MEMANG ada
peribahasa Melayu yang diungkapkan sebagai ikan
sekambu rosak oleh ikan seekor. Peribahasa ini sebenarnya mendukung maksud yang sama dengan
peribahasa ikan seekor
rosakkan ikan setajau dan sebab nila setitik,
rosak susu/santan sebelanga. Maksud peribahasa ini ialah “kejahatan yang sedikit merosakkan kebaikan yang banyak”. Ada yang mengatakan peribahasa ini mendukung maksud “kerana
kejahatan seorang, semua orang mendapat nama buruk”. Maksud ini tidak tepat untuk
peribahasa itu kerana ada peribahasa khusus untuk maksud yang sedemikian, iaitu
“seekor kerbau berkubang, sekandang
kena luluknya” atau “seekor
kerbau membawa lumpur habis semuanya terpalit”.
Bentuk peribahasa ikan
sekambu rosak oleh ikan seekor itu apakah yang tidak kenanya? Bentuk ungkapan keseluruhannya secara
umumnya kelihatan tidak salah kerana kita dapat menangkap maksud yang ingin disampaikan
daripada ungkapan itu. Menerusi penelitian saya, memang itulah bentuk yang
diungkapkan dalam kesemua buku peribahasa yang ada. Namun begitu, ungkapan itu ada
silapnya, iaitu dari segi penggunaan kata sekambu itu!
Ketahuilah bahawa baik dalam KDE4 ataupun
dalam KBBI, tidak wujud bentuk kata kambu bagi
merujuk “bakul kecil untuk mengisi ikan”! Bentuk kata yang wujud dalam
kedua-dua buah kamus itu ialah kembu. Kata ini
juga biasa disebut sebagai kumbu ataupun nama lainnya, kepis.
Bentuk kata kambu memang wujud, tetapi tidak mendukung maksud “bakul kecil untuk
mengisi ikan”, sebaliknya mendukung maksud 1.
“sejenis kepala omboh atau pemukul” dan 2.
“jatuh sakit lagi (lebih teruk daripada yang
sebelumnya). Kata kambu ini pula tidak wujud dalam KBBI,
sebaliknya hanya wujud dalam KDE4. (Untuk
maksud “jatuh sakit lagi (lebih teruk
daripada yang sebelumnya), kata lain yang lebih lazim digunakan ialah kambuh)! Oleh
sebab itu, jelas bahawa kambu sangat tidak sesuai untuk dikaitkan dengan peribahasa yang
dibicarakan ini kerana kambu bukan bekas untuk menyimpan (ikan) sebaliknya alat untuk memukul
dsb. Peribahasa itu juga tidak ada ada kena-mengena dengan sakit semula.
Berdasarkan hal ini, bentuk ungkapan peribahasa yang tepat bagi
mendukung maksud “kejahatan yang sedikit merosakkan kebaikan yang banyak” ialah
ikan sekembu/sekumbu rosak oleh ikan seekor! Bentuk yang tidak tepat itu haruslah diperbaik dalam KIPM
dan mana-mana kamus peribahasa pun; atau jika masih ingin mengekalkan bentuk kambu itu untuk
maksud “bakul kecil untuk mengisi ikan”, haruslah pihak berkuasa yang
menerbitkan Kamus Dewan menambahkan makna
bagi entri kambu itu
manakala pihak penerbit KBBI harus
memasukkan kata kambu untuk maksud “bakul kecil untuk mengisi ikan” selain kata kembu yang sedia ada
dalam kamus tersebut! Usaha ini sangat penting bagi memudahkan orang ramai
memahami sesuatu peribahasa.