Thursday, July 28, 2011

Lima Hari Sebelum Ramadan: Al-Fatihah untuk Amelia Kassim

Kita belum pasti sama ada kita akan menjadi ahli syurga ataupun ahli neraka tetapi kita PASTI akan menjadi ahli kubur kerana kehidupan kita PASTI akan berakhir dengan kematian.
(Oleh hal yang demikian, untuk mengelakkan kita berasa angkuh terhadap kehidupan yang bersifat sementara ini, eloklah kita mengingati kematian.)
Semalam, orang yang dekat dengan saya (melalui perkahwinannya dengan bapa saudara saya, Profesor Datuk Dr. Haji Muhd Mansur Abdullah) dan dekat juga dengan sebahagian insan dalam dunia penulisan dan penerbitan, pergi meninggalkan kita untuk selama-lamanya. Insan itu ialah Datin Hajjah Amelia Kassim, mantan ketua editor majalah Kuntum selama 13 tahun (bersara pada 2009) serta editor di beberapa buah syarikat lain sebelumnya.
Beliau meninggal dunia di hadapan suaminya kira-kira jam 1:00 tengah hari semalam di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan. Kematian mengejut beliau (dikaitkan dengan serangan strok) sudah pastilah mengejutkan rakan taulan yang mengenali beliau.
Tiada lain yang dapat kita lakukan apabila Allah SWT melaksanakan janjinya untuk menjemput beliau menghadap-Nya selain berdoa agar almarhumah ibu saudara saya itu berbahagia di alam kubur, dihimpunkan di Padang Mahsyar bersama-sama dengan orang-orang yang beriman, serta ditempatkan di dalam syurga bersama-sama dengan orang-orang yang beriman.
Kepada bapa saudara saya yang kehilangan isteri untuk kali kedua dan masih berduka hingga saat ini, kita doakan beliau terus tabah terhadap ujian ini.
Al-Fatihah untuk roh almarhumah ibu saudara saya itu.

Saturday, July 23, 2011

“Syair Pemberontakan Patani” dalam KOMSAS

[Entri ini khusus ditulis untuk perhatian guru-guru Bahasa Malaysia dan pelajar-pelajar Tingkatan 5 serta para editor dan penulis.]

Syair Pemberontakan Pataniialah salah satu puisi tradisional yang terkandung dalam antologi KOMSAS Dirgahayu Bahasaku Tingkatan Lima. Syair selenggaraan Mohd. Yusof Md. Nor dan Abd. Rahman Kaeh ini merupakan syair sejarah yang menarik untuk dihayati.

Isi syair ini berkisar tentang perintah betara (raja/sultan) kepada Laksamana. Laksamana dititahkan oleh baginda supaya pergi menghadap Raja Senggora bagi mengetahui hukuman daripada raja itu ke atas negeri mereka. Titah perintah itu menimbulkan rasa serba salah di pihak Laksamana kerana pada masa yang sama ibu saudaranya sedang sakit tenat. Laksamana berasa berat hati/serba salah untuk meninggalkan ibu saudaranya dalam keadaan yang demikian. Namun demikian, apabila beliau menyedari keselamatan rakyat dan negara lebih penting daripada emosi dan sentimennya, beliau akur akan perintah itu.

Saya membaca beberapa ulasan tentang syair ini. Banyak ulasan yang menyimpang daripada isi/maksud syair yang sebenarnya, khususnya maksud untuk rangkap pertama dan kedua. Perhatikanlah rangkap-rangkap yang dimaksudkan itu:

Rangkap pertama:

Laksamana dititahkan Betara,

Ke negeri Patani berjalan segera,

Mendapat cogan Raja Senggora,

Akan menerima hukum dan dera.

Rangkap kedua:

Barang yang hendak dihukumkan,

Sekalian tidak boleh disalahkan,

Kesalahan pinta dimaafkan,

Pegawai yang dipegang itu dipohonkan.

Pelbagai maksud diberikan oleh para penulis/pengulas untuk rangkap pertama itu, antaranya termasuklah:

1 *Laksamana diperintahkan oleh betara supaya pergi ke Patani dengan segera untuk menentang pemberontakan Raja Senggora yang akan dihukum jika tertangkap;

2 *Betara menitahkan Laksamana ke Patani kerana di sana Raja Senggora akan dihukum;

3 *Betara menitahkan Laksamana untuk pergi ke Patani untuk mendapatkan tombak kerajaan Siam bagi menjalankan hukuman;

4 *Laksamana telah dititahkan oleh betara ke negeri Patani dengan segera untuk pergi mendapatkan panji-panji atau perintah daripada Raja Senggora tentang peraturan dan hukuman;

5 *Betara menitahkan Laksamana ke negeri Patani untuk mendapatkan cogan raja Senggora bagi menerima hukuman; dan sebagainya.

Untuk rangkap kedua juga, penulis/pengulas memberikan maksud yang pelbagai, misalnya:

1 *Perkara yang hendak dihukum bukanlah semua. Yang bersalah pula wajar diampunkan. Hanya orang yang menjalankan tugas dan yang ditangkap itu sahaja yang diperlukan;

2 *Hukuman terhadap yang bersalah itu kekal walaupun ada permohonan maaf;

3 *Hukuman dikenakan berdasarkan kesalahan dan sesiapa pun tidak boleh mempertikaikannya. Orang yang bersalah tetap akan dihukum walaupun telah memohon maaf;

4 *Mereka yang dikenakan hukuman harus menerimanya. Mereka boleh memohon agar diberikan pengampunan daripada pegawai yang berkenaan;

5 *Orang yang akan dihukum itu tidak boleh disalahkan. Orang itu meminta dimaafkan kesalahannya daripada pegawai yang dipegang; dan sebagainya.

Demikianlah pelbagai penyimpangan maksud yang dihuraikan oleh para pengulas dan penulis untuk rangkap pertama dan rangkap kedua syair itu. Penyimpangan itu sudah tentulah mengelirukan pelajar. Kalau kelak pelajar yang menjadikan buku-buku yang berkenaan sebagai rujukan dan pegangan mereka, dan kemudiannya dalam peperiksaan diminta untuk menyatakan maksud bagi rangkap-rangkap itu, tentulah pelajar yang berbeza akan memberikan jawaban yang berbeza.

Yang sebenarnya, maksud rangkap pertama syair itu ialah:

Laksamana telah diperintahkan oleh betara supaya segera pergi ke negeri Patani untuk menghadap Raja Senggora yang mulia bagi mengetahui bentuk hukuman yang bakal dijatuhkan kepada mereka.

Kata betara dalam rangkap itu bukan nama tokoh yang memerintah itu, tetapi ganti nama untuk raja/sultan. Kata betara itu digunakan dalam syair itu untuk menyedapkan rima hujung supaya berakhir dengan ra kesemuanya (syair ini sangat menitikberatkan persamaan bunyi suku kata akhir pada rima akhirnya). Kita dapat mengetahui bahawa betara itu raja/sultan dengan adanya perkataan dititahkan. Kata cogan pula bukan bermaksud “tombak” atau sebagainya, tetapi sebagai simbol kebesaran dan kemuliaan Raja Senggora sahaja.

Rangkap kedua syair itu pula bermaksud:

Apa-apa sahaja hukuman yang dikenakan/dijatuhkan (oleh Raja Senggora) jangan dibantah/dibangkang tetapi mohonlah kemaafan daripadanya manakala pegawai yang ditahan/ditangkapnya minta dibebaskan.

Dalam rangkap kedua ini, banyak penulis/pengulas yang kabur akan maksud ungkapan Pegawai yang dipegang itu dipohonkan. Sebenarnya, perkataan dipegang dalam ungkapan itu bermaksud “ditahan”/“ditangkap” manakala perkataan dipohonkan bermaksud “minta dibebaskan”. Oleh itu, maksud yang diberikan pada Contoh 1-5 itu tidak berkaitan langsung dengan maksud rangkap ini yang sebenarnya.

Tidak kurang juga penulis/pengulas yang tersasar dalam memberikan maksud untuk rangkap kelima dan keenam syair ini.

Perhatikanlah contoh maksud untuk rangkap kelima yang diberikan oleh sebilangan daripada mereka:

1 *Bencana yang bakal menimpa itu akan menyebabkan kemudaratan kepada negeri. Oleh itu Betara menitahkan agar dijatuhi hukuman bunuh;

2 *Masalah yang bakal menimpa akan mendatangkan kemudaratan kepada negeri. Raja menitahkan agar dijatuhi hukuman bunuh;

Rangkap keenam pula ada yang mentakrifkannya seperti yang berikut:

1 *Sang Nata terkejut mendengar arahan tersebut, tetapi tidak dapat berkata apa-apa. Dia pun membuat keputusan dan berserah kepada Allah semata-mata.

Rangkap kelima dan keenam syair itu adalah seperti yang berikut ini.

Daripada kerja terlalu berat,

Ke atas negeri hendak mudarat,

Jadilah dititahkan duli hadirat,

Bimbang dan masyghul disuruh kerat.


Tiadalah lagi terkata-kata
,

Sudah dengan titah Sang Nata,

Diputuslah hati yang bercinta,

Kepada Allah diserah semata.

Penyimpangan maksud untuk rangkap kelima, saya yakin, berpunca daripada kekeliruan penulis/pengulas dalam memahami maksud ungkapan Bimbang dan masyghul disuruh kerat. Sebenarnya, ungkapan itu langsung tidak melibatkan hukumam bunuh sebaliknya merupakan permintaan raja/sultan supaya Laksamana melupakan/ membuang/mengetepikan perasaan bimbang dan sedihnya (kata kerat pada baris itu bukan berkait dengan “hukuman bunuh”, tetapi bermaksud “lupakan”/“buangkan”/“singkirkan”/“nyahkan”). Maksud keseluruhan rangkap kelima itu ialah:

Oleh sebab masalah yang dihadapi sangat berat kerana dapat mendatangkan mudarat/kecelakaan kepada negara, maka baginda menitahkan Laksamana supaya melupakan/membuang/ mengesampingkan perasaan bimbang dan sedihnya itu.

Untuk rangkap keenam pula, penulis/pengulas terkeliru dengan adanya nama Sang Nata. Sesungguhnya, sang nata pada rangkap itu bukan orang lain melainkan raja/sultan yang sama yang sebelum ini memakai ganti nama betara. Yang lebih tepat ialah sang nata pada rangkap itu bermaksud “baginda” (rujuk kepada Kamus Dewan Edisi Keempat, hlm 1072, di bawah entri nata). Sekali lagi, kata baginda tidak digunakan pada rangkap itu kerana pensyair hendak mewujudkan keseragaman rima akhir rangkap itu yang bersuku kata ta.

Maksud rangkap keenam yang sebenarnya ialah:

Laksamana tidak dapat berkata apa-apa lagi apabila mendengar titah baginda. Dia mengesampingkan kesedihannya itu dan menyerahkan segala-galanya kepada Allah semata-mata.

Saya berharap agar penjelasan ini dapat memberikan manfaat kepada pelajar dan guru.

Thursday, July 21, 2011

Cerpen “Idola” karya Zaen Kasturi dalam KOMSAS

[Entri ini khusus ditulis untuk perhatian guru-guru Bahasa Malaysia dan pelajar-pelajar Tingkatan 5 serta para editor dan penulis.]

Salah sebuah cerpen yang perlu dibaca, dihayati, didalami, dan seterusnya difahami oleh para pelajar Tingkatan 5 dalam Komponen Sastera dalam mata pelajaran Bahasa Melayu ialah cerpen “Idola” hasil karya Sdr Zaen Kasturi. Cerpen ini hanya mengetengahkan dua buah latar tempat, iaitu panggung dan sebuah rumah di kawasan setinggan dan tiga orang watak yang masing-masing dinamakan oleh pengarangnya sebagai Penjaga Panggung, Hero, dan isteri Penjaga Panggung.

Cerpen ini memerihalkan diri Penjaga Panggung yang mengangkat Hero sebagai idolanya. Pengangkatan Hero sebagai idola oleh Penjaga Panggung bukanlah didorong oleh sebab lain melainkan atas sebab keghairahan dan angan-angan si Penjaga Panggung untuk menjadi hero pentas seperti Hero. Dia berangan-angan untuk menjadi hero dalam pementasan sandiwara di panggung yang dijaganya pada suatu hari nanti.

Cerpen ini asalnya terbit dalam majalah Pelita Bahasa pada Jun 1996. Pada tahun yang sama, saya telah menangani cerpen ini untuk dimuatkan dalam antologi cerpen mini persendirian (daripada 30 antologi cerpen persendirian pengarang lain) dengan menjadikan “Idola” sebagai judul antologi mini persendirian Zaen Kasturi itu.

Sekarang, cerpen “Idola” itu dimuatkan dalam antologi teks KOMSAS Dirgahayu Bahasaku Tingkatan 5. Apabila menjadi teks bacaan, maka banyaklah ulasan berkaitan cerpen itu, sama ada dalam bentuk buku ulasan KOMSAS ataupun sebagai sisipan dalam buku kerja dan buku rujukan Bahasa Malaysia, diterbitkan oleh pelbagai penerbit. Selalunya, ulasan daripada buku-buku inilah yang menjadi rujukan pelajar dan guru. Yang berbahaya daripada pergantungan seperti itu ialah kalau ulasan yang diberikan oleh pengarang kurang tepat atau memang salah.

Tentang cerpen “Idola” ini, ada penulis buku ulasan yang telah tersilap membuat ulasan. Dalam sebuah buku ulasan yang saya rujuk (yang diterbitkan oleh sebuah penerbit ternama), latar dan watak yang berkaitan dengan panggung itu telah digambarkan oleh penulisnya sebagai panggung bangsawan walhal hakikatnya tidak begitu.

Memanglah pada halaman 147 antologi Dirgahayu Bahasaku itu pengarang ada mengungkapkan:

... cerita yang mengisahkan perjalanan si hero ke istana impian lalu bertarung dengan dugaan demi dugaan, dan segala yang berantakan itu dapat dipatahkan...

Pengarang juga ada menyebut perkataan sandiwara pada halaman 149, misalnya:

... (memang saban petang para pelakon menjalankan latihan kerana sebelah malamnya harus menjayakan sandiwara).

Memang saya hero dalam sandiwara ini, tetapi hero bikinan orang...”.

Walau bagaimanapun, kedua-duanya langsung tidak dapat dikaitkan dengan bangsawan kerana persembahan/pementasan teater juga boleh menjadikan kisah perjalanan si hero ke istana impian lalu bertarung dengan dugaan demi dugaan... sebagai ceritanya. “Sandiwara” pula bukan dikhususkan kepada persembahan bangsawan kerana “sandiwara” ialah “pertunjukan cerita yang dilakonkan oleh orang”/“pementasan cerita”.

Hal ini bermaksud bahawa “sandiwara” boleh jadi teater, drama, atau bangsawan itu sendiri. Yang pasti ialah, Sdr Zaen Kasturi langsung tidak merujukkan panggung dalam cerpen itu sebagai panggung bangsawan, panggung teater, atau panggung drama. Jadi, bagaimanakah para pengulas cerpen itu boleh menjadikan panggung bangsawan sebagai latar dan Penjaga Panggung Bangsawan dan Hero Bangsawan sebagai watak?

Oleh sebab “sandiwara” yang disebut oleh pengarang dalam cerpen ini, maka lebih betul kalau pelajar dan guru menyebut bahawa latar cerita berlaku di dalam panggung sandiwara dan digerakkan oleh watak-watak Penjaga Panggung Sandiwara dan Hero Sandiwara. Atau pelajar dan guru boleh menyatakan latar dalam cerita itu berlaku di dalam panggung sahaja dan watak yang menggerakkan ceritanya ialah Penjaga Panggung dan Hero sahaja.

Baru-baru ini saya berbual dengan Sdr Zaen sendiri dan bertanya kepada beliau tentang hal ini. Sama seperti waktu saya “mengerjakan” cerpennya itu pada tahun 1996 dahulu, beliau sekali menegaskan bahawa panggung dalam cerpennya itu bukan panggung bangsawan! Panggung dalam cerpennya itu, kata beliau, ialah panggung teater yang kecil!

Walaupun pengarangnya berkata demikian, untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran (sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan), lebih tepat dan wajar kalau guru dan pelajar merujukkannya sebagai panggung sahaja atau panggung sandiwara. Hal ini dikatakan demikian kerana, seperti yang saya tegaskan, pengarang langsung tidak menyelitkan perkataan teater, drama, dan bangsawan dalam cerpen itu.

Tuesday, July 19, 2011

Bersih, A. Samad Said, dan Kebenciannya yang Melampau

Dalam kalangan Sasterawan Negara, dua orang tokoh yang sering dibicarakan oleh orang kerana sikap dan perilaku mereka ialah Dato’ Shahnon Ahmad dan Datuk A. Samad Said. Nama Dato’ Abdulah Hussain juga menjadi sorotan orang (kerana novel Interlok), tetapi tidak sehebat kedua-dua Sasterawan Negara itu.

Dato’ Shahnon menjadi begitu kontroversi apabila novelnya yang berjudul Shit diterbitkan pada tahun 1999. Novel satira yang disasarkan kepada mantan PM itu khabarnya tercetak lebih daripada 100,000 naskhah. Kerana novel itu, ada orang yang kurang cerdik meminta gelar Sasterawan Negara dilucutkan daripadanya.

Berbanding dengan Dato’ Shahnon, rasa saya, Datuk A. Samad Said lebih kerap mendapat perhatian dan sorotan orang, sama ada orang itu daripada kalangan penggiat sastera sendiri mahupun orang awam. Sorotan yang dihalakan kepadanya itu pula bukan kerana karyanya tetapi kerana tindakannya yang berprinsip.

Pada tahun 1990, diri beliau disorot dan disebut-sebut orang kerana tindakannya melancarkan Mogok Seni. Sepuluh tahun berselang, beliau melancarkan Mogok Sastera pula. Pada tahun 2009, beliau terlibat dalam perhimpunan anti-PPSMI yang “disambut” oleh pihak berkuasa dengan gas pemedih mata.

Dan yang terkini, dirinya disorot oleh pelbagai pihak kerana menggabungkan dirinya dengan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) bagi menuntut pilihan raya yang benar-benar bersih dan telus. Kemudian, kerana “Unggun Bersih” beliau dipanggil oleh penguatkuasa diraja untuk “menjelaskan duduk perkara yang sebenarnya” .

Bukan sedikit orang yang kurang senang, justeru mencela, menyelar, dan mempertikaikan pelibatan beliau dalam Bersih itu. Sebagai Sasterawan Negara, Datuk A. Samad tidak harus mencemari gelar itu dengan perlakuan yang antikerajaan, begitu antara lain mereka berkata.

Antara orang yang berkata itu termasuklah sasterawan sendiri (termasuk Sasterawan Negara). Persoalannya ialah, adakah keterlibatan Datuk A. Samad itu atas kapasitinya sebagai Sasterawan Negara atau sebagai insan yang bernama A. Samad Said? Adakah kerana beliau Sasterawan Negara, maka beliau tidak boleh menzahirkan prinsipnya?

Soal pihak pemerintah telah berjasa kepadanya kerana menganugerahi beliau gelar Sasterawan Negara tidak timbul langsung! Siapakah yang berjasa sebenarnya? Pemerintah atau Datuk A. Samad Said? Bukankah anugerah itu diberikan kepadanya sebagai menghargai dan mengiktiraf jasa beliau kepada masyarakat?

Samalah seperti darjah-darjah kebesaran yang diberikan kepada para Tun (Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Haji Abdul Razak, dan lain-lain) – mereka dianugerahi darjah itu kerana jasa mereka. Dalam erti kata yang lain, yang berjasa ialah tokoh-tokoh itu, pihak yang memberikan anugerah itu hanyalah pihak yang mengiktiktiraf jasa mereka.

Jasa dan bakti ibarat mutiara – tidak memerlukan pengiktirafan nasional kerana di perlimbahan sekalipun sinarnya tetap mencerlang.

Mogok Seni Datuk A. Samad telah berjaya mengubah pandangan dan persepsi orang terhadap penulis dan seniman. Penentangan beliau dan para pendukung lain terhadap PPSMI pun menampakkan hasilnya. Kita tidak tahu lagi apakah hasil daripada keterlibatan beliau dalam Bersih ini.

Kalau tidak berjaya sekalipun, beliau harus kita puji kerana beliau merupakan insan yang paling berjaya memperlihatkan ketekalan prinsipnya.

Monday, July 18, 2011

Pengalaman Memang Guru yang Paling Efisien

Saya sangat kecewa kerana saya gagal. Saya gagal melaksanakan tanggungjawab saya dengan jayanya. Semuanya berpunca daripada masalah yang wujud dalam diri saya sejak dahulu kegelabahan saya atau yang lebih tepat darah gemuruh saya. Saya gagal mengawal dan melawan darah gemuruh saya hingga saya gagal melaksanakan tanggungjawab saya dengan jayanya.

Saya dipertanggungjawabkan oleh guru saya untuk memimpin solat sunat hifzi kepada kira-kira 30 orang makmum (teman-teman seperguruan). Semasa dicalonkan oleh guru saya sebagai salah seorang imam untuk solat itu, saya sebenarnya telah menolaknya secara berkias kerana saya yakin bahawa darah gemuruh saya akan menyebabkan saya menjadi gelabah lalu saya tidak akan dapat membaca ayat hafazan saya dengan lancar. Saya sangat yakin tentang hal itu.

Tetapi, apabila teringat akan pesanan rakan bahawa cabaran perlu ditempuh bukan dielak, dan guru saya memang sangat menaruh harapan kepada saya sejak saya mula berguru dengannya, maka saya menerima tanggungjawab ituitu pun dengan rasa waswas.

Hari yang dinanti-nantikan itu pun tiba. Saya menguji hafazan saya di dalam dan di luar solat, alhamdulillah saya dapat membacanya dengan elok, khususnya alif lam mim tanzil. Keyakinan saya pun meningkat sedikit.

Namun, apabila detik yang sebenarnya muncul, seperti yang kerap saya alami, darah gemuruh itu menguasai setiap denyut dan urat nadi ini. Rasa seram sejuk sudah saya rasai semasa imam pertama menunaikan tanggungjawabnya. Apabila imam pertama menyudahi dua rakaat pertama dengan doa solat hifzi itu, saya benar-benar sudah kalah! Saya sudah berura-ura untuk menyerahkan tanggungjawab itu kepada teman lain.

Kerana cabaran perlu ditempuh bukan dielak dan harapan menggunung guru saya, maka saya melangkah ke depan dengan langkah yang pada kaca mata para makmum sangat meyakinkan walhal di dalam hati, geloranya melebihi penangan tsunami.

Takbir diangkat, ayat-ayat Al-Fatihah dilafazkan (dalam getaran). Alif lam mim tanzil pun dibaca dan bermulalah cabaran untuk melawan darah gemuruh! Tanzil itu sendiri sudah kurang saya yakini hingga mengulangnya tiga kali. Apa dah jadi? Ayat-ayat itu yang sebelumnya lancar meniti bibir dengan taranum yang disukai mula tersekat-sekat. Mulut terasa sangat kering!

Memang kedua-dua surah (Alim lam mim tanzil/As-Sajdah dan Tabarak/Al-Mulk dapat saya habiskan, tetapi dengan bantuan guru dan teman sepengajian. Itulah kekecewaan saya (bukan kerana bacaan saya ditegur dan dibetulkan guru dan rakan – bacaan Syeikh Misyari Rasyid al-Afasi sendiri pun dibetulkan makmum!) Sebaliknya, kekecewaan itu berpunca daripada kuatnya darah gemuruh saya hingga saya gagap dan gugup (hal ini disedari oleh guru dan kebanyakan teman).

Malu? Ya, tetapi kecewalah yang selebihnya! Selepas usai, timbul dalam fikiran untuk menarik diri daripada disenaraikan sebagai salah seorang imam solat tarawih (pada malam-malam akhir sebagai salah seorang wakil pelajar guru saya). Saya belum bersedia – atau lebih tepatnya – saya belum dapat menundukkan darah gemuruh saya. Alhamdulillah, guru saya sedar akan hal itu dan beliau turut menyarankan hal yang demikian.

Tetapi, beliau tetap menamakan saya sebagai imam untuk solat sunat hifzi tahun depan. Sudah tundukkah engkau wahai darah gemuruh pada tahun itu?

Oleh sebab itulah, dalam profil saya, saya membuat pengakuan bahawa ‘Hamba lebih “petah” berbicara lewat tulisan daripada berbicara secara lisan’. Saya memang akan tewas oleh darah gemuruh apabila diminta berbicara dalam majlis rasmi.

Pengalaman bekal hidup, kekecewaan bumbu kematangan. Harapanku ya Allah, darah gemuruh ini Engkau nyahkanlah dari diri ini.

Dr. Lo’ Lo’: Akhirnya, Engkau Pergi Jua!

Al-Fatihah untuk roh Dr. Lo’ Lo’ Dato’ Mohd. Ghazali yang pergi menghadap Penciptanya. Setelah beberapa lama menderitai kanser dan merahsiakannya daripada pengetahuan umum, akhirnya beliau tewas juga.

Marilah kita sama-sama berdoa agar rohnya ditempatkan di dalam syurga bersama-sama dengan orang-orang yang beriman serta mengaminkan setiap doa yang dipanjatkan oleh setiap orang untuk rohnya.

Beliau adalah antara Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan pilihan rakyat yang sering dianaktirikan oleh pihak yang berkuasa di Wilayah Persekutuan. (Insya-Allah kamu tidak disisihkan Allah SWT).

Orang Perjuangan seperti Almarhumah, kalau memilih pihak yang memerintah agaknya sudah bergelar Dato’ semasa hayatnya (atau mungkin pernah ditawarkan gelaran itu tetapi menolaknya, wallahua’lam).

Takziah kepada seluruh ahli keluarga Almarhumah.


Tiada PRK untuk kerusi Almarhumah yang kosong itu.

Friday, July 15, 2011

Pengharaman Operasi Pusat Hiburan pada Bulan Ramadan Sahaja?

Isu pengharaman operasi pusat hiburan di Kedah sepanjang bulan Ramadan tidaklah sesukar mana untuk kita fahami. Tujuan pengharaman itu hendak dilaksanakan oleh kerajaan negeri yang diterajui oleh PAS itu sudah tentulah sebagai menghormati kemuliaan bulan yang penuh barakah itu.

Oleh sebab kebanyakan (semua?) pengusaha pusat hiburan ialah orang Cina, maka mereka inilah yang bising dan heboh. Mereka berkata bahawa pengharaman itu akan menyebabkan mereka kerugian jutaan ringgit kerana selain tidak dapat mengutip hasil, mereka terpaksa pula membayar gaji pekerja.

Malah, mereka turut menambah lemak dan manis pada ketidakwajaran pengharaman itu (sebenarnya ugutan!) dengan berkata bahawa pengharaman tersebut akan menyebabkan 6,000 orang pekerja dalam industri pusat hiburan di negeri itu akan berdepan dengan kemungkinan diberhentikan kerja.

Kalau dengan memberhentikan operasi selama sebulan menyebabkan mereka kerugian jutaan ringgit, hal ini menarik untuk dibicarakan. Mari kita membuat penghisaban – dengan menutup operasi selama sebulan menyebabkan para pengusaha kerugian jutaan ringgit, berapa jutakah yang diperoleh mereka sepanjang 11 bulan beroperasi?

Kalau kita andaikan bahawa dalam tempoh sebulan mereka beroleh RM100,000, maka tidak cukupkah RM1.1 juta yang dihimpunkan mereka sepanjang 11 bulan beroperasi? Perlu juga kita kaji, siapakah penyumbang terbesar yang memungkinkan mereka menghimpunkan RM1.1 juta selama 11 bulan itu?

Selain itu, perlu juga kita lihat dan kita fikirkan dengan saksama, iaitu daripada 6,000 orang pekerja yang mencurahkan “bakti” dalam industri itu, bangsa apakah yang menjadi majoritinya? Di bahagian manakah pula mereka ditempatkan oleh para pengusaha industri itu?

Hal ini sepatutnya difikirkan dengan waras oleh para pengusaha industri itu. Mereka sebenarnya tidak rugi apa-apa kerana mereka telah beroleh kutipan yang banyak sepanjang mereka beroperasi selama 11 bulan lalu. Mereka hanya akan tergolong sebagai orang yang rugi kalau semua jumlah kutipan (keuntungan) mereka sepanjang 11 bulan lalu itu lesap.

Ada rakan berkata bahawa, kalau berlandaskan logik dan kewajaran, Kerajaan Kedah tidak sepatutnya mengharamkan operasi pusat hiburan di negeri itu pada bulan Ramadan. Yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan negeri itu ialah mengharamkan orang Islam berkunjung ke pusat hiburan. Atau, katanya lagi, haramkan terus kewujudan pusat hiburan!

Saya membidas kata-kata rakan saya. Kerajaan Kedah, kata saya, tidak perlu mengharamkan orang Islam memasuki pusat hiburan kerana pengharaman itu telah pun dikanunkan dalam agama Islam! Kalau orang Islam patuh pada agamanya, isu ini tidak timbul langsung, kata saya.

Saya yakin bahawa orang Islam adalah antara pelanggan terbesar di mana-mana pusat hiburan di negara ini. Saya juga yakin bahawa orang Islam juga adalah antara pekerja terbanyak dalam industri ini.

Bising dan kecohnya pengusaha pusat hiburan ini menampakkan suatu hakikat bahawa apa-apa yang Islamik kelihatan sangat sukar untuk dipraktikkan di negara yang beragamarasmikan Islam ini.

Tetapi bising dan kecoh itu, pada pandangan saya, tidak sepatutnya menakutkan kita. Yang sepatutnya menakutkan kita ialah senyap dan diamnya orang Islam terhadap sikap, tindakan, dan kecenderungan orang yang seagama dengan mereka untuk menjadi pelanggan dan pekerja di pusat hiburan itu.

Raja dan Sultan sebagai ketua agama tidak harus bertitah sahaja. Sekali-sekala bertatihlah pula bersama-sama dengan mufti dan para pegawai agama ke pusat-pusat hiburan untuk menghalang orang Islam menjadi pelanggan dan pekerja di pusat-pusat hiburan.

Jadi, tidaklah kita dan agama kita yang mulia ini mudah diperkotak-katikkan dan digertak-gertak.

Sunday, July 10, 2011

Allahyarham Baharudin Ahmad dan Makna Kematiannya

Apakah makna kematian kepada orang-orang yang diberi kuasa untuk memimpin negara ini?
Kalau yang mati itu mantan menteri, mantan orang kuat parti yang memerintah, atau orang-orang kerajaan yang sealiran dengan mereka, penyataan yang paling klise yang lazim kita dengar ialah “... negara telah kehilangan tokoh yang banyak berjasa kepada rakyat dan negara...”. Kalau yang mati itu lebih tinggi pula darjatnya daripada menteri, mereka akan dikatakan sebagai “... kehilangan ... yang berjiwa rakyat...” dan sebagainya. Itulah makna mati kepada mereka.
Semalam seorang rakyat mati, daripada sekian banyak rakyat yang mati oleh pelbagai sebab. Salah seorang rakyat yang mati itu bernama Baharudin Ahmad. Allahyarham yang berusia 56 tahun itu, dikatakan mati angkara bom asap yang dilemparkan ke arahnya oleh orang-orang yang ada lesen untuk memiliki bom yang serupa itu. Bom-bom itu mungkin dibeli oleh pemilik lesen itu dengan menggunakan wang Allahyarham Abang Baharudin sendiri atau wang cukai yang dibayar oleh anak dan isterinya.
Apakah yang dikatakan oleh pemimpin negara yang diberi kuasa untuk memimpin negara tentang kematian Allahyarham Baharudin Ahmad itu? Ada sesiapa yang mendengar puji-pujian oleh pemimpin negara tentang kematian Abang Baharudin kita itu, khususnya daripada mulut Hisammuddin dan sepupunya? Saya tidak mendengar apa-apa pun (mungkin tidak mengikuti berita secara menyeluruh).
Kematian beliau, seperti kematian rakyat yang lain, tidak kira pemimpin negara ataupun yang bertaraf rakyat marhaen, merupakan kehilangan besar kepada rakyat dan negara. Allahyarham Abang Baharudin mempunyai anak yang berjawatan doktor. Melahirkan anak yang bergelar doktor (yang tugasnya merawat pesakit, yang boleh terdiri daripada rakyat marhaen ataupun pemimpin negara sendiri), bukankah jasa yang sangat besar? Maka, tidak wajarkah kita berkata bahawa kita telah kehilangan seorang yang berjasa besar kepada rakyat dan negara ini?
Di pihak yang menyebelahi Allahyarham Abang Baharudin, sudah tentulah kematiannya dianggap sebagai syahid (saya cenderung untuk menyetujuinya). Tetapi di pihak yang tidak menyebelahi allahyarham, janganlah sampai kita menggolongkannya sebagai mati katak.
Kematian sesiapa pun bermaksud bahawa kita telah kehilangan orang yang berjasa kepada rakyat dan negara ini. Hatta, kalau yang mati itu penyangak sekalipun, kita telah kehilangan juga, iaitu kehilangan kesempatan untuk mentarbiahi mereka.
Wallahualam.