Tidak
ada perasaan lain yang beristanaloka di dalam kalbu awak sekarang selain
seronok! Ya, seronok melihat gelagat orang angkuh, bodoh sombong. Yang dibuat tidak
difikir-fikirkan hingga hancurlumat lebih dahulu; yang difikir-fikirkan pula tidak
serupa dengan fikiran orang ramai. Rasa-rasa hendak buat, buat; tidak kiralah sama
ada apa-apa yang dibuat itu masuk akal atau langsung tidak masuk akal.
Apabila
hal yang dibuat oleh mereka dibantah oleh orang ramai, orang ramai dituduh
sebagai antiestablishment; apabila hal
yang dibuat oleh mereka dipertikaikan oleh orang ramai, mereka berdalih dengan
mengatakan bahawa hal yang dibuat oleh mereka itu telah melalui suatu proses
kajian yang memakan masa bertahun-tahun! Dalam erti kata lain, yang dibuat
mereka itu bukan jenis tangkap muat sahaja.
Cubalah
awak renung-renungkan, hal yang dibuat oleh mereka itu sudah beroperasi sejak
September lalu. Dalam tempoh itu (September-Disember), sudah lebih 274,000 kertas
bodoh dihantar kepada orang-orang yang melanggar hal yang dibuat oleh mereka
itu. Daripada lebih 274,000 yang menerima kertas bodoh itu, 10,000 orang yang “takut”, “tidak tahu” telah pun membayar harga kertas itu.
Berbalik
kepada perasaan seronok itu tadi – dikatakan bahawa perasaan itu dapat dinikmati
daripada perangai orang bodoh sombong dan angkuh. Bodoh sombong dan angkuh yang
macam mana? Begini ... awak tentu tahu, bukan ... orang bodoh sombong dan
angkuh itu telah memperkenalkan suatu hal yang kononnya dapat mengurangkan
orang yang menerima nasib malang atau hilang nyawa di jalan raya.
Orang ramai menentang kiri kanan, depan belakang, atas bawah
terhadap hal yang dibuat oleh mereka itu, tetapi oleh sebab yang menjerebui fikiran
mereka ialah “Janji (untuk Kroni) Ditepati”, maka tentangan itu ditepis oleh mereka
dengan pelbagai kaedah, tetapi kaedah yang paling selalu digunakan adalah melalui
lidah bercabang-cabang mereka. Kalau hal ini muncul 30, 40 tahun dulu,
bolehlah...!
Biarlah awak berterus terang. Sebenarnya, hal yang dibuat oleh orang
angkuh dan bodoh sombong yang dimaksudkan itu bernama AES. Awak tahu, bukan “menatang”
AES itu! Alah, kamera perangkap had laju itulah! Ratus-ratus juta katanya kos
pemasangannya. Ada pihak yang memasangnya dan pihak yang memasangnya itu akan beroleh
ganjaran daripada setiap orang yang “tidak mengendahkan” kewujudannya.
Tup-tup, Jabatan Peguam Negara membekukan semua prosiding
berkaitan saman AES itu hinggalah beberapa aspek perundangan dan teknikal
diselesaikan. Aspek perundangan dan teknikal yang hendak diselesaikan itu
tidaklah pula dikhabarkan. Tetapi awak tahu, bukan, JPJ menjalankan Pendakwaan AES
di mahkamah tanpa menunjukkan surat kebenaran daripada Jabatan Peguam Negara!
Itulah
yang seronoknya! Buat tidak difikir-fikirkan; yang difikir-fikirkan pula tidak
serupa dengan fikiran orang ramai dan undang-undang. Rasa-rasa hendak buat,
buat; tidak kiralah logik atau sengal. Yang penting ialah dapat mengakali orang
ramai demi menguntungkan satu dua pihak. Hai ... entahlah, sebelum PRU sudah berani
“dera” awak, awak fikir-fikirkanlah selepas itu.... Fikir-fikirkan, tau....
Baiknya AES itu, rasa-rasa awak ialah “menatang”
itu dapat mengurangkan amalan rasuah. Macam mana caranya, awak
fikir-fikirkanlah sendiri. Awak bukankah rajin berfikir-fikir?
No comments:
Post a Comment