Friday, December 14, 2012

Piala AFF-Suzuki 2012: Bermaruahkah Kekalahan Kita Malam Tadi?

Malam tadi, impian Harimau Malaya untuk mara ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki untuk kali kedua berturut-turut terkubur apabila tumpas di tangan pasukan Gajah Perang dengan keputusan 0-2. Saya langsung tidak menonton siaran langsung perlawanan itu kerana saya memilih untuk bermain badminton. Saya memilih untuk bermain badminton kerana saya tidak begitu yakin bahawa Harimau Malaya akan menang. Daripada saya melihat Harimau Malaya diratah oleh Gajah Perang, lebih baik saya mengeluarkan peluh bersama-sama dengan empat orang rakan yang lain!

Perasaan bahawa Harimau Malaya sukar menang di Bangkok yang berdetak di hati ini rupa-rupanya betul. Saya tidak tahu sebab-musabab saya tidak kecewa oleh kekalahan itu. Terus terang, saya hanya menonton perlawanan Harimau Malaya secara langsung semasa pasukan kita itu menentang Singapura dan Indonesia. Saya langsung tidak menggemari permainan Harimau Malaya semasa menentang Singapura. Begitu juga halnya semasa mereka menentang pasukan Garuda; kemenangan itu menggembirakan saya, namun saya tidak puas hati dengan corak permainan Harimau Malaya.

Apabila membaca komen Rasid Rahaman menerusi ruangan “Komentar” dalam akhbar Berita Harian hari ini, saya mendapat gambaran bahawa pengadil perlawanan malam tadi berat sebelah hingga menyebabkan pasukan Harimau Malaya terpaksa bermain dengan 10 orang pemain. Kebetulan, gol-gol pasukan Gajah Perang dijaringkan selepas Harimau Malaya bermain kurang seorang daripada pasukan itu. Walau bagaimanapun, saya tertarik akan ulasannya yang terkemudian, iaitu bahawa pasukan Gajah Perang memang lebih baik daripada pasukan Harimau Malaya!

Oleh sebab itulah apabila saya mengikuti program bual bicara dan komentar dalam suatu rancangan sukan yang disiarkan oleh sebuah televisyen swasta sehari sebelum hari perlawanan, saya berasa sedikit pelik dengan keyakinan panel jemputan bahawa Malaysia akan menang 2-0 dan 2-1 di Bangkok! Saya berasa lebih pelik lagi apabila semalam, peneraju FAM sendiri, meluahkan keyakinan yang lebih kurang sama dengan kedua-dua panel tersebut – bahawa Harimau Malaya akan menang. Saya bertanya kepada diri sendiri, apakah asas keyakinan mereka itu – “Hang Nasib” atau “Hang Tuah” sahajakah?

Pihak pengurusan Harimau Malaya memang perlu melakukan sesuatu. Pemain-pemain yang berkualiti memang banyak di negara kita, tetapi, seperti kata Rasid, pemilihan mesti dibuat dengan tepat tanpa dipengaruhi oleh keegoan jurulatih. Pemain-pemain tidak boleh dipersalahkan kerana mereka telah berusaha mati-matian untuk sampai ke peringkat separuh akhir. Corak permainan Harimau Malaya perlu diubah, kata beliau lagi, iaitu dengan menerapkan aspek taktikal. Hal ini jugalah yang saya dengar daripada mulut beberapa orang guru dan bekas guru sukan yang menjadi rakan saya.

Jadi, apakah usaha dan tindakan FAM selepas ini? Adakah Datuk Krishnasamy Rajagobal akan terus dikekalkan oleh badan induk bola sepak negara kita ini sebagai jurulatih bola sepak negara atau sebaliknya? Adakah mereka suka bahawa pasukan negara ini dikendalikan oleh seorang jurulatih yang asyik bereksperimen dan pilih kasih, yang tidak menerapkan corak permainan berkesan seperti yang diperlihatkan oleh pasukan bola sepak ternama seperti Sepanyol dan Barcelona, justeru Thailand sekalipun? Puaskah FAM dengan pencapaian kita pada peringkat Asia Tenggara sahaja?

Allah SWT memang telah menetapkan bahawa pasukan Harimau Malaya akan dikalahkan oleh pasukan Gajah Perang malam tadi. Oleh itu, jangan kecewa. Tetapi, seperti yang saya katakan semalam, kalau kalah biarlah bermaruah. Kalah yang bermaruah yang saya maksudkan ialah kita dapat bermain seperti pasukan yang kita tentang. Mereka menyerang kita pun menyerang, mereka membuat hantaran tepat, kita pun membuat hantaran tepat. Taktikal mereka baik, taktikal kita pun baik juga. Jadi, adakah kita kalah secara bermaruah malam tadi?

Kalah “kerana pengadil” suatu hal, tetapi hal yang pasti ialah sesuatu harus dilakukan. Naikkan pangkat Ong Kim Swee. Boleh?

2 comments:

  1. permainan secara tiki taka teknik bercelona telah membuktikan banyak kelab, negara telah berjaya mara ke peringkat yang lebih tertinggi dimana tiada seorang goal scrorer yang menjadi tumpuan. semua pemain adalah seimbang boleh menjaringkan gol. cubalah terapkan teknik2 permainan yang baru, pemain sedia ada cukup bersedia. cuma mereka tidak bersedia bermain dgn cara taktical defensif Datuk K kerana fizikal dan intensiti yang tinggi diperlukan oleh pemain jika bermain cara tektikal Datuk K. lagipun cara tersebut melihatkan mental pemain-pemain cenderung keliru hendak passing kepada siapa, tercari2 pemain yang sanggup menerima bola. lantas hantaran jauh juga yang menjadi penamat kisah taktikal rajagopal. berdasarkan daripada pemerhatian saya, pemain juga ada perasaan tidak puas hati terhadap arahan pengendali skuad harimau malaya dengan corak eskperimen yang ntah apa2.tetapi apakan daya mereka kalau bersuara dah tentu confirm akan disisihkan darp kesebelasan utama. masing2 berebut nk main. dari segi kualiti player mmg dah ada. dulu mereka pernah buktikan cuma disini bila taktikal tidak betul dengan mental pemain jadi lintang pukang lah permainan. seolah2 jasad di office & roh di rumah. Datuk K Rajagopal sepatutnya bertanggungjawab sepenuhnya diatas kekalahan skuad harimah malaya dan step down daripada kerusi panas tersebut dan diberi laluan kepada muka-muka baru yang sanggup menerima teguran dan pembaharuan. contohilah coach-coach lain di eropah step down bilamana prestasi skuad sedang berada di kemuncak bukan bila prestasi sedang merudum. kemenangan di AFF 2010 sudah menjadi sejarah. jadi tidak usah dikenangkan dan disanjungkan sgt dengan kemengan yang tidak seberapa tersebut. lihatlah pada hari ini dan esok bukan tahun lepas dan kelmarin. so pls dont do this mistake anymore in future...kami berterima kasih terhadap jasa mu Datuk K Rajagopal membawa piala aff suzuki 2010 tetapi kita sudah berada sekarang di tahun 2012 dan akan ke hadapan lagi bukan ke belakang..Selamat maju jaya harimau malaya di bawah pengendali baru kelak..

    ReplyDelete
  2. Salam, Anon;

    Seolah2 jasad di office & roh di rumah - saya bersetuju. Elok beliau step down, seperti kata saudara. Jasanya tetap dikenang.

    ReplyDelete