Sebagai warganegara yang mencintai amalan demokrasi, politik
dendam merupakan perkara yang paling dibenci oleh kebanyakan orang, khususnya
dalam kehidupan yang bertamadun. Amalan ini tidak harus ada sama sekali dalam
sistem pemerintahan di negara ini apatah lagi di negara yang beragamarasmikan
Islam dan kebetulan dipimpin oleh orang Islam yang menghendaki semua orang
mempraktikkan keadilan dan kesaksamaan. Amalan politik dendam bertentangan
dengan tuntutan Islam yang dinyatakan itu. Apa-apa bentuk penderaan yang
langsung tidak memperlihatkan keadilan merupakan suatu bentuk penganiayaan.
Di negara ini, kita baru sahaja melepasi tempoh pilihan raya
yang hebat – kerajaan pemerintah (tidak kira di mana-mana kerajaan, sama ada
Persekutuan yang diterajui oleh BN atau negeri-negeri yang diterajui sama ada
oleh BN atau PR), berdepan dengan kebangkitan rakyat yang ingin mengubah atau
mempertahankan kerajaan yang diyakini mereka. Pada peringkat Persekutuan,
seperti yang diketahui, BN masih gagah dan berkuasa. Pada peringkat negeri, ada
yang terus berkuasa, malah ada juga yang tambah memantapkan kuasa dan ada yang
telah tumbang oleh kebangkitan rakyat dan ada juga yang kuasanya dikurangkan
oleh rakyat.
Demikianlah perjalanan sistem demokrasi yang diserahkan kepada
rakyat sepenuhnya. Para “pemain” yang menyertai pertandingan (dalam konteks
PRU, “pemain” itu merupakan calon wakil rakyat yang di atas bahunya bakal terpikul
beban tanggungjawab besar untuk berkhidmat demi rakyat) boleh menangis kerana
terlalu gembira atas kemenangan atau atas kekalahan masing-masing, tetapi
percayalah rakyat yang memilih mereka tidak peduli akan perasaan calon wakil
rakyat itu. Yang dihajati oleh mereka ialah mereka memainkan peranan penting
sebagai wakil rakyat. Rakyat dalam konteks apa-apa pun merangkum semua orang di
kawasan mereka.
Jadi, apabila ada pemimpin yang dipilih melalui proses pilihan
raya ini yang menafikan hak rakyat kerana mendefinisikan rakyat sebagai “orang
yang menyokong mereka” bukan sebagai “orang di kawasan mereka secara
keseluruhannya”, maka pemimpin ini dengan mudah dapat kita golongkan sebagai
zalim. Sebagai contohnya, kalau YAB PM menafikan hak orang Cina kerana
merasakan bangsa ini tidak memilih parti yang dipimpinnya dalam PRU yang baru
lalu, kita dengan mudah dapat menggolongkan beliau sebagai zalim (saya yakin
bahawa beliau tidak demikian) kerana orang Cina berstatus rakyat di negara ini.
Demikian juga kalau ada YAB MB yang sampai mengeluarkan
kenyataan untuk tidak melantik Pegawai Pembangunan DUN (PPD) dan Pegawai
Pembangunan Parlimen (PPP) di kawasan partinya kalah dalam PRU baru-baru ini. Tindakan
yang diambil itu jelas berunsur dendam dan seolah-olah wajar dikenakan kepada rakyat
yang “tidak mengenang budi” hingga menyebabkan beberapa calon parti pimpinannya
kecundang pada PRU yang lalu. Tidak kira walau dalam keadaan yang bagaimana
sekalipun, pemimpin yang dipilih sebagai wakil rakyat harus berfikiran terbuka
tentang hakikat demokrasi ini. Jauhi kezaliman, tinggalkan diskriminasi, dan
raikanlah demokrasi.