Ahad, 12 Februari 2012 yang baru lalu, datuk
saudara saya yang kami adik-beradik panggil Tuk Cu Ali kembali ke rahmatullah.
Hal ini saya ceritakan lewat Blog saya pada 13 Februari 2012. Hari ini, jam
1:05 minit, 14 Februari 2012, berselang kira-kira empat bulan, isteri almarhum
Tuk Cu Ali saya itu pula menyusuli pemergiannya. Innalillahi wa inna ilaihi roji‘un.
Ibu saya memanggil almarhumah sebagai Cor
Timah, kami adik-beradiknya memanggilnya Opah Cu walaupun kami boleh
memanggilnya Wan Cor (kerana dia sepupu ibu saya.) Almarhumah Opah Cu saya
itu anak kepada kakak datuk saya (berstatus anak saudara kepada datuk saya), tetapi
arwah suaminya adik kepada nenek saya (berstatus datuk saudara saya).
Almarhumah telah beberapa tahun menghidap
Parkinson dan penyakit itu mula mengubah dirinya daripada boleh bercakap kepada
tidak boleh bercakap sejak hampir tiga tahun lalu. Semasa hayatnya, almarhumah
insan yang memelihara solatnya. Kerana doanya yang tidak pernah putus, almarhumah
beroleh anak-anak yang taat akan dirinya sebagai ibu mereka.
Almarhumah juga isteri yang taat akan almarhum
suaminya yang hanya bekerja sebagai nelayan sungai. Sejak saya kecil, pengalaman
melihat kemesraan mereka sebagai suami isteri menimbulkan kekaguman saya. (Semasa
kecil, kemesraan pasangan suami isteri memang sering menjadi perhatian saya –
yang paling mengagumkan saya ialah kemesraan tulen datuk-nenak saya!)
Sepanjang almarhumah Opah Cu saya sakit,
anak-anaknya yang jauh pulang bergilir-gilir untuk menjaganya. Anak-anak
lelakinya tidak kekok untuk memandikannya, menyuapkannya makan, bercerita
dengannya, dan sebagainya. Anak-anak yang dekat dengan almarhumah kerap membawa
ibu mereka ke rumah masing-masing. Ibu yang baik memang beroleh anak-anak yang
baik.
Anak-anak almarhumah, pada hemat saya, telah
lulus dengan cemerlang dalam mendepani ujian yang diturunkan oleh Allah SWT itu.
Mereka mendepaninya dengan sabar, tabah, dan sangat ikhlas. Kesabaran,
ketabahan, dan keikhlasan mereka itu hendaknya diganjari oleh Allah SWT dengan
pahala bertimbun selain diganjari dengan kasih dan rahmat-Nya.
Kematian saudara-mara saya sering menjentik
kesedaran dalam diri ini – dekatilah mereka, ingatilah mereka, sayangilah
mereka, cintailah mereka selagi mereka berhayat. Kelak, apabila mereka
meninggal dunia, kedukacitaan yang melanda perasaan kita bukan kerana kita
menyesali perbuatan kita terhadap dirinya, melainkan kerana kita memang
menyayanginya.
Bismillahirrohmanirrohim. Ya, Allah, Engkau
ampunilah Opah Cuku itu, letakkanlah darjatnya dalam kalangan orang yang
mendapat hidayah; lindungilah keluarga dan keturunannya yang masih hidup; ampunilah
dia dan kami, wahai Tuhan sekalian alam; luaskanlah kuburnya dan berikanlah
cahaya di dalamnya. Amin, amin, amin, ya Robbal‘alamin!
No comments:
Post a Comment