Monday, November 29, 2010

Sukan Asia: Pencapaian dan Habuan

Sukan Asia Edisi Ke-16 (2010) tamatlah sudah setelah dua minggu (12 November-27 November 2010) mewarnai dunia Sukan Asia. Negara China yang menjadi tuan rumah sukan ini benar-benar menjadi tuan dan raja. Mereka telah mencatat rekod sebagai negara yang paling banyak memungut pingat emas dalam sejarah Sukan Asia (mungkin juga dalam mana-mana sukan serantau dan dunia). Mereka memungut sebanyak 416 pingat secara keseluruhannya dengan pecahan 199 emas, 119 perak, dan 98 gangsa.

Negara kita yang terus berslogankan “Malaysia Boleh” memungut sebanyak 41 pingat secara keseluruhan dengan pecahan 9 emas, 18 perak, dan 41 gangsa. Dengan pencapaian itu, kita tergolong sebagai antara 10 negara terbaik dalam Sukan Asia kali ini. Dalam kalangan negara Asia Tenggara, kita menjadi negara kedua terbaik selepas Thailand yang memungut 52 pingat secara keseluruhan dengan pecahan 11 emas, 9 perak, dan 32 gangsa.

Atlet-atlet dalam sukan skuasy, karate, boling, basikal, wusyu, dan hoki wajar mendapat pujian kita. Sukan skuasy telah menyumbangkan 3 emas, 1 perak, dan 2 gangsa; karate 2 emas, 2 perak, dan 2 gangsa; boling 2 emas, 1 perak, 1 gangsa, basikal 1 emas dan 1 perak, manakala wusyu 1 emas dan 1 gangsa. Atlet-atlet dalam sukan hoki, walaupun hanya menyumbangkan pingat perak, wajar dipuji kerana telah berjaya menjejakkan kaki ke perlawanan akhir untuk kali pertama dalam sejarah Sukan Asia.

Atlet dalam sukan terjun merupakan atlet yang paling banyak menyumbangkan pingat – 9 pingat semuanya (4 perak, 5 gangsa). Tetapi, yang paling menghampakan kita ialah sukan olahraga yang tidak memberikan apa-apa pingat kepada kontinjen negara. Pencapaian pasukan badminton, walaupun menyumbangkan dua butir pingat perak, agak mengecewakan. Kalah kepada pasukan Thailand dalam acara berpasukan lelaki sangat mendukacitakan. Jelas bahawa kita masih tidak dapat menggantungkan harapan kepada pemain muda seperti Darren Liew, Mak Hee Chun, dan Tan Wee Keong. BAM harus segera membetulkan keadaan.

Pasukan sepak takraw juga masih menghampakan kita walaupun mereka dapat membalas dendam kekalahan mereka kepada pasukan Korea Selatan yang menumpaskan mereka semasa Kejohanan Piala Raja Thai. Kita masih berada di belakang Thailand. Boling wanita tidak menyerlah pada kali ini (mereka hanya memberi kita 1 pingat gangsa melalui acara lima sepasukan).

Walau bagaimanapun, pencapaian 9-18-14=41 itu harus dibanggakan (sama halnya dengan pencapaian 12-10-13=35 dalam Sukan Komanwel yang baru lalu). Yang lebih membanggakan, atlet yang berjaya akan mendapat habuan masing-masing sekembalinya mereka ke tanah air. Pemungut pingat berganda seperti Kenny Ang dan Nicol David lebih seronok. Banyak habuan yang bakal diperoleh mereka!

Yang cacat anggota kerana mempertahankan negara banyak manalah habuan yang diperoleh mereka?

Monday, November 22, 2010

Sukan Asia: Kalau Hendak Mengalahkan Negara China

Semua orang tahu, Negara China kuasa besar dalam bidang sukan. Dalam Sukan Olimpik, selepas KSSR runtuh dan terpecah-pecah, Negara Chinalah yang menjadi pesaing utama kekuasaan AS dalam lapangan ini. Pada Sukan Olimpik ke-29 di Beijing, negara itu mengungguli pungutan pingat dengan mengutip 51 emas, 21 perak, dan 28 gangsa. AS beroleh 36 emas, 38 perak, dan 36 gangsa manakala Rusia mendapat 23 emas, 21 perak, dan 28 gangsa. Pada Sukan Olimpik ke-28 di Greece, Negara China menjadi naib juara di belakang AS dengan pungutan pingat 32-17-14. AS menjadi juara dengan pungutan 35-39-27. Tanpa perlu merujuk kepada edisi-edisi Sukan Olimpik yang lain, Negara China, sejak Sukan Olimpik 1992 di Barcelona, sentiasa berada di empat kedudukan terbaik.

Di manakah kedudukan Negara China pada peringkat Asia, khususnya dalam Sukan Asia yang menjadi sukan kedua terbesar di dunia selepas Sukan Olimpik? Sesungguhnya, kuasa negara yang berpenduduk lebih daripada 1 bilion dalam bidang ini sehingga kini tidak dapat disaingi oleh mana-mana negara di Asia. Pada edisi ke-15 di Doha, Qatar, Negara China memungut 166 emas, 87 perak, dan 63 gangsa. Pada edisi ke-14 di Busan, Korea Selatan, negara itu memungut 150 emas, 84 perak, dan 74 gangsa. Pada edisi ke-13 di Bangkok, Thailand, negara itu memungut 129 emas, 78 perak, dan 62 gangsa. Pada edisi ke-12 di Hiroshima, Jepun, negara itu memungut 125 emas, 83 perak, dan 58 gangsa.

China mula menjadi juara Sukan Asia sejak edisi ke-9 di New Delhi (1982). Sebelum itu, sejak edisi pertama (1951), kuasa dalam Sukan Asia ialah negara Jepun. Kini, negara Jepun berada sama ada pada kedudukan kedua atau ketiga (bersilih ganti dengan Korea Selatan).

Pada edisi ke-16 yang sedang berlangsung di Guangzhou sekarang (setakat 21 November 2010), negara China sedang mendominasi carta kutipan pingat dengan pungutan 146 emas, 71 perak, dan 70 gangsa. Pesaing rapatnya, Korea Selatan, hanya mengutip 71 perak, dan 70 gangsa Malaysia setakat ini hanya beroleh 5 emas, 8 perak, dan 7 gangsa. (Jumlah kutipan pingat Malaysia agak rendah berbanding dengan pencapaian pada edisi ke-15 di Doha yang pada waktu itu memungut 8 emas, 17 perak, dan 17 gangsa.)

Berdasarkan pencapaian Negara China dalam Sukan Asia ini, tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa, selepas edisi ke-10 (1986) di Seoul, Negara China hanya dapat dikalahkan dalam Sukan Asia sekiranya semua negara di Asia bergabung menjadi satu! (Pada edisi ke-10 itu, Negara China hanya mengatasi Korea Selatan dengan kelebihan satu pingat emas (94-82-46) berbanding Korea Selatan (95-33-76).

Kita perlu tabik dengan kesungguhan Negara China untuk menjadi kuasa dalam bidang sukan. Mereka memang pun merupakan kuasa dunia dalam acara akuatik (renang dan terjun), gimnastik, pingpong, badminton, dan lain-lain. Sudah sampai masanya Malaysia berusaha untuk melahirkan atlet berkuasa “Badang” dalam semua acara selain menyertai semua acara yang dipertandingkan jika hendak memperoleh pungutan pingat yang baik dalam sukan itu (kita tidak ikut serta dalam acara bola baling, polo air, gusti, soft tennis, dan sebagainya). Caranya, peneraju badan sukan hendaklah kurang berpolitik dan jangan berebut kuasa.

Friday, November 12, 2010

Jangan Runtuh-Meruntuhkan Kalau Hendak Terus Berkuasa

Khabarnya, YAB Menteri Besar Selangor telah menegah pembinaan rumah ibadat bukan Islam di kawasan-kawasan perumahan. Tegahan itu diambil berdasarkan kejadian yang berlaku tahun lalu. Tahun lalu, satu protes telah dibuat oleh penduduk Shah Alam berikutan rancangan untuk membina sebuah kuil Hindu di kawasan perumahan Seksyen 23 dahulu. Dalam erti kata yang lain, kerana tidak mahu perkara seperti itu berulang lagilah, maka YAB Menteri Besar mengenakan larangan itu.

Kerana larangan itu, seorang kepala parti politik telah mengingatkan YAB Menteri Besar. Beliau berkata, “Saya ingin mengingatkan beliau bahawa partinya menang di Selangor pada Pilihan Raya Umum 2008 kerana tindakan kerajaan negeri ketika itu, pimpinan BN, merobohkan sebuah kuil Hindu di Kampung Padang Jawa dekat Shah Alam pada Oktober 2007...”.

Hebat, benar-benar hebat! Alasan yang diberikan oleh kepala politik itu terhadap kekalahan BN dalam PRU2008 dahulu sangat hebat. Suka hati kaulah, Labu!!!

Senanglah kerja BN untuk tumbangkan PR di Selangor. Pakat dengan mana-mana pengurusan kuil untuk robohkan kuil mereka, kemudian buruk-burukkan PR. Yalah, kalau ikut formula kepala parti itu, sebiji kuil runtuh, mana-mana parti pemerintah akan tumbang.

Fuh, agak-agaklah sikit, Labu! BN kalah di Selangor bukan itu sahaja sebabnya.

Dia kalah di kawasan dia kerana apa agaknya?

Thursday, November 11, 2010

Mewaspadai Kemarahan Alam Sebagai Peringatan Allah

Gunung Merapi meletus dan mengeluarkan debu panas. Letusan pada kali ini adalah yang terbesar dalam tempoh 100 tahun. Rakyat tempat gunung itu berdiri, khususnya yang berada di sekitarnya, ada yang tewas – lebih 150 orang mati kerana pelbagai sebab (sesak nafas, tubuh terbakar, dsb). Sekitar 320,000 penduduk tempatan yang tinggal di radius 20 km dari gunung itu terpaksa menghuni khemah di kawasan lain yang lebih selamat. Letusan itu ikut mengusir rakyat kita yang berada di sekitar gunung itu – dengan pelbagai tujuan (khususnya belajar) – ke Malaysia.

Mereka, rakyat kita itu yang berjumlah hampir 500 orang (401 sudah pulang, 42 pergi ke Jakarta, dan 38 lagi terus di Jogjakarta) adalah antara segelintir rakyat kita (yang berjumlah sekitar 27 juta orang itu) yang melalui pengalaman berdepan dengan letusan gunung berapi. Menggarap pengalaman sebegitu, secara positif, sangat banyak gunanya, khususnya untuk kembali dan terus dekat kepada Allah SWT.

Ironinya, di negara kita yang kononnya bebas gegaran gempa dan ancaman gunung berapi ini, kita masih memicingkan sebelah mata terhadap “amaran” Allah itu. Sehingga demikian, ada orang Islam yang ber“halloween”, ber“Mari Menari”, ber“Muzik-Muzik”, selain berkhalwat di hotel bajet, membuang baka di longkang, menjadi hamba methamphetamine, heroin, dan lain-lain. Kita tahu, semua perbuatan itu mengundang kemurkaan Allah. Kalau letusan Gunung Merapi itu dijadikan sebagai salah satu “amaran” Allah, seharusnya kita berasa insaf dan takut, tetapi tampaknya “amaran” itu langsung tidak menggegerkan hati mereka.

Mereka tidak sedar dan tidak mahu ambil tahu bahawa pada waktu Gunung Merapi mengaktifkan “amarannya” pada 26 Oktober lalu, beberapa gunung lain ikut aktif – Gunung Berapi Klyuchevskoy di Kamchatka, Rusia meletus pada 22-25 Oktober dan 27 Oktober 2010. Gunung itu turut mengeluarkan debu vulkanik yang mencapai ketinggian 26,200 hingga 29,500 kaki.

Gunung Berapi Sheveluch, juga di Kamchatka, Rusia turut meletus. Pada 28 Oktober 2010, gunung ini mengeluarkan debu vulkanik yang mencapai ketinggian 23,000 kaki dan tersebar hingga radius 2,500 km di sebelah timur gunung. Lapangan terbang dan jalan dari Ust-Kamchatsk ke Kluchi telah ditutup.

Gunung Berapi Piton de la Fournaise, di Perancis juga memperlihatkan keaktifannya. Pada 27 Oktober 2010, aktiviti seismik meningkat dan gempa tektonik berlaku beberapa kali. Letusan turut berlaku pada hari tersebut di sisi gunung bahagian tenggara.

Gunung Berapi Grimsvotn, di Iceland turut menghasilkan beberapa siri gempa vulkanik sejak 31 Oktober 2010. Banjir yang terjadi sebagai akibat pencairan ais yang melitupi gunung juga meningkat. Sekitar 130 meter kubik air yang mengalir pada setiap saat telah membanjiri wilayah sekitar gunung.

Gunung Anak Krakatau, di Indonesia turut meningkatkan keaktifannya. Aktiviti gempa vulkanik meningkat daripada 20 kali sehari kepada35 kali sehari pada hari Jumaat, 29 Oktober 2010. Debu vulkanik juga terpancut lebih tinggi, hingga 1 kilometer.

Semua kejadian itu seperti ada kait-mengait dan ikut-mengikut. Yang jauh di Eropah tidaklah barangkali menakutkan kita di Malaysia. Yang dekat ini bagaimana? Untuk pengetahuan, penguasa di Indonesia telah menyenaraikan lapan gunung berapinya yang berpotensi untuk meletus. Mereka meletakkan aktiviti gunung itu pada tahap Waspada Siap Meletus. Gunung-gunung itu ialah Gunung Sinabung (di Karo, Sumatera Utara), Gunung Talang (di Solok, Sumatera Barat), Gunung Anak Krakatau (di Lampung, Selat Sunda), Gunung Papandayan (di Garut, Jawa Barat), Gunung Slamet (di Tegal, Jawa Tengah), Gunung Dieng (di Wonosobo, Jawa Tengah), Gunung Semeru (di Lumajang, Jawa Timur), dan Gunung Bromo (di Probolinggo, Jawa Timur).

Tahu di mana Sumatera Utara dan Sumatera Barat? Sangat dekat dengan kita!

Tulisan ini bukan hendak menyeru pembaca supaya takut. Tulisan ini menyeru pembaca supaya menyedari amaran Allah, kemudian kembali mendekati-Nya dan bersatu dengan-Nya. Dengan kata yang lebih mudah, tulisan ini menyeru pembaca bertaubat! Jangan tinggalkan kehidupan dunia (yang baik), tetapi lebihkanlah amalan untuk akhirat!

Tuesday, November 9, 2010

Ada Sedikit Rasa Pelik tentang Dato’ Zaid

Rasanya macam pelik pula apabila mendengar tokoh yang kononnya “berprinsip” hingga sanggup letak jawatan Menteri dan melambung ke dalam PKR – Dato’ Zaid Ibrahim – menyarankan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR, angkat kaki dari PKR.

Yang menyebabkan pelik itu datang dalam rasa kita (mungkin saya sahaja) ialah dia dahulu, kalau tidak salah, dibawa masuk ke dalam PKR oleh Datuk Seri Anwar sendiri. Dia diberi jawatan besar-besar juga dalam parti. Kemudian, beliau diberi peluang bertanding dalam PRK Hulu Selangor. Banyaklah yang diperolehnya berbanding dengan orang yang lebih lama berjuang dalam PKR berbanding dengannya yang baru masuk PKR pada Jun 2009.

Jadi, apabila dia menyuruh ketua yang membawanya masuk angkat kaki dari parti itu, terus terbetik dalam hati: “Biar betul dia ni!”

Perbuatan Dato’ Zaid itu lebih kurang sama dengan cerita orang dagang yang dibenarkan duduk di beranda oleh tuan rumah. Kemudian, dia dipersilakan masuk ke dalam rumah, lalu diberi makan oleh tuan rumah. Setelah dijamu dengan makanan yang enak-enak, hanya kerana tidak diberi sirih sebagai pencuci mulut, dia keluar rumah sambil memaki dan menghamun tuan rumah. Kemudian, dia mencabar tuan rumah supaya turun ke laman, bertarung dengannya.

Susah juga. Seharusnya, sebagai pejuang, dia perlu tahan dan sabar. Dia perlu mengikut gerak dan nafas parti bukan parti yang mengikut gerak dan nafasnya. Dia perlu melondehkan sedikit rasa kesempurnaannya supaya dapat menggarap kekurangan dengan pandangan yang positif. Tidak ada parti dalam negara ini, malah di dunia sekali pun, yang sempurna. Al-Quran yang sempurna itu pun tidak disempurnakan orang sampai ada yang menolak hudud.

Tuesday, November 2, 2010

Tahniah Semua, Demi Pencapaian Sekali Lagi Rakyat Didahulukan

Saya pengguna tetap petrol RON97. Hari ini, petrol itu dinaikkan harga runcitnya – daripada RM2.10 seliter kepada RM2.15 seliter.

Berapakah kadar kenaikannya itu? Hm, RM2.15 tolak RM2.10. Oh, tidak banyak, lima sen seliter sahaja kadarnya! Apalah sangat lima sen tu!!!!

Tampaknya kenalah saya beralih kepada RON95 yang murah sedikit tetapi mengasarkan bunyi enjin kenderaan saya. Kasar sikit sahaja, apalah sangat.

Lagipun, apakah lagi pilihan yang kita ada di negara yang mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian ini? Terima dan telan sahajalah.

Patutlah kadar tol tidak akan dinaikkan untuk tempoh lima tahun akan datang. Rupa-rupanya hendak menumpukan perhatian kepada kenaikan harga petrol!

Kalau tidak mahu rugi lima sen, kita gunakanlah pengangkutan awam yang “memang terkenal efisien” di negara kita ini. Cuma kadang-kadang kita rasa takut sedikit.

Yalah, ada pemandu kenderaan awam ini yang tidak berlesen dan memandu dengan sebelah tangan sahaja. Itulah yang bahayanya. Yang lain okey!!!

Ataupun kita belilah kereta yang berteknologi hibrid. Kereta itu menjimatkan penggunaan petrol. Cukainya pun baru sahaja diturunkan.

Sudah ada pengeluar yang menurunkan harga jualannya pun. Selepas diturunkan harganya, harga jualannya sekitar RM100,000 sahaja. RM100,000 mahal sangat ke?

Murahlah kalau dibandingkan dengan kereta yang berharga RM400,000. Rakyat marhaen bukankah sudah banyak yang kaya?

Awas, lain kali kalau ada pemimpin yang kurang sihat, kita mesti bersiap siaga. Kalau tidak gunung berapi meletus di Indonesia, mungkin ada harga barang yang akan naik.

Monday, November 1, 2010

Tahniah Kelantan! Menang Juga Akhirnya

Saya sudah tidak begitu taasub terhadap bola sepak peringkat negeri dan negara, hatta peringkat kelab dunia dan peringkat negara-negara dunia. Walau bagaimanapun, saya senantiasa mengikuti perkembangannya.

Pasukan bola sepak Piala Malaysia Selangor yang saya sanjung-sanjung dahulu menang atau kalah, saya sudah kurang endah. Manchester United yang saya minat hampir “seluruh jiwa” itu menang atau bungkus, tidak saya peduli.

Saya tidak mahu menyusahkan diri, menyenakkan hati, menyendatkan otak. Kita sokong mereka, apabila mereka kalah, kita kecewa. Darah kadangkala ikut menggelegak. Melihat ketumpulan Wayne Rooney, sakit hati kita, melihat kelunturan skil Ryan Giggs, berang seketika.

Ah, saya fikir saya seperti orang bodoh kerana berperasaan begitu! Saya menonton perlawanan bola sepak kerana hendak mendapat sedikit keseronokan, sedikit hiburan. Lantaklah bagaimana mereka bermain! Yang saya susah hati, mengapa, kata hati saya.

Jadi, sekarang saya menonton sahaja. Engkau hendak bergasak dengan sesiapa pun Selangor atau MU, aku akan tengok. Aku tidak akan sokong walaupun aku suka. Engkau kalah, nasib engkaulah; engkau menang baguslah.

Tentang Piala Malaysia, tahun lepas saya hendak Negeri Sembilan menang walaupun saya tidak sokong. Punca saya hendak Negeri Sembilan menang bukan kerana saya benci akan Kelantan, bukan juga kerana isteri saya orang Negeri Sembilan.

Punca utamanya ialah negeri itu pada tahun lalu baru dapat raja yang baru ditabalkan. Saya tidak tahu mengapa saya suka sosok raja itu sejak pertama kali saya melihatnya lewat media semasa kemangkatan Tuanku Jaafar dahulu.

Jadi, kerana dapat raja itu dan kebetulan baginda berkenan untuk mencemar duli bagi menonton perlawanan itu, saya hendak Negeri Sembilan menang (semuanya sudah dirancang Allah SWT pun). Ternyata Negeri Sembilan menjadi juara.

Tahun ini, ada saya nyatakan pendirian saya lewat siaran 27 Oktober 2010 lalu bahawa Kelantan akan menang kerana negeri itu baru mendapat Tuanku Sultan yang baharu. Saya sendiri tidak tahu mengapa saya suka akan sultan itu.

Saya menyatakan hal ini kepada kebanyakan kawan saya, termasuk kepada Ustaz saya, sama ada yang Kelantanese ataupun yang bukan Kelantanese. Ada yang ambil perhatian, ada yang tidak peduli pun.

Ternyata bahawa analisis mudah saya bahawa pasukan negeri yang dapat raja baharu akan menang dalam perlawanan akhir Piala Malaysia betul (ingat, kebetulan sahaja kerana semuanya telah ditetapkan Allah SWT!). Tahniah Kelantan!

Tahun depan, mana-mana negeri yang hendak menjadi juara Piala Malaysia, kena mendapat sultan atau raja baharu lebih dahulu. Mungkin Pulau Pinang dan Melaka! Eh, ye ke!

Betulnya analisis saya itu kebetulan sahaja. Hakikatnya, saya berharap agar raja-raja yang ada terus kekal memerintah, dengan keadilan dan kesaksamaan yang berlandaskan garis panduan yang ditetapkan Islam, dan lebih Islamik daripada rakyat baginda. Amin!