Showing posts with label CERITA DALAM BERITA. Show all posts
Showing posts with label CERITA DALAM BERITA. Show all posts

Tuesday, July 3, 2012

Sebiji Bola, Dua Buah Negara, dan Kesesakan yang Mereda

SEMALAM hari Isnin yang tidak sama dengan hari-hari Isnin bekerja sebelumnya. Selalunya, hari-hari Isnin bekerja sebelumnya (tidak termasuk hari Isnin yang dalam tempoh cuti persekolahan), keadaan di jalan raya sangatlah sesak dengan kenderaan. Kalau saya keluar dari rumah pada jam 6:45 pagi, misalnya, kesesakan itu telah saya nikmati bermula dari Sungai Ramal lagi. Kemudian, kesesakan itu akan sekali lagi saya nikmati sebelum atau selepas Plaza Tol Sungai Besi (menghala ke KL). Kemudian, saya sekali lagi akan mengecap nikmat kesesakan itu betul-betul selepas Plaza Tol Salak Selatan (Lebuh Raya Maju/MEX). Untuk ke PJ, kesesakan yang bermula di hadapan RTM hingga ke Pintu Gerbang Darul Ehsan memang wajib dinikmati saban hari.

Tetapi, seperti yang saya katakan tadi, semalam tidak sama dengan hari-hari Isnin bekerja sebelumnya kerana jalan pada hari Isnin semalam agak lengang. Laluan di Sungai Ramal menghala ke Putrajaya agak lengang walaupun saya keluar dari rumah pada jam 6:55 pagi (biasanya, pada hari Isnin saya akan keluar sekitar jam 6:35 pagi). Kesesakan kecil selepas Plaza Tol Sungai Besi masih boleh saya terima. Kesesakan di MEX juga masih tidak menekan perasaan. Cuma laluan untuk ke Jalan Imbi dan seterusnya ke Jalan Sultan Ismail sedikit sesak. Itu pun masih membahagiakan hati dan perasaan saya. Laluan di hadapan RTM pun kurang sesak dan saya dengan hati yang lapang dan “gumbira” memandu kenderaan saya di lorong yang paling-paling kanan.

Di pejabat, rakan-rakan memerihalkan perkara yang sama – “Jalan lengang kan hari ini!” kata seorang kawan saya. “Pelik saya,” kata seorang kawan yang lain. Saya mengeyakannya. Seorang kawan yang lain menjawab, “Penangan final EURO 2012!” Wah, baru saya perasan akan hal ini (walaupun saya sempat menonton perlawanan itu sekitar minit ke-50 hingga minit 60, sebelum kemudiannya kembali terlelap)! Ya, tentu keadaan yang kurang sesak pada hari itu ada kaitannya dengan EURO 2012 itu. Saya benar-benar ingin bersetuju dengannya sebelum tiba-tiba hati dan perasaan saya dibaluti sedikit rasa musykil – tak kanlah begitu banyak orang yang bercuti hingga dapat mengurangkan kesesakan di jalan raya semata-mata kerana sebiji bola dan dua buah negara, kata hati saya.

Tetapi, apabila mengingat perihal ustaz (saudara saya) yang ikut juga berjaga malam bersempena dengan EURO 2012 ini; dan apabila mengingat cerita beliau tentang Pengetua di sekolahnya yang ikut juga berjaga malam kerana sebiji bola itu (walaupun selepas pasukan kesayangannya, England, tumpas); dan apabila mengingat cerita tentang kebijaksanaan seorang ayah yang apabila selesai menonton EURO 2012 bersama-sama dengan anak-anaknya akan segera membawa anak-anaknya ke masjid bagi mengelakkan mereka tertidur hingga terluput solat Subuh, kemusykilan yang berkembang dalam fikiran saya segera berangkat dari dalam hati saya. Telahan rakan saya itu tidak mungkin silap, kata hati saya. Kegilaan terhadap bola sepak memungkinkan segala-galanya.

Wah, sebiji bola begitu kuat kuasa magnetnya, malah kelihatan lebih kuat daripada kuasa magnet itu sendiri! Magnet hanya melekat apabila kutub utara dan kutub selatan bertembung. Sebaliknya, sebiji bola, tanpa mengira kutub, malah tanpa memerlukan kutub pun, dapat melekatkan orang di hadapan TV selama hampir dua jam. Sebiji bola yang tak berkutub itu dapat membuatkan peminatnya berjaga separuh malam dan kemudiannya mengambil cuti tahunan dan mungkin juga mengambil cuti sakit! Doktor pun faham.

Minat saya terhadap bola sepak belum berlalu secara total, tetapi kekuatan saya untuk menjegilkan atau menyengkang mata sejak dinihari hingga awal subuh sudah lesu dan layu. Saya masih boleh bertahan jika permainan bermula sekitar jam 10:00 malam dan usai sekitar jam 12:00 dinihari. Tetapi kalau bermula jam 2:45 pagi (malah kalau bermula jam 12:00 dinihari pun), saya tidak mungkin berupaya untuk menonton perlawanan bola sepak yang hanya mendatangkan sedikit keseronokan kepada saya tetapi kemudiannya mendera mata dan badan saya. Lagipun, pada fikiran saya, apalah gunanya saya mendera diri saya untuk keseronokan yang sedikit itu sedangkan si pemain mengutip keseronokan yang berlipat ganda kerana gaji mereka jutaan ringgit seminggu!

Tentang EURO 2012 itu, Sepanyol ialah pasukan bola sepak yang berada pada ranking nombor satu dunia. Pasukan itu awal-awal lagi telah diletakkan sebagai favourite untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya pada tahun 2008 (pasukan itu, dua tahun kemudian, memenangi Piala Dunia 2010 pula). Pasukan itu mempunyai bintang daripada kelab-kelab ternama di dunia yang bukan setakat “berkuasa” dalam liga di negara mereka sahaja, tetapi juga berkuasa di tahap paling tinggi – Liga Juara-juara Eropah! Malah, selepas tamat EURO 2012 ini, daripada 23 pemain yang dinamakan untuk menganggotai skuad pilihan Eropah 2012 oleh pihak UEFA, 10 orang daripada mereka ialah pemain Sepanyol – Casillas, Piqué, Ramos, Jordi Alba, Xavi, Iniesta, Busquets, Xabi Alonso, Fábregas, dan David Silva.

Yang sepuluh orang ini jugalah, bersama-sama dengan sebiji bola, yang telah membantu mengurangkan kesesakan jalan raya semalam di laluan saya. Terima kasih.


CATATAN
1   Apa-apa pun yang kita lakukan, asal tidak keterlaluan, bukanlah perbuatan yang bodoh. Perbuatan yang bodoh ialah mempercayai sotong, beruang, dan gajah dalam menentukan sang juara. Kalau mereka dipercayai, tidak perlulah mana-mana pasukan bersaing, sebaliknya eloklah pihak UEFA terus menobatkan pasukan pilihan si sotong, si beruang, dan si gajah sebagai juara. Berhentilah menjadi bodoh!
2   Sepanyol menjadi juara selepas mengalahkan Itali dengan jaringan 4-0. Gol-gol Sepanyol dijaringkan oleh David Silva, Jordi Alba, Fernando Torres, dan Juan Mata. Dua gol terakhir pasukan Sepanyol dijaringkan selepas Itali bermain dengan sepuluh orang pemain.
3   Kerana menjaringkan tiga gol, Fernando Torres beroleh “Kasut Emas” walaupun ada pemain lain yang menjaringkan tiga gol – Mario Gomez (Jerman), Alan Dzagoev (Rusia), Mario Mandzukic (Croatia), Mario Balotelli (Itali), dan Christiano Ronaldo (Portugal). Torres dipilih kerana turut mencipta peluang kepada pemain sepasukannya yang lain untuk menjaringkan gol. Gol yang dijaringkan oleh Juan Mata dalam perlawanan akhir itu merupakan umpanan Torres.
4   Andres Iniesta dipilih sebagai “Pemain Terbaik Kejohanan”. Pada kejohanan Piala Dunia 2010, beliau juga menjadi Pemain Terbaik Piala Dunia. Pada kehohanan EURO 2008, pemain Sepanyol juga yang menjadi Pemain Terbaik Kejohanan. Pemain itu ialah Xavi Hernandes.
5   Sepanyol menjadi pasukan yang pertama dalam sejarah kejohanan EURO yang dapat mempertahankan kejuaraan EURO (menjadi juara secara berturut-turut), iaitu pada tahun 2008 dan sekarang 2012.

Thursday, December 10, 2009

Cerita dalam Berita: Keberanian dan Kewarasan

Satu sumber daripada blogger kita, Albanjari Online (politikbanjar.blogspot.com) yang bersumberkan pula daripada Warta Sungai Rapat (wartasgrapat.blogspot.com dengan tagline “Informasi Sahih Komuniti Anda”) memerihalkan suatu berita yang dalam dunia politik Malaysia, tidaklah mengejutkan sangat. Lain halnya dengan orang-orang yang beriman, hal seperti ini sangat menakutkan!

Menurut sumber-sumber itu, seorang pemandu pemimpin kanan negeri telah ditahan oleh pihak berkuasa agama negeri tatkala dia sedang meneguk arak di sebuah pub bersama-sama dengan rakannya. Sebagai pihak yang diamanahkan dengan kuasa untuk menegakkan yang maaruf dan meruntuhkan yang mungkar, pegawai agama yang bertugas telah membawa pemandu dan rakan-rakannya itu ke pejabat untuk diambil keterangan. Walau bagaimanapun, tiada dakwaan dibuat terhadap pemandu itu disebabkan oleh campur tangan “pihak tertentu”. Maka, bebaslah pemandu itu.

Berdasarkan berita itu (jika sahih), ada tiga bentuk kesongsangan yang dilakukan oleh umat Islam dalam berita itu. Pertama, meneguk arak. Kedua, penyalahgunaan kuasa oleh pihak yang lebih berkuasa yang mengarahkan pembebasan pesalah itu. Ketiga, keakuran pihak berkuasa agama negeri terhadap “arahan” yang jelas menyalahi Islam. Sama-samalah kita berdoa agar kita tidak tergolong dalam golongan yang sedemikian.

Yang lebih menarik ialah, adakah pemimpin kanan terbabit sedar/tahu bahawa pemandunya itu “kaki botol”? Jika pemimpin kanan itu tahu atau telah diberitahu akan hal itu, dan beliau tidak mengambil tindakan, beliau – pada pandangan saya – menghampiri sifat tidak waras. Mengambil pemandu yang “kaki botol” sebagai pemandu mendedahkan dirinya kepada pelbagai risiko. Dengan kata yang lebih mudah, perbuatan itu mengancam keselamatan/nyawanya sendiri. Malah, kalau tenaga pemandu itu digunakan untuk orang lain juga, misalnya untuk ahli keluarganya sendiri, pemimpin kanan itu turut mengancam keselamatan dan nyawa ahli keluarganya sendiri!

Saya teringat akan suatu cerita. Seorang pengurus syarikat hendak berangkat ke luar negara atas urusan perniagaan. Tetapi, sebelum berangkat, beliau telah ditemui oleh pengawal keselamatan (jaga) syarikatnya.

“Saya rasa Tuan tidak usah pergi ke pertemuan itu,” kata pengawal keselamatan itu.

“Mengapa pula?” soal pengurus itu dengan rasa hairan kerana beliau berpendapat tugas menasihati bukan tugas seorang pengawal keselamatan! Beliau meneliti wajah pengawal keselamatan itu; dilihatnya pengawal keselamatan itu begitu bersungguh-sungguh.

“Malam tadi saya telah bermimpi bahawa kapal terbang yang Tuan naiki telah terhempas dan semua penumpangnya maut,” kata pengawal keselamatan itu. Ada riak cemas pada wajah pengawal keselamatan itu.

Perkhabaran yang disampaikan oleh pengawal keselamatan itu telah menyebabkan pengurus itu terkejut. Walaupun tidak meyakini mimpi, tetapi apabila memikirkan kesungguhan pengawal keselamatan itu menemuinya untuk menceritakan hal itu, beliau membatalkan pemergiannya. Ternyata mimpi itu benar – kapal terbang yang sepatutnya dinaikinya telah terhempas. Beliau terselamat oleh mimpi yang mendatangi tidur pengawal keselamatannya, begitulah yang difikirkannya (hakikatnya, ajal maut di tangan Allah SWT).

Keesokannya, pengurus itu menulis sepucuk surat penghargaan, memberikan sedikit wang kepada pengawal keselamatan itu di samping memberinya surat pemecatan dan wang ganti rugi. Hal ini tentulah menghairankan pengawal keselamatan itu.

Apabila pengawal keselamatan itu bertanya “Mengapakah saya Tuan pecat sedangkan saya telah menyelamatkan Tuan melalui mimpi saya?”, pengurus itu berkata, “Pada setiap malam, kamu saya bayar gaji untuk mengawal syarikat ini, bukan untuk tidur!”

Kita berharap agar seorang pemimpin mempunyai pemikiran yang seperti ini. Kita juga berharap agar seorang pemimpin membiarkan orang yang bersalah menerima hukumannya, bukan membebaskannya. Kita juga berharap agar orang yang mempunyai kuasa dalam hal-hal agama mendahulukan “arahan” agamanya bukan arahan manusia walaupun manusia itu seorang Sultan.