Friday, August 28, 2015

1 SEPTEMBER 2015 – MELANGKAHLAH MAB, SELAMAT TINGGAL MAS

MULAI 1 September 2015, akan bermulalah era baharu bagi MAS yang mulai tarikh itu tidak lagi beroperasi sebagai entiti kerajaan sebaliknya beroperasi sebagai entiti komersial. Beroperasi sebagai entiti komersial bermaksud bahawa syarikat penerbangan itu tidak lagi boleh meminta talian hayat daripada kerajaan apabila kelak ditimpa masalah. Mulai tarikh itu juga, MAS “dikuburkan” namanya untuk kemudiannya dikenal dengan nama yang baru – MAB (Malaysia Airlines Bhd).

Untuk menjadikan MAB berdaya saing dan mencatat keuntungan, langkah-langkah penstrukturan semula telah dilaksanakan oleh pihak pengurusan yang baharu. Daripada sejumlah 20,000 orang tenaga kerja yang pernah bernaung di bawah payung MAS, pihak pengurusan yang baharu telah melakukan tindakan drastik dengan hanya “mengekalkan” 14,000 orang daripada mereka. Hal ini bermaksud bahawa pihak pengurusan baharu telah “membuang” 6,000 orang daripada mereka dengan pampasan. Pihak pengurusan baharu juga telah membuat rundingan semula kontrak-kontrak pembekalan selain merasionalkan laluan dan destinasi penerbangan.

14,000 orang tenaga kerja yang dikekalkan sekarang bakal mencipta sejarah baharu jika sejarah silam MAS yang memalukan itu segera dipadamkan dengan semangat untuk maju bersama syarikat, semangat untuk membina kerjaya bersama syarikat, dan yang lebih penting memiliki semangat patriotik yang tinggi untuk menanjakkan nama ikon penerbangan negara ini. Ya, kalian bakal pencetus sejarah baharu syarikat penerbangan ulung negara ini seandainya kalian, dengan kebijaksanaan pihak pengurusan MAB, dapat mengembalikan RM19.2 bilion wang rakyat yang telah dibelanjakan oleh kerajaan untuk memulihkan MAS sepanjang tempoh 2001–2014 dahulu.

MAB tidak akan kembali pulih, malah mungkin akan terus lenyap dari persada dunia penerbangan tanpa keikhlasan dan ketelusan serta kesungguhan 14,000 orang tenaga kerja yang dikekalkan. Demikian juga, tanpa keberanian dan ketegasan pihak pengurusan yang khabarnya telah memperbaik dan memperbetul kontrak-kontrak pembekalan yang didakwa berat sebelah dan lebih membebankan MAS dahulu, MAB juga akan menghadapi kesukaran untuk mencatatkan keuntungan.

Harus kita ingat, bercakap soal MAS bukan seperti kita bercakap tentang syarikat biasa; kita sebaliknya bercakap tentang ikon negara – seperti PNB, seperti Felda (?), seperti Tabung Haji, dll. Dalam hal ini, sebarang kesilapan oleh pihak kerajaan dalam memilih peneraju yang menguruskan syarikat-syarikat itu hingga menyebabkan syarikat itu telungkup, akan mengaibkan negara, mengaibkan bangsa kita juga. Dalam konteks MAS (dan kini MAB), kita harus berasa malu terhadap syarikat penerbangan di Singapura yang tidak mempunyai destinasi penerbangan domestik, sebaliknya hanya bergantung harap pada destinasi penerbangan antarabangsa, tetapi masih mampu menjadi antara peneraju syarikat penerbangan dunia!

Oleh itu, kepada semua tenaga kerja yang tinggal, ayuh mulakan langkah anda mulai 1 September nanti ke arah mengangkat darjat MAB sebagai salah sebuah peneraju penerbangan dunia! Siap sediakan fizikal dan mental anda untuk mencapai matlamat itu.

Monday, August 24, 2015

NASIB MELAYU (BANGSATKAH)

Bagi orang-orang yang normal, tidaklah sulit hendak menaupkan bibir atas dan bibir bawah, hendak menggoyang-goyangkan lidah. Gerak-gerakkanlah bibir bawah, goyang-goyangkanlah atau kontal-kantilkan lidah, maka terhamburlah deretan kata. Apa-apa sahaja kata — sama ada yang molek ataupun yang jelik — akan terhambur dan terloncat daripada mulut, daripada sepatah menjadi ayat yang beruntai-untai, meretup-retap bak bertih digoreng!

Demikianlah keadaannya — amat mudah untuk seseorang berkata macam-macam — yang berdegar-degar ataupun yang biasa-biasa. Hingga demikian, terkejut dan tertanya-tanyalah kita apabila ada pihak yang berkata bahawa kita orang Melayu akan bangsat tanpa PEKEMBAR. Sangat mudah kalimat itu dituturkan, semudah meluahkan kotoran dari dalam mulut, tetapi bukan sedikit yang terlopong dan terkerising — sama ada hendak mengeyakannya ataupun sebaliknya.

Tulisan Jawi telah demikian lama menjadi bangsat, tidak lagi menjadi alat penting untuk penyebaran ilmu, malah keberadaannya di negara ini bak melukut di tepi gantang, lapar sangat baru berguna. Siapakah yang membangsatkannya? Bahasa Melayu sendiri kini seakan-akan menjadi bahasa bangsat, bahasa merempat, bahasa kelas rendah walaupun diangkat Perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi. Siapakah yang membangsatkannya?

Keluasan tanah rizab Melayu semakin hari semakin mengecut — daripada 3.1 juta hektar (23.92%) pada tahun 1931 kepada 1.57 juta hektar (11.99%) pada tahun 2009. Siapakah yang membiarkannya menjadi kecil? Bukan cerita dongeng tanah milik orang Melayu diambil untuk pembinaan sekolah, hospital, kilang, pembandaran, dan lain-lain sedang tanah milik orang bukan Melayu tidak diusik seinci pun.

Melayu Pulau Pinang semakin terhimpit, terdera, tersisih, dan terbangsat. Kampung-kampung Melayu diambil alih sesuka hati. Agak-agaknya, siapakah yang membangsatkan mereka sejak awal dahulu? DAP ... GERAKAN ... PAS? Negeri Kelantan diterajui oleh PAS (bukan UMNO) sejak lebih 20 tahun dahulu, bangsatkah Melayu di negeri itu? Negeri Selangor diterajui oleh PR (PAS-PKR-DAP) sejak tahun 2008 yang lalu, bangsatkah Melayu di negeri itu?

Di peringkat negara, ya Melayu sekarang menjadi bangsat — oleh GST, oleh kenaikan harga barangan (kenaikan harga rumahlah yang paling membangsatkan Melayu sekarang!), oleh kadar RM yang menjunam (sampai diletakkan pada taraf POA — Price On Application/Asking), oleh pengangguran, oleh pemberhentian kakitangan, oleh macam-macam! Siapakah yang memerintah negara kala ini?

Sangat bagus untuk menyedarkan rakyat tentang hakikat ketuanan Melayu, tentang nasib Melayu masa depan, tetapi semaklah hakikat sebenarnya dengan sebaik-baiknya — akuilah kesilapan, berjanjilah, dan beriltizamlah untuk membetulkannya....

Wednesday, August 12, 2015

WAH, LALAT

SEGALA jenis lalat ... daripada langau, pikat, lalat hijau, lalat kerbau, lalat kuda, lalat tse-tse, lalat buah datang berdengung dan berdenging, menyerbu penduduk di mukim Masnagara. Tidak ada satu pun lalat yang segala macam dan jenis itu yang datang dari tempat yang bersih dan suci melainkan datangnya dari tempat yang kotor, jijik, dan cemar jua adanya. Kerana datangnya demikian banyak dan bergerombolan, maka jeralah orang-orang di Masnagara yang menjadi mangsa serbuan menepis serbuan segala macam lalat itu. Tidak cukup dengan menepis dan menangkis, mereka menyemburnya dengan segala macam racun serangga. Namun demikian, segala kaedah dan alat pembunuh serangga itu tidaklah pula dapat menghapuskan serbuan lalat-lalat itu. Maka, muncullah idea baharu  mereka meletakkan segala macam kotoran dan sampah sarap, daripada sisa makanan sampailah kepada najis dan bangkai di sekeliling mereka supaya lalat-lalat itu tidak menyerbu mereka melainkan menyerbu kotoran dan sampah sarap di sekitar mereka. Ternyata gerombolan lalat itu tidak mengganggu mereka. Bebaslah mereka daripada gangguan lalat-lalat itu. Walau bagaimanapun, bau yang yang berpunca daripada segala macam kotoran dan sampah sarap itu sedikit banyak mengganggu penduduk Masnagara hingga bukan sedikit daripada mereka yang tidak lalu makan oleh gangguan bau itu. Sekarang mereka sedang memikirkan idea baharu pula, kotoran dan sampah sarap yang mengeluarkan bau busuk itu seharusnya hendak diapakan supaya kehidupan mereka tidak terganggu olehnya?