Thursday, December 13, 2012

Harimau Malaya dan Piala AFF Suzuki: Kalau Kalah Biar Bermaruah

Selepas pada 29 November lalu saya menulis tentang peluang sama rata pasukan Singapura, Malaysia, Indonesia, dan Laos selepas masing-masing melalui dua perlawanan dalam Kumpulan B pada Kejohanan Piala AFF-Suzuki, saya langsung tidak membuat ulasan apa-apa. Banyak orang yang mengulas hal itu dan banyak juga yang terpaksa menelan tohmahan yang diluahkan.

Pasukan Malaysia telah bejaya menewaskan pasukan Indonesia dengan keputusan 2-0 untuk layak ke pusingan separuh akhir bersama-sama dengan pasukan Singapura yang telah mengalahkan Laos 4-3. Di pusingan separuh akhir, Malaysia terpaksa berdepan dengan Thailand (si Gajah Perang) manakala pasukan Singapura bertembung dengan pasukan Filipina.

Pada hari Sabtu lalu, pasukan Singapura bertembung dengan pasukan Filipina di Manila. Filipina berjaya menyekat pasukan Singapura daripada menjaringkan gol untuk mencatat keputusan seri tanpa jaringan. Tetapi pada perlawanan timbal balik yang berlangsung di Singapura malam tadi, Singapura berjaya mengalahkan Filipina dengan keputusan 1-0. Singapura layak ke final.

Di pihak pasukan Malaysia, dalam perlawanan timbal balik pertama di Stadium Bukit Jalil pada Ahad lalu, pasukan kesayangan kita hanya mencatat keputusan seri 1-1 dengan pasukan Thailand. Menurut jurulatih, Datuk K. Rajagobal, kita tidak bernasib baik kerana sepatutnya kita dapat menjaringkan tiga gol untuk membolehkan kita menang 3-1.

Itu yang kita andaikan, tetapi Allah SWT telah pun menentukan keputusan untuk kita. Kerana bersandarkan hakikat itu, saya tidak kecewa. Kalau kita kalah pun, saya tidak kecewa juga kerana pasukan kita pada malam itu telah menunjukkan mutu permainan yang baik, tidak seperti semasa menentang Singapura pada perlawanan pertama dalam peringkat kumpulan.

Malam ini, pasukan kita akan bertembung dengan pasukan Thailand pada perlawanan timbal balik kedua di Stadium Supachalasai, Bangkok. Sejak tiba di Thailand, pasukan kita dilayan macam kucing kurap kerana tidak berpeluang untuk berlatih di padang yang selayaknya digunakan oleh sebuah pasukan bertaraf negara. Pemain hanya dapat berlatih di padang bertaraf sekolah!

Dahulu, semasa Piala Dunia 1974, pasukan Jerman Barat yang menjadi tuan rumah melayan pasukan Belanda seperti “raja”. Jerman Barat menyediakan pelbagai keseronokan kepada pemain pasukan Belanda, termasuk khabarnya wanita dan arak. Di pihak mereka (Jerman Barat), pemain mereka dikurung sebagai persediaan untuk menghadapi Belanda dalam perlawanan akhir.

Permainan psikologi Jerman Barat itu membuahkan hasil. Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Olympiastadion, Munich pada 7 Julai 1974 itu, pasukan Jerman Barat muncul sebagai juara selepas berjaya mengalahkan pasukan Belanda yang menampilkan permainan menarik yang pada masa itu dikenal sebagai “total footbal” dengan keputusan 2-1.

Bagaimanakah nasib pasukan Harimau Malaya pada malam ini selepas “dimain-mainkan” oleh Thailand daripada segi layanan itu? (Sebenarnya hal seperti ini bukan baru menimpa skuad negara kita dalam kejohanan apa-apa pun, justeru sudah acapkali benar.) Kita tidak pernah melakukan hal yang demikian kepada mana-mana skuad kerana adab sopan kita memang asli.

Sesiapa pun pemain yang kita namakan sebagai pemain yang layak diturunkan pada malam ini – Wan Zack Haikal, Mohd Shakir Shaari, Mahalli Jasuli, dll – mereka sebenarnya membawa misi yang sama, iaitu hendak menang supaya dapat bertembung dengan pasukan Singapura bagi membalas dendam kekalahan yang kita alami pada peringkat kumpulan lalu.

Jika pasukan negara kita dapat menjaringkan gol awal seperti pada perlawanan menentang pasukan Indonesia dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan lalu, tekanan akan tertimpa di bahu pasukan Thailand. Dalam keadaan itu, benteng pertahanan pasukan negara perlu lebih berdisiplin – menyekat para pemain lawan daripada membuat percubaan.

Semua pemain perlu berusaha dan seperti mereka kita juga perlu berusaha dengan cara mendoakan kejayaan mereka. Jika menang, kita harus berasa bangga; jika kalah kita tidak rugi apa-apa kerana kita tidak kehilangan apa-apa. Yakinilah ketentuan Allah. Kita hanya benar-benar rugi kalau kita kehilangan Allah kerana sesuatu.

SELAMAT MAJU JAYA, HARIMAU MALAYA!
KALAU MENANG PASTI BERDARJAT, KALAU KALAH BIAR BERMARUAH

No comments:

Post a Comment