Showing posts with label ISU SEMASA. Show all posts
Showing posts with label ISU SEMASA. Show all posts

Thursday, January 31, 2013

Pelik: AES Tidak Beroperasi Pada Tahun Baharu Cina

Operasi AES, yang didakwa oleh pihak yang mengimplementasikannya bahawa berperanan besar untuk “mengurangkan” kejadian kemalangan di jalan raya, tidak akan diaktifkan bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini. Untuk makluman, cuti Tahun Baru Cina pada tahun ini jatuh pada hari Ahad-Selasa (10 Februari-12 Februari). Hal ini bermaksud bahawa mulai hari Sabtu (09 Februari) hinggalah pada hari Ahad minggu yang berikutnya( 17 Februari), jalan raya akan berada dalam keadaan sibuk kerana banyak orang yang akan mengambil cuti tahunan untuk memanjangkan cuti umum tersebut.

Walau bagaimanapun, pihak yang berkenaan memaklumkan bahawa walaupun operasi AES akan dihentikan pada tempoh itu, pihak JPJ tetap akan mengadakan operasi lain yang pernah dilakukan mereka bagi mengawal keadaan dan bagi mengurangkan kemalangan, misalnya melakukan penyamaran di dalam bas, mengadakan sekatan jalan raya, dsb.

Pada kebanyakan orang, langkah untuk menghentikan operasi AES itu bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini sebenarnya amat aneh dan luar biasa. Hal ini dikatakan demikian kerana, jika benarlah AES itu sangat besar gunanya untuk “mengurangkan” kadar kemalangan di jalan raya seperti yang didakwa oleh pihak yang berkenaan, operasinya tidak harus sama sekali dihentikan, terutamanya pada musim-musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina ini. Membebaskan pengguna jalan raya daripada perasaan takut untuk melanggar undang-undang sangat tidak baik.

Banyak pihak yang mengatakan bahawa cadangan penghentian operasi AES ini pada sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini tidak lain tidak bukan sebagai tindakan penyelamat terhadap operasi AES itu sendiri. Tidak sukar untuk kita bersetuju dengan pandangan yang demikian. Saban tahun, Ops-Ops Sikap yang dilakukan oleh pihak PDRM tidak menampakkan hasil yang benar-benar dapat dibanggakan. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam tempoh Ops-Ops itu dilaksanakan, kejadian kemalangan di jalan raya, termasuklah kemalangan maut, masih lagi tinggi. Penurunannya masih lagi rendah.

Oleh itu, kerana menyedari hakikat itu, pihak JPJ membuat keputusan untuk menghentikan operasi AES itu sementara waktu. Bayangkanlah, jika operasi AES itu tetap dilaksanakan sepanjang tempoh sambutan perayaan Tahun Baharu Cina yang akan datang ini, dan operasinya tidak berjaya untuk mengurangkan kejadian kemalangan di jalan raya (tetap tinggi seperti tahun-tahun sebelumnya), AES pasti akan sekali lagi menjadi sasaran kecaman masyarakat. Apabila hal ini berlaku, masyarakat mempunyai poin baharu untuk memaksa JPJ menghentikan operasi AES yang tidak berkesan itu sama sekali.

Hal ini mungkin andaian sahaja, tetapi kebenarannya tidak boleh kita abaikan. Pengguna jalan raya masih lagi berani melanggar undang-undang – memandu laju, melanggar isyarat lampu trafik, memandu secara melulu, memotong barisan, dsb. Kesalahan ini akan terus dilakukan oleh pengguna jalan raya kerana kekerapan mereka dikenakan tindakan undang-undang lebih rendah berbanding dengan kekerapan mereka terlepas daripada tindakan undang-undang. Oleh hal yang demikian, dalam hal ini, wajarkah kerajaan meletakkan tanggungjawab pada AES untuk membentuk disiplin pengguna jalan raya?

Kerana ada pihak yang berkepentingan di balik kewujudan dan pelaksanaan operasi AES ini, maka dapatlah kita katakan bahawa matlamat untuk mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya hanyalah matlamat sampingan. Matlamat yang hakiki ialah keuntungan. Dan kerana keuntungan itulah, imej AES ini – mengurangkan kadar kemalangan – harus senantiasa terpelihara. Salah satu cara untuk memeliharanya adalah dengan mengambil tindakan seperti yang hendak dilaksanakan bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina yang akan datang tidak lama lagi ini. Pandai, pandai....

Wednesday, January 23, 2013

Edar Injil, Bakar Injil: Kalian Sedang Bermain Api

Kawan saya pernah berkata, “Jangan lakukan sesuatu yang kita sendiri tidak suka orang lain lakukan terhadap kita”. Hal itu dibangkitkannya apabila kami sangat marah terhadap perlakuan buruk pemandu kenderaan yang berkelakuan kurang ajar di jalan raya. Kami ingin membalas perbuatan pemandu itu dengan perbuatan yang sama, kebiadaban yang sama.

Rupa-rupanya, pesanan sahabat saya itu merentas segala perbuatan, segala peri laku. Ada pihak tertentu, khabarnya, yang ingin mengadakan Festival Bakar Injil di Pulau Pinang. Siapa pun pihak itu, saya berasa perlu untuk mengingatkan mereka, menyedarkan mereka, “Jangan lakukan sesuatu yang kita sendiri tidak suka orang lakukan terhadap kita”.

Kalau iltizam untuk mengadakan Festival Bakar Injil itu berpunca daripada galaknya perbuatan pihak-pihak tertentu mengedarkan kitab Injil kepada umat Islam, saya pun hendak mengingatkan pihak-pihak yang mengedarkan kitab-kitab penganut Kristian itu, “Jangan lakukan sesuatu yang kita sendiri tidak suka orang lakukan terhadap kita”.

Kalau kalian pencetus idea Festival Bakar Injil, kalian tentu tidak suka kalau ada pihak yang mencetuskan idea untuk mengadakan Pesta Bakar Quran (insya-Allah, al-Quran akan sentiasa terpelihara). Kalau kalian pencetus idea pengedaran Injil kepada umat Islam, kalian tentu benci kalau ada pihak yang masuk ke dalam gereja untuk mengedarkan al-Quran.

Banyak perkara yang perlu kita pelihara. Banyak perkara yang sensitif sifatnya. Bermain dengan perkara sensitif sama dengan perbuatan bermain api. Api dapat menyebabkan kalian melecur, api dapat menghangusrentungkan apa-apa yang yang kalian sayangi. Puak-puak yang berkepentingan, yang jahat, dengan sengaja akan menyimbahkan petrol ke dalamnya.

Mengapakah kalian tidak mahu duduk diam, melakukan kebaikan dalam lingkungan kalian, supaya semua orang dapat menikmati keamanan? 

Friday, January 18, 2013

Dosa Penganugerahan Kad Pengenalan kepada PATI Sama dengan Dosa Penganugerahan Satu Juta Kewarganegaraan

Kisah tentang penganugerahan kad pengenalan kepada warga/pendatang asing oleh pihak-pihak yang berkepentingan untuk tujuan yang tidak perlu (tetapi dirasakan bahawa penting kepada mereka) bukan kisah kedai kopi, bukan juga kisah di bawah kolong, tetapi kisah negara. Kisah ini bukan kisah fiksyen lagi tetapi kisah yang real, kisah yang benar-benar berlaku, kisah yang telah menghenyak perasaan masyarakat sampai ke tahap gundah-gulana.

Kisah ini, sebenarnya, hampir tidak ada bedanya dengan kisah tentang pelacur – menyerahkan diri kepada orang yang memerlukan khidmatnya (biasanya orang yang bernafsu serakah). Dengan menggadaikan dirinya, si pelacur beroleh sedikit upah; besar kecil upah itu rasanya bergantung pada aset diri yang dimilikinya, rasanya bergantung pada penampilannya, rasanya dihitung daripada usianya, dan barangkali bergantung juga pada layanannya.

Upah yang diterima oleh si pelacur adalah dalam bentuk wang; upah yang diterima oleh pihak yang memberikan kad pengenalan kepada warga/pendatang asing khabarnya ialah undi. Aku beri engkau KP, engkau beri aku undi. Aku menang, engkau akan terus dapat tinggal di sini, melakukan apa-apa yang engkau sukai, berasimilasi dengan penduduk setempat. Setelah sekian waktu, kalau perlu KP, yang aku berikan itu aku ambil balik!

Benar atau tidak, tokoh yang berperanan sebagai Master Mind dalam hal pemberian kad pengenalan itu, secara terbuka, telah mengakui keterlibatannya dengan perbuatan itu. Tetapi, menurut tokoh itu, dia tidak bersendirian dalam tindakannya itu. Tokoh sulung yang sejawatan dengannya dahulu pun melakukan perbuatan yang lebih teruk daripadanya – memberikan sejuta kewarganegaraan kepada mereka yang tidak layak!

Begitulah perihal diri tokoh itu dalam mempertahankan tindakannya, dalam mewajarkan tindakannya. Dia tidak ambil parwah perasaan orang lain, perasaan suku-sakat orang lain. Kalau orang lain boleh melakukan kesalahan terhadap negara, dia merasakan bahawa tidak salah untuk dia mengulang kesalahan yang sama. Negara yang sudah “dirosakkan” oleh tokoh sulung itu tidak salah untuk “dirosakkan” sekali lagi atau berulang-ulang kali.

Dia beruntung kerana masih berhayat hingga membolehkan dia menjelaskan “kewajaran” perbuatannya itu. Tetapi tokoh sulung itu sudah dua puluh tahun lebih kembali ke alam baqa. Arwah itu sudah tidak punya peluang untuk menjelaskan “kewajaran” perbuatannya itu lagi. Arwah itu tidak dapat menerangkan sisi baik dan sisi buruk daripada perbuatannya itu. Kasihan, arwah itu, dia tidak dapat mempertahankan dirinya!

Alangkah moleknya kalau tuan melayah rendah di bumi – belajar mengakui kesilapan dengan seikhlas hati dan kemudian memohon maaf atas segala kesilapan tuan! Alangkah manisnya kalau tuan mempraktikkan tuntutan agama – memohon maaf itu lebih mulia daripada membabitkan orang lain dalam kesalahan yang dilakukan! Merahsiakan “kejahatan” orang lain lain lebih baik daripada mendedahkannya kepada umum?

Kalau tuan yakin bahawa perbuatan yang tuan lakukan itu mengikut undang-undang, tuan tidak perlulah mempertahankan diri tuan sampai membandingkan-bandingkan perbuatan tuan itu dengan perbuatan arwah itu. Kalau tuan sempat bertenang, tentu tuan dapat berfikir dengan lebih baik dan berhati-hati apabila melafazkan bicara. Tuan fikir, arwah itu melakukan perbuatan tersebut dengan tidak mengikut undang-undang?

Ya, Allah, Engkaulah satu-satunya Tuhan kami, satu-satunya Tuhan yang memiliki hak untuk mengampuni apa-apa pun kesalahan sekalian hamba-Mu. Ya, Allah, Engkau ampunkanlah segala kesalahan kami, segala kesalahan ibu bapa kami, segala kesalahan anak dan isteri kami, segala kesalahan hamba-hamba-Mu yang Islam dan yang beriman, termasuklah hamba-hamba-Mu yang pernah dan masih menjadi pemimpin kami.  Amin....

Monday, January 14, 2013

Kalimah “Allah”: Penjelasan dan Pencerahan oleh Pihak Majlis Syura Ulamak PAS

Pada siaran lalu, saya menyatakan pendirian saya, iaitu bahawa, keinginan pihak Kristian yang mendalam untuk mengguna pakai kalimah “Allah” dalam kitab dll tidak wajar dibenarkan demi mengelakkan penyalahgunaan kalimat itu pada masa depan walaupun memang diakui bahawa kalimat itu hak semua pihak. Hari ini, saya beroleh pencerahan tentang hal itu oleh pihak Majlis Syura Ulamak PAS, melalui kenyataan penuh oleh pihak tersebut dalam HarakahDaily hari ini..

Sebenarnya, saya berpeluang untuk bertanya kepada TG Dato’ Dr Haron Din tentang hal ini semasa menghadiri ceramahnya di Kompleks Pendidikan Islam Bangi. Walau bagaimanapun, peluang itu terhalang kerana beliau menguntukkan masa hingga jam 10:00 pagi (waktu itu sudah sekitar jam 9:50 pagi) untuk sesi soal jawab. Hanya satu soalan (saranan sebenarnya) yang dapat diulas oleh TG itu.

Saya benar-benar bersyukur kerana kekeliruan dan kekaburan saya tentang hal ini sudah menjadi jelas dan dengan yang demikian saya tidak akan terpedaya dan dikelirukan oleh mana-mana pihak. Oleh sebab itu juga, sebagai sebahagian anggota dalam Pakatan Rakyat, DAP tidak perlulah mengungkit-ungkit dan membangkit-bangkitkan hal ini lagi, khususnya untuk tujuan pengaruh dan politik.

Yang berikut ini ialah siaran kenyataan itu yang saya petik daripada HarakahDaily. Terima kasih.

KENYATAAN RASMI MAJLIS SYURA ULAMAK

Mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 2 Rabiul Awwal 1434 bersamaan 13/1/2013 mengambil keputusan sebulat suara bersetuju untuk menyatakan perkara-perkara berikut:

(1)  Allah adalah kalimah suci yang merujuk kepada Tuhan yang diimani oleh umat Islam, iaitu Allah Yang Esa, Tunggal, tidak beranak dan tidak diperanakkan.
(2) Kalimah Allah adalah alami (universal) kerana Allah Tuhan sekalian alam. Siapa pun boleh menyebut kalimah Allah seperti mana orang Arab Jahiliyah yang tidak Islam menyebut Allah yang menjadikan alam ini.
(3) Kalimah Allah adalah kalimah khusus yang Allah menamakan diri-Nya Allah. Kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar dari kalimah ini. Demikian juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah Allah.

Oleh kerana itu, menterjemah kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan kerana ianya salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata. Oleh kerana itu ia hendaklah dicegah.

Kenyataan media ini adalah memperjelaskan maksud kenyataan Al Mursyidul Am, Presiden dan seluruh kepimpinan PAS.

Mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS ini juga telah membincangkan isu sedutan ucapan Tuan Guru Presiden yang diangkat martabatnya menjadi amanat dan memutuskan untuk mendesak kerajaan supaya membenarkan Tuan Guru Presiden memperjelaskan isu tersebut sekurang-kurangnya satu jam secara langsung menerusi TV1 dan TV3.

Tuan Guru Datuk Bentara Setia
Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat
Al-Mursyidul Am, Parti Islam Se-Malaysia

Tuan Guru Datuk Dr Haron Din
Timbalan Al-Mursyidul Am, Parti Islam Se-Malaysia

Saturday, December 29, 2012

Mengapakah Mereka Terus-terusan Berani Mempertikaikan Hudud?

“Dik, kamu ni tahu atau tidak tahu bahawa ada orang jahil di negara kita yang memperkotak-katikkan dan memperlekehkan hal-hal yang bersangkutan dengan agama kita?” Pertanyaan ini terlontar lama dahulu.

“Errr..., kotak-katik dan perlekeh yang macam mana, Pak Cik?”

“Seperti mempertikaikan hukum hudud, halal haram, dan lain-lain.”

“Errr..., hukum hudud tu apa, Pak Cik?”

Saya memandang wajah remaja itu. Haruskah pipinya saya tampar-tampar, tubuhnya saya pijak-pijak dan saya henyak-henyak sampai terkeluar tahi hijau? Jika hudud pun tidak diketahuinya, tentulah cerita tentang kebiadaban segolongan puak yang dengan sengaja menyentuh hal berkaitan agama Islam itu tidak dimakluminya.

Saya berbelah bahagi, sama ada hendak meninggalkan remaja itu atau menerangkan perihal hudud kepadanya. Saya membuat keputusan untuk menasihatinya, “Kamu pergilah ke kedai buku atau bertanyalah kepada ustaz tentang hudud ini. Pak Cik nasihatkan kamu supaya jadilah orang yang berguna, setidak-tidaknya untuk diri kamu sendiri. Assalamulaikum”.

Anak itu adalah antara ribuan remaja yang tidak tahu dan tidak peduli akan halal haram, makruf dan mungkar, hudud dan lain-lain. Dia pasti tidak sedar bahawa ada orang yang membuat petisyen untuk mempertikaikan hudud; dia pasti tidak tahu bahawa ada orang yang membuat kalendar yang menyanggah pelaksanaan hudud, dll.

Anak itu tidak tahu hudud barangkali kerana ibu bapanya tidak pernah endah akan hudud. Tetapi kita yang tahu ini, bagaimana? Mengapakah kita berdiam diri sahaja? Perkasa, Jati, Pekida, UMNO sahajakah yang harus kita tunjal-tunjal kerana mereka tidak berkata apa-apa tentang perlakuan si jahiliah itu? PAS, PKR, ABIM, wajar berlepas tangan sahaja?

Perbuatan para jahiliah itu berbahaya; sangat berbahaya, sebenarnya. Perbuatan itu dapat menimbulkan huru-hara jika ada seorang dua yang menghasut orang lain supaya melakukan tindak balas; bertindak sebagai ekstremis, misalnya. Mengapakah Menteri Dalam Negeri tidak menyekat perbuatan yang berpotensi untuk menimbulkan huru-hara itu?

Daripada satu segi, saya tertanya-tanya, mengapakah orang-orang yang di bawah pimpinan si pelaku seks oral itu begitu berani menyentuh hal yang berkaitan dengan agama Islam, hudud khususnya? Tetapi, saya pun tertanya-tanya, mengapakah tidak ada orang kita yang berani menempelak mereka? Adakah kita sudah menjadi Muslim yang penakut?

Kalendar yang bermesej buruk tentang hudud itu harus kita akui bahawa suatu senjata pilihan raya. Sama ada senjata itu akan “makan tuan” atau “menjadi taun” kepada si pencetus propaganda, belum dapat kita pastikan. Yang pasti, propaganda itu ada kesannya kepada puak-puak jahiliah itu – kerja dakwah kita kepada mereka akan menjadi lebih sulit.

Maka, puak-puak yang bersekutu dengan mereka, UMNO khususnya, tidak harus meredhoi perbuatan sekutu mereka itu. Menang pilihan raya belum tentu, tetapi kalah daripada segi kerja-kerja Islami sudah pasti. Janganlah sampai begitu sekali tuan-tuan lacurkan agama tuan-tuan, agama kami, demi kuasa yang bersifat sementara itu.

Orang yang hendak membuat penerangan tentang parti mereka, berani kalian serbu, berani kalian sakiti, tergamak kalian usir. Tetapi orang yang memburuk-burukkan agama Islam – agama kalian, agama rasmi negara ini, yang di dalamnya ada menyebut perihal hudud ini – tidak pula kalian tegur, tidak pula kalian nasihati.

Orang-orang yang memburuk-burukkan agama Islam itu tidak perlulah sampai kalian sakiti, kalian usir. Kita tidak perlu sampai bergaduh berperang dengan mereka; cukuplah kita mengherdik mereka dengan berkata “Diam!”. “Diam!” itu harus dikeraskan nadanya, sebagai tanda bahawa kita tidak suka orang bodoh memperkatakan sesuatu yang tidak diarifinya.

Siapakah yang harus berkata demikian?

Friday, November 23, 2012

AES — Janji Ditepati

Kita tidak dapat menafikan bahawa apa-apa pun dasar, moto, slogan, dll yang diperkenalkan oleh pihak mana-mana pun dalam negara ini akan menjadi sendaan dan gurauan sebilangan orang. Adakalanya dasar itu memang sekadar menjadi bahan lawak atau lelucon dan hingga demikian tidaklah sampai dipertikaikan orang. “Dasar Pandang ke Timur” yang diperkenalkan pada tahun 1980-an oleh PM pada ketika itu dipersendakan oleh kawan saya yang kini entah di mana. “Sebenarnya tujuan dia mengajak kita memandang ke Timur adalah supaya kita tidak perasan akan perbuatannya hendak menompokkan harta di Barat,” kata sahabat yang sudah terputus hubungan dengan saya sejak penghujung 1980-an itu. Saya tertawa oleh leluconnya itu. Slogan “Kepimpinan Melalui Teladan” yang diperkenalkan oleh PM yang sama pada 1980-an itu pun menjadi bahan sendaan orang juga. “Tak akan jadi apa-apa kerana kepimpinan itu cuma lalu sahaja, tak singgah pun. Oleh sebab itulah hampir tidak ada pemimpin yang dapat kita angkat menjadi suri teladan,” kata sahabat yang menjadi sahabat kepada sahabat saya pula.

Tetapi, sepanjang ingatan saya, yang paling banyak menjadi sendaan malah sering menjadi pertikaian orang ialah dasar “1Malaysia” yang berslogankan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” itu. Pada peringkat awal pengenalannya, “1Malaysia” itu tidak difahami orang. “Apakah yang 1Malaysianya?” Demikian orang bertanya. Slogan yang mengikutinya pula — “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” — lebih kerap dipersendakan dan dipertikaikan orang kerana banyak benar dasar, pembaharuan, tindakan, dll yang diperkenalkan oleh pihak yang memperkenalkan dasar dan slogan itu yang berlawanan dengan roh slogan yang murni itu. Yang terbaharu, perkara yang bertentangan dengan slogan itu hingga menjadi bahan pertikaian dan untuk mewajarkannya dibawa pula masuk ke Parlimen ialah pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) itu. Sistem itu bukan ditentang oleh rakyat yang berada di belakang pembangkang sahaja, tetapi turut dibantah oleh rakyat yang berada di belakang kerajaan sendiri. Walaupun rakyat menentang, kerajaan bertegas untuk melaksanakannya! Jadi, yang didahulukan siapa?

Satu lagi slogan kerajaan sekarang yang menjadi bahan persendaan orang ialah slogan “Janji Ditepati” yang menyusul tidak lama selepas kemunculan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” itu. Saya berpendirian bahawa slogan ini sangat ketara retoriknya kerana dengan menjadikan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” sebagai suatu janji (memang slogan itu merupakan suatu janji pun), kita dapat membuat penilaian tentang sejauh mana slogan “Janji Ditepati” itu dipatuhi dan ditunaikan. Kita tidak perlu berpatah semula untuk menilai hal ini kerana yang ada di depan mata sudah dapat membantu kita untuk membuat penilaian itu — AES. Dalam hal ini, kerajaan berjanji bahawa “Rakyat Didahulukan”. Ironinya, dalam hal AES ini, “Rakyat Dikesampingkan” secara terang-terangan. Pada pandangan saya, hal ini berlaku demikian kerana kerajaan sebenarnya telah membuat janji yang lain — membantu kroni. Dalam konteks AES, kroni yang dimaksudkan itu tidak lain tidak bukan si pemegang konsesi — ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd, bukan Rakyat Malaysia Bhd. Dalam perkataan yang lebih mudah, slogan “Janji Ditepati” itu hanya “valid” untuk kroni, bukan rakyat marhaen.

Untuk pengetahuan pihak kerajaan, perkara yang sangat dikehendaki oleh rakyat yang hingga demikian perlu “Didahulukan” tidak kira dengan cara apa-apa sekalipun ialah KEADILAN selain KEJUJURAN bukannya BR1M yang hanya diperoleh oleh segelintir rakyat apatah lagi AES yang membolehkan orang membuat keuntungan daripada kesalahan yang dilakukan oleh rakyat. Ketahuilah bahawa kewujudan AES tidak sekali-kali menggambarkan bahawa rakyat semakin berdisiplin, sebaliknya yang terlihat daripada kewujudan AES ialah rakyat yang sayang akan wangnya. Kalau berlaku situasi orang yang melanggar kesalahan di bawah pengawalan AES itu semakin berkurang dari tahun ke tahun atau lebih drastik lagi, semua rakyat menjadi sangat kedekut yang hingga demikian ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd tidak dapat memungut apa-apa dalam tempoh tiga empat tahun kemudian, siapakah yang akan membiayai kos pemasangan sistem itu kelak?

Wednesday, November 9, 2011

Merdeka = Bebas; Seksualiti Merdeka = Seksualiti Bebas?

BismillaahirRohmaanirRohiim

Bukanlah niat saya hendak membenci dan menghina sesiapa pun
kerana tiada seorang manusia yang hidup pun wajar dibenci
sebelum kita sendiri berusaha untuk membetulkannya (jika mereka salah)
apatah lagi pengakhiran hidup manusia bukan berlaku dengan kehendak kita
melainkan dengan kehendak Allah SWT jua.
Mungkin hari ini manusia itu melakukan maskiat tetapi dengan kehendak-Nya
dalam sekelip mata manusia itu mungkin menjadi insan soleh dan solehah.

Program Seksualiti Merdeka, rupa-rupanya, sudah beberapa tahun diadakan! Kerajaan pemerintah, rupa-rupanya, tahu akan kewujudan program itu dan merekalah, rasa-rasanya, yang meluluskan penganjuran seperti itu.

Pihak yang mendukung program itu ada yang marah-marah (hingga sampai ke tahap hendak saman-menyaman) kerana ada pihak media yang melabel program itu sebagai “program yang menggalakkan seks bebas”.

Menurut pihak penganjur, program Seksualiti Merdeka itu bukan bertujuan untuk menggalakkan seks bebas, sebaliknya untuk membantu kumpulan *LGBT yang terpinggir supaya dapat memahami hak mereka dalam lingkungan undang-undang.

Apabila membaca dan mendengar kenyataan itu (tentang matlamat penganjuran), iaitu untuk membantu kumpulan *LGBT yang terpinggir supaya memahami hak mereka dalam lingkungan undang-undang, saya pasti banyak orang yang kurang faham.

Adakah hal ini bermaksud bahawa mereka berusaha untuk menyedarkan golongan *LGBT itu supaya balik ke pangkal jalan (meninggalkan amalan homoseks, lesbian, biseksual, dan transgender) itu ataupun merelakan dan merestui perlakuan mereka?

Alhamdulillahlah kalau mereka berusaha untuk menyedarkan pengamal perlakuan itu supaya kembali ke pangkal jalan. Walau bagaimanapun, seperti yang kita ketahui, hakikat penganjuran program itu yang sebenarnya bukan demikian.

Hakikat yang sebenarnya ialah penganjuran program ini bermatlamat untuk menuntut hak dan kebebasan bagi golongan *LGBT ini supaya mereka bebas (merdeka) mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka di negara ini.

Jadi, berdasarkan matlamat program tersebut, jelas bahawa pihak penganjur memang berhasrat untuk menggalakkan perlakuan seks bebas (merdeka), iaitu bebas (merdeka) melakukan hubungan seks dengan cara apa-apa sekalipun!

Oleh sebab itu, tidak salahlah kalau ada pihak (khususnya pihak media) melabel penganjuran program Seksualiti Merdeka yang baru diharamkan oleh pihak polis itu sebagai suatu program “yang menggalakkan seks bebas”.

Walau apa-apa pun hujah mereka, yang jelas penganjuran program itu sangat berbahaya. Tindakan pihak polis mengharamkannya, walaupun lambat hingga penganjuran proram itu sempat diadakan beberapa tahun, memang wajar.

Yang kurang enak ialah, rupa-rupanya, ada kepala parti yang merestui program seperti itu. Sama ada “restu” itu mewakili pendirian parti atau pendirian peribadinya, yang jelas pendirian itu sangat bertentangan dengan pendirian parti yang satu lagi.

Hal ini menambahkan keraguan orang yang mengikuti pendiriannya tentang pelbagai perkara sejak dahulu lagi. Pendiriannya tentang Satanic Verses pernah diragui orang. Simpatinya terhadap holocaust yang tersisip dalam Schindler’s List pun diragui orang.

PRU13 sudah dekat. Pendirian ini, kalau dipergunakan oleh pihak lawan, dapat menyebabkan kekalahan. Isu persendaan janggut Nabi oleh mantan ketua pemerintah dan pemakaian tanjak salib oleh mantan ketua sebuah parti dahulu pernah menyebabkan pihak yang mempersendakan dan pihak yang memakainya KALAH.

Walau apa-apa pun, atas nama Islam, *GLBT tidak harus dibenarkan. Malahan orang-orang yang terlibat dalam perbuatan seperti itu harus diinsafkan dan dilorongkan ke jalan yang benar. Keseronokan belum tentu menjadi nikmat!

*GLBT = Gay, Lesbian, Biseksual, Transgender

Friday, April 15, 2011

Bersederhanalah dalam Menilai Sahabat dan Seteru

JANGANLAH DIPUJI-PUJI, DIANGKAT-DIANGKAT, DILAMBUNG-LAMBUNG MELANGIT SAHABAT KITA KERANA ESOK DIA MUNGKIN AKAN MENJADI SETERU KITA. JANGAnLAH DICACI-CACI, DIKEJI-KEJI, DINISTA-NISTA SETERU KITA KERANA ESOK DIA MUNGKIN AKAN MENJADI SAHABAT KITA.

Pakatan Rakyat pernah memuji manusia itu melambung-lambung. Pakatan Rakyat juga pernah mempercayai apa-apa yang dikatakannya — hampir kesemuanya. Sekarang manusia itu memperlihatkan belangnya (yang sebenarnya?). Sekarang manusia itu membuat corner baring 360 darjah, bukan setakat cecah lutut, tapi sampai cecah telinga dan ubun-ubun!

Selepas ini, UMNO dan BN akan mengambil giliran untuk memuji dan mempercayai apa-apa yang dikatakan oleh manusia itu. Berhati-hatilah kalian. Dia mungkin tidak menipu tentang apa-apa yang diperkatakannya, tetapi manusia yang tiba-tiba memperlihatkan belangnya yang lain (yang sebenarnya?) sangat perlu kalian waspadai.

Dalam dunia ini, ada haiwan yang lidahnya bercabang — tetapi cabang itu pada lidahnya semata-mata, bukan pada apa-apa yang dibunyikannya (dituturkan atau dicakapkan?). Walaupun lidahnya bercabang, haiwan yang demikian tidak menipu kaumnya.

Dalam dunia ini, tidak ada manusia yang lidahnya betul-betul bercabang — tetapi apa-apa yang dituturkan mereka bukan sahaja bercabang-cabang, malah berbelit-belit serta banyak dusta dan tipuannya. Manusia ini tidak malu untuk menipu kaumnya.

Ciri yang sama antara sesetengah haiwan yang lidahnya bercabang dengan manusia yang percakapannya bercabang-cabang ialah kedua-duanya kadangkala MEMATUK!