sampai ada penyokong parti yang berani membantaibelasah penyokong lawan, menghambat dengan parang, dan sebagainya, hendak kita golongkan sebagai apa orang itu? Kelak, kalau yang di sebelah sini membalas tindak, bagaimana? Kecoh! Kekuatan bukan terletak pada fizikal tetapi pada kewarasan akal.

Sang penguasa undang-undang biarlah neutral, jangan memihak. Siasatlah dakwaan ini. Betulkah serangan itu melibatkan penyokong parti yang sebelah sini? Atau ada puak yang sengaja mengambil kesempatan? Memakai baju parti sebelah sini semasa menyerang parti sebelah sana, tindakan tidak cerdik! Tindakan ini seperti hendak melaga-lagakan suku-sakat parti. Siasat betul-betul, jangan pendam-pendam, jangan diam-diam!

Saya jadi malu sendiri. Mengapa? Kerana masih ada orang yang tak faham-faham!

Wednesday, October 7, 2009

Ketidakyakinan terhadap PDRM: Suatu Persepsi?

Pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) ialah agensi penguasa undang-undang yang paling berkuasa di negara ini. Kuasanya mengatasi kuasa yang ada pada ATM, SPRM, dan agensi-agensi kerajaan yang lain apatah lagi kuasa pihak-pihak berkuasa tempatan. Kuasa yang dimiliki mereka boleh digunakan untuk menahan dan mendakwa orang dalam pelbagai akta. Oleh sebab terlalu berkuasa, banyaklah orang yang berkepentingan dan ingin meminta “perlindungan” agensi ini yang mencuba untuk merapati ketua-ketua dan anggota-anggota polis sendiri (tetapi tidaklah diketahui sama ada orang-orang “berkepentingan” ini berjaya mendekati mereka). Kekuasaan PDRM ini diiktiraf oleh kerajaan sendiri kerana kita dapati beberapa orang Ketua Polis Negara pernah dikurniai gelaran Tun semasa mereka masih berkhidmat dalam PDRM lagi. Hal ini tidak berlaku kepada agensi seperti ATM, SPRM, dan sebagainya.

Tetapi, sekarang PDRM seperti tenggelam punca. Inilah gambaran yang dapat kita cerna daripada kata-kata yang diluahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin seperti yang dilaporkan oleh pihak Bernama hari ini.

Yang menjadikan agensi penguasa undang-undang itu seperti tenggelam punca ialah mereka masih tidak dapat mengubah persepsi negatif dan ketidakyakinan masyarakat terhadap mereka walaupun segala usaha telah dilakukan oleh pihak berkuasa itu sehingga berjaya melepasi piawai 20% kadar penyelesaian kes yang ditetapkan oleh Polis Antarabangsa (Interpol). Malah, menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman itu, kadar penyelesaian kes oleh pihak PDRM sekarang ialah 38%, iaitu hampir mencecah 40%. Pencapaian ini jelas jauh lebih baik daripada piawai yang ditetapkan oleh Interpol itu, sekali gus membuktikan bahawa PDRM memenuhi piawaian sebagai agensi penguasa undang-undang bertaraf dunia.

Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin sampai berkata bahawa kejayaan pihak PDRM melepasi piawai itu “tidak sedikit pun” mengubah pandangan negatif masyarakat terhadap PDRM. Oleh hal yang demikian, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman itu bercadang untuk mengkaji cara-cara bagi meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap pasukan itu supaya persepsi masyarakat yang menganggap PDRM masih banyak mempunyai kelemahan terutamanya daripada segi siasatan dapat diubah.
(Sumber: Bernama)

Berita penuh tentang hal ini dapat anda ikuti dalam laporan Bernama yang bertajuk “Penyelesaian Kes Meningkat Tidak Cukup Ubah Persepsi Negatif Terhadap Polis” dalam http://www.bernama.com/.

Demikianlah gambaran yang berlaku kini. Krisis persepsi yang tumbuh dalam minda masyarakat terhadap institusi kepolisan di Malaysia tampaknya sudah berada di tahap runcing, sama halnya dengan persepsi yang tumbuh dalam minda masyarakat terhadap kerajaan yang memerintah negara sekarang. Begitu juga, seperti Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin yang berasa risau dengan persepsi tersebut, kerajaan yang memerintah sekarang juga berasa risau dengan persepsi negatif terhadap mereka. Hal ini bermakna, krisis persepsi itu saling berkait antara kerajaan dengan PDRM.

Jadi, pada pandangan saya, persepsi negatif dan ketidakyakinan masyarakat terhadap PDRM bukanlah disebabkan oleh berjaya atau gagalnya PDRM dalam menyelesaikan sesuatu kes. Sebaliknya, yang menjadikan persepsi negatif dan ketidakyakinan itu bercambah dalam minda masyarakat ialah tindakan PDRM yang banyak memihak kepada kerajaan (walaupun hal yang menyebabkan mereka memihak itu “kurang wajar”), selain sikap sambalewa dan tidak mesra anggota PDRM dalam melayan aduan masyarakat, salah guna kuasa, rasuah, kematian tahanan di dalam lokap polis, dan sebagainya.

Ada beberapa contoh yang menampakkan PDRM lebih memihak kepada kerajaan berbanding dengan masyarakat sehingga menumbuhkan suatu persepsi tidak baik dalam diri masyarakat. Layanan buruk (provokasi dan tembakan gas pemedih mata dll) terhadap “pejuang-pejuang” bahasa yang berarak untuk membantah PPSMI adalah salah satu contohnya. Kematian Goh Yam Peaw yang mati di lokap Balai Polis Segamat dan A. Kugan Ananthan di Balai Polis USJ8, Subang Jaya dan keterlibatan anggota polis dalam kematian Altantuya adalah contoh-contoh dari sisi lain. Betul, kes-kes itu itu berjaya diselesaikan (kerana yang bersalah telah didakwa dan dijatuhi hukuman). Jumlah kes yang “menjejaskan” nama PDRM itu pun kecil sahaja. Dan kalau dibandingkan dengan semua hal itu, jasa pihak PDRM kepada keamanan negara tiada tandingannya tetapi persoalannya mengapakah peristiwa sedemikian berlaku? Mengapakah dirosakkan panas setahun oleh hujan sehari?

Krisis persepsi ini bukan berpunca daripada PDRM itu tetapi berpunca daripada orang-orang yang berada di dalamnya. PDRM itu dapatlah dianggap sebagai kolah air. Kolah itu asalnya diisi dengan air mutlak yang sesuai untuk berwuduk dan diminum tetapi entah bagaimana ada setitis dua minyak yang mencemarinya. Air dan minyak tidak bercampur, buanglah minyak yang mengapung di permukaan air di dalam kolah itu. Maksud saya, penambahbaikan dan keupayaan menyelesaikan kes jenayah tidak meninggalkan kesan kepada masyarakat jika unsur-unsur tidak sihat yang diamalkan oleh anggotanya tidak ditangani dengan baik. “Minyak yang mencemari kolah itu perlu dibuang demi memastikan air di dalam kolah itu berstatus air mutlak”.

Jika benar pihak PDRM hendak membuat kajian tentang kewujudan persepsi ini, apa-apa sahaja hasil kajian yang dibuat itu kelak hendaklah diterima dengan lapang dada, bukan sekadar memilih yang lunak-lunak sahaja. Yang sebaik-baiknya, tegakkanlah yang betul, buanglah yang buruk.

Tuesday, October 6, 2009

Musibah: Sabarlah yang Menjadi Penawarnya

Dua tiga hari saya tidak menziarahi mana-mana blog, atau dengan kata lain tidak melayari Internet, bukan kerana ketidakcukupan waktu atau jemu tetapi semuanya kerana perasaan dibaluti rasa tidak tentu arah. Hal ini demikian kerana, pada hari posting (yang telah saya draf sehari sebelumya) tentang musibah gempa bumi yang menimpa sahabat dan saudara-saudara kita di Padang diterbitkan di dalam Blog ini, pada petang itu saya juga telah ditimpakan Allah SWT musibah yang saya tanggapi sebagai ujian kepada saya sebagai hamba-Nya.

Saya, walaupun agak terkejut tatkala menerima apa-apa berita tentang sesuatu musibah, lazimnya dapat mengawal perasaan saya. Sehingga demikian, jarang-jarang terpacul daripada mulut saya nada yang meninggi sebagai natijah daripada rasa terkejut itu. Tetapi sekali ini tidak demikian halnya. Apakala mendengar berita tentang musibah itu, terpacul kata yang spontan dan meninggi nadanya. Tidak dapat saya ingat apakah kata yang terpacul daripada mulut itu tetapi saya masih ingat bahawa nadanya agak tinggi dan apabila berita itu saya dengar, saya segera meninggalkan pejabat untuk pulang dan kemudian menghubungi isteri saya.

Musibah itu sebenarnya telah saya “risaukan” akan menimpa diri saya pada suatu hari nanti. Saya tidak tahu mengapa perasaan itu ada dalam diri tetapi yang saya tahu kebarangkalian untuk ditimpa musibah itu memang ada. Saya telah kehilangan kereta yang saya sayangi – Proton Satria GTi, berwarna perak (original spec), platnya bernombor WJG 4732. Kejadian itu berlaku sekitar jam 3:00-4:30 petang, hari Jumaat di bandar Kajang. Yang membawa kenderaan itu anak saya dan pada waktu itu (ketika kereta itu hilang) dia sedang makan dan beriadah, sekembalinya dia dari bersolat Jumaat di Putrajaya.

Saya menerima qadak dan qadar Allah SWT dengan kehilangan itu tetapi saya tidak dapat memahami sikap pencuri yang tidak memikirkan natijah daripada perbuatan mereka itu. Mereka tidak memikirkan bagaimana susahnya saya (dan mangsa-mangsa curi yang lain) hendak melunaskan hutang kenderaan saban bulan sehinggalah lima, tujuh, atau sembilan tahun kemudian baru menjadi milik saya atau mangsa-mangsa curi itu. (Kebetulan hutang kereta itu baru selesai pada bulan Julai tahun 2008!) Mereka juga tidak memikirkan kesulitan-kesulitan lain yang terpaksa dihadapi oleh mangsa-mangsa seperti saya daripada kehilangan kereta itu — daripada membuat laporan polis hinggalah membuat tuntutan kepada syarikat insurans (dan jika kereta itu tidak ditemukan, saya terpaksa menunggu antara 3-6 bulan untuk mendapat ganti rugi kehilangan itu). Mujurlah saya mempunyai kereta kedua. Jika tidak, satu lagi kesulitan terpaksa saya hadapi. Dengan itu, segera terlintas di fikiran saya bahawa Allah SWT memang Maha Adil dan Maha Mengetahui dalam menetapkan sesuatu hukuman. Si penjahat yang bernama pencuri ini, setelah sahih dan dapat dibuktikan perbuatannya, wajar dijatuhi hukuman potong tangan kerana perbuatannya itu menganiaya yang empunya harta. Tidak timbul soal hukum Allah SWT itu kolot dan tidak bertamadun kerana yang perlu kita lindungi bukan pesalah laku sebaliknya orang yang teraniaya oleh pesalah laku itu. Yang perlu kita lindungi ialah hukuman dan keadilan bukannya pesalah laku.

Sebelum hilang, semua syarat untuk mengelakkan kereta itu hilang telah dilakukan oleh anak saya, iaitu menguncinya dengan baik (stereng juga dikunci dengan kunci tambahan), tetapi rupa-rupanya banyak pakar yang meremukkan hati manusia lain di luar sana. Selepas hilang, saya telah melakukan semua yang terdaya menurut lunas-lunas agama (terima kasih kepada penduduk Taman Jasmin, Kajang yang bersama-sama dengan saya mengadakan solat hajat selepas kehilangan itu). Malah saya telah mencuba mengesannya dengan bantuan adik ipar saya melalui isyarat yang diberikan oleh seorang ustaz hingga di luar Kajang, tetapi tidak menemukannya. Sekarang, saya pasrah walaupun ada rasa sedih yang melingkari perasaan saya. Saya tidak harus memberengut kerana jika dipanjangkan usia dan tiada aral yang melintang, saya akan beroleh ganti ruginya tetapi musibah yang menimpa sahabat-sahabat dan saudara-saudara kita di Padang itu lebih payah dan lebih mendukacitakan. Mangsa yang hidup di sana banyak yang kehilangan harta dan tempat bergantung dan mereka tidak mendapat ganti ruginya. Itulah cara saya memujuk hati saya. Sesungguhnya, semua yang berlaku adalah mengikut perencanaan dan pelaksanaan Allah SWT.

Ungkapan SABAR yang sering saya luahkan kepada sahabat-sahabat dan sesiapa sahaja apabila mereka ditimpa musibah menjadi sangat bermakna dan kena pada diri ini apabila musibah ini menimpa saya.

(Nota jari: Kereta yang hilang itu atas nama saya tetapi merupakan milik isteri saya kerana beliaulah yang membayar ansurannya setiap bulan. Kereta kedua ini atas nama isteri saya tetapi sayalah yang membayar ansurannya setiap bulan!)

Friday, October 2, 2009

Malapetaka di Sebelah Kita, Maksiat di Depan Kita: Padakah dengan Memicingkan Mata Sahaja?

KERANA marah, ada segelintir orang yang tidak bersimpati akan orang yang ditimpa musibah walaupun orang itu duduk di sebelah mereka. Lebih buruk lagi, ada yang berdoa agar orang-orang di sebelah mereka itu terus ditimpa musibah demi musibah kerana orang di sebelah mereka itu selalu menghina, mencerca, malah pernah mengancam hendak membunuh dia dan rakan-rakannya. Sehubungan dengan hal itu, mereka berpandangan bahawa orang-orang di sebelah mereka itu, yang tidak sedar diri kerana menghina orang lain walaupun pernah dan masih ditolong bantu, memang wajar mendapat musibah.

Yang saya maksudkan orang di sebelah kita ialah orang-orang di negara di sebelah kita. Jadi, malapetaka di sebelah kita pada tajuk siaran ini ialah malapetaka yang berlaku di negara di sebelah kita.

Di negara sebelah kita itu, malapetaka gempa bumi berlaku berulang-ulang dan bersambung-sambung, malah menurut laporan akhbar di negara sebelah kita itu, dalam tempoh sebulan ini, sudah 30 malapetaka berupa gempa menimpa mereka – ada yang turut kita rasai bahananya, tetapi banyak yang tidak kita rasai bahananya dan dengan itu kita pun berasa selamat. Walhal yang pasti, malapetaka itu tidak mustahil akan menimpa kita kerana semuanya berlaku di sebelah kita, dengan kata lain sangat hampir dengan kita. Jadi, apakah perlunya kita – kerana didorong marah – berdoa agar mereka yang di negara sebelah kita itu ditimpakan malapetaka demi malapetaka seolah-olah kita “bebas” daripada malapetaka itu?

Kalau kita berkata bahawa malapetaka itu ditimpakan oleh Allah SWT kepada orang-orang di negara sebelah kita itu kerana kejahatan dan kemaksiatan yang dilakukan mereka, maka tidak mungkinkah Allah SWT akan menimpakan malapetaka yang sama kepada kita pula kerana kita yang di sebelah sini juga tidak kurang daripada melakukan kejahatan dan maksiat? Tidak kiralah kejahatan dan maksiat yang kita lakukan itu sekategori dengan yang dilakukan oleh orang di negara sebelah kita itu ataupun sebaliknya, persoalannya ialah kita memang ada melakukan kejahatan dan maksiat, sesetengahnya berulang-ulang dan berterusan sehingga menjadi kelaziman.

Sebagai buktinya, kita biasa melihat senario ini – remaja awal baligh dan remaja hilang baligh sudah tidak tahu bila Maghrib, bila Isyak, bila Subuh sehingga demikian banyak yang tercongok di restoran mamak untuk menonton MU, Chelsea, Liverpool, Barcelona, dan Real Madrid beraksi. Remaja sekarang, termasuk para isteri dan gadis senja, sudah tidak takut untuk menayangkan pangkal paha, tundun, lurah buntut, dan lurah dada, malah sudah banyak yang membiarkan bahagian-bahagian itu diratah digomol sehingga ada yang menyerahkan diri bulat-bulat untuk dinikmati buaya-buaya lapar dan durjana. Yang menggantikan teh dengan Anchor, Carlsberg, dsb usah cerita – baik lelaki baik perempuan, baik yang separuh matang dan yang sudah berkerepot – mereka berbangga-bangga dengannya dan tidak segan silu bergambar untuk ditayangkan di Internet dsb. Kita tahu, saya tahu, semua orang tahu akan leluasanya semua kejahatan dan maksiat itu tetapi apakah yang kita lakukan? Cukupkah dengan bercakap dan mengutuk dan melihatnya dengan rasa benci meluap-luap? Cukupkah?

Dalam suatu peristiwa, Allah SWT menitahkan malaikat-Nya supaya membinasakan seluruh penduduk sebuah kampung kerana kejahatan-kejahatan yang dilakukan oleh penduduk kampung itu. Malaikat akur tetapi tatkala tiba di kampung itu, malaikat mendapati ada dua orang penduduk sedang beribadat di dalam musolla dengan sepenuh raga mereka. Malaikat kembali menemui Allah dan memaklumkan hal itu tetapi Allah SWT menitahkan malaikat-Nya supaya memusnahkan kedua-duanya sekali kerana mereka tidak mempedulikan masyarakat lain dan kejahatan yang berlaku di sekeliling mereka sebaliknya hanya mementingkan amal ibadah sendiri.

Jadi, berdasarkan peristiwa itu, tidak mungkinkah hal yang sama akan ditimpakan kepada kita kerana kita memicingkan mata, memekakkan telinga akan hal-hal kemaksiatan sedemikian? Kita asyik mendalami qiraat dan tajwid, belajar hal ehwal taharah di dalam Bahrul Mazi, mengejar lailatul qadar, dsbnya tetapi pada masa yang sama mengabaikan tanggungjawab kita untuk mendakwahi remaja awal dan remaja senja yang bertuhankan MU, Chelsea, Liverpool, Barcelona, dan Real Madrid di kedai mamak itu! Berapa kalikah kita menasihati gadis awal baligh dan gadis menopaus yang masih menelanjangkan paha, dada, tengkuk dan leher, tundun dan lurah punggung, dan sebagainya itu? Sampai bilakah kita mahu bersekongkol dengan kerajaan yang sambalewa dalam menangani kemaslahatan ini? Sampai bilakah kita pasrah dengan cara kerajaan dalam menangani kebobrokan itu yang lebih suka mendenda dan menghukum tanpa mentarbiyah dan mendakwahi mereka?

Dengan maksiat yang berlaku dan kita sekadar memerhatikannya sahaja, tidak mungkinkah malapetaka di negara sebelah kita itu akan diturunkan oleh Allah SWT kepada kita pula atau dihadirkan dalam bentuk yang lain yang bahananya sama dan mengerikan? Bukankah jam 6.16 petang 30 September 2009 lalu gempa di negara sebelah yang berskala 7.6 skala Richter turut menggegarkan kita sehingga kita berebut-rebut mengisi lif dan menuruni tangga? Tidakkah kita mahu menjadi manusia yang berfikir?

Hari ini kita masih selamat daripada malapetaka itu, esok barangkali ada yang mengucapkan Selamat Datang Malapetaka ke negara sebelah sini. Bersediakah kita? Sekali lagi, tidak mahukah kita menjadi manusia yang berfikir?

Ingat, janganlah kita memicingkan mata memekakkan telinga dan bersorak-sorai atas nasib yang menimpa orang-orang di sebelah kita. Bersimpatilah dan bermuhasabahlah.

Thursday, October 1, 2009

Kelelahan Kecil Menelah Keputusan di Bagan Pinang

Seperti yang kita sedia maklum, akhirnya Isa jugalah yang dipilih untuk mewakili BN dalam PRK Bagan Pinang pada 11 Oktober nanti. Bukan kerana tidak ada orang lain yang lebih layak daripada Isa tetapi kerana sudah tidak ada orang lain dalam kepala penyokong Isa.

Sebagai natijahnya, Yg Bhg Tun Mahathir yang memang dari awal lagi menentang idea penyokong-penyokong Isa yang menamakan ketua mereka sebagai calon itu, telah memutuskan bahawa beliau tidak akan turun berkempen untuk membantu Isa di Bagan Pinang. Walau bagaimanapun, beliau tetap menyokong Isa kerana Isa calon parti. Dengan itu, semua pendapat peribadinya yang terdahulu yang jelas menentang Isa sebagai calon tidak perlu diambil kira. (Dapat saya bayangkan betapa susahnya untuk berpendirian begitu dan untuk menelan kekecewaan.)

Mukhriz, anak Tun Mahathir pula berkata bahawa Isa akan mendapat sokongan undi yang hebat dan akan mendapat kemenangan yang besar kerana Isa popular dan dihormati di Teluk Kemang (dan Bagan Pinang). Dengan kata lain, tanpa kehadiran bapanya (Tun Mahathir) berkempen di Bagan Pinang pun, Isa-BN tetap akan menang. (Maknanya, peranan bapanya itu bukanlah penting sangat malah bukanlah menjadi faktor yang dapat menjamin kejayaan Isa-BN. Jadi, tidak datang pun tidak menjadi hal.)

Soalnya, betulkah Isa-BN akan menang? Apakah asas keyakinannya itu? Undi pos? Cuba amat-amati kata-kata Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin (Panglima Angkatan Tentera yang baharu) itu. Beliau berkata bahawa taat setia anggota ATM bukan tertumpah pada mana-mana parti tetapi tertumpah pada DYMM Yang di-Pertuan Agong sahaja. Kata-katanya itu (jika ditujukan kepada orang awam) bermaksud bahawa anggota tentera yang dipimpinnya bebas memilih sesiapa pun calon yang akan bertanding sebagai wakil rakyat mereka. Beliau tidak akan mempengaruhi anak-anak buahnya dalam hal ini. Jadi, jika kata-kata itu bukanlah untuk mengaburi dan menyedapkan hati pihak pembangkang, maka Mukhriz dan Isa-BN harus waspada.

(Walau bagaimanapun, dalam senario yang biasa, MENURUT SESETENGAH PIHAK, undi tentera lazimnya berpihak kepada BN. Dalam hal ini, sungguhpun ada kalangan tentera yang tidak sealiran dengan BN, selalunya undi mereka akan dimanipulasi dan dikhianati. Proses pengundian dalam kem KONONNYA hanya dilakukan oleh seorang atau dua orang ketua sahaja dan keadaan ini berlaku di banyak tempat seperti di Parlimen Setiawangsa, Lumut, dan juga Kok Lanas. Tanpa “bantuan” undi tentera atau undi pos, calon BN akan gigit jari. Wallahua'lam.)

Walau apa-apa pun hujah yang diberikan, pada pandangan saya, kemenangan calon-calon yang bertanding di Bagan Pinang ini memang ditentukan oleh undi pos (namun qadak dan qadar Allah siapakah yang dapat merubahnya?)