Thursday, December 29, 2011

Cerita Sambutan Tahun Baharu Masihi

Berbagai-bagai cara orang menyambut Tahun Baharu mereka. Di negara kita ini, sambutan Tahun Baharu yang paling meriah ialah yang disambut oleh orang-orang Cina (Tahun Baharu Cina) sehingga kerajaan Persekutuan memberikan cuti dua hari kepada orang yang menyambut Tahun Baharu itu.

Hal ini berlaku sebaliknya untuk sambutan Tahun Baharu Hijrah yang disambut sederhana, malah kerajaan Persekutuan sendiri hanya memperuntukkan cuti sehari sahaja kepada orang yang menyambut Tahun Baharu Hijrah ini, sama dengan Deepavali dan Thaipusam.

Walau bagaimanapun, sambutan Tahun Baharu yang paling meriah dirayakan di seluruh dunia, termasuklah di negara ini ialah Tahun Baharu Masihi, seperti yang bakal menjelang dua tiga hari lagi. Sambutan Tahun Baharu Masihi ini dirayakan oleh orang daripada pelbagai bangsa dan agama.

Di negara kita, bersempena dengan kehadiran Tahun Baharu 2012 Masihi ini, Jalan Raja di Dataran Merdeka akan ditutup. Penutupan jalan itu bukan bermula dari hari Sabtu, tetapi bermula sejak hari Jumaat. Penutupan itu pula bukan kerana hendak mengadakan solat sunat hajat, ceramah agama, dan sebagainya tetapi kerana countdown dan show-show hiburan.

Di tempat-tempat lain di negara ini pun akan diadakan sambutan yang serupa. Di Lembah Kelang, khabarnya, hanya Selangor yang mengadakan program yang berbeda. Program Countdown 2012 di negeri itu akan dilangsungkan di Dataran Shah Alam pada Jumaat malam.

Program yang mengisi sambutan itu ialah solat Maghrib berjemaah, sembang santai dengan Imam Muda Ashraf, dan Soal Jawab Agama dengan Ustaz Azhar Idrus dan Zizan Raja Lawak. Pada malam yang berikutnya, di Shah Alam juga, lebih tepatnya di i-City, akan diadakan sambutan ambang Tahun Baharu Masihi secara besar-besaran yang menjurus kepada hiburan.

Yang manakah kelak akan menjadi pilihan kebanyakan orang di Lembah Kelang ini? Ustaz Azhar Idrus memang popular, tetapi adakah tahap popularitinya dalam kalangan generasi muda sama dengan populariti Faizal Tahir, Jamal Abdillah, dan M. Nasir, yang akan “menyerikan” sambutan Tahun Baharu Masihi di Dataran Merdeka kelak?

Perlu juga kita fikirkan, wajarkah Tahun Baharu Masihi ini disambut dan diwara-warakan melalui media massa sehingga menimbulkan rasa kemaruk dalam hati muda-mudi untuk meraikannya, yang sembilan bulan kemudian, kita akan sama-sama “terkejut” apabila banyak perempuan yang membuang bayi mereka?

Fenomena buang bayi ini bukan seperti tsunami yang kehadirannya tidak diduga. Kita tahu bahawa sambutan Tahun Baharu Masihi telah lama menjadi medan hubungan seks bebas dalam kalangan belia. Jadi, bukankah elok sambutan Tahun Baharu Masihi ini disederhanakan atau dimurnikan dengan program-program keagamaan?

Sambutan Tahun Baharu Masihi yang menekankan keseronokan (kerana hadir sekali setiap tahun) perlu diubah dengan kadar yang segera. Keseronokan yang hakiki adalah apabila kita berasa tenang. Rasa tenang dapat kita peroleh dalam solat. Lalu, mengapakah dihebohkan keseronokan yang sehari itu kalau kita dapat menikmatinya saban hari?

Tuesday, December 27, 2011

Belasungkawa: Dia Pergi Jua Akhirnya

Masih tidak lewat rasanya bagi saya untuk menitipkan belasungkawa ini pada ruang yang luas ini.

Dia, Uwan Halimah binti Ibrahim, setelah bertahun-tahun menderitai sakit kanser kulitnya (di pipi), akhirnya dijemput Allah SWT ke rahmatullah pada tanggal 23 Disember 2011 (Jumaat) pada jam kurang lebih 6:30 petang yang baru lalu.

Pemergiannya dilepaskan dengan penuh redho oleh insan-insan yang menyayanginya — putera-putera dan puteri-puterinya serta para cucu dan cicitnya, tentunya. Penderitaannya di dunia yang bertahun-tahun itu, bagi saya sendiri, lepaslah sudah.

Almarhumah saya kenali tatkala dia sudah pun berusia lanjut — menghampiri 70 tahun saya kira. Perkenalan saya dengannya berlaku apabila saya mengenali cucu keduanya yang kemudiannya menjadi isteri saya kini.

Banyak hal yang menjadikan saya menyukai dan mengaguminya. Sikap berdikarinya yang tiada berbanding adalah antara sifatnya yang sering saya puji. Pada usia selanjut itu, beliau mampu menaiki bas (bukan bas ekspres) dari Kuala Pilah di Negeri Sembilan untuk mengunjungi anak-anaknya di Perak, Pulau Pinang, Kedah, apatah lagi almarhumah ibu mentua saya di Selangor.

Kesungguhannya mempelawa sesiapa sahaja yang berkunjung ke rumahnya supaya makan juga mengagumkan saya. Almarhumahlah yang memperkenalkan peribahasa “sepadat-padat peti, sehelai tuala muat juga” kepada saya apabila saya menolak untuk makan kerana terlalu kenyang.

Dan saya menyanjung dua tiga orang putera puterinya, menantu lelakinya, serta beberapa orang cucunya yang begitu sabar melayani kerenah seorang ibu/nenek yang sakit, yang berusaha 150% malah lebih lagi untuk memberikan keselesaan dan kelegaan kepada ibu/nenek yang benar-benar sakit, yang membuang rasa jijik dan mual untuk melayani ibu/nenek yang sakit yang sudah tentu kencing dan beraknya perlu diatur, yang terus menyuapkan makanan kepada ibu/nenek yang sakit walaupun beratus-ratus kali si ibu/nenek itu membentak dan menolak, dan sebagainya itu.

Beruntung kamu, wahai Uwan Halimah binti Ibrahim kerana punya anak cucu yang menghargai setiap detik keberadaanmu di dunia ini, tidak kira waktu kamu sihat ataupun waktu kamu uzur yang semuanya bertitik tolak daripada asuhanmu jua. Beruntung kamu, wahai Uwan Halimah binti Ibrahim, kerana jenazahmu disembahyangi oleh begitu banyak insan.

Aku, seperti putera puterimu dan cucumu yang lain, berdoa agar kamu mendapat keampunan dan rahmat Allah yang Maha Luas itu. Aku juga berdoa agar rohmu dikelompokkan dengan mukminin dan mukminat di dalam Jannah-Nya. Amin.

Al-Fatihah.

Thursday, December 15, 2011

Ke Usia 60 Tahun: Natijahnya

Usia had persaraan pekerja di sektor swasta bakal dinaikkan daripada 55 tahun sebelum ini kepada 60 tahun, sama dengan pekerja di sektor awam. Kerajaan telah pun memberikan persetujuan terhadap usaha yang telah dilakukan oleh MTUC sejak 10 tahun yang lalu. Pihak MEF sendiri bersetuju dengan cadangan itu. Kenaikan itu, menurut laporan Berita Harian, akan menggembirakan lebih 5 juta pekerja di sektor swasta.

Hal kenaikan usia persaraan ini sudah kerap didebatkan baik buruknya oleh masyarakat. Di pihak belia (lepasan sekolah, kolej, dan universiti), kenaikan itu pada pandangan mereka, menjejaskan peluang mereka untuk beroleh pekerjaan sekali gus meningkatkan jumlah pengangguran. Apatah lagi, kata mereka lagi, sehingga kini tidak tampak usaha yang signifikan daripada kerajaan untuk memperbanyak peluang pekerjaan untuk mereka.

Kalaulah hal ini menjadi realiti dalam masa terdekat ini, apakah tindakan pihak KWSP? Keseragaman had usia persaraan di sektor awam dan swasta itu tidakkah nanti akan menimbulkan idea di pihak mereka untuk meningkatkan usia pengeluaran wang caruman pekerja? Sekarang, pekerja boleh mengeluarkan sebahagian caruman mereka pada usia 50 tahun dan kesemua caruman mereka pada usia 55 tahun.

Pelajar yang menuntut di luar negara, malah yang di dalam negara sendiri pun akan berfikir banyak kali untuk bekerja di negara ini kerana peluang mereka untuk menjawat jawatan yang tinggi tipis sekali. Oleh hal yang demikian, mereka pasti berasa lebih seronok untuk bekerja di luar negara. Hal ini sudah tentulah merugikan negara kerana pelaburan mereka memberikan pendidikan kepada golongan ini akhirnya dinikmati oleh negara lain.

Golongan yang memang menyasarkan diri mereka untuk berkhidmat sehingga usia 55 tahun pasti terkilan terhadap peningkatan had usia persaraan ini. Adakah pada usia selewat itu mereka masih berupaya untuk membuat kerja lebih masa yang menjadi tuntutan sesetengah syarikat? Atau wajarkah pekerja yang berusia 59 tahun, misalnya, dipaksa melakukan kerja lebih masa hingga waktu untuk meningkatkan ibadah (yang Islam) terabai?

Pekerja atasan yang hati mereka tidak mulia, rasis, mengamalkan kronisme atau nepotisme akan menjadikan peningkatan had usia persaraan ini peluang terbaik mereka untuk mengangkat pekerja kesukaan mereka sebagai calon bayangan bagi menggantikan tempat mereka. Malah lebih buruk lagi, ada yang menjadikannya sebagai peluang untuk mencantas orang-orang yang tidak disukai mereka, yang bukan sebangsa dengan mereka, yang bukan kroni mereka, dsb.

Yang membimbangkan pihak pengurusan swasta, rasa saya ialah, peningkatan had usia persaraan ini bakal meningkatkan peruntukan/kos rawatan kesihatan kakitangan sekali gus meningkatkan perbelanjaan syarikat. Bagaimanakah mereka hendak menyerap peningkatan perbelanjaan ini? Menaikkan harga produk dan perkhidmatan mereka adalah antara cara/langkah yang bakal dilakukan mereka, tentunya.

Hal ini cuma pandangan peribadi penulis sebagai pekerja sektor swasta yang sangat menanti usia 55 tahun untuk menutup kamus sebagai pekerja yang dikawal oleh waktu pejabat. Tidak mengapalah peningkatan usia persaraan ini diteruskan kalau KWSP tidak mengubah had usia pengeluaran caruman pekerja. Kalau tiada perubahan di pihak KWSP, penulis masih boleh berhenti kerja pada usia 55 tahun dan menggunakan wang caruman sebagai biaya hidup.

Wallahualam.

Tuesday, December 13, 2011

Arak dan Cabutan Bertuah

Sibuk benar saya hingga tidak sempat untuk mengemas kini Blog sendiri dan menelaah Blog teman-teman.

Walau bagaimanapun, kerana hal ini penting menurut hati saya, saya mencuba untuk menyiarkan hal ini dalam Blog saya sebagai iktibar kita bersama.

Syarikat tempat teman saya bekerja mengadakan majlis makan malam tahunannya. Teman saya bertanya kepada pihak AJK Kelab Sosial dan Sukan yang menjadi pengendali majlis itu, “Adakah arak akan dihidangkan pada majlis makan malam tahunan itu kelak ataupun tidak ada?”

Wakil pihak AJK kelab itu menjawab, “Tidak ada!”

Maka, teman saya dan beberapa orang teman se-Islamnya yang lain dengan senang hati meletakkan tanda rait pada ruang HADIR pada surat jemputan yang diedarkan oleh pihak kelab sebagai tanda bersetuju untuk “ikut berseronok” pada majlis yang dikhususkan untuk kakitangan syarikat tempatnya bernaung itu.

Malangnya, kata-kata pihak AJK yang menjadi sumber rujuk teman saya itu langsung tidak boleh dipercayai. Arak, kata rakan saya, ada dihidangkan dalam majlis itu. Kakitangan yang bukan Islam, meneguknya sebebas mungkin dan lebih malang lagi, kata teman saya lagi, ada kakitangan Islam yang “tumpang semangkuk” dengan meneguk air kencing syaitan itu.

Yang lebih mengejutkan teman saya itu ialah kepala syarikatnya sendiri meneguk arak dari dalam jag sambil berdiri di atas meja. Dia sendiri (kepala syarikat itu) kemudiannya sudah berada dalam situasi di luar kawalan (mabuk) dan hal ini dilihat oleh anak-anak buahnya yang bukan Islam dan Islam. Ada kakitangan yang meraikan “kehebatannya” itu dengan bertepuk tangan.

Bukan hendak berbangga, saya sendiri sudah lama tidak menghadiri majlis makan malam tahunan syarikat yang menjadi tempat saya bernaung kerana saya tahu bahawa arak memang akan menjadi minuman wajib yang akan dihidangkan pada majlis serupa itu. Saya fikir, saya tidak perlu bersubahat dan mendapat dosa percuma daripada keberadaan arak pada majlis serupa itu.

Kalaulah saya berada di posisi teman saya itu, saya akan memarahi pihak AJK yang menjadi sumber rujuk saya itu dan kemudian mengajak rakan-rakan Islam yang menghadiri majlis itu pulang, atas dasar tanggungjawab sebagai seorang Islam. Malangnya, teman saya itu terus berada di situ bersama-sama dengan keberadaan arak itu demi cabutan bertuah!

“Engkau dapatkah hadiah daripada cabutan bertuah itu?” Saya bertanya.

“Hampeh! Satu apa pun aku tak dapat...!” Teman saya memperlihatkan raut kecewanya.

Kecewa dia kerana tidak dapat hadiah itu. Astaghfirullah....

Wednesday, November 30, 2011

Pemakan Sisa di Negara SatuMalaysia yang Maju

Semalam diri ini kurang sihat. Diri ini pergi ke klinik. Puan doktor belum menceluskan dirinya ke klinik miliknya. Selepas mendaftar, diri ini menunggu di dalam kereta kerana kebetulan kereta diparkir betul-betul di hadapan klinik. Diri ini berusaha untuk menghafaz surah yang menjadi tugasan.

Di sudut luar sebelah kiri klinik, ada sebuah tong sampah. Sampah melembak keluar dari dalam tong itu. Tidak lama kemudian, muncul seorang insan. Pakaiannya tidak rapi, tetapi bersih. Tong sampah itu didekatinya. Bekas berisi tin dan kotak yang dikumpulkannya sebelum itu diletakkannya di atas lantai.

Segera dia membongkar sampah di dalam tong itu. Dia menemukan sebuah tin minuman berkarbonat. Dia menggoncang-goncang tin itu, meniup “mulut” tin itu dan kemudian menghirup sisa minuman berkarbonat. Diri ini terkedu dan segera menginsafi keadaan dan mencuba untuk menilai insan itu.

Diri ini yakin bahawa insan itu pemungut barangan kitar semula. Diri ini kurang yakin bahawa insan itu kurang waras sampai tergamak untuk menelan sisa minuman yang telah menghuni tong sampah! Pakaiannya bersih amat. Maksud diri ini, insan itu pasti tahu akan maksud kebersihan.

Diri ini berfikir waktu itu, barangkali insan itu ingin sekali menikmati air berkarbonat yang tidak mampu dibelinya lalu tergamak untuk menghirup minuman yang menjadi sisa itu. Apabila otak memikirkan kemungkinan itu, diri ini segera keluar dari dalam kereta lalu masuk ke dalam klinik. Sedih.

Diri ini teringat akan cerita almarhum penerima Anugerah Sastera Negara — bahawa pada zaman perang (Jepun menyerang Malaya), insan dan anjing sama-sama menyelongkar tong sampah untuk mendapat makanan. Tetapi, sekarang bukan zaman perang yang memerlukan insan menyelongkar sampah untuk menikmati minuman berkarbonat!

Sekarang zaman Malaysia negara maju, banyak wang, berkelas dunia. Sekarang zaman Malaysia bersedia untuk menyedekahkan kekayaan kepada kelompok mereka (seperti kisah feed lot itu?). Tetapi malangnya, pemandangan yang terlihat pada zaman perang — kewujudan insan pemakan sisa — dapat juga kita saksikan pada zaman ini!

Sama seperti insan pemakan sisa itu, kebanyakan kita juga sebenarnya pemakan sisa di negara Malaysia yang maju, banyak wang, dan berkelas dunia ini. Sisa itu ditinggalkan oleh sang pemuka, yang kita pilih kerana janjinya, bukan kerana komitmen dan kejujurannya sehingga akhirnya mereka hidup di mahligai, kita hidup memakan bangkai.

Friday, November 25, 2011

Kematian: Berkabunglah dengan Jiwa dan Raga

Dalam dunia ini, orang berkabung kerana kematian. Entah siapalah orangnya yang mencetuskan idea ini — berkabung memerlukan kita memakai songkok berlilit kain putih. Hatta, sudah menjadi adat dalam kalangan bangsa tertentu yang menghendaki mereka supaya berpakaian hitam semasa berkabung (memang elok daripada pakaian berbunga-bunga yang menampakkan keceriaan).

Tetapi, yang biasa kita lihat tentang perkabungan ialah di balik pakaian hitam itu, ada permata yang tersarung di jari, ada mutiara yang terlilit di pergelangan tangan, ada subang yang terlekat di telinga (malah hidung juga), ada hilai tawa dan wajah ceria serta seribu bicara dunia — lambang orang tidak menginsafi kematian yang sedang dihadap. Astaghfirullah.

Perkabungan berkait dengan adab, sebenarnya. Adab tatkala menziarahi orang mati memerlukan kita “berpuasa” daripada hal-hal yang berkait dengan dunia! Cincin, gelang, subang, atau apa-apa lambang kemewahan tanggalkanlah, cerita-cerita tentang saham, politik, ekonomi, dll sejukbekukanlah di dalam hati kerana al-Fatihah itu lebih mulia daripada yang duniawi.

Kita bebas untuk memilih untuk sama-sama berkabung dengan berpakaian hitam dan sebagainya. Tetapi hakikat berkabung bukan sekadar berpakaian hitam sahaja. Hakikat berkabung ialah sama-sama berdukacita dengan orang yang kehilangan ahli keluarga mereka dan yang paling penting, berkabung menuntut kita menginsafi hakikat kematian.

Ada orang yang memusuhi tentangganya kerana semasa orang itu kematian ahli keluarganya, sekelompok tetangganya (bersongkok dan berkopiah putih) berhilai tawa di bawah pokok rambutan di sisi rumahnya. Ada orang yang membenci keluarga bau-bau bacangnya kerana keluarganya itu seronok menimang-nimang anaknya tatkala jenazah sedang dimandikan!

Ingatlah, berkabung jangan diperlihatkan melalui pakaian hitam dan songkok berlilit putih sahaja. Berkabung harus diperlihatkan melalui akhlak!

Tuesday, November 22, 2011

Malaysia Juara: Geroda Hanya Mitos, Harimau Memang Hakikat

Tidak ada ucapan yang paling layak untuk diberikan kepada pasukan bawah 23 tahun Malaysia yang memenangi pingat emas dalam Temasya Sukan SEA ke-26 selain daripada Syabas dan Tahniah. Kepada Allah, Pencatur segala nasib dan peristiwa, terima kasih, syukur Alhamdulillah.

Pasukan Malaysia dapat menyerap setiap asakan pemain Indonesia yang jelas memiliki kemahiran yang lebih baik daripada pemain Malaysia. Secara keseluruhannya, Indonesia layak untuk menjadi juara tetapi barangkali “dosa” penonton yang menghina pasukan Malaysia mewajarkan mereka untuk kalah.

Jadi, kekuatan mental pemain Malaysia yang bukan sahaja terpaksa berdepan dengan pasukan bola sepak Indonesia, malahan terpaksa berdepan dengan kegilaan dan keceloparan penonton Indonesia juga, harus mendapat pujian dan disanjung tinggi. Syabas sekali lagi.

Malaysia memenangi perlawanan akhir yang mendebarkan itu melalui penentuan penalti dengan keputusan 4-3 setelah pasukan negara dapat mengikat pasukan Indonesia dengan keputusan 1-1 dalam perlawanan yang berlanjutan hingga 120 minit.

Dengan kemenangan itu, kita dapat mempertahankan pingat emas yang kita menangi pada edisi yang ke-25 (2009) yang lalu. Kemenangan itu juga bermaksud bahawa kita telah memenangi pingat emas bola sepak Sukan SEA/SEAP ini sebanyak enam kali (1961, 1977, 1979, 1989, 2009, dan 2011).

Selepas ini kita berharap agar orang Indonesia faham akan maksud semangat kesukanan, semangat setia kawan, dan semangat persaudaraan melalui sukan, khususnya bola sepak. Mereka tidak perlu menyerang pasukan bola sepak Malaysia hingga terpaksa berbarracuda untuk pulang ke hotel penginapan.

Syabas Harimau Muda. Kita tahu bahawa geroda yang dikatakan kuat itu hanya mitos.

Friday, November 11, 2011

Ayam Tak Halal, Ba Kut Teh Pula Halal?

Ba Kut Teh bukan makanan kita orang Melayu, apatah lagi orang Islam. Ba Kut Teh ialah makanan orang-orang Cina. Oleh itu, kita tidak seharusnya menikmati makanan itu kerana tenyata makanan itu ada unsur tidak halal, demikian kata teman saya.

Walau bagaimanapun, sebelum kita mengatakannya tidak halal, kita perlu faham akan makanan ini. Apakah Ba Ku Teh yang sebenarnya? Ba Kut Teh ialah sejenis sup. Menurut teman Cina saya, Ba Kut itu bermaksud “tulang daging”.

Dalam konteks orang Cina, tulang daging yang lazim dijadikan sebagai sup ialah tulang khinzir@babi. Walau bagaimanapun, tulang-tulang binatang yang lain pun — lembu, kerbau, kambing, ayam — kata beliau, boleh dijadikan sebagai sup juga.

Seperti sup yang lazim kita makan, Ba Kut Teh juga memerlukan rempah-ratus/herbanya sendiri. Rempah-ratus inilah (dipek) yang kedapatan terjual di pasar-pasar raya atau pasar-pasar mini di negara ini. Selalunya, rempah-ratus yang dipek ini tidak mempunyai logo HALAL.

Entah bagaimana, ada pengusaha yang meletakkan logo HALAL (bukan daripada JAKIM) pada pek itu. Pada masa yang sama, ada pula perkataan Ba Kut Teh pada pek itu. Apakah yang muncul dalam kepala kita? Ba Ku Teh = khinzir@babi = halal? Biar betul, demikian kita berfikir.

Secara umumnya, dalam konteks Ba Kut Teh, penyediaan rempah-ratus/herbanya biasanya halal (hal ini tidak melibatkan pembuat/pengeluarnya). Yang menjadikannya tidak halal kemudiannya ialah tulang daging yang menjadi antara resipi pentingnya.

Jadi, apabila kita menemukan rempah-ratus/herba Ba Kut Teh yang berlogo HALAL di pasaran, janganlah kita terkeliru. Kita memang patut berasa sangsi akan produk itu, tetapi yang lebih penting ialah elok kiranya kita memperkaya diri kita dengan maklumat.

Sebenarnya, yang perlu ada pada diri kita tentang makanan ialah makanlah apa-apa yang lazim kedapatan dalam lingkungan agama, adat, dan budaya kita. Sup tulang daging yang dimasak dengan cara kita sedap juga. Jadi, apakah perlunya kita mencuba Ba Kut Teh itu?

Kita perlu melakukan demikian (memakan apa-apa yang lazim kedapatan dalam lingkungan agama, adat, dan budaya kita) kerana logo HALAL pun belum menjamin makanan itu benar-benar halalan dan toiyiban. Zaman yang sangat moden ini memungkinkan pelbagai manipulasi — logo HALAL (JAKIM) itu dengan mudah ditiru, diimbas, dan sebagainya.

Sama halnya dengan sifat kita yang berani berpolitik, dalam hal ini kita juga mestilah berani beragama. Pihak JAKIM, khususnya, perlu berani untuk menghebahkan senarai pengeluar dan produk yang mendapat pengesahan halal daripada mereka di media-media massa.

Begitu juga, pihak JAKIM perlu berani untuk menghebahkan nama-nama syarikat, restoran, dan lain-lain sebagainya yang ditolak permohonan HALAL mereka dengan menyatakan sebab-musabab permohonan mereka ditolak.

Kalau hal ini berani dilakukan, barulah umat Islam tidak waswas dan pengeluar pula senantiasa berawas. Barulah kita tahu bahawa ayam di pasar-pasar raya itu, misalnya, benar-benar mematuhi kewajiban halal ataupun sebaliknya. JAKIM jangan takut!

Wednesday, November 9, 2011

Merdeka = Bebas; Seksualiti Merdeka = Seksualiti Bebas?

BismillaahirRohmaanirRohiim

Bukanlah niat saya hendak membenci dan menghina sesiapa pun
kerana tiada seorang manusia yang hidup pun wajar dibenci
sebelum kita sendiri berusaha untuk membetulkannya (jika mereka salah)
apatah lagi pengakhiran hidup manusia bukan berlaku dengan kehendak kita
melainkan dengan kehendak Allah SWT jua.
Mungkin hari ini manusia itu melakukan maskiat tetapi dengan kehendak-Nya
dalam sekelip mata manusia itu mungkin menjadi insan soleh dan solehah.

Program Seksualiti Merdeka, rupa-rupanya, sudah beberapa tahun diadakan! Kerajaan pemerintah, rupa-rupanya, tahu akan kewujudan program itu dan merekalah, rasa-rasanya, yang meluluskan penganjuran seperti itu.

Pihak yang mendukung program itu ada yang marah-marah (hingga sampai ke tahap hendak saman-menyaman) kerana ada pihak media yang melabel program itu sebagai “program yang menggalakkan seks bebas”.

Menurut pihak penganjur, program Seksualiti Merdeka itu bukan bertujuan untuk menggalakkan seks bebas, sebaliknya untuk membantu kumpulan *LGBT yang terpinggir supaya dapat memahami hak mereka dalam lingkungan undang-undang.

Apabila membaca dan mendengar kenyataan itu (tentang matlamat penganjuran), iaitu untuk membantu kumpulan *LGBT yang terpinggir supaya memahami hak mereka dalam lingkungan undang-undang, saya pasti banyak orang yang kurang faham.

Adakah hal ini bermaksud bahawa mereka berusaha untuk menyedarkan golongan *LGBT itu supaya balik ke pangkal jalan (meninggalkan amalan homoseks, lesbian, biseksual, dan transgender) itu ataupun merelakan dan merestui perlakuan mereka?

Alhamdulillahlah kalau mereka berusaha untuk menyedarkan pengamal perlakuan itu supaya kembali ke pangkal jalan. Walau bagaimanapun, seperti yang kita ketahui, hakikat penganjuran program itu yang sebenarnya bukan demikian.

Hakikat yang sebenarnya ialah penganjuran program ini bermatlamat untuk menuntut hak dan kebebasan bagi golongan *LGBT ini supaya mereka bebas (merdeka) mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka di negara ini.

Jadi, berdasarkan matlamat program tersebut, jelas bahawa pihak penganjur memang berhasrat untuk menggalakkan perlakuan seks bebas (merdeka), iaitu bebas (merdeka) melakukan hubungan seks dengan cara apa-apa sekalipun!

Oleh sebab itu, tidak salahlah kalau ada pihak (khususnya pihak media) melabel penganjuran program Seksualiti Merdeka yang baru diharamkan oleh pihak polis itu sebagai suatu program “yang menggalakkan seks bebas”.

Walau apa-apa pun hujah mereka, yang jelas penganjuran program itu sangat berbahaya. Tindakan pihak polis mengharamkannya, walaupun lambat hingga penganjuran proram itu sempat diadakan beberapa tahun, memang wajar.

Yang kurang enak ialah, rupa-rupanya, ada kepala parti yang merestui program seperti itu. Sama ada “restu” itu mewakili pendirian parti atau pendirian peribadinya, yang jelas pendirian itu sangat bertentangan dengan pendirian parti yang satu lagi.

Hal ini menambahkan keraguan orang yang mengikuti pendiriannya tentang pelbagai perkara sejak dahulu lagi. Pendiriannya tentang Satanic Verses pernah diragui orang. Simpatinya terhadap holocaust yang tersisip dalam Schindler’s List pun diragui orang.

PRU13 sudah dekat. Pendirian ini, kalau dipergunakan oleh pihak lawan, dapat menyebabkan kekalahan. Isu persendaan janggut Nabi oleh mantan ketua pemerintah dan pemakaian tanjak salib oleh mantan ketua sebuah parti dahulu pernah menyebabkan pihak yang mempersendakan dan pihak yang memakainya KALAH.

Walau apa-apa pun, atas nama Islam, *GLBT tidak harus dibenarkan. Malahan orang-orang yang terlibat dalam perbuatan seperti itu harus diinsafkan dan dilorongkan ke jalan yang benar. Keseronokan belum tentu menjadi nikmat!

*GLBT = Gay, Lesbian, Biseksual, Transgender

Friday, November 4, 2011

Iduladha Dahulu dan Sekarang: Alhamdulillah...

Hari Ahad, 6 November 2011, insya-Allah, kita sekali lagi akan merayakan Hari Raya Iduladha (sekali ini bagi tahun ke-1432 Hijrah pula). Marilah kita berdoa agar saudara se-Islam kita yang sedang menunaikan Rukun Islam kelima di Tanah Suci itu beroleh haji yang mabrur, amin!
Mengimbas zaman kanak-kanak, kehadiran 10 Zulhijjah ini seperti tidak membawa makna apa-apa kerana di kampung saya, perayaan ini disambut dengan sangat sederhana, tidak seperti sambutan Hari Raya Idulfitri.

Kami tidak dibelikan baju baharu oleh abah kami, atau emak kami, atau ibu-ibu dan bapa-bapa saudara kami. Opah pun tidak sibuk meminta saya membantunya membakar baulu atau kuih bangkit dan atuk pun tidak sibuk membakar lemang.

Kerana kehadirannya tidak begitu diraikan, pada awal 1980-an (masih bujang ketika itu), pernah saya membuat keputusan untuk tidak pulang ke kampung bagi meraikannya. Saya tahu emak dan abah saya tidak gembira dengan keputusan saya itu.

Kecuali saya dan seorang teman serumah, empat orang teman yang lain balik ke kampung masing-masing. Pada pagi hari raya, sebelum bersolat sunat Iduladha, apabila takbir raya berkumandang di radio, air mata spontan mengalir dan membasahi pipi.

Keputusan yang telah kejap melekat di hati sebelum itu, terus berputar 360 darjah. Saya mengambil sepasang dua pakaian, lantas memasukkannya ke dalam beg. Selepas solat sunat Iduladha, saya segera ke Klang dan menaiki bas ekspres ke Sabak Bernam!

Sesungguhnya, tarikan untuk bersama-sama dengan emak dan abah pada hari-hari yang mulia ini sangat kuat. Hati ini akan dibaluti rasa seronok yang luar biasa apabila dapat berjalan atau bermotosikal atau berkereta ke masjid bersama-sama dengan abah pada pagi hari raya.

Berbalik kepada sambutan Iduladha ini. Hal yang berbeda telah berlaku di kampung saya sekarang. Walaupun masih tidak semeriah Hari Raya Idulfitri, kedatangan Hari Raya Iduladha sekarang dinantikan penduduk. Dalam erti kata lain, kehadirannya sudah dirasakan oleh penduduk secara kolektif.

Walaupun mereka mungkin tidak membeli pakaian baharu, namun saya dapati mereka masih berpakaian cantik. Walaupun aktiviti kunjung-mengunjungi masih kurang, namun mereka saling mengucapkan salam Iduladha apabila bertembung, malah saling mempelawa teman supaya datang ke rumah.
Masjid pula dipenuhi jemaah, bukan sahaja oleh pemastautin tetap, tetapi juga oleh anak-anak kariah yang menjadi perantau seperti saya. Kebanyakannya berpakaian cantik, sama ada berbaju Melayu ataupun berjubah (di kampung saya dahulu, yang biasa berjubah hanya imam dan para pegawai masjid!)

Rasa saya, keadaan ini sudah mula berkembang ke segenap ceruk rantau di negara kita. Kalau sangkaan saya ini betul, alangkah elok dan sihatnya perkembangan ini! Berbanding dengan Hari Raya Idulfitri, sepatutnyalah Hari Raya Iduladha lebih meriah lagi.

Hal ini saya katakan begitu kerana pada Hari Raya Idulfitri, kala kita berkunjung ke rumah tetangga, sahabat handai, dan saudara-mara, kita hanya dapat bertakbir pada malam hari raya itu sahaja. Itulah sahaja tempohnya kerana esoknya, selepas solat sunat Idulfitri, tiada lagi takbir raya.

Sebaliknya, pada Hari Raya Iduladha, kita boleh bertakbir raya selama tiga hari (lebih kurang). Hal ini bererti bahawa kita berkesempatan untuk bertakbir raya bagi tempoh itu setiap kali kita mengunjungi tetangga, sahabat handai, dan saudara-mara pada Hari Raya Iduladha itu, tidak kira siang atau malam.

Saya sangat ingin merasai suasana sambutan Iduladha di Kelantan dan Terengganu yang dikatakan bahawa sangat meriah itu. Saya tidak mungkin dapat merasainya sekarang kerana saya masih mempunyai ibu bapa yang hendak saya raikan pada hari raya itu.

Tidak mengapalah, buat masa ini, saya tidak dapat merasai kemeriahannya di Kelantan atau Terengganu (keinginan peribadi) kerana saya wajib memeriahkan hati ibu bapa saya pada hari yang sangat mulia dan penuh barokah ini.

SELAMAT HARI RAYA IDULADHAkepada semua teman dan pembaca.

Monday, October 31, 2011

iPhone, iPad Mampu, Derma untuk Masjid Seringgit!

Tiada sesiapa pun yang pernah menduga bahawa hidup ini baru dianggap sebagai betul-betul lengkap dan sempurna apabila seseorang itu memiliki telefon bimbit. Tidak ada sesiapa pun, 20 tahun dahulu, yang menyangka bahawa Internet bakal menyempurnakan dan melengkapkan kehidupan seseorang. Lebih dahsyat lagi, orang langsung tidak pernah terfikir bahawa tanpa televiyen kabel (seperti ASTRO), kehidupan manusia akan menjadi lompong dan kosong.

Sehingga demikian, ada sebilangan orang yang akan termangu-mangu dan “tidak dapat hidup” kalau tidak ada telefon bimbit, tidak kiralah yang “biasa-biasa” atau yang “luar biasa” seperti iPhone, iPad, Blackberry, dan lain-lain sebagainya itu. Sebilangan yang lain akan kelihatan seperti orang ketagihan madat kalau sehari-harian tidak dapat melayari Internet (untuk berfacebook, bertwitter, berchating, dan lain-lain sebagainya). Sebilangan yang lain tidak akan berasa seronok kalau pada hari itu tidak dapat menonton program sukan seperti golf dan tenis yang disiarkan oleh pihak ASTRO itu.

Demikianlah orang menilai maksud kesempurnaan hidup pada zaman ledakan TMK atau ICT sekarang. Walhal, pada suatu ketika dahulu, kesempurnaan hidup selalunya dinilai menerusi keupayaan manusia “mengadakan” makan minum untuk keluarganya, keupayaannya bergaul dalam masyarakat, dan lain-lain sebagainya. Dalam Islam, kesempurnaan hidup dinilai menerusi kecintaan penganutnya terhadap Allah SWT dan rasul-rasul-Nya, yang menerusi kecintaan itu, akan melahirkan insan yang cinta akan agama yang dianutinya — Islam.

Kerana menganggap telefon bimbit, Internet, dan ASTRO keperluan hidup yang tidak boleh tidak mesti disediakan dalam kehidupan harian, orang tidak kisah sangat untuk menghamburkan duit untuk tujuan itu. Sebilangan orang yang taasub terhadap telefon bimbit, misalnya, dengan senang hati menukar telefon bimbit demi telefon bimbit sebaik-baik sahaja model-model terbaharu berada di pasaran.

Kerana Internet yang dilanggani sebelum ini sangat sederhana kelajuannya, misalnya, banyak orang yang sanggup berbelanja lebih untuk melanggani Internet yang berkelajuan tinggi pula. Kerana saluran yang dilanggani tidak memadai, misalnya, bukan sedikit pula orang yang menambahkan bilangan saluran ASTRO mereka walaupun pertambahan itu turut menambahkan kadar bayaran langganannya yang waktu belakangan ini dinaikkan secara serampangan!

Di satu sisi lain, hal yang menyerlahkan kesempurnaan hidup yang sebenarnya — agama — dikesampingkan orang. Berapa banyakkah antara kita yang sanggup mengeluarkan empat lima ratus ringgit untuk menyertai ibadah qurban, misalnya? Bukan sedikit orang yang hanya menghulurkan seringgit dua kepada pengutip derma masjid semasa khutbah Jumaat walhal di dalam poket mereka berisi iPhone dan Blackberry!

Baik telefon bimbit, Internet, atau ASTRO, padankanlah biaya untuk memilikinya dengan keperluan. Kalau kalian memang mampu untuk memiliki/menyediakan yang mahal-mahal untuk diri dan keluarga kalian, pastikanlah kalian juga mampu untuk berbelanja besar bagi hal-hal yang berkaitan dengan kemajuan agama Islam kalian. Sebagai contohnya, peruntukkanlah RM50 sebulan (sekurang-kurangnya) untuk disedekahkan kepada masjid atau surau (satu Jumaat sedekahkan RM10, lima Jumaat = RM50). Berhentilah untuk bersedekah RM1 kalau kalian pemilik iPhone, iPad, tablet, dan lain-lain sebagainya. Wallahualam.

Wednesday, October 26, 2011

Perlawanan Akhir Piala Malaysia: Pemenangnya ialah ...

Sepak mula final Piala Malaysia antara pasukan Terengganu dengan pasukan Negeri Sembilan belumpun dimulakan oleh pengadil menerusi tiupan wiselnya, tetapi kontroversi sudahpun berbunga-bunga. Kontroversi itu tercetus apabila pihak FAM bermurah hati untuk meletakkan harga tikel final Piala Malaysia pada kadar RM50.00, bukan RM100.00!

Tentu pihak FAM mempunyai sebab yang konkrit untuk melaksanakan langkah itu:

yang pertama, kalau dibandingkan dengan harga tiket F1 dan GP motosikal, harga RM50.00 itu jauh lebih rendah dan murah;

yang kedua, kalau dibandingkan dengan liga di Singapura atau di Indonesia, Liga Super di Malaysia ini jauh lebih maju daripada kedua-dua liga itu, malah tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa sudah hampir menyamai kecemerlangan Barclays Premier League di England sana;

yang ketiga, kerajaan, melalui DS Mohd. Najib, baru saja memperlihatkan kemurahan hatinya dalam pembentangan bajet bahawa rakyat akan beroleh RM percuma melalui pelbagai langkah, antaranya termasuklah isi rumah yang berpendapatan bawah RM3,000.00 akan diberi RM500.00 (tolak RM50.00 ada RM450 lagi!);

yang keempat, pihak FAM perlu mengambil langkah “sediakan payung sebelum hujan” kerana berkemungkinan ada penonton di pihak pasukan yang kalah kelak yang akan membakar kerusi dan merosakkan harta benda pihak yang mengurus stadium;

yang kelima, pihak FAM yakin bahawa kerajaan negeri akan bermurah hati untuk memberikan subsidi bagi harga tiket itu kepada rakyat mereka yang hendak menonton perlawanan akhir itu kelak — kerajaan Terengganu sudahpun melakukannya;

yang terakhir, pihak FAM bercadang untuk menyalurkan sebahagian daripada kutipan perlawanan akhir itu kepada pasukan-pasukan elit yang kini sudah menjadi pasukan kulit (kerana daripada bergelar juara, kini sudah duduk di liga yang lebih rendah daripada Liga Super) bagi mengembalikan kegemilangan pasukan itu semula.

Kepada para peminat bola sepak, jangan merungutlah — tepuk dada, tanya selera; pisau di tangan kalian, mentimun di tangan kalian; tetapi jangan lupa untuk mengukur baju di badan sendiri dan jangan sampai besar suap daripada mulut.

Duduk menonton di hadapan TV sahaja tanpa pergi ke stadium untuk menonton perlawanan akhir Piala Malaysia itu tidak bermakna kita tidak patriotik dan tidak cinta akan negeri kita. Lagipun kita sudah tahu pemenangnya — tidak lain tidak bukan ... FAM!

Tuesday, October 25, 2011

Gempa Bumi Turki: Segeralah Berderma

Gempa bumi kuat (7.2 mengikut skala Richter) telah menggoncang bumi Turki – di bahagian timurnya – dan diperkirakan memakan korban sehingga ribuan orang. Puluhan bangunan ranap menyembah bumi, sekali gus menghempap apa-apa yang ada di dalamnya, termasuklah manusia. Sehingga kini, sudah hampir 300 mayat ditemukan dan dipercayai bahawa lebih banyak mayat akan ditemukan jika didasarkan pada jumlah bangunan yang runtuh. Usaha untuk mengesan mangsa gempa itu masih diteruskan.

Kita boleh berandaian macam-macam tentang sebab-musabab bumi Turki itu digempakan oleh Allah SWT, namun yang paling wajar kita lakukan ialah kita harus menilik diri sendiri – melihat musibah itu dengan hati (yang dengan itu akan membawa kita menilai pelbagai kemungkaran yang berlaku di negara kita) yang memungkinkan musibah yang serupa diturunkan Allah kepada kita pula. Kalau Dia ingin mengajar kita, musibah banjir seperti yang menimpa Thailand sudah memadai untuk kita.

Pada tahun 1999 dahulu, satu malapetaka yang serupa melanda negara Islam itu (Turki). Dengan kekuatan 7.6 pada skala Richter, gempa itu telah menyebabkan 17,000 orang menjadi arwah dan 44,000 orang lagi cedera. Musibah itu masih saya ingat kerana ada hal yang mengecewakan saya di balik musibah itu. Hal yang mengecewakan saya berulang pada tahun 2005 apabila Pakistan, sebuah lagi negara Islam, dilanda gempa sehingga mencabut 80,000 nyawa selain mengakibatkan 3.5 juta menjadi gelandangan.

Sebab-musabab kedua-dua peristiwa itu dekat dengan hati saya kerana tidak ada usaha oleh pihak yang menjadi tempat bernaung untuk menjalankan kutipan derma/bantuan kepada mangsa bencana itu. Ironinya, semasa negara lain (bukan negara Islam) dibadai ribut dan malapetaka gempa ini, segera beredar surat pemberitahuan yang meminta orang menghulurkan derma dan bantuan kepada mangsa-mangsa itu. Saya tidak ingat petaka apakah yang berlaku sebelum kejadian tahun 1999 itu sehingga pihak tempat bernaung meminta orang berderma.

Tetapi pada tahun 2005, ada bencana Taufan Katrina di AS. Ada surat yang meminta orang berderma. Begitu juga kemudiannya pada tahun 2008, apabila gempa melanda Sichuan di China. Kedua-dua senario itu dan senario yang sebelumnya menyebabkan saya terfikir, mengapakah tidak ada usaha yang sama dilakukan oleh pihak tempat bernaung apabila malapetaka yang serupa menimpa negara Islam? Mengapakah wujud double standard dalam hal yang membabitkan bencana bukan perang seperti ini?

Sebagai akibat daripada keadaan itu, ada kalangan orang yang menjadi pendendam lalu mereka tidak mengeluarkan sesen pun untuk disumbangkan kepada tabung Katrina dan Sichuan itu. Memang mereka tidak wajar bertindak demikian, tetapi kekecewaan memungkinkan segala-galanya. Walaupun tempat bernaung tidak melancarkan kutipan derma, sebenarnya mereka (sang pendendam) masih boleh berderma kepada mangsa di negara Islam itu melalui tabung-tabung yang diwujudkan pada peringkat nasional; tetapi yang dipersoalkan ialah sikap tempat bernaung itu – mengapakah begitu?

Sekarang, Turki sekali lagi dihentam musibah yang sama. Adakah tempat bernaung akan melakukan sesuatu untuk membantu rakyat Turki yang menjadi mangsa? Eloklah bersangka baik!

Monday, October 24, 2011

Tragedi Marco Simoncelli: Kemudiankanlah Keseronokan

Perlumbaan Grand Prix Malaysia-Shell Advance 2011 bagi kelas MotoGP yang diadakan di Sepang semalam mencatat sejarah hitam sepanjang penganjuran sukan lumba motosikal itu di negara kita, khususnya di Litar Antarabangsa Sepang. Untuk pertama kalinya, perlumbaan itu telah meragut nyawa pelumba dan yang menjadi mangsa ialah Marco Simoncelli, penunggang San Carlo Honda Gresini, dari Itali.

Beliau yang terjatuh di selekoh 11, telah dirempuh oleh Collins Edward (Valentino Rossi masih sempat mengelak) hingga menyebabkan topi keledar yang dipakai oleh pelumba itu tercabut dari kepalanya. (Saya pasti hal tentang topi keledar ini akan menjadi isu — sama ada alat perlindungan itu tidak dipakai dengan sempurna oleh Marco Simoncelli ataupun ada yang tidak kena dengan alat keselamatan itu.)

Saya sempat menonton perlumbaan bagi kelas 125 CC hingga habis, tetapi tertidur semasa kelas Moto2 memasuki separuh daripada keseluruhan perlumbaan. (Saya memang meminati sukan lumba motosikal ini sejak zaman bujang dahulu — zaman Freddie Spencer, Randy Mamolla, Wayne Gardner, dll mewarnai lumba motosikal.) Saya seronok dan bangga apabila Zulfahmi Khairuddin berjaya menempatkan dirinya di tempat ketujuh dalam perlumbaan kelas 125 CC itu. Tahniah, Zulfahmi!

Yang tidak menarik daripada insiden kemalangan yang melibatkan kehilangan nyawa Marco Simoncelli itu ialah tindakan segelintir penonton. Tidak perlulah mereka sampai mencampakkan botol atau apa-apa sahaja ke litar sebagai tanda protes apabila perlumbaan bagi kelas MotoGP itu dibatalkan. Betul, para penonton sudah membayar harga tiket dan mereka berhak untuk menyaksikan perlumbaan itu.

Walau bagaimanapun, dari sisi lain, ada perkara lain yang elok didahulukan — simpati. Dalam hal yang menyebabkan kehilangan nyawa ini, sangat wajar kalau kita berkongsi kesedihan dengan semua pihak yang terlibat dengan Marco Simoncelli, daripada kru pasukan hinggalah kaum keluarga pemuda itu.

Jika perlumbaan diteruskan, barangkali selekoh 11 itu akan menghantui pelumba lain dan jika ditakdirkan ada yang terjatuh di selekoh yang sama, keadaan akan menjadi buruk dan imej Litar Antarabangsa Sepang akan tercalar.

Saya fikir, penonton, pada masa-masa akan datang, janganlah terlalu memikirkan keseronokan hingga melupakan penderitaan orang lain. Perlumbaan itu, insya-Allah, akan dapat disaksikan lagi pada tahun hadapan, tetapi orang seperti Marco Simoncelli tidak akan kembali lagi.

Teringat saya satu peristiwa beberapa lama dahulu. Saya dan isteri serta anak menonton suatu acara yang dianjurkan oleh majikan isteri saya di Stadium Bola Sepak KL. YBhg Tun M (yang pada waktu itu masih PM) serta YBhg isteri beliau turut hadir untuk menyaksikannya. Acara itu turut diselitkan dengan pertunjukan payung terjun oleh para penerjun profesional dan tentera.

Entah bagaimana, salah seorang penerjun telah tersasar lalu payung terjunnya tersangkut pada bahagian bumbung stadium. Kami dapat melihat penerjun itu terkatung-katung di bahagian bumbung itu. Saya (kami) cemas sambil memikir-memikirkan nasib penerjun itu dan tragedi yang mungkin menimpa dirinya jika payungnya terlucut dari bumbung itu.

Tiba-tiba, persembahan pancaragam diteruskan walhal penerjun itu masih terkatung-katung belum diselamatkan. Penonton bersorak dan “mengeboo” ahli-ahli pancaragam itu sebagai tanda protes (mujur tidak ada yang membaling botol dsb). Ya, bagaimana mungkin kami dihiburkan sedang yang sepatutnya didahulukan ialah penerjun yang sedang bergelut antara hidup dengan mati itu.

Mujurlah pihak penganjur sedar akan hal ini lalu persembahan segera dihentikan sambil tengkuk kami semakin lenguh mendongak; hati saya terus berdegup-degap (saya tidak tahu hati orang lain). Alhamdulillah, kecekapan dan keberanian pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan penerjun itu. Pasukan penyelamat dan penerjun itu diberi tepukan gemuruh dan mereka kemudiannya dibawa untuk bertemu dengan YBhg Tun M.

Sebagai perbandingan daripada dua bentuk sikap penonton di dua arena yang berbeda, walau apa-apa pun situasinya, kita harus mengemudiankan keseronokan kalau kebetulan pada waktu itu ada insan lain yang sedang berdepan dengan atau ditimpa oleh musibah. Perasaan simpati bukan sahaja mencerminkan nilai manusiawi kita, malah menyedarkan kita tentang musibah — yang bila-bila masa akan menimpa kita pula.

Malaysia 1-Chelsea 0: Tahniah Malaysia!

Hah, akhirnya Malaysia berjaya menumpaskan pasukan hebat dalam BPL (Barclays Premier League, dulu English Premier League). Tidak kiralah bagaimana gol itu dijaringkan, yang penting Malaysia menang. Tidak kiralah berapa orang pemain pasukan lawan yang berada di padang semasa pertarungan 95 minit itu, yang penting Malaysia menang!

Semua rakyat Malaysia harus berbangga dengan kemenangan itu.

Malangnya, nama pemain yang bermain untuk pasukan Malaysia tidak ada yang berbau Malaysia walau seorang pun. Antara nama pemain yang mewakili pasukan Malaysia dalam kemenangan itu (yang saya ingat) termasuklah Shaun Wright-Phillips, Anton Ferdinand, Adel Taarabt, Helguson, dan Barton.

Gol kemenangan Malaysia dijaringkan oleh Helguson melalui tendangan penalti.

Jangan terkejut! Malaysia yang saya maksudkan ialah pasukan Queens Park Rangers (QPR) yang dimiliki oleh taikun penerbangan Malaysia, Tan Sri Tony Fernandes (Anthony Francis Fernandes). Yang tidak biasa menonton perlawanan yang membabitkan QPR, saudara-saudara tentu tidak perasan bahawa jersi pasukan QPR itu tertulis perkataan “Malaysia” di bahagian dadanya. Perkataan “Malaysia” pada jersi itu sebenarnya mewakili Penerbangan Malaysia yang sudah tentulah menjadi penaja pasukan.

Dengan kemenangan itu, “Malaysia” sekarang berada di kedudukan kesepuluh dalam carta BPL itu dengan 12 mata.

QPR khabarnya dibeli oleh Tan Sri Tony pada harga sekitar 35 juta pound. Sama ada pembelian itu berbaloi ataupun tidak, kita tidak tahu (atau kita tunggu sahaja). Yang pasti, sehingga kini memang tidak ada Safee Sali, Safik Rahim, dll dalam pasukan “Malaysia” itu. Belum tiba waktunya lagi barangkali untuk Tan Sri itu menyelitkan anak Malaysia dalam kelab yang baru dibelinya itu.

Sebelum kita sempat berbangga untuk melihat ada anak Malaysia yang akan bermain dalam BPL, eloklah kita berbangga kerana ada anak Malaysia yang memiliki kelab bola sepak Inggeris!

Friday, October 21, 2011

Kematian Qaddafi: Antara Kesabaran Ali Abi Talib dengan Amarah Rakyat Libya

Dalam suatu peperangan untuk menentang musuh Islam, Sayidina Ali ikut bertempur sehingga bertembung dengan salah seorang musuhnya. Ternyata beliau sangat gagah hingga berjaya menjatuhkan musuhnya itu ke tanah. Beliau berhasrat untuk membunuh musuh Allah itu, tetapi sebelum sempat beliau melakukannya, musuh Allah itu telah meludahi mukanya.

Kerana ludahan itu, Sayidina Ali membatalkan niatnya untuk membunuh musuh Allah itu hingga menghairankan musuh Allah itu. Bertanyalah musuh Allah itu kepada Sayidina Ali lebih kurang begini: “Mengapakah aku tidak kamu bunuh saja walhal kamu berpeluang untuk melakukannya?” Sayidina Ali menjawab lebih kurang begini, “Sebentar tadi aku bertempur dengan kamu semata-mata kerana Allah Taala, tapi sekarang aku bimbang untuk memenggal kepala kamu bukan kerana Allah sebaliknya kerana amarah.”

Kegembiraan, saya fikir, sedang berbunga-bunga di segenap bucu hati rakyat Libya apabila orang yang ditentang dan ingin digulingkan oleh mereka sejak sekian lama akhirnya berjaya ditamatkan riwayatnya (satu pengakhiran hidup yang menyedihkan untuk seorang kepala negara yang mahu atau tidak mahu, harus diakui sebagai orang yang telah berjaya membangunkan negaranya, walaupun pada masa yang sama turut membangunkan kekayaan untuk kaum keluarganya).

Sebelum pembunuhan itu, bekas kepala negara Libya yang bernama Muammar Qaddafi itu telah ditangkap (di Sirte) dan menurut berita yang disampaikan kepada kita, Muammar telah diheret dan dikasari oleh pejuang yang anti kepadanya. Beliau khabarnya dibawa dari satu lubang najis dan semasa pemindahan ke dalam trak, lengan kanannya tertembak.

Namun, semasa kenderaan itu bergerak, suatu pertempuran telah berlaku antara tentera revolusi dengan pasukan Muammar lalu sebutir peluru telah menyinggahi kepala bekas kepala negara Libya itu yang kemudiannya telah membawa kematiannya. Peluru pihak manakah yang menyinggahi kepalanya masih belum diketahui.

Cerita kesabaran sahabat Rasulullah SAW yang bernama Ali bin Abi Talib itu dengan cerita yang membawa kematian Qaddafi ini jauh bedanya. Perjuangan Sayidina Ali bertunjangkan perintah Allah yang menghendaki umatnya senantiasa sabar dan rasional dalam setiap tindakan. Perjuangan rakyat Libya jelas bertunjangkan amarah!

Seharusnya Muammar “diselamatkan” untuk dibicarakan ke muka pengadilan. Tidak kiralah di mana-mana pun beliau dibicarakan — di dalam negara atau di Mahkamah Keadilan Antarabangsa — beliau memang wajib dibicarakan. Kekejaman atau apa-apa jua kesongsangan yang dilakukannya selama beliau berkuasa dahulu (seperti yang didakwa) harus diungkit dan didedahkan.

Ironinya, kemarahan rakyat Libya terhadap Muammar Qaddafi itu didukungi oleh NATO. NATOlah yang telah menyerang konvoi Qaddafi itu sehingga menyebabkan Qaddafi tertangkap langsung kemudiannya menemui ajalnya. Siapakah yang akan mengubah wajah dan bentuk pemerintahan Libya selepas ini? Rakyat mereka atau NATO dan sekutunya?

Kita tahu akan jawabannya dan barangkali akan dapat melihat kemunculan sebuah lagi negara yang senasib dengan Iraq.