Showing posts with label ISLAM DAN KITA. Show all posts
Showing posts with label ISLAM DAN KITA. Show all posts

Wednesday, May 2, 2012

Solat Kita dan Rahmat Allah SWT

Seorang rakan (ustaz) berkisah tentang suatu cerita. Pada mukadimahnya, saya berfikir bahawa beliau ingin mengutarakan kisah tentang nilai persahabatan. Rupa-rupanya fikiran saya salah. Kerap benar terjadi begitu — berfikir jauh lebih awal walhal cerita masih baru bermula.

Teman (ustaz) itu berkisah, ada tiga orang teman yang bekerja di offshore (pelantar cari gali minyak barangkali). Seorang daripada tiga orang yang bersahabat karib itu sangat patuh akan kehendak agamanya yang sehingga demikian, beliau langsung tidak pernah lupa untuk menunaikan solat lima waktu.

Sebaliknya, teman yang dua orang lagi itu, solat mereka berlubang-lubang — kadangkala mereka solat, tetapi selalunya tidak. Yang rajin bersolat lima waktu itu berasa aman dengan amalannya, tanpa begitu ambil pusing akan diri kedua-dua orang temannya yang culas itu.

Hingga kemudiannya tiba pada suatu hari, teman yang rajin bersolat itu menegur seraya mempelawa kedua-dua orang teman seoffshorenya yang culas bersolat itu dengan berkata lebih kurang begini, “Hei, sahabat-sahabatku ... bangun, bangun. Ayuh..., mari kita bersolat!”

Beberapa lama kemudian, teman yang rajin bersolat itu meninggal dunia. Tidak lama selepas kematiannya, salah seorang teman seoffshorenya yang culas bersolat itu bertemu dengan arwah yang rajin bersolat itu dalam mimpinya. Dalam mimpi itu, kedua-duanya berbicara.

Teman yang culas bersolat bertanya, “Di dalam apa kamu sekarang? Rasa saya, kamu pastinya di dalam syurga”.

“Tidak juga,” jawab teman yang rajin bersolat itu dalam mimpi tersebut.

Teman yang rajin bersolat terpinga-pinga oleh jawaban itu, lalu menduga, “Kamu di dalam neraka?”

“Tidak juga,” jawab teman yang rajin bersolat itu.

“Kalau demikian, kamu di dalam apa?” Teman yang culas bersolat bertanya lagi.

“Saya di dalam rahmat Allah,” kata teman yang rajin bersolat itu.

“Bagaimanakah hal yang demikian boleh terjadi? Bukankah semasa kamu masih berhayat dulu kamu tidak pernah mengabaikan solat lima waktu?” Teman yang culas bersolat terus bertanya lagi.

“Sahabat. Solat-solat saya dulu tiada satu pun yang diterima oleh Allah.” Teman yang rajin bersolat itu berterus terang.

“Kalau demikian halnya, apakah yang membolehkan kamu berada dalam rahmat Allah?” Teman yang culas bersolat mengasak sahabatnya dengan soalan lagi.

“Ingatkah kamu apabila pada suatu hari saya mengajak kamu dan seorang lagi sahabat kita bersolat? Pelawaan dan peringatan saya itulah rupa-rupanya yang menjadi amalan terbaik saya hingga Allah Robbul Jalil melayakkan saya untuk menerima rahmat-Nya.”

Usai berbicara, teman yang culas bersolat tersedar daripada mimpinya. Apabila teringat akan dialog dalam mimpi itu, perasaan takut menguasai dirinya. Beliau kemudiannya menjadi manusia yang senantiasa mendekatkan dirinya kepada Allah SWT dan tidak lupa untuk bermohon daripada Allah agar tergolong sebagai hamba yang mendapat rahmat-Nya.

Cerita yang dikisahkan oleh teman (ustaz) saya ini jangan sampai menyebabkan para pembaca salah perkiraan hingga enggan bersolat! Seharusnya kisah ini mendorong kita untuk bermuhasabah, mengapakah ada solat kita sampai ditolak oleh Allah SWT?

Tuesday, October 11, 2011

Ulil Amri — Jadilah Seperti Muzaffar Syah

Bismillahir-Rohmanir-Rohim....

Mana-mana ulil amri yang Islam memang tanggungjawabnya memelihara kesucian Islam. Oeh itu, kalau ada mana-mana pihak — musuh Islam, khususnya — mencuba untuk memesongkan aqidah umat Islam, seyogianyalah ulil amri, sama ada yang digantinamakan sebagai “baginda” atau “beliau” sahaja oleh rakyat, menegur dan berusaha untuk membanterasnya.

Tetapi ulil amri janganlah hanya bersuara dan bertindak apabila ada cubaan oleh pihak musuh Islam untuk memesongkan aqidah umat Islam sahaja. Ulil amri seyogianya bertindak lebih awal daripada itu — memperlengkap umat Islam dengan iman dan taqwa supaya aqidah umat Islam sukar dipesongkan oleh musuh Islam hanya dengan memberi mereka hamper Maggi Mee!

Ulil amri sekarang harus mencontoh kebertanggungjawaban Sultan Muzaffar Syah pada zaman keagungan Melaka dahulu yang telah mencemar duli ke lapangan bagi membanteras ancaman pencuri. Ulil amri sekarang harus memantau usaha dan aktiviti badan-badan agama yang ada di dalam negeri/negara dalam menegakkan syiar Islam.

Ulil amri juga seyogianya harus melihat cara dan kaedah wang zakat diagihkan kepada para fakir. Ulil amri harus berasa curiga, mengapakah wang zakat yang dilunaskan oleh pembayar zakat tidak dihabiskan pada tahun itu juga, sebaliknya dibawa pula ke tahun yang berikutnya? Bukankah wang zakat hak asnaf yang lapan itu? demikian ulil amri harus bertanya.

Ulil amri juga sepatutnya sedar bahawa bukan pengamal agama lain sahaja yang berusaha untuk memesongkan aqidah umat Islam. Lambakan program dan pusat hiburan yang menggalakkan lahirnya masyarakat yang hedonistik juga dapat memesongkan aqidah umat Islam. Lambakan itu memang cetusan musuh Islam, tetapi leluasa dengan restu para pegawai ulil amri juga!

Ulil amri seyogianya bertanya kepada para pegawai di jabatan agama, mengapakah mereka gagal menghalang terpaculnya anak tidak sah taraf yang kemudiannnya menyebabkan berlakunya fenomena buang bayi dan sebagainya itu? Hal-hal sebegitu — keterpaculan anak tidak sah taraf dan buang bayi itu — ada kena-mengena dengan aqidah juga.

Janganlah setelah kaki terperlus baru hendak melantai. Sediakanlah segala keperluan yang dapat memastikan aqidah umat Islam tidak mudah terpesong dan dipesongkan. Kalau bantuan kewangan dapat memelihara aqidah mereka, berilah mereka wang dan ajar mereka cara-cara untuk melipatgandakan wang itu. Jangan “dikemut” wang zakat!

Tidak ada cara lain, seperti Sultan Muzaffar, Ulil amri sendiri harus turun padang — bukan sahaja untuk memantau hal ehwal rakyat, tetapi juga untuk memantau tindak-tanduk para pegawai ulil amri sendiri yang sesetengahnya menjadikan tidur sebahagian daripada kerja mereka dan sesetengahnya pula bekerja untuk memiliki Mercedes!

Wallahu alam....

Tuesday, March 30, 2010

Benarkah Memang Demikian Sikap Manusia?

Orang selalu akan bersikap anti terhadap orang yang menyentuh apa-apa hal yang berkaitan dengan orang disukainya (dipercayai, dihormati, disayangi, dll). Sebagai contohnya, seseorang (katakan si A) yang mencela bapa seseorang yang lain (katakan si B), akan menjadi sasaran kebencian si B kerana si B sangat suka (percaya, hormat, sayang, dll) akan bapanya. Sikap manusia memang demikian.

Dalam konteks yang lebih luas, penganut Islam akan marah apabila agama mereka yang diakui oleh al-Quran sebagai agama samawi yang lurus dan betul, yang diterima oleh Allah SWT, dipersenda-sendakan. Penganut Islam juga akan marah apabila peribadi nabi mereka, Muhammad SAW yang maksum itu, menjadi sendaan penganut lain. Baru-baru ini, Lars Vilks (pelukis Sweden), misalnya, menjadi sasaran kemarahan umat Islam kerana dia telah yang menghina Nabi Muhammad SAW dengan membuat lakaran tubuh Rasulullah SAW seperti anjing. Sudah timbul saranan supaya masyarakat Islam di seluruh dunia memulaukan barangan Sweden berikutan perbuatan bodoh dan keterlaluan Lars Vilks itu.

Dalam konteks negara, banyak orang yang marah apabila tokoh pujaan mereka dihina. Pengikut dan pengagum Tun Dr. Mahathir marah apabila negarawan itu dikutuk dan dilabel dengan pelbagai gelaran, Maha Firaun, misalnya. Pengikut dan pencinta Datuk Seri Anwar Ibrahim marah dan mengutuk Saiful Bahari (yang mendakwa diliwat Datuk Seri Anwar) kerana mereka mendakwa Saiful Bahri telah memfitnah tokoh kesayangan mereka itu. Sikap manusia memang demikian.

Suatu ketika dahulu, teman saya telah meludah kereta yang diparkir di tepi jalan kerana benci akan logo UMNO yang terlekat pada skrin depan kereta itu. (Sesungguhnya, saya berasa pelik akan perbuatannya itu.) Pada suatu hari, saya berbual-bual dengan seorang “teman segera” yang sama-sama menghantar kenderaan untuk dijajarkan rodanya di sebuah kedai di Semenyih. (Sebenarnya, saya kenal akan “teman segera” itu – pada waktu itu beliau AJK UMNO Bahagian Hulu Langat.) Perihal rakan saya meludah kenderaan yang berlogo UMNO itu telah menjadi sebahagian daripada isi dalam “perbualan kosong” saya dengannya. Tujuan saya adalah untuk menguji pendiriannya. Ternyata beliau marah, sangat marah walaupun perbuatan rakan saya itu hanya didengarnya menerusi mulut saya. Saya faham akan perasaannya itu. Sikap manusia memang demikian.

Begitulah, secara mudahnya, manusia memang suka memaki hamun, mencela, mencaci, dan menista orang, meletakkan sesuatu gelaran yang tidak patut kepada orang yang tidak disukainya – “Ketupat”, “Maha Firaun”, “al-Juburi”, “Katak”, “Firaun Kecil”, “Little Napoleon”, dan sebagainya – seolah-olah orang yang dimaki hamun, dicela, dicaci, dan dinista serta diletakkan dengan sesuatu gelaran itu tidak tahu untuk melakukan perbuatan yang sama.

Alangkah moleknya kalau setiap orang berbeza pandangan dan pendirian tanpa menggelarkan dan menggambarkan orang lain dengan apa-apa gelaran dan gambaran yang jelik-jelik! Alangkah eloknya kalau mereka berbeza pandangan dengan cara yang sihat! Alangkah eloknya kalau dalam mana-mana media, termasuk dalam blog, orang tidak melakukan perbuatan buruk itu! Ingatlah, orang-orang yang dimaki hamun, dicela, dicaci, dan dinista serta diletakkan dan digambarkan dengan sesuatu gelaran dan gambaran itu mempunyai ahli keluarga. Maki hamun, celaan, cacian, dan penistaan serta gelaran dan gambaran yang tidak patut itu akan melukakan hati keluarga mereka. Mengapakah dicetuskan permusuhan padahal sudah diketahui persahabatan mewujudkan keamananan dan kesejahteraan? Mengapakah disuburkan sikap anti ini?

Wednesday, December 30, 2009

Azam Tahun Baharu Pun Bida‘ah Juga

Bersempena dengan kehadiran tahun baharu Masihi 2010 ini, banyaklah hal yang tidak perlu akan dihidangkan kepada rakyat negara ini. Dalam hal ini, rakyat yang paling banyak terlibat dalam meraikan kehadiran tahun baharu 2010 itu kelak sudah tentulah golongan remaja. Perlukah kehadiran 2010 Masihi itu disambut dengan sedemikian rupa?

Ada ibu bapa Islam yang sedar bahawa sambutan tahun baharu Masihi itu sesat dan menyesatkan lalu melarang anak mereka terlibat dalam “pesta” itu. Alasan yang dipegang ibu bapa Islam yang sedar itu mudah – sambutan tahun baharu Masihi tidak terdapat dalam budaya dan agama Islam seperti halnya dengan sambutan Maal Hijrah, Maulidur Rasul, Israk dan Mikraj, Ramadhan al-Mubarak, Nuzul al-Quran, Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidil Adha, dan lain-lain. Ada ibu bapa yang berjaya menghalang anak-anak mereka daripada terlibat dengan sambutan itu, tetapi tidak kurang yang gagal mengawalnya. Di satu sudut lain, bukan sedikit jumlah ibu bapa yang membenarkan anak-anak mereka meraikan sambutan itu!

Aktiviti-aktiviti yang direncanakan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengisi dan membesar-besarkan sambutan tahun baharu 2010 itu sebenarnya lebih condong ke arah yang melalaikan dan sangat berlawanan dengan roh Islam – nyanyian, tarian, makan minum, pengiraan detik jam 12:00 yang diikuti sorak-sorai, dan sebagainya itu yang berserta dengan percampuran lelaki perempuan – hanya sesuai untuk orang yang mempeloporinya, iaitu orang bukan Islam! Mengikuti dan meniru amalan orang bukan Islam ditegah oleh Islam. Hal ini ada dinyatakan di dalam al-Quranul Karim (surah al-Furqan, ayat 72) yang bermaksud:
... mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya”.
Nabi SAW sendiri ada menyentuh hal ini melalui sabda baginda:

Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka dia dianggap salah seorang daripada (kalangan) mereka.”
(Riwayat Abu Daud)

Perkara terpenting yang perlu diingat oleh sesiapa pun juga ialah, tahun baharu – sama ada tahun baharu Hijrah mahupun tahun baharu Masihi – tidak akan memberikan makna apa-apa sekiranya hari yang bertarikh 1 Muharam atau 1 Januari yang disambut mereka itu tidak lebih baik daripada hari-hari yang dilalui mereka sebelumnya!

Semua pihak perlu berhenti “memberikan sokongan” kepada peminat pesta tahun baharu Masihi ini. Media massa tidak usahlah mengadakan apa-apa program yang bersangkutan dengannya. KTM Berhad tidak perlulah melanjutkan perkhidmatannya sehingga awal pagi 1 Januari bersempena dengan sambutan itu. Pihak Jabatan Agama Islam di semua negeri perlu lebih lantang bersuara tentang kesongsangan sambutan itu, bukan kepada orang bukan Islam, tetapi kepada orang Islam. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (yang menguruskan hal-hal berkaitan agama Islam) mesti berani bersuara.

Kepada saya, tidak perlulah ditanyai apakah azam tahun baharu saya.

Monday, December 7, 2009

Janganlah Menunggu Musibah Baru Hendak Menegakkan Islam

Alangkah menariknya suasana ini jika dipraktikkan oleh pihak berkuasa agama di negara kita yang beragamarasmikan Islam ini. Para penguatkuasa agama Islam, dengan rendah hati, ikhlas, dan tawaduk mendekati pelaku-pelaku maksiat lalu mentarbiahi, mengkuliahi, dan mendakwahi mereka, dengan matlamat membetulkan aqidah pelaku-pelaku maksiat ini. Alangkah menariknya, untuk membolehkan para penguatkuasa agama Islam menjalankan tanggungjawab Islamnya, sang penguasa memperlihatkan ketawadukan luar biasa dengan memberikan dukungan dua ratus peratus supaya si penguat kuasa melaksanakan syariat Islam dengan sebenar-benarnya.

Tetapi, pemandangan ini tidak kelihatan di negara yang beragamarasmikan Islam ini. Masing-masing penguatkuasa memiliki kuasa yang berbeza. Polis had kuasanya khusus untuk juzuk-juzuk tertentu sahaj. JPJ tanggungjawabnya lebih kecil. Inspektor kesihatan lagi kecil kuasanya. Pegawai penguat kuasa agama hanya menguatkuasakan agama (tetapi agama Islam di negara ini tidak pernah menjadi kuat di tangan mereka).

Kita menjadi hairan kerana kuasa yang ditetapkan kepada semua penguat kuasa yang saya contohkan itu diasingkan daripada Islam. Tidak bolehkah polis yang besar kuasanya daripada penguat kuasa yang lain menjalankan tugas-tugas tarbiah dan dakwah semasa menahan mana-mana “pesalah”. Atau, pihak penguat kuasa JPJ, dengan pengetahuan Islam yang kuat dan mantap, mentarbiahi pemandu yang memandu secara sembrono dengan nas-nas dan peringatan yang mantap.

Begitulah, alangkah cantiknya keadaan itu jika dapat direalisasikan. Tetapi, kelihatannya keadaan itu akan menyebabkan orang yang mengimpikannya “mati celik” kerana hal itu hampir-hampir tidak mungkin dapat direalisasikan. Semuanya kerana kuasa menegakkan Islam dipisah-pisahkan daripada instutusi penguatkuasaan dan ditambah pula individu penguat kuasa itu sendiri tidak kuasa untuk menjadikan Islam sebagai cara mendidik pesalah laku.

Sedang di Aceh, mulai 1 Disember, rakyatnya yang “bersalah”, misalnya kerana tidak berpakaian seperti yang disyariatkan, sudah mula dikuliahi dengan tuntutan Islam, di samping diperjelas perihal peraturan pakaian mengikut Islam berdasarkan pelaksanaan Peraturan Daerah atau Kanun mengenai syariat Islam. Kuasa pelaksanaan telah diberikan kepada pemerintah daerah yang dengan itu, mereka berkuasa untuk mengenakan tuduhan jenayah kepada kesalahan-kesalahan yang berkait dengan meminum minuman keras, berjudi, berzina, dan mencuri.

Aceh, yang pada kurun ke-15 dan beberapa kurun kemudiannya dikenal dengan julukan “Serambi Mekah”, mungkin akan mendapat julukan yang telah lama hilang itu semula. Apabila undang-undang itu dilaksanakan secara tegas, Aceh bakal menjadi wilayah contoh di Indonesia dan mungkin juga di seluruh rantau Asia Tenggara.

Pelaksanaan ini barangkali ada kaitannya dengan kejadian Tsunami 2004 yang melanda wilayah itu sehingga mengorbankan ratusan ribu nyawa. Tsunami 2004 telah menjadikan para agamawan di wilayah itu lantang mengecam pemerintah Aceh yang tidak menguatkuasakan undang-undang syariah. Mereka yakin bahawa musibah yang didatangkan oleh Allah SWT dengan nama Tsunami itu merupakan pembalasan-Nya. Dengan kata lain, kejadian Tsunami 2004 berkait rapat dengan pengabaian penguatkuasaan syariat Islam oleh pemerintah wilayah Aceh.

Tampaknya, jika kita mengidami suasana yang sudah dimulai di Aceh itu turut dipraktikkan di negara kita, kita juga perlu “menanti” kedatangan musibah yang serupa (Na‘uzubi-Lahi min zalik).

Tetapi, pada hemat saya, kepada semua orang yang “melupakan” syariat Islam di negara ini, marilah kita bermula dengan menguatkuasakan syariat tersebut dalam lingkungan yang kecil dahulu – diri dan keluarga kita.
Janganlah dibiarkan lupa melupakan Islam dari dalam batang tubuh dan jiwa kita.

Thursday, November 26, 2009

Ibadah Qurban dan Kita: Orang Sering Beralasan

Ibadah qurban suatu tuntutan yang “disunatmuakkadkan” dalam agama kita yang benar dan suci ini – ISLAM. Amalan ini telah berlangsung zaman-berzaman, setelah berlakunya peristiwa “penyembelihan” Nabi Ismail AS oleh ayahandanya Nabi Ibrahim AS sebagai menunaikan titah perintah Allah SWT.

Peristiwa “simbolik” itu merupakan suatu bentuk ujian daripada Allah SWT kepada hamba-Nya – Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS – yang jelas sukar untuk dilaksanakan oleh mana-mana insan di muka bumi ini sekiranya tidak dibaluti iman di dalam jiwa dan raganya. Kesediaan kedua-dua insan itu mengorbankan kasih sayang masing-masing telah dibalas dengan limpahan kasih sayang yang Maha Luas oleh Allah SWT melalui keajaiban dan kebesaran-Nya – Nabi Ismail yang hendak disembelih itu telah ditukar oleh Allah SWT dengan sejenis haiwan.

Demikianlah kita mendengar kisah qurban ini semenjak kita kecil sehinggalah saat ini. Alhamdulillah, kita tidak pernah jemu dan jelak mendengarnya apatah lagi hendak menidakkan kebenaran dan keajaiban yang diperlihatkan Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang terpilih itu.

Tetapi, adakah kita sebahagian daripada insan yang mencontoh pengorbanan kedua-dua Nabi Allah itu walaupun tanpa perlu mengorbankan anak kita bagi melaksanakan ibadah sunat itu. Kita hanya disarankan mengorbankan haiwan-haiwan seperti unta, lembu, kerbau, kambing, biri-biri, dan yang seumpa dengannya. Itu sahaja!

Walaupun itu sahaja yang diperintahkan kepada kita, namun masih banyak insan yang masih menabur 1001 alasan untuk mengelakkan diri masing-masing daripada melaksanakannya. Alasan yang paling lazim diberikan oleh insan-insan ini ialah ibadah ini hanya ibadah sunat, maka tidak perlulah kita mengutamakan dan mendahulukannya. Alasan kedua yang paling lazim dikumandangkan ialah ketidakmampuan daripada segi kewangan.

Banyak insan yang menerima alasan ini. Walau bagaimanapun, perihal sunat dan tidak mampu itu perlu difikir-fikirkan dengan wajar dan waras. Sunat muakkad bermaksud kita diberatkan untuk melaksanakannya. Tidak mampu alasan yang sangat nipis!

Banyak kalangan orang Islam yang merokok walaupun harga rokok sudah melebihi RM5.00 sekotak. Merokok langsung tidak disunatkan dalam Islam, malah makruh dan ada yang menggolongkannya sebagai haram. Oleh itu, kalau yang tidak sunat (makruh dan haram) dapat kita lakukan, seharusnya yang sunat muakkad lebih-lebih lagi dapat kita dahulukan. Dan, kalau sehari perokok menghabiskan sekotak rokok, hal ini bermakna mereka telah menghabiskan RM150.00 sebulan yang kalau dicampurkan untuk tempoh setahun, mereka telah menghabiskan RM1800.00! Fikirkan dengan wajar dan waras, kalau RM1800.00 mampu dibelanjakan untuk yang bukan sunat, bermakna kita mampu untuk melaksanakan ibadah qurban. Jadi, perihal sunat dan tidak mampu bukan alasan untuk kita meninggalkan ibadah qurban ini.

Kebanyakan kita juga memiliki kenderaan. Alasan yang mewajarkan kita untuk memiliki kenderaan ialah kenderaan suatu keperluan. Hal ini memang benar. Tetapi, anehnya, banyak insan yang sanggup berhabis demi kenderaan mereka. Ada yang menukar rim sport, menukar sistem hi-fi radio, menambah aksesori, dan sebagainya lagi. Sesetengahnya menempah pula nombor plat khas, sama ada satu digit, dua digit, nombor berkembar, dan sebagainya yang kesemuanya memerlukan wang. Yang lain pula memiliki lebih daripada satu kenderaan, satu untuk ke tempat kerja dan satu lagi untuk ke pasar. Jadi, fikirkanlah dengan wajar dan waras, menukar sport rim, sistem hi-fi, aksesori dan sebagainya untuk kenderaan bukan sunat. Memiliki nombor kenderaan yang “cantik” juga bukan sunat. Memiliki lebih daripada satu kenderaan juga bukan sunat. Dengan yang demikian juga, alasan tidak mampu tidak dapat diguna pakai untuk meninggalkan ibadah qurban ini kerana hakikatnya, banyak yang mampu untuk melakukannya.

Tidak cukup dengan hal itu, banyak orang yang memiliki telefon bimbit yang canggih-manggih, sesetengahnya ada yang menjadikannya sebagai koleksi. Dan, bukan sedikit jumlahnya insan yang bergaji RM750.00-1000.00 sebulan memiliki telefon bimbit canggih yang mencecah harga RM1500.00! Sunatkah memiliki telefon bimbit sedemikian sedangkan kegunaan utamanya hanyalah untuk berbual dan berSMS? Kalau dengan gaji RM1000.00 kita mampu untuk memiliki telefon berharga RM1500.00, seharusnya kita mampu untuk mengenyampingkan RM380.00 untuk satu bahagian dalam ibadah qurban sekurang-kurangnya.

Begitu juga, banyak orang yang melengkapkan kehidupan mereka dengan televisyen berbayar. Kalau di negara ini, televisyen berbayar ini dikendalikan oleh pihak ASTRO. Oleh sebab namanya pun televisyen berbayar, maka orang yang melanggani kemudahan ini akan dikenakan bayaran tertentu, antara RM37.95-RM131.95 sebulan. Melanggan ASTRO bukan sunat, apatah lagi sunat muakkad. Oleh sebab bukan sunat, kita tidak perlu melangganinya. Tanpa melanggan ASTRO, kita sekurang-kurangnya dapat menyimpan RM455.40 setahun! Jumlah itu, pada pandangan saya, cukup untuk kita membeli seekor kambing untuk dijadikan haiwan qurban.

Allah SWT akan bertanya kepada kita tentang amalan kita. Antara lain, Dia akan bertanya, ke manakah kita salurkan rezeki yang diberikan-Nya. Tidak mengapalah kalau kita menjawab bahawa rezeki itu antara lainnya kita salurkan kepada kereta, telefon bimbit, ASTRO, dan sebagainya setelah kita menyalurkan sebahagian besar rezeki itu dengan berjihad di jalan Allah, termasuklah melaksanakan ibadah qurban! Tetapi, kalau kita menjawab sebahagian besar rezeki itu kita gunakan untuk rokok, kereta, telefon bimbit, ASTRO, dan sebagainya dan mengenyampingkan ibadah sunat dan wajib, kita telah tergolong sebagai orang yang menzalimi diri kita sendiri.

Sebagai tambahan, sama-samalah kita hayati ancaman yang disuarakan oleh Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad SAW terhadap orang yang mampu untuk melakukan qurban tetapi mengabaikannya:

Daripada Abu Hurairah RA katanya, Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa yang ada kemampuan untuk berqurban tetapi tidak melakukannya, janganlah dia hadir bersama kami di tempat solat kami”.

Sebagai tambahan, hayatilah dalili-dalil ini:
  1. Firman Allah SWT dalam surah Al-Kautsar, ayat 2 yang bermaksud:
    Maka kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah qurban sebagai bersyukur.
  2. Firman Allah SWT dalam surah surah Al-Haj, ayat 37 yang bermaksud:
    Daging dan darah binatang qurban atau hadiah tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas berdasarkan taqwa daripada kamu.
  3. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Tirmidzi, maksudnya:
    Aku diperintahkan dengan menyembelih qurban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu.
  4. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Tobrani, maksudnya:
    Wahai manusia, sembelihlah qurban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah qurban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla.
  5. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Tirmidzi, maksudnya:
    Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai oleh Allah Taala daripada menumpahkan darah (menyembelih qurban). Bahawa qurban itu datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya, dan kuku-kukunya. Sesungguhnya, darah qurban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat qurban itu dengan hati yang bersih.

(Posting ini sebenarnya untuk menasihati diri dan keluarga saya sendiri serta orang-orang yang berfikiran terbuka. Sebahagian isinya saya olah semula daripada ceramah yang tersiar dalam rancangan “Suara Mimbar” di radio FM100.9. Dalil-dalil al-Quran dan Hadis diperoleh daripada Al-Azim.com. Sama-samalah kita mengambil manfaatnya.)