Sekelumit Kenangan
Nama Almarhumah Azah
Aziz, Bonda Budayawan, memang telah lama saya kenal. Hingga demikian, apabila
muncul satu demi satu orang yang senama dengannya, tidak ada lain, ingatan ini
akan terus menyinggah pada diri Almarhumah Bonda Budayawan. Ada dua orang
selebriti yang saya ketahui bahawa nama penuhnya seakan-akan nama Almarhumah.
Walau bagaimanapun, yang paling saya kenal ialah Nor Azah Aziz, rakan setugas
di Penerbit Fajar Bakti dahulu (kemudian menjadi Editor “ternama” di UP&D),
yang apabila kali pertama diperkenalkan oleh pembantu Pengurus Penerbitan, saya
terus menyebut perkataan “Kebetulan”. Apabila saya disoal oleh Nor Azah
“Kebetulan apa?”, saya terus diam kerana sebenarnya ingatan saya memang pada
diri Almarhumah Bonda Budayawan itu.
Saya adalah salah
seorang staf di PFB yang sempat membaca pruf naskhah hasil kerja beliau – satu
siri buku kanak-kanak peringkat awal, antaranya Adik Comel, Keluarga Kita,
Kenangan Budi, dll. Buku itu masing-masing
berketebalan sekitar 20 halaman. Seingat saya, pada waktu itu, ada rasa bangga
dalam diri saya dan mungkin juga pada diri editor yang menangani karya karya-beliau
itu serta rakan-rakan seunit dengan editor itu kerana dapat menerbitkan karya
Almarhumah. (Almarhumah, kalau saya tidak salah, dirujuk sebagai Kak Azah
sahaja oleh editor tersebut dan yang lain-lainnya.)
Sepintas Lalu tentang Almarhumah Bonda
Budayawan
Almarhumah Bonda Budayawan,
Dr. Sharifah
Azah binti Syed Mohammed Omar al-Sagoff (selanjutnya disebut Mak Ungku), dilahirkan di Singapura pada 21
Ogos 1928 (5 Rabiulawal 1347 H) daripada keluarga bangsawan. Almarhumah
berdarah campuran Melayu-Turki-Arab. Darah Melayunya berpangkal daripada datuknya,
Dato’ Jaafar bin Mohamad (Bugis)
yang merupakan MB Johor yang pertama. Darah Turkinya pula berpangkal daripada
neneknya, Roqayah Hanim binti Abdullah
(isteri Dato’ Jaafar) manakala darah Arabnya berpangkal daripada bapanya, Syed Mohammed bin Syed Omar al-Sagoff.
Ibu kepada Almarhumah
Mak Ungku bernama Azizah binti Dato’ Jaafar,
iaitu adik-beradik kandung Dato’ Onn bin
Jaafar (pengasas UMNO, MB Johor ketujuh, dan bapa PM ketiga, Tun Hussein
Onn). Malahan, ibunya itu juga merupakan adik-beradik
seibu dengan Mejar Ungku Abdul Hamid bin Ungku Dato’ Abdul Majid (bapa
Profesor Diraja Tun Dr. Ungku Abdul Aziz). Hal ini bermaksud bahawa, Almarhumah
Mak Ungku sebenarnya bersepupu dengan suaminya, Profesor Diraja Tun Ungku Dr. Abdul
Aziz. Malah Almarhumah Mak Ungku juga bersepupu dengan Almarhum Profesor Datuk Dr. Syed Hussein al-Attas (mantan Naib
Canselor UM) dan Tan Sri Profesor Dr.
Syed Muhammad Naquib al-Attas (Cendekiawan Islam, ahli falsafah, pengasas
ISTAC, dan Tokoh Melayu Terbilang 2011).
[Untuk memahami
hubungan itu, elok kiranya dibuat sedikit penjelasan. Nenda Almarhumah Mak
Ungku – Roqayah Hanim binti Abdullah
– berkahwin sebanyak tiga kali. Suaminya yang pertama ialah Ungku Abdul Majid ibni Seri Paduka Dato’
Temenggong Sri Maharaja Tun Ibrahim. Perkahwinan itu melahirkan beberapa
orang putera dan puteri, antaranya termasuklah Mejar Ungku Abdul Hamid
(bapa Profesor Diraja Tun Dr. Ungku
Abdul Aziz). Suaminya yang kedua ialah Syed
Abdullah bin Syed Muhsin al-Attas. Daripada perkahwinan itu, lahirlah Syed Ali al-Attas (bapa Almarhum Profesor Datuk Dr. Syed Hussein al-Attas dan Tan Sri Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas).
Suaminya yang ketiga ialah Dato’ Jaafar
bin Mohamad. Daripada perkahwinan yang ketiga ini, lahirlah Aishah,
Kamariah, Dato’ Onn (pengasas UMNO, MB Johor ketujuh, dan bapa PM ketiga, Tun
Hussein Onn), Azizah (ibu Almarhumah Mak Ungku), Mohammad,
Ahmad, dan Yahya.]
Almarhumah Mak Ungku mendapat
pendidikan hingga peringkat menengah sahaja (Sekolah Menengah Convent Johor
Bahru). Pelajaran menengahnya terbantut apabila Jepun menduduki Tanah Melayu
dan apabila Almarhumah hendak menyambung pelajarannya semula, Almarhumah telah
dilamar sebagai isteri oleh Profesor Diraja Tun Dr. Ungku Abdul Aziz. Maka pada
tahun 1946, berkahwinlah Almarhumah Mak Ungku yang pada ketika itu baru hendak
menjejaki usia 18 tahun.
Lebih kurang setahun
selepas perkahwinan itu, iaitu pada 26 Ogos 1947, Almarhumah Mak Ungku beroleh satu-satunya
zuriatnya – seorang puteri – yang diberi nama Ungku Zeti Akhtar (Tan Sri
Datuk). Puterinya itu kini menjadi peneraju (Gabenor) Bank Negara Malaysia,
malah telah diiktiraf sebagai salah seorang Ketua Bank Pusat Terbaik Dunia pada
tahun 2009. Daripada puterinya itu, Almarhumah Mak Ungku beroleh dua orang cucu
lelaki – Alif Ayman dan Aziz Ayman dan beberapa orang cicit.
Almarhumah Mak Ungku pernah
berkhidmat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Johor Bahru selama dua tahun
(1949-1951 dan kemudiannya berkhidmat dalam kerja-kerja kesetiausahaan di Jabatan
Sosial, Universiti Malaya, Singapura dan selanjutnya menjadi setiausaha kepada
Pendeta Za‘ba di Jabatan Pengajian Melayu di universiti yang sama. (Di sini,
Almarhumah semakin terdedah pada sastera Melayu.)
Almarhumah selanjutnya telah
menjadi setiausaha kepada Ketua Pengarang NST, Leslie Hoffman yang kemudiannya
telah memperkenalkannya kepada dunia kewartawanan. Akhirnya, Almarhumah terlibat
secara langsung dalam dunia kewartawanan dan telah memahatkan namanya sebagai
wartawan selama lebih 20 tahun, iaitu 16 tahun (1957-1973) di Berita Harian dan
5 tahun (1973-1978) di Utusan Melayu/Utusan Malaysia.
Keterlibatannya dalam
dunia kewartawanan telah menimbulkan suatu kesedaran kepada dirinya lalu atas
inisiatifnya, Almarhumah Mak Ungku telah mengasaskan Persatuan Wartawan Wanita Malaysia
(PERTAMA) dan menjadi presidennya yang pertama (1971-1978) dan terus menjadi penasihat
PERTAMA kemudiannya. Almarhumah juga salah seorang pengasas Pertubuhan Tindakan
Wanita Islam (PERTIWI) untuk membela nasib wanita dan kanak-kanak.
Almarhumah Mak Ungku
memang wajar diangkat dan diiktiraf sebagai budayawan Melayu kerana Almarhumah
memang memenuhi kriteria itu. Dirinya sendiri (walaupun berdarah campuran
Arab-Turki-Melayu) amat dekat dengan ciri-ciri budaya Melayu – lembut tutur
bicara, murah dengan senyuman, dan sentiasa anggun berbaju kurung. Lebih
daripada itu, Almarhumah Mak Ungku memperlihatkan dedikasi dan kecintaan yang
tinggi bagi melestarikan pelbagai bentuk budaya warisan Melayu (daripada pantun
hinggalah kepada busana Melayu).
Almarhumah Mak Ungku sangat
dalam pengetahuannya dan sangat teliti dalam hal busana tradisional Melayu.
Sebagai buktinya, selain mengetahui semua potongan pakaian tradisional dan
jenis-jenis kainnya, Almarhumah juga sangat arif akan cara-cara untuk
mengenakan apa-apa pakaian tradisional serta sangat tahu akan apa-apa aksesori
yang perlu dipadankan dengan sesuatu jenis pakaian tradisional. Oleh sebab
itulah Almarhumah sering dijadikan sebagai sumber rujuk oleh orang yang
terlibat dalam bidang itu. (Dalam dan arifnya pengetahuan Almarhumah dapat kita
kesan dalam bukunya – Rupa dan Gaya: Busana Melayu.)
Pelibatan Almarhumah
dalam bidang itu telah mendorong pihak-pihak tertentu (agensi kerajaan,
khususnya) melantiknya sebagai ahli lembaga pengarah mereka, antaranya
termasuklah Ahli Lembaga FINAS, Ahli Majlis Penasihat Kebudayaan Kebangsaan (telah
dibubarkan), Ahli Lembaga Penasihat Karyaneka (telah dibubarkan), Ahli Lembaga
Pembangunan Kraftangan Malaysia, ahli Tribunal Hak Cipta, dan Ahli Lembaga
Pemegang Amanah Yayasan Tun Abdul Razak.
Ketokohannya dalam bidang
kebudayaan dan kewartawanan telah diberi pengiktirafan oleh Universiti
Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kerana pada tahun 2008, universiti itu telah
menganugerahinya Ijazah Kehormat Doktor Kesenian dan Doktor Pendidikan. Selain
itu, Almarhumah pernah diangkat sebagai Tokoh Wanita Johor, Wanita Cemerlang
Avon Tan Sri Fatimah, serta Anugerah Jarum Berlian.
Dalam lapangan penulisan,
banyak buku yang telah dihasilkannya. Selain Rupa dan Gaya Busana Melayu, Almarhumah Mak Ungku telah menghasilkan
pelbagai buku bacaan/pantun kanak-kanak seperti Adik Comel, Adik Sayang, Ibu, Keluarga
Kita, O! Bangau dan Burung Kenek Kenek,
Kenangan Budi, Pantun-pantun Melayu, Taman Seni, Dendang dan Dondang Kanak-kanak
serta Songket: Satu Warisan Malaysia, Selayang
Kenangan, dll.
Insan yang menyerahkan
sebahagian jiwa raganya terhadap budaya negara ini – Sharifah Azah Mohammad Alsagoff – telah pergi. Zaharah Nawawi
mengangkat Almarhumah Mak Ungku sebagai Kartika di Langit Seni. Benar, jasa dan
sumbangan Almarhumah itu ibarat Kartika, tetap bersinar menghiasi dada langit
lalu menjadi sumber inspirasi kepada anak-anak bangsa yang ditinggalkan oleh
Almarhumah. Akan ke manakah koleksi busananya itu?