Wednesday, September 30, 2009

Kecurangan Isteri di dalam Mimpi: Bagaimanakah Perasaan Anda?

Saya beberapa kali bermimpi tentang isteri saya bermain kayu tiga, isteri saya diurat orang, dan beberapa keadaan lain yang ada kaitannya dengan hal yang sedemikian walhal sehingga kini isteri saya, alhamdulillah, sangat setia dan jujur, malah banyak membantu saya (walaupun kadang-kadang beliau mudah “berangin”).

Semasa saya bermimpi tentang perkara seperti itu pada kali pertama, rasa marah, rasa cemburu, dan rasa yang seangkatan dengannya begitu membuak-buak walhal tahap kecemburuan saya hanya 0.001 pada skala Richter! Dalam mimpi itu, saya merasakan seperti hendak membelasah kedua-duanya, iaitu isteri saya dan pasangannya, tetapi saya tidak ingat adakah perasaan untuk membunuh kedua-duanya wujud dalam diri saya semasa saya bermimpi itu.

Perasaan itu (cemburu dan marah) terbawa-bawa sehingga saya dapat merasa dan mendengar nafas saya mendengus-dengus dan apakala mata dicelikkan, saya hampir-hampir tidak berjaya mengawal kemarahan dan kecemburuan itu. Cuma setelah saya dapat menguasai situasi “mamai” selepas terjaga daripada mimpi itu, barulah kewarasan kembali menguasai fikiran. Namun demikian, debar sebagai akibat marah dan cemburu itu masih berbaki.

Sehingga malam tadi, saya bermimpi tentang hal yang serupa lagi (tetapi tahap kemarahan dan kecemburuan saya pada kali ini sangat minimal). Sekarang saya terfikir, seandainya perasaan dan fikiran saya yang di dalam mimpi itu terjelma dalam alam realiti dan kemudiannya syaitan laknatullah menunggangi perasaan dan fikiran saya itu, apakah natijahnya? Na‘uzubillah, jauhkanlah saya daripada kejahatan syaitan itu. Saya sayang akan isteri saya!

Jadi, nasihat saya kepada anda, basuhlah kaki sebelum tidur!

[PEMBETULAN!!! Saranan membasuh kaki itu cuma idea tuk nenek kita kerana yang sebenarnya, yang lebih baik, yang lebih afdal ialah basuhlah muka, basuhlah tangan, basuhlah dahi, dan kemudian sekali barulah membasuh kaki – setiap satunya perlu dibasuh tiga kali! Dengan kata yang lebih mudah, BERWUDUKLAH sebelum membuta!]

Tuesday, September 29, 2009

TG Nik Abdul Aziz dan DP Ibrahim Ali: Yang Menuntut Jasa dan Yang Melupakan Jasa

Hendak dikatakan ANEH, macam TIDAK ANEH; hendak dikatakan TIDAK ANEH, macam ANEH pulak! Tetapi, itulah realiti yang berlaku dalam POLITIK. Yang pernah duduk bergesel bahu, makan sepinggan, minum secawan pun boleh berseteru sampai mencaci maki. Yang saling mencaci maki pula tup-tup boleh tidur sekatil dan sebantal tetapi alhamdulillah tidaklah sampai ke tahap saling merodok (maaf, kasar sikit) atau bertukar-tukar pasangan. Malah, ada kalangan tokoh politikus yang dibebaskan dari penjara dengan usaha sahabatnya dalam kerajaan (politikus juga) yang melawan sahabatnya yang berjasa itu.

Saya tertarik untuk menyentuh hal ini apabila mengikuti telatah Dato’ Paduka (DP) Ibrahim Ali yang telah ber“perang mulut” dengan tokoh besar PAS, TG Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Kita semua sangat sedia maklum bahawa DP Ibrahim Ali ini ialah tokoh Bebas yang bertanding dengan menggunakan lambang “Bulan” PAS dalam PRU yang lalu dengan restu TG itu. Tetapi, kita semua berasa janggal apabila DP itu tergamak untuk memberikan 10 dalil/hujah yang mewajarkan TG Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat mengosongkan kerusi MB Kelantan yang disandangnya sejak tahun 1990 itu.

Yang berikut ini ialah 10 hujah yang dikemukakan oleh DP Ibrahim:

  • TG Dato’ Nik Abdul Aziz sudah terlalu lama bergelar wakil rakyat dan Menteri Besar. Beliau “barang lama” manakala naluri manusia pula sentiasa berkehendakkan sesuatu yang baharu.
  • TG Dato’ Nik Abdul Aziz sudah nyanyuk kerana bercakap tanpa usul periksa apabila menerima maklumat selain melupakan jasa Ibrahim yang bekerjasama sewaktu kerajaan PAS Kelantan berada pada kedudukan getir.
  • TG Dato’ Nik Abdul Aziz kerap uzur sedangkan kesihatan yang baik ialah syarat utama untuk menjadi ahli politik.
  • TG Dato’ Nik Abdul Aziz tidak menumpukan tugasnya sebagai Menteri Besar kerana asyik berceramah selain diperalat oleh beberapa individu dalam PAS Kelantan.
  • TG Dato’ Nik Abdul Aziz tidak cekap mentadbir dan jauh sekali mempunyai idea dan kreativiti yang amat diperlukan dalam era dunia tanpa sempadan.
  • TG Dato’ Nik Abdul Aziz menjadi alat DAP walaupun parti itu secara terang-terangan menentang pelaksanaan negara Islam yang menjadi cita-cita PAS.
  • TG Dato’ Nik Abdul Aziz menjadi alat pakatan pembangkang untuk menghalalkan agenda memecahkan perpaduan umat Islam dan bangsa Melayu selain mempergunakan Islam untuk kepentingan politik.
  • Banyak pemimpin PAS Kelantan dan pusat mahu beliau meletak jawatan cuma mereka tidak berani bersuara.
  • TG Dato’ Nik Abdul Aziz mempunyai sikap riyak dan takbur kerana menganggap hanya beliau sahaja yang betul dari segi Islam sehingga sanggup menghukum bahawa ibadah orang yang tidak sehaluan dengannya tidak diterima Tuhan.
  • TG Dato’ Nik Abdul Aziz gagal mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat Kelantan walaupun mempunyai kekuatan modal insan yang rajin bekerja selain kaya dengan hasil bumi, budaya, mahupun kepelbagaian makanan.

Sebab-musabab yang mendorong DP Ibrahim Ali menggariskan 10 hujah tersebut adalah kerana TG Dato’ Nik Abdul Aziz telah mengulangi desakannya supaya DP itu meletakkan jawatan jika mahu amal baiknya diterima Allah SWT kerana rezeki yang diperoleh melalui jawatan tersebut adalah “tidak betul”. Desakan itu dibuat oleh TG itu kerana tindak-tanduk politik DP itu semakin berlawanan dengan hala tuju PAS.

Semasa menggariskan hujah itu, DP Ibrahim Ali menjelaskan bahawa saranan beliau itu bukan bermotifkan dendam peribadi, malah beliau turut mengakui bahawa beliau juga mempunyai kelemahan. Menurut beliau, yang mendorongnya untuk meluahkan saranan dan hujah itu adalah kerana orang lain tidak mempunyai keberanian untuk mengatakannya.

“Saya tahu perkara ini akan menyebabkan saya ‘dibelasah’ dalam blog tapi saya menerimanya dengan senang hati.

“Saya tiada masalah peribadi dengan Nik Aziz, beliau nak kecam saya, hukum saya masuk neraka pun saya tak kecil hati tetapi saya kena tegur untuk kebaikan agama bangsa dan negara,” katanya lagi.

Kerana hujah dan saranannya yang menyuruh TG Nik Abdul Aziz meletakkan jawatan sebagai MB dan Wakil Rakyat itu, Tuan Guru itu telah berkata, “Tua apa salahnya, kalau muda pun hanya sampah apa guna?”

Menarik jawaban TG Dato’ Nik Abdul Aziz itu tetapi jawaban itu akan lebih menarik jika beliau mencabar DP Ibrahim supaya mereka sama-sama meletakkan jawatan dan kemudian bertanding antara satu sama lain. TG itu mencabar kerusi Parlimen P22 Pasir Mas yang “diduduki” oleh DP itu manakala DP itu mencabar kerusi DUN N6 Cempaka yang “diduduki” oleh TG itu. Kalau UMNO-BN rasa perlu, jadikanlah DP Ibrahim sebagai calonnya. Kalau tidak, selitkanlah diri untuk bertanding di celah-celah kedua-duanya. Yang lebih bagus, oleh sebab pertarungan itu bersifat peribadi, biarlah kedua-duanya itu bergasak sesama sendiri.

Apa-apa pun tidak mungkin hal itu akan menjadi realiti. Silap-silap DP Ibrahim akan memanfaatkan taktik yang diguna pakai oleh Amru al-As yang telah memperdayakan Abu Musa as-Syaari dalam peristiwa tahkim yang berlangsung selepas gencatan senjata di Siffin semasa Sayidina Ali menjadi khalifah dahulu. Itu pun kalau beliau menjangkakan TG itu tidak cerdik dan memang benar-benar sudah uzur dan nyanyuk!

DP Ibrahim Ali pasti mendapat sokongan moral dari Y. Bhg Tun Dr Mahathir yang tampaknya menyokong saranan DP itu.

Politik, politik! Memang serba mungkin.

Monday, September 28, 2009

Berani: Apakah yang Kita Dapat?

EDI RIZAL RAMLI, 32 tahun – anak ketiga pelakon veteran, Norlia Ghani – meninggal dunia kerana terjatuh dari tingkat tujuh Pangsapuri Murni Titiwangsa. Tragedi itu berlaku sekitar jam 1:40 petang tatkala dia berusaha untuk memberkas pencuri yang bersembunyi di anjung sebuah rumah di tingkat itu. Dalam usahanya hendak memberkas pencuri itu, dia telah bertindak menyeberang tembok koridor tetapi usahanya itu gagal kerana dia telah tergelincir dan jatuh ke bumbung sebuah rumah di tingkat dua sebelum terjatuh ke tingkat bawah. Dia dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) oleh penduduk dan disahkan meninggal dunia sebaik-baik sahaja tiba di hospital. Al-Fatihah untuk beliau dan sama-samalah kita berdoa agar beliau ditempatkan bersama-sama dengan para syuhada, insya-Allah.

SEORANG JURUTERA SEBUAH SYARIKAT MINYAK TERKEMUKA WARGA AMERIKA SYARIKAT cedera ditembak dari jarak dekat oleh salah seorang daripada dua orang penjenayah tatkala beliau hendak menyelamatkan seorang wanita warga emas daripada disamun oleh kedua-dua orang penjenayah itu. Kejadian itu berlaku pada jam 1:30 tengah hari di Plaza Mont Kiara. Sebelum ditembak, berlaku pergelutan antara warga AS itu dengan salah seorang penjenayah yang mencuba untuk menyamun warga emas itu. Rakan penjenayah yang melihat kejadian itu telah melepaskan satu das tembakan dari jarak kurang daripada lima meter dan menembusi dada kiri jurutera itu sebelum rebah dan tidak sedarkan diri. Beliau telah dikejarkan ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil.

Alangkah malangnya nasib mangsa-mangsa daripada dua tragedi itu! Niat murni mereka untuk membanteras jenayah bagi menjamin kemananan setempat telah menyebabkan nyawa mereka diancam maut. Yang satu benar-benar maut dan yang satu lagi di ambang maut.

Apakah kesan daripada kejadian itu? Saya yakin, dengan kejadian itu, kita akan lebih menghargai nyawa kita. Dengan kata lain, banyak orang yang akan berpendirian “lihat dan biarkan” kejadian seperti itu berlaku. Jangan menyibuk! Jangan cuba-cuba untuk memperlihatkan ketangkasan dan keberanian walaupun ilmu seni pertahahanan diri yang dipelajari sudah sampai ke tahap tali pinggang hitam dan sebagainya. Ingat, kehebatan dalam ilmu seni pertahanan diri bukan untuk bertempur melawan musuh tetapi untuk mengutip pingat emas, perak, atau gangsa dalam Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Olimpik, dan sebagainya. Biarlah pencuri, penyamun, perogol bermaharajalela asalkan nyawa kita selamat. Biarlah dan lihatlah sahaja warga emas itu disamun, janganlah bertindak berani membabi buta untuk menyelamatkannya.

Mengapakah banyak orang berpendirian demikian? Jawabannya sudah tentulah kerana mereka merasakan nyawa mereka lebih berharga daripada mangsa curi dan mangsa samun itu. Mungkin juga mereka berpendirian demikian kerana sedar bahawa mereka tidak akan dikurniai gelaran Dato’ atau sekurang-kurangnya Pingat Gagah Berani (PGB) daripada keberanian dan pengorbanan mereka itu nanti. Atau pendirian itu mungkin juga timbul kerana mereka beranggapan bahawa kerja membanteras jenayah itu tanggungjawab polis, bukan tanggungjawab mereka.

Sebenarnya, tanggungjawab membanteras jenayah demi mewujudkan keamanan di negara ini merupakan tanggungjawab pemimpin, tidak kiralah di peringkat setempat, mukim, daerah, negeri, ataupun negara. Merekalah yang harus memulakannya supaya dapat diteladan oleh rakyat jelata. Bukankah hal ini telah dilakukan oleh DYMM Sultan Alauddin Ri‘ayat Syah semasa menjadi raja Melaka dahulu? Mengapakah iltizam baginda itu tidak dijadikan teladan?

Biasalah, selagi tidak kena batang hidung sendiri, kita tetap akan berpeluk tubuh, mengejapkan sila, dan memicingkan mata apabila berdepan dengan situasi begitu. EDI RIZAL RAMLI dan JURUTERA WARGA AMERIKA SYARIKAT itu hanya sebahagian kecil daripada orang yang berbeda pendirian dengan kita. Akan di‘PGB’kankah mereka itu? Jangan mimpilah.

Friday, September 25, 2009

Menanti Waktu untuk Menjadi Hero

Semasa PRK di Permatang Pasir baru-baru ini, Rohaizat Othman telah dipilih oleh UMNO-BN sebagai calon mereka untuk menentang calon PAS-PR, Mohd. Salleh Man. Ternyata, pemilihan Rohaizat (yang mendukung masalah di belakangnya) sebagai calon di Permatang Pasir itu telah membawa musibah kepada UMNO. Beliau kalah dan kekalahan itu ada kaitannya dengan masalah-masalah yang melingkari dirinya itu yang berjaya dimanipulasi dengan sebaik-baiknya oleh pihak PAS-PR.

Sekarang, di Bagan Pinang, nama TS Mohd Isa Abdul Samad dilonjak-lonjakan oleh penyokong-penyokongnya sebagai calon di situ. Mereka seperti melupakan imej Tan Sri itu yang jelas telah tercalar kerana pernah dihukum (digantung keahliannya) selama tiga tahun oleh Lembaga Disiplin Umno atas kesalahan berkaitan amalan politik wang selepas menangi jawatan Naib Presiden dalam Perhimpunan Agung UMNO 2004.

Banyak pihak yang berasa aneh dengan pendirian penyokong-penyokong beliau itu kerana mereka begitu beria-ia hendak mengetengahkan tokoh “comot” itu. Tetapi, saya lebih berasa aneh kerana yang empunya diri tidak menolak gesaan penyokong-penyokongnya itu. Seharusnya, TS Mohd Isa harus menyedari kesan yang bakal timbul ke atas dirinya dan parti yang diwakilinya jika beliau menjadi calon UMNO-BN di situ. Dengan itu, pada pandangan saya, beliau akan menjadi hero jika menolak saranan Pemuda UMNO Teluk Kemang itu. Demi UMNO-BN yang sudah menjadi seperti ais – semakin haus dan haus lalu cair itu – sangat wajar beliau menolak gesaan penyokong-penyokongnya itu supaya tidak menerima nasib yang sama dengan Rohaizat Othman yang dijadikan sasaran bidikan oleh PAS-PR sejak awal pencalonannya sehingga membawa kepada kekalahannya.

Kalah menang adat pertandingan, tetapi tak kan hendak kalah senantiasa!

Friday, September 18, 2009

Salam Kemaafan dan Selamat Berlebaran

Berblog dan meluahkan apa-apa yang terbuku dan terpendam di dalam hati sangatlah menyeronokkan dan dapat dikatakan sangat memuaskan hati. Makumlah, apa-apa yang membuku dan mengetul dapat diluahkan dan kemudiannya dikongsi bersama-sama dengan pemblog lain. Alhamdulillah, kita menjadi sebahagian daripada warga pemblog (blogger) yang berhemah dan bersantun seperti Melayu yang ditanggapi oleh Almarhum Datuk Dr. Usman Awang:

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan


Namun, selembut mana pun bicara, selincah mana pun kita menyusun kata, upaya kita untuk menyisihkan rakan dan teman daripada terluka hati, tersentuh rasa sangatlah terbatas. Ada rakan yang menyimpannya dan ada yang terasa sebentar dan kemudian lupa dan memaafkan.

Maka, atas nama persahabatan, atas nama setia kawan, atas nama hormat, atas nama kasih sayang, dengan sedetik demi sedetik berlalunya Ramadhan untuk mengucapkan ahlan wa sahlan kepada Syawal, hamba memohon ampun dan maaf – zahir dan batin – kepada rakan-rakan di Blog jika selama ini hamba tersilap kata, terlangsung bicara. Kepada pemuka-pemuka negara yang sering menjadi bahan teguran (bukanlah hamba hendak mencela tetapi membetulkan dan mengingatkan), hamba juga memohon ampun dan maaf kepada kalian. Semoga kita mendapat maghfirah Allah SWT sepanjang bulan Ramadhan ini dan dibebaskan daripada api neraka pada penutup Ramadhan. Jika tidak, tiadalah KEMENANGAN untuk diraikan!

Selamat Berlebaran. Peliharalah diri dan IMAN pada hari itu dan hari-hari seterusnya seperti kita memelihara diri dan IMAN kita sepanjang Ramadhan.

Wednesday, September 16, 2009

Dua Keping Gambar yang Bercerita

YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, dan Pengerusi Proton, Datuk Nazmi Mohd Salleh, menunjukkan replika kereta F1 1Malaysia. Pasukan F1 1Malaysia akan membuat penampilan sulung dalam Kejuaraan Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mulai tahun depan.

YAB Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan sumbangan zakat kepada bekas anggota polis bersempena dengan majlis tahlil dan sumbangan zakat kepada fakir miskin serta majlis berbuka puasa di Surau Saadiah, Muar.

Yang manakah yang perlu didahulukan atau diutamakan — RAKYAT atau PENCAPAIAN? Yang manakah yang penting — mengegahkan dan menguar-uarkan gagasan 1Malaysia dengan cara membazir atau mewujudkan kesejahteraan dan kemakmuran kepada rakyat dengan cara memberikan bantuan kepada mereka? Kita kurang jelas kerana mereka mengambil langkah yang mengaburkan kita.

Apakah manfaat yang diperoleh oleh bekas anggota polis (serta jutaan rakyat yang senasib dengannya) yang jasa mereka sebesar gunung itu daripada pasukan F1 1 Malaysia itu kelak? Sedangkan sehingga kini, penganjuran F1 yang sudah berlanjutan selama bertahun-tahun oleh negara ini tampaknya tidak memberikan manfaat apa-apa kepada bekas anggota polis di dalam gambar itu. Kalau ada manfaatnya, tentulah manfaat itu telah melimpah-ruah kepada rakyat marhaen dan dengan demikian tidaklah sampai bekas anggota polis itu terkategori sebagai salah seorang asnaf.

Pasukan F1 1Malaysia itu kelak akan dibiayai oleh gabungan sektor awam dan swasta dengan pembabitan kerajaan menerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Proton Holdings Berhad. Alangkah baiknya kalau biaya itu disalurkan kepada bekas-bekas polis, tentera, bomba dan penyelamat, dan lain-lain yang hidup susah dan melarat! Jika dilihat kepada jasa yang dicurahkan mereka, mereka tidak sepatutnya susah dan melarat.

Lagipun, sejauh manakah penubuhan pasukan F1 1Malaysia itu dapat membantu kerajaan 1 Malaysia menambah undi mereka dalam mana-mana pilihan raya kelak? Taburkanlah kesenangan dan kemakmuran kepada rakyat, rakyat pasti akan menaburkan tanda terima kasihnya dengan memberikan undi tidak berbelah bahagi kepada pemerintah.

Saya seperti terpandang-pandang, RAKYAT dan PENCAPAIAN (daripada gagasan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan) tidak boleh jalan seiring.
(*Sumber gambar: Bernama dan Berita Harian)

Monday, September 14, 2009

Makna Hari Raya kepada Orang-orang Tertentu

Pada dua hari yang berbeza, saya bertanya kepada dua orang kenalan yang bekerja di syarikat swasta seperti saya, bagaimanakah persediaan mereka dalam menyambut hari raya pada tahun ini. Saya sekadar bertanya, bukan nak tahu sangat pun. Tetapi, oleh sebab kedua-duanya memberikan jawaban yang hampir sama, iaitu “Tak tahu lagi”, keinginan untuk tahu itu sedikit membuak.

“Eh, kenapa pulak tak tahu lagi? Ada yang tak kena ke?”

“Raya kan 20 hari bulan....” Begitulah kata mereka, lebih kurang sama walaupun saya menanyakan soalan itu pada dua hari yang berbeza, di lokasi yang berbeza, dan kepada kenalan yang berbeza.

Saya tidak faham. “Kalau 20 hari bulan, mengapa pulak?”

Kenalan saya yang pertama hanya menjawab, “Faham-faham sajalah!” sambil tersenyum dan saya tidak bertanya lebih mendalam lagi kerana saya mengagak bahawa kenalan wanita saya itu mungkin kecewa kerana terpaksa mengambil cuti lebih awal dan lebih panjang untuk pulang ke kampung suaminya.

Tetapi lain pula halnya dengan kenalan lelaki saya. Sewaktu saya mengungkapkan pertanyaan “Kalau 20 hari bulan, mengapa pulak?”, dia seperti “marah”.

“Ai!” Tinggi sekali “ai”nya. “20 haribulan engkau ingat dah gaji ke? Aku ni di swasta, tak ada Union yang nak fight untuk dapatkan gaji awal daripada majikan. Kalau tak ada gaji, nak Raya macam mana?”

Dahi saya berkerut. Oh, itu puncanya! Gaji yang menjadi masalah untuk beraya. (Dengan “kemarahan” itu, barulah terjawab akan makna senyuman kenalan wanita saya sebelum itu. Saya telah berdosa kepadanya kerana berprasangka buruk terhadapnya.)

“Kita ni, Zul, Raya tak ada apa-apa maknanya sangat. Dapat sempurnakan puasa, buat ibadat sikit-sikit, kemudian pada Hari Raya bermaaf-maafan dengan mak bapak, adik-beradik, sahabat handai, cukuplah. Tapi anak-anak lain. Mereka nak baju Raya, nak kasut Raya, nak duit Raya, nak balik kampung. Kalau balik kampung kena isi minyak, kena bayar tol. Tol pergi balik sudah hampir RM60.00, petrol lebih kurang RM400.00. Mak bapak, adik-adik, dan anak-anak buah perlu juga diberi sedikit duit raya. Mana nak cekau duit kalau tak gaji?”

“Tapi, kan engkau dah beli baju Raya anak-anak engkau?” spontan saya bertanya.

“Sebab itulah gaji awal tu perlu. Duit gaji bulan lepas habis untuk persiapan mereka dan untuk tempahan kuih raya. Bukannya engkau tak tahu, baik seluar baik baju, baik kuih Raya semuanya mahal! Minyak pun mahal!”

Saya diam. Memang semua barang mahal, kata hati saya. Dan apabila otak saya mencerna “kemarahannya” itu, saya menyimpulkan bahawa gaji memang penting, apatah lagi semasa perayaan. Sesungguhnya, kepada orang yang banyak mempunyai anak, yang kampung halamannya jauh, yang isterinya suri rumah sepenuh masa, yang pendapatannya sekadar cukup untuk dibelanjakan tetapi tidak cukup untuk ditabung, pemberian gaji yang lebih awal memberikan makna yang sangat besar kepada mereka untuk menyambut Hari Raya.

Kakitangan awam beruntung. Mereka dapat gaji awal pada setiap perayaan. Tetapi kakitangan swasta bergantung pada majikan sepenuhnya. Kalau majikan memang berpegang pada prosedur syarikat – bahawa gaji hanya diberikan pada akhir bulan (antara 27-31 hari bulan) – jilat sahajalah jari.

Kalau Sayidina Umar al-Khattab bergegas mengambil bahan makanan untuk seorang ibu yang semasa baginda meronda sedang memasak batu untuk “mensaiko” anaknya yang kelaparan, apakah yang dilakukan oleh pemerintah kita kepada keluarga yang seperti ini? Tidak mahukah mereka (sebulan atau dua bulan sebelum Hari Raya) menasihati syarikat swasta supaya memberikan gaji awal kepada pekerja mereka bersempena dengan sambutan Hari Raya yang bakal menjelang? Bukan apa, sekadar memperlihatkan keprihatinan!

Dan saya terfikir, sambutan Hari Raya para peminta sedekah (di bazar-bazar Ramadhan sepanjang bulan puasa ini) mungkin lebih meriah daripada kakitangan swasta yang tidak menerima gaji awal.