Monday, October 11, 2010

YAM Ku Li: Telahan Sahaja

Yang Berhormat Mulia Tengku Razaleigh Hamzah telah dilantik oleh UMNO-BN sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO di DUN Galas dan YBM Tengku Razaleigh berkenan menerima pelantikan itu. Maka, berperananlah beliau sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO di DUN Galas.

UMNO rupa-rupanya bukan sahaja memahukan YBM YAM Tengku Razaleigh berperanan sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO di DUN Galas itu, malah mereka berharap sangat agar YAM Tengku Razaleigh menerima cadangan mereka supaya menjadi calon UMNO untuk bertanding di DUN itu. Hal ini diputuskan demikian oleh pihak UMNO kerana mereka yakin bahawa susuk yang bernama Tengku Razaleigh Hamzah itu dilihat mampu untuk merampas kerusi DUN Galas daripada tangan PAS.

Sebelum Galas, setahun lalu (September 2009) pernah berlaku bekas “orang besar” UMNO dijadikan sebagai calon untuk bertanding dalam PRK peringkat DUN. Susuk yang dijadikan sebagai calon dalam PRK itu ialah Tan Sri Mohd. Isa bin Abdul Samad. Beliau diletakkan sebagai calon oleh BN-UMNO bagi mempertahankan kerusi DUN Bagan Pinang yang dimenangi pada PRU12. Alhamdulillah, Tan Sri Mohd. Isa menang dalam PRK itu.

Barangkali, keyakinan yang samalah yang mendorong UMNO-BN berura-ura untuk meletakkan YAM Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon di DUN Galas. Perlu kita akui bahawa YAM Tengku Razaleigh Hamzah bukan calang-calang tokoh dan saya secara peribadi merasakan bahawa beliau berpotensi besar untuk menang jika bertanding di situ (jika tiada sabotaj).

Kita tidak pasti, bagaimanakah cita-cita politik YAM Tengku Razaleigh Hamzah. Adakah beliau masih mengharapkan jawatan dalam kabinet atau sekadar berpuas hati dengan kedudukannya sekarang. Tetapi, berdasarkan keinginannya hendak bersaing dalam perebutan pucuk pimpinan UMNO baru-baru ini, beliau memang berkeinginan untuk menjadi salah seorang teraju kepemimpinan.

Kalau begitu, inilah peluang terbaik beliau – bersetuju untuk menjadi calon dan kalau menang dalam PRK itu, mintalah pucuk pimpinan UMNO melantiknya sebagai salah seorang anggota kabinet. Hal ini bukankah dilakukan oleh pihak MIC apabila Timbalan Presidennya tidak dijadikan sebagai calon dalam PRK Hulu Selangor? Apabila Timbalan Presiden itu tidak dijadikan sebagai calon, beliau telah dijanjikan jawatan Senator dan ternyata beliau memperolehnya. Tengku Razalaeigh boleh mencuba.

Saya yakin, kalau YAM Tengku Razaleigh Hamzah berada dalam kabinet, Kelantan “menjadi lain”. Tok Pa, Tan Sri Anuar Musa, dan sekerat dua UMNOrian dari Kelantan sejak sekian lama tidak dapat menanjakkan UMNO Kelantan seperti Tengku Razaleigh menanjakkan Kelantan dahulu. Soalnya, adakah begitu sekali YAM Tengku Razaleigh Hamzah kemaruk akan jawatan dalam kabinet?

Tunggulah!

Saturday, October 9, 2010

Pejuang Tanah Air dan Komanwel

Apakah/Bagaimanakah perasaan kita sekiranya kita merupakan salah seorang ahli Persatuan Bekas Perajurit atau Bekas Pelajar (Alumni), dan lain-lain. Saya yakin sangat bahawa rasa bangga pasti menyelinap dalam diri kita. Bekas ketua unit saya begitu bangga menjadi ahli Persatuan Murid-murid Tua Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman, Ipoh (STAROBA/Sekolah Tunku Abdul Rahman Old Boys Association). Mereka dapatlah dikatakan agak aktif.

British merupakan negara penjajah. Banyak negara di dunia ini yang menjadi jajahannya. Malaysia/Tanah Melayu adalah antara jajahan takluknya suatu ketika dahulu. Banyak sungguh pejuang kemerdekaan kita, sama ada yang bernama (Tuk Janggut, Abdurrahman Limbong, Tok Bahaman, dan lain-lain) atau yang “tidak bernama” yang digugurkan oleh pihak penjajah itu.

Tiba-tiba selepas dibebaskan, darah dan air mata pejuang ini kita pinggirkan. Kita dengan sukacita dan rasa bangga menyertai satu kesatuan bekas negara jajahan yang menampakkan bahawa kita berasa sangat bangga kerana pernah menjadi salah sebuah negara Empayar British. Dalam erti kata yang lain, kita seperti berasa megah kerana pernah bertuankan British! Perlukah begitu? Kalau politik menjadi asas penyertaan/keahlian, rasanya tidak perlu sama sekali.

Jika tidak salah, Ireland dan Zimbabwe telah meninggalkan Komanwel. Fiji juga begitu dan walaupun negara itu menyertai Komanwel semula, negara itu telah digantung keahliannya.

Sukan Komanwel memang persaingan yang bagus untuk atlet kita, tetapi sukan itu berasas pada hakikat bahawa negara pesertanya adalah bekas jajahan takluk British. Seronokkah kita?

Friday, October 8, 2010

PKR dapat “Datuk” Baharu

Kenal Datuk Dr. Lee Chong Meng? Beliau Pengerusi MCA Bahagian Bukit Bintang. Hari ini beliau mengumumkan keputusannya untuk meninggalkan parti komponen BN itu dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR). Beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada ibu pejabat MCA tengah hari semalam.

Datuk Dr. Lee bertindak keluar dari MCA apabila Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, Presiden MCA, mengumumkan bahawa MCA akan menggantung keanggotaan Datuk Dr. Lee atas tuduhan menyalahgunakan peruntukan kerajaan. (Lembaga Disiplin MCA sebelum ini memang telah mencadangkan keaggotaan Datuk Dr. Lee digantung selama tiga tahun atas dakwaan bahawa beliau menyalahgunakan peruntukan yang diberikan kerajaan pada tahun 2008.)

Datuk Dr. Lee menafikan tuduhan itu, malah menjelaskan bahawa peruntukan RM60,000 itu digunakan untuk aktiviti Tahun Baharu Cina dengan beliau sendiri telah mengeluarkan belanja RM40,000 untuk menjayakan acara bagi aktiviti itu.

ULASAN
Akhirnya, khabar angin menjadi khabar benar. Borang keahlian PKR yang telah diisi beliau sejak beberapa bulan lalu akhirnya ditandatangani dan sahlah beliau sebagai ahli PKR.

Tuesday, October 5, 2010

Pemimpin yang Sedang Tersungkur?

Berlumba-lumba orang mempertikaikan serta mengutuk keceloparan YB Mohamed Azmin Ali yang menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang sedang menerima rawatan di Melbourne, Australia kerana jangkitan paru-paru, sebagai “pemimpin yang sedang tersungkur”. Sindiran itu dilafazkan beliau tatkala berucap untuk merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Gombak.

YB Mohamed Azmin sebenarnya tidak menyebut nama Tun Dr Mahathir semasa melafazkan sindiran itu. Beliau hanya mengaku bahawa sindiran itu ditujukannya kepada Tun Dr. Mahathir tatkala ditemui oleh pihak media selepas majlis perasmian itu. Malah, beliau beranggapan bahawa sindiran itu lebih lunak dan sesuai untuk mantan Perdana Menteri itu.

Sebenarnya, selunak dan sesesuai mana sekalipun sindiran yang sedemikian, orang yang berhemah dan berakhlak tidak sepatutnya melafazkan sindiran yang demikian. Hal ini demikian kerana orang yang ditimpa sakit mengharapkan simpati kita, bukannya sindiran yang dapat menyinggung perasaan. Lagipun, sakit merupakan ujian Allah SWT kepada semua hamba-Nya.

Apabila disebut sebagai “ujian”, kita perlu sedar bahawa ujian itu bukan sahaja diturunkan Allah SWT kepada yang empunya diri, tetapi juga kepada orang-orang di sekelilingnya. Ujian itu merupakan satu cara Allah SWT hendak menguji keimanan yang empunya diri serta orang-orang yang mengenalinya. Dengan yang demikian, semua orang akan dapat memuhasabah diri.

Oleh sebab itu, teguran dan nasihat YAB Tan Sri Muhyiddin kepada YB Mohamed Azmin tentang “keceloparan”nya harus diterima dengan hati yang terbuka. Dalam erti kata yang lain, YB Mohamed Azmin harus sedar bahawa beliau telah melakukan sedikit kesilapan dan dengan yang demikian molek sangatlah jikalau beliau meminta maaf atas kesilapannya itu.

Sebagai perbandingan, dalam kes DS Anwar Ibrahim dibelasah oleh mantan KPN hingga lebam muka dahulu, Tun Dr. Mahathir sendiri telah menuduh DS Anwar Ibrahim mencederakan dirinya sendiri. Perbuatan itu juga kurang wajar dan kurang cerdik kerana ternyata bahawa DS Anwar memang dibelasah. Mantan PM itu harus juga meminta maaf.

Monday, October 4, 2010

Hukuman Apakah yang Layak untuk Pelacur Itu?

Kita, rakyat marhaen, berbuih-buih mulut seperti orang sawan babi bercerita dan membuat puluhan komen tentang natijah kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara kita. Pelbagai kesan kita ketengahkan dan semuanya benar kerana semua yang dinyatakan itu fakta.

Tidak cukup hanya mengeluarkan suara lewat radio, ada orang membicarakannya dengan mengeluarkan suara dan gambar lewat TV. Tidak cukup radio dan TV, orang membicarakannya lewat media cetak sehingga hampir habis dakwat dan kertas.

Yang seorang berkata bahawa PATI telah menyebabkan masalah jenayah di negara ini – curi, ragut, samun, bunuh, rompak, dan rogol – meningkat. Yang seorang lain berkata bahawa PATI telah menutup peluang perniagaan rakyat tempatan. Yang seorang lagi berhujah bahawa PATI telah menyebarkan pelbagai penyakit yang sesetengahnya telah tiada di negara kita. Begitulah antara fakta yang dihujahkan orang.

Mujur rakyat kita bukan seperti orang Bendera yang berura-ura hendak mengganyang kita hanya sebab-sebab yang juga banyak berlaku di negara mereka. Walhal, jika difikirkan semula, kitalah yang sepatutnya berasa marah kerana pihak kerajaan mereka tidak gigih berusaha untuk melarang rakyat mereka daripada datang secara haram ke negara kita.

Kalau seseorang individu datang secara haram ke negara orang, bermaksud orang itu penceroboh, sama halnya dengan orang tidak dikenali yang menceroboh kediaman kita. Biasanya, penceroboh harus kita layan bagaimana?

Inilah keanehan yang berlaku. Rupa-rupanya masalah yang tidak selesai ini dicetuskan oleh keparat-keparat yang kita gajikan. Isu yang menjadi masalah kepada kita rupa-rupanya sumber kekayaan kepada mereka. Beban yang tergalas di pundak kita, rupa-rupanya rezeki rimau buat mereka!

Orang-orang itu mendapat ratusan ribu ringgit dengan mengesahkan dan menghalalkan kemasukan mereka. Sekepala yang disahkan, mereka beroleh RM80.00. Sebagai hasilnya, sang keparat ini beroleh puluhan ribu RM seminggu.

Tergamak mereka melakukan demikian kepada kita. Cukupkah nanti pihak atasan Jabatan itu hanya mengenakan tindakan disiplin kepada mereka? Cukupkah mereka sekadar ditukarkan tempat bertugas?

Bukankah sepatutnya keparat-keparat yang mengkhianati rakyat dan negara ini sepatutnya dihukum lebih teruk daripada itu?

Menggigil tubuh ini. Anak dara kita sampai dilarikan PATI (yang mungkin merupakan PATI yang dilepaskan pegawai yang kita berikan amanah itu) untuk dinikahi oleh para PATI itu sampai ibu-ibu bapa tidak cukup air mata menangisi kehilangan anak mereka. Merah padam muka kita apabila isteri bekas polis kita dibunuh sedemikian rupa di Shah Alam dulu, mungkin oleh PATI yang dilepaskan oleh pegawai yang kita berikan amanah itu juga. Jadi, apakah hukuman yang layak untuk mereka – pegawai-pegawai itu yang melacurkan amanah yang kita pertanggungjawabkan?

Saturday, October 2, 2010

Menuju PRU 13: Perak

Seperti yang dinyatakan dalam siaran yang lalu, PRU 12 sudah lebih dua tahun (2 tahun 7 bulan) berlalu. Hal ini bermaksud bahawa kerajaan yang memerintah Persekutuan Malaysia dan kerajaan-kerajaan yang memerintah 13 buah negeri lain serta Wilayah Persekutuan hanya mempunyai tempoh sekitar dua tahun sahaja lagi untuk berkuasa. Selepas tempoh itu, kerajaan (Parlimen dan Dewan Undangan Negeri) mesti dibubarkan bagi membolehkan rakyat memilih kerajaan yang baharu.

Apabila menyebut dibubarkan, entah betul entah tidak, ada khabar yang mengatakan bahawa Parlimen bakal dibubarkan pada tahun hadapan. Jika benar-benar berlaku pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, kerajaan sedia ada telah memendekkan mandat yang diberikan rakyat kepada mereka. Khabar itu tidak pula menyatakan rasional pembubaran awal itu. Walau bagaimanapun, semuanya hanya khabar angin (tetapi khabar angin di Malaysia, kata orang, selalu menjadi khabar sahih).

Kerajaan Negeri Sarawak yang sudah hampir tamat tempoh pemerintahannya sampai kini masih belum membubarkan Dewan Undangan Negerinya. Adakah hal ini ada kaitannya dengan khabar angin yang mengatakan bahawa pilihan raya umum bakal diadakan pada tahun hadapan supaya pilihan raya negeri Sarawak dapat diadakan bersekali dengan pilihan raya umum? Mengapakah berlaku begitu?

Perkara yang sedang bermain-main dalam kepala pemuka BN yang menguasai Dewan Undangan Negeri Sarawak itu (malah dalam kepala Pengerusi BN sendiri) hinggakan sampai sekarang masih berteka-teki tentang tarikh pembubaran itu tidaklah dapat kita baca. Adakah kerana risikan yang dibuat oleh pihak mereka dan pihak yang bekerja dengan mereka memperoleh maklumat yang kurang menyenangkan? Kita tunggulah. Walau apa-apa pun alasan dan strategi mereka, pilihan raya tetap akan diadakan, insya-Allah.

PRU 12 Mac 2008 lalu menyaksikan tiga buah negeri ramalan YBhg Tun Daim – Kedah, Pulau Pinang, dan Selangor – benar-benar bertukar kerajaan, daripada BN kepada PR. Barangkali YBhg Tun Daim tidak sempat membuat risikan di Perak. Perak, pada PRU 12 itu, menerima nasib yang sama dengan tiga buah negeri itu – bertukar kerajaan. Daripada 59 DUN yang terdapat di negeri itu, BN menang 28 manakala yang selebihnya (31) disapu oleh Pakatan Rakyat – 18 DAP, 7 PKR, 6 PAS.

Walaupun DAP mendominasi bilangan kerusi di Perak berbanding dengan parti lain dalam PR, Wakil Rakyat daripada parti itu tidak dipilih sebagai MB. Hal ini berlaku demikian kerana Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak menetapkan bahawa MB mestilah dipilih daripada kalangan wakil Melayu yang beragama Islam. Atas semangat musyawarah (?), setelah diperkenankan oleh Ke Bawah DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Pakatan Rakyat telah bersetuju supaya Wakil Rakyat daripada PAS menjadi MB negeri itu.

Hal ini khabarnya telah mendorong DAP untuk memilih ahli mereka daripada kalangan orang Melayu-Islam sebagai calon Wakil Rakyat pada PRU 13 yang akan datang. Mereka berandaian bahawa jika pada PRU 13 kelak mereka sekali lagi mendominasi jumlah kerusi yang dimenangi, pastilah wakil mereka yang akan dilantik sebagai MB.

Sebenarnya, jika hal ini benar-benar dilakukan oleh DAP, banyak orang yang akan “membuka mata” dengan seluas-luasnya. Orang akan menuduh DAP tidak mempunyai semangat setia kawan yang tinggi kerana sengaja memilih orang Melayu daripada parti mereka sebagai calon bagi menutup peluang calon Melayu daripada parti lain untuk menjadi MB. Orang akan melihat, berapa banyak ahli DAP yang berbangsa Melayukah yang akan dipilih oleh pemuka parti itu sebagai calon mereka dalam PRU 13? Seorang sahajakah atau lebih daripada tiga orang? Orang akan bertanya juga, mengapakah baru sekarang hendak menonjolkan lebih banyak calon Melayu di Perak? Kemudian, seandainya lebih daripada tiga orang Melayu dipilih oleh mereka sebagai calon di Perak, adakah mereka akan memilih calon Melayu dalam jumlah yang sama di negeri lain?

Di Perak, pada PRU 12 itu, DAP memenangi semua 18 kerusi DUN yang ditandinginya. Daripada jumlah itu, hanya dua kawasan DUN sahaja yang dimenangi mereka dengan majoriti di bawah 900 undi, iaitu di Pokok Asam (865 undi) dan Kepayang (490 undi). Dua lagi kawasan DUN dimenangi mereka dengan majoriti di bawah 1500 undi, iaitu di Malim Nawar (1362 undi) dan Sungkai (1454 undi). Yang lain dimenangi mereka dengan majoriti yang agak selesa.

BN bertanding di semua DUN (59) pada PRU 12 lalu. Seperti yang dinyatakan, mereka memenangi tidak sampai separuh daripada jumlah kerusi yang ditandingi (28). Daripada jumlah kerusi yang dimenangi itu, 8 kerusi dimenangi mereka dengan majoriti di bawah 920 undi. Malah, ada yang dimenangi hanya dengan majoriti 95 undi (Alor Pongsu).

PKR bertanding di 20 kawasan DUN tetapi menang 7 kerusi sahaja. Tiga daripadanya dimenangi dengan majoriti di bawah 570 undi.

PAS bersaing di 21 kawasan DUN, tetapi cuma menang di enam kawasan sahaja. Berdasarkan majoriti yang diperoleh, kedudukan mereka masih belum mantap. Majoriti undi yang diperoleh mereka di tiga DUN tidak memperlihatkan prestasi yang menggalakkan. Ada yang dimenangi dengan majoriti 72 undi (Lubok Merbau), 547 undi (Selinsing), dan 899 undi (Changkat Jong). Majoriti terbaik diperoleh mereka di Pasir Panjang (4474 undi).

PAS mungkin boleh menebus kekalahan mereka di tangan UMNO-BN di beberapa kawasan yang mereka tewas dengan majoriti kecil, seperti di Pengkalan Baharu (14 undi), Alor Pongsu (55 undi), Kubu Gajah (66 undi), Manjoi (348 undi), Selama (355 undi), Rungkup (454 undi), Kamunting (555 undi), Sungai Rapat (636 undi), Manong (749 undi), dan Trong (916 undi). Walau bagaimanapun, mereka berpotensi untuk kalah di kawasan yang mereka (PAS) menang sekarang berdasarkan majoriti di atas. Oleh sebab itu, PAS sangat perlu menggembleng tenaga untuk menambah bilangan kerusi DUN yang dimenangi mereka.

Hakikatnya Perak, seperti Selangor, sukar untuk dirampas oleh BN pada PRU 13 yang akan datang. Dasar-dasar yang diperkenalkan oleh BN dalam kerajaan pusat menjadi penentu, sama ada Perak akan berada di tangan BN ataupun di tangan PR. Sebagai contohnya, menaikkan harga petrol, sama ada melalui perisytiharan ataupun secara sembunyi-sembunyi, menaikkan harga gula dengan alasan yang konkrit atau dengan alasan yang bodoh, dapat menjadi penyebab penolakan rakyat terhadap BN. Kenaikan harga barangan itu bukan dilakukan oleh kerajaan BN Perak apatah lagi oleh kerajaan PR Selangor, Perak, Kedah, Kelantan, dan Pulau Pinang.

Apakah strategi yang dirangka oleh BN sekarang? Merangka strategi untuk mengekalkan kuasa, atau merangka strategi untuk merampas kuasa melalui pilihan raya, atau merangka strategi untuk merampas kuasa dengan cara yang dilakukannya di Perak?

Wednesday, September 29, 2010

Menuju ke PRU 13: Selangor

Sudah lebih dua tahun PRU 12 berlalu – keputusan rasmi selepas pemilihan 8 Mac 2008 itu ialah BN masih berkuasa untuk menerajui kerajaan (Persekutuan). Di Parlimen, BN memenangi 140 kerusi manakala pihak yang menentangnya atas nama Pakatan Rakyat (PR) memperoleh 82 kerusi (kejadian lompat-melompat parti selepas PRU itu telah mengubah keputusan rasmi tersebut).

Sebelum PRU 12 itu, bekas Menteri Kewangan, YBhg Tun Daim Zainuddin mengklasifikasikan tiga buah negeri sebagai “Kawasan Panas”. Negeri yang diklasifikasikan beliau sebagai “panas” itu itu ialah Kedah, Pulau Pinang, dan Selangor. Ramalan beliau terbukti sebagai benar – ketiga-tiga negeri itu jatuh ke tangan PR, malah ditambah pula dengan satu negeri lagi, iaitu Perak. Kelantan terus dikuasai PR (PAS).

Khabar-khabar angin dan cakap-cakap kedai kopi mengatakan bahawa Tun Daim sudahpun membuat ramalannya tentang PRU 13 akan datang. Menurut khabar angin itu, Tun Daim meramalkan BN akan tewas. Oleh sebab ramalan beliau sebelum PRU 12 itu betul, menurut penyampai khabar angin di kedai kopi itu, maka ramalan beliau yang terkini tidak kita dengar lewat mana-mana media. Kalaulah benar beliau ada meramalkan demikian, BN perlu memberikan perhatian yang sepenuh-penuhnya terhadap ramalan itu.

Sebagai memberikan respons terhadap ramalan Tun Daim sebelum PRU 12 dahulu, Menteri Besar yang memimpin Selangor dan Kedah pada waktu itu dalam satu temu bual dengan sebuah akhbar arus perdana berkata bahawa PAS dan DAP memang mempunyai penyokong dan pengikutnya di negeri-negeri itu, tetapi PKR tidak ada penyokong. Malah, kedua-duanya berkata bahawa PKR bukan ancaman besar kepada BN.

Di Selangor terbukti bahawa Menteri Besar yang dahulu itu terpaksa menelan liur dan kahaknya. Beliau yang pada suatu ketika berhasrat untuk mewujudkan keadaan sifar pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri di Selangor “meleleh liur” apabila melihat tokoh yang menjadi MB Selangor selepas kekalahan BN ialah tokoh daripada parti yang dikategorikan beliau sebagai bukan ancaman besar kepada BN itu!

Itu cerita yang sudah lepas – cerita yang membogelkan para pemuka BN yang selalu memperlihatkan keyakinan bahawa BN akan kekal memerintah negara/negeri dari dulu himgga kini dan selama-lamanya, pemuka yang kadangkala langsung tidak ber“insya-Allah” apabila melahirkan keyakinan mereka.

Cerita yang akan datang yang sepatutnya sudah pun dianalisis sejak kekalahan itu oleh pihak BN ialah bagaimanakah mereka hendak merampas negeri yang telah jatuh itu sedangkan pada masa yang sama negeri yang dikuasai mereka juga sedang berada dalam situasi seperti telur di hujung tanduk, abu di atas tunggul? (Negeri Sembilan adalah antara contohnya.)

Selangor mempunyai 56 kerusi DUN. Pada PRU 12 itu, BN hanya memenangi 20 kerusi dan yang selebihnya (36 kerusi) dimenangi oleh PR (PKR = 15, DAP = 13, dan PAS = 8). Daripada 20 kerusi yang dimenangi oleh BN, 9 kerusi daripadanya dimenangi dengan majoriti di bawah 700 undi (kerusi yang dimenangi oleh PR dengan majoriti kecil itu ialah 3). Malah, di N29 (Seri Serdang), Wakil Rakyat BN memenanginya dengan majoriti 45 undi!

Yang lebih menakutkan ialah, kerusi DUN yang terletak di bandar-bandar yang dahulunya dimenangi oleh wakil BN dengan majoriti yang besar, telah berubah senarionya. Kesemuanya telah dirampas oleh PR dengan kemenangan yang besar pula. Antara kawasan itu termasuklah Bangi, Balakong, PJ Utara, Kampung Tunku, Damansara Utama, PJ Selatan, Bukit Gasing, Kinrara, Subang, Bukit Lanjan, Rawang, dan lain-lain. Dapatkah BN menerbalikkan keadaan ini?

Ketua Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Dato’ Seri Mohd. Najib dan Timbalannya, Dato’ Noh Omar, berdepan dengan cabaran yang getir untuk merampas Selangor! Menyingkirkan MB Selangor dahulu daripada tugas Ketua Perhubungan UMNO Negeri ialah langkah yang sesuai kerana beliau harus dipertanggungjawabkan dan dipersalahkan atas kekalahan BN di negeri itu dalam PRU 12 dahulu. Rasanya MB Selangor dahulu menerima hakikat itu dengan hati yang terbuka. Setidak-tidaknya beliau masih berstatus Wakil Rakyat dan menjadi Ketua Pembangkang.