Sebelum PRU 12 itu, bekas Menteri Kewangan, YBhg Tun Daim Zainuddin mengklasifikasikan tiga buah negeri sebagai “Kawasan Panas”. Negeri yang diklasifikasikan beliau sebagai “panas” itu itu ialah Kedah, Pulau Pinang, dan Selangor. Ramalan beliau terbukti sebagai benar – ketiga-tiga negeri itu jatuh ke tangan PR, malah ditambah pula dengan satu negeri lagi, iaitu Perak. Kelantan terus dikuasai PR (PAS).
Khabar-khabar angin dan cakap-cakap kedai kopi mengatakan bahawa Tun Daim sudahpun membuat ramalannya tentang PRU 13 akan datang. Menurut khabar angin itu, Tun Daim meramalkan BN akan tewas. Oleh sebab ramalan beliau sebelum PRU 12 itu betul, menurut penyampai khabar angin di kedai kopi itu, maka ramalan beliau yang terkini tidak kita dengar lewat mana-mana media. Kalaulah benar beliau ada meramalkan demikian, BN perlu memberikan perhatian yang sepenuh-penuhnya terhadap ramalan itu.
Sebagai memberikan respons terhadap ramalan Tun Daim sebelum PRU 12 dahulu, Menteri Besar yang memimpin Selangor dan Kedah pada waktu itu dalam satu temu bual dengan sebuah akhbar arus perdana berkata bahawa PAS dan DAP memang mempunyai penyokong dan pengikutnya di negeri-negeri itu, tetapi PKR tidak ada penyokong. Malah, kedua-duanya berkata bahawa PKR bukan ancaman besar kepada BN.
Di Selangor terbukti bahawa Menteri Besar yang dahulu itu terpaksa menelan liur dan kahaknya. Beliau yang pada suatu ketika berhasrat untuk mewujudkan keadaan sifar pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri di Selangor “meleleh liur” apabila melihat tokoh yang menjadi MB Selangor selepas kekalahan BN ialah tokoh daripada parti yang dikategorikan beliau sebagai bukan ancaman besar kepada BN itu!
Itu cerita yang sudah lepas – cerita yang membogelkan para pemuka BN yang selalu memperlihatkan keyakinan bahawa BN akan kekal memerintah negara/negeri dari dulu himgga kini dan selama-lamanya, pemuka yang kadangkala langsung tidak ber“insya-Allah” apabila melahirkan keyakinan mereka.
Cerita yang akan datang yang sepatutnya sudah pun dianalisis sejak kekalahan itu oleh pihak BN ialah bagaimanakah mereka hendak merampas negeri yang telah jatuh itu sedangkan pada masa yang sama negeri yang dikuasai mereka juga sedang berada dalam situasi seperti telur di hujung tanduk, abu di atas tunggul? (Negeri Sembilan adalah antara contohnya.)
Selangor mempunyai 56 kerusi DUN. Pada PRU 12 itu, BN hanya memenangi 20 kerusi dan yang selebihnya (36 kerusi) dimenangi oleh PR (PKR = 15, DAP = 13, dan PAS = 8). Daripada 20 kerusi yang dimenangi oleh BN, 9 kerusi daripadanya dimenangi dengan majoriti di bawah 700 undi (kerusi yang dimenangi oleh PR dengan majoriti kecil itu ialah 3). Malah, di N29 (Seri Serdang), Wakil Rakyat BN memenanginya dengan majoriti 45 undi!
Yang lebih menakutkan ialah, kerusi DUN yang terletak di bandar-bandar yang dahulunya dimenangi oleh wakil BN dengan majoriti yang besar, telah berubah senarionya. Kesemuanya telah dirampas oleh PR dengan kemenangan yang besar pula. Antara kawasan itu termasuklah Bangi, Balakong, PJ Utara, Kampung Tunku, Damansara Utama, PJ Selatan, Bukit Gasing, Kinrara, Subang, Bukit Lanjan, Rawang, dan lain-lain. Dapatkah BN menerbalikkan keadaan ini?
Ketua Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Dato’ Seri Mohd. Najib dan Timbalannya, Dato’ Noh Omar, berdepan dengan cabaran yang getir untuk merampas Selangor! Menyingkirkan MB Selangor dahulu daripada tugas Ketua Perhubungan UMNO Negeri ialah langkah yang sesuai kerana beliau harus dipertanggungjawabkan dan dipersalahkan atas kekalahan BN di negeri itu dalam PRU 12 dahulu. Rasanya MB Selangor dahulu menerima hakikat itu dengan hati yang terbuka. Setidak-tidaknya beliau masih berstatus Wakil Rakyat dan menjadi Ketua Pembangkang.