“Dik, kamu
ni tahu atau tidak tahu bahawa ada orang jahil di negara kita yang memperkotak-katikkan
dan memperlekehkan hal-hal yang bersangkutan dengan agama kita?” Pertanyaan ini
terlontar lama dahulu.
“Errr...,
kotak-katik dan perlekeh yang macam mana, Pak Cik?”
“Seperti
mempertikaikan hukum hudud, halal haram, dan lain-lain.”
“Errr...,
hukum hudud tu apa, Pak Cik?”
Saya
memandang wajah remaja itu. Haruskah pipinya saya tampar-tampar, tubuhnya saya
pijak-pijak dan saya henyak-henyak sampai terkeluar tahi hijau? Jika hudud pun
tidak diketahuinya, tentulah cerita tentang kebiadaban segolongan puak yang dengan
sengaja menyentuh hal berkaitan agama Islam itu tidak dimakluminya.
Saya
berbelah bahagi, sama ada hendak meninggalkan remaja itu atau menerangkan
perihal hudud kepadanya. Saya membuat keputusan untuk menasihatinya, “Kamu
pergilah ke kedai buku atau bertanyalah kepada ustaz tentang hudud ini. Pak Cik
nasihatkan kamu supaya jadilah orang yang berguna, setidak-tidaknya untuk diri
kamu sendiri. Assalamulaikum”.
Anak itu
adalah antara ribuan remaja yang tidak tahu dan tidak peduli akan halal haram, makruf
dan mungkar, hudud dan lain-lain. Dia pasti tidak sedar bahawa ada orang yang membuat
petisyen untuk mempertikaikan hudud; dia pasti tidak tahu bahawa ada orang yang
membuat kalendar yang menyanggah pelaksanaan hudud, dll.
Anak itu
tidak tahu hudud barangkali kerana ibu bapanya tidak pernah endah akan hudud.
Tetapi kita yang tahu ini, bagaimana? Mengapakah kita berdiam diri sahaja?
Perkasa, Jati, Pekida, UMNO sahajakah yang harus kita tunjal-tunjal kerana
mereka tidak berkata apa-apa tentang perlakuan si jahiliah itu? PAS, PKR, ABIM,
wajar berlepas tangan sahaja?
Perbuatan para
jahiliah itu berbahaya; sangat berbahaya, sebenarnya. Perbuatan itu dapat
menimbulkan huru-hara jika ada seorang dua yang menghasut orang lain supaya
melakukan tindak balas; bertindak sebagai ekstremis, misalnya. Mengapakah Menteri
Dalam Negeri tidak menyekat perbuatan yang berpotensi untuk menimbulkan
huru-hara itu?
Daripada
satu segi, saya tertanya-tanya, mengapakah orang-orang yang di bawah pimpinan si
pelaku seks oral itu begitu berani menyentuh hal yang berkaitan dengan agama Islam,
hudud khususnya? Tetapi, saya pun tertanya-tanya, mengapakah tidak ada orang
kita yang berani menempelak mereka? Adakah kita sudah menjadi Muslim yang
penakut?
Kalendar yang
bermesej buruk tentang hudud itu harus kita akui bahawa suatu senjata pilihan
raya. Sama ada senjata itu akan “makan tuan” atau “menjadi taun” kepada si
pencetus propaganda, belum dapat kita pastikan. Yang pasti, propaganda itu ada
kesannya kepada puak-puak jahiliah itu – kerja dakwah kita kepada mereka akan menjadi
lebih sulit.
Maka,
puak-puak yang bersekutu dengan mereka, UMNO khususnya, tidak harus meredhoi perbuatan sekutu mereka itu.
Menang pilihan raya belum tentu, tetapi kalah daripada segi kerja-kerja Islami
sudah pasti. Janganlah sampai begitu sekali tuan-tuan lacurkan agama tuan-tuan,
agama kami, demi kuasa yang bersifat sementara itu.
Orang yang
hendak membuat penerangan tentang parti mereka, berani kalian serbu, berani kalian
sakiti, tergamak kalian usir. Tetapi orang yang memburuk-burukkan agama Islam –
agama kalian, agama rasmi negara ini, yang di dalamnya ada menyebut perihal
hudud ini – tidak pula kalian tegur, tidak pula kalian nasihati.
Orang-orang
yang memburuk-burukkan agama Islam itu tidak perlulah sampai kalian sakiti,
kalian usir. Kita tidak perlu sampai bergaduh berperang dengan mereka; cukuplah
kita mengherdik mereka dengan berkata “Diam!”. “Diam!” itu harus dikeraskan
nadanya, sebagai tanda bahawa kita tidak suka orang bodoh memperkatakan sesuatu
yang tidak diarifinya.
Siapakah
yang harus berkata demikian?
salam tuan.
ReplyDeleteusahkan pemuda itu yang tidak tahu soal hudud, saya pun waktu remaja dulu tak pernah diberitahu tentang adanya hukum ini.
apa sukatan pelajaran agama yg ada, cuma soal sembahyang, puasa , itu saja.
kita dijahilakn oleh sistem pendidikan sendiri .
kita dibutakan tentang agama sendiri.
Salam, Syeikh Muaz,
ReplyDeleteSaya mengandaikan kita ini seusia, jadi harus saya akui bahawa semasa belajar antara tahun 1969-1982 dahulu, memang tidak ada tajuk "Hudud" dalam silibus di sekolah (sekarang ada ke?). Tetapi, hudud itu dapat saya ketahui pada zaman anak-anak lagi kerana ada disebut oleh nenek saudara saya - khususnya perihal potong tangan kerana mencuri dan hukum sebat kerana berzina.
Saya berasa terkilan kerana anak itu, yang pada zaman ini segala bentuk pelajaran terus datang ke dalam rumah melalui kemudahan Internet dan tv - membiarkan dirinya jahil tentang hudud, tetapi sangat arif dengan Juara Lagu, Mentor, dsb.
Kalau hal berkaitan peperiksaan pun KPM selalu bercelaru, soal penambahbaikan mata pelajaran Pendidikan Islam usah haraplah, Syeikh. Teruslah belajar bab solat, puasa, zakat, qurban, aqiqah, haji. Butalah kita....