Sibuk benar saya hingga tidak sempat untuk mengemas kini Blog sendiri dan menelaah Blog teman-teman.
Walau bagaimanapun, kerana hal ini penting menurut hati saya, saya mencuba untuk menyiarkan hal ini dalam Blog saya sebagai iktibar kita bersama.
Syarikat tempat teman saya bekerja mengadakan majlis makan malam tahunannya. Teman saya bertanya kepada pihak AJK Kelab Sosial dan Sukan yang menjadi pengendali majlis itu, “Adakah arak akan dihidangkan pada majlis makan malam tahunan itu kelak ataupun tidak ada?”
Wakil pihak AJK kelab itu menjawab, “Tidak ada!”
Maka, teman saya dan beberapa orang teman se-Islamnya yang lain dengan senang hati meletakkan tanda rait pada ruang HADIR pada surat jemputan yang diedarkan oleh pihak kelab sebagai tanda bersetuju untuk “ikut berseronok” pada majlis yang dikhususkan untuk kakitangan syarikat tempatnya bernaung itu.
Malangnya, kata-kata pihak AJK yang menjadi sumber rujuk teman saya itu langsung tidak boleh dipercayai. Arak, kata rakan saya, ada dihidangkan dalam majlis itu. Kakitangan yang bukan Islam, meneguknya sebebas mungkin dan lebih malang lagi, kata teman saya lagi, ada kakitangan Islam yang “tumpang semangkuk” dengan meneguk air kencing syaitan itu.
Yang lebih mengejutkan teman saya itu ialah kepala syarikatnya sendiri meneguk arak dari dalam jag sambil berdiri di atas meja. Dia sendiri (kepala syarikat itu) kemudiannya sudah berada dalam situasi di luar kawalan (mabuk) dan hal ini dilihat oleh anak-anak buahnya yang bukan Islam dan Islam. Ada kakitangan yang meraikan “kehebatannya” itu dengan bertepuk tangan.
Bukan hendak berbangga, saya sendiri sudah lama tidak menghadiri majlis makan malam tahunan syarikat yang menjadi tempat saya bernaung kerana saya tahu bahawa arak memang akan menjadi minuman wajib yang akan dihidangkan pada majlis serupa itu. Saya fikir, saya tidak perlu bersubahat dan mendapat dosa percuma daripada keberadaan arak pada majlis serupa itu.
Kalaulah saya berada di posisi teman saya itu, saya akan memarahi pihak AJK yang menjadi sumber rujuk saya itu dan kemudian mengajak rakan-rakan Islam yang menghadiri majlis itu pulang, atas dasar tanggungjawab sebagai seorang Islam. Malangnya, teman saya itu terus berada di situ bersama-sama dengan keberadaan arak itu demi cabutan bertuah!
“Engkau dapatkah hadiah daripada cabutan bertuah itu?” Saya bertanya.
“Hampeh! Satu apa pun aku tak dapat...!” Teman saya memperlihatkan raut kecewanya.
Kecewa dia kerana tidak dapat hadiah itu. Astaghfirullah....
Syeikh Bro,
ReplyDeleteHahahaha...macam gua kenal juga tu yang kaciwa kerana tak dapat hadiah, bukan kaciwa kerana 'janji manismu' untuk tidak hidangkan air kencing setan dimungkiri.
Gua dulu pun, masa sekandang dengan lu tak penah gua ikut itu majlis. Bukan gua baik sangat, tapi gua memang tak suka ler kalau duk satu tempat dengan org yang teguk air setan. Macam lu cakap...tak mahu dapat dosa percuma beb!
Salam, Syeikh,
ReplyDeleteTidak ada rasa hormat mereka pada teman Islam kita itu. Tentu teman Islam kita itu tidak meminta arak ditiadakan dalam majlis itu, tetapi janganlah sampai berbohong (hanya kata teman kita itu, hendak memastikan majlis itu dihadiri oleh sekian banyak kakitangan).
Tidak mengapalah mereka hendak menghidangkan menatang tu (sebab itu minuman ruji mereka, agaknyalah...), tapi yang berbohong itu, gua fikir, patut diserang.
Kesian teman kita....