SEGALA jenis lalat ... daripada langau, pikat, lalat hijau, lalat kerbau, lalat kuda, lalat tse-tse, lalat buah datang berdengung dan berdenging, menyerbu penduduk di mukim Masnagara. Tidak ada satu pun lalat yang segala macam dan jenis itu yang datang dari tempat yang bersih dan suci melainkan datangnya dari tempat yang kotor, jijik, dan cemar jua adanya. Kerana datangnya demikian banyak dan bergerombolan, maka jeralah orang-orang di Masnagara yang menjadi mangsa serbuan menepis serbuan segala macam lalat itu. Tidak cukup dengan menepis dan menangkis, mereka menyemburnya dengan segala macam racun serangga. Namun demikian, segala kaedah dan alat pembunuh serangga itu tidaklah pula dapat menghapuskan serbuan lalat-lalat itu. Maka, muncullah idea baharu — mereka meletakkan segala macam kotoran dan sampah sarap, daripada sisa makanan sampailah kepada najis dan bangkai di sekeliling mereka supaya lalat-lalat itu tidak menyerbu mereka melainkan menyerbu kotoran dan sampah sarap di sekitar mereka. Ternyata gerombolan lalat itu tidak mengganggu mereka. Bebaslah mereka daripada gangguan lalat-lalat itu. Walau bagaimanapun, bau yang yang berpunca daripada segala macam kotoran dan sampah sarap itu sedikit banyak mengganggu penduduk Masnagara hingga bukan sedikit daripada mereka yang tidak lalu makan oleh gangguan bau itu. Sekarang mereka sedang memikirkan idea baharu pula, kotoran dan sampah sarap yang mengeluarkan bau busuk itu seharusnya hendak diapakan supaya kehidupan mereka tidak terganggu olehnya?
Wednesday, August 12, 2015
Monday, May 13, 2013
Yang Menang, Menang; Yang Kalah, Kalah: Politik Dendam Hindarilah
Sebagai warganegara yang mencintai amalan demokrasi, politik
dendam merupakan perkara yang paling dibenci oleh kebanyakan orang, khususnya
dalam kehidupan yang bertamadun. Amalan ini tidak harus ada sama sekali dalam
sistem pemerintahan di negara ini apatah lagi di negara yang beragamarasmikan
Islam dan kebetulan dipimpin oleh orang Islam yang menghendaki semua orang
mempraktikkan keadilan dan kesaksamaan. Amalan politik dendam bertentangan
dengan tuntutan Islam yang dinyatakan itu. Apa-apa bentuk penderaan yang
langsung tidak memperlihatkan keadilan merupakan suatu bentuk penganiayaan.
Di negara ini, kita baru sahaja melepasi tempoh pilihan raya
yang hebat – kerajaan pemerintah (tidak kira di mana-mana kerajaan, sama ada
Persekutuan yang diterajui oleh BN atau negeri-negeri yang diterajui sama ada
oleh BN atau PR), berdepan dengan kebangkitan rakyat yang ingin mengubah atau
mempertahankan kerajaan yang diyakini mereka. Pada peringkat Persekutuan,
seperti yang diketahui, BN masih gagah dan berkuasa. Pada peringkat negeri, ada
yang terus berkuasa, malah ada juga yang tambah memantapkan kuasa dan ada yang
telah tumbang oleh kebangkitan rakyat dan ada juga yang kuasanya dikurangkan
oleh rakyat.
Demikianlah perjalanan sistem demokrasi yang diserahkan kepada
rakyat sepenuhnya. Para “pemain” yang menyertai pertandingan (dalam konteks
PRU, “pemain” itu merupakan calon wakil rakyat yang di atas bahunya bakal terpikul
beban tanggungjawab besar untuk berkhidmat demi rakyat) boleh menangis kerana
terlalu gembira atas kemenangan atau atas kekalahan masing-masing, tetapi
percayalah rakyat yang memilih mereka tidak peduli akan perasaan calon wakil
rakyat itu. Yang dihajati oleh mereka ialah mereka memainkan peranan penting
sebagai wakil rakyat. Rakyat dalam konteks apa-apa pun merangkum semua orang di
kawasan mereka.
Jadi, apabila ada pemimpin yang dipilih melalui proses pilihan
raya ini yang menafikan hak rakyat kerana mendefinisikan rakyat sebagai “orang
yang menyokong mereka” bukan sebagai “orang di kawasan mereka secara
keseluruhannya”, maka pemimpin ini dengan mudah dapat kita golongkan sebagai
zalim. Sebagai contohnya, kalau YAB PM menafikan hak orang Cina kerana
merasakan bangsa ini tidak memilih parti yang dipimpinnya dalam PRU yang baru
lalu, kita dengan mudah dapat menggolongkan beliau sebagai zalim (saya yakin
bahawa beliau tidak demikian) kerana orang Cina berstatus rakyat di negara ini.
Demikian juga kalau ada YAB MB yang sampai mengeluarkan
kenyataan untuk tidak melantik Pegawai Pembangunan DUN (PPD) dan Pegawai
Pembangunan Parlimen (PPP) di kawasan partinya kalah dalam PRU baru-baru ini. Tindakan
yang diambil itu jelas berunsur dendam dan seolah-olah wajar dikenakan kepada rakyat
yang “tidak mengenang budi” hingga menyebabkan beberapa calon parti pimpinannya
kecundang pada PRU yang lalu. Tidak kira walau dalam keadaan yang bagaimana
sekalipun, pemimpin yang dipilih sebagai wakil rakyat harus berfikiran terbuka
tentang hakikat demokrasi ini. Jauhi kezaliman, tinggalkan diskriminasi, dan
raikanlah demokrasi.
Tuesday, May 7, 2013
Keputusan Siapakah yang Harus Diterima dengan Hati Terbuka?
Penantian penuh debar
tarikh PRU13 kita tempuhi hampir dua tahun. Di pihak Pakatan, keyakinan mereka untuk
memenangi PRU itu berada pada tahap yang sangat tinggi; di pihak Barisan, walaupun
mereka berkeyakinan tinggi seperti Pakatan, mereka sebenarnya hampir sepanjang
masa menjadi pihak yang berusaha untuk menyaingi (Pakatan) bukan pihak yang
disaingi (Pakatan). Hal ini dapat dibuktikan melalui beberapa/pelbagai tindakan
dan keputusan yang diambil oleh mereka (meniru).
Sebagai
contohnya, istilah “Negara Berkebajikan” yang dipopularkan oleh pihak Pakatan telah
diguna pakai oleh pihak Barisan dengan mengatakan bahawa apa-apa yang diamalkan
oleh mereka sejak sekian lama memang menjurus kepada “Negara Berkebajikan”.
Kemudian, menghampiri hari berlangsungnya PRU, mereka mengeluarkan Aku Janji. Antara
lain mereka berjanji untuk menurunkan harga kereta. Janji dan iltizam ini
terkemudian daripada iltizam yang telah diwara-warakan oleh pihak Pakatan,
malah berlawanan dengan pendirian awal mereka.
Yang
menjadi penyokong Pakatan, keyakinan mereka sangat selari dengan keyakinan
pemuka-pemuka Pakatan, iaitu Putrajaya bakal menjadi pusat pentadbiran kerajaan
baharu – Pakatan Rakyat. Kebanyakan teman dan jiran yang sempat ditemui sebelum
berlangsungnya PRU13 senada dalam bicara mereka – menghendaki perubahan. Perubahan
yang dikehendaki itu bukan perubahan yang harus dilakukan oleh Barisan, tetapi
perubahan yang akan dilakukan oleh mereka sendiri – menukar kerajaan yang
terlalu tua.
Mereka
sudah hampir merealisasikannya; ataupun memang sudahpun berjaya merealisasikannya
(jikalau dakwaan-dakwaan penipuan oleh pihak SPR itu benar). Orang-orang yang
sekadar menjalankan tanggungjawab mengundi dan tidak dapat melihat “penipuan”
itu dengan mata kepala sendiri tidak dapat berbuat apa-apa selain menerima
keputusan itu dengan hati terbuka. “Bersangka baiklah,” kata beberapa orang penyokong
Pakatan, “kerana kita kalah dalam kemenangan, mereka menang dalam keegoan”.
Ungkapan
“menerima keputusan dengan hati terbuka” itu menarik untuk dibicarakan. Keputusan
daripada pihak manakah yang hendak diterima dengan hati terbuka itu? Keputusan
yang dizahirkan oleh rakyat yang memberikan 51.4% undi popular itu atau
keputusan yang diumumkan oleh Pengerusi SPR yang tersenyum manis dan puas
tatkala memaklumkan Barisan sudah memperoleh majoriti mudah 112 kerusi menjelang
tengah malam 06 Mei 2013 itu? Yang mana satu? Banyak yang tertanya-tanya!
Apabila
terbaca akan suatu tulisan/komen dalam FB atau mungkin dalam Blog, jika saya
tidak silap, saya memilih untuk bersetuju dengan penulis itu. Yang memberikan
keputusan itu ialah Allah SWT lalu terimalah keputusan itu dengan hati terbuka.
Allah telah menunjukkan bahawa rakyat di negara ini memang memahukan negara ini
memiliki kerajaan baharu (berdasarkan undi popular itu). Oleh itu, andai benar
SPR melakukan pengkhianatan, biarlah Allah SWT membalas perbuatan mereka.
Di
sini, saya mencedok cerita Ustaz Azhar Idrus lewat FBnya yang tersiar hari ini
(Selasa, 07 Mei 2013, jam 7:21 a.m). Beliau bercerita (dengan sedikit pembetulan
ejaan dan penggunaan kata):
“Saya menceritakan rasa sedih Parti Islam tidak memenangi pilihan raya kepada seorang Murabbi. Dengan tenang beliau menjawab, ‘Itulah tanda perjuangan Parti Islam itu di landasan yang betul’. Islam tidak akan menang jika masih ramai lagi masyarakat jahil. Islam tidak akan menang jika ada yang gila untuk menjadi pemimpin. Islam tidak akan menang jika jentera tidak menghidupkan Islam dalam diri, keluarga, dan masyarakat Islam. Kita berjuang kerana Allah, bukan kerana semangat, bukan kerana gila akan kuasa. Mari kita muhasabah diri kita, muhasabah jentera kita. Jika Salahudin al-Ayubi memeriksa solat malam tentera mereka, adakah jentera kita cukup solat jemaah lima waktu? Perjuangan ini masih panjang.
Perjuangan
ini masih panjang ... dan perlu istiqomah. Kejayaan tidak tercipta dalam
sehari; kekalahan mengajar kita erti tabah dan menjadi kuat. Kejahatan tidak
akan berkuku di bumi ini selama-lamanya. Allah yang Maha Baik akan memberikan
yang baik-baik untuk hamba-Nya yang terus-terusan melakukan kebaikan. Yang
melakukan kejahatan, jangan kita aniayai, tetapi kita doakanlah mereka menjadi
insan yang bertaubat yang hingga demikian dapat menguatkan umat dan menjadi tentera
penegak kebenaran.
Bukankah sudah banyak orang yang bergelar “penjahat” pada suatu ketika dahulu dalam jemaah kalian?
Bukankah sudah banyak orang yang bergelar “penjahat” pada suatu ketika dahulu dalam jemaah kalian?
Monday, May 6, 2013
Cina dan DAP yang Rasis: Benarkah Begitu?
Sewaktu menunggu-nunggu keputusan PRU13 malam tadi, keputusan
yang berulang-ulang tertayang di skrin TV, baik TV1, TV3, TV9, Al-Hijrah,
Awani, BTV, ialah keputusan kerusi Parlimen yang dimenangi oleh DAP di Sarawak
dan Pulau Pinang. Dalam belasan kerusi yang dimenangi oleh DAP, PKR digambarkan
baru beroleh satu dua kerusi manakala PAS masih belum beroleh apa-apa kerusi.
Keadaan itu berlaku lama dan membosankan banyak penonton.
Kerana bosan dan berdebar-debar, saya sendiri beralih ke FB.
Sudah ada keluhan dan gambaran ketakutan dalam kalangan orang di FB – “mana PAS
tak menang-menang lagi”; “DAP sudah tikam PAS dari belakang – mereka menang,
PAS kalah”; “Melayu sudah jadi Pak Kaduk – kampung tergadai”; dan sebagainya. Walhal,
pada waktu itu, keputusan tidak rasmi di Kelantan sudah boleh dipaparkan di
skrin TV. Jika tersiar, akan nampaklah PAS tidaklah begitu ketinggalan.
Permainan ini, kata teman saya lewat FB, sengaja dilakukan oleh
pihak stesen TV. Tujuannya pelbagai, misalnya antara lain untuk menggambarkan
bahawa orang Melayu menolak PAS dan orang Cina tidak membantu PAS untuk menang.
Hal ini seperti ada benarnya kerana hati saya sendiri berdegup-degap dan tertanya-tanya,
apakah yang sudah terjadi dengan PAS ini? PAS di Selangor, terutamanya,
bagaimanakah nasibnya? Saya tidur dalam kerisauan.
Apabila celik daripada tidur sebelum jam 6:00 pagi (Alhamdulillah), saya segera ingin
memadamkan kerisauan itu. Saya menonton TV Bernama dan melihat tagline yang bergerak laju itu. Di
Selangor, saya dapati PAS menang 15 kerusi, DAP 15, PKR 14, dan BN 12 (pada PRU
2008, PAS menang 8 kerusi, DAP 13, PKR 14, dan BN 20).Sebaliknya di Kelantan,
PAS memperoleh 32 kerusi, PKR 1, dan BN 12 kerusi (pada PRU 2008, PAS menang 38
kerusi, PKR 1, dan BN 6).
Jelas bahawa keputusan di dua negeri itu – Selangor dan Kelantan – memperlihatkan senario yang berbeda. Tatkala PAS berjaya meningkatkan jumlah
pungutan kerusi daripada 8 kerusi kepada 15 kerusi di Selangor, PAS di Kelantan
memperlihatkan penyusutan pula, yakni daripada 38 kerusi kepada 32 kerusi sahaja
(masih majoriti dua per tiga!) Di Selangor, PAS berjaya menambahkan bilangan
kerusi hampir sekali ganda, tetapi di Kelantan, PAS kehilangan 6 kerusi.
Dengan peningkatan jumlah kerusi yang
diperoleh oleh PAS di Selangor itu, BN telah kehilangan 8 kerusi (daripada 20 kerusi
pada PRU 2008 kepada hanya 12 kerusi pada PRU kali ini). Hal yang berbeda
berlaku di Kelantan kerana dengan penyusutan jumlah kerusi yang diperoleh oleh
PAS di Kelantan itu, BN telah berjaya menambahkan bilangan kerusi yang
diemananginya sekali ganda (daripada 6 kerusi pada PRU 2008 kepada 12 kerusi
pada PRU tahun ini).
Orang-orang yang menyasarkan PR sebagai punching bag telah memperlekeh persepakatan mereka. PAS dikatakan
bahawa telah dijadikan sebagai kuda tunggangan oleh DAP dan PKR sehingga
menyebabkan PAS beroleh kerusi Parlimen yang kurang daripada sekutu mereka itu (PAS
21, PKR 30, DAP 38). Mereka menuduh orang Melayu (PAS) berkorban untuk mengundi
DAP (Cina), tetapiCina tidak mengundi PAS hingga menyebabkan PAS kalah di
banyak kerusi.
Saya suka merujuk kepada negeri kelahiran saya, Selangor. Di
negeri ini, pada peringkat Parlimen, PAS meletakkan 7 orang calon dan 4 orang
daripadanya menang. Mereka ialah Che Rosli Che Mat (Hulu Langat), Abdul Khalid Samad (Shah Alam), Siti
Mariah binti Mahmud (Kota Raja), dan Mohamed Hanipa
Maidin (Sepang). Yang kalah ialah Mohamad Salleh M.
Husin (Sungai Besar), Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), dan Mohamad Rashdi
Deraman (Tanjong Karang).
Tiga orang calon awal yang disebutkan itu menang dengan majoriti
yang besar – Che Rosli (maj. 17,267), Abdul Khalid Samad (maj. 10,939), dan
Siti Mariah Mahmud (maj. 29,395). Majoriti yang diperoleh oleh Mohamed Hanipa pula
ialah 1,104. Dua orang calon yang kalah, iaitu Mohamad Salleh dan Dzulkefly,
kalah dengan majoriti yang sangat tipis (masing-masing dengan majoriti 460 undi
dan 399 undi).
Bagaimanakah Che Rosli (Hulu Langat), Abdul Khalid (Shah Alam),
dan Siti Mariah (Kota Raja) mampu beroleh majoriti yang besar? Bagaimanakah Mohamad
Salleh (Sungai Besar) dan Dzulkefly (Kuala Selangor) boleh kalah dengan
majoriti yang begitu kecil? Jawabannya ialah, orang Melayu-Islam memang menyukai
calon-calon itu serta parti yang dianggotainya. Yang lebih penting, dalam
konteks pertandingan, kemenangan mereka dibantu oleh sokongan orang Cina!
Kita ambil satu contoh – Parlimen Hulu Langat. Kawasan Parlimen
ini mempunyai 127,347 orang pengundi berdaftar. Daripada
jumlah itu, 52.74% Melayu, 34.27% Cina, 11.32% India, dan 1.67% kaum lain. Dalam
PRU13 ini, Che Rosli beroleh 64,127 undi manakala lawannya (Adzhaliza Mohd.
Noor) beroleh 46,860 undi. Sejumlah 1,335 kertas undi ditolak dan 550 kertas
undi lagi tidak dikembalikan. Hal ini bermaksud bahawa 110,987 undi yang
dikira.
Jika separuh daripada 52.74% Melayu itu diambil kira sebagai pengundi
Che Rosli (separuh lagi pengundi Adzhaliza), Che Rosli hanya memperoleh 29,267
undi. Hal ini bermaksud bahawa undi selebihnya (34,960 undi) diperolehnya
daripada pengundi Cina, India, dan kaum lain. Oleh hal yang
demikian, dapat kita gambarkan betapa kaum Cina memainkan peranan penting untuk memenangkan Che Rosli di Hulu Langat. Jadi, tidak timbul soal Cina tidak
membantu PAS lalu usahlah dipalu genderang rasis itu.
Tuduhan lain yang dilemparkan terhadap orang Cina pada PRU13 ini
ialah mereka itu rasis. Hal ini dikatakan mereka demikian kerana orang Cina
telah menolak BN. Hal ini sangat aneh dan ditohmahkan oleh orang yang berniat
jahat. BN bukan bangsa, tetapi suatu perikatan yang terdiri daripada pelbagai
komponen parti yang mewakili pelbagai bangsa. Di Semenanjung, misalnya (kecuali
di Gelang Patah), yang ditentang mereka dalam PRU13 ini pula bukannya UMNO atau
PAS, tetapi sama ada MCA dan Gerakan (parti Cina). Jadi, di manakah rasisnya
mereka kalau yang ditentang mereka ialah parti sesama Cina?
Tulisan ini bukan bermaksud saya akan menjadi ahli DAP serta
menjulang Cina dan parti-parti mereka, tetapi meminta kita berfikir secara
waras dalam hal yang berkait dengan tusukan sentimen dalam amalan demokrasi. Saya
akan menentang mereka bersama-sama dengan orang Melayu-Islam lain kalau mereka
mempersendakan agama Islam. Saya akan menentang mereka kalau sampai kita tidak
boleh melaungkan azan di bumi yang beragamarasmikan Islam ini.
Friday, May 3, 2013
Pertandingan Besar 5513: Ganjaran dan Derajat
Apabila kita bersaing dalam apa-apa pertandingan, yang
kita harapkan ialah kemenangan. Hal ini berlaku demikian kerana kemenangan
menjanjikan ganjaran, imbalan, dan sebagainya. Harapan untuk menang itu juga muncul kerana
kemenangan akan mengharumkan nama serta mengangkat derajat pemenang di mata
orang (walaupun sebenarnya kemenangan itu belum tentu mengangkat derajat
pemenang di sisi Allah).
Kalau kita bersaing dalam pertandingan nyanyian,
pertandingan lukisan, atau sayembara penulisan, misalannya, akan ada kelompok orang
yang dipertanggungjawabkan untuk menilai kelebihan kita. Orang yang
dipertanggungjawabkan itu biasanya digelar orang sebagai “Panel Penilai” yang
terdiri daripada pakar dalam bidang masing-masing. Sama ada kita berbakat atau
berkelebihan, kelompok “Panel Penilai” inilah yang menentukannya.
Yang menariknya dalam persaingan serupa itu, para peserta
yang bersaing tidak akan sekali-kali merengek-rengek, merayu-rayu,
meminta-minta “Panel Penilai” untuk memenangkan mereka. Untuk menang, para peserta
perlu memperlihatkan kualiti yang dimiliki – kelebihan atau apa-apa yang
dihasilkan mereka itu memang benar-benar luar biasa dan bagus di mata “Panel
Penilai”. Kalau bagus, mereka pasti menjadi pemenang.
Dalam pertandingan sukan pula, misalnya bola sepak, hoki,
tenis, badminton, dan olahraga, “Panel Penilai” langsung tidak diperlukan. Yang
diperlukan dalam pertandingan seperti itu ialah pengadil dan pegawai
pertandingan. Kerana mereka pengadil, mereka diperlukan untuk mengadili
pertandingan serta untuk memastikan pertandingan itu berlangsung mengikut
disiplin dan garis panduan yang digariskan dalam setiap sukan tersebut.
Kemenangan peserta dalam sukan-sukan yang dicontohkan itu
banyak bergantung pada kekuatan, kelebihan, dan keupayaan diri masing-masing.
Tidak ada “Panel Penilai” yang akan dipertanggungjawabkan untuk menilai
permainan mereka hingga kemudiannya memilih mereka sebagai pemenang. Cuma
kadangkala, jika yang bersaing itu senegeri atau senegara, mereka mungkin akan berpakat
sesama sendiri untuk menjadi pemenang.
Bagaimanakah pula halnya dengan Pertandingan Besar 5513
yang akan berlangsung tidak lama lagi? Di kategori manakah duduknya
pertandingan itu? Adakah pertandingan itu duduk pada kategori yang memerlukan
“Panel Penilai” ataupun duduk pada kategori yang hanya memerlukan pengadil dan
pegawai pertandingan? Saya yakin bahawa banyak kalangan pembaca yang menjawab
pertandingan itu memerlukan “Panel Penilai”!
Jika demikian halnya, siapakah pula kelompok “Panel
Penilai” itu? Jawabannya, mereka itu tidak lain orang-orang yang telah
mendaftarkan diri mereka sebagai pemilih yang kemudiannya tergolong sebagai pengundi.
Ya, pertandingan ini memerlukan pengundi. Pengundi ini lazimnya akan memilih
pemenang berdasarkan dua skop utama – calon atau organisasi yang diwakili oleh
calon. Pengundi yang bijak akan memilih organisasi.
Benarkah pendapat saya ini, iaitu orang yang membuat
pilihan berdasarkan organisasi tergolong sebagai pengundi yang bijak? Saya
memilih untuk menjawab ya. Hal ini saya lakuakn begitu kerana Pertandingan
Besar 5513 ini pertandingan berkelompok, bukan pertandingan individu.
Masing-masing calon bergerak dalam kelompok besar bagi mewakili organisasi
masing-masing, bukannya bergerak secara bersendirian (kecuali calon bebas).
Bukanlah saya bermaksud hendak mengatakan bahawa orang
yang menjadikan calon sebagai keutamaan tidak bijak. Ada juga cerdiknya orang
yang demikian itu, tetapi perlu diingat bahawa Pertandingan Besar 5513 ini pertandingan
untuk memenangkan pihak yang bakal menjadi peneraju negara, bukannya
pertandingan untuk memenangkan individu yang kemudiannya akan menjadi Yang Amat
Berhormat atau Yang Berhormat sahaja!
Untuk memenangi pertandingan besar ini, semua organisasi
akan menaburkan pelbagai janji melalui calon mereka – ada yang menggolongkan
janji mereka sebagai aku janji dan ada pula yang menggolongkannya sebagai
manifesto. Kita yang menjadi “Panel Penilai”harus menjadikan aku janji dan
manifesto ini sebagai garis panduan untuk memilih pemenang. Dan jangan pula
lupa tentang rekod prestasi organisasi yang bersaing.
Tanyai diri kita yang menganggotai “Panel Penilai”,
apakah yang kita inginkan daripada sebuah organisasi yang bakal menerajui
negara? Saya, secara peribadi, berhajatkan negara yang bebas rasuah, pemimpinnya
pula memiliki integriti. Saya juga menginginkan penurunan harga barangan keperluan
harian seperti gas memasak, bahan api kenderaan, kenderaan itu sendiri, dan
lain-lain. Harga biar rendah walaupun tidak murah.
Saya juga berkehendakkan biaya hospital swasta yang
rendah, pendidikan percuma, jalan raya bebas tol, tarif telefon, air, dan
elektrik yang relatif rendah, dan lain-lain. Saya juga menginginkan negara yang
rakyatnya menjadi penjual manakala rakyat luar yang datang sebagai pembeli,
bukan sebaliknya supaya wang dalam negara tidak berhijrah ke luar negara. Lebih
penting lagi, saya menginginkan negara bebas dadah dan jenayah.
Sungguh, pemenang dalam pertandingan akan beroleh
ganjaran, imbuhan, atau imbalan. Benar juga kemenangan yang diperoleh akan
mengangkat nama dan derajat pemenang di mata orang (walaupun belum tentu
mengangkat derajatnya di sisi Allah). Walau bagaimanapun, dalam konteks
Pertandingan Besar 5513 ini, pemenang janganlah menghambat ganjaran dan derajat,
tetapi tunaikanlah tanggungjawab.
Negara ini Negara 1001 Kekayaan; oleh itu, pastikanlah
kekayaan itu diperoleh oleh semua hamba rakyat. Rakyat bukannya mengharapkan
BR1M RM500 @ RM1200 (akan datang) itu sangat kerana pemberian seperti itu tidak
menyeluruh dan tidak adil. Rakyat sebenarnya mengharapkan kadar pendapatan yang
tinggi dan kos sara hidup yang rendah. Inilah ganjaran daripada kemenangan dalam
pertandingan besar itu yang sebenar-benarnya.
Kalau kamu menang, tegakkanlah keadilan dan kesaksamaan. Kalau
kamu menang di Pusat dan kalah di Negeri, janganlah kamu melakukan
penganiayaan. Yang berhak memperoleh royalti petroleum, berikanlah hak mereka
itu. Yang hendak mengembalikan hak air kepada rakyat, berikanlah juga. Apa-apa
yang kamu jadikan sebagai aku janji, laksanakan segera. Amalan kronisme dan
nepotisme hendaklah kamu campakkan jauh-jauh ke dasar bumi.
Ingatlah, wahai para peserta Pertandingan Besar 5513!
Tidak seperti pertandingan lain, Pertandingan Besar 5513 yang kamu sertai ini
menghendaki kamu merengek-rengek, merayu-rayu, meminta-minta daripada “Panel
Penilai”. Jadi, setelah rengekan, rayuan, dan permintaan kamu terpenuhi nanti,
tentulah tidak molek kamu membutakan mata dan menulikan telinga terhadap
apa-apa yang kamu janjikan dan apa-apa yang kami minta.
Thursday, May 2, 2013
Manusia-manusia Pencetus Fenomena
Sesuatu
itu, apabila hendak berada di tempat yang tinggi, dalam beberapa keadaan, harus
ada manusia/medium yang menjadi pencetusnya. Pembaca mungkin bersetuju dengan
teori saya ini, dan mungkin juga tidak bersetuju dengannya. Malah, pembaca
mungkin juga faham akan maksud kata-kata saya ini, dan mungkin juga tidak faham
akan maksud saya itu! Jadi, elok saya jelaskan hal tersebut.
Mari
kita melihat bidang yang dikatakan “seni” – nyanyian. Suatu ketika, ada sedikit
penyanyi yang memperjuangkan lagu etnik Melayu asli bertahun-tahun. Malangnya, lagu etnik Melayu asli itu tetap
berada di takuk yang itu-itu juga – naik dan disukai oleh kelompok yang itu-itu
jugalah, iaitu golongan yang berumur di desa. Yang muda, tak ambil parwah. Antara yang giat mempopularkannya ialah
arwah Abdullah Chik dan pasangannya, Noraniza Idris.
Muncul
seorang Siti Norhaliza dengan lagu “Cindai” yang berirama Malaysia – melata
orang yang menyukainya, baik yang tua mahupun yang muda. Lagu itu menjadi kegemaran orang tua, menjadi siulan
muda-mudi di sana sini hingga membolehkan albumnya terjual lebih 120,000 keping. Abdullah Chik
dan pasangannya berjuang lama, tidak begitu berjaya (tidak berniat untuk
memperkecil usaha mereka); Siti berjuang sekejap, meletup!
Sebelum
itu, kemunculan TV3 pada tahun 1984 telah meredumkan minat orang terhadap
radio. Dengan mengangkat “Berita Terkini Hiburan Sensasi” sebagai tema
penyiaran mereka, stesen TV yang pada awalnya sekadar bersiaran di Lembah Klang
sahaja itu telah mengurangkan minat orang terhadap radio. (Sungguh, saya
sendiri hampir lupa akan kewujudan dan peranan radio.)
Muncul
seorang Zainaldin Zainal di RMIK dengan tiupan wiselnya pada awal pagi. Tiada
sesiapa yang menggerakkan hati saya dan rakan-rakan serumah sewa untuk membuka
radio (RMIK) pada setiap awal pagi bagi mendengar tiupan wiselnya. Betul,
memang tidak ada sesiapa yang mendorong kami untuk mendengar RMIK yang telah
lama kami abaikan. (Saya yakin bahawa semuanya kerja Allah!).
Tentang
Zainaldin ini, saya sendiri mendengar di udara suatu perbualan telefon beliau
dengan seorang pemanggil pada suatu hari. Pemanggil itu dengan ikhlas memuji (setinggi langit) serta
berterima kasih kepada beliau kerana berjaya mengembalikan minat orang terhadap
radio. Bagi beliau, Zainaldinlah yang menyebabkan orang kembali meminati radio.
Senario
seperti yang saya contohkan itu juga berlaku dalam bidang politik. Berapa banyak rakyatkah yang
meminati Parti Islam se-Malaysia (PAS) hingga mereka bersedia untuk memilih parti itu
dalam PRU atau PRK sebelum tahun 1999? Berapa banyak kerusi Parlimenkah yang
dimenanginya pada peringkat Parlimen pada tahun 1995, 1990, dan 1986, dan
tahun-tahun sebelumnya, misalnya?
Sebagai
imbasan, pada PRU tahun 1986, PAS menang 1 daripada 98 kerusi yang ditandinginya.
Pada PRU 1990, PAS menang 7 daripada 30 kerusi yang ditandinginya. Pada PRU 1995,
PAS menang 7 daripada 46 kerusi yang ditandinginya. Tetapi pada PRU 1999, PAS
menang 27 kerusi daripada 30 kerusi yang ditandinginya. Pada PRU 2004,
pencapaiannya merosot, iaitu menang 7 daripada 84 kerusi yang ditandinginya, tetapi
pada PRU 2008, PAS menonjol lagi – menang 23 daripada 66 kerusi yang
ditandinginya.
Yang
menarik, jika sebelumnya PAS hanya memenangi kerusi Parlimen di Kelantan, Terengganu,
dan Kedah, tetapi pada PRU 2008, PAS berjaya menempatkan diri di Parlimen Selangor,
Perak, dan KL. Malah, pada peringkat DUN, PAS pada PRU 1999, sudah dapat
mengembangkan sayap kemenangannya di kubu-kubu kuat BN, seperti Pahang, Perlis,
Selangor dan sayapnya kemudian melebar di NS, Johor, dan PP pada PRU 2008!
Seperti
lagu etnik Melayu asli dan penyiaran (radio) tadi, minat mendadak rakyat untuk menyertai atau
menyokong PAS juga ada pencetusnya, yang sudah tentulah dengan perencanaan
Allah juga. DS Anwar Ibrahim itulah pencetusnya! Pemecatan DS Anwar Ibrahim pada
1998 menjadi titik mula orang beralih kepada parti-parti yang bukan lagi berpakat
di bawah nama Barisan Nasional. Suka atau tidak, kita perlu bersetuju dengan
perencanaan Allah ini. PAS beroleh manfaat daripada nasib DS Anwar Ibrahim!
Sesuatu itu, seperti yang saya ungkapkan tadi, apabila hendak berada di tempat yang
tinggi, dalam beberapa keadaan, harus ada manusia/medium yang menjadi
pencetusnya. Dalam konteks seni, lagu etnik melata ke dalam jiwa semua lapisan
masyarakat melalui Siti Nurhaliza. Dalam konteks penyiaran, siaran radio yang
pernah terabai oleh kemunculan TV3, kembali bertakhta di hati pendengar melalui
Zainaldin Zainal. Dalam konteks politik, PAS disukai dan disokong rakyat
selepas tragedi pemecatan DS Anwar Ibrahim.
Tulisan
ini bukan kempen apa-apa, sekadar renungan biasa-biasa untuk mengingatkan orang
supaya senantiasa bersikap merendah diri, mensyukuri apa-apa yang diberikan
Allah, dan kalau dapat mengenang jasa orang-orang tertentu. Doakanlah
kesejahteraan mereka!
Wednesday, April 17, 2013
Sabotaj: Dapatkah Dielakkan?
Antara ungkapan yang kerap kali disodorkan oleh para pemuka parti,
baik yang pernah menjadi kerajaan ataupun yang ingin menjadi kerajaan (yang
kerap kali didengar adalah daripada pihak yang pernah menjadi kerajaan) ialah “Jangan
sabotaj parti, jangan sabotaj calon”. Sesetengah
pihak menganggap bahawa ungkapan itu diujarkan kerana para pemuka parti bimbang
mereka akan mengalami kekalahan yang berpunca daripada unsur sabotaj
itu.
Di kampung saya, hal seperti ini memang pernah berlaku. Hal ini
saya dengar daripada mulut arwah saudara jauh saya (penyokong tegar BN). Beliau berkata bahawa
kemenangan calon pembangkang di bandar mereka pada satu PRU dahulu adalah
kerana sabotaj. Hal ini berlaku apabila pihak pemuka parti negeri menggugurkan calon
kesukaan mereka. Menurut beliau, kononnya, sekitar 800 orang penyokong tegar calon itu
telah berpaling tadah dengan memilih (memangkah) calon pembangkang.
Saya tidak tahu sama ada hendak mengkategorikan ungkapan “Jangan
sabotaj parti, jangan sabotaj calon” itu sebagai rayuan/permintaan
ataupun sebagai nasihat. (Saya, walau bagaimanapun, sama sekali tidak akan
mengkategorikannya sebagai amaran kerana pemuka parti politik di negara ini sangat
sedar dan arif akan lunas-lunas demokrasi, hingga demikian mereka tidak akan tergamak
untuk mengancam dan menakut-nakutkan pengikut mereka.)
Suka ataupun tidak, hal berkaitan sabotaj ini TETAP akan berlaku. Hal ini saya
katakan demikian kerana walau bagaimana teliti sekalipun diusahakan, para
pemuka parti politik tidak akan dapat menyenangkan hati para penyokongnya untuk
memilih calon yang berkenan di hati mereka. Si A yang disukai/dipilih oleh pemuka
parti belum tentu disukai oleh penyokongnya kerana penyokongnya barangkali menyukai
si B, malah mungkin si C, D, E, dan seterusnya.
Tambah memburukkan keadaan, kalau si A yang dipilih oleh pemuka
parti memang langsung tidak ada dalam senarai para penyokong, apatah lagi dalam
senarai pihak yang berhajat untuk menjadi calon. Di pihak parti yang pernah
menjadi kerajaan, barangkali Parlimen Shah Alam adalah antara contohnya; dan di
pihak yang ingin menjadi kerajaan, barangkali Parlimen Larut dan DUN Kajang
adalah antara contohnya. Suara “menentang” sudah mula berbunyi.
Pada PRU yang lalu, buat pertama kali sejak menjadi pengundi
berdaftar pada usia remaja dahulu, saya pulang ke kampung di Sabak Bernam. Saya sebenarnya mengundi di
Kajang, tetapi sebaik-baik selesai mengundi tengah hari itu, saya pulang ke
kampung, dan pada sebelah malamnya bersama dengan rakan menanti keputusan PRU. Apabila
diumumkan bahawa Parlimen Shah Alam dimenangi oleh calon PAS, orang-orang di sebuah
kedai kopi di kampung saya (penyokong kerajaan) bersorak.
Mereka suka calon mereka (BN) itu kalah. Hal itu berlaku begitu
kerana mereka tidak puas hati terhadap pemuka parti mereka yang telah meletakkan
calon yang kalah itu di situ walhal calon yang kalah itu bukan orang tempatan
(bukan berasal dari Shah Alam, apatah lagi dari Selangor!) Yang hendak saya gambarkan
di sini ialah, jika yang bersorak itu mengundi di Shah Alam, mereka tentu tidak
akan memilih calon yang kalah itu. Tindakan ini merupakan suatu sabotaj!
Jadi, persoalannya, wajarkah pemuka parti mengingatkan para
pengikutnya supaya “Jangan sabotaj parti, jangan sabotaj calon” bagi
memungkinkan mereka menang dalam persaingan untuk berkuasa sedangkan mereka telah tersalah pilih? Saya fikir, yang
perlu dilakukan oleh para pemuka parti ialah menanam, memupuk, dan menyiramkan sifat setia atau yang lebih baik redho kepada para pengikut mereka. Pengikut perlu
setia, calon yang tidak terpilih harus redho.
Persoalannya, bolehkah...?
Subscribe to:
Posts (Atom)