Dalam dunia ini, orang berkabung kerana kematian. Entah siapalah orangnya yang mencetuskan idea ini — berkabung memerlukan kita memakai songkok berlilit kain putih. Hatta, sudah menjadi adat dalam kalangan bangsa tertentu yang menghendaki mereka supaya berpakaian hitam semasa berkabung (memang elok daripada pakaian berbunga-bunga yang menampakkan keceriaan).
Tetapi, yang biasa kita lihat tentang perkabungan ialah di balik pakaian hitam itu, ada permata yang tersarung di jari, ada mutiara yang terlilit di pergelangan tangan, ada subang yang terlekat di telinga (malah hidung juga), ada hilai tawa dan wajah ceria serta seribu bicara dunia — lambang orang tidak menginsafi kematian yang sedang dihadap. Astaghfirullah.
Perkabungan berkait dengan adab, sebenarnya. Adab tatkala menziarahi orang mati memerlukan kita “berpuasa” daripada hal-hal yang berkait dengan dunia! Cincin, gelang, subang, atau apa-apa lambang kemewahan tanggalkanlah, cerita-cerita tentang saham, politik, ekonomi, dll sejukbekukanlah di dalam hati kerana al-Fatihah itu lebih mulia daripada yang duniawi.
Kita bebas untuk memilih untuk sama-sama berkabung dengan berpakaian hitam dan sebagainya. Tetapi hakikat berkabung bukan sekadar berpakaian hitam sahaja. Hakikat berkabung ialah sama-sama berdukacita dengan orang yang kehilangan ahli keluarga mereka dan yang paling penting, berkabung menuntut kita menginsafi hakikat kematian.
Ada orang yang memusuhi tentangganya kerana semasa orang itu kematian ahli keluarganya, sekelompok tetangganya (bersongkok dan berkopiah putih) berhilai tawa di bawah pokok rambutan di sisi rumahnya. Ada orang yang membenci keluarga bau-bau bacangnya kerana keluarganya itu seronok menimang-nimang anaknya tatkala jenazah sedang dimandikan!
Ingatlah, berkabung jangan diperlihatkan melalui pakaian hitam dan songkok berlilit putih sahaja. Berkabung harus diperlihatkan melalui akhlak!
Salam, Sdr.Zul,
ReplyDeleteMasih banyak 'yang biasa' tetapi tidak betul dan 'yang betul' tetapi tidak biasa dalam masyarakat kita. Maka itu, dalam hal kehidupan beragama, amat perlu para pendakwah menekankan soal "membetulkan yang biasa" (kebiasaan yang salah) dan "membiasakan yang betul" (hukum atau ketetapan yang tidak menjadi amalan). Wallahu a`lam.
Salam, Prof,
ReplyDeleteHukum (syariat) yang diadatkan (menjadi adat kebiasaan) tampak lebih baik sekarang dibandingkan dengan suatu ketika dahulu yang meletakkan adat kebiasaan sebagai hukum.
Saya amat bersetuju terhadap cadangan Prof bahawa pendakwah perlu menekankan soal membetulkan yang biasa (salah pula) dan membiasakan yang betul. Sebaik-baiknya, difatwakan sahaja.