Thursday, August 12, 2010

Jangan Lupa Temu Janji Kita dengan Allah SWT

‘Janji temu’ atau ‘temu janji’ atau lebih senang disebut orang moden sebagai appointment, memang telah menjadi sebahagian daripada kebiasaan orang. Orang biasa ber‘appointment’ dengan doktor untuk diuji darah masing-masing, untuk diperiksa tahap kesihatan diri meReka, untuk mengetahui perkembangan janin yang dikandung, dan sebagainya. Orang juga biasa ber‘appointment’ dengan pak menteri atau wakil rakyat untuk membicarakan hal-hal tertentu atau untuk meminta sesuatu, dan sebagainya. Pihak setiausaha kepada para ketua syarikat, ketua jabatan, dan sebagainya juga kerap menentukan tarikh ‘appointment’ dengan para kakitangan atau bakal kakitangan bagi menentukan perjalanan syarikat atau untuk menambah kakitangan baharu. Pasangan kekasih juga kerap ber‘appointment’, selalunya untuk berpacaran dan berpelesiran.

Salah satu unsur terpenting ‘appointment’ tidak lain tidak bukan ialah masa. Antara pihak yang menetapkan ‘appointment’ dengan pihak yang diminta mematuhi ketetapan ‘appointment’ itu, pihak yang diminta mematuhi ketetapan ‘appointment’ itulah yang sangat perlu mematuhi masa yang telah ditentukan.

Sebagai contohnya, kalau doktor menetapkan appointment dengan pesakit pada jam 2:15 petang, maka pesakit mesti mematuhi masa itu. Jika si pesakit tidak menepati waktu itu, misalnya dia datang pada jam 3:00 petang, dia tidak akan dilayan kerana gilirannya telah diambil oleh orang lain. Jika tidak bernasib baik, dia mungkin disuruh membuat appointment baharu.

Hal tentang appointment ini menjadi lebih menarik untuk dibicarakan kalau kita libatkan sepasang kekasih. Katakanlah si jejaka yang membuat appointment. Si jejaka mengajak pasangannya bertemu dengannya pada pukul 2:15 petang di suatu lokasi. Kerana terlalu ingin bertemu dan jejaka itu sendiri yang menetapkan waktu dan tempatnya, dia telah sampai di situ lebih awal. Dia menunggu dengan perasaan yang berbunga-bunga dan penuh harap. Dia pasti sangat gembira kalau kekasihnya tiba pada waktu yang ditetapkan. Malah, dia masih lagi gembira kalau kekasihnya sekadar terlewat lima, sepuluh, atau lima belas minit. Malahan juga, kalau si jejaka jenis yang sangat sabar, dia tetap akan gembira kalau pasangannya tiba lewat setengah jam ataupun satu jam!

Namun lazimnya, kalau terpaksa menunggu hingga satu jam, jarang-jarang ada yang sabar. Dia pasti diasak dan ditekan oleh rasa kecewa, marah, dan sebagainya. Perasaan marah dan kecewa itu mungkin akan menyebabkan berlakunya percekcokan antara mereka. Yang selalu berlaku, jika appointment itu tidak ditepati sehingga mencapai satu jam, si jejaka akan berlalu dan mengecop pasangannya sebagai penipu!

Sebenarnya, ada appointment yang lebih penting, lebih utama, lebih perdana, lebih afdal, dan lebih dituntut daripada dua contoh appointment itu dan appointment-appointment lain di dunia ini. Appointment yang dimaksudkan itu ialah appointment dengan Allah SWT.

Allah SWT telah menetapkan appointment dengan kita sebanyak lima kali setiap hari – pada waktu subuh, pada waktu tengah hari, pada waktu petang, pada waktu senja, dan pada waktu malam. Waktu-waktu itu dinamai Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib, dan Isyak.

Seperti yang saya tegaskan, yang paling penting dalam sesuatu appointment ialah masa. Masa perlu ditepati, tidak boleh dimungkiri. Dalam konteks appointment dengan Allah SWT, begitulah juga halnya, kita tidak boleh mungkir sesaat pun walaupun kita diberi sedikit kelonggaran.

Pada semua waktu yang saya sebutkan itu – Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib, dan Isyak – Allah AWT menunggu ‘kedatangan’ hamba-Nya sebagai bukti penghambaan mereka terhadap-Nya. Yang hadir memperhambakan diri dengan menyembah-Nya tepat pada waktunya, sudah tentulah sangat disukai-Nya.

Tetapi, bagaimanakah halnya dengan hamba-Nya yang datang menyembah-Nya pada pertengahan waktu appoinment yang sebenarnya atau hamba-Nya yang tidak kunjung datang menyembah-Nya sehingga hampir menginjak appointment yang satu lagi?

Kalau dalam contoh tadi dikatakan bahawa si jejaka berasa marah dek kelewatan atau ketidakhadiran kekasihnya, tidak mungkinkah Allah SWT lebih murka daripada kemarahan seorang jejaka. Kalau seorang doktor tidak melayan pesakitnya yang tidak menepati waktu appointment mereka, tidak mungkinkah Allah SWT berlebih-lebih lagi tidak mempedulikan hamba-Nya yang lalai dan cuai?

Ingatlah akan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Sesiapa bersolat tepat pada waktunya dan melengkapkan rukuknya, sujudnya, dan khusyuk, maka solat itu pun naik ke atas dalam keadaan putih dan cemerlang. Solat itu berkata: ‘Semoga Allah menjaga dirimu sebagaimana kamu menjaga aku (menyempurnakan rukun solat itu)’. Tetapi, sesiapa yang bersolat bukan dalam waktu yang ditentukan dan tidak pula menyempurnakan wuduknya serta tidak pula melengkapkan rukuk, sujudnya, serta tanpa khusyuk sama sekali, maka solat itu pun naiklah ke atas dalam keadaan hitam kelam sambil berkata: ‘Semoga Allah mensia-siakan dirimu sebagaimana kamu mensia-siakan aku. Selanjutnya, setelah solat itu berada di suatu tempat seperti yang dikehendaki Allah, ia pun lalu dilipat sebagaimana baju yang koyak rabak dilipat, kemudian dipukulkanlah kepada mukanya.”
(Hadis riwayat Thabrani dan Baihaqi)

Anda dan saya sendiri boleh memilih untuk mencuaikan atau mengabaikan appointment dengan Allah AWT itu. Tetapi, sekali lagi, sebenarnya kita tidak mempunyai pilihan kerana Allah SWT sangat toleran dalam menuntut kita memenuhi appointment itu. Dia hanya mengambil masa kita sekitar 15-30 minit bagi setiap satu appoinment. Hal ini bermaksud bahawa, daripada masa 24 jam yang diberikan-Nya kepada kita, maksimum hanya sekitar satu jam suku hingga dua jam setengah sahaja yang diambil-Nya daripada kita untuk menyembah-Nya tepat pada waktunya. Mengapakah kedekut sangat?

Solat Berjemaah: Sebenarnya Kita Tiada Pilihan

Ada seorang rakan sepejabat berkata kepada saya, dia kurang menyukai perangai sebilangan orang yang rajin berjemaah di surau atau masjid (yang beliau namakan sebagai “orang surau”). “Orang surau” ini, kata kawan itu, seperti memandang rendah atau kurang mesra terhadap dirinya. Hal ini berlaku demikian, kata kawan sepejabat saya lagi itu, kerana dia jarang-jarang pergi berjemaah ke surau. Hal ini bukan sahaja berlaku di tempat dia menghuni sekarang, katanya lagi, tetapi pernah juga menimpa dirinya semasa dia menghuni kawasan perumahan sebelumnya.

Saya langsung tidak bersimpati terhadap beliau. Hal ini berlaku demikian kerana saya tahu bahawa beliau salah sangka, salah anggap. Saya, sebagai seorang yang pernah menjadi “orang surau” (meminjam kata beliau), tahu bahawa beliau telah tersilap. Sesungguhnya memang ada suara-suara sekerat dua “orang surau” yang menyarankan orang yang liat berjemaah di surau dipulaukan. Selalunya suara itu keluar daripada mulut “orang surau” peringkat bawahan. “Orang surau” peringkat bawahan itu, maksud saya, ialah “orang surau” yang cetek pengetahuan, bercakap mendahulukan emosi dan nafsu daripada akal yang waras dan rasional.

“Kita jangan pergi menghadiri apa-apa majlis yang dianjurkan mereka,” kata suara-suara sumbang itu. “Kalau mereka menghendaki air, tentulah mereka perlu pergi ke kolam atau sungai.” Salah seorang daripada pencadang itu beranalogi. “Maksud saya,” kata pencadang itu, “kalau surau ini air, mereka perlu datang ke sini untuk mendapatkannya”.

Pengerusi kami hendak bercakap, tetapi saya lebih dahulu bersuara, “Kita perlu berusaha untuk memujuk mereka. Kita tidak boleh terus menghukum tanpa mendekati mereka lebih dahulu”.

“Azan itu bukankah pujukan, bukankah pelawaan? Tidak cukupkah? Tak kan mereka tak faham?” Demikian si pencadang membalas, beremosi.

“Saudara,” kata saya, “marilah kita melihat ke dalam diri kita. Adakah azan yang kita kumandangkan dari surau itu berjaya memujuk seluruh ahli keluarga kita? Tidak, bukan! Yang berlaku, yang saya nampak, azan kita hanya berjaya menarik kedatangan kita sedangkan anak-anak kita, malah bapa dan adik kita masih enggan menyertai kita. Jadi, itulah juga yang berlaku kepada orang-orang seperti ini. Mereka masih belum dihidayahi Allah. Azan tidak mengisi jiwa mereka yang kosong. Berilah mereka peluang. Kita hadiri kenduri-kendara mereka dan dalam ucapan alu-aluan kita, kita tarbiahi mereka,” kata saya.

Pencadang itu termangu. Orang lain yang turut mendengar pun terdiam.

Mujur kami mempunyai pengerusi yang berfikiran terbuka. Beliau tidak endah akan saranan itu dan tetap mengajak ahli jemaah pergi menghadiri majlis kenduri yang dianjurkan oleh orang yang jarang-jarang datang ke surau. Dan dalam ucapan penghargaan kepada penganjur, beliau akan berucap dengan penuh diplomasi sambil mempelawa penganjur yang jarang-jarang ke surau itu sama-sama bermasyarakat dengan cara mengimarahkan surau. Malah, kadang-kadang beliau bercakap secara peribadi dengan tuan rumah yang menjadi penganjur. Daripada perbualan itu, barulah kadang-kadang kami ketahui bahawa ada orang yang jarang-jarang ke surau itu sesetengahnya bekerja ikut syif atau selalu pulang lewat dan hanya sempat bersolat di hentian rehat di tepi lebuh raya!

Seorang rakan setaman pernah berkata hal yang sama dengan yang diungkapkan oleh bekas teman sepejabat saya itu. Peristiwa ini berlaku lama dahulu, jauh lebih awal daripada saya mendengar kata kawan sepejabat ini.

“Kawan-kawan surau engkau pandang semacam je kat aku. Mentang-mentang aku jarang-jarang ke surau,” kata rakan setaman saya itu. Saya diam kerana saya sangat tahu bahawa yang berlaku ialah hanya beliau yang berperasaan begitu. Beliau yang “terasa” dan “malu-malu alah” kerana merasakan dirinya bukan sebahagian daripada ahli tegar surau kami.

Ternyata tanggapan saya betul. Selepas lebih sepuluh tahun, sekarang beliau bukan “orang surau” sembarangan. Sekarang beliau imam kami merangkap pengerusi surau kami. Baru-baru ini, beliau mengungkitkan hal yang sama.

Beliau berkata, “Ada orang taman kita ini yang beranggapan bahawa kami “orang surau” pandang serong dan tidak melayan orang yang jarang-jarang ke surau. Yang betulnya, kami langsung tidak bersikap demikian. Kami layan semua orang. Cuma, mungkin mereka yang terasa sendiri. Mereka yang malu-malu alah.”

Sama seperti dahulu, saya diam tatkala mendengar kata-kata beliau itu. Saya segera teringat akan salah tanggapan yang diluahkannya kepada saya dahulu. Saya yakin, yang diperkatakannya sekarang adalah berasas pada salah tanggapannya dahulu.

Kepada teman sepejabat itu, suka saya ingatkan, bahawa kamu telah salah anggap. Kamu silap. Pelawaan kawan kamu yang menjadi “orang surau” itu supaya kamu berjemaah solat Isyak dan solat sunat tarawih pada sepanjang Ramadan itu wajar kamu sambut dengan dada yang lapang.

Hayatilah dua potong sabda Rasulullah SAW yang berikut:

Demi zat yang diriku di tangan-Nya, aku ingin menghimpunkan kayu api, lalu kusuruh seseorang mengumandangkan azan solat, dan kusuruh pula imam memimpin solat berjemaah, dan kudatangi mereka yang tidak bersolat jemaah, kubakar mereka bersama dengan rumah-rumahnya!”

(Hadis riwayat Bukhari-Muslim)

“‘Sesiapa yang mendengar seruan azan tetapi tidak memenuhinya tanpa sebarang keuzuran, maka solat yang dikerjakannya tidak akan diterima.’ Para sahabat bertanya: ‘Apakah keuzurannya?’ Jawab Rasulullah SAW: ‘Ketakutan atau sakit.’”

(Hadis riwayat Abu Daud, Ibnu Hibban, Ibnu Majah)

Jadi, wahai sahabatku, fikir-fikirkanlah. Barangkali pelawaan kawan kamu itu timbul kerana beliau menyedari kewujudan hadis-hadis yang berkait dengan solat manakala kamu hanya mengetahui hadis memang wujud tetapi tidak pernah menyemaknya. Sebenarnya kewajiban bersolat jemaah sangat jelas dan kita (orang lelaki) tiada pilihan lain selain daripada berjemaah.

Wednesday, August 11, 2010

Salam Ramadan

Salam Ramadan serta salam persahabatan dan salam persaudaraan yang berkekalan kepada sekalian pembaca, kenalan, handai dan taulan. Maaf zahir dan batin saya pohon jika selama ini banyak kata yang menyinggung perasaan dan komen yang menyentuh jiwa.

Nabi Muhammad SAW bersabda:

Bulan Ramadan ke satu bulan bulan Ramadan yang berikutnya, hari Jumaat ke satu Jumaat yang berikutnya, dan satu solat ke solat yang berikutnya menjadi penebus dosa antara keduanya, selama dijauhi segala dosa besar.”

(Hadis riwayat Imam Ahmad, Muslim, dan al-Baihaqi)

Bulan Ramadan ialah bulan kesabaran, dan balasan kesabaran ialah syurga.”

(Hadits riwayat Ibnu Khuzaimah dan al-Baihaqi)

Sunday, August 8, 2010

Menjiwai Semangat Merdeka

Pada setiap 17 Ogos, Republik Indonesia akan merayakan sambutan hari kemerdekaannya. Pada tahun ini, negara republik itu akan merayakan hari kemerdekaannya yang ke-65. Walau bagaimanapun, pelakon sinetron dan filem seram negara itu, Donita atau nama sebenarnya Noni Anissa Ramadhani berkata bahawa negaranya belum mengamalkan kemerdekaan (kebebasan) sepenuhnya.

“Bagi saya, tarikh 17 Ogos hanya satu simbol kerana (di negara ini) masih wujud penindasan. Kemerdekaan yang sebenarnya adalah apabila kita bebas daripada kemisikinan dan kejahilan. Jika ditanya sama ada kita sudah bebas, saya rasa kita belum bebas sepenuhnya,” ujar Donita dalam laman kapanlagi.com.

Menurut beliau lagi, semua rakyat Indonesia perlu tahu akan pengorbanan pahlawan negara bagi memerdekakan negara. Beliau berkata bahawa penghargaan terhadap wira negara tidak sepatutnya dilakukan pada 17 Ogos sahaja, tetapi hendaklah dilakukan pada setiap masa.

Demikianlah pandangan seorang artis (bukan artis negara ini) terhadap makna kemerdekaan/kebebasan (daripada penjajahan). Saya tidak memaksa sesiapa, tetapi kita harus berasa kagum akan kesedaran pelakon ini. Hal ini demikian kerana pandangan yang diberikan beliau sangat benar dan bernas.

Di negara kita sekarang, kita sedang berada dalam Bulan Kemerdekaan. Sama seperti tahun-tahun sebelumnya, pihak pemerintah menyeru kita supaya menampilkan semangat patriotik masing-masing dengan mengibarkan Jalur Gemilang di premis atau pada kenderaan masing-masing. Tetapi tahukah anda bahawa anda tidak boleh meletakkan Jalur Gemilang secara serampangan pada kenderaan anda? Sebagai contohnya, anda dilarang oleh pihak pemerintah meletakkan Jalur Gemilang pada bahagian bampar depan kenderaan (pada masa yang sama kita diminta melahirkan semangat patriotik, pergh!) Tidakkah hal itu salah satu ciri penindasan kerana membeza-bezakan rakyat dengan pemimpin dengan sesuatu yang tidak perlu?

Kemiskinan masih membelenggu rakyat di negara kita walhal kita sudah menjejak usia 53 tahun kemerdekaan. Kepada rakyat yang benar-benar miskin atau mungkin berstatus papa kedana, mereka dimiskinkan lagi dengan kenaikan harga barangan tertentu. (Untuk mengatasi beban kenaikan harga barangan tertentu, kita dinasihatkan supaya mengurangkan penggunaannya, sesetengahnya atas alasan kesihatan.) Soalnya, haruskah masalah kemiskinan terus wujud di negara kita tatkala para pemimpin kita saban tahun menjadikan aktiviti “makan angin” ke luar negara sebagai aktiviti wajib keluarga mereka? Berapa banyakkah pemimpin kita yang mengongsikan pendapatan mereka dengan golongan papa kedana ini?

Rakyat sendiri harus memahami erti kemerdekaan. Seperti kata Donita, pelakon Indonesia itu, kita harus mengingat kesusahan para wira dalam memerdekakan negara. Tidak cukup hanya mengenangnya pada hari tertentu sahaja atau dengan mempelajari perjuangan mereka dalam buku-buku Sejarah atau membacanya dalam novel dan cerpen. Tidak cukup hanya dengan mengalungkan bunga pada tugu dan sebagainya (sudah difatwakan sebagai haram pun). Kita harus menjiwai, merasai, menginsafi perjuangan mereka. Semangat dan kegigihan mereka yang ingin merdeka itu harus kita serapkan dalam diri kita. Kita harus punya semangat yang sama untuk membebaskan diri daripada penjajahan kemiskinan, kejahilan, dan penindasan. Semangat itu harus diwariskan dan diwarisi.

Saturday, August 7, 2010

Yang Manakah Gadis, Yang Manakah Wanita?

Gadis itu rupa-rupanya sudah mempunyai dua orang anak. Gadis itu juga rupa-rupanya sudah mempunyai suami (yang kacak). Punya anak dua orang, punya suami yang kacak, gadis lagikah statusnya? Hal ini bukan cakap-cakap kosong tetapi memang benar-benar berlaku. Dia diberi gelar “gadis” bukan “wanita” dalam suatu pertunjukan yang dilakukannya.

Saya tidak mengikuti perkembangan “gadis” itu sepenuhnya. Walau bagaimanapun, saya ada membaca berita tentang usahanya untuk mencipta rekod untuk tinggal bersama dengan seratus ekor ular selama sebulan (6 Julai hingga 6 Ogos 2010 yang baru lalu). Pertunjukan itu dilakukannya di Pameran dan Pertunjukan Ular 2010 di Perbadanan Muzium Kelantan. (Syabas, “gadis” itu berjaya mencipta rekod!)

Saya langsung tidak berniat untuk memperlekeh usahanya apatah lagi menyentuh peribadinya. Dia sudah bersuami dan alhamdulillah sudah dikurniai dua orang cahaya mata. Cuma, saya merasakan bahawa penggunaan kata “gadis” pada wanita yang sudah pun beranak dan bersuami tidak sesuai dengan budaya kita. (Saya tidak pasti siapakah yang menamakan pertunjukan beliau itu sebagai “Gadis Bersama Ular”.)

Mungkin hal ini tidak menjadi kudis kepada sebahagian besar orang. Sama ada “gadis”, “janda”, atau “dara”, kesemuanya perempuan, begitulah agaknya anggapan orang. Kalaulah ada orang yang beranggapan demikian, kita perlu berasa dukacita kerana hal ini melibatkan bahasa. Bahasa kita, seperti bahasa lain, mempunyai kata khusus bagi membedakan jantina dan status seseorang.

Sebab itulah kita tidak pernah mendengar orang meletakkan status “gadis” pada ibu yang mempunyai setengah dozen anak, kecuali pada anak perempuannya. (Kalau si ibu seperti itu diberi status “gadis”, pasti hingar sekampung.) Begitu juga, orang tidak meletakkan status “balu” pada wanita yang suaminya masih hidup; atau meletakkan status “janda” pada anak dara atau isteri yang tidak pernah bercerai. Semua hal ini tidak pernah berlaku.

Jika hal sebaliknya berlaku, iaitu ada orang meletakkan status itu pada contoh-contoh yang saya berikan itu, seperti yang saya katakan tadi, kita wajar berasa dukacita. Hal ini saya katakan demikian kerana hal itu menggambarkan bahawa kita sudah tidak ambil kisah akan keindahan bahasa kita; kita sudah tidak ambil kisah akan budaya kita. Misalnya, wanita yang masih lagi dipeluk dan didakap suami dilekatkan dengan status balu. Huh!

Kalau kita merujuk kepada Kamus Dewan Edisi Keempat, kata gadisdidefinisikan sebagai 1. anak perempuan yg sudah baligh (sudah boleh berkahwin), anak dara; 2. masih perawan, belum disetubuhi (dicemari laki-laki).

Oleh itu, jika demikianlah maksud “gadis”, sesuaikah wanita yang bersuami dan beranak distatuskan sebagai “gadis”? Terbukti tidak sesuai, bukan? Kalau tidak sesuai, dalam kes ini, pertunjukan itu lebih tepat dinamakan sebagai “Wanita Bersama Ular”. Orang pun tidak terkeliru dengan status wanita hebat itu.

Kepada Puteri Nur Aryani Saiful Yuzah, anda memang wanita hebat. Sebulan dengan seratus ekor ular berbisa, bagi saya adalah “kerja luar biasa”. Saya tidak mungkin akan tinggal walau dengan seekor ular sekalipun! Baru melihat ular di televisyen kadang-kadang kaki saya sudah bersila di kerusi, tidak kiralah sama ada ular itu gadis ataupun jejaka!

Thursday, August 5, 2010

Jangan Sengaja Mencari Dosa Kering

Ada orang yang gelak-gelak dan ada yang bernada sinis tatkala bercakap tentang peristiwa itu. Lucu pada mereka, misteri pada segelintir yang lain, walhal di rumah orang yang mencipta peristiwa itu, ahli keluarganya sedang menyejukkan hati masing-masing – sesama mereka, sesama sanak-saudara. Mungkin ada kalangan dansanak yang masih bengkak mata mereka.

Orang yang mencipta peristiwa itu dapatlah dikatakan sebagai telah mencetuskan andaian dan persepsi. Kebetulan orang kita memang suka cerita-cerita seperti ini. Kerana suka, maka muncullah para “pakar” dan para “wartawan”, yang tidak tahu mana hujung mana pangkal, mana betul mana fitnah, menyampaikan persepsi dan andaian masing-masing.

Peristiwa itu terjadi dengan kehendak-Nya. Masa dan tempat telah dipilih-Nya. Kemudian kun, kata-Nya lalu fayakun pun mengikutinya. Sebab tercetus peristiwa itu menjadi rahsia orang yang terlibat dan dirahsiakan Allah. Maka, eloklah kita menutup mulut. Menutup mulut dalam hal ini bukan bermakna kita menyembunyikannya tetapi mengelakkannya daripada fitnah.

Kalau masih juga hendak membuat persepsi, kalau masih juga hendak menebak, buatlah di dalam hati. Kemudian beristighfar. Jangan diluahkan kepada sesiapa pun, takut menjadi fitnah. Seelok-eloknya, bacalah al-Fatihah, sedekahkan kepada roh orang yang terlibat di samping mendoakan kesejahteraan mereka. Sengaja mengutip dosa kering buat apa?

Lagipun, pihak berkuasa sedang menyiasat. Mereka itu kita yang menggajikannya. Biarlah mereka bekerja. Jangan menyibuk! Sebagai orang yang digajikan, mereka akan memaklumkannya kepada kita. Tunggulah sahaja. Tidak lama, seminggu sahaja lagi.

Pulih Tanpa Dadah

Tidak salah mencuba sesuatu demi kebaikan asalkan yang dicuba itu betul dan sah halalnya dalam Islam. Kepada orang yang alah dan tidak menggemari kopi, hal ini mungkin sedikit sukar untuk dilakukan mereka.

Hal yang hendak diketengahkan ialah kaedah untuk merawat selesema tanpa penggunaan ubat-ubatan berasaskan dadah. Kaedah segera ini, insya-Allah berkesan.

Pada peringkat awal selesema dan ketika mengalami simptom sebelum selesema seperti sakit/pening kepala, hingus meleleh (running nose), dan bersin, minumlah dua atau tiga cawan air panas. Tunggu sehingga tiga hingga lima minit. Selepas tempoh itu, minum secawan kopi panas.

Dua atau tiga minit selepas anda mencuba langkah ini, anda akan berasa hendak kencing (buang air kecil). Hal ini berlaku demikian kerana sebenarnya kopi bersifat diuretik (dapat menyebabkan peningkatan aliran kencing). Lakukan segera dan anda akan berasa takjub kerana selepas anda kencing, semua simptom selesema yang anda alami tadi akan hilang.

Kencing bermaksud bahawa kita membuang air dari dalam tubuh kita. Seperti yang kita ketahui, apabila kita membuang air kecil, semua virus yang terperangkap dalam tubuh kita akan ikut keluar bersama-sama dengan air yang kita buang. Dalam konteks ini, virus selesema yang berada dalam tubuh kita ikut keluar bersama-sama dengan air kencing kita.

Selamat Mencuba. Insya-Allah ada manfaatnya.

PERINGATAN:
Jangan minum kopi bersama dengan durian, sama ada sebelum makan durian atau selepas makan durian. Saya telah mengalaminya dan merasai kesengsaraannya. Kalau anda melakukannya, anda akan berada di atas katil, sama ada di atas katil di rumah anda atau di atas katil di tempat yang kurang kita sukai – hospital.