Wednesday, December 30, 2009

Azam Tahun Baharu Pun Bida‘ah Juga

Bersempena dengan kehadiran tahun baharu Masihi 2010 ini, banyaklah hal yang tidak perlu akan dihidangkan kepada rakyat negara ini. Dalam hal ini, rakyat yang paling banyak terlibat dalam meraikan kehadiran tahun baharu 2010 itu kelak sudah tentulah golongan remaja. Perlukah kehadiran 2010 Masihi itu disambut dengan sedemikian rupa?

Ada ibu bapa Islam yang sedar bahawa sambutan tahun baharu Masihi itu sesat dan menyesatkan lalu melarang anak mereka terlibat dalam “pesta” itu. Alasan yang dipegang ibu bapa Islam yang sedar itu mudah – sambutan tahun baharu Masihi tidak terdapat dalam budaya dan agama Islam seperti halnya dengan sambutan Maal Hijrah, Maulidur Rasul, Israk dan Mikraj, Ramadhan al-Mubarak, Nuzul al-Quran, Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidil Adha, dan lain-lain. Ada ibu bapa yang berjaya menghalang anak-anak mereka daripada terlibat dengan sambutan itu, tetapi tidak kurang yang gagal mengawalnya. Di satu sudut lain, bukan sedikit jumlah ibu bapa yang membenarkan anak-anak mereka meraikan sambutan itu!

Aktiviti-aktiviti yang direncanakan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengisi dan membesar-besarkan sambutan tahun baharu 2010 itu sebenarnya lebih condong ke arah yang melalaikan dan sangat berlawanan dengan roh Islam – nyanyian, tarian, makan minum, pengiraan detik jam 12:00 yang diikuti sorak-sorai, dan sebagainya itu yang berserta dengan percampuran lelaki perempuan – hanya sesuai untuk orang yang mempeloporinya, iaitu orang bukan Islam! Mengikuti dan meniru amalan orang bukan Islam ditegah oleh Islam. Hal ini ada dinyatakan di dalam al-Quranul Karim (surah al-Furqan, ayat 72) yang bermaksud:
... mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya”.
Nabi SAW sendiri ada menyentuh hal ini melalui sabda baginda:

Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka dia dianggap salah seorang daripada (kalangan) mereka.”
(Riwayat Abu Daud)

Perkara terpenting yang perlu diingat oleh sesiapa pun juga ialah, tahun baharu – sama ada tahun baharu Hijrah mahupun tahun baharu Masihi – tidak akan memberikan makna apa-apa sekiranya hari yang bertarikh 1 Muharam atau 1 Januari yang disambut mereka itu tidak lebih baik daripada hari-hari yang dilalui mereka sebelumnya!

Semua pihak perlu berhenti “memberikan sokongan” kepada peminat pesta tahun baharu Masihi ini. Media massa tidak usahlah mengadakan apa-apa program yang bersangkutan dengannya. KTM Berhad tidak perlulah melanjutkan perkhidmatannya sehingga awal pagi 1 Januari bersempena dengan sambutan itu. Pihak Jabatan Agama Islam di semua negeri perlu lebih lantang bersuara tentang kesongsangan sambutan itu, bukan kepada orang bukan Islam, tetapi kepada orang Islam. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (yang menguruskan hal-hal berkaitan agama Islam) mesti berani bersuara.

Kepada saya, tidak perlulah ditanyai apakah azam tahun baharu saya.

Wednesday, December 23, 2009

Mengagak Kemungkinan

Hal tentang kehilangan dua buah enjin jenis GE J85-21A yang digunakan oleh jet pemintas F-5E TUDM akan terus diperkatakan dan didebatkan oleh warga negara ini. Hal ini demikian kerana kehilangan itu melibatkan jumlah wang yang sangat besar – RM100 juta! Semua penggerak media, orang yang celik dan benci akan penyelewengan, akan terus mensensasikan berita ini dari masa ke masa walaupun hasil siasatan itu nanti mungkin tidak akan memuaskan hati mereka.

Hal tentang kehilangan enjin itu didedahkan kepada umum semasa Datuk Dr. Mohd. Zahid Hamidi menjadi Menteri Pertahanan. Kehilangan enjin itu pula berlaku semasa Dato’ Seri Mohd. Najib menjadi Menteri Pertahanan. Dengan kata lain, cerita kehilangan ini disenyapkan (dirahsiakan?) daripada pengetahuan umum semasa Dato’ Seri Mohd. Najib ialah Menteri Pertahanan, malah disenyapkan (dirahsiakan?) juga semasa Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi menjadi Menteri Pertahanan (bertukar portfolio dengan Dato’ Seri Mohd. Najib).

Lalu timbul sedikit kesangsian, mengapakah hal yang melibatkan YAB Perdana Menteri (yang sebelumnya tidak diketahui oleh orang awam) itu, didedahkan kepada umum? Pendedahan itu pula berlaku hampir bersekali dengan “kejadian bersejarah” yang berlaku di Parlimen (undi belah bahagi dalam hal Usul Belanjawan 2010 yang hampir memihak kepada pembangkang. Dalam pengundian itu, kerajaan mendapat 66 undi manakala pembangkang mendapat 63 undi). Pendedahan ini juga berlaku tidak lama selepas kerajaan memanggil Wakil Tetap Malaysia ke PBB pulang kerana Wakil itu tidak menyokong suatu ketetapan terhadap Iran yang didalangi Amerika (sehingga menarik perhatian Tun Dr Mahathir untuk membuat komen tentang hal itu).

Selepas ini, pada pandangan saya, jika ada pendedahan atau ada perbuatan lain yang “menjejaskan” kredibiliti dan integriti YAB Perdana Menteri yang dilakukan oleh orang-orang “dalam kain” YAB Perdana Menteri sendiri, kita mungkin boleh membuat telahan tentang niat yang tersirat daripada pendedahan yang dibuat dan kejadian yang berlaku.

YAB Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri tidak memberikan komen apa-apa pun tentang kehilangan enjin ini?

Tuesday, December 22, 2009

Upps, Tiada Brigedier Jeneral Terlibat dalam Kes Enjin GE J85-21A untuk Pesawat F-5E TUDM!

Isy, apalah budak-budak surat khabar ini, kau orang suka buat laporan salah! Banyak orang terpengaruh dan percaya pada laporan kau orang. Aku rasa Dato’ A. Kadir Jasin adalah antara orang yang percaya dan terpengaruh dengan laporan itu. Aku pun percaya juga.

Mana ada Brigedier Jeneral Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang diarahkan supaya bersara sebagai akibat kehilangan enjin pesawat itu? Kau orang saja yang pandai-pandai buat cerita.

Begitulah yang diberitahukan oleh Menteri Pertahanan yang kita hormati itu kepada Utusan Malaysia. Kehilangan enjin pesawat itu, kata beliau, tidak ada kena-mengenanya dengan pelibatan Brigedier Jeneral TUDM yang diarahkan supaya bersara itu (seperti dilaporkan oleh akhbar tempatan semalam – aku baca Berita Harian semalam).

Kata beliau lagi, arahan supaya Brigedier Jeneral TUDM itu bersara bukan disebabkan oleh kehilangan enjin pesawat pemintas milik TUDM itu, tetapi disebabkan oleh faktor lain.

“Dakwaan dan apa yang ditulis oleh akhbar itu tidak benar sama sekali,” begitulah yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia.

Malah, Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Rodzali Daud sendiri mengakui hal itu. Menurut Utusan Malaysia juga, Panglima itu mengesahkan bahawa laporan yang ditulis oleh akhbar tempatan itu tidak benar. Malah, beliau sendiri tidak tahu akan sumber laporan itu diperoleh.

Walau apa-apa pun yang kita katakan tentang kes ini, eloklah kita tunggu hasil siasatan yang dilakukan oleh pihak yang dipertanggungjawabkan untuk menangani kes ini.

Cuma, kalau benar Bregedier Jeneral yang disuruh supaya bersara awal itu mengetuai jabatan penting bagi pengendalian logistik di TUDM dan beliau tidak tahu-menahu akan penyelewengan itu, kita patut berasa malu.

Semoga siasatan yang telus akan meluputkan kekelabuan kita tentang kes ini.

Monday, December 21, 2009

"Abu Hassan" dengan 40 Orang Penyamun Era Moden

Kehilangan enjin jenis GE J85-21A untuk pesawat F-5E TUDM bukan sahaja mengejutkan kita, tetapi lebih buruk daripada itu. Kehilangan itu bukan sahaja menyedihkan kita tetapi lebih buruk daripada itu. Kehilangan itu bukan sahaja menghairankan kita tetapi lebih buruk daripada itu. Saya mengatakan kehilangan itu lebih buruk daripada keterkejutan, kesedihan, dan kehairanan kerana saya berpendapat, kehilangan itu mengaibkan kita (negara dan rakyatnya) di mata dunia.

F-5E Tiger

Saya yakin, masyarakat dunia sudah pasti membuat tanggapan bahawa di Malaysia, “penyangak” bukan sahaja terdapat di luar kerajaan tetapi terdapat di dalam kerajaan juga. Lebih buruk lagi, dalam hal ini, “penyangak” yang dapat dikatakan sebagai orang-orang elit ini duduk dalam sistem pertahanan negara! Mereka ini merupakan orang-orang yang bijak mencipta persekitaran dan peluang untuk menyunglap harta kerajaan (harta kerajaan itu sebenarnya diberikan oleh rakyat).

Saya terfikir, kalau orang yang melakukan jenayah (memiliki senjata api, membunuh, dan sebagainya) akan dijatuhi hukuman mati, orang-orang seperti ini wajar dijatuhi hukuman yang sama seperti yang dilakukan di sesetengah negara (di negara China, pengamal rasuah yang berskala besar akan berdepan dengan hukuman mati). Hal ini demikian kerana orang yang membunuh dan sebagainya secara umumnya hanya menimbulkan kesedihan (kerugian) kepada kelompok terdekat si mati sedangkan “penyangak” yang menjual harta kerajaan ini telah menimbulkan aib dan kerugian maha besar kepada seluruh rakyat negara ini!

Rasa saya, hukuman yang berbentuk arahan supaya orang yang terlibat bersara awal sangat tidak wajar. Betul, sangat tidak wajar! Buat salah kemudian berhenti, makan hasil daripada keuntungan penjualan itu. Huh!

Tidak perlulah diceritakan dengan panjang lebar tentang salah laku orang ini dan orang-orang di sekelilingnya (harap-harap tidak ada orang lain yang lebih tinggi pangkat daripadanya turut terlibat dalam salah laku ini). Bacalah NST, bacalah Berita Harian, jenguklah media-media alternatif, termasuk dalam Internet, anda akan mendapat perinciannya.

Pihak yang berkenaan (Menteri Pertahanan dan lain-lain) telah pun memberikan penjelasan tentang hal ini tetapi penjelasan itu sangat-sangatlah longgar. Datuk A. Kadir Jasin dalam blognya mengatakan penjelasan itu sebagai “Fishy Explanation”.

Marilah kita berdoa agar kita tidak dikurniai anak-anak dan saudara-mara atau kenalan dan jiran tetangga yang berperangai seperti “Abu Hassan dengan 40 orang penyamun” itu! Na’uzu bil-Lah.

Thursday, December 17, 2009

Tepuk Kepala, Tanyalah Akal

Oleh sebab diuar-uarkan dan dijadikan tajuk dan isu perbincangan, maka kehebohan ini menjadi meriah dan “kecoh” sehingga kadangkala memualkan. Para pemanggil yang berbual dengan penyiar di radio memberikan pelbagai pandangan tentang hal ini. Ada yang begitu angkuh dan sangat yakin (tanpa menyebut perkataan Alhamdulillah) bahawa MALAYSIA AKAN MEMENANGI PINGAT EMAS DALAM PERLAWANAN AKHIR BOLA SEPAK DALAM KEJOHANAN SUKAN SEA 2009 PETANG INI!

Sebagai rakyat yang patriotik, saya langsung tidak mengharapkan Malaysia kalah dalam perlawanan akhir nanti. Malah saya, seperti halnya dengan seluruh rakyat Malaysia yang lain, adalah antara orang yang paling gembira apabila Malaysia dapat mengalahkan Thailand dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan dan kemudiannya membenam cabaran Laos di peringkat separuh akhir!

Kita berharap agar kejayaan pasukan bola sepak bawah 23 tahun Malaysia di Sukan SEA ini dapat membaiki kedudukan ranking pasukan bola sepak negara di peringkat Asia Tenggara ini yang jauh terperosok di bawah Thailand. Cuma, yang saya bimbangi ialah senario “biasa” yang selalu menimpa skuad negara. Senario itu ialah, mereka akan menunjukkan peningkatan dan keluarbiasaan tatkala kita tidak tidak mempedulikan mereka dan tidak mengharapkan apa-apa daripada mereka. Sebaliknya, apabila kita memberikan tumpuan, apabila kita mengharapkan keajaiban daripada mereka, dan apabila pujian kita hamburkan kepada mereka, mereka akan bermain “macam hampeh” (kerana tekanankah?).

Tidak mengapa, pada saya, kejayaan pasukan bola sepak bawah 23 tahun Malaysia ini memasuki perlawanan akhir sudah merupakan suatu kejayaan gemilang. Memang hal ini suatu kejayaan kerana pasukan bola sepak Malaysia telah “agak lama” diremeh-remehkan, direndah-rendahkan, dan dipandang sebelah mata oleh pasukan bola sepak negara lain di peringkat Asia Tenggara ini.

Bersekali dengan perlawanan akhir bola sepak itu (dalam sekitar masa yang lebih kurang sama) ialah TAHUN 1430 HIJRAH akan meninggalkan kita, lalu jika umur kita dipanjangkan oleh Allah SWT hingga saat itu, kita akan menyambut kehadiran TAHUN BAHARU 1431 HIJRAH pula, insya-Allah!

Kepergian tahun “lama” dan kedatangan tahun baharu ini berlaku sekali setahun. Sebaliknya, perlawanan akhir bola sepak yang melibatkan Malaysia di peringkat Sukan SEA berlaku dua tahun sekali. Soalan saya ialah, yang manakah pilihan kita – hadir ke masjid/surau untuk sama-sama memanjatkan doa akhir tahun dan doa awal tahun atau duduk melangut di hadapan TV menonton perlawanan akhir itu?

Suka saya ingatkan, dalam hal “melepaskan” kepergian tahun lama Hijrah ini, kita disyorkan supaya berdoa pada akhir waktu Asar sebelum masuknya waktu Maghrib. Ada doa khusus untuk kita lafazkan (sebanyak tiga kali) pada waktu itu. Demikian juga halnya dengan kedatangan tahun baharu, ada doa khusus yang perlu kita baca.

Tentang doa akhir tahun dan doa akhir tahun ini, dikatakan bahawa kedua-duanya tidak termuat dalam mana-mana kitab hadis (wallahua‘lam). Hal ini bermakna, kita tidaklah sampai diwajibkan untuk melaksanakan amalan-amalan sedemikian. Walau bagaimanapun, tidaklah menjadi suatu kesalahan jika kita mengamalkannya kerana kedua-dua doa itu tergolong sebagai suatu bentuk doa umum. Cuma apabila berdoa, jika dilakukan beramai-ramai, doa itu akan lebih mustajab, insya-Allah. Dalam hal ini, untuk berdoa beramai-ramai kita perlu pergi ke masjid atau ke surau!

Tentang doa ini (apa-apa juga doa), seperti yang diriwayatakan oleh Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW ada bersabda yang bermaksud:

Berdoalah kalian kepada Allah dengan keyakinan bahawa doa itu akan diijabahkan Allah, dan ketahuilah bahawasanya Allah tidak menerima doa daripada hati yang lalai dan leka (yakni tiada kesungguhan).”

Bagaimanakah pula dengan perlawanan akhir bola sepak itu? Di manakah kedudukannya di sisi agama kita, Islam yang agung ini? Adakah kedudukannya lebih baik daripada doa akhir tahun dan doa awal tahun itu? Adakah bola sepak pernah disebutkan dalam mana-mana kitab hadis (sama ada yang dhoif ataupun yang maudhuk)?

“Tepuk kepala, tanya akal” jangan “tepuk dada, tanya selera”. Berdoa tidak menyebabkan kita berdosa, menonton bola sepak tidak menyebabkan kita beroleh pahala!

Akhirul kalam, ingatlah akan firman Allah SWT dalam surah At-Taubah, ayat 16:
Dan ingatlah, Allah Maha Mengetahui secara mendalam
akan apa-apa yang kamu kerjakan.”

Monday, December 14, 2009

Sekadar Mengingatkan Orang tentang Bahasa

Saya rasa banyak antara kita yang biasa menemukan dan membaca kertas-kertas iklan yang ditampal pada tiang-tiang dan dinding oleh “pengeluar-pengeluar” ubat-ubatan, khususnya yang berkaitan dengan ubat tenaga batin. Malah, iklan yang sama dapat anda temukan dalam blog-blog tertentu (Internet). Pada iklan itu disertakan perincian tertentu termasuk nama pengedar, nombor telefon yang boleh dihubungi oleh sesiapa yang berhajat untuk mendapatkan ubat-ubatan tersebut, dan sebagainya.

Saya memang tidak tertarik untuk membelinya, apatah lagi untuk menghafal nombor telefon yang tertera itu. Yang menjadi tarikan saya ialah isu yang diiklankan, iaitu UBAT KUAT LELAKI. Sebagai orang yang sangat mementingkan bahasa, ada sedikit gangguan di minda saya untuk memahami ubat itu.

Adakah ubat itu untuk menjadikan lelaki kuat atau perkasa? Kalau demikian, para petani, nelayan, buruh, dan lelaki yang melakukan kerja keras perlu mencuba ubat itu. Isteri saya, tatkala hal ini saya bicarakan dengannya, secara bergurau berkata bahawa ubat kuat lelaki ialah wanita! Saya tersenyum.

Sebenarnya, saya rasa, para “pengeluar ubat” itu mengiklankan sejenis ubat yang bukan bermatlamat untuk menjadikan lelaki kuat seperti Badang atau Samson tetapi untuk memantapkan dan menguatkan kelelakian atau kejantanan para lelaki dalam hal yang berkaitan dengan hubungan seks. Jika pandangan saya ini betul, bermakna ungkapan UBAT KUAT LELAKI itu salah! Yang betul dan benar ialah UBAT KUAT KELELAKIAN (maksudnya ubat untuk menguatkan kelelakian bukan ubat untuk menguatkan lelaki!)

Kalau ungkapan itu digunakan, barulah dapat dihuraikan dengan rinci dan lanjut perihal ubat itu. Misalnya, untuk memulakannya, bolehlah dimulakan dengan kalimat seperti “Anda menghadapi masalah di ranjang? Sekarang tidak lagi kerana kelelakian anda akan kembali pulih dengan ubat ini... dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, berhati-hatilah dengan ubat-ubat ini kerana jika tidak berhati-hati, yang sudah sedia kuat dan mantap akan menjadi sebaliknya manakala yang kurang umph akan menjadi bertambah parah.

Thursday, December 10, 2009

Cerita dalam Berita: Keberanian dan Kewarasan

Satu sumber daripada blogger kita, Albanjari Online (politikbanjar.blogspot.com) yang bersumberkan pula daripada Warta Sungai Rapat (wartasgrapat.blogspot.com dengan tagline “Informasi Sahih Komuniti Anda”) memerihalkan suatu berita yang dalam dunia politik Malaysia, tidaklah mengejutkan sangat. Lain halnya dengan orang-orang yang beriman, hal seperti ini sangat menakutkan!

Menurut sumber-sumber itu, seorang pemandu pemimpin kanan negeri telah ditahan oleh pihak berkuasa agama negeri tatkala dia sedang meneguk arak di sebuah pub bersama-sama dengan rakannya. Sebagai pihak yang diamanahkan dengan kuasa untuk menegakkan yang maaruf dan meruntuhkan yang mungkar, pegawai agama yang bertugas telah membawa pemandu dan rakan-rakannya itu ke pejabat untuk diambil keterangan. Walau bagaimanapun, tiada dakwaan dibuat terhadap pemandu itu disebabkan oleh campur tangan “pihak tertentu”. Maka, bebaslah pemandu itu.

Berdasarkan berita itu (jika sahih), ada tiga bentuk kesongsangan yang dilakukan oleh umat Islam dalam berita itu. Pertama, meneguk arak. Kedua, penyalahgunaan kuasa oleh pihak yang lebih berkuasa yang mengarahkan pembebasan pesalah itu. Ketiga, keakuran pihak berkuasa agama negeri terhadap “arahan” yang jelas menyalahi Islam. Sama-samalah kita berdoa agar kita tidak tergolong dalam golongan yang sedemikian.

Yang lebih menarik ialah, adakah pemimpin kanan terbabit sedar/tahu bahawa pemandunya itu “kaki botol”? Jika pemimpin kanan itu tahu atau telah diberitahu akan hal itu, dan beliau tidak mengambil tindakan, beliau – pada pandangan saya – menghampiri sifat tidak waras. Mengambil pemandu yang “kaki botol” sebagai pemandu mendedahkan dirinya kepada pelbagai risiko. Dengan kata yang lebih mudah, perbuatan itu mengancam keselamatan/nyawanya sendiri. Malah, kalau tenaga pemandu itu digunakan untuk orang lain juga, misalnya untuk ahli keluarganya sendiri, pemimpin kanan itu turut mengancam keselamatan dan nyawa ahli keluarganya sendiri!

Saya teringat akan suatu cerita. Seorang pengurus syarikat hendak berangkat ke luar negara atas urusan perniagaan. Tetapi, sebelum berangkat, beliau telah ditemui oleh pengawal keselamatan (jaga) syarikatnya.

“Saya rasa Tuan tidak usah pergi ke pertemuan itu,” kata pengawal keselamatan itu.

“Mengapa pula?” soal pengurus itu dengan rasa hairan kerana beliau berpendapat tugas menasihati bukan tugas seorang pengawal keselamatan! Beliau meneliti wajah pengawal keselamatan itu; dilihatnya pengawal keselamatan itu begitu bersungguh-sungguh.

“Malam tadi saya telah bermimpi bahawa kapal terbang yang Tuan naiki telah terhempas dan semua penumpangnya maut,” kata pengawal keselamatan itu. Ada riak cemas pada wajah pengawal keselamatan itu.

Perkhabaran yang disampaikan oleh pengawal keselamatan itu telah menyebabkan pengurus itu terkejut. Walaupun tidak meyakini mimpi, tetapi apabila memikirkan kesungguhan pengawal keselamatan itu menemuinya untuk menceritakan hal itu, beliau membatalkan pemergiannya. Ternyata mimpi itu benar – kapal terbang yang sepatutnya dinaikinya telah terhempas. Beliau terselamat oleh mimpi yang mendatangi tidur pengawal keselamatannya, begitulah yang difikirkannya (hakikatnya, ajal maut di tangan Allah SWT).

Keesokannya, pengurus itu menulis sepucuk surat penghargaan, memberikan sedikit wang kepada pengawal keselamatan itu di samping memberinya surat pemecatan dan wang ganti rugi. Hal ini tentulah menghairankan pengawal keselamatan itu.

Apabila pengawal keselamatan itu bertanya “Mengapakah saya Tuan pecat sedangkan saya telah menyelamatkan Tuan melalui mimpi saya?”, pengurus itu berkata, “Pada setiap malam, kamu saya bayar gaji untuk mengawal syarikat ini, bukan untuk tidur!”

Kita berharap agar seorang pemimpin mempunyai pemikiran yang seperti ini. Kita juga berharap agar seorang pemimpin membiarkan orang yang bersalah menerima hukumannya, bukan membebaskannya. Kita juga berharap agar orang yang mempunyai kuasa dalam hal-hal agama mendahulukan “arahan” agamanya bukan arahan manusia walaupun manusia itu seorang Sultan.

Wednesday, December 9, 2009

Antara Husnuzan dengan Amanah: Tanggungjawab Kita Yang Mana Satu?

Cerita ini terbebar ke serata pelosok kampung di negara ini. Seorang anak saudara telah pergi ke Mahkamah Tinggi Syariah untuk mendapatkan perintah interim (sementara) terhadap bapa saudaranya (perintah interim itu berjaya diperolehnya) supaya semua harta bapanya, sama ada yang boleh dipindahkan ataupun yang tidak boleh dipindahkan, dibekukan (sementara) sehinggalah keputusan mahkamah dibuat. Si anak saudara juga telah berjaya mendapat perintah injunksi untuk menghalang bapa saudaranya memindahkan atau melucutkan harta-harta (yang dituntutnya).

Si anak saudara itu bernama Jeffri bin Jaffar manakala si bapa saudara bernama Ahmad Dedol. Harta yang menjadi perebutan itu milik Allahyarham Tan Sri Dato’ Jaffar bin Abdul, ayahanda Jeffri Jaffar dan kakanda Ahmad Dedol. Allahyarham Tan Sri Dato’ Jaffar meninggal dunia pada 1 September 2009 lalu (Al-Fatihah).

Allahyarham Tan Sri Jaffar Abdul

(Sumber gambar: The Malay Mail)

Berapakah jumlah harta yang menjadi “perebutan” itu? RM47. Oh, terlupa untuk meletakkan kata “juta” di hujung RM47 angka itu! Nilai harta yang direbutkan itu ialah RM47 juta! RM47.3 juta, lebih tepatnya.

Mungkin ada yang terbelalak biji mata atau kering tekak apabila melihat angka itu. Tetapi, itulah angka yang dilaporkan oleh pihak akhbar. Di blog-blog, ada nada yang seolah-olah mempertikaikan bagaimanakah tokoh yang bernama Tan Sri Jaffar itu beroleh harta kekayaan sebanyak itu?

Allahyarham ialah mantan Timbalan Ketua Polis Negara. Selepas menamatkan perkhidmatan dalam lapangan kepolisan, banyak organisasi/syarikat yang menagih khidmatnya, khususnya sebagai pengerusi/ahli lembaga pengarah syarikat. Antara syarikat/organisasi yang menagih khidmatnya itu termasuklah Cosway Corporation Berhad, Dutaland Berhad, Yinson Holdings Berhad, Olympia Industries Berhad, Silverstone Corporation Berhad, Parkson Holdings Berhad, dan beberapa buah organisasi/syarikat lain. (Allahyarham tentulah diberi sejumlah imbuhan tertentu semasa menjadi Pengerusi/Ahli Lembaga Pengarah syarikat/organisasi tersebut.)

Dengan imbuhan yang diperoleh daripada khidmat baktinya itu, Allahyarham telah berjaya menumpukkan sekian banyak harta. Antara harta yang telah berjaya ditumpukkannya termasuklah hartanah yang bernilai RM9.7 juta di Muar (nilai sekarang. Semasa dia membelinya hartanah itu, barangkali harganya semurah RM100 000); simpanan di Tabung Haji yang berjumlah RM3.8 juta (mungkin setelah bertahun-tahun menyimpannya dan bertambah oleh dividen tahunan yang diperolehnya); pelaburan dalam Amanah Saham Wawasan yang bernilai RM6.5 juta; pelaburan dalam Amanah Saham Didik dengan nilai RM1.3 juta; simpanan tetap dalam Bank Rakyat yang bernilai RM2 juta; dan tiga simpanan tetap yang bernilai RM1 juta setiap satu di BSN. (Semuanya main juta-juta!)

Dikhabarkan, pada hujung bulan Oktober lalu, Ahmad Dedol, telah memperoleh surat kuasa daripada pihak Mahkamah Tinggi di Muar untuk mengurus harta Allahyarham. Beliau diamanahkan untuk mengenal pasti harta Allahyarham, menyelesaikan hutang-piutang Allahyarham, serta membahagi-bahagikan harta Allahyarham mengikut undang-undang Islam. Dalam hal ini, kita tidak ada apa-apa kepentingan untuk memihak. Hal keluarga haruslah diselesaikan oleh mereka.

Cuma, tentang Allahyarham Tan Sri Dato’ Jaffar ini, saya suka menyarankan pembaca supaya kita sama-sama berhusnuzzan terhadapnya walaupun dalam beberapa hal, ada antara syarikat/organisasi yang menjadi tempat Allahyarham berkhidmat itu menimbulkan kesangsian kita (daripada aspek agama kita, wallahu a‘lam).

Atau, kalau ada keperluan dan keberanian, laporkanlah hal kekayaan Allahyarham itu kepada pihak-pihak tertentu supaya satu siasatan dapat dilakukan. Bakal Ketua Pesuruhjaya SPRM bagaimana?

Monday, December 7, 2009

Janganlah Menunggu Musibah Baru Hendak Menegakkan Islam

Alangkah menariknya suasana ini jika dipraktikkan oleh pihak berkuasa agama di negara kita yang beragamarasmikan Islam ini. Para penguatkuasa agama Islam, dengan rendah hati, ikhlas, dan tawaduk mendekati pelaku-pelaku maksiat lalu mentarbiahi, mengkuliahi, dan mendakwahi mereka, dengan matlamat membetulkan aqidah pelaku-pelaku maksiat ini. Alangkah menariknya, untuk membolehkan para penguatkuasa agama Islam menjalankan tanggungjawab Islamnya, sang penguasa memperlihatkan ketawadukan luar biasa dengan memberikan dukungan dua ratus peratus supaya si penguat kuasa melaksanakan syariat Islam dengan sebenar-benarnya.

Tetapi, pemandangan ini tidak kelihatan di negara yang beragamarasmikan Islam ini. Masing-masing penguatkuasa memiliki kuasa yang berbeza. Polis had kuasanya khusus untuk juzuk-juzuk tertentu sahaj. JPJ tanggungjawabnya lebih kecil. Inspektor kesihatan lagi kecil kuasanya. Pegawai penguat kuasa agama hanya menguatkuasakan agama (tetapi agama Islam di negara ini tidak pernah menjadi kuat di tangan mereka).

Kita menjadi hairan kerana kuasa yang ditetapkan kepada semua penguat kuasa yang saya contohkan itu diasingkan daripada Islam. Tidak bolehkah polis yang besar kuasanya daripada penguat kuasa yang lain menjalankan tugas-tugas tarbiah dan dakwah semasa menahan mana-mana “pesalah”. Atau, pihak penguat kuasa JPJ, dengan pengetahuan Islam yang kuat dan mantap, mentarbiahi pemandu yang memandu secara sembrono dengan nas-nas dan peringatan yang mantap.

Begitulah, alangkah cantiknya keadaan itu jika dapat direalisasikan. Tetapi, kelihatannya keadaan itu akan menyebabkan orang yang mengimpikannya “mati celik” kerana hal itu hampir-hampir tidak mungkin dapat direalisasikan. Semuanya kerana kuasa menegakkan Islam dipisah-pisahkan daripada instutusi penguatkuasaan dan ditambah pula individu penguat kuasa itu sendiri tidak kuasa untuk menjadikan Islam sebagai cara mendidik pesalah laku.

Sedang di Aceh, mulai 1 Disember, rakyatnya yang “bersalah”, misalnya kerana tidak berpakaian seperti yang disyariatkan, sudah mula dikuliahi dengan tuntutan Islam, di samping diperjelas perihal peraturan pakaian mengikut Islam berdasarkan pelaksanaan Peraturan Daerah atau Kanun mengenai syariat Islam. Kuasa pelaksanaan telah diberikan kepada pemerintah daerah yang dengan itu, mereka berkuasa untuk mengenakan tuduhan jenayah kepada kesalahan-kesalahan yang berkait dengan meminum minuman keras, berjudi, berzina, dan mencuri.

Aceh, yang pada kurun ke-15 dan beberapa kurun kemudiannya dikenal dengan julukan “Serambi Mekah”, mungkin akan mendapat julukan yang telah lama hilang itu semula. Apabila undang-undang itu dilaksanakan secara tegas, Aceh bakal menjadi wilayah contoh di Indonesia dan mungkin juga di seluruh rantau Asia Tenggara.

Pelaksanaan ini barangkali ada kaitannya dengan kejadian Tsunami 2004 yang melanda wilayah itu sehingga mengorbankan ratusan ribu nyawa. Tsunami 2004 telah menjadikan para agamawan di wilayah itu lantang mengecam pemerintah Aceh yang tidak menguatkuasakan undang-undang syariah. Mereka yakin bahawa musibah yang didatangkan oleh Allah SWT dengan nama Tsunami itu merupakan pembalasan-Nya. Dengan kata lain, kejadian Tsunami 2004 berkait rapat dengan pengabaian penguatkuasaan syariat Islam oleh pemerintah wilayah Aceh.

Tampaknya, jika kita mengidami suasana yang sudah dimulai di Aceh itu turut dipraktikkan di negara kita, kita juga perlu “menanti” kedatangan musibah yang serupa (Na‘uzubi-Lahi min zalik).

Tetapi, pada hemat saya, kepada semua orang yang “melupakan” syariat Islam di negara ini, marilah kita bermula dengan menguatkuasakan syariat tersebut dalam lingkungan yang kecil dahulu – diri dan keluarga kita.
Janganlah dibiarkan lupa melupakan Islam dari dalam batang tubuh dan jiwa kita.

Patriotik Itu Terzahir Juga Melalui Sokongan

Kalau anda menonton perlawanan akhir badminton Super Series Masters Dunia 2009 yang berlangsung di Stadium Tertutup Johor Bahru semalam, sedikit banyak anda pasti teruja. Saya (sekadar menonton di TV), sebelum kelima-lima perlawanan berlangsung, memang berasa teruja kerana negara kita mempunyai tiga wakil dalam perlawanan akhir. Wong Mew Choo bermain dalam perseorangan wanita, Wong Pei Tye dan Chin Ee Hui dalam beregu wanita, dan Lee Chong Wei dalam perseorangan lelaki. Selepas Wong Mew Choo menang sehingga seterunya, Julianne Schenk (Jerman) sesak dada, kebanggaan itu meluap-luap. Begitu juga selepas gandingan Wong Pei Tye-Chin Ee Hui membenam cabaran pasangan Denmark dan disusuli dengan kemenangan Chong Wei ke atas Park Sung Hwan (Korea).

Sebenarnya, saya lebih tertarik semasa menonton perlawanan akhir beregu campuran antara pasangan Denmark (Christinna Pedersen-Joachim Fischer) yang menentang pasangan India (Jwala Gutta-Diju Valiyaveetil). Permainannya biasa sahaja tetapi aksi selepas perlawananlah yang menariknya. Selepas memenangi perlawanan akhir itu, Christinna Pedersen melemparkan raketnya kepada penonton (sama ada Joachim melakukan hal yang sama atau tidak, tidaklah diketahui kerana jurukamera tidak memfokuskan aksinya tentang perlakuan sedemikian). Penonton gembira bukan kepalang menerima hadiah seperti itu. Christinna kemudiannya berkelakar, seperti hendak membuka bajunya untuk dilemparkan kepada penonton (mujur dia tidak melakukanya).

Jung Jae Sung dan Christinna Pedersen
Kemudian, perlawanan yang menarik perhatian saya ialah perlawanan beregu lelaki yang melibatkan pasangan Korea (Lee Yong-dae-Jung Jae Sung) yang menentang pasangan Denmark (Carsten Megensen-Mathias Boe). Selepas perlawanan, seperti Christinna, Jung Jae Sung turut menghadiahkan raket yang membolehkannya memenangi perlawanan itu kepada penonton. Lebar senyuman penonton yang menerima buah tangan Jae Sung itu.

Saya menonton semua aksi akhir itu, khususnya yang melibatkan pemain Malaysia. Saya gembira kerana seperti yang saya katakan, semua pemain Malaysia menang dalam perlawanan masing-masing. Syabas dan tahniah! Tetapi, tidak seperti Christinna Pedersen dan Jung Jae Sung, tidak ada seorang pun pemain Malaysia yang menghadiahkan raket kepada penonton bagi menghargai sokongan penonton yang tidak berbelah bahagi kepada mereka sepanjang kejohanan itu berlangsung. Tampaknya, pemain asing lebih menghargai penonton dan penyokong di negara ini berbanding dengan pemain negara ini.

Tidak mengapalah orang Johor, lain kali kita sokonglah pemain Denmark dan pemain Korea pula! Tak kan kita sahaja yang perlu patriotik.

Thursday, December 3, 2009

Memahami Slogan Negara

Menjadi bercelaru pandangan saya terhadap kerajaan yang memerintah negara sekarang ini. Slogan yang muluk-muluk yang lahir daripada kepala pemimpin-pemimpin tampaknya hanyalah retorik-retorik yang sifatnya cantik pada sebutan, hodoh pada amalan. Dulu ada slogan “Kepimpinan Melalui Teladan (KMT)”, “Bersih, Cekap, Amanah (BCA)”, dan “Cemerlang, Gemilang, Terbilang (CGT)” dan kini ada yang lebih menarik – “1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” (1MRDPD).

Tentang KMT itu, falsafahnya baik tetapi penghayatan dan amalannya tidak perlulah kita gembar-gemburkan lagi kerana hampir tidak ada pemimpin yang dapat dijadikan teladan. BCA lagilah hampeh. Yang tidak bersih, yang tidak cekap, yang tidak amanah sama banyak dengan yang bersih, cekap, dan amanah (kalau kurang pun, sikit saja nisbahnya; entah-entah lebih!). Kalau tidak, tak kanlah indeks rasuah negara ini sampai mengaibkan negara dan rakyatnya. Tentang CGT, pembaca nilailah sendiri! Pada saya, slogan inilah yang paling kabur kejayaannya.

Sekarang 1MRDPD. Tampaknya, melalui slogan ini, yang didahulukan kepada rakyat ialah BEBAN. Subsidi petrol akan dikaji (akan dimasuhkan?) dan khabarnya akan diberikan kepada golongan yang layak sahaja. Walhal, tahun lalu (November 2008), semasa harga minyak mentah jatuh sehingga AS$55.00 setong, petrol RON97 tetap dijual pada harga RM2.00 sedangkan menurut Menterinya pada waktu itu, harga kos bagi petrol itu ialah RM1.61! Kita, semua pengguna, membayar 39 sen melebihi harga yang sebenarnya (tetapi Menteri Kewangan pada waktu itu menyatakan kerajaan membayar subsidi 30 sen pada bahan ini).

Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan khabarnya akan membincangkan cadangan untuk mengurangkan atau menghapuskan subsidi gula pada peringkat kabinet tidak lama lagi. Sebabnya, peruntukan tahunan untuk mensubsidikan gula bagi keperluan rakyat sangat tinggi – RM720 juta, kata beliau! Selain itu, pemansuhan itu juga perlu bagi “melahirkan rakyat sihat” (anda pergilah ke Tukar Tiub, baca posting CARA RAKYAT DITIPU).

Dan sekarang, hal yang tidak kurang sensitifnya kepada rakyat akan dilaksanakan pula, iaitu Kementerian Pelajaran Malaysia akan mengenakan bayaran tambahan kepada pelajar bagi sesi persekolahan tahun 2010. Menurut Ketua Pengarah Pelajaran, bayaran tambahan itu akan digunakan untuk faedah para pelajar – untuk menampung hal ehwal pentadbiran sekolah dan penambahbaikan beberapa kemudahan yang disediakan. Dikatakan juga bahawa yuran itu nanti akan digunakan sebagai insurans untuk menjayakan aktiviti kurikulum pelajar sepanjang sesi persekolahan. Dan kenyataan yang paling menarik daripada beliau ialah “Bayaran tersebut tidak akan membebankan ibu bapa dan para pelajar”.

Orang yang seperti ini, yang hampir semua aktiviti dan belanjanya dibiaya kerajaan melalui elaun dan pelbagai tuntutan – perbatuan, petrol, parkir, penginapan, dll – tahukah mereka erti beban yang sebenarnya?

[Tiga hal di atas hanyalah sebahagian kecil daripada pelbagai “rancangan” kerajaan untuk membebani rakyat yang sebahagiannya telah dan akan dilaksanakan manakala hanya sebahagian kecil sahaja yang dibatalkan.]

Tuesday, December 1, 2009

Jangan Diremehkan "Amaran" Allah

Banyak orang yang memperkatakan perihal siri gegaran “kecil” yang melanda Kuala Pilah pada hari Ahad dan Isnin lepas. Pihak Jabatan Meteorologi melaporkan gegaran itu berukuran sekitar 3.0 skala Richter. Gegaran yang berpusat di 22 km timur Seremban itu dikategorikan oleh pihak Jabatan Meteorologi sebagai “lemah” dan dengan demikian tidaklah perlu dibimbangi.

Saya tidak berani menggolongkan gegaran itu sebagai gempa bumi walaupun hakikatnya gegaran itu memang ada kaitannya dengan gempa bumi. Hal ini berlaku demikian kerana gempa bumi ialah suatu bentuk musibah yang tidak dapat hendak kita bayangkan kedahsyatannya. Ya, kita boleh membayangkannya melalui gambar yang kita lihat tetapi gambar tidak menceritakan perasaan yang dilalui oleh orang yang mengalaminya.

Dalam hal ini, jika Allah SWT menghendaki gegaran itu menjadi kuat dan kekuatan itu ditakdirkan melanda Kuala Pilah, saya fikir, impaknya tidaklah “besar” dan “teruk”. Hal ini demikian kerana Kuala Pilah tidak menempatkan bangunan pencakar langit, jejantas dan jejambat, trek dan rel LRT, dan sebagainya. (Walau bagaimanapun, trauma yang dihadapi penduduknya, seperti yang saya katakan tadi, tidak dapat kita bayangkan.)

Tetapi, seandainya ditakdirkan gegaran “kuat” itu melampaui Kuala Pilah sehingga ke Kuala Lumpur, apakah yang dapat kita bayangkan? Kuala Lumpur dan sekitarnya yang sesetengahnya merupakan bekas kawasan lombong, pada pandangan saya, tidak kuat struktur buminya berbanding dengan Kuala Pilah. Kuala Lumpur dengan bangunan pencakar langit serta jejantas dan jejambat yang bersimpang-siur, terowong-terowong dan sebagainya, pada pandangan saya, akan menanggung impak yang bukan sedikit. Kuala Lumpur akan musnah. Kuala Lumpur akan lumpuh.

Jadi, sebenarnya kita perlu berasa bimbang akan kejadian yang berbentuk “amaran” itu. Tanda yang kecil sedemikian tidak boleh kita remehkan. Kita perlu memikirkan akibatnya supaya ada rasa takut dalam hati kita terhadap “amaran” Allah itu. Apabila tumbuh rasa takut dalam hati kita, kita akan tambah mengakui kebesaran Allah Yang Esa. Hal ini, secara perlahan-lahan, akan menghidupkan ketaqwaan dalam diri kita.

Gegaran itu mungkin “amaran” langsung daripada Allah SWT kepada kita supaya kita ingat, sedar, dan berfikir. Hal ini dilakukan-Nya mungkin disebabkan kita tidak mengendahkan “amaran” yang diberikannya kepada umat manusia melalui beberapa surah yang termuat dalam Al-Quran yang suci itu. Seharusnya, siri gegaran itu “mencelikkan” mata, hati, dan perasaan kita. Kembalilah ke jalannya yang lurus. Janganlah sekadar berdoa supaya kita terhindar daripada malapetaka yang diakibatkan oleh gegaran itu, tetapi berdoalah juga agar Allah SWT menjadikan kita terus istiqomah melakukan suruhan-Nya dan dalam masa yang sama meninggalkan perbuatan yang dilarangnya, terus kekal dalam agamanya, dan terus menjadi orang yang mengimani rukun-rukun iman itu.

Monday, November 30, 2009

Mengapakah Harga Rumah Dimahalkan?

Saya berasa agak hairan dengan senario ini. Lot-lot rumah kediaman dan lot-lot rumah kedai dijual dengan harga “potong kepala” oleh pihak pemaju. Rumah tiga tingkat di bandar-bandar pinggir KL sudah mencecah angka RM700,000-RM800,000 seunit (di kawasan Subang dan Damansara mungkin lebih tinggi daripada itu). Rumah itu dapat disiapkan sepenuhnya mengikut jadual. Tidak ada pula rumah (projek) yang terbengkalai walaupun sehingga siap dibina, masih ada rumah yang belum terjual. Bagaimanakah boleh berlaku demikian?

Lalu saya pun berandaian, jika satu projek perumahan tiga tingkat itu menyediakan 200 unit rumah, dan dijual pada harga RM750,000 seunit, sedangkan kos pembinaan mungkin sekitar 30%-40% daripada harga rumah, mereka tidak perlu bimbang sekiranya masih ada 20 atau 30 unit rumah yang masih belum terjual. 170-180 buah unit yang terjual sudah lebih daripada untung. Oleh sebab itulah pembinaan rumah tersebut tidak terbengkalai. Itulah fikiran saya.

Kemudian saya berandaian, mengapakah harganya sedemikian tinggi? RM700,000-RM800,000 untuk seunit rumah tiga tingkat di Kajang, misalnya, pada pandangan saya sangat mahal. Saya kemudian berprasangka, adakah peletakan harga yang sedemikian mahal merupakan salah satu cara untuk menafikan orang Bumiputera daripada menempati kawasan “elit” itu (berbanding kaum lain, kaum Cina terutamanya, kaum Bumiputera rata-rata tidak berkemampuan untuk memiliki rumah dengan harga yang sebegitu tinggi). Dengan itu, dengan mudah orang bukan Bumiputera menjadi majoriti di kawasan strategik. Saya berandaian.

Ada kawan mengkhabarkan bahawa dalam suatu kes, brosur, leaflet, dan apa-apa yang berkaitan dengan sesuatu projek perumahan di kawasan strategik diedarkan kepada penduduk di kawasan-kawasan tertentu (majoriti Melayu) selepas beberapa hari atau minggu rumah dan kedai baharu dilancarkan dan pada waktu itu kebanyakan unit sudah habis ditempah. Sebagai contohnya, pelancaran rumah kediaman atau rumah kedai berlangsung pada 22 Disember 2009 tetapi brosur, leaflet, dan apa-apa yang berkaitan dengan sesuatu projek perumahan baharu hanya diedarkan kepada penduduk sebulan selepas pelancaran tersebut. Sebagai hasil daripada “kerja” ini, banyak orang yang berkemampuan tidak sempat membeli unit idaman mereka. Menurut kata rakan saya itu lagi, ada pemaju yang menjual lot Bumiputera kepada bukan Bumiputera kerana kononnya tidak ada Bumiputera yang hendak membeli lot-lot yang dikhaskan untuk mereka.

Jika semua keadaan ini benar, kita perlu memikirkan mengapakah hal itu dilakukan demikian? Disengajakankah atau memang kos pembinaan rumah terlalu mahal?

Thursday, November 26, 2009

Ibadah Qurban dan Kita: Orang Sering Beralasan

Ibadah qurban suatu tuntutan yang “disunatmuakkadkan” dalam agama kita yang benar dan suci ini – ISLAM. Amalan ini telah berlangsung zaman-berzaman, setelah berlakunya peristiwa “penyembelihan” Nabi Ismail AS oleh ayahandanya Nabi Ibrahim AS sebagai menunaikan titah perintah Allah SWT.

Peristiwa “simbolik” itu merupakan suatu bentuk ujian daripada Allah SWT kepada hamba-Nya – Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS – yang jelas sukar untuk dilaksanakan oleh mana-mana insan di muka bumi ini sekiranya tidak dibaluti iman di dalam jiwa dan raganya. Kesediaan kedua-dua insan itu mengorbankan kasih sayang masing-masing telah dibalas dengan limpahan kasih sayang yang Maha Luas oleh Allah SWT melalui keajaiban dan kebesaran-Nya – Nabi Ismail yang hendak disembelih itu telah ditukar oleh Allah SWT dengan sejenis haiwan.

Demikianlah kita mendengar kisah qurban ini semenjak kita kecil sehinggalah saat ini. Alhamdulillah, kita tidak pernah jemu dan jelak mendengarnya apatah lagi hendak menidakkan kebenaran dan keajaiban yang diperlihatkan Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang terpilih itu.

Tetapi, adakah kita sebahagian daripada insan yang mencontoh pengorbanan kedua-dua Nabi Allah itu walaupun tanpa perlu mengorbankan anak kita bagi melaksanakan ibadah sunat itu. Kita hanya disarankan mengorbankan haiwan-haiwan seperti unta, lembu, kerbau, kambing, biri-biri, dan yang seumpa dengannya. Itu sahaja!

Walaupun itu sahaja yang diperintahkan kepada kita, namun masih banyak insan yang masih menabur 1001 alasan untuk mengelakkan diri masing-masing daripada melaksanakannya. Alasan yang paling lazim diberikan oleh insan-insan ini ialah ibadah ini hanya ibadah sunat, maka tidak perlulah kita mengutamakan dan mendahulukannya. Alasan kedua yang paling lazim dikumandangkan ialah ketidakmampuan daripada segi kewangan.

Banyak insan yang menerima alasan ini. Walau bagaimanapun, perihal sunat dan tidak mampu itu perlu difikir-fikirkan dengan wajar dan waras. Sunat muakkad bermaksud kita diberatkan untuk melaksanakannya. Tidak mampu alasan yang sangat nipis!

Banyak kalangan orang Islam yang merokok walaupun harga rokok sudah melebihi RM5.00 sekotak. Merokok langsung tidak disunatkan dalam Islam, malah makruh dan ada yang menggolongkannya sebagai haram. Oleh itu, kalau yang tidak sunat (makruh dan haram) dapat kita lakukan, seharusnya yang sunat muakkad lebih-lebih lagi dapat kita dahulukan. Dan, kalau sehari perokok menghabiskan sekotak rokok, hal ini bermakna mereka telah menghabiskan RM150.00 sebulan yang kalau dicampurkan untuk tempoh setahun, mereka telah menghabiskan RM1800.00! Fikirkan dengan wajar dan waras, kalau RM1800.00 mampu dibelanjakan untuk yang bukan sunat, bermakna kita mampu untuk melaksanakan ibadah qurban. Jadi, perihal sunat dan tidak mampu bukan alasan untuk kita meninggalkan ibadah qurban ini.

Kebanyakan kita juga memiliki kenderaan. Alasan yang mewajarkan kita untuk memiliki kenderaan ialah kenderaan suatu keperluan. Hal ini memang benar. Tetapi, anehnya, banyak insan yang sanggup berhabis demi kenderaan mereka. Ada yang menukar rim sport, menukar sistem hi-fi radio, menambah aksesori, dan sebagainya lagi. Sesetengahnya menempah pula nombor plat khas, sama ada satu digit, dua digit, nombor berkembar, dan sebagainya yang kesemuanya memerlukan wang. Yang lain pula memiliki lebih daripada satu kenderaan, satu untuk ke tempat kerja dan satu lagi untuk ke pasar. Jadi, fikirkanlah dengan wajar dan waras, menukar sport rim, sistem hi-fi, aksesori dan sebagainya untuk kenderaan bukan sunat. Memiliki nombor kenderaan yang “cantik” juga bukan sunat. Memiliki lebih daripada satu kenderaan juga bukan sunat. Dengan yang demikian juga, alasan tidak mampu tidak dapat diguna pakai untuk meninggalkan ibadah qurban ini kerana hakikatnya, banyak yang mampu untuk melakukannya.

Tidak cukup dengan hal itu, banyak orang yang memiliki telefon bimbit yang canggih-manggih, sesetengahnya ada yang menjadikannya sebagai koleksi. Dan, bukan sedikit jumlahnya insan yang bergaji RM750.00-1000.00 sebulan memiliki telefon bimbit canggih yang mencecah harga RM1500.00! Sunatkah memiliki telefon bimbit sedemikian sedangkan kegunaan utamanya hanyalah untuk berbual dan berSMS? Kalau dengan gaji RM1000.00 kita mampu untuk memiliki telefon berharga RM1500.00, seharusnya kita mampu untuk mengenyampingkan RM380.00 untuk satu bahagian dalam ibadah qurban sekurang-kurangnya.

Begitu juga, banyak orang yang melengkapkan kehidupan mereka dengan televisyen berbayar. Kalau di negara ini, televisyen berbayar ini dikendalikan oleh pihak ASTRO. Oleh sebab namanya pun televisyen berbayar, maka orang yang melanggani kemudahan ini akan dikenakan bayaran tertentu, antara RM37.95-RM131.95 sebulan. Melanggan ASTRO bukan sunat, apatah lagi sunat muakkad. Oleh sebab bukan sunat, kita tidak perlu melangganinya. Tanpa melanggan ASTRO, kita sekurang-kurangnya dapat menyimpan RM455.40 setahun! Jumlah itu, pada pandangan saya, cukup untuk kita membeli seekor kambing untuk dijadikan haiwan qurban.

Allah SWT akan bertanya kepada kita tentang amalan kita. Antara lain, Dia akan bertanya, ke manakah kita salurkan rezeki yang diberikan-Nya. Tidak mengapalah kalau kita menjawab bahawa rezeki itu antara lainnya kita salurkan kepada kereta, telefon bimbit, ASTRO, dan sebagainya setelah kita menyalurkan sebahagian besar rezeki itu dengan berjihad di jalan Allah, termasuklah melaksanakan ibadah qurban! Tetapi, kalau kita menjawab sebahagian besar rezeki itu kita gunakan untuk rokok, kereta, telefon bimbit, ASTRO, dan sebagainya dan mengenyampingkan ibadah sunat dan wajib, kita telah tergolong sebagai orang yang menzalimi diri kita sendiri.

Sebagai tambahan, sama-samalah kita hayati ancaman yang disuarakan oleh Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad SAW terhadap orang yang mampu untuk melakukan qurban tetapi mengabaikannya:

Daripada Abu Hurairah RA katanya, Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa yang ada kemampuan untuk berqurban tetapi tidak melakukannya, janganlah dia hadir bersama kami di tempat solat kami”.

Sebagai tambahan, hayatilah dalili-dalil ini:
  1. Firman Allah SWT dalam surah Al-Kautsar, ayat 2 yang bermaksud:
    Maka kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah qurban sebagai bersyukur.
  2. Firman Allah SWT dalam surah surah Al-Haj, ayat 37 yang bermaksud:
    Daging dan darah binatang qurban atau hadiah tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas berdasarkan taqwa daripada kamu.
  3. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Tirmidzi, maksudnya:
    Aku diperintahkan dengan menyembelih qurban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu.
  4. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Tobrani, maksudnya:
    Wahai manusia, sembelihlah qurban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah qurban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla.
  5. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Tirmidzi, maksudnya:
    Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai oleh Allah Taala daripada menumpahkan darah (menyembelih qurban). Bahawa qurban itu datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya, dan kuku-kukunya. Sesungguhnya, darah qurban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat qurban itu dengan hati yang bersih.

(Posting ini sebenarnya untuk menasihati diri dan keluarga saya sendiri serta orang-orang yang berfikiran terbuka. Sebahagian isinya saya olah semula daripada ceramah yang tersiar dalam rancangan “Suara Mimbar” di radio FM100.9. Dalil-dalil al-Quran dan Hadis diperoleh daripada Al-Azim.com. Sama-samalah kita mengambil manfaatnya.)

Tuesday, November 24, 2009

Tua Sebelum Waktunya

Kemiskinan menyebabkan seseorang itu menjadi tua sebelum waktunya. Perlukah hal ini dibuktikan melalui kajian ilmiah? Rasanya tidak perlu kerana hakikat ini pernah kita lihat, malah masih dapat kita lihat hingga sekarang, di sekeliling kita.

Dalam memperkatakan hal ini, seorang insan yang ada hubungan kekeluargaan dengan saya ingin saya jadikan contoh terbaik. Semasa zaman kanak-kanak, insan yang saya maksudkan itu jauh lebih mewah daripada saya. Dia dapat menunggang basikal Raleigh sedangkan saya sekadar berjalan kaki. Dia memakai baju yang berseterika, sedang saya cukup puas hati kalau dapat memakai baju putih berkedut yang tidak bertampal. Dengan kata yang lebih mudah, perbedaan kami seperti langit dengan bumi. (Insan yang saya maksudkan itu dipelihara oleh saudara angkatnya, yang juga ada bau-bau bacang dengan kami.)

Saya, khususnya adik kedua saya, agak nakal dan ligat berbanding dengan insan yang saya maksudkan itu. Insan itu berada berada di bawah ketiak saudara angkatnya sehingga pada satu ketika kami seperti ditegah bergaul tetapi demikian ditegah, kami tetap bergaul kerana hubungan persaudaraan tidak mungkin dapat dipisahkan.

Selepas melewati alam persekolahan pada peringkat menengah, kami terpisah, betul-betul terpisah. (Dia berkahwin awal, seawal usia sembilan belas tahun kalau tidak silap saya). Khabar tentang dirinya, selepas itu, hanya saya dengar daripada abangnya. Setiap kali saya mendengar khabartentang dirinya, saya cukup puas hati dan bersyukur – kerana tahu bahawa dia masih bernyawa.

Sehinggalah tiga atau empat tahun lalu, saya kembali bertemu dengannya apabila dia kembali ke daerah saya. Selepas lebih dua puluh tahun terpisah, saya mendapati dia kelihatan amat tua daripada usianya (dia lebih muda dua tahun daripada saya). Giginya hampir keseluruhannya sudah luruh, kepalanya dapat dikatakan botak, jambangnya memutih. Saya tidak tergamak untuk bertanya akan nasib yang menimpa dirinya pada waktu pertama kali bertemu dengannya itu. Yang pasti, saya sangat insaf pada waktu itu! Kehidupan ini betul-betul seperti roda.

Melalui bapa saya, saya mendapat tahu bahawa dia sekarang bekerja sebagai tukang kebun dan menumpang tinggal di tanah orang (sekarang sudah memiliki rumah sendiri daripada PPRT). Hidupnya dikatakan sangat miskin.

Perihal dirinya terlihat terlalu tua daripada usianya itu dapat saya buktikan melalui cerita insan yang saya maksudkan itu sendiri (cerita ini agak lucu, tetapi itulah hakikat yang terpaksa ditelannya).

Pada suatu hari, dia pergi ke Hari Terbuka sekolah menengah anaknya. Tanpa diduganya, guru kelas yang akan menerangkan perihal pencapaian anaknya (guru kelas anaknya) ialah bekas gurunya semasa dia bersekolah menengah dahulu (dia tidak dapat mengingat subjek yang diajarkan oleh guru itu dahulu).

Apabila tiba giliran dia dan anaknya, kedua-dua beranak itu pergi ke meja guru tersebut. Dia menghadap guru itu tanpa memperkenalkan dirinya (kerana menginsafi dirinya, saya rasa). Menurut ceritanya lagi, sepanjang sesi penjelasan itu, guru yang ternyata lebih tua daripadanya sekitar tiga atau empat tahun itu dengan konsisten memanggilnya dengan panggilan “pak cik” walhal insan yang dipanggilnya “pak cik” itu ialah anak muridnya dahulu. Dan insan itu tidak sedikit pun hendak membetulkan keadaan itu, malah terasa lucu apabila dipanggil demikian. Memang pun, kata insan yang saya maksudkan itu, guru itu kelihatan jauh lebih muda daripada dirinya.

Daripada peristiwa itu, jelas bahawa kemiskinan memang menyebabkan seseorang itu menjadi tua sebelum waktunya – kerana orang miskin perlu memaksa fizikalnya untuk mencari rezeki bagi menyara keluarganya sehingga terpaksa pula melupakan nikmat rehat; kerana otak orang miskin terlalu memikirkan masalah sepanjang tidurnya – tentang rumah yang tidak sempurna, tentang keluarga yang perlu diberi makan, tentang persekolahan anak-anak, tentang keperluan isteri yang tidak tertunai, dan sebagainya lagi.

Tetapi, sebagai bandingan, guru pengajian al-Quran saya dahulu (yang sudah melewati usia 70 tahun) tergolong sebagai “miskin” juga, tetapi ketuaan wajahnya sepadan dengan usianya, malah wajahnya kelihatan berseri!

Apakah yang dapat disimpulkan daripada dua hakikat ini? Anda pasti dapat menjawabnya.

Setiap Sesuatu Itu Ada Baik dan Buruknya tetapi yang Baiknya Rakyat Harus Diutamakan

Saya tidak pasti adakah pengalaman ini dipercayai ataupun sebaliknya, tetapi inilah pengalaman saya. Saya bukan hendak mencerca atau mempromosikan produk ini tetapi saya hanya hendak berkongsi pengalaman.

Sejak kerajaan memperkenalkan petrol RON95 untuk kenderaan, itulah pilihan saya kerana hanya RON95lah yang murah untuk saya. Semasa mula-mula menggunakannya, ada rasa sangsi dalam hati saya. Kesangsian itu bertambah apabila pihak kerajaan telah “mempersendakan” rakyat dengan menetapkan harga RON95 pada harga RM1.80 seliter walhal sebelumnya dikatakan akan dijual di bawah harga tersebut.

Jelas, kesangsian itu berasas. Kini, bunyi enjin kereta saya agak kasar. Saya bertanya kepada rakan saya yang bekerja di sebuah syarikat petroleum ternama tentang hal ini. Beliau mengakui hal ini disebabkan oleh petrol RON95 yang saya gunakan. Saya kurang jelas akan hal ini kerana tidak tahu bagaimanakah proses pembakaran bahan api ini (RON95) dalam kenderaan berlaku berbanding dengan RON97 yang menjadi pujaan saya dahulu.

Walau bagaimanapun, sejak saya menggunakan RON95 daripada stesen yang sama, saya dapati jarak perbatuan kenderaan saya meningkat. Jika dahulu, satu tangki penuh RON97 yang saya gunakan hanya dapat mencapai jarak sekitar 480-500 km, kini jarak tersebut boleh mencecah sehingga 530 km! Saya tidak percaya pada mulanya tetapi setelah dua tiga kali saya membuat setting jarak perbatuan pada speedometer saya, sah jarak baharu yang saya dapati adalah sekitar 520-530 km! (Biasanya, satu tangki penuh bermuat sekitar 34 liter. Hal ini bermakna, seliter petrol mencapai jarak kira-kira 15 km.) Bolehlah!

Benarlah, setiap sesuatu itu ada buruk dan baiknya. Tetapi, kalau rakyat betul-betul hendak diutamakan, harga petrol itu wajar diturunkan. Harga yang mahal menganiaya rakyat. Rakyat sekarang sentiasa berasa teraniaya, dan mereka sudah pandai bertindak. Kerajaan sekarang tidak mahu majoriti dua pertigakah?

Wednesday, November 18, 2009

Inilah yang Kita Ada: Sabar Sajalah...

Dalam kalangan pengguna, khususnya para editor buku-buku pelajaran seperti kami yang dahaga akan maklumat daripada kerajaan, hal ini sudah lama kami sungutkan. Saya yakin bahawa bukan para editor seperti kami sahaja yang “merungut”, tetapi para pengguna daripada sektor lain juga. Hal ini demikian kerana banyak maklumat, data, fakta, dan input yang kami inginkan tidak kami peroleh atau jika diperoleh pun sesetengahnya bukanlah yang terkini sedangkan semua itu sangat kami perlukan untuk mengetahui data yang tepat dan benar.

Sungutan kami itu akhirnya “terdedah” juga ke muka umum apabila oleh Y.Bhg Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan sendiri mendedahkannya. Menurut beliau, hanya 7 laman web atau 0.65% daripada 1 192 portal dan laman web kendalian kementerian serta agensi kerajaan yang disenaraikan memperoleh penilaian lima bintang oleh pihak Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDEC). Angka ini sangat kecil berbanding dengan jumlah keseluruhan portal dan laman web kerajaan yang ada.

Laman-laman web yang mendapat pengiktirafan lima bintang itu ialah laman web kendalian Kementerian Kewangan, Pejabat Perdana Menteri, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pejabat Kerajaan Negeri Selangor, dan portal myGovernment.

Oleh itu, Y. Bhg KSU meminta semua ketua jabatan “melakukan sesuatu” bagi memulihkan imej mereka dan seterusnya mendapatkan keyakinan rakyat semula.

“Saya harap hasil laporan MDEC ini diambil serius oleh mereka yang berkenaan dan saya tidak mahu mengeluarkan apa-apa arahan memandangkan mereka ini bukannya golongan tidak cerdik, jadi sepatutnya mereka faham sendiri tentang tanggungjawab mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar “Perubahan 1Pengurusan Perkhidmatan Kerajaan dalam Talian: Amalan Utama untuk Berubah” di Kuala Lumpur.

“Hasil laporan itu juga sebenarnya satu cabaran kepada mereka (kerana) jika tujuh laman web ini boleh mendapat penilaian lima bintang, jadi kenapa selebihnya tidak boleh mendapatkan pengiktirafan sama,” katanya.

Tan Sri Mohd. Sidek berharap agar kementerian dan agensi yang belum mencapai tahap yang membanggakan itu mencari jalan untuk menambah baik kandungan laman web kendalian mereka.

ULASAN SAYA
  • Teknologi maklumat dan komunikasi sangat pesat perkembangannya. Namun, apabila kita menjengah sesetengah portal dan laman web kementerian dan agensi kerajaan tertentu, “kemeriahan” yang terhasil daripada perkembangan ini hampir tidak wujud langsung. Kesimpulan yang dapat dibuat daripada keadaan ini ialah pihak-pihak yang terbabit tidak peka dan sambil lewa terhadap perkembangan ini. Mungkin memikirkan teman dan tempat untuk bermain golf bagi mendapat kepuasan yang palsu itu lebih penting daripada memikirkan kepuasan yang dapat diperoleh rakyat daripada usaha mereka memeriahkan laman web dan portal kementerian dan agensi yang dipimpin mereka.
  • Kurangnya portal dan laman web kementerian dan agensi kerajaan yang tersenarai sebagai bertaral lima bintang “menggambarkan” bahawa kementerian-kementerian dan agensi-agensi terbabit tidak menyalurkan peruntukan yang sewajarnya untuk memeriahkan portal dan laman web mereka. Jadi, ke manakah perginya peruntukan itu?
  • Kurangnya portal dan laman web kementerian dan agensi kerajaan tertentu yang tersenarai sebagai bertaral lima bintang juga “menggambarkan” bahawa para petugas yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan portal dan laman web tertentu telah tidak melaksanakan tanggungjawab mereka, tidak kreatif, tidak inovatif, dan tidak informatif. Dengan kata yang lebih tepat, mereka malas, cuai, dan culas.

Inilah yang kita ada. Kalau tidak, tak kanlah Y. Bhg Tan Sri KSU sampai berkata, “Saya harap hasil laporan MDEC ini diambil serius oleh mereka yang berkenaan dan saya tidak mahu mengeluarkan apa-apa arahan memandangkan mereka ini bukannya golongan tidak cerdik, jadi sepatutnya mereka faham sendiri tentang tanggungjawab mereka.”

Tuesday, November 17, 2009

Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin: Tamparan kepada SPR

DUN Kota Siputeh kosong. Itulah keputusan yang dibuat oleh Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin. Keputusan itu dibuat setelah Datuk Abu Hassan Sarif, wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat kawasan itu, tidak menghadiri dua persidangan DUN pada tahun ini (19 April 2009 dan 16 Ogos 2009).

Dalam keputusannya itu, Hakim Alizatul menegaskan bahawa SPR telah bertindak di luar batas kuasanya apabila menolak permohonan Speaker DUN Kedah (Datuk Dr. Abdul Isa Ismail) agar diadakan pilihan raya semula di situ – SPR mengisytiharkan kerusi DUN Kota Siputeh tidak kosong dan Datuk Abu Hassan masih merupakan wakil rakyat bagi kawasan itu.

[Kepada yang kurang arif di manakah letaknya Kota Siputeh ini, janganlah terkeliru dengan Seputeh yang terletak di Kuala Lumpur itu. Kota Seputeh letaknya di Kedah Darul Aman. Seputeh di Kuala Lumpur merupakan kawasan Parlimen. Wakilnya sekarang ialah Teressa Kok Suh Kim daripada parti DAP. Kota Siputeh pula merupakan Dewan Undangan Negeri. Wakilnya ialah orang dari Barisan Nasional yang ponteng dua persidangan itulah.]

Natijah daripada keputusan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seperti yang dikatakan oleh Timbalan Pengerusinya – Datuk Wan Ahmad Wan Omar – akan meminta nasihat Peguam Negara.

“Kita mahu lihat sama ada SPR mempunyai ruang untuk merayu kes itu kepada pihak yang lebih tinggi (Mahkamah Rayuan),” kata Datuk Wan Ahmad.

[Untuk pengetahuan semua, kes seperti ini merupakan yang pertama berlaku dalam sejarah negara!]

Kita lihatlah hasil rayuan yang khabarnya akan diketahui pada 20 November ini nanti. Jika keputusan Mahkamah Tinggi itu diterima dan dianggap sebagai sah, ada beberapa ketempangan yang mencolok mata dapat kita lihat daripada kes ini.

Yang pertama, adanya unsur “keangkuhan” dalam diri wakil rakyat tersebut sehingga dia berasa tidak perlu untuk memaklumkan ketidakhadirannya kepada Speaker DUN. Daripada aspek lain, perbuatannya itu juga menampakkan “ketidakcerdikan”nya dalam memahami peruntukan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah.

Ketempangan yang kedua ialah ketidakcerdikan SPR dalam memahami undang-undang yang melibatkan hal-hal seperti ini – Artikel 51 Undang Undang Tubuh Kerajaan Kedah menyebut bahawa “sekiranya mana-mana anggota Dewan Undangan Negeri tidak menghadiri dua sidang berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, kerusi mereka seharusnya dianggap kosong. Daripada aspek lain, keputusan itu menampakkan SPR tidak telus kerana mempertahankan calon BN dalam kes ini sehingga Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin berkata SPR telah melanggar sempadan kuasanya apabila menolak permohonan Speaker DUN Kedah agar diadakan pilihan raya semula di situ.

Ketempangan yang paling mengaibkan ialah kegagalan Tan Sri Muhyiddin memahami kuasa Speaker yang berhak melarang mana-mana wakil rakyat yang melangar Undang-undang Tubuh Negeri Kedah daripada menghadiri persidangan.

Dalam hal ini, Tan Sri Muhyiddin mengarahkan Abu Hasan terus menghadiri sidang DUN negeri itu. Menurut beliau, walaupun Speaker menganggap wakil rakyat itu hilang kelayakan sebagai ADUN, namun BN memegang prinsip apa-apa yang diputuskan oleh SPR bahawa tiada berlaku kekosongan kerusi DUN Kota Seputeh dan Abu Hasan adalah wakil rakyat BN yang sah.

“Abu Hasan masih Ahli Yang Berhormat secara sah dan Speaker (DUN) tidak boleh menghalang beliau daripada menghadiri sidang dewan itu. SPR umum tiada kekosongan dan tidak ada pilihan raya kecil, jadi apa kuasa Speaker itu saya tak tahu.”

Kita tunggulah keputusan yang sahih tentang kes ini (sudah sahih pun sebenarnya tetapi undang-undang negara membenarkan rayuan dibuat terhadap sesuatu keputusan). Kalau keputusan yang dibuat oleh Yang Arif Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin ini diterima, sekali lagi akan ada pilihan raya kecil.

[INFORMASI TAMBAHAN: Datuk Abu Hassan Sarif sudah dua penggal menjadi wakil rakyat di DUN Kota Siputeh ini (sejak 2004). Pada PRU 2008 yang lalu, dia berjaya menjadi wakil rayat setelah mengalahkan calon PAS, Ismail Wan Teh dengan majoriti 495 undi (8 160 – 7 665). Pada PRU 2004 pula, dia menang dengan majoriti 1 573 setelah menewaskan calon PAS, iaitu Abdul Wahab Rahman (8 614 – 7 041).]

Friday, November 13, 2009

Ular Sawa Albino Jangan Disangka Tidak Membelit

Cerita ini cerita benar (berdasarkan yang tersiarlah). Saya membacanya di dalam akhbar, mungkin sepuluh tahun atau lebih lama daripada itu – 15-20 tahun dulu agaknya. Walaupun lama, namun cerita yang saya baca itu masih saya ingat benar kerana saya pada waktu itu memang meminati ruangan yang berkaitan dengan kemusykilan agama dan yang berkaitan dengan luahan hati pembaca akhbar itu.

Cerita ini perihal diri seorang gadis (pada waktu itulah; semoga kini dia sudahpun bergelar isteri dan ibu serta berjaya dalam hidupnya). Dia pelajar universiti. Dalam tulisannya lewat akhbar itu, dia menceritakan suatu peristiwa yang menimpa dirinya (yang ini saya kurang ingat, sama ada peristiwa itu menimpa dirinya semasa dia bergelar pelajar sekolah menengah atau sudah bergelar mahasiswi atau mungkin juga di dalam ceritanya itu dia tidak menyebut hal ini). Peristiwa yang menimpa dirinya itu menimbulkan trauma yang bukan kecil kesannya kepada dirinya. Dan, dia meminta pembaca menjadikan ceritanya itu sebagai iktibar.

Gadis itu tinggal dengan neneknya (maaf, sekali lagi saya kurang ingat sama ada bapa saudaranya tinggal di rumah yang sama atau mungkin di dalam ceritanya itu gadis itu tidak menyebut hal ini). Pada suatu hari, dia ditinggalkan bersendirian oleh neneknya yang pergi ke kedai runcit di kampungnya untuk membeli barangan keperluan. Kebetulan pada waktu itu cuaca mendung dan kemudiannya hujan turun mencurah-curah.

Dalam keadaan hujan lebat itu, bapa saudaranya pulang (datang?). Bapa saudaranya menyapanya lalu segera naik ke rumah.

“Eh, mengapa kaubiarkan tingkap rumah terbuka? Hujan lebat ni, tempias masuk nanti habis basah lantai dan tikar!” Begitu lebih kurang dia berkata kepada gadis itu. Gadis itu tidak berkata apa-apa dan membiarkan bapa saudaranya menutup tingkap-tingkap rumah itu. Rasa curiga tidak timbul dalam hati gadis itu kerana lelaki itu bapa saudaranya sendiri di samping bapa saudaranya itu memiliki ciri-ciri yang tidak memungkinkan dia untuk mencurigainya.

Tetapi ketidakcurigaan itu jelas tidak berasas. Apabila semua tingkap serta pintu ditutup, bapa saudaranya merapatinya dan kemudian melakukan perbuatan yang selama ini ditakuti oleh kebanyakan gadis. Dia diperkosa dan pemerkosanya ialah bapa saudaranya sendiri!

Bapa saudaranya dapat melampiaskan nafsunya dengan mudah kerana gadis itu hanya berkain batik dan t-shirt tanpa memakai pakaian dalam (maaf!) kerana dia memang biasa tidak memakainya semasa sedang berada di rumah. Jeritan tidak memberikan makna apa-apa di tengah-tengah hujan lebat itu dan neneknya pasti tidak dapat pulang untuk membantunya kerana terperangkap dalam hujan lebat di kedai.

Biasalah, selepas melakukan perbuatan terkutuk seperti itu, ugutan akan diungkapkan dan seperti biasa gadis yang menjadi mangsa akan merahsiakannya, bukan kerana ugutan itu sebenarnya tetapi kerana hendak menutup aib diri – mereka telah ditebuk tupai! (bagi diri gadis itu, ada sebab lain yang tidak memungkinkan dia untuk menceritakannya kepada orang lain, termasuk kepada neneknya sendiri.)

Yang hendak diketengahkan oleh gadis itu dalam ceritanya bukanlah perihal nasib malang yang menimpa dirinya semata-mata tetapi tentang diri si pemerkosa itu juga – kebetulan bapa saudaranya sendiri. Di kampung itu, bapa saudaranya yang belum berkahwin itu dikenali sebagai lelaki lembut, di kampung orang biasanya akan memanggil lelaki seperti ini sebagai pondan (maaf!). Bapa saudaranya itu serba-serbinya lembut – dari gerak-gerinya hinggalah kepada tutur katanya, malah dia lebih cenderung untuk melakukan kerja-kerja yang lazimnya dilakukan oleh wanita!

Jadi, apabila tragedi hitam itu menimpanya, dia keliru! Bapa saudara tergamak untuk merosakkan masa depan anak saudara sendiri dan yang lebih mengelirukan gadis itu ialah rupa-rupanya lelaki yang lembut ini hanya lembut pada zahirnya tetapi nafsu buas mereka tetap sama dengan lelaki sejati. Gadis itu kemudiannya mengungkapkan kata-kata yang lebih kurang bermaksud bahawa dia tidak mempercayai semua jenis lelaki!

Hal kelembutan dan kepondanan itulah yang tidak memungkinkan gadis itu untuk menceritakan kejahatan bapa saudaranya itu – kerana tidak akan ada sesiapa pun yang akan mempercayainya, termasuk neneknya sendiri!

(Sesungguhnya, saya tidak mengada-adakan cerita ini. Cerita ini saya ketengahkan bukan untuk mengaibkan sesiapa, baik kepada yang empunya diri ataupun kepada orang-orang seperti bapa saudara gadis itu. Cerita ini saya ketengahkan sebagai peringatan kepada para wanita, perempuan, perawan, dan gadis – berawaslah dengan setiap lelaki, tidak kira dia datuk, bapa, abang, atau adik anda; bapa mentua, abang ipar, atau adik ipar anda sendiri apatah lagi yang bukan daripada kalangan mereka! Anda senantiasa terdedah kepada kedurjanaan manusia yang bergelar lelaki yang ditunggangi nafsu. Anda tahu akan hal itu, bukan? Ingat, ular sawa albino jangan disangka tidak membelit!)

Bilakah Keadaan Ini Dapat Dibetulkan?

Sangat biasa kita lihat suatu keadaan yang kadangkala menjengkelkan hati dan perasaan kita. Hal ini demikian kerana keadaan yang menjengkelkan hati dan perasaan kita itu akhirnya mendatangkan kerugian yang bukan sedikit kepada bangsa kita. Keadaan ini melibatkan kedudukan kita dalam hierarki sesebuah organisasi, khususnya swasta.

Keadaan yang berlaku ini dicetuskan oleh sikap kita sendiri – sikap orang Melayu, maksud saya. Dalam beberapa kes, saya mendapati orang Melayu akan berasa sangat selesa setelah ia berada di atas, iaitu di kedudukan yang tinggi dalam carta organisasi tempat ia berkhidmat. Sehingga demikian, mereka jarang-jarang hendak mengambil peduli akan kedudukan orang-orang Melayu di bawahnya.

Kita andaikanlah keadaan seperti ini – seorang editor kanan telah dinaikkan pangkat sebagai pengurus penerbitan di sebuah syarikat. Banyak orang yang mengandaikan bahawa dengan kenaikan pangkatnya itu, dia akan mengangkat editor-editor lain ke jawatan yang lebih baik. Kebajikan editor-editor lain itu akan diusahakannya kerana dia sendiri pernah berada di bawah dan tahu akan kepayahan yang dihadapi editor-editor lain itu.

Rupa-rupanya hal ini tidak berlaku. Pengurus penerbitan itu tidak membentuk dan mencipta potensi dalam diri editor lain daripada kalangan orang Melayu, supaya apabila berlaku sesuatu kepada dirinya, pihak majikannya tidak akan mencari orang di luar organisasi untuk menggantikannya sebaliknya akan memilih potensi yang telah dibentuknya. Keadaan ini dibiarkannya berlanjutan setelah 10 tahun dia bergelar sebagai pengurus penerbitan hanya kerana dia bimbang usaha membentuk potensi ini akan mengancam kedudukannya!

Hal seumpama ini pernah berlaku di sebuah syarikat antarabangsa (Jepun). Seorang tokoh Melayu berada di kedudukan hierarki yang sangat tinggi – asalnya dia memegang jawatan pengurus biasa sahaja. Beliau “naik” ke kedudukan itu setapak demi setapak, tetapi malangnya dia mencipta suatu keadaan kebersendirian dalam kenaikannya itu. Tidak ada langsung usaha beliau untuk menonjolkan potensi-potensi Melayu yang lain dalam kenaikannya itu. Yang ada ialah para pembodek daripada kalangan bangsa lain yang matlamat mereka satu, iaitu untuk menggantikan dia dengan bangsa mereka.

Hal ini menjadi kenyataan akhirnya. Apakala dia sakit dan akhirnya meninggal dunia, kedudukannya digantikan oleh bangsa Malaysia yang bukan Melayu. Tokoh yang menggantikannya kemudiannya telah merekrut potensi-potensi daripada kalangan bangsanya sehingga bangsa Melayu tidak lagi berada di hierarki yang tinggi di syarikat itu sehingga kini.

Banyak lagi bukti yang dapat kita berikan tentang senario ini – iaitu suatu senario yang lahir daripada sikap orang Melayu yang mementingkan diri sendiri. Apakah yang dapat kita simpulkan daripada sikap ini?

Monday, November 9, 2009

Final Piala Malaysia: Masih Lagi Pahat Berbunyi

Pelbagai objek dibaling, mercun berdentum-dentam, kain rentang serta kerusi dibakar, petugas dicederakan – demikianlah antara insiden yang berlaku dalam perlawanan akhir bola sepak antara pasukan Negeri Sembilan dengan Kelantan baru-baru ini. Kesemua insiden dikatakan melibatkan penyokong pasukan Kelantan. Sehingga demikian, berkatalah Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad:

“FAM sering memberi nasihat kepada penyokong-penyokong Kelantan tetapi sudah tidak dapat dibendung kerana ia (seperti) sudah menjadi satu budaya kepada mereka. Sudah tentu kehadiran 1 400 anggota pasukan keselamatan ataupun sehingga 10 000 tidak mampu untuk mengawal mereka dalam masa serentak,” katanya kepada pihak Bernama.

Pada mulanya, saya rasa cukuplah sudah hal tentang perlawanan akhir Piala Malaysia itu diceritakan. Tetapi apabila mengingatkan kenyataan Setiausaha Agung FAM yang mengatakan sikap liar penyokong Kelantan sebagai suatu budaya, saya berasa terpanggil untuk bercerita semula. Saya berpendapat, beliau tidak harus berkata demikian sehingga menggores hati dan perasaan penyokong pasukan Kelantan yang lain.

Pada pandangan saya, sikap liar yang diperlihatkan oleh penyokong Kelantan itu bukanlah suatu budaya tetapi merupakan suatu bentuk “kejahilan” dalam memahami erti sukan. Sukan sangat menuntut kerasionalan – menang berseronoklah, kalah redholah. Kalah bukan bermakna lemah, menang bukan bererti kuat. Kalau hendak beremosi, cukuplah dengan menangis seperti penyokong kelab-kelab Inggeris yang menangis apabila kelab yang disokong mereka tergelincir dari Liga Perdana. Ketakrasionalan orang Barat yang mengamuk dan merusuh atas sesuatu kekalahan jangan diikut dan diteladan. Apakah faedahnya perbuatan itu kepada diri dan pasukan kita?

Cuma yang mencetuskan tanda tanya, bagaimanakah para penyokong dapat membawa masuk mercun dan bunga api ke dalam stadium walhal sesetengah bunga api yang dibawa masuk bersaiz hampir sebesar botol air mineral 1.5 liter! Bagaimanakah mereka menyorokkan objek sebesar itu hingga tidak terlihat oleh pihak yang bertugas?

Memiliki bunga api secara haram, di tempat awam seperti itu, sangat berbahaya kepada semua orang. Kalaulah ada sekerat dua “orang gila” dalam kalangan penonton yang tidak menghalakan muncung bunga api itu ke udara sebaliknya menghalakannya ke sisi atau ke seberang padang hingga barangkali sampai ke tempat duduk VVIP, bagaimana? Kalau FAM hendak mengenakan tindakan kepada Kelantan atas sikap penontonnya itu, FAM juga wajar dikenakan tindakan kerana “membenarkan” mercun dan bunga api dibawa masuk ke dalam stadium!

Macam kuali mengatakan buntut belanga hitam pulak!

Sunday, November 8, 2009

Tidak Seperti yang Diharapkan

Dalam posting yang lalu, saya meminta para pembaca supaya sama-sama berdoa agar “kita dapat menyaksikan perlawanan terhebat, paling bermutu, dan rancak sepanjang sejarah Piala Malaysia” di samping meminta pembaca berdoa juga agar semua pemain tidak gugup berdepan dengan situasi final yang sangat berbeda itu.

Namun, mungkin kerana kita tidak berdoa, harapan itu tidak menjadi realiti. Perlawanan bermutu dan rancak yang kita harap-harapkan tidak dapat kita saksikan. Para pemain Kelantan yang kita harapkan tidak gugup menjadi sebaliknya. Permainan kemas pasukan itu yang dapat kita saksikan semasa bermain pada peringkat separuh akhir hampir tidak kelihatan langsung. Mereka hilang fokus! Haruskah kita menyalahkan hujan?

Yang kelihatan, pasukan Negeri Sembilan lebih menonjol, walaupun sebenarnya permainannya tidaklah begitu baik. Yang jelas, malam tadi, pasukan Negeri Sembilan lebih baik daripada pasukan Kelantan. Dengan itu, tertunailah sudah harapan dan hasrat mereka yang terpendam sejak 61 tahun dahulu untuk mendakap Piala Malaysia yang menjadi buruan setiap pasukan dalam Liga Malaysia. Wira mereka malam tadi bukanlah penjaring-penjaring gol mereka sahaja – Shahurain, Hairuddin, ataupun Zaquan Adha sahaja – tetapi juga semua pemain, jurulatih, pegawai dan penyokong mereka. Hasrat untuk menjadikan kemenangan mendakap Piala Malaysia sebagai hadiah pertabalan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah menjadi kenyataan.

(Semasa menghadiri kenduri doa selamat bersempena dengan pemergian kenalan saya ke untuk menunaikan ibadah haji di Makkah tadi, seorang tetamu secara bergurau berkata, “Kuat juga daulat tuanku Yang di-Pertuan Besar. Saya tersenyum.)

Kekecohan yang diharapkan tidak berlaku tampaknya seperti tidak mahu dielakkan. Ada kepala petugas yang terpaksa dijahit kerana dibaling dengan objek keras, kerusi penonton dibakar, bunga api berdentum-dentam, dan sebagainya. Mengapa ya harus demikian sikap kita? Janganlah sampai suatu hari nanti pasukan yang bertanding terpaksa bermain di stadium kosong.

Kepada pasukan Negeri Sembilan, janganlah sejarah silam berulang lagi kerana terpaksa menunggu sehingga lebih setengah abad untuk mengulang pencapaian menjulang Piala Malaysia lagi. Pastikan Piala Malaysia itu dapat terus dijulang tiga empat tahun berturut-turut. Kepada pasukan Kelantan, perjuangan kalian belum berakhir. Memasuki final pada tahun ini jangan dijadikan kemuncak kejayaan sehingga pada tahun-tahun mendatang sukar pula hendak mendaki kejayaan seperti pasukan Brunei dahulu. Jadikanlah kejayaan ini sebagai permulaan.

Tahniah, Negeri Sembilan; Syabas, Kelantan!

Saturday, November 7, 2009

Cerita Membawa ke Mimpi: Mimpi Mainan Tidur?

Tatkala membaca cerita tentang insan itu lewat akhbar popular baru-baru ini, saya segera teringat akan mimpi saya, juga baru-baru ini. Saya tidak tahu mengapa mimpi itu muncul dalam tidur saya tetapi yang pasti mimpi itu muncul selepas saya berurusan dengan seorang pemuda yang mengaku dirinya sebagai sepupu insan itu. Dan saya mendengar cerita yang kurang menarik tentang insan itu daripada bibir pemuda yang mengaku sepupunya itu.

Dalam mimpi itu, saya bertemu dengan insan itu di rumahnya dan tatkala saya sampai dia sedang rancak berbual dengan adiknya tanpa mempedulikan saya walaupun saya menganggukkan kepala dan tersenyum kepadanya. Saya tidak dapat mengingat isi bualannya tetapi berkisar tentang pengalamannya setelah tidak muncul sekian lama. Yang kurang menarik dalam mimpi itu ialah dia tidak berbaju dan kulitnya agak gelap sedang dia yang saya kenal berkulit gebu.

Itu cerita tentang dirinya dalam mimpi saya. Tetapi tentang realitinya, saya dengan dia tidak mesra. Saya bertemu dengannya beberapa kali, mungkin tidak lebih daripada tiga kali dan beberapa kali juga berbual dengannya menerusi telefon atas urusan kerja. Saya terlibat secara langsung dalam menerbitkan antologi mini beliau bersama-sama dengan 29 antologi mini yang lain. Saya juga pernah mengedit beberapa buah cerpennya untuk dimuatkan di dalam beberapa buah antologi bersama. Malah, beliau pernah mengundang saya untuk menjadi panel penceramah untuk suatu program kesusasteraan tetapi saya menolaknya kerana seperti yang saya tegaskan, saya tidak petah berkata secara lisan.

Begitulah seimbas lalu tentang kaitan antara saya dengan insan yang kini telah “pergi tak kembali” itu. “Pemergiannya” telah menyebabkan peminatnya tidak lagi dapat untuk berlibur dengan karyanya yang hidup dan segar itu. Namanya juga tidak lagi tercatat sebagai pemenang dalam mana-mana sayembara penulisan yang sebelum ini kerap dimenanginya. Tetapi dampak paling besar daripada “pemergiannya” ialah derita batin yang ditanggung keluarganya. Sehingga kini, mereka tidak dapat menaburi pusaranya dengan bunga dan air kerana pusaranya tidak diketahui duduknya.

Kelip-kelip kusangka api,

Kalau api mana puntungnya;

Hilang ghaib kusangka mati,

Kalau mati mana kuburnya?

Thursday, November 5, 2009

Menanti Sang Juara

Kejayaan memang wajar diraikan, apatah lagi kejayaan itu jarang-jarang dikecapi. Tetapi meraikannya haruslah dengan hati dan otak yang dingin.

Menyokong juga harus begitu. Pihak yang setia kepada pihak yang disokong haruslah mengikut tatasusila. Mengetepikan tatasusila kelak akan merosakkan diri dan orang lain.

Begitulah nanti hendaknya penyokong pasukan bola sepak Negeri Sembilan dan Kelantan apabila kedua-duanya – pasukan itu sendiri dan penyokongnya – bertembung di Stadium Bukit Jalil kelak. Pertembungan pasukan bola sepak itu melibatkan kudrat di dalam padang manakala pertembungan para penyokongnya melibatkan sorakan dan jerit pekik, gendang dan kibaran bendera dari di tempat duduk.

Pernah beberapa kali, di negara ini sendiri, keghairahan penyokong menyebabkan keadaan huru-hara dan kacau-bilau hingga perlawanan terpaksa ditangguhkan. Maka, pada hari Sabtu ini, janganlah hendaknya kejadian itu berlaku. Kelantan dan Negeri Sembilan ada “sejarah tidak elok” dalam hal yang melibatkan bola sepak ini dan kita berharap agar peristiwa itu tidak berulang. Saya yakin kesemua penyokong sangat profesional malam itu.

Teman Kelantan saya yang paling akrab – Sdr Wan Mokhtar – turut akan pergi ke Stadium Bukit Jalil untuk menyokong pasukan negerinya. Saya tidak pasti apakah Zamani, Khairuddin, Awe, dan lain-lain, termasuk adik ipar saya, akan menjadi sebahagian penonton yang akan memenuhi Stadium Bukit Jalil kelak. Saya sangat kagum kepada mereka kerana saya sendiri sudah lama tidak menjejakkan kaki ke stadium mana-mana pun untuk menyokong pasukan negeri saya – Selangor. Saya menyokongnya di hadapan televisyen sahaja.

Baik Kelantan mahupun Negeri Sembilan, kalian memang hebat pada musim ini, tetapi pada perlawanan akhir itu kelak, akan hanya ada satu juara. Kelantan sudahpun menjadi “juara” apabila pemain penyerangnya, Indra Putra Mahayuddin dipilih sebagai “Pemain Paling Berharga” dan “Penyerang Terbaik”. Negeri Sembilan, daripada aspek ini, menjadi naib juara kerana hanya dapat merebut gelaran “Pemain Pertahanan Terbaik” melalui Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak.

Berdoalah agar kita dapat menyaksikan perlawanan terhebat, paling bermutu, dan rancak sepanjang sejarah Piala Malaysia. Berdoalah juga agar semua pemain tidak gugup berdepan dengan situasi final yang sangat berbeda itu.

Wednesday, November 4, 2009

Kuasa dan Kekuasaan: Pencetus Huru-hara

Pendaftar Pertubuhan (ROS) Datuk Md Alias Kalil berkata bahawa Datuk Seri Chua Soi Lek masih Timbalan Presiden MCA yang sah. Hal ini demikian kerana walaupun Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MCA pada 10 Oktober 2009 memutuskan Datuk Seri Chua dilucutkan jawatannya sebagai Timbalan Presiden parti itu, namun keputusan itu tidak memenuhi keperluan 2/3 majoriti seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 35 Perlembagaan MCA. Hal ini bermakna, selepas EGM itu, tidak berlaku apa-apa kekosongan untuk jawatan Timbalan Presiden MCA.

Datuk Md Alias Kalil berkata surat pengesahan kedudukan Datuk Seri Dr. Chua itu telah pun dihantar kepada MCA.

Di pihak Barisan Nasional, Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin akur dengan keputusan Pendaftar Pertubuhan itu.

“Kita ikut pada undang-undang dan Perlembagaan; kalau begitulah kedudukannya dan disahkan oleh ROS maka kita harus terima,” kata beliau.

Pada 26 Ogos 2009 lalu, Majlis Presiden MCA memecat Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta berikutan kes skandal seks beliau yang terpapar dalam DVD dua tahun lepas. Walau bagaimanapun, pada 19 September 2009, Jawatankuasa Pusat parti itu membatalkan keputusan pemecatan itu, tetapi menggantung keahliannya selama empat tahun. Walau bagaimanapun, dalam mesyuarat EGM pada 10 Oktober 2009 yang lalu, Datuk Seri Dr. Chua telah diambil sebagai ahli MCA semula tanpa mengembalikan jawatan Timbalan Presiden yang disandangnya sebelum ini.

Dalam satu sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pusat, Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, mesyuarat tersebut menerima keputusan ROS untuk mengekalkan Datuk Seri Dr. Chua sebagai Timbalan Presiden.

Sebaliknya, dalam satu sidang akhbar yang lain selepas mesyuarat yang sama, Datuk Seri Liow Tiong Lai mempertikaikan keputusan ROS itu, malah beliau berkata bahawa, “Saya masih lagi Timbalan Presiden”. Beliau mengemukakan tiga sebab pengekalan jawatan Chua sebagai Timbalan Presiden MCA tidak sah:
  1. Jawatankuasa Pusat menggantung keahlian dan jawatan Chua sekali gus;
  2. ROS tidak berhak untuk campur tangan dalam keputusan Jawatankuasa Pusat; dan
  3. tindakan yang diambil merupakan tindakan disiplin,bukannya satu penyingkiran.
Sehubungan dengan hal itu, Datuk Seri Liow berkata bahawa beliau mempunyai hak untuk membuat rayuan terhadap keputusan ROS itu, malah beliau akan membawanya ke mahkamah jika perlu.

Datuk Seri Liow Tiong Lai dilantik sebagai Timbalan Presiden MCA pada 15 Oktober 2009 lalu bagi menggantikan Datuk Seri Dr. Chua tetapi beliau telah dilabel sebagai penentang Presiden MCA selepas kumpulan Menteri Kesihatan itu mendesak pemilihan baharu parti diadakan.

Dengan perkembangan terbaharu ini, usaha untuk menyelesaikan krisis MCA melalui pelan damai sekali lagi menemukan jalan buntu. Kini, MCA mempunyai dua Timbalan Presiden!
ULASAN
Sekali lagi, kegilaan orang terhadap KUASA telah mencetuskan keadaan huru-hara dan kacau-bilau. Dalam konteks MCA pada masa ini, kegilaan terhadap KUASA itu tampaknya diperlihatkan oleh Datuk Seri Liow Tiong Lai yang “tidak mengiktiraf” keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS). Di pihak Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, beliau kelihatan seperti “orang yang menuntut haknya”.

Kocak yang terbentuk dalam parti itu akan bertukar menjadi ombak dan gelombang. Hal ini memang pernah berlaku dalam parti itu (juga pernah berlaku dalam UMNO dan MIC). Ironisnya, ombak dan gelombang seumpama ini tidak berlaku dalam DAP. Dengan perebutan yang berlaku dalam MCA itu, tentu ada ahli biasa parti itu atau penyokongnya yang berasa “menyampah” lalu mengambil keputusan untuk “angkat kaki”.

Dalam keadaan sekarang – rakyat kurang menyokong BN, persepsi lebih diyakini – kocak itu harus ditangani dengan wajar dan segera. Jika tidak, kocak yang sudah bertukar menjadi ombak dan gelombang itu akan menjadi Tsunami pula.

Kepada parti yang bukan BN, tidakkah kalian hendak “mengambil pengajaran daripada kehuru-haraan MCA ini”?