Wednesday, June 30, 2010

Menunggu Usia Setengah Abad

Semalam, 48 tahun sudah usia saya. Dua tahun lagi, angka itu akan menginjak usia setengah abad pula. Saya menunggu-nunggu detik itu penuh sabar tetapi tepu debar. Saya sangat berharap agar saya dipanjangkan usia dan diberi kesihatan yang baik oleh Allah SWT supaya sempat mengecap saat itu walaupun dikatakan bahawa hidup bermula daripada usia 40 tahun.

Sementara menunggu detik itu, saya perlu mengisi hidup saya dengan perkara-perkara yang bermanfaat. Saya perlu menebalkan pengetahuan saya dengan segala aspek yang berkaitan dengan agama saya. Saya berharap agar hari esok menjadi hari yang lebih baik kepada saya berbanding hari ini. Saya berharap agar pada usia itu, saya sudah menginjakkan kaki di Makkatul Mukarramah.

Karier saya ini saya yakin dapat menjadi amal jariah saya – ilmu yang dipergunakan orang. Walaupun saya bukanlah penulis kebanyakan buku yang saya sunting, tetapi saya sebahagian daripada buku itu, mungkin menjadi salah satu jari penulis. Pengarang mencurahkan idea, saya memperelok isi dan rupa. Tetapi kepada pembaca, kunci ilmu itu tetap pada penulisnya.

Harapan unggul saya pada setiap ketika ialah Allah SWT senantiasa menetapkan iman dan keislaman saya – janganlah dipesongkan-Nya aqidah saya, janganlah dilarikan-Nya hidayah daripada saya, janganlah mata saya dipejamkan di luar iman dan Islam, janganlah saya menjadi kebencian-Nya. Amin.

Monday, June 28, 2010

Sorakan Satu Dunia vs Sorakan untuk Pejuang

Seronok hati kita apabila mendengar slogan yang dipilih oleh pihak RTM bersempena dengan Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2010 yang sedang berlangsung sekarang berkumandang di radio dan televisyen milik RTM. Untuk makluman, RTM merupakan penyiar berlesen FIFA Piala Dunia 2010. Mereka beroleh hak untuk menyiarkan 24 perlawanan secara langsung, 11 siaran tertunda, dan 35 ulang siar.

Slogan yang menjadi pilihan RTM bersempena dengan kejohanan sukan terulung dunia itu ialah “Sorakan SatuMalaysia Satu Dunia”. Malangnya, slogan itu hanya menjadi sebutan pihak mereka sahaja; pihak lain – rakyat, khususnya kanak-kanak asyik menyebut Jom Heboh, Mentor, dan lain-lain.

Kita pasti bahawa dengan mendapat lesen penyiaran itu, pihak RTM dapat meningkatkan jumlah penontonnya (ratingnya mungkin sedikit melonjak). Yang tidak seronoknya adalah daripada 64 siaran langsung, RTM hanya beroleh hak untuk menyiarkan 24 siaran langsung sahaja. Hal ini menyebabkan orang terpaksa mencari sumber lain untuk menyaksikan siaran langsung. Dalam hal ini, kepada orang yang mampu, mereka akan melanggani ASTRO yang menyiarkan semua siaran langsung itu. Sebaliknya, kepada orang yang tidak mampu, menganga dan melangutlah mereka di rumah-rumah rakan yang melanggani ASTRO atau di kedai-kedai mamak dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, dalam keghairahan RTM sibuk dengan slogan “Sorakan SatuMalaysia Satu Dunia”nya, mereka telah terlupa untuk menyalakan sorakan yang melibatkan seluruh rakyat untuk Malaysia. Baru-baru ini (Ahad, 27 Jun 2010), jaguh negara kita, Datuk Lee Chong Wei bertarung di perlawanan akhir dalam Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia menentang jaguh negara itu, Taufik Hidayat. Tidak ada siaran langsung yang dibuat oleh pihak RTM. Saya dapat menyaksikannya melalui saluran 811 di ASTRO, tetapi bagaimanakah halnya dengan rakyat Malaysia yang tidak melanggani ASTRO? (Rakan-rakan saya yang tidak menjadi pelanggan ASTRO kecewa dengan keadaan ini dan saya yakin banyak lagi yang berperasaan demikian.)

Jadi, apalah gunanya Sorakan SatuDunia kalau sorakan rakyat untuk “pejuang”nya tidak diambil peduli? (Untuk maklumat, Datuk Lee Chong berjaya menjadi juara kejohanan itu dengan mengalahkan Taufik dalam tempoh 37 minit dengan keputusan 21-19, 21-8. Pada peringkat separuh akhir, beliau telah mengalahkan seorang lagi jaguh Indonesia, Soni Dwikuncoro, 21-11, 21-17.)

Rombakan Kepemimpinan Parti di Selangor

Di Selangor, YAB Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bukan lagi Pengerusi PKR Negeri. Yang menjadi Pengerusi parti negeri itu sekarang ialah YB Mohamed Azmin Ali. Alasan peralihan kuasa tertinggi parti negeri itu adalah untuk membolehkan YAB Menteri Besar menumpukan perhatian terhadap pentadbiran negeri manakala hal-hal berkaitan parti terserah di bahu YB Mohamed Azmin.

Kepada pihak di luar parti itu, alasan itu tidak masuk akal. Yang sebenarnya, kata mereka, rombakan itu merupakan petunjuk bahawa pihak atasan parti itu memahukan YAB Menteri Besar berundur secara terhormat dan menyerahkan jawatan MB kepada orang lain kerana beliau telah menjadi liabiliti kepada parti.

Kita memang boleh meragui kedua-dua keadaan ini, baik alasan peralihan kuasa itu ataupun telahan orang-orang di luar parti itu. Entah-entah memang betul YAB Menteri Besar dianggap sebagai liabiliti. Walau bagaimanapun, sebagai orang yang berintegriti, alasan YAB Menteri Besar bahawa beliau memang hendak menumpukan perhatian terhadap pentadbiran ada keikhlasannya.

Sebaliknya, telahan pihak di luar parti hanyalah persepsi sahaja. Di Terengganu, Ketua Perhubungan parti yang memerintah sekarang bukan MBnya (MB itu sekadar menjadi Timbalan sahaja). Adakah kita hendak mengatakan keadaan itu sebagai petunjuk bahawa pemimpin tertinggi parti tersebut hendak menyingkirkan MB itu secara halus walhal MB itu pilihan DYMM Sultan?

Kalaulah benar pun telahan itu (pemimpin tertinggi PKR memang menghendaki YAB Tan Sri Menteri Besar “angkat kaki” daripada jawatan itu untuk memberikan laluan kepada YB Mohamed Azmin Ali menjadi MB), kita perlu pula menyoal pemimpin atasan PKR sendiri. Apakah yang membuatkan mereka begitu yakin bahawa DYMM Sultan Selangor berkenan dengan pilihan mereka itu? Kalau kelak DYMM tidak berkenan, tidakkah akan berlaku keadaan tidak menentu dalam negeri itu kelak? Atau kalau DYMM baginda Sultan berkata, “Beta hanya mahu anak negeri ini sahaja yang menjadi MB”, bagaimana? Jangan sengaja mencari aib.

Kita yakin bahawa PKR sangat peka akan hal ini. Mereka tidak mungkin sengaja hendak memperjudikan keberadaan mereka sebagai pemerintah yang “bijaksana” di negeri ini.

Friday, June 25, 2010

Piala Dunia 2010: Sebelum Melengkapkan Jadual

Keputusan Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia Edisi 2010 (ke-19) sehingga malam tadi memperlihatkan beberapa kejutan. Pasukan Perancis (juara edisi 1998 dan naib juara edisi 2006) menjadi pasukan Eropah pertama tersingkir untuk ke pusingan kedua (kalah mati). Pasukan itu berada di tempat tercorot dalam kumpulannya, malah hanya beroleh 1 mata (sama seperti pada kejohanan edisi 2002). Saya berasa sangat gembira dan seronok dengan keputusan ini kerana saya memang tidak suka pasukan benua Eropah mendominasi kejohanan ini.

Walau bagaimanapun, kegembiraan dan keseronokan saya itu tidaklah sebanding dengan rakyat di negara Republik Ireland. Saya tidak benci, marah, atau dendam akan pasukan itu. Saya cuma tidak suka pasukan Eropah mendominasi kejohanan tersebut, itu sahaja.

Sebaliknya, rakyat di negara itu memang betul-betul gembira dan seronok dengan penyingkiran awal pasukan Perancis itu kerana mereka marah dan berdendam dengan pasukan Perancis. Mereka sampai mengatakan bahawa kekalahan itu merupakan balasan gipsi dan hukum karma atas penipuan yang dilakukan oleh pasukan Perancis terhadap pasukan mereka.

Sebagai imbasan, pada November 2009, pasukan Perancis dan Republik Ireland terpaksa bersaing dalam perlawanan play-off bagi menentukan pasukan yang layak ke Afrika Selatan. Dalam perlawanan play-off pertama, pasukan Republik Ireland dikalahkan oleh pasukan Perancis (0-1).

Dalam perlawanan play-off kedua, pasukan Republik Ireland mendahului pasukan Perancis dengan keputusan 1-0 sehingga masa tambahan. Walau bagaimanapun, pasukan Perancis telah berjaya menyamakan kedudukan melalui jaringan William Gallas yang menerima hantaran daripada Thiery Henry walhal sebelum menerima hantaran itu, bola telah pun terkena tangan Thiery Henry (sebenarnya sengaja ditampan dengan tangan oleh Thiery Henry). Kerana gol itu disahkan oleh pengadil pertandingan, perbuatan Thiery Henry itu telah dianggap oleh rakyat Republik Ireland sebagai penipuan yang menyebabkan hak mereka untuk ke Afrika Selatan dirampas (mereka tewas dengan agregat 1-2).

Selepas penyingkiran pasukan Perancis, saya sangat berharap agar pasukan Jerman, Serbia, England, Denmark, Itali (juara edisi 2006), dan Portugal mengikut jejak pasukan itu. Namun demikian, pasukan Jerman dan England telah berjaya melayakkan diri ke pusingan kedua setelah mengalahkan lawan masing-masing (pasukan Jerman mengalahkan pasukan Ghana dan pasukan England mengalahkan pasukan Slovenia).

Walau bagaimanapun, saya tetap berasa gembira kerana pasukan Serbia, Denmark, dan Itali menerima nasib yang sama dengan pasukan Perancis. Dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan, pasukan Serbia dikalahkan oleh pasukan Australia, pasukan Denmark dikalahkan oleh pasukan Jepun, manakala pasukan Itali dikalahkan oleh pasukan Slovakia. Malah, pasukan Serbia dan Itali, seperti pasukan Perancis, terperosok di tempat tercorot dalam kumpulan masing-masing. Lebih buruk lagi, Itali dan Perancis tidak menang satu perlawanan pun dalam kejohanan kali ini.

Malam ini dan awal pagi besok, akan ada lagi perlawanan terakhir peringkat kumpulan. Yang menarik untuk dianalisis ialah Kumpulan H (Chile, Sepanyol, Switzerland, dan Honduras). Tiga pasukan teratas – Chile, Sepanyol, dan Switzerland – mempunyai peluang untuk ke pusingan yang berikutnya. Malah, pasukan Honduras sendiri mempunyai peluang itu sekiranya mereka berjaya menumpaskan Switzerland dengan keputusan 3-0 dengan syarat Chile berjaya menewaskan Sepanyol sekurang-kurangnya dengan keputusan 1-0.

Keadaan akan menjadi sedikit rumit kalau Sepanyol mengalahkan Chile dengan keputusan 1-0 dan Switzerland juga mengalahkan Honduras dengan keputusan 1-0 (rujuk jadual). Kalau hal ini berlaku, Chile dan Switzerland bukan sahaja mempunyai mata yang sama tetapi turut mempunyai jumlah jaringan dan jumlah bolos yang sama.

Sebelum perlawanan malam ini, hanya 4 pasukan (daripada 13 pasukan) dari benua Eropah sahaja yang telah memastikan tempat masing-masing di pusingan kedua nanti (10 pasukan pada tahun 2006) manakala 6 pasukan sudahpun berangkat pulang. Daripada 8 pasukan benua Amerika (Selatan, Tengah, dan Utara) yang bersaing dalam kejohanan ini, 7 pasukan sudahpun berjaya ke pusingan kedua (4 pasukan pada tahun 2006). Asia (daripada 4 pasukan) mempunyai 2 wakil (tiada yang layak pada tahun 2006) manakala Afrika (daripada 5 pasukan) mempunyai 1 wakil (sama seperti tahun 2006).

Secara keseluruhannya, kita harus berasa bangga kerana pada edisi kali ini, mutu permainan pasukan kerdil sudah seimbang dengan pasukan ternama lain (misalnya, prestasi pasukan Slovakia dan New Zealand seimbang dengan pasukan Itali; prestasi pasukan Jepun setara dengan pasukan Belanda dan Denmark; prestasi pasukan Afrika Selatan tidak jauh berbeda daripada pasukan Perancis, dan banyak lagi contoh lain).

Entah mengapa, saya seperti hendak menyokong Sepanyol malam ini. Saya meminati Cesc Fabregas.

Thursday, June 24, 2010

Interpretasi Seorang Orang Awam tentang Kes Tian Chua

Saya mencuba untuk membayangkan suatu situasi. Seorang pengusaha stesen minyak berdepan dengan masalah kemerosotan pelanggan. Oleh itu, untuk menarik pelanggan berkunjung ke stesen minyak yang diusahakannya, beliau telah membuat suatu bentuk promosi, iaitu setiap pelanggan akan beroleh sebotol air mineral 600 liter secara percuma sekiranya mereka mengisi “tidak kurang daripada 10 liter petrol atau diesel”.

Pada ketika yang lain, pengusaha yang sama menghadapi masalah kekurangan bekalan minyak (petrol dan diesel). Beliau mengeluh dengan keadaan ini dan berasa kasihan terhadap nasib para pelanggannya. Untuk memperlihatkan keadilan dan bagi memastikan setiap pelanggannya mendapat bekalan petrol atau diesel, beliau telah menetapkan bahawa setiap pelanggannya hanya boleh mengisikan “tidak lebih daripada 10 liter petrol atau diesel” pada setiap kali pengisian.

Dalam kedua-dua situasi itu, terdapat “syarat” yang dikenakan oleh pengusaha itu kepada setiap pelanggan bagi membolehkan mereka mendapat barang yang diingini mereka. (Dalam konteks situasi pertama, barang yang menjadi target pelanggan ialah air mineral manakala dalam situasi yang kedua target mereka ialah petrol dan diesel itu sendiri). Disebabkan ada keinginan yang kuat dalam hati setiap pelanggan bagi mendapatkan barang yang diingini mereka itu, mereka tidak dapat mengelak daripada membuat interpretasi sendiri tentang syarat yang dikenakan itu.

Dalam situasi pertama, para pelanggan pasti menginterpretasikan bahawa syarat “tidak kurang daripada 10 liter” itu bermaksud bahawa dengan mengisikan 10 liter petrol atau diesel sudah melayakkan mereka untuk mendapat hadiah percuma yang ditawarkan itu. Dalam erti kata yang lain, tanpa perlu mengisikan 11 liter petrol atau diesel (atau 10.1 liter sekalipun) ke dalam tangki kenderaan masing-masing, mereka sudah layak mendapat hadiah yang ditawarkan.

Sebaliknya, pengusaha stesen minyak itu tidak bermaksud demikian. Beliau menekankan bahawa frasa “tidak kurang” dalam syarat yang diberikannya itu bermaksud “lebih”, iaitu “lebih daripada 10 liter”. Hal ini bermaksud bahawa pengusaha itu hanya akan memberikan hadiah yang ditawarkan itu apabila pelanggannya mengisi tangki kenderaan masing-masing dengan sekurang-kurangnya 10.1 liter (atau menggenapkannya kepada 11 liter) petrol atau diesel.

Situasi yang kedua juga memperlihatkan keadaan yang sama. Pelanggan pasti menginterpretasikan syarat “tidak lebih daripada 10 liter petrol atau diesel” itu sebagai mereka boleh mengisikan petrol atau diesel sehingga 10 liter asalkan tidak melebihi 10 liter (misalnya, 10.1 liter dan seterusnya).

Sebaliknya, pengusaha stesen minyak itu tidak bermaksud demikian. Beliau menekankan bahawa frasa “tidak lebih” dalam syarat yang diberikannya itu bermaksud “kurang”, iaitu “kurang daripada 10 liter”. Hal ini bermaksud bahawa pengusaha itu hanya membenarkan pelanggannya mengisi tangki kenderaan masing-masing sehingga 9.9 liter (atau menggenapkannya kepada 9 liter) petrol atau diesel sahaja.

Berdasarkan kedua-dua situasi itu, kalaulah interpretasi pelanggan diguna pakai, jumlah 10 liter itu melingkungi/memenuhi syarat yang ditetapkan oleh pengusaha tersebut.

Sebaliknya, kalau interpretasi pengusaha stesen minyak itu diguna pakai, angka 10 liter itu jelas hanya berperanan sebagai sempadan untuk memenuhi syarat yang ditawarkan sahaja. Dalam erti kata yang lain, jumlah 10 liter itu tidak merangkum syarat yang ditetapkan.

Begitulah perbandingan yang agaknya dapat kita andaikan dengan keputusan Yang Arif hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Ghazali Cha, dalam menjatuhkan hukuman ke atas YB Chua Tian Chang (lebih dikenali sebagai Tian Chua, Ahli Parlimen kawasan Batu) pada 17 Jun 2010 yang lalu. Interpretasi Yang Arif itu, pada pandangan saya, sama dengan interpretasi pengusaha stesen minyak dalam situasi yang saya gambarkan itu. Wallahua‘lam.

Catatan
Asalnya, pada 22 Oktober 2009, hakim Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Mohd. Faizi Che Abu telah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda yang berjumlah RM3,000 ke atas YB Tian Chua). Kesalahan yang dilakukan oleh YB itu ialah “menggigit (mencederakan) seorang anggota polis dan menghalang anggota polis itu daripada menjalankan tugas”.

Pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan bagi membolehkan YB Tian Chua membuat rayuan di Mahkamah Tinggi. Sebagai hasilnya, pada 17 Jun 2010, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Ghazali Cha telah menolak rayuan YB Tian Chua (maknanya YB Tian Chua tetap bersalah atas tuduhan itu). Walau bagaimanapun, Hakim Datuk Mohd. Ghazali telah “bermurah hati” untuk menggantikan hukuman yang dijatuhkan oleh Majistret Mohd. Faizi itu dengan hukuman penjara dua bulan dan denda RM2,000 sahaja. Rasional pengurangan jumlah denda daripada RM3,000 kepada RM2,000 oleh Hakim Datuk Ghazali adalah untuk mengelakkan berlakunya pilihan raya kecil di kawasan yang diwakili oleh YB Tian Chua. (Artikel 48(1)(e), Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa seseorang Ahli Parlimen hilang kerusinya apabila “dipenjarakan bagi tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau didenda tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan tidak menerima pengampunan”.)

Kalau interpretasi pihak yang mengatakan bahawa hukuman denda itu telah menyebabkan YB Tian Chua hilang kelayakan sebagai Wakil Rakyat, maka satu lagi pilihan raya kecil akan diadakan. Selain itu, YB Tian Chua tidak boleh bertanding dalam mana-mana pilihan raya bagi tempoh lima tahun (hal ini bermaksud bahawa beliau tidak boleh bertanding dalam PRU13 kelak.)

Wednesday, June 23, 2010

26 Jun 2010: Gerhana Bulan

Kita, insya-Allah, jika dipanjangkan usia berkesempatan untuk menyaksikan gerhana bulan separa yang akan berlaku pada 26 Jun 2010 ini selepas gerhana yang sama berlaku pada 1 Januari 2010 yang lalu. Gerhana pada 26 Jun itu nanti akan berlaku dari jam 7:22 malam hingga jam 10:20 malam. Hal ini diumumkan oleh Bahagian Komunikasi Korporat Agensi Angkasa Negara (Angkasa).

Gerhana pada 26 Jun ini akan bermula dengan fasa penumbra (P1) pada jam 04:57 petang waktu Malaysia. Walau bagaimanapun, kesan kenampakan gerhana pada fasa ini tidak dapat diperhatikan kerana pada waktu itu Bulan sedang merentasi bayang penumbra Bumi yang kurang gelap dan kebetulan pula pada waktu itu Bulan masih belum terbit dari ufuk.

Fenomena gerhana tersebut hanya dapat disaksikan apabila Bulan mulai terbit pada jam 7:22 malam dan telah pun memasuki bayang umbra Bumi (U1) sejak jam 6:17 petang lagi. Gerhana maksimum akan berlaku pada jam 7:38 malam. Fenomena gerhana ini dapat disaksikan sehingga jam 9:00 malam apabila Bulan keluar sepenuhnya dari umbra Bumi (U4).


Gerhana masih terus berlaku sehingga jam 10:20 malam tetapi fenomena itu tidak dapat disaksikan pada waktu itu disebabkan Bulan berada di kawasan bayang penumbra Bumi yang kurang gelap.

Pihak Angkasa akan menyediakan beberapa buah teleskop bagi membolehkan orang ramai menyaksikan fenomena ini secara percuma, bermula dari jam dari 8:00 malam hingga jam 10:00 malam di Planetarium Negara.

Sesiapa yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Planetarium Negara menerusi talian 03-22734301/4303/5484 atau layari laman web www.angkasa.gov.my/planetarium.

Seperti biasa, marilah kita melakukan solat sunat gerhana bulan (solat sunat khusuf) pada malam tersebut.

NOTA:
Umbra – Bahagian bayang yang sangat gelap
Penumbra – Bahagian luar bayang yang relatifnya lebih cerah

Tuesday, June 22, 2010

Penjara Pudu Sepintas Lalu: Runtuhnya Sebahagian daripada Sejarah

Penjara Pudu ditegakkan oleh penjajah Inggeris di atas tanah seluas 10 hektar di kawasan yang bernama Pudu. Usaha untuk menegakkan bangunan yang menjadi kurungan “pemburu gelaran banduan” ini bermula seawal tahun 1891 dan sempurna pada tahun 1895.

Kelompok “pemburu gelaran banduan” terawal yang menempati kurungan ini diambil dari daerah Jugra, Hulu Langat, Banting, Ampang, Klang, dan Rawang. Pada awal kewujudannya, sebanyak 600 orang “pemburu gelaran banduan” ditempatkan di sini. Oleh sebab jumlah kemasukan mereka terus meningkat, pembesaran dan penambahan terpaksa dilakukan. Akhirnya, setelah dibesarkan dan ditambah, Penjara Pudu telah dapat menjadi tempat “istirahat” yang selesa kepada 2 000 “pemburu gelaran banduan” ini.

Walau bagaimanapun, penjara ini akhirnya mengalami kesesakan (kerana jumlah “pemburu gelaran banduan” semakin banyak). Jumlah yang paling tinggi dicatatkan pada tahun 1985, iaitu sebanyak 6 550 orang. Oleh sebab terlalu banyak dan sesak, para “pemburu gelaran banduan” pernah disyifkan waktu tidur mereka. Keadaan ini sangat berbahaya kepada si “pemburu gelaran banduan” apatah lagi kepada para pegawai yang mengawasi mereka.

Disebabkan oleh kesesakan ini, ditambah pula dengan lokasi yang tidak stategik (di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur) dan kebimbangan terhadap ciri-ciri keselamatannya (kononnya?) akhirnya pada 1 November 1996, Penjara Pudu (Pudu Jail/Pudu Goal) yang sejak lebih 100 tahun tegak “menaburkan baktinya” telah ditutup dengan rasminya.

Sebagai gantinya, sebuah penjara baharu telah dibina di Sungai Buloh di atas satu kawasan yang berkeluasan 89.03 hektar.

Bermula 21 Jun 2010, selepas hampir 14 tahun ditutup dan selepas lebih 100 tahun berkhidmat, Penjara Pudu bakal menamatkan riwayat kewujudannya di dunia ini apabila bermula malam tadi, temboknya mula diruntuhkan. Penjara Pudu – yang pernah menjadi tempat sebilangan orang mendapat petunjuk dan teladan, yang pernah menjadi tempat orang menerima hukuman, yang pernah menjadi saksi kepura-puraan manusia, yang pernah menyaksikan kematian demi kematian, yang tegaknya di situ menggerunkan sebilangan orang – sebahagiannya akan lenyap dari muka bumi Kuala Lumpur. Penjara Pudu, yang pernah menjadi institusi teladan kepada sang politikus dan rakyat marhaen, sang korporat dan orang asing, akan tinggal nama, demi pembangunan.

Calitan sejarah tentang Penjara Pudu:
  • Pernah menjadi “institusi teladan” kepada Datuk Mokhtar Hashim dan Datuk Harun Idris
  • Pernah menjadi tempat “Robin Hood” Malaysia – Botak Chin – dihukum gantung
  • Pernah menjadi tempat Jimmy Chua dan rakan-rakannya “menculik” dan menjadikan pegawai perubatan (doktor) dari HBKL sebagai tebusan
  • Pernah menjadi tempat dua orang rakyat Australia – Brian Geoffrey Chamber dan Kevin Barlow – dihukum gantung
  • PERNAH MENJADI PUNCA KESESAKAN JALAN RAYA KERANA TERDAPAT LUKISAN TERPANJANG DI DUNIA PADA TEMBOK PENJARA ITU, KATA DATUK BANDAR KUALA LUMPUR – DATUK AHMAD FUAD ISMAIL

Tidak Menjadi Kenyataan

Harapan saya (mungkin peminat bola sepak Asia juga) untuk melihat pasukan bola sepak Korea Utara dapat “melakukan sesuatu” terhadap pasukan bola sepak Portugal tidak menjadi kenyataan apabila pasukan dari Asia itu tersungkur di kaki enam orang penjaring gol pasukan Portugal, termasuk Christiano Ronaldo. Pasukan bola sepak Korea Utara tewas dengan keputusan 0-7 (rekod jaringan tertinggi Piala Dunia Edisi 2010 setakat ini).

Semasa menentang pasukan bola sepak Portugal malam tadi, pasukan bola sepak Korea Utara tidak bermain seperti sewaktu mereka kalah di tangan pasukan bola sepak Brazil pada 15 Jun yang lalu. Mereka kelihatan longlai dan “hilang” sentuhan untuk menjaringkan gol. Kita berharap agar pasukan bola sepak Korea Utara dapat memungut mata pada perlawanan terakhir menentang pasukan bola sepak Cote d’Ivoire (Ivory Coast) pada 25 Jun nanti.

Monday, June 21, 2010

Piala Dunia Edisi 2010: Penangannya

Kalau anda pengikut dan penggemar bola sepak, pastilah sekarang anda menjadi sebahagian daripada pelangut di hadapan televisyen untuk menonton siaran langsung atau siaran tertunda atau lintasan menarik yang melibatkan pasukan kegemaran anda yang pada masa ini sedang berentap dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia Edisi 2010 ini. Atau mungkin juga anda tiba-tiba menjadi kaki langut di restoran-restoran mamak untuk menonton semua bentuk siaran itu bersama-sama dengan rakan dan jiran tetangga.

Untuk pertama kali, saya tidak mempunyai satu pasukan kegemaran pun untuk disokong, tetapi buat pertama kali pula saya menaruh harapan kepada pasukan Asia (kecuali Australia) dan Afrika untuk memalukan pasukan-pasukan dari benua lain. Entah mengapa, tiba-tiba saya begitu seronok apabila Korea Selatan dapat mengalahkan Greece, Ghana dapat mengalahkan Serbia, dan Algeria dapat mengikat England. Kini saya berharap agar Afrika Selatan dapat mengalahkan Perancis, Algeria dapat mengalahkan AS, dan Korea Utara dapat mengalahkan Portugal.

Saya juga begitu seronok dengan kedudukan semasa. Perancis, England, Jerman, dan Itali berada dalam kedudukan tidak menentu. Pasukan itu sedang berdepan dengan kemungkinan untuk tersingkir daripada peringkat kalah mati. Kalau hal ini berlaku, keseronokan itu akan berganda-ganda walaupun ada orang berkata ketiadaan empat buah pasukan itu akan mengurangkan kemeriahan Piala Dunia.

Saya tidak pasti sama ada saya ini tergolong sebagai patriotik ataupun sebaliknya tergolong sebagai “emosional”, tetapi saya kurang cenderung untuk menyokong pasukan yang pernah menjajah negara saya – Belanda, Portugal, England, dan Jepun (kebetulannya semuanya layak bermain pada edisi kali ini). Saya mungkin menyukai corak permainan pasukan-pasukan itu dan saya berkemungkinan menyukai beberapa orang pemainnya, tetapi saya tidak kisah kalau mereka kalah, malah saya tidak mahu mereka menang pun apatah lagi menjadi juara dunia!

Oleh sebab kebanyakan rakyat negara ini sedang betul-betul menumpukan perhatian terhadap Piala Dunia, ada antara mereka yang mengabaikan perkembangan sukan tanah air. Mereka sampai tidak tahu negeri manakah yang menjadi juara SUKMA di Melaka baru-baru ini. Mereka juga tidak sedar bahawa dalam Kejohanan Badminton Terbuka Singapura yang berlangsung dari 15 Jun 2010-20 Jun 2010 lalu, tidak ada seorang pemain negara pun yang melepasi peringkat suku akhir. Lee Chong Wei kalah di tangan Soni Dwi Kuncoro pada peringkat suku akhir. Wong Mew Choo kalah teruk di tangan Saina Nehwal di pusingan pertama. Koo Kean Keat dan Tan Boon Heong kalah di pusingan kedua, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pula kalah di pusingan pertama.

Saya menonton siaran langsung Piala Dunia lewat stesen berbayar ASTRO. Seperti tidak ada pilihan lain, saya terpaksa menontonnya di stesen itu. Saya berasa agak hairan, stesen TV yang kaya seperti TV3 serta yang sepayung dengannya seperti NTV7 dan TV9 tidak mendapat hak untuk menyiarkan siaran langsung Piala Dunia ini.

Yang anehnya ialah, ASTRO dan penajanya, seperti memperlekeh kewibawaan bekas pemain tempatan untuk menganalisis dan mengulas setiap perlawanan. Mereka tergamak untuk mengundang bekas pemain dari negara luar yang pernah membuang najis ke muka kita untuk menjadi penganalisis dan pengulas permainan. Walhal, dalam promosi mereka, pemain seperti Datuk Soh Chin Aun, James Wong, Hassan Sani, dan Santokh Singh diketengahkan mereka sebagai wira, tetapi apabila tiba dalam perlawanan sebenarnya, mereka langsung tidak diundang untuk menganalisis dan mengulas sesuatu perlawanan itu.

Saya fikir, masih banyak antara kita yang masih ingat pengulas dan penganalisis yang bernama Abbas Saad yang diundang oleh ASTRO itu. Orang ini adalah antara orang yang terlibat dalam aktiviti mengatur perlawanan dalam Liga Malaysia pada tahun 1990-an dahulu sehingga beliau diharamkan bermain bola sepak di rantau ini. Tony Cottee pula merupakan orang yang pernah melarikan diri daripada pasukan Selangor selain mencela dan memperlekeh budaya dan amalan beragama di negeri Selangor.

Mengapakah stesen TV berbayar itu tidak peka akan hal ini? Serbegeth Singh tidak layakkah berbanding dengan Abbas Saad itu? Datuk Soh Chin Aun “koman” sangatkah berbanding dengan Tony Cottee itu? Dan, tidak bolehkah bahasa Melayu digunakan untuk mengulas dan menganalisis sesuatu perlawanan? Tidak cukup dengan satu saluran sahaja!

Kerana banyak orang yang sedang “demam” sekarang, maka mereka pun makan sahajalah apa-apa yang disodorkan kepada mereka walhal apa-apa yang disodorkan itu pernah meninggalkan kesan sampingan kepada mereka!

Benarkah Mantan Mufti Itu akan Berpakaian UMNO?

Kalangan penyokong UMNO begitu gembira apabila Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin dikhabarkan akan menjadi ahli parti itu bersama-sama dengan ratusan pengikutnya. Saya yakin, hal yang sama juga akan dirasai oleh para penyokong PAS jika mantan mufti itu menganggotai parti mereka. Pilihan Dr. Mohd. Asri itu tidak wajar dipertikaikan sekiranya kita benar-benar menghayati amalan demokrasi di negara ini.

Dengan pendirian yang tetap dan konsisten, saya fikir mantan mufti itu memang wajar menganggotai UMNO yang kadang-kadang memperlihatkan pendirian Islam yang kurang mantap. Hal ini tidak sukar untuk dibuktikan – pemberian lesen pertaruhan (judi) sukan (yang diumumkan oleh menteri daripada UMNO sendiri) adalah antara contohnya. Kesambalewaan kerajaan yang ditunjangi UMNO dalam mempraktikkan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan juga adalah antara contoh yang jelas.

Oleh itu, penyertaan beliau dalam UMNO kelak akan membolehkan beliau menegur parti itu dari dalam dan cara ini lebih berkesan dan berbekas kepada semua ahli UMNO (termasuk para pemukanya) berbanding dengan kiranya beliau berada di luar parti itu. Walau bagaimanapun, beliau mungkin berdepan dengan kesukaran untuk mengubah mentaliti segelintir ahli UMNO yang kadangkala seperti mempertikaikan dan memperlekeh peranan ulama dan mufti.

Sebagai seorang yang waras, beliau sudah tentu berfikir akan buruk baik pilihannya itu. Beliau memilih UMNO kerana barangkali beliau sedar bahawa banyak yang dapat diberikannya kepada parti itu jika dibandingkan beliau memilih PAS. “Jangan fikirkan apa-apa yang akan diberikan oleh pihak lain kepada kita tetapi fikirkanlah apakah yang dapat kita sumbangkan kepada pihak lain itu,” agaknya itulah prinsip perjuangan Dr. Mohd. Asri. Wallahu a‘lam.

Cuma, berita kemasukan beliau ke dalam UMNO sudah sahihkah?

Thursday, June 17, 2010

Kisah “Mat”/“Mad”

Pernahkah terfikir oleh benak kita bagaimanakah nama “Mat”/“Mad” itu sangat popular dalam kalangan umat Melayu sehingga nama itu menjadi gelar dan rujukan kepada pelbagai watak dan perwatakan orang Melayu? Bukan sedikit jumlah “Mat”/“Mad” yang digandingkan dengan imej-imej dan sifat-sifat negatif dan hal ini seperti sudah menjadi lumrah dan membudaya dalam masyarakat kita. Seperti yang kita maklum, nama “Mat”/“Mad” itu sudah tentulah dirujuk kepada orang lelaki (tidak semestinya Melayu).

Antara contoh “Mat”/“Mad” yang berganding dengan imej-imej dan sifat-sifat negatif termasuklah “Mat”/“Mad” Jenin (lelaki yang kuat berangan-angan), “Mat”/“Mad” Gian/Pet (lelaki penagih dadah), “Mat”/“Mad” Jiwang (lelaki yang sentimental), “Mat”/“Mad” Cintan (lelaki yang kaki cinta), “Mat”/“Mad” Rempit (lelaki yang suka berlumba haram), “Mat”/“Mad” Tenggek (lelaki yang suka makan percuma), “Mat”/“Mad” Rambu/Rewang (lelaki yang suka ke sana ke mari), “Mat”/“Mad” Kapur (lelaki yang suka mencuri), dan puluhan imej negatif yang lain.

Hal ini tidak termasuk dengan gelar yang diberikan kepada lelaki yang memikul jawatan tertentu atau menjadi pengamal/penggemar sesuatu bidang seperti “Mat”/“Mad” Despatch lelaki penghantar surat), “Mat”/“Mad” Rok (lelaki penggemar/pengamal muzik rok), “Mat”/“Mad” Kilang (lelaki pekerja kilang), “Mat”/“Mad” Smart (lelaki yang berpenampilan kemas), dan sebagainya.

Sesetengah “Mat”/“Mad” digunakan untuk merujuk kepada bangsa seperti “Mat”/“Mad” Salih (orang Eropah), “Mat”/“Mad” Hitam (Negro), dan lain-lain.

Dalam situasi lain, kalau empunya diri memang memiliki nama “Mat”/“Mad” dan kebetulan dia memiliki ciri tertentu, maka orang dengan senang hati memanggilnya dengan panggilan seperti “Mat”/“Mad” Misai (kerana si “Mat”/“Mad” itu bermisai), “Mat”/“Mad” Jongang (kerana si “Mat”/“Mad” itu bergigi jongang), “Mat”/“Mad” Buntal (kerana si “Mat”/“Mad” itu berperut gendut seperti ikan buntal), dan sebagainya.

Banyak juga “Mat”/“Mad” yang menjadi pangkal nama tokoh-tokoh negara seperti “Mat”/“Mad” Kilau, Wan “Mat”/“Mad” Saman, “Mat”/“Mad” Sabu, dan sebagainya.

Soalnya sekarang ialah dari manakah asalnya nama “Mat”/“Mad” yang digunakan dengan leluasa dan serampangan oleh orang Melayu itu? Saya yakin (terpulang kepada anda sama ada hendak meyakini dan menerimanya ataupun sebaliknya) asal nama “Mat”/“Mad” yang sangat popular dan sudah membudaya dalam kalangan kita umat Melayu itu adalah daripada hujung nama MUHAMMAD/AHMAD, iaitu nama Rasululullah SAW yang kita kasihi.

Jadi, saya secara peribadi, berasa agak terkilan dan bersalah kerana membiarkan orang dengan bersewenang-wenang menyalahgunakan nama insan yang dimuliakan Allah SWT itu pada sifat-sifat negatif manusia seperti “Mat”/“Mad” Jenin, “Mat”/“Mad” Gian/Pet, “Mat”/“Mad” Jiwang, “Mat”/“Mad” Cintan, “Mat”/“Mad” Rempit, “Mat”/“Mad” Tenggek, “Mat”/“Mad” Rambu/Rewang, “Mat”/“Mad” Kapur, dan sebagainya itu.

Saya yakin, kalian malah saya sendiri, akan berasa sangat marah kalau anak kita yang kita beri nama Muhammad Iqbal, misalnya, tetapi oleh sebab anak kita itu katik atau berbibir tebal seperti Negro atau berkaki pendek sebelah dan sebagainya, maka anak kita itu dipanggil oleh rakan-rakannya dengan panggilan Mat/Mad Katik, Mat/Mad Negro, Mat/Mad Tempang, dan sebagainya.

Jadi, agak-agaknya, tidak murkakah Allah SWT kalau nama MUHAMMAD/AHMAD kekasih-Nya itu disebut sebagai “Mat”/“Mad” sahaja dan dipadankan dengan sifat-sifat yang negatif pula?

(Kecenderungan orang Melayu menyebut dan menggunakan nama secara serampangan ini turut melibatkan nama Allah SWT sendiri – Abdur-Rahman menjadi Deraman, Abdullah disebut Dollah, Razak dipanggil Ajak, Jabbar dipanggil Jabor, dan sebagainya.)

Marilah kita kembali menghormati nama Nabi kita (dan nabi-nabi lain juga) serta nama Tuhan kita, Allah SWT.

Wednesday, June 16, 2010

“Fair Lady”, “Ladies First”/”Go to Ladies First”, dan “First Lady”

“Fair Lady” boleh diterjemahkan sebagai “Wanita yang Berkulit Cerah” atau “Wanita yang Adil”. “My Fair Lady” ialah judul sebuah filem muzikal yang terhasil pada tahun 1964. Tidaklah dapat saya pastikan apakah terjemahan yang sesuai untuk judul filem itu. Bagi peminat kereta pula, mereka sangat tahu bahawa “Fair Lady” ialah salah satu jenama kenderaan keluaran Nissan yang unggul. (Anak tunggal saya, malah ibunya juga, sangat meminati kereta ini.)

“Ladies First” ialah suatu ungkapan yang menjadi suatu bentuk budaya Barat yang memuliakan golongan Hawa dalam kebanyakan keadaan. Sebagai misalannya, dalam majlis makan, wanita didahulukan untuk mengambil makanan, semasa menaiki bas wanita dibiarkan naik dahulu, dan sebagainya lagi (budaya ini sangat asing dalam kehidupan orang Melayu.)

Berdasarkan nada percakapan, “Ladies First” (kalau diungkapkan wanita) boleh juga bermaksud “Go To Ladies First”. Kalau bermaksud “Go To Ladies First”, dapatlah kita fahami bahawa ungkapan itu menjelaskan seseorang wanita berhajat untuk pergi ke tandas lebih dahulu sebelum melakukan aktiviti lain bagi melepaskan hajat mereka.

“First Lady” ialah “Wanita Pertama”, iaitu secara umumnya merujuk kepada wanita yang menjadi isteri pemimpin utama sesebuah negara. Walau bagaimanapun, ada ketika dan dalam keadaan yang berlainan, anak seorang ketua negara juga dirujuk sebagai First Lady sekiranya isteri ketua negara itu meninggal dunia. Pernah juga Presiden Amerika Syarikat yang bujang, James Buchanan, mengangkat anak saudara perempuannya sebagai “First Lady”.

Di negara kita, gelar “First Lady” bukanlah penting sangat. Kita pun masih kabur, siapakah antara mereka ini – DYMM Yang di-Pertuan Agong dan YAB Perdana Menteri – yang merupakan ketua negara kita yang membolehkan isteri masing-masing kita gelar sebagai “First Lady”. Malah, keadaan ini menjadi lebih sukar kalau banyak orang yang mengejar-ngejar gelar ini. Di Malaysia, ada 13 buah negeri. Setiap negeri – dari Perlis sampailah ke Sabah – semuanya ada Raja/Sultan atau Yang Dipertua Negeri dan Menteri Besar atau Ketua Menteri. Kesemuanya ada isteri. Kalau setiap isteri Raja/Sultan atau Yang Dipertua Negeri dan Menteri Besar atau Ketua Menteri itu menghendaki orang merujuk diri masing-masing sebagai “First Lady”, hah berapa banyak “First Lady”kah yang ada di negara ini kelak?

Hairan kita dengan keadaan ini, tidak mahukah mereka menghampirkan diri mereka dengan gelar Ummu Hasanah, Ummu Sobirin, Ummu Jihad, dan lain-lain (bukan Ummu Mukminin). Bukankah gelar itu lebih baik dan tinggi darjatnya di sisi Allah SWT daripada gelar “First Lady” itu?

Tuesday, June 15, 2010

Kerenah Politik yang Rencam dan Menyesakkan Nafas

YANG BERLAKU I

Pemuda Gerakan Kedah berharap agar pemerintah Malaysia akan menimbangkan syor mereka supaya orang bukan Melayu daripada generasi ketiga diberi taraf Bumiputera. Syor ini ditimbulkan oleh Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Lian berpandukan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd. Nazri Tan Sri Abdul Aziz bahawa 60 000 orang Siam di Semenanjung dikategorikan sebagai Bumiputera dan mengecap nikmat dan hak sebagai orang Bumiputera seperti orang Melayu. Untuk rujukan lanjut, layari http://www.thesundaily.com/article.cfm?id=47878.

YANG BERLAKU II

Tun Dr. Mahathir Mohamad beranggapan bahawa pemberian lesen judi sukan kepada pihak yang berkenaan adalah wajar. Beliau berkata bantahan pembangkang – DAP dan PKR, khususnya PAS – terhadap pengeluaran lesen judi itu adalah bermotifkan politik. Pada pandangan beliau, pengeluaran lesen judi sukan bersempena dengan Piala Dunia 2010 ini dapat membendung kegiatan itu berlaku dengan leluasa.

“Mungkin pendapat saya berbeza sedikit dengan orang lain. Sama ada lesen judi dikeluarkan atau tidak, judi tetap berlaku di negara kita kerana orang-orang Cina memang suka berjudi.

“Jadi, kalau dia berjudi tanpa lesen, tidak ada satu cara untuk kita menentukan perjudian itu tidak berleluasa. Ini kerana judi tidak haram bagi orang Cina, tetapi haram bagi orang Islam.

“Orang Islam jangan berjudilah. Kalau mereka didapati berjudi tangkaplah mereka,” katanya ketika ditanya mengenai lesen untuk menjalankan operasi pertaruhan di Malaysia selepas berucap pada program Melayu Bangkit anjuran Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) di Kuala Terengganu semalam.

ULASAN

Daripada Yang Berlaku I

Inilah antara senario yang saya katakan lewat titipan saya yang lalu. Kerana kita telah terlalu banyak memberi, maka mereka tidak pernah segan dan tidak pernah berhenti untuk meminta. Mereka tidak pernah berasa cukup dan mereka tidak pernah berasa bersyukur. Walhal, pada pandangan saya, kewajaran orang berbangsa Siam itu diberi hak dan keistimewaan sebagai orang Bumiputera sangat wajar dan tepat kerana asalnya serumpun dengan kita. Sebaliknya, mereka yang meminta tanpa rasa segan dan malu itu langsung tidak serumpun dengan kita. Wallahua‘lam.

Daripada Yang Berlaku II

Kenyataan-kenyataan mantan PM itu memang meragukan kita terhadap dirinya sebagai orang Islam, sebagai peneliti masyarakat, dan sebagai anggota masyarakat.

§ Mengatakan bahawa pengeluaran lesen judi sukan dapat membendung kegiatan itu daripada berlaku secara leluasa samalah dengan mengatakan bahawa pengeluaran lesen pelacuran dapat membendung seks bebas dengan leluasa.

§ Mengatakan bahawa bangsa/kaum Cina memang suka berjudi adalah suatu bentuk penghinaan kepada bangsa/kaum itu, iaitu mengelaskan bangsa/kaum Cina (termasuk bangsa/kaum Cina yang telah memeluk agama Islam, Kristian, dan sebagainya) sebagai antara bangsa/kaum yang sangat rendah moralnya.

§ Saranan beliau supaya pihak berkenaan menangkap orang Islam yang berjudi merupakan satu saranan yang dangkal. Hal ini demikian kerana pada Jun 1997 dahulu, apabila pihak berkuasa agama sebuah negeri menangkap tiga orang gadis Melayu-Islam yang menyertai pertandingan ratu cantik, mantan PM itu begitu melenting (walhal perbuatan mendedahkan aurat adalah haram kepada orang Islam dan pelakunya haruslah dihukum. Malah, undang-undang yang mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik di negeri itu telah diluluskan dua tahun lebih awal daripada penangkapan itu. Yang meluluskannya ialah DUN negeri berkenaan [diterajui UMNO-BN]. Kelulusan itu kemudiannya diwartakan pada Mei 1995.)

Seperti yang dikatakan tadi, tindakan pihak berkuasa agama itu telah menyebabkan mantan PM itu berasa kesal, malah beliau telah menuduh pihak berkuasa agama negeri itu tidak memahami tuntutan agama. Beliau seterusnya membidas pihak berkuasa agama dengan dakwaan kononnya mereka telah menyalahgunakan kuasa. Tindakan menggari ketiga-tiga pesalah tersebut, pada pandangan mantan PM itu adalah melampau dan menjejaskan imej Malaysia.

Jadi, bagaimanakah penangkapan hendak dibuat (dalam hal judi sukan ini) kalau risiko campur tangan pemimpin seperti itu bakal dihadapi oleh pihak berkuasa agama?

Kita – rakyat Malaysia hari ini – dari hari ke hari, diuji dan diduga dengan kerenah politik yang berbagai-bagai – rencam dan menyesakkan nafas. Kerenah itu pula membabitkan kedudukan kita, kepentingan bangsa kita, dan kedaulatan agama kita. Yang menimbulkan kerenah ini pula bukan dilakukan oleh orang yang berlainan bangsa dengan kita semata-mata tetapi juga oleh orang yang sebangsa dan seagama dengan kita. Jadi, bagaimana?

Monday, June 14, 2010

Al-Fatihah untuk Ustaz Hassan Shukri

Ustaz Hassan Shukri (ahli Majlis Syura Ulama PAS) telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi. Al-Fatihah untuk almarhum. Almarhum ialah mantan Pesuruhjaya PAS Selangor dan mantan Timbalan Presiden PAS. Beliau pernah dilantik sebagai Senator oleh kerajaan Negeri Terengganu semasa PAS memerintah negeri tersebut dahulu. Beliau telah dianugerahi Tokoh Maal Hijrah peringkat Negeri Selangor baru-baru ini atas jasa-jasa beliau kepada kerja-kerja dakwah dan amal Islami di negeri Selangor.

Beliau seorang yang tekal dalam perjuangannya. Beliau tidak pernah menyertai parti lain tatkala rakan-rakan dan ketuanya beralih arah, beliau tetap bersama partinya walaupun beliau dijatuhkan, beliau tidak mengejar gelaran dan beliau tidak mengaharapkan imbalan. Beliau adalah antara Orang Perjuangan.

Untuk maklumat lanjut, layari http://msomelayu.blogspot.com/.

Sunday, June 13, 2010

Judi Sukan: Muktamadkan Segera

Salah satu daripada dua pihak ini – Berjaya Corporation dan Kerajaan Malaysia –sangat saya yakini bahawa telah bercakap jujur dan benar. Sebagai ingatan, yang dikatakan oleh pihak Berjaya Corporation adalah bahawa mereka telah mendapat kelulusan kerajaan untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan secara sah. Pihak Kerajaan Malaysia pula berkata bahawa hal ini belum dimuktamadkan lagi.

Dalam waktu kedua-dua pihak sedang berusaha untuk meyakinkan rakyat yang jelas menentang “pemberian” lesen itu, Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia sudahpun bermula. Sudah dimulakankah oleh Ascot Sports Sdn Bhd pertaruhan untuk kehohanan itu?

Semalam, pihak Berjaya Corporation mempertahankan pengumuman yang telah dibuatnya kepada kepada Bursa Malaysia pada 12 Mei lalu bahawa mereka akan mengambil alih 70% pegangan dalam syarikat yang memiliki lesen pertaruhan sukan – Ascot Sports Sdn Bhd. Ketegasan ini sekali gus menyanggah kenyataan Menteri Kewangan yang mengatakan pemberian lesen itu “belum muktamad”.

Kita faham bahawa kesungguhan pihak Berjaya Corporation mempertahankan pengumuman itu adalah untuk meyakinkan para pemegang saham dan pihak yang berminat untuk membeli saham mereka. Sebarang ketidaktentuan sudah pasti akan menjejaskan reputasi dan prestasi mereka di Bursa Malaysia. Di pihak kerajaan, pendirian untuk “tidak memuktamadkan” pemberian lesen itu adalah untuk menjaga hati dan meredakan kemarahan dan penentangan rakyat.

Kerajaan yang memerintah (BN yang dikepalai UMNO) memang sangat berhati-hati dalam hal ini – seperti memalu ular: tanah tidak lembang, kayu tidak patah tetapi ular biar mati. Hal ini demikian kerana Berjaya Corporation sangat berjasa kepada mereka (ada pihak yang mendakwa bahawa Berjaya Corporation adalah antara penyumbang dana kepada BN-UMNO, wallahua‘lam). Mereka (BN-UMNO) sudah pasti tidak mahu mengecewakan Berjaya dan pada masa yang sama tidak mahu mengesampingkan penentangan rakyat yang mengundi mereka – dalam keadaan tertentu, kedua-dua pihak ini “menjadi penentu kemenangan” mereka dalam pilihan raya.

Oleh sebab itulah, ada pihak yang meragui penentangan kerajaan negeri (Selangor dan Pulau Pinang) yang tidak membenarkan operasi pertaruhan sukan ini dilakukan di negeri mereka. Adakah mereka menentangnya kerana judi bersalahan dengan tuntutan agama dan moral atau kerana mereka bimbang kerajaan BN-UMNO akan memperoleh dana yang besar daripada Berjaya bagi membiayai perbelanjaan PRU akan datang yang akan menyukarkan PR merealisasikan cita-cita mereka?

Walau apa-apa pun hasrat kerajaan negeri, masyarakat, dan lain-lain, kita tidak harus sama sekali menyisihkan hakikat bahawa JUDI adalah salah satu punca keruntuhan sistem sosial masyarakat yang akhirnya merugikan negara, bangsa, dan agama.

Kepada Menteri Kewangan, hal ini perlu difikirkannya – keterlibatan orang Melayu dalam hal-hal yang negatif melebihi bangsa lain. Majoriti penghidap HIV/AIDS ialah Melayu-Islam, majoriti penagih dadah juga Melayu-Islam, majoriti remaja merempit pun Melayu-Islam, majoriti orang yang membuang anak dan membuat anak haram Melayu-Islam juga. Fikir-fikirkanlah natijah daripada judi ini juga.

Friday, June 11, 2010

Orang Perjuangan Itu Apakah Ciri-cirinya?

Orang Perjuangan, bekal perjuangan mereka keikhlasan. Mereka tidak memiliki bekal lain, tidak mempunyai matlamat lain melainkan ikhlas itulah. Perjuangan yang ikhlas bermaksud semua itu dilakukan demi Allah, kerana Allah. Orang Perjuangan tidak menjadikan harta, imbalan, gelaran, pangkat, darjat, dan penghormatan sebagai matlamat perjuangannya. Malah, Orang Perjuangan mengorbankan harta, gelaran, pangkat, darjat untuk memperlengkap perjuangan mereka.

Sayidina Abu Bakar as-Siddiq, Usman ibn Affan, Abdur-Rahman ibn Auf dan banyak lagi adalah antara contoh Orang Perjuangan. Bukan sedikit harta yang dicurahkan mereka demi pegangan yang diperjuangkan mereka, bukan sekali mereka menolak anugerah, gelar, dan pangkat daripada pemuka Quraisy.

Orang Perjuangan tidak menjadikan penderitaan dan kesengsaraan, kepayahan dan kedukaan sebagai penghalang perjuangan mereka. Penderitaan kesengsaraan, kepayahan kedukaan bagi Orang Perjuangan adalah untuk dilalui dan dihadapi bukan untuk dihindari, disesali, dan ditangisi.

Salahuddin al-Ayyubi juga Orang Perjuangan. Beliau anak kenamaan. Bapanya Gabenor. Sebelum bergelar sebagai Sultan Mesir, Salahuddin anggota tentera bapa saudaranya, Shirkuh (panglima tentera pemerintah Mesir, Sultan Nuruddin). Salahuddin menggantikan bapa saudaranya sebagai panglima selepas kematian bapa saudaranya itu. Pelantikan beliau sebagai Sultan adalah antara kemuncak kejayaannya sebagai Orang Perjuangan. Orang Perjuangan seperti beliau langsung tidak berhajat akan jawatan. Beliau dipilih, bukan merampas kekuasaan daripada Shirkuh atau Sultan Nuruddin.

Sebagai Sultan dan pemimpin perang – Orang Perjuangan – beliau kerap menang dalam perang (Perang Salib). Apakala beliau mangkat pada tahun 1193, harta yang ditinggalkannya sebagai belanja pengebumiannya hanyalah sekeping wang emas dan empat keping wang perak/wang berjumlah lima dinar. Itu sahajalah yang ditinggalkannya sebagai Orang Perjuangan kerana hampir kesemua hartanya telah diberikannya kepada rakyatnya yang miskin.

Kita – saya dan kalian – saya yakin, masih kabur mata dan kabur fikiran. Tegasnya, kita masih tidak tahu sama ada hendak menggolongkan para pemuka kita – baik yang memerintah ataupun yang membangkang – sebagai Orang Perjuangan seperti tokoh-tokoh yang namanya disebutkan itu. Orang Perjuangan benar-benar mendahulukan agamanya, negaranya, rakyatnya bukan mendahulukan anak dan bininya, kawan dan kroninya, saudara-mara dan saudari-marinya.

Para pemuka kita, barangkali memang Orang Perjuangan juga. Yang berbeda ialah perkara, bentuk, dan matlamat perjuangan mereka. Mereka lazimnya berjuang untuk mewah serba-serbi – rumah agam, kereta canggih, saham berkepuk, bini berbaris (tidak kira dipinang cara sah atau perlu menghunus keris). Tidak cukup yang itu, gelar dan penghormatan, pangkat dan darjat dihambat-hambat.

Saya ingin mengingatkan, kalau kalian menggolongkan diri kalian sebagai Orang Perjuangan, janganlah gelar dan pangkat, harta dan darjat kalian hambat-hambat. Jadikanlah Abu Bakar, Usman, Abdur-Rahman, dan Salahuddin contoh teladan. Nama mereka harum mewangi di langit dan di bumi bukan kerana gelar dan pangkat, harta dan darjat tetapi kerana perjuangan mereka. Nama mereka harum bukan kerana rumah agam, kereta canggih, saham berkepuk, bini berbaris tetapi kerana ada ikhlas dalam perjuangan sebagai Orang Perjuangan. Orang Perjuangan merealisasikan matlamat bukan merealisasikan nafsu.

Dan sebagai Orang Perjuangan, kalau kelak dengan perjuangan kalian itu sampai kalian beroleh gelar dan pangkat, harta dan darjat, ingatlah kalian bahawa semua yang kalian peroleh itu adalah kerana kalian khlas berjuang lalu kalian dipandang, bukan kerana kalian merayu dan menadah tangan. Sebaliknya, kalau dengan perjuangan kalian sebagai Orang Perjuangan kalian tidak beroleh apa-apa – gelar dan pangkat, harta dan darjat – kalian memang tidak mengharapkannya kerana yang kalian harapkan hanyalah ingatan rakyat, keredhoan Allah Azza wa Jalla.

Sebenarnya, wahai Orang Perjuangan, upah kelelahan kalian cukuplah dengan yang perlu-perlu sahaja (wang sara yang seadanya)! Janganlah kalian harapkan wang dan harta daripada taikun dan tauke. Janganlah kalian idam-idamkan siang malam Tun dan Tan Sri, Datuk dan Datuk Seri, Datuk Paduka dan Datuk Wira, Datuk Patinggi dan entah apa-apa lagi. Cukuplah dengan yang seada-adanya supaya kalian tidak malu sendiri apatah lagi kalau misalnya sampai satu waktu kelak Tun dan Tan Sri, Datuk dan Datuk Seri, Datuk Paduka dan Datuk Wira, Datuk Patinggi dan entah apa-apa lagi itu diambil kembali oleh orang yang memberi. Lagipun, Tun dan Tan Sri, Datuk dan Datuk Seri, Datuk Paduka dan Datuk Wira, Datuk Patinggi dan entah apa-apa lagi itu ada dalam pandangan Allahkah?

Sebagai pemuka wahai para pemukaku, sebagai Orang Perjuangan lebih tepatnya, harta kalian yang sebenar-benarnya adalah untuk nikmat dan kesejahteraan rakyat kalian! Kalau kalian menghendaki harta dan pangkat, gelar dan darjat, senangkanlah rakyat kalian dahulu! Dan cara kalian menyenangkan rakyat kalian dan diri kalian bukan daripada sumber seperti Ascot Sports Sdn Bhd, tetapi haruslah daripada sumber yang suci dan menyucikan.

Ah, susah kami hendak meletakkan kalian sebagai Orang Perjuangan! Rasa-rasanya, kalian memang bukan Orang Perjuangan. Kami membayar hampir segala-galanya – belanja tol dan belanja petrol, caj parkir dan caj servis, caj telefon, caj elektrik, dan caj air, serta belanja hospital dan belanja keraian– kalian apakah yang kalian bayar? Parkir lima puluh sen pun kerajaan bayarkan!

Wednesday, June 9, 2010

Dari 4 hingga 40: Di Manakah Sialnya?

Sesetengah orang beranggapan bahawa angka 4 (EMPAT) membawa sial. Oleh sebab angka itu dianggap sebagai sial, maka sedapat yang mungkin orang yang beranggapan bahawa angka 4 itu membawa sial mencuba untuk mengenyahkan angka itu daripada kehidupan mereka.

Dalam hal ini, bukan sedikit jumlah orang yang menolak penggunaan angka itu pada plat kenderaan mereka. Begitu juga, bukan sedikit pemilik bangunan yang “takut” untuk menyenaraikan angka 4 sebagai tingkat-tingkat bangunan mereka. Kerana takut, tingkat-tingkat yang berkait dengan nombor 4 ditulis sebagai tingkat 3A, 13A, 23A, dan seterusnya atau mereka langsung melangkaukan tingkat yang berkenaan ke nombor-nombor yang berikutnya.



Seorang rakan saya yang meyakini kesialan angka 4 itu memperlekeh kereta adik saya kerana satu daripada nombor yang tertera pada plat kereta adik saya itu ialah nombor 4. Saya membiarkannya berkata apa-apa yang diyakininya dengan nombor 4 itu dan dia kelihatan begitu angkuh dengan kefahamannya itu. Mujurlah adik saya yang panas baran tidak mendengar perbualan kami itu. (Mungkin tidak berlaku pergaduhan kalau adik saya sampai mendengar perbualan kami itu, tetapi pasti ada pertengkaran jika dia ikut mendengarnya.)

Setelah membiarkan kawan saya itu berhujah, akhirnya saya berkata kepadanya, setiap orang termasuklah awak sendiri, kata saya, akan memiliki angka 4 dalam hidup mereka – bermula dari usia awak 4 saat, 4 minit, 4 jam, 4 hari, 4 minggu, 4 bulan, sehinggalah umur awak yang sudah melewati 40 tahun sekarang ini. Awak sekarang sudah mewarisi perniagaan bapa awak. Perniagaan itu semakin maju dan saya tidak nampak apa-apa tanda kesialan pada diri dan perniagaan awak pada usia 40 tahun awak. Malah, kata saya, bapa awak sendiri tidak mati pada usianya 40 tahun, tetapi mati pada usia 60 atau 70 tahun. Jadi, di manakah sialnya angka 4 itu, saya menyoalnya.

Dia diam. Matanya, saya lihat, terkebil-kebil. Ada senyuman yang kemalu-maluan di bibirnya. Barangkali hujah saya masuk ke dalam fikirannya, wallahua‘lam. Buat seketika, idea yang muncul tiba-tiba sehingga mendorong saya berkata sedemikian menyebabkan saya berasa lebih bijak daripadanya (walhal Allah SWT jualah yang menghadirkan idea yang membolehkan saya memperosokkan keangkuhannya itu).

Saya jarang-jarang berjumpa dengan orang yang berbeda pendirian dengan rakan saya itu – tidak meyakini kesialan angka 4 melainkan semuanya berkata hal yang sama – bahawa angka 4 sial, sial, sial! Tetapi bekas jiran saya sejak tahun 1994 hingga tahun lalu sangat terbuka dalam hal-hal seperti ini. Daripada pemerhatian saya, saya mendapati mereka sekeluarga tidak mengendahkan kefahaman itu. Nombor plat kedua-dua buah kereta mereka mempunyai angka 4, malah mereka “berhenti beranak” setelah mereka beroleh 4 orang anak (yang bongsu lelaki). Saya lihat, tiada kesialan dalam hidup mereka. Buktinya, selepas mengambil VSS daripada syarikatnya bekerja, si suami beroleh pekerjaan baharu yang memerlukannya selalu ke luar kawasan hingga ke luar negara. Tidak beberapa lama dia bekerja di syarikat baharu, mereka suami isteri membeli rumah berbandung dua tingkat (sebelum itu rumah teres dua tingkat) dan berpindah ke situ pada tahun lalu. Sialkah itu?

Saya memanjanglebarkan hal ini kerana ada pihak lain yang berkata bahawa Life begin at fourty. Maksudnya ialah usia 40 tahun menjadi penanda aras kepada kehidupan yang sebenarnya. Dalam erti kata yang lain, angka 4 (40) itu langsung tidak mencerminkan kesialan tetapi kematangan, sama ada kepada lelaki ataupun kepada wanita (walaupun ada segelintir wanita yang mendakwa bahawa usia 40 tahun ialah usia kematangan untuk wanita dan usia kegatalan untuk lelaki. Hm, marilah kita berdoa agar Allah SWT menghidayatkan wanita yang berfikiran demikian kerana kegatalan lelaki bermula jauh lebih awal daripada usia itu).

Barangkali, kerana kematangan (bukan kesialan) manusia bermula dari usia 40 tahunlah, maka Nabi Muhammad SAW diangkat oleh Allah SWT sebagai Rasul-Nya pada usia itu. (Agaknya, para Rasul yang terdahulu daripada Nabi Muhammad SAW pun diangkat sebagai Rasul pada usia 40 tahun, wallahua‘lam.)

Sama ada orang akan benar-benar matang pada usia itu (lebih banyak memperbaik diri sendiri dan orang sekitarnya atau lebih banyak merosakkan dirinya dan orang sekitarnya), bergantung pada kecenderungan mereka. Jangan menyerahkan hal ini (perubahan) kepada keadaan semata-mata tetapi berusaha dan berikhtiarlah. Ada doa yang elok dibaca tatkala menginjak usia ini. Doa tersebut terkandung dalam surah Al-Ahqaf, ayat 15 yang bermaksud:

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah aku supaya tetap bersyukur akan nikmat yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu, dan sesungguhnya aku dalam kalangan orang Islam (yang tunduk patuh kepada-Mu)”.

Saya yakin, tidak ada apa-apa kesialan pun yang dilekatkan oleh Allah SWT pada sesuatu perkara, keadaan, dan unsur-unsur lain yang dicipta-Nya di muka bumi ini. Kita saja yang memandai-mandai dan mereka-reka cerita. Sebagai akibatnya, kita yang takut sendiri.

Tuesday, June 8, 2010

Kekeliruan Baharu Pula Tercetus

Dalam notisnya kepada Bursa Malaysia pada 12 Mei 2010 lalu, Berjaya menyatakan bahawa Kementerian Kewangan telah memberikan kelulusan berhubung pemberian semula lesen kepada Ascot Sports Sdn Bhd untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan.

Di pihak Kerajaan pula, Kementerian Kewangan melalui Menterinya menyatakan bahawa lesen berkenaan masih belum dikeluarkan kerana masih menunggu maklum balas daripada orang ramai di samping ada beberapa syarat yang sedang dirangka. Kenyataan daripada pihak Kerajaan itu diberikan oleh YAB Dato’ Seri Mohd Najib bin Haji Tun Abdul Razak selaku Menteri Kewangan dalam jawaban bertulisnya kepada soalan YB Abd. Khalid Abdul Samad (MP Shah Alam), YB Tian Chua (MP Batu), YB Loke Siew Fook (MP Rasah), dan YB Dato’ Paduka Ibrahim Ali (MP Pasir Mas), di Parlimen semalam.

Saya berpandangan bahawa semua kekeliruan ini tercetus daripada kedegilan pihak yang memberikan kelulusan untuk menerima pandangan rakyat, khususnya pandangan agama Islam, iaitu agama yang dianuti oleh Menteri Kewangan serta kebanyakan Menteri UMNO yang lain.

Sekiranya kedegilan ini terus bersarang di dalam dada mereka, percayalah lebih banyak kekeliruan akan muncul (penyataan yang menggambarkan ada judi halal dan ada judi haram pun kekeliruan juga). Yang dikhuatiri, kekeliruan ini menampakkan ketidakcerdikan mereka dalam usaha hendak memperbodoh rakyat yang ternyata semakin lama semakin cerdik dan mantap agama dan moral mereka.

Saya fikir, jemaah kabinet yang lain, perlu benar-benar berani menyatakan yang benar dan menegur kesilapan ketua mereka. Jangan bimbang kehilangan kuasa dan jawatan kerana menyatakan yang benar itulah kuasa yang sebenar-benarnya. Apakah gunanya menjadi pak turut kalau kalian menjadi melukut di sisi Allah Azza wa Jalla. Lagipun, eloklah kehilangan kuasa daripada kehilangan syurga.

Monday, June 7, 2010

Biarlah Dia Bertaruh Sukan Bola Sepak kerana Dia Hendak Berderma

Mari kita anggarkan bersama-sama, berapa banyak keuntungankah yang bakal diperoleh oleh Ascot Sports Sdn Bhd daripada operasi pertaruhan sukan yang diberikan oleh kerajaan? Pada hemat saya, tentu berbilion-bilion RM. Jika tidak mendapat keuntungan yang sebanyak itu, tidak mungkin pemiliknya bersedia untuk mendermakan RM525 juta kepada Better Foundation Malaysia.

Tentulah dia telah membuat unjuran keuntungan daripada pertaruhan itu sehingga dia berani dan bersedia untuk mengeluarkan wang sebanyak itu sebagai derma (atau mungkin saya kurang faham, jumlah derma yang sebanyak itu agaknya diperoleh daripada keuntungan seluruh syarikat miliknya!)

Jikalau ternyata kesediaannya mendermakan RM525 juta itu adalah kerana dia telah mengunjurkan keuntungan pertaruhan sukan itu, bermakna dia telah mengagak keuntungan yang bakal diperolehnya. Sangat lumayan!

Hakikatnya ialah, kalau banyak dan lumayan keuntungan yang diperolehnya, maka banyak jugalah orang yang menanggung rugi. Rugi dalam konteks pertaruhan sukan bermaksud bahawa orang telah kehilangan wang yang berpotensi untuk dimanfaatkan ke arah pembangunan dan kesenangan hidup. Rugi juga bermaksud pembaziran wang oleh sebilangan orang ke jalan yang sia-sia. Sedang wang itu seharusnya dimanfaatkan untuk memperoleh sesuatu yang pasti.

Rasa-rasanya, selepas bulan Jun nanti, semakin banyak rumah yang bakal disimbah cat, semakin banyak orang yang meninggalkan keluarga, semakin banyak orang yang menukar nama dan rupa kerana tuan punya rumah atau mungkin ahli keluarga tuan rumah tidak mampu untuk membayar pinjaman kepada jerung-jerung peminjam wang, ceti-ceti haram. Hm, semakin banyaklah tugas polis!

Yang paling penting daripada pemberian lesen untuk pertaruhan sukan ini kepada pihak Ascot Sports Sdn Bhd ialah kita dapat melihat pendirian dua pihak yang sangat jauh berbeda. Pihak kerajaan, sebagai pemberi lesen, tidak endah akan hal ini dan dengan angkuh tidak mahu memperkatakannya manakala pihak pembangkang menentang hal ini dengan sekeras-kerasnya.

Kalaulah isu pertaruhan sukan ini benar-benar diberi perhatian dan dibenci oleh rakyat dengan seikhlas-ikhlasnya dan mereka terus mengingat dan mendendami pendirian kerajaan ini, sudah pasti kerajaan yang berkuasa sekarang akan menaiki perahu pembangkang pada pilihan raya yang akan datang. Namun, hakikat yang sebenarnya bukan begitu. Orang mudah melupakan isu yang dibangkangi mereka. Maka, oleh sebab itulah kerajaan yang berkuasa sekarang tidak malu untuk melakukan hal-hal yang melanggar hukum agama dan hal-hal yang menyinggung hati mereka.

Isu ini perlu dibangkitkan terus-menerus, sama seperti para pejuang dan pencinta bahasa Melayu yang tidak hangat-hangat tahi ayam membantah dan menentang isu PPSMI. Mereka menentang dan membantah isu PPSMI ini tanpa henti. Sebagai peringatan, untuk menguatkan ingatan kita terhadap isu ini, makanlah kismis, madu, dan kurma.

Friday, June 4, 2010

Makin Lama Makin Banyak yang Aneh

Keanehan-keanehan yang berputar-putar di persekitaran kita sekarang ini mahu sahaja rasanya saya abaikan. Biarlah, kalau ditegur dan diulas pun, bukannya meninggalkan kesan apa-apa. Tetapi, ada rasa bersalah pula apabila keinginan itu dikuburkan di dalam hati. Apatah lagi sesetengah keanehan itu menjadi bahan tawa pihak lain sehingga memalukan kita dan yang lebih penting keanehan itu mengenai batang hidung bangsa kita.

Saya berasa aneh apabila pihak polis (melalui Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman) melarang orang-orang di sekitar KL yang hendak menunjukkan perasaan (marah, benci, meluat, dsb) mereka terhadap kerajaan haram Yahudi selepas solat Jumaat hari ini. Mengapa begitu, ya? Mereka bukan hendak mengutuk kerajaan sendiri tetapi mengutuk puak yang memang diketahui jahat, puak yang menyerang konvoi kemanusiaan, puak yang dilaknat Allah SWT. Mujurlah, tunjuk perasaan itu berlangsung juga. Puluhan ribu orang menyertainya.

Keanehan yang tidak kurang membuat orang tersenyum kambing ialah kes Saiful-Anwar yang sedang dibicarakan sekarang. Oleh sebab hal ini sedang dibicarakan, tidak perlulah hal ini diceritakan dalam siaran ini. Kalau berkenan, ikutilah pendedahannya di pelbagai sumber lain.

Keanehan yang lain ialah cadangan hendak memperuntukkan bahagian sebanyak 40% kepada bukan bumiputera dalam pembangunan semula Kampung Baru di Kuala Lumpur. Hal ini menjadi aneh kerana pada suatu ketika, mereka begitu marah kepada kerajaan yang memerintah Perak suatu ketika dahulu kerana memberikan hak milik tanah kepada orang bukan bumiputera. Tetapi, sekarang mereka hendak melakukan perkara yang lebih kurang sama pula!

Inilah masalahnya kalau orang yang tidak dipilih rakyat dalam pilihan raya dilantik sebagai orang yang berkuasa dalam kerajaan. Banyak hal aneh yang diperlihatkan mereka. Orang yang mengatakan negara akan muflis sehingga mewajarkan penarikan subsidi untuk rakyat (aneh, kan?) pun bukan dipilih rakyat dalam pilihan raya. Orang yang mengumumkan kerajaan hendak meluluskan lesen judi (dan akhirnya menjadi kenyataan) pun bukan dipilih dalam pilihan raya.

Seperti yang saya nyatakan dalam siaran yang lalu, cadangan PAS hendak menubuhkan sayap yang membolehkan orang bukan Islam mewakili PAS dalam pilihan raya pun suatu keanehan juga. Cadangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim hendak melantik TPM Kedua pun pelik dan aneh juga. Entah mengapa kita seperti hendak mengecilkan kuasa kita tatkala pihak lain tidak memberi kita peluang untuk membesarkan kekuasaan kita!

Jadi, sebenarnya sekarang kita sedang dikelilingi oleh keanehan. Orang Melayu yang berkuasa (tidak kira di pihak mana-mana pun), hendak dan sedang melucutkan dan mengecilkan kekuasaan Melayu.

Cuba-cubalah kita mengalihkan pandangan kita ke seberang Selat Teberau itu – banyak manakah peluang yang diberikan kepada orang Melayu di negara yang dikuasai oleh orang bukan Melayu itu? Adakah diberinya orang Melayu peluang sebagai TPM Kedua?

Mungkin ada pihak yang berkata, kita tidak boleh berprasangka bahawa bangsa yang sama (dengan bangsa yang menguasai negara di seberang Selat Teberau itu) akan melakukan perkara yang sama kepada kita kalau mereka menguasai tampuk pemerintahan di negara ini. Walaupun banyak antara kita yang kurang pasti tentang hal ini, tetapi tidak mungkinkah mereka akan melakukan hal yang demikian? Bukankah usaha pihak komunis yang didominasi bangsa mereka dahulu memang berhajat hendak menguasai negara ini?

Saya bukan hendak menghasut sesiapa supaya membenci mereka (malah saya sendiri pun tidak membenci mereka), tetapi saya hendak menyedarkan semua pihak yang berbangsa Melayu agar mempertahankan dan memelihara hak kita kerana kalau satu hari nanti wang menjadi penentu untuk merampas negara ini, kita tidak mampu untuk mempertahankannya!

Wednesday, June 2, 2010

Sikap Hari Ini Penentu Kualiti Hidup Masa Tua

Saya berasa cemas dan sebak apabila rakan akrab saya bercerita tentang pengalaman “ngeri” yang ditempuhnya sebaik-baik sahaja dia bangun daripada tidurnya pada subuh Selasa lalu. Beliau menceritakan bahawa sebaik-baik bangun, dia dapat melihat “lalat” dan “berudu” berlari-larian di dalam matanya.

Jam 8:00 pagi, rakan akrab saya itu segera menghubungi doktor matanya untuk menceritakan pengalamannya. Doktor mata itu “menitahkan” rakan karib saya itu datang ke hospital dengan kadar segera. Ada sesuatu yang janggal dan perlu diperiksa, katanya. Rakan akrab saya akur dan segera ke Hospital Serdang, tempat doktor pakar itu bertugas.

Memang menjadi rutin rakan akrab saya itu mendapat rawatan matanya di Hospital Serdang itu. Matanya telah beberapa kali dilaser. Hasilnya tidaklah begitu memuaskan hatinya. Dia tidak menyalahkan doktor matanya itu ataupun laser itu. Hal ini demikian kerana dia sedar bahawa dia penghidap diabetes warisan.

“Lalat” dan “berudu” yang dilihatnya merayap di matanya itu sebenarnya ialah darah yang bocor dari luang matanya. Darah itu berenang-renang seperti “berudu” ke sana ke mari dan itulah yang dapat disaksikannya. Untuk itu, doktor matanya akan melakukan suatu lagi operasi laser ke atas matanya bagi menutup kebocoran pada matanya itu supaya tidak banyak darah yang menutupi pelihatannya. Jika lebih banyak darah yang menutupi matanya, dia tidak akan dapat melihat lagi. Dalam erti kata yang lain, dia akan menjadi buta.

Pengalaman rakan akrab saya itu sudah lebih awal menimpa imam kami (semoga Allah SWT terus menabahkan hatinya). Imam kami itu kini mengalami masalah pelihatan yang juga berpunca daripada diabetes warisan. Pada awal ujian itu ditimpakan ke atas dirinya, beliau turut dapat menyaksikan “berudu” berenang-renang ke hulu dan ke hilir. Pada suatu ketika, kata imam kami itu, pemandangannya hanya dipenuhi warna merah! Beliau kini hanya dapat melihat dengan agak baik apabila bangun tidur sehinggalah jam sepuluh atau sebelas pagi dan selepas itu pelihatannya terus terganggu hampir sepanjang hari.

Dua minggu lepas, rakan penulis saya dikesan menghidap diabetes sehingga ditahan di Hospital Kajang selama lima hari. Berat badannya menyusut lapan kilogram dalam tempoh dua minggu. Kini, dia mula menelan ubat dan yang membimbangkannya, pelihatannya sudah mula kabur. Hal ini menyukarkannya untuk terus menulis.

Allahyarham rakan saya, Mazlan Mahat (Al-Fatihah untuk rohnya) mengalami kebutaan sebagai akibat diabetes. Ujian Allah itu dilaluinya sehinggalah dia menutup mata untuk selama-lamanya. Kebutaan itu dialaminya pada usia yang relatif muda – pertengahan empat puluhan.

Cerita ini bukan untuk menakut-nakutkan sesiapa tetapi sebagai iktibar kepada yang rajin membaca. Bukan untuk menuduh yang bukan-bukan tentang diri semua kenalan yang menjadi bahan cerita saya ini, tetapi cerita dan pengalaman mereka itu mengajar kita supaya menjaga kesihatan diri kita pada setiap ketika dan keadaan, menghargai nikmat yang diberikan Allah SWT, dan sentiasa bersikap rasional dalam hal-hal yang berkait dengan amalan pemakanan kita. Kita diajar supaya makan tatkala lapar dan berhenti makan sebelum kenyang. Awasi sikap kita sekarang supaya usia tua kita tidak terbazir oleh penyakit.

Cerita tentang Scorpene seperti Baru Bermula

SOROTAN
Saya tidak suka akan berita daripada AFP ini kerana berita ini membabitkan orang Malaysia. Namun, kita terpaksa menerima hakikat ini bahawa pihak yang terbabit di Perancis sedang berusaha untuk menyerlahkan kebenaran. Tidak ada apa-apa yang hendak dikhuatirkan oleh orang Malaysia yang terbabit kerana orang Malaysia bersifat berani kerana benar, takut kerana salah.

ISI BERITA
Siasatan pihak berkuasa Perancis terhadap penjualan kapal selam Scorpene kepada Malaysia memperlihatkan suatu perkembangan baharu. Menurut suatu sumber kehakiman, pihak polis Perancis telah menyerbu pejabat pengeluar senjata DCNS dan kumpulan industri Thales pada minggu lalu dan mereka telah merampas dokumen-dokumen tertentu dalam serbuan itu.

Siasatan terhadap penjualan kapal selam yang berlaku pada tahun 2002 itu telah dimulakan oleh Pejabat Pendakwa Raya Paris pada Mac 2010 lalu setelah menerima aduan daripada badan hak asasi manusia dari Malaysia, SUARAM.

Dalam aduannya itu, SUARAM mendakwa bahawa Armaris – anak syarikat Thales dan DCN – telah membayar komisyen yang berjumlah 114 juta Euro kepada syarikat Malaysia yang bernama PERIMEKAR, iaitu sebuah syarikat yang dikaitkan dengan individu yang rapat dengan YAB Perdana Menteri sekarang. (Perdana Menteri yang terkini ialah Menteri Pertahanan Malaysia pada tahun 2002 dan beliau bertanggungjawab dalam rundingan kontrak tersebut.)

Sejak tahun 2000, undang-undang Perancis menetapkan bahawa bayaran komisen bagi kontrak yang berkaitan dengan pemimpin asing merupakan satu rasuah.

The DCN menyertai Thales dan kumpulan pembinaan Navantia dalam kontrak untuk menjual tiga buah kapal selam kepada Malaysia pada tahun 2002. Nilai kontrak jualan itu adalah sekitar satu bilion Euro.

Lewat April lalu, seorang jurucakap di Pejabat Perdana Menteri menegaskan bahawa “tiada kes” untuk dijawab. Menurut jurucakap itu, urus niaga tersebut bebas daripada rasuah. Dakwaan yang mengatakan Perimekar mendapat manfaat secara tidak betul daripada urus niaga tersebut adalah tidak benar, kata jurucakap itu lagi.
(Sumber daripada AFP)


ULASAN
Cadangan untuk menghapuskan subsidi pelbagai jenis barangan pada waktu rakyat sedang terkial-kial menghadapi masalah ekonomi sekarang sangat tidak wajar. Pemberian komisen yang begitu banyak (kalau benar) dalam urusan pembelian kapal tenggelam itu juga tidak wajar.

Qunut Nazilah Senjata Ampuh Menentang Musuh

Memang wajar sangatlah kita melahirkan rasa syukur (terima kasih) kita kepada Allah azza wa jalla. Sahabat-sahabat senegara kita yang berjihad untuk membantu insan tertindas dan melarat di bumi Filistin terselamat daripada kehaiwanan dan kesyaitanan rejim Zionis. Kita yakin, semua sahabat sukarelawan/relawan dari negara kita itu, sebelum pergi melaksanakan jihad mereka, telah pun berserah diri kepada Allah azza wa jalla dengan ikhtiar, doa, dan tawakal. Malah kita yakin, pada setiap ketika – dalam usaha mereka hendak memasuki Gaza – doa, solat, dan segala ibadat yang dapat melindungi mereka daripada sebarang bentuk bencana dan malapetaka sentiasa diamalkan mereka. Maka, dengan sebab itulah mereka dilindungi Allah azza wa jalla.

Kaum keluarga para sukarelawan/relawan haruslah bersujud syukur. Demikian juga halnya dengan kita. Pemimpin yang mendahulukan rakyat seharusnya berlebih-lebih lagi dalam melakukan sujud syukur ini kerana rakyat merupakan aset negara. Begitu juga halnya dengan para pemimpin yang menjadi pembangkang yang tampaknya begitu ke depan dalam hal mengutuk tindakan rejim Zionis itu – dengan selamatnya rakyat kita itu, mereka juga perlu bersujud syukur.

Ada yang menyeru supaya diamalkan qunut nazilah dalam solat lima waktu. Hal ini bertujuan untuk meminta Allah azza wa jalla membinasakan rejim Zionis yang kejam dan ganas itu di samping meminta kumpulan sukarelawan/relawan yang sedang ditahan dan berhadapan dengan rejim Zionis itu diberi kekuatan oleh-Nya.

Walau bagaimanapun, sudah ada sebilangan orang di negara kita yang hendak mengendurkan dan mengesampingkan amalan itu apabila mendapat tahu sukarelawan/relawan dari negara kita selamat. Memang betul, qunut nazilah hanya boleh dibaca dalam solat apakala kita ditimpa bencana (dizalimi) dan memanglah pun penahanan dan penculikan rakyat kita itu suatu bencana (kezaliman). Dengan selamatnya mereka, kita bebas daripada bencana itu dan tidak perlulah kita berqunut nazilah.

Hakikat yang sebenarnya ialah kita belum bebas daripada bencana (kezaliman) kerana saudara seagama kita di Gaza (Filistin), Iraq, Afghanistan, Chechnya, Kashmir, Filipina, dan selatan Thailand masih tertindas dan menderita. Bencana yang menimpa mereka merupakan bencana kepada kita. Oleh itu, kita wajib bermohon ke hadrat Allah azza wa jalla agar penjahat-penjahat itu (rejim Zionis, Amerika Syarikat, Britain, dan Rusia) ditimpakan dengan musibah oleh Allah azza wa jalla manakala orang Islam yang ditindas di negara-negara itu terus tabah dan kuat menghadapi kekejaman rejim Zionis, Amerika Syarikat, Britain, dan Rusia itu. Yang lebih penting kita berdoa agar mereka dibebaskan daripada kesengsaraan itu.

Kita berharap agar tidak berlaku kecekcokan dalam negara kita pada saat ini kerana kecekcokan yang berlaku dalam negara akan mengalih perhatian kita terhadap masalah di Filistin, Iraq, Afghanistan, Chechnya, Kashmir, Filipina, dan selatan Thailand. Pilihan raya kecil, misalnya kalau berlaku pada waktu ini, pasti akan menyebabkan isu Filistin dan yang lain-lain itu terpencil daripada perhatian kita buat beberapa ketika. Oleh sebab kita tidak mempunyai kekuatan untuk membantai rejim Zionis, Amerika Syarikat, Britain, dan Rusia, maka doalah senjata paling ampuh untuk kita gunakan. Qunut nazilah salah satu daripada senjata itu.

Keihsanan dan Keinsanan yang Lenyap

Perasaan kasih sayang – ihsan – lebih tepatnya, telah lama ditarik dari dalam diri orang Yahudi. Kerana tiada ihsan dalam diri, mereka bersedia pada bila-bila masa untuk melakukan apa-apa sahaja kejahatan. Namakanlah apa-apa kejahatan yang anda ketahui, mereka bersedia untuk melakukannya. Pembunuhan sangat biasa dilakukannya waima para nabi yang sama bangsa dengan mereka pun tergamak dibunuh mereka. Penindasan memang lazim dilakukan mereka – lihatlah sahaja nasib yang menimpa rakyat Falistin.

Selepas melakukan apa-apa jenis kejahatan, wajah mereka tidak memperlihatkan rasa bersalah. Hairan? Jangan menyusahkan diri melayan kehairanan kerana kejahatan kalau sudah menjadi kelaziman akan bersebati dalam diri – alah bisa tegal biasa. Melihat wajah Ehud Barak dalam beberapa gambar selepas peristiwa serangan tentera haram kerajaan Yahudi ke atas konvoi kemanusiaan semalam mengesahkan hal ini.

Itu perihal perangai Yahudi, yang selain ditarik ihsan dari hati mereka, mereka turut memfrancaiskan pelbagai perniagaannya – Mc Donald’s, Tesco, Starbucks, dan lain-lain yang turut menyediakan peluang pekerjaan kepada banyak orang di seluruh dunia. Kita memang wajar memboikot perniagaan mereka, malah pemboikotan itu sangat mudah dilakukan kerana yang diniagakan mereka ada yang diusahakan oleh bangsa kita sendiri.

Perihal masyarakat kita, banyak juga yang sudah ditarik keihsanan mereka. Bukti yang paling nyata adalah betapa kini kita hampir saban hari diperlihatkan oleh Allah SWT akan sifat kehaiwanan orang-orang kita. Orang-orang kita itu, kerana telah dikuasai kehaiwanan, telah mencampakkan janin atau bayi yang baru dilahirkan ke tempat-tempat yang tidak sepatutnya ditempati oleh para bayi – timbunan sampah, longkang, sungai, lubang najis, dan sebagainya. Ada juga, yang kerana sudah luput keihsanan mereka, tergamak untuk menimbus bayi-bayi yang baru dilahirkan – suatu sifat yang menyamai kelaziman orang Arab zaman Jahiliyah dahulu.

Petang semalam, mayat seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat (dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh tiga jam) ditemui di tepi jalan di Damansara Jaya. Sebelum itu, ada orang kita yang menanam bayinya hidup-hidup (berhampiran stesen komuter Padang Jawa).

Kejadian demi kejadian yang berlaku kini sebenarnya suatu bala kepada masyarakat dan negara. Bala ini menimpa kita bertitik tolak daripada keengganan kita melaksanakan hukum yang telah “digazetkan” Allah SWT. Bala ini akan menjadi punca kita ditimpa bala yang lebih besar dan lebih dahsyat. Na‘uzubillahi min zalik.