Thursday, January 19, 2012

Tan Sri Abdul Khalid Tidak Layakkah Menjaga Hal Ehwal Islam?

Tersiar dalam berita seketika tadi komen-komen tokoh-tokoh ulung tanah air” yang sering menjadi rujukan TV3 perihal tindakan MB Selangor “merampas hak eksklusif PAS dalam hal agama Islam di negeri itu. Ada antara mereka yang berkata bahawa perampasan portfolio hal ehwal Islam oleh Tan Sri MB Selangor dari PKR itu suatu penghinaan dan membuktikan bahawa PAS hanya tempelan dalam Pakatan Rakyat.

Portfolio kanan itu (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu, dan Kemudahan Awam Selangor) asalnya disandang oleh Dato’ Dr. Hasan Ali, tetapi portfolio itu terpaksa dilucutkan daripada Dato’ Dr. Hasan Ali apabila beliau dipecat oleh PAS serta-merta dan beliau sendiri enggan meletakkan jawatan Eksko secara gentleman seperti yang disarankan oleh Tan Sri MB Selangor.

Kini, seperti yang dinyatakan di atas, portfolio Hal Ehwal Agama Islam itu disandang oleh Tan Sri MB Selangor. Dr. Ahmad Yunus Hairi yang dilantik sebagai Eksko bagi menggantikan Dato’ Dr. Hasan Ali hanya diberi tanggungjawab menjaga portfolio Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan. Dalam laporan berita itu, ada seorang tokoh popular dalam Berita TV3 mempersoalkan portfolio yang diuntukkan kepada PAS itu.

Kononnya, peruntukan itu suatu penghinaan kerana PAS memperjuangkan (prinsip) Islam, bukannya memperjuangkan nasionalis/assobiyah (dibacaMelayu!). Tetapi, bukankah sebelum itu, Dato’ Dr. Hasan Ali pun menyandang portfolio Adat Resam Melayu itu? Mengapakah hal itu tidak dibangkitkan oleh tokoh yang sangat popular dalam kalangan pihak TV3 itu? Adakah menjaga hal ehwal Adat Resam Melayu haram dalam Islam?

Apakah pula masalahnya portfolio Hal Ehwal Islam itu disandang oleh Tan Sri MB Selangor? Beliau bukan orang Islamkah?

Tuesday, January 10, 2012

Tak Masuk Akal: Kerana Dato’ Sri Anwar Ibrahim, Dato’ Dr. Hasan Ali Dipecat

Saya pengagum Dato’ Dr. Hassan Ali semasa beliau masih saya kenal sebagai pakar motivasi. Kalau kebetulan beliau menjadi pengerusi Forum Perdana siaran TV1, ditambah dengan kehadiran ahli-ahli panel seperti Dato’ Dr. Harun Din, Ustaz Ismail Kamus, dan Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, buntut ini akan lekat di kerusi di hadapan TV. Saya berasa cemburu terhadap beliau kerana Allah menganugerahinya kepetahan dalam percakapan tanpa “err”, “apa nama”, dan sebagainya.

Saya pernah mengikuti khutbah Jumaatnya di Masjid al-Mujahidin di Damansara. Subhanallah, memang wajar saya menjadi pengagum beliau kerana khutbahnya menarik dan padu. Dengan kegemarannya menggunakan unsur repetisi dalam khutbahnya, sama seperti semasa memotivasikan khalayak, disertai dengan nada khutbahnya yang berapi-api, saya berasa pelik kerana pada masa itu ada juga jemaah yang kalah oleh kantuk lalu melelapkan mata.

Sebagai orang yang memahukan perubahan, saya terus menjadi pengagum beliau apabila beliau menjadi Eksko Kerajaan Negeri Selangor pula. Keberanian beliau “mengusik” perkara-perkara yang mengganggu agama Islam di Selangor amat saya sokong. Tindakan beliau, pada pandangan saya, betul daripada segi agama. Walau bagaimanapun, daripada segi politik, kata rakan-rakan saya, beliau telah menimbulkan satu suasana yang keruh dan permusuhan.

Pandangan rakan saya itu, sesuai disanggah kerana kita tidak boleh berpendirian sedemikian kerana puak yang bukan Islam telah lama mengusik kita dengan perlakuan dan perkataan yang lebih dahulu telah mengeruhkan suasana. Jadi, apa perlunya kita mengelakkan kekeruhan (daripada segi politik, konon) kalau mereka lebih dahulu bebas melakukannya. Mengapakah mereka boleh, tetapi kita tidak boleh? Mengapakah kita perlu menjadi Pak Turut dan Pak Enggih?

Kemudian saya mengikuti temu bual dalam rancangan yang disiarkan oleh pihak TV3 baru-baru ini. Selepas itu, saya mengikuti pelbagai pandangan orang dalam Blog-blog dan ruang lain di alam siber. Saya tetap menjadi pengagum beliau. Hebahan tentang pertemuan beliau serta Ustaz Nasharudin dengan TG Dato’ Haji Nik Abdul Aziz saya ikuti. Ulasan TG Dato’ Haji Nik Abdul Aziz sangat saya yakini, iaitu Dato’ Dr. Hassan Ali dan Ustaz Nasharudin ada melahirkan permohonan maaf.

Tetapi kemudiannya Dato’ Dr. Hassan Ali seperti menyanggah hal itu (permohonan maaf) dan menuduh Harakah “memutarbelitkan” cerita. Saya terkedu kerana hal yang mengagumkan saya telah dibadai taufan. “TG Dato’ Haji Nik Abdul Aziz berbohongkah? atau Dato’ Dr. Hassan Ali sedang menguji PAS?” saya menyoal diri sendiri. Saya memerlukan jawaban dan kemudian pihak Harakah membuat ulasan tentang hal ini. Saya tidak mengadili ulasan itu.

Dalam pada itu, saya melihat penampilan Dato’ Dr. Hassan Ali agak berbeda. Beliau mengenakan songkok, bukan lagi ketayap putih seperti yang lazim dipakai oleh kebanyakan tokoh PAS. “Ah, hal itu bukan menjadi isu sangat! Songkok pakaian orang Melayu, apa salahnya beliau mengenakan pakaian itu?” Teman saya membidas walaupun teman saya itu sangat gemar berketayap, malah pernah menyindir saya apabila saya bersongkok ke masjid.

Tiba-tiba keluar cerita dalam Blog milik mantan tokoh PKR yang kini telah menjadi Bebas bahawa Dato’ Dr. Hassan Ali akan dipecat oleh PAS. Saya memilih untuk mempercayainya kerana hati saya telah menebak bahawa hal ini akan berlaku. Hal ini saya yakini berpunca daripada gerak lakunya yang menongkah agenda perjuangan PAS pada masa ini dan ditambah pula dengan bidasannya terhadap laporan yang mengatakan beliau meminta maaf di hadapan TG Dato’ Haji Nik Abdul Aziz.

Sejak malam tadi, setelah beliau benar-benar dipecat, saya tidak menjadi pengagum beliau lagi. Hal ini bukan berpunca daripada tindakannya mendedahkan agenda PAS itu, tetapi apabila beliau mengalihkan punca pemecatannya. Sukar untuk saya mempercayai komennya, iaitu Dato’ Sri Anwar Ibrahimlah yang menjadi punca pemecatannya. Beliau tidak harus membebankan “kesilapan”nya kepada orang lain walhal beliau pernah berkata, “Yang baik datangnya daripada Allah, yang tidak baik datangnya daripada kesalahan saya sendiri”.

Saya terfikir sekarang, kalau beliau menubuhkan Parti Islam yang baharu, yang teras dan agenda perjuangannya ialah Islam, Melayu, dan Raja, adakah beliau dapat menarik minat orang-orang yang sealiran dengannya untuk menyertai parti itu dan seterusnya menyaingi PAS dan mungkin UMNO? Beliau patut mencubanya kerana beliau adalah antara tokoh yang “selalu menang apabila bertanding” dalam apa-apa sahaja perebutan — wakil rakyat, Naib Presiden, dsb. Wallahualam.

Monday, January 9, 2012

Dato’ Sri Anwar Ibrahim Bebas, tetapi Masih Ada yang Lain Menanti

Alhamdulillah, setelah sekian lama kebanyakan rakyat “membuang masa” mengikuti perbicaraan liwat kedua yang melibatkan mantan TPM, Dato’ Sri Anwar Ibrahim (DSAI), akhirnya hal itu dinoktahkan oleh Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah, iaitu mantan TPM itu tidak bersalah.
Hakim Mahkamah Tinggi itu, dalam penghakiman ringkasnya yang tidak melebihi lima minit berkata bahawa kedua-dua bukti — DNA dan oral lisan — tidak boleh menyabitkan DSAI bersalah.
“Selepas meneliti bukti, saya tidak boleh memastikan 100% bahawa integriti bukti tidak diusik. Saya dapati bahawa tidak selamat untuk bergantung pada bukti DNA. Maka, mahkamah hanya ada keterangan Saiful. Tetapi, mahkamah keberatan untuk menerima bukti sedemikian daripada SP1 Saiful.
“Oleh sebab kes ini merupakan jenayah seksual, mahkamah ini keberatan untuk menyabitkannya berdasarkan keterangan Saiful. Oleh itu, tertuduh dibebaskan dan dilepaskan,” katanya.
Keputusan itu sudah pastilah melegakan DSAI dan keluarganya serta para penyokongnya. Saya sendiri pun lega juga kerana DSAI bebas daripada palitan kekotoran yang jika diikuti dengan teliti, seperti diada-adakan. Walau bagaimanapun, saya lebih berasa lega kerana hal ini sedikit banyak menyucikan sistem kehakiman yang selama ini didakwa berada di bawah kuasa pemerintah.
TG Datuk Haji Nik Abdul Aziz akan mengadakan solat syukur. Mohd. Saiful memilih untuk membawa kes ini ke Mahkamah Syariah pula. Malah, Saiful yakin bahawa DSAI hanya bebas dan lepas daripada undang-undang dunia, tetapi pada Yaumul Mahsyar nanti, DSAI akan menerima pembalasan yang setimpal. (Hal ini bermaksud bahawa dakwaan dan aduannya itu benar dan betul belaka, (wallahua‘lam)).
Datin Sri Azizah, isteri DSAI berkata bahawa, DSAI secara umumnya telah bebas daripada tuduhan liwat, tetapi perancangan lain yang menyabitkan suaminya dengan salah laku seks sedang menanti (dakwaan Datuk-datuk T, misalnya). Dan kalau benar kes ini (kes liwat kedua) ini akan dibawa ke Mahkamah Syariah pula, cabaran yang menanti tidak kurang hebat, malah menakutkan juga.
Saya suka akan harapan yang diluahkan oleh TG Datuk Haji Nik Abdul Aziz: “Mudah-mudahan fitnah politik di negara ini tidak akan berlaku lagi”.
Ya, kita terlalu banyak membuang masa tentang hal ini walhal segala hal yang berkaitan dengan pemulihan serta pengangkatan kemajuan ummah lebih penting dan wajar diberi perhatian.
Walau bagaimanapun, syabas diucapkan kepada para peguam bela DSAI, hakim yang mengadili perbicaraan, dan para pendukung DSAI yang melakukan segala upaya supaya keadilan tertegak dalam kes ini.
Wallahua‘lam.

Thursday, January 5, 2012

Bangsa Kitalah Juara

Syabu (Methamphetamine) itu bernilai RM630 juta; beratnya 903.2 kilogram. Orang yang ada kaitan dengan dadah itu (pengedar) ialah rakyat Singapura dan Taiwan.

Perincian tentang dadah itu — terdapat dalam bentuk pil yang kesemuanya berjumlah 5 juta butir. Pil-pil itu dimasukkan ke dalam botol dan diisytiharkan sebagai ubat selesema.

Tahniahlah kita ucapkan kepada pihak (KDRM) yang telah dapat merampas bahan pemusnah bangsa itu serta dapat juga menahan orang yang durjana itu.

Mari kita fikir-fikirkan — jika seorang membeli 5 butir pil itu yang dikatakan berharga RM35 sebutir, hal ini bermaksud bahawa terdapat sejuta orang yang menjadi penagih bahan itu.

Kalau 90% daripada mereka ialah rakyat negara ini, hal ini merupakan suatu malapetaka yang bukan hanya wajar didecip-decipkan oleh mulut. Rakyat kita sedang dihancurkan!

Semasa bersekolah rendah pada hujung 1960-an hingga awal 1970-an, dadah diistilahkan sebagai madat. Di sekolah saya, ada poster tentang bahaya madat.

1970-an hingga 2011, tempoh itu sudah menjangkau 40 tahun. Dalam tempoh itu, ancaman madat/dadah masih tidak dapat dikurangkan apatah lagi dihapuskan. Mengapa?

Seperti ada suatu perancangan oleh pihak luar untuk menjahanamkan rakyat negara ini, orang Melayu yang Islam terutamanya. Yang ingin kaya menjadikan negara ini lubuk.

Orang yang ingin menumpang senang, orang dalam kalangan kita juga, barangkali ikut terlibat dalam hal ini — membiarkan pengedarannya asal ada imbalan.

Orang yang mentaasubi kemewahan rela dikeldaikan. Kemudian, dipenjarakan di negara asing. Yang di dalam negara menjadi penagih, yang tidak menagih menjadi keldai!

Bangsa kitalah yang banyak merempit, bangsa kitalah yang banyak lumpuh kerana merempit, bangsa kitalah yang banyak dikuburkan kerana merempit!

Bangsa kitalah juga yang banyak mengHIV/AIDS diri mereka, bangsa kitalah juga yang banyak beristana di pusat serenti, bangsa kitalah juga yang banyak menjadi dara bunting sebelum bersuami.

Engkaulah segala-galanya kerana negara ini lubuk segala-galanya.