Showing posts with label FIKIRAN. Show all posts
Showing posts with label FIKIRAN. Show all posts

Monday, August 27, 2012

Antara Meyakini Syaitan yang Dikenali dengan Malaikat yang Tidak Dikenali

Soal lebih baik meyakini syaitan yang dikenali daripada meyakini malaikat yang tidak dikenali bukan soal kecil, tetapi bukanlah juga soal yang sangat besar. Soal ini menjadi sangat besar, pada pandangan saya, kalau terucap dua/tiga puluh tahun lalu. 

Kalau dua/tiga puluh tahun lalu, sesiapa atau apa-apa pun yang dikiaskannya sebagai syaitan dan malaikat bukanlah penting sangat. Yang penting adalah apabila “malaikat” dikatakannya “bukanlah golongan yang suci kerana kadang-kadang malaikat juga boleh buat banyak perkara salah”. 

Kalau hal ini dikatakannya dua/tiga puluh tahun lalu, saya akan membayangkan perihal Izrail telah tersilap mencabut nyawa makhluk Allah. Yang sepatutnya dicabut ialah nyawa Megat, tetapi kerana “kadang-kadang malaikat juga boleh buat banyak perkara salah”, Izrail telah tercabut akan nyawa  Meor. 

Atau saya pun hendak membayangkan Jibrail telah tersalah hantar wahyu; sepatutnya semua wahyu itu dihantar kepada Ali ibn Abi Talib, tetapi kerana “kadang-kadang malaikat juga boleh buat banyak perkara salah”, wahyu itu tersalah hantar kepada Muhammad ibn Abdullah pula.  

Atau sepatutnya Israfil meniup sangkakalanya selepas kewafatan Muhammad Rasulullah, tetapi kerana “kadang-kadang malaikat juga boleh buat banyak perkara salah”, malaikat itu terlupa hingga kini untuk meniup sangkakala itu kerana menanti Muhammad ibni Abdullah yang lain pula. 

Saya akan berasa resah dan ambil peduli akan hal yang dikatakannya itu kalau hal ini diungkapkannya dua/tiga puluh tahun dahulu. Sekarang, biarkanlah ... disuruh diam pun dia tak akan diam-diam.

Thursday, August 23, 2012

Sambutan Aidilfitri Lebih Utama daripada Qadak dan Qadar Allah?

Hujan lebat pada 21 Ogos 2012 lalu telah menyebabkan berlakunya banjir kilat di beberapa kawasan di sekitar kota raya Kuala Lumpur. Oleh sebab musibah itu berlaku semasa orang Islam sedang menyambut perayaan Aidlfitri, maka ada pihak yang menyorot berita itu sebagai “Banjir Kilat Jejaskan Sambutan Aidilfitri”.
 
Tajuk berita itu seperti suatu rungutan dan gambaran tidak puas hati terhadap hujan yang diturunkan oleh Allah SWT sehingga mengakibatkan berlakunya banjir kilat. Saya tidak pasti akan orang lain, tetapi saya merasakan begitu — hujan yang diturunkan oleh Allah SWT telah menjejaskan sambutan Aidilfitri sebahagian orang di KL. 

Perkataan “menjejaskan” yang digunakan oleh sesetengah pihak itu, pada hemat saya, meletakkan perayaan Aidilfitri lebih utama dan lebih tinggi hingga tidak boleh dikacau-bilaukan oleh apa-apa pun juga, termasuklah qadak dan qadar Allah seperti hujan dan banjir kilat yang ditetapkan berlaku pada 3 Syawal 1433! 

Astaghfirullahal ‘Azim.... 

Kuala Lumpur telah beberapa lama tidak ditimpa hujan sehingga makhluk selain manusia kepanasan dan kekeringan lantas semuanya berdoa dan doa mereka diperkenankan oleh Allah SWT. Hujan yang diturunkan dua tiga jam itu barangkali memadai untuk makhluk itu, dan sepatutnya tidak sampai berlaku banjir kilat!

Malangnya, alam ini telah dirosakkan oleh tangan-tangan manusia hingga menyebabkan hujan yang hanya turun dua tiga jam itu telah mengaramkan kawasan yang dahulunya sukar dikaramkan oleh air hujan. Sulaiman Al-Rajhi, pengasas Bank Al-Rajhi (bank Islam terbesar di dunia), melafazkan kalimat Alhamdulillah apabila kilang perusahaannya terbakar! 

Kita yang di sini berkata sebaliknya. Astaghfirullahal ‘Azim....

Wednesday, August 1, 2012

Kerajaan: Berikanlah Bonus kepada Rakyat yang Lain Juga

Kalaulah pada setiap hari perayaan — Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji, Tahun Baharu Cina, Deepavali, dan Krismas (termasuklah Hari Gawai dan Kaamatan) — kerajaan yang memerintah sekarang lebih murah hati, tentu rakyat akan lebih gembira. Kita bukan mengharapkan kerajaan menurunkan harga gula, tepung, beras, pulut, minyak masak, dan bahan-bahan keperluan lain supaya beban kos hidup rakyat dalam tempoh menghadapi perayaan dapat direndahkan. Kita tidak mengharapkan yang demikian kerana kita tahu bahawa kerajaan sukar untuk berbuat demikian kerana bahan-bahan itu, betapapun diturunkan harganya, tetap akan berlaku tipu helah dalam kalangan peniaga bagi mengaut keuntungan daripada penjualan barang-barang itu.

Kemurahan hati kerajaan memberikan bonus kepada kakitangan awam ada impak besarnya — kenaikan harga barang (walaupun dinafikan oleh menteri yang berkaitan kepenggunaan). Kerana berlaku kenaikan harga barang, pemberian bonus RM500.00 kepada segolongan orang akan membolehkan peniaga beroleh “bonus” daripada semua orang. Hal ini bermaksud bahawa semua orang akan terbeban oleh kemurahan hati kerajaan itu kerana seperti yang saya katakan tadi, para peniaga pasti akan menaikkan harga jualan barang-barang yang diniagakan oleh mereka. Jadi, bagaimanakah kerajaan dapat membantu semua orang untuk menghadapi kenaikan kos sara hidup yang tiba-tiba itu?

Alangkah moleknya kalau kerajaan dapat menurunkan harga runcit petrol dan diesel untuk tempoh dua tiga hari pada musim-musim perayaan seperti sekarang! Alangkah eloknya kalau kerajaan “memaksa” semua pengendali lebuh raya menurunkan kadar bayaran tol mereka untuk tempoh dua tiga hari pada musim-musim perayaan ini! Ya, benar, penurunan harga petrol diesel tol masih tidak dapat dinikmati oleh semua rakyat, tetapi usaha itu lebih baik daripada cuma memberikan nikmat kepada segelintir orang sahaja. Yang beroleh bonus ribuan orang sahaja, tetapi yang beroleh manfaat daripada penurunan harga petrol diesel dan kadar tol itu mungkin jutaan orang!

Kita tidak mengharapkan kerajaan menurunkan harga petrol diesel sampai dua puluh sen, malah kita juga tidak mengharapkan kerajaan menurunkannya pada kadar lima sen pun! Cukuplah kalau kerajaan dapat menurunkan harganya sebanyak dua atau tiga sen untuk tempoh dua tiga hari. Setidak-tidaknya, kos perjalanan rakyat dapat dikurangkan dalam tempoh hari perayaan ini. Begitu juga halnya dengan kadar tol. Cukuplah sudah kerajaan membiarkan pengendali tol hanya memperlihatkan kemurahan hatinya untuk tempoh tengah malam sahaja (pengendali tol selalunya memberikan rebat/pelepasan tertentu untuk tempoh tengah malam hingga awal pagi sahaja). Unsur pembodohan yang menggalakkan orang menggunakan lebuh raya pada waktu malam hingga kemudiannya menambah jumlah kemalangan di jalan raya haruslah dinoktahkan. Gunakanlah kaedah lain yang manfaatnya lebih menyeluruh.

Begitulah antara lain harapan kita. Harapan belum tentu menjadi kenyataan. Yang menjadi kenyataan pula selalunya bukan yang kita harap-harapkan. Tidak mengapa, yang penting, jangan berhenti berharap walaupun harapan itu harapan yang sama sejak puluhan tahun lalu dan mungkin puluhan tahun akan datang. Kalau kerajaan yang sama tidak dapat menunaikan harapan kita, kita harap ada kerajaan lain yang dapat menunaikannya, pada tempoh yang lain kelak.

Thursday, June 17, 2010

Kisah “Mat”/“Mad”

Pernahkah terfikir oleh benak kita bagaimanakah nama “Mat”/“Mad” itu sangat popular dalam kalangan umat Melayu sehingga nama itu menjadi gelar dan rujukan kepada pelbagai watak dan perwatakan orang Melayu? Bukan sedikit jumlah “Mat”/“Mad” yang digandingkan dengan imej-imej dan sifat-sifat negatif dan hal ini seperti sudah menjadi lumrah dan membudaya dalam masyarakat kita. Seperti yang kita maklum, nama “Mat”/“Mad” itu sudah tentulah dirujuk kepada orang lelaki (tidak semestinya Melayu).

Antara contoh “Mat”/“Mad” yang berganding dengan imej-imej dan sifat-sifat negatif termasuklah “Mat”/“Mad” Jenin (lelaki yang kuat berangan-angan), “Mat”/“Mad” Gian/Pet (lelaki penagih dadah), “Mat”/“Mad” Jiwang (lelaki yang sentimental), “Mat”/“Mad” Cintan (lelaki yang kaki cinta), “Mat”/“Mad” Rempit (lelaki yang suka berlumba haram), “Mat”/“Mad” Tenggek (lelaki yang suka makan percuma), “Mat”/“Mad” Rambu/Rewang (lelaki yang suka ke sana ke mari), “Mat”/“Mad” Kapur (lelaki yang suka mencuri), dan puluhan imej negatif yang lain.

Hal ini tidak termasuk dengan gelar yang diberikan kepada lelaki yang memikul jawatan tertentu atau menjadi pengamal/penggemar sesuatu bidang seperti “Mat”/“Mad” Despatch lelaki penghantar surat), “Mat”/“Mad” Rok (lelaki penggemar/pengamal muzik rok), “Mat”/“Mad” Kilang (lelaki pekerja kilang), “Mat”/“Mad” Smart (lelaki yang berpenampilan kemas), dan sebagainya.

Sesetengah “Mat”/“Mad” digunakan untuk merujuk kepada bangsa seperti “Mat”/“Mad” Salih (orang Eropah), “Mat”/“Mad” Hitam (Negro), dan lain-lain.

Dalam situasi lain, kalau empunya diri memang memiliki nama “Mat”/“Mad” dan kebetulan dia memiliki ciri tertentu, maka orang dengan senang hati memanggilnya dengan panggilan seperti “Mat”/“Mad” Misai (kerana si “Mat”/“Mad” itu bermisai), “Mat”/“Mad” Jongang (kerana si “Mat”/“Mad” itu bergigi jongang), “Mat”/“Mad” Buntal (kerana si “Mat”/“Mad” itu berperut gendut seperti ikan buntal), dan sebagainya.

Banyak juga “Mat”/“Mad” yang menjadi pangkal nama tokoh-tokoh negara seperti “Mat”/“Mad” Kilau, Wan “Mat”/“Mad” Saman, “Mat”/“Mad” Sabu, dan sebagainya.

Soalnya sekarang ialah dari manakah asalnya nama “Mat”/“Mad” yang digunakan dengan leluasa dan serampangan oleh orang Melayu itu? Saya yakin (terpulang kepada anda sama ada hendak meyakini dan menerimanya ataupun sebaliknya) asal nama “Mat”/“Mad” yang sangat popular dan sudah membudaya dalam kalangan kita umat Melayu itu adalah daripada hujung nama MUHAMMAD/AHMAD, iaitu nama Rasululullah SAW yang kita kasihi.

Jadi, saya secara peribadi, berasa agak terkilan dan bersalah kerana membiarkan orang dengan bersewenang-wenang menyalahgunakan nama insan yang dimuliakan Allah SWT itu pada sifat-sifat negatif manusia seperti “Mat”/“Mad” Jenin, “Mat”/“Mad” Gian/Pet, “Mat”/“Mad” Jiwang, “Mat”/“Mad” Cintan, “Mat”/“Mad” Rempit, “Mat”/“Mad” Tenggek, “Mat”/“Mad” Rambu/Rewang, “Mat”/“Mad” Kapur, dan sebagainya itu.

Saya yakin, kalian malah saya sendiri, akan berasa sangat marah kalau anak kita yang kita beri nama Muhammad Iqbal, misalnya, tetapi oleh sebab anak kita itu katik atau berbibir tebal seperti Negro atau berkaki pendek sebelah dan sebagainya, maka anak kita itu dipanggil oleh rakan-rakannya dengan panggilan Mat/Mad Katik, Mat/Mad Negro, Mat/Mad Tempang, dan sebagainya.

Jadi, agak-agaknya, tidak murkakah Allah SWT kalau nama MUHAMMAD/AHMAD kekasih-Nya itu disebut sebagai “Mat”/“Mad” sahaja dan dipadankan dengan sifat-sifat yang negatif pula?

(Kecenderungan orang Melayu menyebut dan menggunakan nama secara serampangan ini turut melibatkan nama Allah SWT sendiri – Abdur-Rahman menjadi Deraman, Abdullah disebut Dollah, Razak dipanggil Ajak, Jabbar dipanggil Jabor, dan sebagainya.)

Marilah kita kembali menghormati nama Nabi kita (dan nabi-nabi lain juga) serta nama Tuhan kita, Allah SWT.

Wednesday, June 16, 2010

“Fair Lady”, “Ladies First”/”Go to Ladies First”, dan “First Lady”

“Fair Lady” boleh diterjemahkan sebagai “Wanita yang Berkulit Cerah” atau “Wanita yang Adil”. “My Fair Lady” ialah judul sebuah filem muzikal yang terhasil pada tahun 1964. Tidaklah dapat saya pastikan apakah terjemahan yang sesuai untuk judul filem itu. Bagi peminat kereta pula, mereka sangat tahu bahawa “Fair Lady” ialah salah satu jenama kenderaan keluaran Nissan yang unggul. (Anak tunggal saya, malah ibunya juga, sangat meminati kereta ini.)

“Ladies First” ialah suatu ungkapan yang menjadi suatu bentuk budaya Barat yang memuliakan golongan Hawa dalam kebanyakan keadaan. Sebagai misalannya, dalam majlis makan, wanita didahulukan untuk mengambil makanan, semasa menaiki bas wanita dibiarkan naik dahulu, dan sebagainya lagi (budaya ini sangat asing dalam kehidupan orang Melayu.)

Berdasarkan nada percakapan, “Ladies First” (kalau diungkapkan wanita) boleh juga bermaksud “Go To Ladies First”. Kalau bermaksud “Go To Ladies First”, dapatlah kita fahami bahawa ungkapan itu menjelaskan seseorang wanita berhajat untuk pergi ke tandas lebih dahulu sebelum melakukan aktiviti lain bagi melepaskan hajat mereka.

“First Lady” ialah “Wanita Pertama”, iaitu secara umumnya merujuk kepada wanita yang menjadi isteri pemimpin utama sesebuah negara. Walau bagaimanapun, ada ketika dan dalam keadaan yang berlainan, anak seorang ketua negara juga dirujuk sebagai First Lady sekiranya isteri ketua negara itu meninggal dunia. Pernah juga Presiden Amerika Syarikat yang bujang, James Buchanan, mengangkat anak saudara perempuannya sebagai “First Lady”.

Di negara kita, gelar “First Lady” bukanlah penting sangat. Kita pun masih kabur, siapakah antara mereka ini – DYMM Yang di-Pertuan Agong dan YAB Perdana Menteri – yang merupakan ketua negara kita yang membolehkan isteri masing-masing kita gelar sebagai “First Lady”. Malah, keadaan ini menjadi lebih sukar kalau banyak orang yang mengejar-ngejar gelar ini. Di Malaysia, ada 13 buah negeri. Setiap negeri – dari Perlis sampailah ke Sabah – semuanya ada Raja/Sultan atau Yang Dipertua Negeri dan Menteri Besar atau Ketua Menteri. Kesemuanya ada isteri. Kalau setiap isteri Raja/Sultan atau Yang Dipertua Negeri dan Menteri Besar atau Ketua Menteri itu menghendaki orang merujuk diri masing-masing sebagai “First Lady”, hah berapa banyak “First Lady”kah yang ada di negara ini kelak?

Hairan kita dengan keadaan ini, tidak mahukah mereka menghampirkan diri mereka dengan gelar Ummu Hasanah, Ummu Sobirin, Ummu Jihad, dan lain-lain (bukan Ummu Mukminin). Bukankah gelar itu lebih baik dan tinggi darjatnya di sisi Allah SWT daripada gelar “First Lady” itu?

Friday, June 11, 2010

Orang Perjuangan Itu Apakah Ciri-cirinya?

Orang Perjuangan, bekal perjuangan mereka keikhlasan. Mereka tidak memiliki bekal lain, tidak mempunyai matlamat lain melainkan ikhlas itulah. Perjuangan yang ikhlas bermaksud semua itu dilakukan demi Allah, kerana Allah. Orang Perjuangan tidak menjadikan harta, imbalan, gelaran, pangkat, darjat, dan penghormatan sebagai matlamat perjuangannya. Malah, Orang Perjuangan mengorbankan harta, gelaran, pangkat, darjat untuk memperlengkap perjuangan mereka.

Sayidina Abu Bakar as-Siddiq, Usman ibn Affan, Abdur-Rahman ibn Auf dan banyak lagi adalah antara contoh Orang Perjuangan. Bukan sedikit harta yang dicurahkan mereka demi pegangan yang diperjuangkan mereka, bukan sekali mereka menolak anugerah, gelar, dan pangkat daripada pemuka Quraisy.

Orang Perjuangan tidak menjadikan penderitaan dan kesengsaraan, kepayahan dan kedukaan sebagai penghalang perjuangan mereka. Penderitaan kesengsaraan, kepayahan kedukaan bagi Orang Perjuangan adalah untuk dilalui dan dihadapi bukan untuk dihindari, disesali, dan ditangisi.

Salahuddin al-Ayyubi juga Orang Perjuangan. Beliau anak kenamaan. Bapanya Gabenor. Sebelum bergelar sebagai Sultan Mesir, Salahuddin anggota tentera bapa saudaranya, Shirkuh (panglima tentera pemerintah Mesir, Sultan Nuruddin). Salahuddin menggantikan bapa saudaranya sebagai panglima selepas kematian bapa saudaranya itu. Pelantikan beliau sebagai Sultan adalah antara kemuncak kejayaannya sebagai Orang Perjuangan. Orang Perjuangan seperti beliau langsung tidak berhajat akan jawatan. Beliau dipilih, bukan merampas kekuasaan daripada Shirkuh atau Sultan Nuruddin.

Sebagai Sultan dan pemimpin perang – Orang Perjuangan – beliau kerap menang dalam perang (Perang Salib). Apakala beliau mangkat pada tahun 1193, harta yang ditinggalkannya sebagai belanja pengebumiannya hanyalah sekeping wang emas dan empat keping wang perak/wang berjumlah lima dinar. Itu sahajalah yang ditinggalkannya sebagai Orang Perjuangan kerana hampir kesemua hartanya telah diberikannya kepada rakyatnya yang miskin.

Kita – saya dan kalian – saya yakin, masih kabur mata dan kabur fikiran. Tegasnya, kita masih tidak tahu sama ada hendak menggolongkan para pemuka kita – baik yang memerintah ataupun yang membangkang – sebagai Orang Perjuangan seperti tokoh-tokoh yang namanya disebutkan itu. Orang Perjuangan benar-benar mendahulukan agamanya, negaranya, rakyatnya bukan mendahulukan anak dan bininya, kawan dan kroninya, saudara-mara dan saudari-marinya.

Para pemuka kita, barangkali memang Orang Perjuangan juga. Yang berbeda ialah perkara, bentuk, dan matlamat perjuangan mereka. Mereka lazimnya berjuang untuk mewah serba-serbi – rumah agam, kereta canggih, saham berkepuk, bini berbaris (tidak kira dipinang cara sah atau perlu menghunus keris). Tidak cukup yang itu, gelar dan penghormatan, pangkat dan darjat dihambat-hambat.

Saya ingin mengingatkan, kalau kalian menggolongkan diri kalian sebagai Orang Perjuangan, janganlah gelar dan pangkat, harta dan darjat kalian hambat-hambat. Jadikanlah Abu Bakar, Usman, Abdur-Rahman, dan Salahuddin contoh teladan. Nama mereka harum mewangi di langit dan di bumi bukan kerana gelar dan pangkat, harta dan darjat tetapi kerana perjuangan mereka. Nama mereka harum bukan kerana rumah agam, kereta canggih, saham berkepuk, bini berbaris tetapi kerana ada ikhlas dalam perjuangan sebagai Orang Perjuangan. Orang Perjuangan merealisasikan matlamat bukan merealisasikan nafsu.

Dan sebagai Orang Perjuangan, kalau kelak dengan perjuangan kalian itu sampai kalian beroleh gelar dan pangkat, harta dan darjat, ingatlah kalian bahawa semua yang kalian peroleh itu adalah kerana kalian khlas berjuang lalu kalian dipandang, bukan kerana kalian merayu dan menadah tangan. Sebaliknya, kalau dengan perjuangan kalian sebagai Orang Perjuangan kalian tidak beroleh apa-apa – gelar dan pangkat, harta dan darjat – kalian memang tidak mengharapkannya kerana yang kalian harapkan hanyalah ingatan rakyat, keredhoan Allah Azza wa Jalla.

Sebenarnya, wahai Orang Perjuangan, upah kelelahan kalian cukuplah dengan yang perlu-perlu sahaja (wang sara yang seadanya)! Janganlah kalian harapkan wang dan harta daripada taikun dan tauke. Janganlah kalian idam-idamkan siang malam Tun dan Tan Sri, Datuk dan Datuk Seri, Datuk Paduka dan Datuk Wira, Datuk Patinggi dan entah apa-apa lagi. Cukuplah dengan yang seada-adanya supaya kalian tidak malu sendiri apatah lagi kalau misalnya sampai satu waktu kelak Tun dan Tan Sri, Datuk dan Datuk Seri, Datuk Paduka dan Datuk Wira, Datuk Patinggi dan entah apa-apa lagi itu diambil kembali oleh orang yang memberi. Lagipun, Tun dan Tan Sri, Datuk dan Datuk Seri, Datuk Paduka dan Datuk Wira, Datuk Patinggi dan entah apa-apa lagi itu ada dalam pandangan Allahkah?

Sebagai pemuka wahai para pemukaku, sebagai Orang Perjuangan lebih tepatnya, harta kalian yang sebenar-benarnya adalah untuk nikmat dan kesejahteraan rakyat kalian! Kalau kalian menghendaki harta dan pangkat, gelar dan darjat, senangkanlah rakyat kalian dahulu! Dan cara kalian menyenangkan rakyat kalian dan diri kalian bukan daripada sumber seperti Ascot Sports Sdn Bhd, tetapi haruslah daripada sumber yang suci dan menyucikan.

Ah, susah kami hendak meletakkan kalian sebagai Orang Perjuangan! Rasa-rasanya, kalian memang bukan Orang Perjuangan. Kami membayar hampir segala-galanya – belanja tol dan belanja petrol, caj parkir dan caj servis, caj telefon, caj elektrik, dan caj air, serta belanja hospital dan belanja keraian– kalian apakah yang kalian bayar? Parkir lima puluh sen pun kerajaan bayarkan!