Wednesday, November 30, 2011

Pemakan Sisa di Negara SatuMalaysia yang Maju

Semalam diri ini kurang sihat. Diri ini pergi ke klinik. Puan doktor belum menceluskan dirinya ke klinik miliknya. Selepas mendaftar, diri ini menunggu di dalam kereta kerana kebetulan kereta diparkir betul-betul di hadapan klinik. Diri ini berusaha untuk menghafaz surah yang menjadi tugasan.

Di sudut luar sebelah kiri klinik, ada sebuah tong sampah. Sampah melembak keluar dari dalam tong itu. Tidak lama kemudian, muncul seorang insan. Pakaiannya tidak rapi, tetapi bersih. Tong sampah itu didekatinya. Bekas berisi tin dan kotak yang dikumpulkannya sebelum itu diletakkannya di atas lantai.

Segera dia membongkar sampah di dalam tong itu. Dia menemukan sebuah tin minuman berkarbonat. Dia menggoncang-goncang tin itu, meniup “mulut” tin itu dan kemudian menghirup sisa minuman berkarbonat. Diri ini terkedu dan segera menginsafi keadaan dan mencuba untuk menilai insan itu.

Diri ini yakin bahawa insan itu pemungut barangan kitar semula. Diri ini kurang yakin bahawa insan itu kurang waras sampai tergamak untuk menelan sisa minuman yang telah menghuni tong sampah! Pakaiannya bersih amat. Maksud diri ini, insan itu pasti tahu akan maksud kebersihan.

Diri ini berfikir waktu itu, barangkali insan itu ingin sekali menikmati air berkarbonat yang tidak mampu dibelinya lalu tergamak untuk menghirup minuman yang menjadi sisa itu. Apabila otak memikirkan kemungkinan itu, diri ini segera keluar dari dalam kereta lalu masuk ke dalam klinik. Sedih.

Diri ini teringat akan cerita almarhum penerima Anugerah Sastera Negara — bahawa pada zaman perang (Jepun menyerang Malaya), insan dan anjing sama-sama menyelongkar tong sampah untuk mendapat makanan. Tetapi, sekarang bukan zaman perang yang memerlukan insan menyelongkar sampah untuk menikmati minuman berkarbonat!

Sekarang zaman Malaysia negara maju, banyak wang, berkelas dunia. Sekarang zaman Malaysia bersedia untuk menyedekahkan kekayaan kepada kelompok mereka (seperti kisah feed lot itu?). Tetapi malangnya, pemandangan yang terlihat pada zaman perang — kewujudan insan pemakan sisa — dapat juga kita saksikan pada zaman ini!

Sama seperti insan pemakan sisa itu, kebanyakan kita juga sebenarnya pemakan sisa di negara Malaysia yang maju, banyak wang, dan berkelas dunia ini. Sisa itu ditinggalkan oleh sang pemuka, yang kita pilih kerana janjinya, bukan kerana komitmen dan kejujurannya sehingga akhirnya mereka hidup di mahligai, kita hidup memakan bangkai.

4 comments:

  1. Salam, Syeikh,
    Subhanallah. Itulah yang kita dapat. Tampak kita ini seperti dikasihani, hakikatnya kita pun sangat maklum.

    Itu pun masih berdegar-degar dalam perhimpunan.

    ReplyDelete
  2. Syeikh, pemakan sisa dengan pemakan rasuah... agak2nyalah, pemakan sisa itu lebih baik pe'elnya. Paling kuat pun, pemakan sisa itu hanya merosakkan ususnya sahaja. Tapi pemakan rasuah merosakkan satu tamadun.

    ReplyDelete
  3. Salam, Syeikh,
    Itu yang ambo kata kita dapat sisa sebab sang pemuka dok amalkan makan yang itulah ... tuan ambo dah sebut, tak payahlah ambo sebut.

    Mereka bukan perosak tamadun, tapi mereka memang tak da tamadun.

    ReplyDelete