Monday, August 30, 2010

11 September Hari Raya Kedua; 11 September Quran Hendak Dibakar

Kalau kita tanya kepada sebilangan orang, apakah yang terjadi pada hari Selasa tahun 2001 dahulu, banyak orang yang tidak dapat memberikan jawaban yang betul. Tetapi, kalau kita tanya apakah yang berlaku pada tahun 11 September 2001, banyak orang yang dapat mengemukakan jawabannya.

Pada hari Selasa bersamaan dengan 11 September 2001, telah berlaku peristiwa yang mengejutkan rakyat di seluruh dunia. Pada hari itu, bangunan World Trade Centre di kota raya New York yang menjadi kebanggaan sebilangan besar rakyat rakyat Amerika Syarikat umumnya, dan penduduk kota raya New York, khususnya telah runtuh. Yang menyebabkan bangunan berkembar itu runtuh ialah hentaman yang dilakukan oleh dua buah kapal terbang penumpang yang dirampas oleh orang-orang yang “dikatakan sebagai pejuang Al-Qaeda” yang dipimpin oleh Osama bin Laden itu.

2 996 orang daripada 70 buah negara mati dalam kejadian itu, termasuklah 19 orang perampas kapal terbang itu sendiri. Bagaimanakah agaknya rupa mayat mereka itu? Tentulah tercebis-cebis, hancur, dan rentung.

Sebagai orang mencintai keamanan dan persefahaman sejagat, sewajarnyalah semua orang berasa marah terhadap para pelaku yang tidak berhati perut itu. Sebagai rakyat yang patriotik pula, memang wajarlah rakyat Amerika Syarikat berasa marah. Hal ini demikian kerana para perampas itu telah meruntuhkan bangunan kebanggaan mereka dan membunuh rakyat yang menjadi kenalan dan saudara-mara mereka.

Peristiwa yang selalunya dirujuk sebagai “Serangan 9/11” kemudiannya dijadikan sebagai suatu sambutan kenang-kenangan tahunan. Saban tahun, diadakan acara tertentu pada hari itu.

Sekarang, satu acara baharu telah dirancang oleh kelompok tertentu pada tarikh itu. Acara itu pula disasarkan kepada Islam secara keseluruhannya. Acara yang dirancang mereka ialah acara yang dinamakan mereka sebagai “International Burn a Quran Day”. Pihak yang merancang acara itu ialah The Dove World Outreach Center, iaitu sebuah gereja di Gainesville, Florida. Pihak itu tanpa berselindung telah mempromosikan rancangan mereka itu dalam laman web mereka. Malah, mereka memang banyak menyiarkan artikel anti-Islam di samping menjual kemeja-T dan dan cawan yang tertulis “Islam is The Devil”.

Apakah yang terbit daripada hati kita dengan rancangan puak itu? Pastilah orang yang kuat keislamannya akan berasa marah.

Bagaimanakah pula perasaan orang bukan Islam, khususnya penganut Kristian sendiri tentang rancangan ini? Penganut Kristian di negara ini, bagaimanakah pula pendirian mereka. Adakah mereka akan menyertai rancangan Dove itu?

Semua umat Islam wajib menyebarkan rancangan jahat Dove itu. Yang lebih penting kemarahan kita mestilah berserta dengan tindakan. Bacalah al-Quran, hayatilah isi kandungannya, dan praktikkan dalam kegidupan harian kita. Barulah kemarahan kita berasas dan kena pada tenpatnya.

Thursday, August 26, 2010

Isu Doa Khatib Zakaria Ahmad untuk KM PP

Isu khatib Zakaria Ahmad berdoa agar Allah SWT menghidayahi Ketua Menteri Pulau Pinang dalam khutbahnya dapatlah dianggap sebagai selesai. Sebenarnya, hal ini bukan isu pun kerana Nabi Muhammad SAW jauh lebih awal mendahului khatib itu dalam melakukan perkara yang sama. Cuma barangkali, Nabi Muhammad SAW tidak melakukannya ketika khutbah Jumaat.

Pada saya, ada dua persoalan menarik untuk disorot daripada perbuatan khatib Zakaria itu. Yang pertama, kalaulah Ketua Menteri yang bukan Islam itu tidak wajar didoakan dalam khutbah Jumaat, wajarkah khatib itu menggantikannya dengan PM dan TPM? Kalau wajar, tidak timbulkah tanggapan dalam kalangan rakyat jelata bahawa PM dan TPM memang kurang Islamik hingga perlu didoakan beroleh hidayah (seolah-olah PM dan TPM sesat) lalu khatib perlu mendoakan mereka mendapat hidayah-Nya?

Yang kedua, seandainya doa itu diangkat oleh Malaikat ke langit dan kemudiannya dimakbulkan oleh Allah SWT, pastilah Ketua Menteri itu akan mengucapkan dua kalimah syahadah lalu menjadi Islam. Soalnya sekarang, dengan Islamnya Ketua Menteri itu, akan duduk sebagai Ketua Menteri lagikah dia di Pulau Pinang? Atau masih menjadi Setiausaha Agung DAPkah dia nanti?

Tidak akan adakah penentangan daripada kalangan ahli parti yang dianggotainya yang tidak menginginkan beliau menjadi KM PP? Karpal Singh, misalnya, akan dibiarkannyakah KM PP itu terus menerajui Pulau Pinang atau duduk sebagai Setiausaha Agung DAP?

Jadi, keputusan untuk mengucapkan dua kalimah syahadah pasti difikirkan oleh Ketua Menteri itu dengan mendalam. Keislamannya, pada fikirannya, mungkin akan mendapat tentangan daripada oleh ahli parti. Hal ini akan menjejaskan keberadaannya di kerusi KM PP. Jika beliau menyayangi kuasa, beliau pasti tidak akan memilih Islam. (Tetapi, hidayah Allah SWT tiada sesiapa yang dapat menolaknya.)

Alangkah baiknya kalau khatib itu mendoakan keislaman seluruh pimpinan parti Ketua Menteri itu! Untung-untung daripada seluruh pimpinan itu, sangkut seorang dua orang kuatnya! Dan yang sangkut itu, biarlah berkarakter seperti Umar al-Khattab yang didoakan Nabi Muhammad SAW itu – tegas, berani, garang, bijaksana! Karpal Singh, bagaimana?

Tuesday, August 24, 2010

Menginsafi Pengalaman Silam

Di panggung wayang, suatu waktu dulu, dalam bulan Ramadan. Sebelum masuk panggung, seorang Melayu (selalunya Melayu itu Islam) membeli minuman dalam tin (penulis menyangkakan Coke atau minuman bergas yang lain) dan sedikit makanan remeh.

Ada rasa jengkel di dalam hati penulis terhadap perlakuan lelaki itu, tetapi penulis bersangka baik – mungkin dia penghidap gastrik tahap “gila” yang memerlukan dia makan dan minum.

Di dalam panggung, kebetulan lelaki itu duduk di hadapan penulis. Penulis berada di belakangnya, ke kiri sedikit (apabila dikenang, alangkah jahilnya penulis. Ramadan pun mahu nonton). Beberapa detik, panggung digelapkan. Promosi filem akan datang dan iklan pun bersilih ganti di layar putih.

Tidak lama kemudian, filem yang hendak ditonton belayar di layar putih. Lelaki yang penulis lihat di luar tadi memulakan aksinya. Dia menunduk dan seketika kemudian terdengar akan bunyi desis, tanda air minuman dalam tin dibuka. Penulis mulanya tidak hairan kerana sudah tahu bahawa dia ada membeli air sebentar tadi. Tetapi, beberapa detik berlalu, desis yang keluar mengeluarkan bau yang tidak disangka-sangka, bau kencing syaitan – beer.

Penulis benar-benar terkejut. Penulis benar-benar rasa terkilan sehingga hati penulis bermadah, sudahlah engkau berbuka awal, tidak puasa, bahan yang menjadi juadah engkau berbuka pula kencing syaitan! Alangkah biadabnya! Sangka baik yang awal tadi tidak wajar langsung.

Yang hendak penulis sorot daripada peristiwa itu bukan perlakuan lelaki itu sahaja, tetapi yang lebih besar ialah kebaculan penulis sendiri. Penulis tahu perbuatan lelaki itu menyongsang agama, penulis tahu bahawa perbuatannya buruk tetapi penulis langsung tidak berusaha untuk menegurnya.

Memang di dalam hati penulis, kebencian terhadap diri dan perbuatan lelaki itu bersarang. Tetapi cukupkah dengan kebencian sahaja walhal rasa benci yang hanya bersarang di dalam hati penulis itu berstatus iman yang paling lemah?

Bukankah setiap orang bertanggungjawab untuk membetulkan kemungkaran? Mengapakah penulis lari daripada tanggungjawab yang wajib itu? Barangkali, kalau penulis menegurnya waktu itu, lelaki itu sedikit banyak akan insaf. Barangkali juga dia akan melenting. Tidak mengapa asal tanggungjawab sudah dilunaskan.

Malangnya, penulis tidak menunaikan kewajiban itu dan sekarang penulis kesal. Untuk menghilangkan rasa kesal, penulis berdoa agar Allah SWT telah pun mengurniai lelaki itu hidayah-Nya dan mengampunkan dosa-dosanya kerana barangkali dia jahil waktu itu.

Tetapi, adakah Allah akan mengampunkan kesilapan yang penulis lakukan pada tahun 80-an itu? Ya Allah, ampunilah penulis. Ampunilah kelemahan penulis, ya Allah.

Dan sekarang, penulis tidak pernah masuk panggung pada bulan puasa. Penulis tidak mahu bersubahat kerana penulis yakin bahawa hal yang sama tentu masih berulang. Walaupun barangkali tidak ada yang sampai meneguk kencing syaitan seperti lelaki itu, tetapi yang mengambil kesempatan untuk melampiaskan nafsu makan dan minum dalam bulan puasa di dalam panggung pasti ada.

Monday, August 23, 2010

Surau Tempat Bersolat

Tabiat anak-anak era 2000-an ini seperti sudah tidak dapat dibetulkan lagi. Tidak kiralah anak-anak itu sekecil 5 tahun atau sebesar 15 tahun. Orang seperti saya agak terkejut dengan keadaan ini, tetapi lebih banyak orang yang tidak terkejut. Sudah biasa, kata mereka.

Orang dewasa yang terlibat dengan hal ini, sama ada yang mendengar ataupun melihat tingkah laku anak-anak ini, tidak berani membetulkan keadaan. Masing-masing barangkali segan kepada ibu bapa anak-anak itu. Sebagai akibatnya, kebanyakan daripada kami, termasuk saya, terpaksa “makan hati” dengan keadaan itu.

Saya merujuk kepada hal yang berlaku di surau kami. Setakat 13 hari berpuasa Ramadan, tabiat terlampau anak-anak masih berlaku walaupun sudah agak terkawal. Pada peringkat lima atau enam hari terawal berpuasa, anak-anak yang dibawa oleh ibu bapa masing-masing ke surau kami, berpesta sakan.

Anak-anak ini, saya kira mungkin berusia 10 tahun ke bawah, melakukan pelbagai perbuatan yang menaikkan darah jemaah. Mereka berlari, bercakap, bermain, gelak-gelak terkadang-kadang menjerit di dalam surau tatkala jemaah, termasuk ibu bapa mereka, sedang solat!

Anak-anak yang lebih berusia, lebih kurang ajar! Tatkala jemaah sedang bersolat, mereka membakar mercun yang dentumannya menyentap tangkai jantung kami. Jemaah wanita ada khabarnya yang terangkat buntut dan mengurut dada kerana anak-anak ini membakar mercun berhampiran dengan tempat mereka bersolat.

Pegawai surau kami, khususnya siak, ada menegur perbuatan anak-anak ini. Mereka diam pada beberapa rakaat pertama solat tarawih tetapi kembali bertandak pada rakaat seterusnya. Sehinggalah pada hari ketujuh, Penasihat surau kami menegur hal ini dalam ucapannya. Beliau merayu dan menasihati anak-anak ini supaya menjaga tingkah laku masing-masing. Kalau kalian tidak mahu solat, kata beliau, lebih baik kalian duduk di rumah dan melakukan perkara yang berfaedah.

Alhamdulillah, senyap. Kami dapat bersolat dengan khusyuk tahap orang Islam yang awam. Tetapi peringatan itu hanya sah diperakukan untuk dua malam. Keadaan kembali tidak terkawal. Akhirnya dua malam lalu, selepas solat Isyak, Imam 1 kami bersuara, lebih tegas dan berbisa. Beliau bukan sekadar menegur anak-anak itu tetapi juga menegur ibu bapa masing-masing. Ibu bapa bertanggungjawab mengingatkan anak-anak tentang etika dan tuntutan Islam di dalam surau, kata beliau.

Saya tidak pasti sama ada ada kalangan ibu bapa yang tersinggung oleh ingatan beliau itu. Tetapi saya secara peribadi merasakan teguran itu wajar.

Saya dahulu adalah antara jemaah yang kerap membawa anak ke surau. Di dalam kereta atau di atas motor, saya ingatkan anak saya supaya “jangan buat hal” di surau atau kamu akan mendapat hukuman terus daripada saya. Saya tahu anak saya jarang-jarang menghabiskan 20 rakaat solat tarawih. Kalau tidak mahu solat sampai 20 rakaat, kata saya, kamu terus sahaja pulang ke rumah selepas witir. Alhamdulillah, saya berjaya. Dia kadang-kadang tidak pulang ke rumah terus tetapi tidak pula bermain di dalam surau atau di luar surau. Terus terang, saya dapati anak-anak (di taman perumahan sayalah) pada era 1990-an seperti anak saya dan anak-anak jemaah lain, walaupun nakal tetapi masih “makan saman” dan ada rasa takut kepada orang dewasa.

Hal ini sangat berbeda dengan anak-anak era 2000-an ini. Mereka tidak makan saman. Walhal jika mereka hendak bermain, di sebelah surau kami ada padang bola tampar. 50 meter dari surau kami ada padang rekreasi yang besar untuk bermain mercun dan sebagainya. Mereka boleh bermain di situ.

Atau barangkali ada arahan ibu bapa yang menegah anak-anak mereka bermain di padang, tetapi boleh bermain di dalam surau atau di kawasan tepi surau. Atau barangkali, anak-anak ini hadir di surau tanpa ibu bapa yang barangkali masih bekerja atau sibuk membuat kuih dan sebagainya.

Iltizam membawa anak-anak ke surau sangat baik, tetapi yang lebih baik ialah menyuruh mereka bersolat, bukan membiarkan mereka bersilat.

Thursday, August 19, 2010

Hikmah Puasa: Nilaikanlah dengan Hati yang Ikhlas

Antara matlamat puasa adalah untuk membentuk keinsafan dalam diri kita tentang kepayahan dan kesengsaraan yang dideritai oleh manusia lain yang hidup melarat dan miskin – kais pagi, makan petang; kais petang, makan esok pagi. Kelaparan dan kehausan yang dideritai oleh golongan ini dapat kita rasakan apabila kita berpuasa dan dengan itu hati kita sepatutnya berasa belas dan kasihan kepada orang yang ditimpa nasib begitu yang sampai terpaksa mengikat perut dengan hanya makan ubi dan pisang rebus (kalau ada) atau hanya makan nasi sekali sehari dengan berlaukkan ikan masin dan berkuahkan air sejuk. (Kalau kita melihat kesengsaraan manusia yang tinggal di beberapa buah negara miskin diAfrika, keinsafan itu akan lahir melalui ibadah puasa ini.)

Tetapi, adakah menahan diri daripada lapar dan dahaga sepanjang Ramadan ini menumbuhkan keinsafan dalam diri kita sehingga menjadikan kita orang yang begitu bersederhana? Adakah rasa lapar dan dahaga benar-benar dapat mendidik jiwa kita untuk menjadi insan yang bersimpati terhadap orang lain?

Kalau kita melalui bandar dan kota raya, biasa kita temukan hotel dan restoran mewah membuat promosi-promosi berbuka puasa – ada yang murah (mungkin RM20++) dan banyak juga yang mahal (dari RM48++ hingga RM ratus-ratus). Oleh sebab restoran mewah dan hotel ialah salah satu cabang perniagaan, maka sudah tentulah segala luang yang memungkinkan mereka meraih keuntungan digunakan dengan sebaik-baiknya. Tawarkan sahaja ratusan jenis makanan sebagai juadah berpuasa, letakkan satu harga yang munasabah, dan iklankan. Orang pasti akan terliur, begitu mereka mengatur strategi.

Soalnya ialah diri kita ini! Kita berpuasa dan dengan itu kita sama-sama berasa lapar dan dahaga. Malangnya, kita langsung tidak mahu berfikir apatah lagi menginsafi satu hakikat – rasa lapar dan dahaga yang kita deritai melalui ibadah puasa ini untuk siapa sebenarnya? Kalau kita sedar dan insaf, kita tidak akan sampai menghabiskan wang sehingga RM48++ apatah lagi RM ratus-ratus untuk berbuka walhal dengan nasi lemak berharga RM3.50 dan secawan air RM1.50 sudah lebih daripada mengenyangkan.

Ketahuilah bahawa RM48++ yang kita belanjakan untuk berbuka puasa itu bukan sangat untuk juadah yang kita nikmati, tetapi sebenarnya untuk suasana ciptaan restoran mewah atau hotel itu. Kalaulah kita menginginkan suasana yang lebih bermakna daripada suasana ciptaan restoran mewah dan hotel itu, kita kongsikanlah RM48++ itu bersama dengan kawan-kawan kita. Kita taja satu majlis berbuka puasa bersama-sama dengan anak-anak yatim atau orang-orang miskin di desa. Kita akan dapat menghayati satu suasana paling bererti dalam hidup kita – bagaimana orang miskin dan anak-anak yatim menghayati, menikmati, dan menghargai makanan! Bagaimana tulusnya mereka melahirkan rasa terima kasih dan kesyukuran kepada kita dan pelbagai lagi. Dan kita, silap-silap, akan mengalirkan air mata.

Kalau dengan RM5 kita sudah dapat mengenyangkan dan memuaskan perut dan tekak, kita tidak perlu membelanjakan RM48++ untuk tujuan itu. Lebih baik kita ambil RM5 daripada jumlah itu dan kita gunakan RM40++ untuk memberi orang yang berpuasa, anak yatim, dan orang miskin makan. RM40++ dapat menampung belanja makan minum sehingga 10 orang yang lain.

Fikir-fikirkan dan bertindaklah! Janganlah kita layan tekak dan nafsu kita itu.

Monday, August 16, 2010

Buang Bayi Bukan Kes tetapi Fenomena

Pembuangan bayi bukan lagi suatu kes, tetapi suatu fenomena. Pembuangan bayi bukan seperti suatu kezaliman tetapi suatu keseronokan, kepada Manusia-Iblis itu. Fenomena, lazimnya sukar atau tidak dapat untuk dikawal.

Siapakah lagi Manusia-Iblis pembuang bayi itu kalau bukan penzina? Siapakah lagi pembuang bayi itu kalau bukan Gadis-Iblis atau Wanita-Iblis yang terlanjur serta Lelaki-Iblis yang membuntingkan Gadis-Iblis atau Wanita-Iblis itu! Lelaki sepatutnya melindungi gadis dan wanita daripada menjadi mangsa nafsu, daripada menjadi iblis, tetapi si lelaki telah memilih untuk mengibliskan gadis dan wanita itu, yang kemudiannya menjadi iblis seperti mereka!

Sekarang bulan Ogos. Percayalah, fenomena ini akan berterusan hingga bulan September, Oktober, November, dan mungkin Disember! Mengapakah demikian?

“Pesta buang bayi” ini bertitik tolak daripada peristiwa (event), yang dianggap sebagai istimewa oleh para penzina. Mungkin peristiwa bersempena dengan hari lahir salah seorang daripada mereka. Mahkota kekasih menjadi hadiah paling berharga bersempena dengan peristiwa itu.

Mungkin juga “pesta” itu bertitik tolak daripada cuti semester akhir persekolahan, iaitu bulan November tahun lalu. Barangkali ada kalangan pelajar yang ber“cinta monyet” di sekolah telah menjadikan cuti semester akhir persekolahan sebagai pertemuan terakhir mereka. Lalu, ada yang “meminta sedekah” berupa habuan seks dan pihak yang mudah tergoda bersedia untuk “menyedekahkan” mahkota peliharaan mereka. Lantas, si gadis termengandung.

Oleh sebab dalam bulan Ogos sahaja sudah beberapa orang bayi dibuang ­– ada yang mati dan ada yang masih bernyawa hal ini tidak dapat kita sangkal.

Cuba kita hitung bersama-sama. Oktober/November 2009 buat kerja – mengandung. Masuk bulan kedua – Disember 2009, Januari, Februari, Mac, April, Mei, Jun, Julai, dan Ogos. Berapa bulan jumlahnya? Sembilan bulan (lebih)! Inilah waktunya (bulannya) mereka melahirkan bayi.

Mungkin hal ini satu andaian, tetapi seperti yang saya katakan, sukar kita sangkal. (Mujur tahun lalu tiada Pesta Kemerdekaan kerana menghormati Ramadan. Jika tidak, “pesta buang bayi” ini sudah berlaku lebih awal lagi.)

Bulan September akan datang, fenomena ini mungkin berterusan kerana peristiwa cuti persekolahan tahun 2009 berlarutan hingga bulan Disember.

Kemudian, awal Januari 2010, suatu peristiwa besar berlangsung – sambutan Tahun Baharu 2010. Anda boleh mengagak – pesta Tahun Baharu Masihi disambut dengan pelbagai acara. Para pengamal seks bebas berpesta sakan. Jadi, kalau si gadis yang menjadi mangsa pesta seks bebas ini mengandung sembilan bulan (lebih kurang), bayi itu bakal dilahirkan pada bulan Oktober.

Kemudian, pertengahan Februari ada satu lagi peristiwa penting – Valentine’s Day atau diwara-warakan sebagai Hari Kekasih. Hari Kekasih bukan lagi setakat menyerahkan bunga tanda cinta dan kasih, tetapi sudah sampai ke tahap menyerahkan mahkota kegadisan. Apabila hal ini berlaku, akan ada yang mengandung dan kemudiannya akan kita dapati bahawa bulan November akan datang fenomena ini (buang bayi) akan berlaku lagi.

Susah hendak percaya, tetapi peristiwa (event) tertentu memang menjadi titik tolak berlakunya fenomena yang lebih buruk daripada perbuatan masyarakat Arab Jahiliah dahulu.

Sudah-sudahlah berpesta. Sudah-sudahlah memberikan permit pub dan kelab dan sebagainya. Saya bimbang, Karnival Jom Heboh yang selalunya diikuti oleh konsert pada malam hari itu pun menjadi penyumbang fenomena ini.

NOTA

Satu mayat bayi perempuan yang cukup sifat ditemukan di tebing sungai berhampiran dengan asrama Kolej SEGI, di Jalan Teknologi, Kota Damansara, PJU 5, Petaling Jaya, Selangor. Najis terkeluar dari bayi itu, mungkin kerana jatuh terhentak di tebing itu. Di manakah hati pembunuh bayi itu?

Ya Allah, manusia sudah miskin kasih sayang, ya Allah. Manusia sudah pupus segan, ya Allah. Aku takut, hukuman-Mu ke atas mereka akan mengenai kami jua Allah! Ampunilah kami, ya Allah!

Thursday, August 12, 2010

Jangan Lupa Temu Janji Kita dengan Allah SWT

‘Janji temu’ atau ‘temu janji’ atau lebih senang disebut orang moden sebagai appointment, memang telah menjadi sebahagian daripada kebiasaan orang. Orang biasa ber‘appointment’ dengan doktor untuk diuji darah masing-masing, untuk diperiksa tahap kesihatan diri meReka, untuk mengetahui perkembangan janin yang dikandung, dan sebagainya. Orang juga biasa ber‘appointment’ dengan pak menteri atau wakil rakyat untuk membicarakan hal-hal tertentu atau untuk meminta sesuatu, dan sebagainya. Pihak setiausaha kepada para ketua syarikat, ketua jabatan, dan sebagainya juga kerap menentukan tarikh ‘appointment’ dengan para kakitangan atau bakal kakitangan bagi menentukan perjalanan syarikat atau untuk menambah kakitangan baharu. Pasangan kekasih juga kerap ber‘appointment’, selalunya untuk berpacaran dan berpelesiran.

Salah satu unsur terpenting ‘appointment’ tidak lain tidak bukan ialah masa. Antara pihak yang menetapkan ‘appointment’ dengan pihak yang diminta mematuhi ketetapan ‘appointment’ itu, pihak yang diminta mematuhi ketetapan ‘appointment’ itulah yang sangat perlu mematuhi masa yang telah ditentukan.

Sebagai contohnya, kalau doktor menetapkan appointment dengan pesakit pada jam 2:15 petang, maka pesakit mesti mematuhi masa itu. Jika si pesakit tidak menepati waktu itu, misalnya dia datang pada jam 3:00 petang, dia tidak akan dilayan kerana gilirannya telah diambil oleh orang lain. Jika tidak bernasib baik, dia mungkin disuruh membuat appointment baharu.

Hal tentang appointment ini menjadi lebih menarik untuk dibicarakan kalau kita libatkan sepasang kekasih. Katakanlah si jejaka yang membuat appointment. Si jejaka mengajak pasangannya bertemu dengannya pada pukul 2:15 petang di suatu lokasi. Kerana terlalu ingin bertemu dan jejaka itu sendiri yang menetapkan waktu dan tempatnya, dia telah sampai di situ lebih awal. Dia menunggu dengan perasaan yang berbunga-bunga dan penuh harap. Dia pasti sangat gembira kalau kekasihnya tiba pada waktu yang ditetapkan. Malah, dia masih lagi gembira kalau kekasihnya sekadar terlewat lima, sepuluh, atau lima belas minit. Malahan juga, kalau si jejaka jenis yang sangat sabar, dia tetap akan gembira kalau pasangannya tiba lewat setengah jam ataupun satu jam!

Namun lazimnya, kalau terpaksa menunggu hingga satu jam, jarang-jarang ada yang sabar. Dia pasti diasak dan ditekan oleh rasa kecewa, marah, dan sebagainya. Perasaan marah dan kecewa itu mungkin akan menyebabkan berlakunya percekcokan antara mereka. Yang selalu berlaku, jika appointment itu tidak ditepati sehingga mencapai satu jam, si jejaka akan berlalu dan mengecop pasangannya sebagai penipu!

Sebenarnya, ada appointment yang lebih penting, lebih utama, lebih perdana, lebih afdal, dan lebih dituntut daripada dua contoh appointment itu dan appointment-appointment lain di dunia ini. Appointment yang dimaksudkan itu ialah appointment dengan Allah SWT.

Allah SWT telah menetapkan appointment dengan kita sebanyak lima kali setiap hari – pada waktu subuh, pada waktu tengah hari, pada waktu petang, pada waktu senja, dan pada waktu malam. Waktu-waktu itu dinamai Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib, dan Isyak.

Seperti yang saya tegaskan, yang paling penting dalam sesuatu appointment ialah masa. Masa perlu ditepati, tidak boleh dimungkiri. Dalam konteks appointment dengan Allah SWT, begitulah juga halnya, kita tidak boleh mungkir sesaat pun walaupun kita diberi sedikit kelonggaran.

Pada semua waktu yang saya sebutkan itu – Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib, dan Isyak – Allah AWT menunggu ‘kedatangan’ hamba-Nya sebagai bukti penghambaan mereka terhadap-Nya. Yang hadir memperhambakan diri dengan menyembah-Nya tepat pada waktunya, sudah tentulah sangat disukai-Nya.

Tetapi, bagaimanakah halnya dengan hamba-Nya yang datang menyembah-Nya pada pertengahan waktu appoinment yang sebenarnya atau hamba-Nya yang tidak kunjung datang menyembah-Nya sehingga hampir menginjak appointment yang satu lagi?

Kalau dalam contoh tadi dikatakan bahawa si jejaka berasa marah dek kelewatan atau ketidakhadiran kekasihnya, tidak mungkinkah Allah SWT lebih murka daripada kemarahan seorang jejaka. Kalau seorang doktor tidak melayan pesakitnya yang tidak menepati waktu appointment mereka, tidak mungkinkah Allah SWT berlebih-lebih lagi tidak mempedulikan hamba-Nya yang lalai dan cuai?

Ingatlah akan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Sesiapa bersolat tepat pada waktunya dan melengkapkan rukuknya, sujudnya, dan khusyuk, maka solat itu pun naik ke atas dalam keadaan putih dan cemerlang. Solat itu berkata: ‘Semoga Allah menjaga dirimu sebagaimana kamu menjaga aku (menyempurnakan rukun solat itu)’. Tetapi, sesiapa yang bersolat bukan dalam waktu yang ditentukan dan tidak pula menyempurnakan wuduknya serta tidak pula melengkapkan rukuk, sujudnya, serta tanpa khusyuk sama sekali, maka solat itu pun naiklah ke atas dalam keadaan hitam kelam sambil berkata: ‘Semoga Allah mensia-siakan dirimu sebagaimana kamu mensia-siakan aku. Selanjutnya, setelah solat itu berada di suatu tempat seperti yang dikehendaki Allah, ia pun lalu dilipat sebagaimana baju yang koyak rabak dilipat, kemudian dipukulkanlah kepada mukanya.”
(Hadis riwayat Thabrani dan Baihaqi)

Anda dan saya sendiri boleh memilih untuk mencuaikan atau mengabaikan appointment dengan Allah AWT itu. Tetapi, sekali lagi, sebenarnya kita tidak mempunyai pilihan kerana Allah SWT sangat toleran dalam menuntut kita memenuhi appointment itu. Dia hanya mengambil masa kita sekitar 15-30 minit bagi setiap satu appoinment. Hal ini bermaksud bahawa, daripada masa 24 jam yang diberikan-Nya kepada kita, maksimum hanya sekitar satu jam suku hingga dua jam setengah sahaja yang diambil-Nya daripada kita untuk menyembah-Nya tepat pada waktunya. Mengapakah kedekut sangat?

Solat Berjemaah: Sebenarnya Kita Tiada Pilihan

Ada seorang rakan sepejabat berkata kepada saya, dia kurang menyukai perangai sebilangan orang yang rajin berjemaah di surau atau masjid (yang beliau namakan sebagai “orang surau”). “Orang surau” ini, kata kawan itu, seperti memandang rendah atau kurang mesra terhadap dirinya. Hal ini berlaku demikian, kata kawan sepejabat saya lagi itu, kerana dia jarang-jarang pergi berjemaah ke surau. Hal ini bukan sahaja berlaku di tempat dia menghuni sekarang, katanya lagi, tetapi pernah juga menimpa dirinya semasa dia menghuni kawasan perumahan sebelumnya.

Saya langsung tidak bersimpati terhadap beliau. Hal ini berlaku demikian kerana saya tahu bahawa beliau salah sangka, salah anggap. Saya, sebagai seorang yang pernah menjadi “orang surau” (meminjam kata beliau), tahu bahawa beliau telah tersilap. Sesungguhnya memang ada suara-suara sekerat dua “orang surau” yang menyarankan orang yang liat berjemaah di surau dipulaukan. Selalunya suara itu keluar daripada mulut “orang surau” peringkat bawahan. “Orang surau” peringkat bawahan itu, maksud saya, ialah “orang surau” yang cetek pengetahuan, bercakap mendahulukan emosi dan nafsu daripada akal yang waras dan rasional.

“Kita jangan pergi menghadiri apa-apa majlis yang dianjurkan mereka,” kata suara-suara sumbang itu. “Kalau mereka menghendaki air, tentulah mereka perlu pergi ke kolam atau sungai.” Salah seorang daripada pencadang itu beranalogi. “Maksud saya,” kata pencadang itu, “kalau surau ini air, mereka perlu datang ke sini untuk mendapatkannya”.

Pengerusi kami hendak bercakap, tetapi saya lebih dahulu bersuara, “Kita perlu berusaha untuk memujuk mereka. Kita tidak boleh terus menghukum tanpa mendekati mereka lebih dahulu”.

“Azan itu bukankah pujukan, bukankah pelawaan? Tidak cukupkah? Tak kan mereka tak faham?” Demikian si pencadang membalas, beremosi.

“Saudara,” kata saya, “marilah kita melihat ke dalam diri kita. Adakah azan yang kita kumandangkan dari surau itu berjaya memujuk seluruh ahli keluarga kita? Tidak, bukan! Yang berlaku, yang saya nampak, azan kita hanya berjaya menarik kedatangan kita sedangkan anak-anak kita, malah bapa dan adik kita masih enggan menyertai kita. Jadi, itulah juga yang berlaku kepada orang-orang seperti ini. Mereka masih belum dihidayahi Allah. Azan tidak mengisi jiwa mereka yang kosong. Berilah mereka peluang. Kita hadiri kenduri-kendara mereka dan dalam ucapan alu-aluan kita, kita tarbiahi mereka,” kata saya.

Pencadang itu termangu. Orang lain yang turut mendengar pun terdiam.

Mujur kami mempunyai pengerusi yang berfikiran terbuka. Beliau tidak endah akan saranan itu dan tetap mengajak ahli jemaah pergi menghadiri majlis kenduri yang dianjurkan oleh orang yang jarang-jarang datang ke surau. Dan dalam ucapan penghargaan kepada penganjur, beliau akan berucap dengan penuh diplomasi sambil mempelawa penganjur yang jarang-jarang ke surau itu sama-sama bermasyarakat dengan cara mengimarahkan surau. Malah, kadang-kadang beliau bercakap secara peribadi dengan tuan rumah yang menjadi penganjur. Daripada perbualan itu, barulah kadang-kadang kami ketahui bahawa ada orang yang jarang-jarang ke surau itu sesetengahnya bekerja ikut syif atau selalu pulang lewat dan hanya sempat bersolat di hentian rehat di tepi lebuh raya!

Seorang rakan setaman pernah berkata hal yang sama dengan yang diungkapkan oleh bekas teman sepejabat saya itu. Peristiwa ini berlaku lama dahulu, jauh lebih awal daripada saya mendengar kata kawan sepejabat ini.

“Kawan-kawan surau engkau pandang semacam je kat aku. Mentang-mentang aku jarang-jarang ke surau,” kata rakan setaman saya itu. Saya diam kerana saya sangat tahu bahawa yang berlaku ialah hanya beliau yang berperasaan begitu. Beliau yang “terasa” dan “malu-malu alah” kerana merasakan dirinya bukan sebahagian daripada ahli tegar surau kami.

Ternyata tanggapan saya betul. Selepas lebih sepuluh tahun, sekarang beliau bukan “orang surau” sembarangan. Sekarang beliau imam kami merangkap pengerusi surau kami. Baru-baru ini, beliau mengungkitkan hal yang sama.

Beliau berkata, “Ada orang taman kita ini yang beranggapan bahawa kami “orang surau” pandang serong dan tidak melayan orang yang jarang-jarang ke surau. Yang betulnya, kami langsung tidak bersikap demikian. Kami layan semua orang. Cuma, mungkin mereka yang terasa sendiri. Mereka yang malu-malu alah.”

Sama seperti dahulu, saya diam tatkala mendengar kata-kata beliau itu. Saya segera teringat akan salah tanggapan yang diluahkannya kepada saya dahulu. Saya yakin, yang diperkatakannya sekarang adalah berasas pada salah tanggapannya dahulu.

Kepada teman sepejabat itu, suka saya ingatkan, bahawa kamu telah salah anggap. Kamu silap. Pelawaan kawan kamu yang menjadi “orang surau” itu supaya kamu berjemaah solat Isyak dan solat sunat tarawih pada sepanjang Ramadan itu wajar kamu sambut dengan dada yang lapang.

Hayatilah dua potong sabda Rasulullah SAW yang berikut:

Demi zat yang diriku di tangan-Nya, aku ingin menghimpunkan kayu api, lalu kusuruh seseorang mengumandangkan azan solat, dan kusuruh pula imam memimpin solat berjemaah, dan kudatangi mereka yang tidak bersolat jemaah, kubakar mereka bersama dengan rumah-rumahnya!”

(Hadis riwayat Bukhari-Muslim)

“‘Sesiapa yang mendengar seruan azan tetapi tidak memenuhinya tanpa sebarang keuzuran, maka solat yang dikerjakannya tidak akan diterima.’ Para sahabat bertanya: ‘Apakah keuzurannya?’ Jawab Rasulullah SAW: ‘Ketakutan atau sakit.’”

(Hadis riwayat Abu Daud, Ibnu Hibban, Ibnu Majah)

Jadi, wahai sahabatku, fikir-fikirkanlah. Barangkali pelawaan kawan kamu itu timbul kerana beliau menyedari kewujudan hadis-hadis yang berkait dengan solat manakala kamu hanya mengetahui hadis memang wujud tetapi tidak pernah menyemaknya. Sebenarnya kewajiban bersolat jemaah sangat jelas dan kita (orang lelaki) tiada pilihan lain selain daripada berjemaah.

Wednesday, August 11, 2010

Salam Ramadan

Salam Ramadan serta salam persahabatan dan salam persaudaraan yang berkekalan kepada sekalian pembaca, kenalan, handai dan taulan. Maaf zahir dan batin saya pohon jika selama ini banyak kata yang menyinggung perasaan dan komen yang menyentuh jiwa.

Nabi Muhammad SAW bersabda:

Bulan Ramadan ke satu bulan bulan Ramadan yang berikutnya, hari Jumaat ke satu Jumaat yang berikutnya, dan satu solat ke solat yang berikutnya menjadi penebus dosa antara keduanya, selama dijauhi segala dosa besar.”

(Hadis riwayat Imam Ahmad, Muslim, dan al-Baihaqi)

Bulan Ramadan ialah bulan kesabaran, dan balasan kesabaran ialah syurga.”

(Hadits riwayat Ibnu Khuzaimah dan al-Baihaqi)

Sunday, August 8, 2010

Menjiwai Semangat Merdeka

Pada setiap 17 Ogos, Republik Indonesia akan merayakan sambutan hari kemerdekaannya. Pada tahun ini, negara republik itu akan merayakan hari kemerdekaannya yang ke-65. Walau bagaimanapun, pelakon sinetron dan filem seram negara itu, Donita atau nama sebenarnya Noni Anissa Ramadhani berkata bahawa negaranya belum mengamalkan kemerdekaan (kebebasan) sepenuhnya.

“Bagi saya, tarikh 17 Ogos hanya satu simbol kerana (di negara ini) masih wujud penindasan. Kemerdekaan yang sebenarnya adalah apabila kita bebas daripada kemisikinan dan kejahilan. Jika ditanya sama ada kita sudah bebas, saya rasa kita belum bebas sepenuhnya,” ujar Donita dalam laman kapanlagi.com.

Menurut beliau lagi, semua rakyat Indonesia perlu tahu akan pengorbanan pahlawan negara bagi memerdekakan negara. Beliau berkata bahawa penghargaan terhadap wira negara tidak sepatutnya dilakukan pada 17 Ogos sahaja, tetapi hendaklah dilakukan pada setiap masa.

Demikianlah pandangan seorang artis (bukan artis negara ini) terhadap makna kemerdekaan/kebebasan (daripada penjajahan). Saya tidak memaksa sesiapa, tetapi kita harus berasa kagum akan kesedaran pelakon ini. Hal ini demikian kerana pandangan yang diberikan beliau sangat benar dan bernas.

Di negara kita sekarang, kita sedang berada dalam Bulan Kemerdekaan. Sama seperti tahun-tahun sebelumnya, pihak pemerintah menyeru kita supaya menampilkan semangat patriotik masing-masing dengan mengibarkan Jalur Gemilang di premis atau pada kenderaan masing-masing. Tetapi tahukah anda bahawa anda tidak boleh meletakkan Jalur Gemilang secara serampangan pada kenderaan anda? Sebagai contohnya, anda dilarang oleh pihak pemerintah meletakkan Jalur Gemilang pada bahagian bampar depan kenderaan (pada masa yang sama kita diminta melahirkan semangat patriotik, pergh!) Tidakkah hal itu salah satu ciri penindasan kerana membeza-bezakan rakyat dengan pemimpin dengan sesuatu yang tidak perlu?

Kemiskinan masih membelenggu rakyat di negara kita walhal kita sudah menjejak usia 53 tahun kemerdekaan. Kepada rakyat yang benar-benar miskin atau mungkin berstatus papa kedana, mereka dimiskinkan lagi dengan kenaikan harga barangan tertentu. (Untuk mengatasi beban kenaikan harga barangan tertentu, kita dinasihatkan supaya mengurangkan penggunaannya, sesetengahnya atas alasan kesihatan.) Soalnya, haruskah masalah kemiskinan terus wujud di negara kita tatkala para pemimpin kita saban tahun menjadikan aktiviti “makan angin” ke luar negara sebagai aktiviti wajib keluarga mereka? Berapa banyakkah pemimpin kita yang mengongsikan pendapatan mereka dengan golongan papa kedana ini?

Rakyat sendiri harus memahami erti kemerdekaan. Seperti kata Donita, pelakon Indonesia itu, kita harus mengingat kesusahan para wira dalam memerdekakan negara. Tidak cukup hanya mengenangnya pada hari tertentu sahaja atau dengan mempelajari perjuangan mereka dalam buku-buku Sejarah atau membacanya dalam novel dan cerpen. Tidak cukup hanya dengan mengalungkan bunga pada tugu dan sebagainya (sudah difatwakan sebagai haram pun). Kita harus menjiwai, merasai, menginsafi perjuangan mereka. Semangat dan kegigihan mereka yang ingin merdeka itu harus kita serapkan dalam diri kita. Kita harus punya semangat yang sama untuk membebaskan diri daripada penjajahan kemiskinan, kejahilan, dan penindasan. Semangat itu harus diwariskan dan diwarisi.

Saturday, August 7, 2010

Yang Manakah Gadis, Yang Manakah Wanita?

Gadis itu rupa-rupanya sudah mempunyai dua orang anak. Gadis itu juga rupa-rupanya sudah mempunyai suami (yang kacak). Punya anak dua orang, punya suami yang kacak, gadis lagikah statusnya? Hal ini bukan cakap-cakap kosong tetapi memang benar-benar berlaku. Dia diberi gelar “gadis” bukan “wanita” dalam suatu pertunjukan yang dilakukannya.

Saya tidak mengikuti perkembangan “gadis” itu sepenuhnya. Walau bagaimanapun, saya ada membaca berita tentang usahanya untuk mencipta rekod untuk tinggal bersama dengan seratus ekor ular selama sebulan (6 Julai hingga 6 Ogos 2010 yang baru lalu). Pertunjukan itu dilakukannya di Pameran dan Pertunjukan Ular 2010 di Perbadanan Muzium Kelantan. (Syabas, “gadis” itu berjaya mencipta rekod!)

Saya langsung tidak berniat untuk memperlekeh usahanya apatah lagi menyentuh peribadinya. Dia sudah bersuami dan alhamdulillah sudah dikurniai dua orang cahaya mata. Cuma, saya merasakan bahawa penggunaan kata “gadis” pada wanita yang sudah pun beranak dan bersuami tidak sesuai dengan budaya kita. (Saya tidak pasti siapakah yang menamakan pertunjukan beliau itu sebagai “Gadis Bersama Ular”.)

Mungkin hal ini tidak menjadi kudis kepada sebahagian besar orang. Sama ada “gadis”, “janda”, atau “dara”, kesemuanya perempuan, begitulah agaknya anggapan orang. Kalaulah ada orang yang beranggapan demikian, kita perlu berasa dukacita kerana hal ini melibatkan bahasa. Bahasa kita, seperti bahasa lain, mempunyai kata khusus bagi membedakan jantina dan status seseorang.

Sebab itulah kita tidak pernah mendengar orang meletakkan status “gadis” pada ibu yang mempunyai setengah dozen anak, kecuali pada anak perempuannya. (Kalau si ibu seperti itu diberi status “gadis”, pasti hingar sekampung.) Begitu juga, orang tidak meletakkan status “balu” pada wanita yang suaminya masih hidup; atau meletakkan status “janda” pada anak dara atau isteri yang tidak pernah bercerai. Semua hal ini tidak pernah berlaku.

Jika hal sebaliknya berlaku, iaitu ada orang meletakkan status itu pada contoh-contoh yang saya berikan itu, seperti yang saya katakan tadi, kita wajar berasa dukacita. Hal ini saya katakan demikian kerana hal itu menggambarkan bahawa kita sudah tidak ambil kisah akan keindahan bahasa kita; kita sudah tidak ambil kisah akan budaya kita. Misalnya, wanita yang masih lagi dipeluk dan didakap suami dilekatkan dengan status balu. Huh!

Kalau kita merujuk kepada Kamus Dewan Edisi Keempat, kata gadisdidefinisikan sebagai 1. anak perempuan yg sudah baligh (sudah boleh berkahwin), anak dara; 2. masih perawan, belum disetubuhi (dicemari laki-laki).

Oleh itu, jika demikianlah maksud “gadis”, sesuaikah wanita yang bersuami dan beranak distatuskan sebagai “gadis”? Terbukti tidak sesuai, bukan? Kalau tidak sesuai, dalam kes ini, pertunjukan itu lebih tepat dinamakan sebagai “Wanita Bersama Ular”. Orang pun tidak terkeliru dengan status wanita hebat itu.

Kepada Puteri Nur Aryani Saiful Yuzah, anda memang wanita hebat. Sebulan dengan seratus ekor ular berbisa, bagi saya adalah “kerja luar biasa”. Saya tidak mungkin akan tinggal walau dengan seekor ular sekalipun! Baru melihat ular di televisyen kadang-kadang kaki saya sudah bersila di kerusi, tidak kiralah sama ada ular itu gadis ataupun jejaka!

Thursday, August 5, 2010

Jangan Sengaja Mencari Dosa Kering

Ada orang yang gelak-gelak dan ada yang bernada sinis tatkala bercakap tentang peristiwa itu. Lucu pada mereka, misteri pada segelintir yang lain, walhal di rumah orang yang mencipta peristiwa itu, ahli keluarganya sedang menyejukkan hati masing-masing – sesama mereka, sesama sanak-saudara. Mungkin ada kalangan dansanak yang masih bengkak mata mereka.

Orang yang mencipta peristiwa itu dapatlah dikatakan sebagai telah mencetuskan andaian dan persepsi. Kebetulan orang kita memang suka cerita-cerita seperti ini. Kerana suka, maka muncullah para “pakar” dan para “wartawan”, yang tidak tahu mana hujung mana pangkal, mana betul mana fitnah, menyampaikan persepsi dan andaian masing-masing.

Peristiwa itu terjadi dengan kehendak-Nya. Masa dan tempat telah dipilih-Nya. Kemudian kun, kata-Nya lalu fayakun pun mengikutinya. Sebab tercetus peristiwa itu menjadi rahsia orang yang terlibat dan dirahsiakan Allah. Maka, eloklah kita menutup mulut. Menutup mulut dalam hal ini bukan bermakna kita menyembunyikannya tetapi mengelakkannya daripada fitnah.

Kalau masih juga hendak membuat persepsi, kalau masih juga hendak menebak, buatlah di dalam hati. Kemudian beristighfar. Jangan diluahkan kepada sesiapa pun, takut menjadi fitnah. Seelok-eloknya, bacalah al-Fatihah, sedekahkan kepada roh orang yang terlibat di samping mendoakan kesejahteraan mereka. Sengaja mengutip dosa kering buat apa?

Lagipun, pihak berkuasa sedang menyiasat. Mereka itu kita yang menggajikannya. Biarlah mereka bekerja. Jangan menyibuk! Sebagai orang yang digajikan, mereka akan memaklumkannya kepada kita. Tunggulah sahaja. Tidak lama, seminggu sahaja lagi.

Pulih Tanpa Dadah

Tidak salah mencuba sesuatu demi kebaikan asalkan yang dicuba itu betul dan sah halalnya dalam Islam. Kepada orang yang alah dan tidak menggemari kopi, hal ini mungkin sedikit sukar untuk dilakukan mereka.

Hal yang hendak diketengahkan ialah kaedah untuk merawat selesema tanpa penggunaan ubat-ubatan berasaskan dadah. Kaedah segera ini, insya-Allah berkesan.

Pada peringkat awal selesema dan ketika mengalami simptom sebelum selesema seperti sakit/pening kepala, hingus meleleh (running nose), dan bersin, minumlah dua atau tiga cawan air panas. Tunggu sehingga tiga hingga lima minit. Selepas tempoh itu, minum secawan kopi panas.

Dua atau tiga minit selepas anda mencuba langkah ini, anda akan berasa hendak kencing (buang air kecil). Hal ini berlaku demikian kerana sebenarnya kopi bersifat diuretik (dapat menyebabkan peningkatan aliran kencing). Lakukan segera dan anda akan berasa takjub kerana selepas anda kencing, semua simptom selesema yang anda alami tadi akan hilang.

Kencing bermaksud bahawa kita membuang air dari dalam tubuh kita. Seperti yang kita ketahui, apabila kita membuang air kecil, semua virus yang terperangkap dalam tubuh kita akan ikut keluar bersama-sama dengan air yang kita buang. Dalam konteks ini, virus selesema yang berada dalam tubuh kita ikut keluar bersama-sama dengan air kencing kita.

Selamat Mencuba. Insya-Allah ada manfaatnya.

PERINGATAN:
Jangan minum kopi bersama dengan durian, sama ada sebelum makan durian atau selepas makan durian. Saya telah mengalaminya dan merasai kesengsaraannya. Kalau anda melakukannya, anda akan berada di atas katil, sama ada di atas katil di rumah anda atau di atas katil di tempat yang kurang kita sukai – hospital.