Thursday, December 17, 2009

Tepuk Kepala, Tanyalah Akal

Oleh sebab diuar-uarkan dan dijadikan tajuk dan isu perbincangan, maka kehebohan ini menjadi meriah dan “kecoh” sehingga kadangkala memualkan. Para pemanggil yang berbual dengan penyiar di radio memberikan pelbagai pandangan tentang hal ini. Ada yang begitu angkuh dan sangat yakin (tanpa menyebut perkataan Alhamdulillah) bahawa MALAYSIA AKAN MEMENANGI PINGAT EMAS DALAM PERLAWANAN AKHIR BOLA SEPAK DALAM KEJOHANAN SUKAN SEA 2009 PETANG INI!

Sebagai rakyat yang patriotik, saya langsung tidak mengharapkan Malaysia kalah dalam perlawanan akhir nanti. Malah saya, seperti halnya dengan seluruh rakyat Malaysia yang lain, adalah antara orang yang paling gembira apabila Malaysia dapat mengalahkan Thailand dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan dan kemudiannya membenam cabaran Laos di peringkat separuh akhir!

Kita berharap agar kejayaan pasukan bola sepak bawah 23 tahun Malaysia di Sukan SEA ini dapat membaiki kedudukan ranking pasukan bola sepak negara di peringkat Asia Tenggara ini yang jauh terperosok di bawah Thailand. Cuma, yang saya bimbangi ialah senario “biasa” yang selalu menimpa skuad negara. Senario itu ialah, mereka akan menunjukkan peningkatan dan keluarbiasaan tatkala kita tidak tidak mempedulikan mereka dan tidak mengharapkan apa-apa daripada mereka. Sebaliknya, apabila kita memberikan tumpuan, apabila kita mengharapkan keajaiban daripada mereka, dan apabila pujian kita hamburkan kepada mereka, mereka akan bermain “macam hampeh” (kerana tekanankah?).

Tidak mengapa, pada saya, kejayaan pasukan bola sepak bawah 23 tahun Malaysia ini memasuki perlawanan akhir sudah merupakan suatu kejayaan gemilang. Memang hal ini suatu kejayaan kerana pasukan bola sepak Malaysia telah “agak lama” diremeh-remehkan, direndah-rendahkan, dan dipandang sebelah mata oleh pasukan bola sepak negara lain di peringkat Asia Tenggara ini.

Bersekali dengan perlawanan akhir bola sepak itu (dalam sekitar masa yang lebih kurang sama) ialah TAHUN 1430 HIJRAH akan meninggalkan kita, lalu jika umur kita dipanjangkan oleh Allah SWT hingga saat itu, kita akan menyambut kehadiran TAHUN BAHARU 1431 HIJRAH pula, insya-Allah!

Kepergian tahun “lama” dan kedatangan tahun baharu ini berlaku sekali setahun. Sebaliknya, perlawanan akhir bola sepak yang melibatkan Malaysia di peringkat Sukan SEA berlaku dua tahun sekali. Soalan saya ialah, yang manakah pilihan kita – hadir ke masjid/surau untuk sama-sama memanjatkan doa akhir tahun dan doa awal tahun atau duduk melangut di hadapan TV menonton perlawanan akhir itu?

Suka saya ingatkan, dalam hal “melepaskan” kepergian tahun lama Hijrah ini, kita disyorkan supaya berdoa pada akhir waktu Asar sebelum masuknya waktu Maghrib. Ada doa khusus untuk kita lafazkan (sebanyak tiga kali) pada waktu itu. Demikian juga halnya dengan kedatangan tahun baharu, ada doa khusus yang perlu kita baca.

Tentang doa akhir tahun dan doa akhir tahun ini, dikatakan bahawa kedua-duanya tidak termuat dalam mana-mana kitab hadis (wallahua‘lam). Hal ini bermakna, kita tidaklah sampai diwajibkan untuk melaksanakan amalan-amalan sedemikian. Walau bagaimanapun, tidaklah menjadi suatu kesalahan jika kita mengamalkannya kerana kedua-dua doa itu tergolong sebagai suatu bentuk doa umum. Cuma apabila berdoa, jika dilakukan beramai-ramai, doa itu akan lebih mustajab, insya-Allah. Dalam hal ini, untuk berdoa beramai-ramai kita perlu pergi ke masjid atau ke surau!

Tentang doa ini (apa-apa juga doa), seperti yang diriwayatakan oleh Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW ada bersabda yang bermaksud:

Berdoalah kalian kepada Allah dengan keyakinan bahawa doa itu akan diijabahkan Allah, dan ketahuilah bahawasanya Allah tidak menerima doa daripada hati yang lalai dan leka (yakni tiada kesungguhan).”

Bagaimanakah pula dengan perlawanan akhir bola sepak itu? Di manakah kedudukannya di sisi agama kita, Islam yang agung ini? Adakah kedudukannya lebih baik daripada doa akhir tahun dan doa awal tahun itu? Adakah bola sepak pernah disebutkan dalam mana-mana kitab hadis (sama ada yang dhoif ataupun yang maudhuk)?

“Tepuk kepala, tanya akal” jangan “tepuk dada, tanya selera”. Berdoa tidak menyebabkan kita berdosa, menonton bola sepak tidak menyebabkan kita beroleh pahala!

Akhirul kalam, ingatlah akan firman Allah SWT dalam surah At-Taubah, ayat 16:
Dan ingatlah, Allah Maha Mengetahui secara mendalam
akan apa-apa yang kamu kerjakan.”

3 comments:

  1. Salam. Mungkin kita tidak perlu terkejut apabila melihat ruang di hadapan tv lebih sendat berbanding ruang di dalam masjid mahu pun surau, pada petang ini. Apa pun, semoga Allah membuka pintu hati hamba Nya ke arah kebaikan dan semoga kita sentiasa beroleh keampunan.

    ReplyDelete
  2. Salam, Armouris;
    Terima kasih atas perkongsian info yang sangat-sangat berguna itu!

    ReplyDelete
  3. Salam, Puan Marni;
    Ya, fenomena itu insya-Allah akan dapat kilat lihat sebentar lagi.

    Kalau ruang di hadapan TV sendat, hal itu memang cerita. Yang terkategori sebagai berita ialah kalau petang ini surau/masjid tepu umat seawal 20 minit sebelum Maghrib!

    ReplyDelete