Wednesday, February 6, 2013

Kubur dan Taman Peringatan

Kewujudan taman-taman peringatan sehingga menjadi medan/lubuk wang kepada pengusahanya, pada pandangan saya, bertitik tolak daripada wujudnya manusia yang menghargai dunia lebih daripada kehidupan yang abadi. Kewujudannya juga berpunca daripada sikap manusia yang suka menunjuk-nunjuk dan yang lebih parah, mereka telah tersilap dalam memahami erti kasih, cinta, dan sayang kepada ahli keluarga mereka yang mati. 

Teringat saya pada kata-kata seorang jiran saya yang sudah berumur, yang pada waktu itu kerja sementaranya ialah mengambil upah membuat binaan di atas kuburan seperti yang diminta oleh ahli keluarga/waris si mati (kini beliau sudah menghentikan kerjaya sementaranya itu). Walaupun bekerjaya demikian, beliau agak sinikal hingga berkata lebih kurang begini kepada saya, “Masa mak bapak hidup tak nak tunjukkan kasih sayang, dah mati baru nak beria-ia”.

Oleh sebab kata-katanya itu mudah dicerna, tanpa rasa berbelah bahagi saya bersetuju dengan kata-katanya itu. (Saya simpan kata-katanya itu untuk menjadi peringatan kepada diri ini.) Perlu apa kita mengeluarkan belanja ribuan ringgit untuk membuat binaan konkrit yang bertingkat-tingkat lengkap dengan salutan marmar atau jubin, malah sesetengahnya dilengkapi dengan bangku konkrit untuk dijadikan sebagai tempat duduk di sisi kubur ibu bapa atau ahli keluarga kita?

Di negara kita, taman-taman peringatan (perkuburan sebenarnya) untuk yang bukan Islam memang tidak sukar untuk ditemukan. Pernah arwah rakan saya terpedaya oleh taman peringatan itu. Kerana tidak tahu akan peranan taman peringatan itu yang sebenarnya, dia dan isterinya masuk ke kawasan taman peringatan yang terletak di tepi lebuh raya itu dan terkejut apabila mengetahui taman peringatan itu ialah kawasan perkuburan! 

Saya tidak pasti sama ada taman peringatan untuk umat Islam wujud di mana-mana bahagian di negara kita ini atau sebaliknya kerana saya tidak pernah menemukannya di tempat-tempat yang pernah saya kunjungi. Tetapi di Indonesia sana, di Karawang Timur, Jakarta, sudah ada Al-Azhar Memorial Garden yang berkeluasan 25 hektar bagi menempatkan 5,000 kubur orang Islam. Harga setiap kubur ini berjulat antara RM25 juta Rupiah hingga 8 bilion Rupiah (RM8,000-RM2.5 juta)! Layarilah laman web ini – http://www.alazharmemorialgarden.com/funeral.html

Daripada satu aspek, hati kita berasa senang apabila melihat kawasan perkuburan yang demikian – dilitupi rerumput yang menghijau, tersusun dan teratur. Hal ini berbeda dengan kawasan-kawasan perkuburan yang biasa dan kerap kita temukan di negara ini – ditumbuhi oleh pelbagai jenis pohon besar, tidak teratur dan gersang daripada rerumput. Sehingga demikian, kawasan-kawasan perkuburan itu benar-benar menjadi kawasan yang menakutkan dan sesetengahnya sangat sinonim sebagai kawasan berhantu!

Apabila tubuh ini tidak lagi dikenal sebagai tubuh atau badan sebaliknya dikenal sebagai jenazah atau mayat, apakah yang kita harapkan daripada ahli keluarga yang kita tinggalkan? Tentulah kita mengharapkan jenazah kita disempurnakan dengan selayaknya – dimandikan, dikafankan, disembahyangi, ditalkinkan, dan kemudiannya dikebumikan. Selebihnya, kita berharap agar waris kita tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan dan keselamatan roh kita di alam abadi berkat rahmat Allah.

Membelanjakan wang hingga jutaan ringgit semata-mata untuk memastikan kubur ibu bapa kita cantik sangat tidak wajar. Yang wajar ialah kita membelanjakan wang jutaan ringgit untuk membina masjid, surau, madrasah-madrasah pengajian, dan kita niatkannya atas nama ibu bapa kita. Dengan perbuatan yang demikian, kita insya-Allah mungkin telah membantu mencahayai kubur ibu bapa kita hingga menampakkan lorong untuk mereka ke jannah-Nya.

Thursday, January 31, 2013

Pelik: AES Tidak Beroperasi Pada Tahun Baharu Cina

Operasi AES, yang didakwa oleh pihak yang mengimplementasikannya bahawa berperanan besar untuk “mengurangkan” kejadian kemalangan di jalan raya, tidak akan diaktifkan bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini. Untuk makluman, cuti Tahun Baru Cina pada tahun ini jatuh pada hari Ahad-Selasa (10 Februari-12 Februari). Hal ini bermaksud bahawa mulai hari Sabtu (09 Februari) hinggalah pada hari Ahad minggu yang berikutnya( 17 Februari), jalan raya akan berada dalam keadaan sibuk kerana banyak orang yang akan mengambil cuti tahunan untuk memanjangkan cuti umum tersebut.

Walau bagaimanapun, pihak yang berkenaan memaklumkan bahawa walaupun operasi AES akan dihentikan pada tempoh itu, pihak JPJ tetap akan mengadakan operasi lain yang pernah dilakukan mereka bagi mengawal keadaan dan bagi mengurangkan kemalangan, misalnya melakukan penyamaran di dalam bas, mengadakan sekatan jalan raya, dsb.

Pada kebanyakan orang, langkah untuk menghentikan operasi AES itu bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini sebenarnya amat aneh dan luar biasa. Hal ini dikatakan demikian kerana, jika benarlah AES itu sangat besar gunanya untuk “mengurangkan” kadar kemalangan di jalan raya seperti yang didakwa oleh pihak yang berkenaan, operasinya tidak harus sama sekali dihentikan, terutamanya pada musim-musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina ini. Membebaskan pengguna jalan raya daripada perasaan takut untuk melanggar undang-undang sangat tidak baik.

Banyak pihak yang mengatakan bahawa cadangan penghentian operasi AES ini pada sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini tidak lain tidak bukan sebagai tindakan penyelamat terhadap operasi AES itu sendiri. Tidak sukar untuk kita bersetuju dengan pandangan yang demikian. Saban tahun, Ops-Ops Sikap yang dilakukan oleh pihak PDRM tidak menampakkan hasil yang benar-benar dapat dibanggakan. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam tempoh Ops-Ops itu dilaksanakan, kejadian kemalangan di jalan raya, termasuklah kemalangan maut, masih lagi tinggi. Penurunannya masih lagi rendah.

Oleh itu, kerana menyedari hakikat itu, pihak JPJ membuat keputusan untuk menghentikan operasi AES itu sementara waktu. Bayangkanlah, jika operasi AES itu tetap dilaksanakan sepanjang tempoh sambutan perayaan Tahun Baharu Cina yang akan datang ini, dan operasinya tidak berjaya untuk mengurangkan kejadian kemalangan di jalan raya (tetap tinggi seperti tahun-tahun sebelumnya), AES pasti akan sekali lagi menjadi sasaran kecaman masyarakat. Apabila hal ini berlaku, masyarakat mempunyai poin baharu untuk memaksa JPJ menghentikan operasi AES yang tidak berkesan itu sama sekali.

Hal ini mungkin andaian sahaja, tetapi kebenarannya tidak boleh kita abaikan. Pengguna jalan raya masih lagi berani melanggar undang-undang – memandu laju, melanggar isyarat lampu trafik, memandu secara melulu, memotong barisan, dsb. Kesalahan ini akan terus dilakukan oleh pengguna jalan raya kerana kekerapan mereka dikenakan tindakan undang-undang lebih rendah berbanding dengan kekerapan mereka terlepas daripada tindakan undang-undang. Oleh hal yang demikian, dalam hal ini, wajarkah kerajaan meletakkan tanggungjawab pada AES untuk membentuk disiplin pengguna jalan raya?

Kerana ada pihak yang berkepentingan di balik kewujudan dan pelaksanaan operasi AES ini, maka dapatlah kita katakan bahawa matlamat untuk mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya hanyalah matlamat sampingan. Matlamat yang hakiki ialah keuntungan. Dan kerana keuntungan itulah, imej AES ini – mengurangkan kadar kemalangan – harus senantiasa terpelihara. Salah satu cara untuk memeliharanya adalah dengan mengambil tindakan seperti yang hendak dilaksanakan bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina yang akan datang tidak lama lagi ini. Pandai, pandai....

Wednesday, January 30, 2013

Kalau Kita Ini Siapa-siapa

Kalau kita ini siapa-siapa, walaupun berusia lewat, dengan usaha yang sedikit, kita mudah beroleh pekerjaan, tidak kiralah dengan bantuan kenalan, atau dengan bantuan kebolehan, atau dengan bantuan kemahiran.

Kalau kita ini bukan siapa-siapa, dengan budi yang mulia, jujur bagai malaikat, diri kita diangkat Allah ke pengetahuan orang banyak, mengharum bak kesturi, hingga orang bertindih tangan, berebut-rebutan, hanya untuk mendapatkan khidmat kita.

Berlebih-lebih lagi kalau kita ini siapa-siapa, diri pula dibaluti sifat mirip Rasul kehendak Allah, dirinya akan terpaksa berfikir, sama ada hendak melayan tawaran itu, lamaran ini, memenuhi hasrat teman ataupun memenuhi kepuasan diri.

Kalaulah kita siapa-siapa....

Tetapi kalau kita bukan siapa-siapa, kebolehan separas air di buku lali, kenalan ternama hanya terbilang pada jari di tangan sebelah, pekerti tidak begitu mulia, usia sudah mendakap senja, kita menawarkan diri, mereka hanya tertawa.

“Kami perlukan orang yang muda bukan tunggul reput yang dibalut rumput menjalar, yang sihat bukan yang sering batuk-batuk, lagipun dengan hanya separuh daripada upah tuan, kami beroleh idea segar-bugar pucuk muda.

“Maafkan kami, tuan, tempat ini bukan tempat tuan, bukan. Kambing pergi ke tunggul reput bukan kerana mahu tahu tunggul itu reput atau utuh, tetapi kerana mahu makan pucuk rumput menjalar yang muda-muda.”

Kerana kita ini bukan siapa-siapa, kadangkala kita ini tak mampu tertawa, dan eloklah kepada Dia kita berserah, kepada Dia kita meminta, dan betulkan diri sebagai hamba-Nya. Barulah kita ini tergolong sebagai ... siapa-siapa.

Wednesday, January 23, 2013

Edar Injil, Bakar Injil: Kalian Sedang Bermain Api

Kawan saya pernah berkata, “Jangan lakukan sesuatu yang kita sendiri tidak suka orang lain lakukan terhadap kita”. Hal itu dibangkitkannya apabila kami sangat marah terhadap perlakuan buruk pemandu kenderaan yang berkelakuan kurang ajar di jalan raya. Kami ingin membalas perbuatan pemandu itu dengan perbuatan yang sama, kebiadaban yang sama.

Rupa-rupanya, pesanan sahabat saya itu merentas segala perbuatan, segala peri laku. Ada pihak tertentu, khabarnya, yang ingin mengadakan Festival Bakar Injil di Pulau Pinang. Siapa pun pihak itu, saya berasa perlu untuk mengingatkan mereka, menyedarkan mereka, “Jangan lakukan sesuatu yang kita sendiri tidak suka orang lakukan terhadap kita”.

Kalau iltizam untuk mengadakan Festival Bakar Injil itu berpunca daripada galaknya perbuatan pihak-pihak tertentu mengedarkan kitab Injil kepada umat Islam, saya pun hendak mengingatkan pihak-pihak yang mengedarkan kitab-kitab penganut Kristian itu, “Jangan lakukan sesuatu yang kita sendiri tidak suka orang lakukan terhadap kita”.

Kalau kalian pencetus idea Festival Bakar Injil, kalian tentu tidak suka kalau ada pihak yang mencetuskan idea untuk mengadakan Pesta Bakar Quran (insya-Allah, al-Quran akan sentiasa terpelihara). Kalau kalian pencetus idea pengedaran Injil kepada umat Islam, kalian tentu benci kalau ada pihak yang masuk ke dalam gereja untuk mengedarkan al-Quran.

Banyak perkara yang perlu kita pelihara. Banyak perkara yang sensitif sifatnya. Bermain dengan perkara sensitif sama dengan perbuatan bermain api. Api dapat menyebabkan kalian melecur, api dapat menghangusrentungkan apa-apa yang yang kalian sayangi. Puak-puak yang berkepentingan, yang jahat, dengan sengaja akan menyimbahkan petrol ke dalamnya.

Mengapakah kalian tidak mahu duduk diam, melakukan kebaikan dalam lingkungan kalian, supaya semua orang dapat menikmati keamanan? 

Monday, January 21, 2013

Tuan Haji Abdul Aziz: Ganjaran Allah kepada Hamba-Nya yang Berjihad

Saya belum pernah melihat suasana ini. Seorang insan biasa, bukan VIP jauh sekali VVIP, meninggal dunia. Teman taulan, sanak saudara, jiran tetangga yang datang untuk menziarahi jenazahnya begitu banyak. Allahyarham itu, Tuan Haji Abdul Aziz bin Mokhtar, meninggal dunia sekitar 7:00 pagi semalam (Ahad, 20 Januari 2013/08 Rabi’ulawwal 1434 H). Innalillahi wa inna ilaihirojiun.

Arwah Tuan Haji itu jiran saya. Walaupun tidak akrab dengan saya, tetapi kami saling mengenali dan saling bersapaan apabila berpapasan di mana-mana. Arwah Tuan Haji itu pernah diserang angin ahmar, namun alhamdulillah, beliau masih mampu untuk berjalan dan masih mengenal jiran tetangga. Barangkali percakapannya sahaja kurang jelas dan teratur.

Berbalik kepada peristiwa banyaknya orang yang menziarahi jenazahnya. Saya biasa menziarahi jenazah jiran, saudara-mara, dll, namun belum pernah saya lihat sebanyak itu yang menziarahi jenazah itu. Saya biasa mensolati jenazah orang, pun tidak sebanyak itu kecuali kalau jenazah itu disolati pada hari Jumaat. Jenazah Tuan Haji ini disolati selepas kami menyempurnakan solat Zuhur.

Jemaah yang bersolat Zuhur pada hari semalam mendekati jumlah orang yang bersolat Jumaat. Jemaah, termasuk saya, melimpah hingga di ruang luar walhal, pada hari Ahad, jemaah yang bersolat Zuhur di surau kami sekitar dua saf sahaja. (Untuk makluman, surau kami adalah antara surau yang dipilih untuk mengadakan solat Jumaat di kawasan Kajang ini dan makmumnya memang banyak.)

Mengapakah begitu banyak orang yang menziarahi jenazah arwah dan begitu banyak juga orang yang mensolati jenazahnya? Kalangan sahabat saya berkata bahawa kebetulan hari itu hari Ahad. Orang juga berkata bahawa arwah itu dahulu barangkali berpangkat ketua di tempatnya bekerja, jadi banyaklah anak buahnya yang datang. Dan ada pelbagai andaian lain yang tidak dapat dinafikan kebenarannya.

Akan tetapi saya lebih cenderung untuk mengatakan bahawa beliau seorang yang sangat berjasa di jalan Allah. Hal ini saya katakan demikian kerana beliau telah melakukan sesuatu yang sangat baik demi keperluan seluruh penduduk Islam di kawasan kediaman kami ini. Keperluan yang saya maksudkan itu ialah keperluan terhadap sebuah surau untuk kami memudahkan bersolat jemaah.

Pada peringkat awal kami tinggal di kawasan perumahan ini, kami menyewa rumah seorang penduduk yang belum hendak duduk di kawasan perumahan kami sebagai surau untuk satu tempoh yang agak lama. Di sinilah aktiviti keislaman kami dijalankan, termasuklah solat sunat hari raya, ibadah qurban, dll. Akan tetapi, pada suatu hari, arwah Tuan Haji ini memaklumkan hal yang menggembirakan kami.

Arwah, dengan berlapang dada, telah membenarkan kami menjadikan rumahnya sebagai surau SECARA PERCUMA untuk tempoh dua tahun (sepanjang beliau bertugas di Sabah). Hal ini melegakan kami kerana kami dapat menjimatkan sejumlah wang untuk tempoh itu. Syarat yang diberikannya kepada kami ialah, jagalah rumah ini dengan sebaik-baiknya. Itu sahaja. Kami memenuhi amanah itu.

Balasan terhadap usaha fi sabilillah arwah inilah yang pada pandangan saya yang telah diperlihatkan oleh Allah SWT kepada kami untuk dijadikan sebagai ikutan dan contoh teladan. Balasan yang saya maksudkan itu adalah bahawa Allah SWT akan mengganjarkan setiap amalan baik hamba-Nya dengan ganjaran yang berlipat kali ganda baiknya – jenazahnya disolati oleh begitu banyak jemaah.

Tentang manfaat banyaknya jumlah jemaah yang mensolati sesuatu jenazah, ada dua hadis yang berkaitan dengannya.

Daripada Siti Aisyah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, “Tiada satu pun jenazah yang disolatkan oleh seratus orang kaum Muslimin, dan semuanya memohonkan syafaat bagi jenazah itu, melainkan Allah mengabulkan permohonan mereka itu”.
[Hadis riwayat Muslim]

Daripada Abdullah bin Abbas RA, katanya, “Anaknya meninggal di Qudaid atau di Usfan. Lalu dia berkata kepada sahayanya, ‘Hai Kuraib! Cubalah kamu lihat, sudah banyakkah orang yang berkumpul untuk mensolati jenazahnya?’ Kata Kuraib, ‘Aku pun pergi melihat, dan memang orang telah banyak berkumpul untuk mensolati jenazah itu. Lalu kuberitahukannya kepada Abdullah’. Abdullah bertanya, ‘Adakah jumlah mereka empat puluhan orang?’ Jawab Kuraib, ‘Ya, ada!’ Kata Abdullah, ‘Keluarkanlah jenazah itu! Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Apabila seorang Muslim meninggal dunia, lalu jenazahnya disolati oleh empat puluh orang Muslim (yang tidak musyrik), maka Allah menerima syafaat mereka terhadap jenazah ini’.”
[Hadis riwayat Muslim]

Itulah ganjaran yang diperlihatkan oleh Allah SWT kepada kami yang ditinggalkan oleh arwah Tuan Haji Abdul Aziz itu, insya-Allah. Sebagai peringatan kepada kita yang hidup ini, yang ditinggalkan oleh sahabat-sahabat, saudara-mara, jiran tetangga kita kerana berpindah ke alam abadi, mari kita renungkan hadis ini. (Saya berharap agar hadis ini besar gunanya kepada kita dan menjadi pendorong untuk kita memuhasabah diri.)

Daripada Abu Qatadah bin Ribi’, katanya, “Semasa suatu jenazah melalui berhampiran Rasulullah SAW, baginda berkata: ‘Senang dan menyenangkan’. Hadirin berkata: ‘Wahai Rasulullah SAW, apakah maksud senang dan menyenangkan itu?’ Baginda menjawab: ‘Hamba yang mati (sebagai) Mukmin senang kerana terlepas daripada kelesuan dunia, manakala hamba yang mati (sebagai) fasiq menyenangkan hamba Allah yang masih hidup, menyenangkan negeri, menyenangkan tumbuh-tumbuhan dan haiwan, kerana terlepas daripada bencananya’.”
[Hadis riwayat Muslim]

Saya, saudara-saudara harus meletakkan sasaran – hendak menjadi golongan yang “senang” atau “menyenangkan”?

Kepada kaum keluarga Tuan Haji Abdul Aziz Mokhtar, khususnya kepada anak-anaknya yang kini menjadi yatim serta isterinya yang kini bergelar balu, kita berdoa agar mereka tabah mendepani ujian Allah ini. Kepada rakan pembaca, marilah kita sama-sama menyedekahi roh arwah Tuan Haji itu dengan bacaan al-Fatihah di samping berdoa agar rohnya ditempatkan di dalam syurga bersama-sama dengan insan yang beriman.

Friday, January 18, 2013

Dosa Penganugerahan Kad Pengenalan kepada PATI Sama dengan Dosa Penganugerahan Satu Juta Kewarganegaraan

Kisah tentang penganugerahan kad pengenalan kepada warga/pendatang asing oleh pihak-pihak yang berkepentingan untuk tujuan yang tidak perlu (tetapi dirasakan bahawa penting kepada mereka) bukan kisah kedai kopi, bukan juga kisah di bawah kolong, tetapi kisah negara. Kisah ini bukan kisah fiksyen lagi tetapi kisah yang real, kisah yang benar-benar berlaku, kisah yang telah menghenyak perasaan masyarakat sampai ke tahap gundah-gulana.

Kisah ini, sebenarnya, hampir tidak ada bedanya dengan kisah tentang pelacur – menyerahkan diri kepada orang yang memerlukan khidmatnya (biasanya orang yang bernafsu serakah). Dengan menggadaikan dirinya, si pelacur beroleh sedikit upah; besar kecil upah itu rasanya bergantung pada aset diri yang dimilikinya, rasanya bergantung pada penampilannya, rasanya dihitung daripada usianya, dan barangkali bergantung juga pada layanannya.

Upah yang diterima oleh si pelacur adalah dalam bentuk wang; upah yang diterima oleh pihak yang memberikan kad pengenalan kepada warga/pendatang asing khabarnya ialah undi. Aku beri engkau KP, engkau beri aku undi. Aku menang, engkau akan terus dapat tinggal di sini, melakukan apa-apa yang engkau sukai, berasimilasi dengan penduduk setempat. Setelah sekian waktu, kalau perlu KP, yang aku berikan itu aku ambil balik!

Benar atau tidak, tokoh yang berperanan sebagai Master Mind dalam hal pemberian kad pengenalan itu, secara terbuka, telah mengakui keterlibatannya dengan perbuatan itu. Tetapi, menurut tokoh itu, dia tidak bersendirian dalam tindakannya itu. Tokoh sulung yang sejawatan dengannya dahulu pun melakukan perbuatan yang lebih teruk daripadanya – memberikan sejuta kewarganegaraan kepada mereka yang tidak layak!

Begitulah perihal diri tokoh itu dalam mempertahankan tindakannya, dalam mewajarkan tindakannya. Dia tidak ambil parwah perasaan orang lain, perasaan suku-sakat orang lain. Kalau orang lain boleh melakukan kesalahan terhadap negara, dia merasakan bahawa tidak salah untuk dia mengulang kesalahan yang sama. Negara yang sudah “dirosakkan” oleh tokoh sulung itu tidak salah untuk “dirosakkan” sekali lagi atau berulang-ulang kali.

Dia beruntung kerana masih berhayat hingga membolehkan dia menjelaskan “kewajaran” perbuatannya itu. Tetapi tokoh sulung itu sudah dua puluh tahun lebih kembali ke alam baqa. Arwah itu sudah tidak punya peluang untuk menjelaskan “kewajaran” perbuatannya itu lagi. Arwah itu tidak dapat menerangkan sisi baik dan sisi buruk daripada perbuatannya itu. Kasihan, arwah itu, dia tidak dapat mempertahankan dirinya!

Alangkah moleknya kalau tuan melayah rendah di bumi – belajar mengakui kesilapan dengan seikhlas hati dan kemudian memohon maaf atas segala kesilapan tuan! Alangkah manisnya kalau tuan mempraktikkan tuntutan agama – memohon maaf itu lebih mulia daripada membabitkan orang lain dalam kesalahan yang dilakukan! Merahsiakan “kejahatan” orang lain lain lebih baik daripada mendedahkannya kepada umum?

Kalau tuan yakin bahawa perbuatan yang tuan lakukan itu mengikut undang-undang, tuan tidak perlulah mempertahankan diri tuan sampai membandingkan-bandingkan perbuatan tuan itu dengan perbuatan arwah itu. Kalau tuan sempat bertenang, tentu tuan dapat berfikir dengan lebih baik dan berhati-hati apabila melafazkan bicara. Tuan fikir, arwah itu melakukan perbuatan tersebut dengan tidak mengikut undang-undang?

Ya, Allah, Engkaulah satu-satunya Tuhan kami, satu-satunya Tuhan yang memiliki hak untuk mengampuni apa-apa pun kesalahan sekalian hamba-Mu. Ya, Allah, Engkau ampunkanlah segala kesalahan kami, segala kesalahan ibu bapa kami, segala kesalahan anak dan isteri kami, segala kesalahan hamba-hamba-Mu yang Islam dan yang beriman, termasuklah hamba-hamba-Mu yang pernah dan masih menjadi pemimpin kami.  Amin....

Wednesday, January 16, 2013

MASA ISTIMEWA KITA MASA ISTIMEWA IBU BAPA KITA

APABILA kita diberi masa, jagalah masa itu dengan selayaknya dan dengan sebaik-baiknya kerana akan tiba suatu masa nanti kita tidak mempunyai masa dan kesempatan tersebut lagi. Pada masa itu kelak, kita langsung tidak berpeluang untuk berpatah balik kerana masa itu telah menjadi sejarah; masa itu telah menjadi kenang-kenangan.
                                                               
Ibu bapa sebenarnya sebahagian daripada masa kita. Mereka telah lama mendepani sepak terajang kehidupan sebelum kita ada. Dengan sifat Rahman dan Rahim Allah, Dia mengurniakan kita kepada ibu dan bapa kita – sebagai zat yang menyukakan dan yang lebih besar daripada itu adalah sebagai amanah untuk dilaksanakan dengan sepatutnya.

Masa itu, kita tidak tahu apa-apa – kita hanya menangis kehausan atau kelaparan jika ibu kita tidak menyuapkan susu atau makanan kepada kita. Kita hanya terbiar kedinginan jika ibu atau sekali-sekala bapa kita tidak membedung kita. Kita akan terus bergelumang dengan kencing dan tahi jika ibu atau bapa kita tidak menyucikan najis-najis itu daripada menggelumangi kita.

Masa itu, walaupun kita ini zat yang menyukakan mereka, sebenarnya kita sebahagian daripada beban yang ditanggung oleh ibu bapa kita. Mental mereka perlu diangkat ke tahap maksimum demi kita. Mereka tidak berupaya untuk bangun solat tahajud, tetapi berupaya untuk melawan kantuk bagi menyusukan kita pada waktu-waktu dinihari.

Masa itu masa istimewa kita. Kitalah raja yang tidak boleh dihadap. Kehendak semula jadi dan kehendak hakiki kita sebagai bayi terpenuhi semuanya. Ibu bapa kita berasa sangat bersalah dan sangat berdosa apabila mereka tidak memenuhi kehendak semula jadi dan kehendak hakiki kita itu. Mereka bersedia untuk berkorban jiwa demi membesarkan dan “menghidupkan” kita.

Kita kemudiannya membesar dengan segala keistimewaan – berakal dan bijaksana, berkat makan minum yang diatur oleh ibu bapa kita semasa kita bayi dahulu. Kalau kita tidak cerdik dan menjadi insan yang berjaya dalam pelajaran, setidak-tidaknya kita masih dikurniai akal untuk membedakan yang baik dengan yang buruk, yang kotor dengan yang murni.

Bagaimanakah dengan masa istimewa ibu bapa kita? Bagaimanakah kita memanfaatkan masa yang ada sekarang, mengorbankan masa yang ada sekarang untuk melayan insan-insan istimewa itu? Masihkah kita berhelah dan beralasan untuk pulang menziarahi mereka? Masihkah kita menanti dan mencari-cari waktu lapang untuk menjengah mereka yang menanti kita penuh rindu?

Untuk kita, masa itu emas, tetapi kita lupa bahawa ibu bapa kita “lebih emas” daripada masa. Seperti yang dikatakan pada awal tadi, mereka itu sebahagian daripada masa kita. Kita harus memperuntukkan masa dalam kehidupan harian kita untuk ibu bapa kita – berkirim surat, berhubung melalui telefon, menziarahinya setiap minggu atau setiap bulan, dll.

Ibu bapa kita harus kita sayangi dengan sepenuh hati, sepenuh jiwa, sepenuh raga kita kerana tiada mereka tiadalah kita. Tiada mereka, siapalah kita. Tanpa pengorbanan mereka, kita tidak akan menjadi siapa-siapa. Kita mungkin diserahkan kepada orang lain untuk menjadi anak angkat orang lain, tetapi itulah ketentuan Allah Yang Maha Mengetahui apa-apa yang lebih baik untuk kita.

Masa untuk kita hidup sangat singkat. Masa untuk kita membalas jasa ibu bapa kita lebih singkat lagi sedangkan ibu bapa kita melalui masa yang panjang untuk membesarkan kita. Masa istimewa untuk ibu bapa kita sepanjang masa. Baik kita terhadap mereka, baiklah balasan yang diterima mereka di alam abadi kelak. Apabila tiba giliran kita ke sana, kebaikan itu bermanfaat kepada kita.

PERINGATAN KEPADA ANAK-ANAK
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir penyusuannya), dan tempoh menceraikan susunya adalah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” [14]
[Surah Luqman]

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan (engkau) supaya engkau tidak menyembah melainkan Dia semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika seorang daripada kedua-duanya, atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (dengan sebarang perkataan kasar) meskipun (dengan) perkataan ‘Ah’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi berkatalah kepada mereka (dengan) perkataan yang mulia (yang bersopan santun). [23] Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): ‘Wahai Tuhanku! Cucurkanlah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil’. [24] Tuhan kamu lebih tahu akan apa-apa yang ada di dalam hati kamu; kalaulah kamu orang-orang yang bertujuan baik mematuhi perintah-Nya, maka sesungguhnya dia Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.” [25]
[al-Isra’, ayat 23-25]

“Pembalasan bagi setiap dosa akan ditangguhkan sampai hari kiamat kelak, kecuali (dosa) menderhakai ibu atau bapa. Maka sesungguhnya Allah akan menyegerakan pembalasan kepada pelakunya dalam hidupnya (di dunia) sebelum dia meninggal dunia.”
[Riwayat Hakim]

“Seorang lelaki datang mengadu kepada Nabi Muhammad SAW katanya, ‘Sesungguhnya ayahku telah merampas hartaku’. Nabi berkata, ‘Dirimu dan hartamu adalah milik ayahmu, anak-anak kamu adalah hasil usaha kamu yang terbaik. Oleh itu, kamu berhak memakan harta mereka.”
[Riwayat Ibnu Majah]

 “Aku bertanya Nabi Muhammad SAW, ‘Apakah amal yang paling disukai oleh Allah?’ Nabi Muhammad menjawab, ‘Solat dalam waktunya’. Aku bertanya lagi, ‘Kemudian apa lagi?’ Nabi Muhammad menjawab, ‘Kemudian berlaku ihsan kepada kedua-dua ibu bapa’. Aku bertanya lagi, ‘Kemudian apa lagi?’ Nabi Muhammad menjawab, ‘Berjihad fi sabilillah’.
[Riwayat al-Bukhari]

“Keredhoan Allah terletak pada keredhoan ibu bapa, manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu bapa.”
[Riwayat al-Tirmidzi]