Tuesday, June 18, 2019


PERIBAHASA WARISAN BANGSA XVII: Perempuan Mencari/Mendatangi Lelaki


DALAM sesetengah masyarakat, perempuan mencari lelaki bukanlah suatu kelaziman umum, malah mungkin ada yang menganggapnya sebagai melanggar adat dan adab. Bangsa Melayu adalah antara masyarakat yang tergolong demikian, tetapi bangsa itu tidaklah sampai menganggapnya sebagai melanggar adat dan adab pula. Hal ini demikian kerana bukanlah aneh pihak perempuan meminang lelaki dalam masyarakat Melayu, malah hal ini dilakukan sendiri oleh ibu bapa pihak perempuan yang barangkali terpesona oleh akhlak si lelaki; dan rasanya bukan sedikit perempuan yang mencari atau menghambat lelaki dalam pergaulan mereka atas sebab-sebab peribadi masing-masing.

Cuma, seperti yang saya katakan awal tadi, hal perempuan mencari lelaki ini bukanlah suatu kelaziman umum kerana biasanya lelakilah yang mencari/menghambat perempuan. Oleh sebab itulah, hal yang di luar kelaziman ini (perempuan mencari lelaki) sampai diperibahasakan mereka melalui beberapa ungkapan. Antaranya termasuklah enau memanjat sigai atau enau mencari sigai; lesung mencari alu atau lesung mencari antan; perigi mencari timba atau telaga mencari timba; dan rumput mencari kuda. Maksud yang didukung oleh ungkapan ini bukanlah berbau penghinaan terhadap pihak yang melakukan demikian, tetapi sekadar mencatatkan ketakbiasaan itu.

Namun demikian, dalam hal mengungkapkan perihal ketakbiasaan ini, ada satu peribahasa yang kononnya mendukung maksud “perempuan mencari lelaki” yang pada pandangan saya tidak tepat. Malangnya, semua kamus peribahasa yang saya rujuki memberikan maksud yang sama — perempuan mencari lelaki — bagi peribahasa yang saya maksudkan ini; atau adakah saya yang telah tersalah faham akan peribahasa ini? Peribahasa yang saya maksudkan itu ialah ungkapan ulam mencari sambal, yang dikatakan mendukung maksud hal yang dibicarakan ini — “perempuan mencari lelaki”.

Jika diamat-amati ungkapan ulam mencari sambal ini, saya secara peribadi tidak menemukan keanehan langsung yang hingga demikian boleh dimaksudkan sebagai sesuatu yang di luar kebiasaan seperti hal yang terdapat pada ungkapan enau memanjat sigai; enau mencari sigai; lesung mencari alu; lesung mencari antan; perigi mencari timba; telaga mencari timba; dan rumput mencari kuda. Memanglah biasa ulam yang mencari sambal, bukannya sambal yang mencari ulam. Sama juga, bukankah biasa kuda yang mencari rumput, timba mencari perigi/telaga, alu/antan mencari lesung, sigai mencari enau?

Kerana perempuan mencari lelaki itu sesuatu yang di luar kebiasaanlah maka lahirnya peribahasa-peribahasa yang saya senaraikan awal tadi. Oleh itu, dalam hal ulam mencari sambal dimaksudkan oleh kamus-kamus peribahasa sebagai “perempuan mencari lelaki” ini, saya merasakannya telah tersalah ungkap (atau sekali lagi mungkin saya yang silap). Saya berpandangan bahawa bagi maksud “perempuan mencari lelaki”, ungkapan yang tepat ialah sambal mencari ulam kerana sambal dicecahkan pada ulam ialah perbuatan yang TIDAK BIASA; yang biasa ialah ulam yang dicecahkan pada sambal!

Saya mengharapkan penjelasan.

2 comments:

  1. bukan satu keanihan ulam mencari sambal. oleh itu ia tidaklah sepatutnya diertikan "perempuan mencarai lelaki".. benar sekali..

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete