Perkara
yang paling ditakuti oleh BN, UMNO lebih tepatnya, hingga acapkali
diperingatkan oleh pihak pimpinan parti itu ialah sabotaj. Mereka tidak endah dan
tidak berasa takut hingga menggeletar lutut kalau mereka yang mensabotaj dan
yang disabotaj itu pula ialah seteru mereka dalam persaingan untuk mempertahankan
kuasa – Pakatan Rakyat yang di dalamnya ada PAS, PKR, DAP, dll itu.
Yang
ditakuti mereka ialah sabotaj oleh orang-orang mereka sendiri terhadap BN atau
lebih tepatnya UMNO. Mengapakah mereka takut akan hal ini? Semua orang tahu
akan jawabannya, iaitu bahawa sabotaj yang seumpama itu akan menipiskan peluang
mereka untuk terus berkuasa sebaliknya memudahkan seteru mereka untuk menyungkurkan
mereka lalu mengambil alih tampuk kekuasaan.
Mengapakah
sampai ada puak-puak mereka yang hendak melakukan sabotaj? Hal ini pun semua
orang tahu akan jawabannya, iaitu bahawa mereka tidak tercalon sebagai wakil
rakyat (WR), atau orang yang disukai mereka tidak tercalon sebagai WR!
Mengapakah pula sampai hendak melakukan sabotaj kalau setakat tidak tercalon
sebagai WR atau calon idaman tidak tercalon sebagai WR?
Jawabannya,
kerana WR zaman ini menjanjikan kuasa. Kuasa menjanjikan kekayaan. Tidak
tercalon sebagai WR tidak menjanjikan kedua-dua matlamat itu. Tidak mungkin
mereka bertindak seperti orang “bodoh” dengan menyokong calon WR selain mereka
kerana calon selain mereka itu bakal menjadi berkuasa dan kaya sedangkan mereka
masih di takuk yang sama dan menjadi orang yang dikuasai?
Daripada
membolehkan calon selain mereka menikmati kekuasaan dan kekayaan sedangkan
mereka tetap di takuk lama, lebih baik disabotaj calon selain mereka itu lalu
sama-sama berputih mata. Ingatlah, dalam hal kuasa dan kekayaan, hal berkaitan ketaatan
terhadap parti dan tanggungjawab kepada rakyat hanyalah sebutan-sebutan palsu
sang penggemar kuasa dan harta.
Oleh
sebab hal sabotaj-mensabotaj ini bukan hal main-main, maka pesanan-pesanan ini
bersiponganglah dari hari ke hari, dari mulut ke mulut. Adakah pesanan ini akan
didengar dan dipatuhi oleh orang-orang yang terlibat? Jawabannya pun diketahui
orang, iaitu sedikit yang mendengar dan mematuhinya melainkan kalau mereka
diperuntukkan sejumlah wang yang dapat menjadikan mereka kaya!
Itu pun
masih belum tentu kerana yang kaya hanya diri orang yang tidak tercalon
manakala para penyokongnya belum tentu beroleh apa-apa. Dapatkah orang yang
tidak tercalon mempengaruhi para pengikutnya supaya tidak mensabotaj orang yang
tercalon sebagai WR? Belum tentu juga kerana para penyokong juga mempunyai
matlamat sendiri-sendiri – menumpang kuasa untuk menjadi kaya.
Maka,
perkara sabotaj ini akan terus ditakuti oleh BN dan UMNO kerana perbuatan itu pasti
akan berlaku walau bagaimanapun diusahakan untuk mengelakkannya. Tidak dapat
saya bayangkan kalau tiba-tiba nama DS Mohd Zahid Hamidi, misalnya, tercicir
sebagai calon WR. DS itu barangkali tidak akan mensabotaj calon WR yang bukan
dirinya, tetapi para penyokong yang menyukainya bagaimana?
Sabotaj bukan
bayang-bayang kerana sabotaj bisa muncul walaupun tanpa cahaya!
No comments:
Post a Comment