Dia itu orangnya “bermulut masin”. PRU lalu telahannya
bahawa PR akan menang di Kelantan, Selangor, Penang, Perak, betul malah PR
turut memang di Kedah dan KL. Pada kali
ini, dia berkata bahawa BN akan menang di tiga negeri sahaja, iaitu di negeri PM dan TPM,
serta negeri KM yang berbelanja besar untuk menikahkan anaknya.
Tentu
asas telahan orang yang “bermulut masin” itu berdasar pada sumber yang kuat dan
dapat dipercayai. Seronokkah pihak yang membangkang negara sekarang tentang telahan
ini hingga mereka boleh goyang kaki atau menggeletarkah pihak yang menerajui
negara hingga mereka berura-ura hendak angkat kaki?
Tetapi
pada fikiran saya, purata orang yang mengundi di setiap kawasan pilihan raya
akan mencecah 90%. Dengan jumlah orang yang keluar mengundi mencecah 80% pun Terengganu
yang diterajui PAS tersungkur di kaki BN pada 2004, apatah lagi dengan jumlah
yang mengundi mencecah 90% atau lebih – tentulah PR akan tersungkur juga (ini
telahan saya sahaja!).
Pada
fikiran saya juga, fenomena orang mengganggu, mengancam, dan menakut-nakutkan
para penyokong pembangkang yang ada sekarang ini akan berlaku juga pada PRU
akan datang. Hal ini saya dasarkan pada keadaan yang berlaku sekarang – ada
golongan yang mengancam perhimpunan pembangkang di sesetengah negeri.
Sama
ada keadaan itu akan lebih teruk daripada yang dilakukan oleh mereka sekarang atau
lebih teruk daripada yang pernah berlaku daripada siri PRU yang lalu tidaklah
dapat diketahui. Kita berharap agar hal ini tidak berlaku kerana kita sudah
semakin matang (walaupun dalam sesetengah keadaan, kuasa menjadikan orang macam
binatang).
Berbalik
kepada telahan orang yang “bermulut masin” itu, agaknya sumber maklumat yang diperolehnya
tentang “kekuatan” PR itu sama dengan sumber yang diperoleh oleh PM hingga
menyebabkan PM “berat hati” untuk membubarkan Parlimen. Barangkali hal itu
memang benar-benar telahan dan tembakannya yang dibuat melalui pemerhatiannya.
Apa-apa
pun yang ditelahkan, hakikat bahawa kekuasaan itu ibarat roda tidak dapat kita
sangkal. Bahagian roda yang untuk beberapa ketika berada di atas, sekarang
sudah bergerak ke bahagian bawah dan di bawahnya itu menanti lopak
besar yang bakal menyebabkan bahagian itu kemik atau terus bengkok sampai tidak
dapat dibaiki.
Atas
bawah pada putaran roda sesuatu yang tidak dapat kita tahan-tahan, tidak dapat
kita sekat-sekat. Kegilaan bola yang kita benam hendak melonjakkan dirinya ke
permukaan tidak mampu untuk kita sekat kerana tangan kita sudah semakin lemah
untuk menahannya. Di Mesir, al-Ikhwan yang menjadi bola yang dibenam sudah pun
menghamburkan dirinya di permukaan air!
Bagaimanakah
agaknya bahagian roda yang kini berada di atas hendak bertahan di situ untuk
tempoh yang lama setelah bahagian itu juga, semasa berada di bawah, kemik-kemik?
Jawabannya mudah, jangan dicontoh, jangan diikut, jangan ditiru perbuatan pihak
yang buat masa ini masih berada di bahagian atas roda itu.
Telahan
orang “bermulut masin” belum tentu betul dan tidak perlu betul hingga kita
berasa takut atau seronok. Yang betul hanya qadak dan qadar ALLAH. Telahan saya
juga belum tentu betul dan tidak perlu betul hingga saya ditanya tentang sumber
yang saya peroleh. Yang betul terletak pada tangan orang yang matang.
No comments:
Post a Comment