Saya sangat kecewa kerana saya gagal. Saya gagal melaksanakan tanggungjawab saya dengan jayanya. Semuanya berpunca daripada masalah yang wujud dalam diri saya sejak dahulu – kegelabahan saya atau yang lebih tepat darah gemuruh saya. Saya gagal mengawal dan melawan darah gemuruh saya hingga saya gagal melaksanakan tanggungjawab saya dengan jayanya.
Saya dipertanggungjawabkan oleh guru saya untuk memimpin solat sunat hifzi kepada kira-kira 30 orang makmum (teman-teman seperguruan). Semasa dicalonkan oleh guru saya sebagai salah seorang imam untuk solat itu, saya sebenarnya telah menolaknya secara berkias kerana saya yakin bahawa darah gemuruh saya akan menyebabkan saya menjadi gelabah lalu saya tidak akan dapat membaca ayat hafazan saya dengan lancar. Saya sangat yakin tentang hal itu.
Tetapi, apabila teringat akan pesanan rakan bahawa cabaran perlu ditempuh bukan dielak, dan guru saya memang sangat menaruh harapan kepada saya sejak saya mula berguru dengannya, maka saya menerima tanggungjawab itu – itu pun dengan rasa waswas.
Hari yang dinanti-nantikan itu pun tiba. Saya menguji hafazan saya di dalam dan di luar solat, alhamdulillah saya dapat membacanya dengan elok, khususnya alif lam mim tanzil. Keyakinan saya pun meningkat sedikit.
Namun, apabila detik yang sebenarnya muncul, seperti yang kerap saya alami, darah gemuruh itu menguasai setiap denyut dan urat nadi ini. Rasa seram sejuk sudah saya rasai semasa imam pertama menunaikan tanggungjawabnya. Apabila imam pertama menyudahi dua rakaat pertama dengan doa solat hifzi itu, saya benar-benar sudah kalah! Saya sudah berura-ura untuk menyerahkan tanggungjawab itu kepada teman lain.
Kerana cabaran perlu ditempuh bukan dielak dan harapan menggunung guru saya, maka saya melangkah ke depan dengan langkah yang pada kaca mata para makmum sangat meyakinkan walhal di dalam hati, geloranya melebihi penangan tsunami.
Takbir diangkat, ayat-ayat Al-Fatihah dilafazkan (dalam getaran). Alif lam mim tanzil pun dibaca dan bermulalah cabaran untuk melawan darah gemuruh! Tanzil itu sendiri sudah kurang saya yakini hingga mengulangnya tiga kali. Apa dah jadi? Ayat-ayat itu yang sebelumnya lancar meniti bibir dengan taranum yang disukai mula tersekat-sekat. Mulut terasa sangat kering!
Memang kedua-dua surah (Alim lam mim tanzil/As-Sajdah dan Tabarak/Al-Mulk dapat saya habiskan, tetapi dengan bantuan guru dan teman sepengajian. Itulah kekecewaan saya (bukan kerana bacaan saya ditegur dan dibetulkan guru dan rakan – bacaan Syeikh Misyari Rasyid al-Afasi sendiri pun dibetulkan makmum!) Sebaliknya, kekecewaan itu berpunca daripada kuatnya darah gemuruh saya hingga saya gagap dan gugup (hal ini disedari oleh guru dan kebanyakan teman).
Malu? Ya, tetapi kecewalah yang selebihnya! Selepas usai, timbul dalam fikiran untuk menarik diri daripada disenaraikan sebagai salah seorang imam solat tarawih (pada malam-malam akhir sebagai salah seorang wakil pelajar guru saya). Saya belum bersedia – atau lebih tepatnya – saya belum dapat menundukkan darah gemuruh saya. Alhamdulillah, guru saya sedar akan hal itu dan beliau turut menyarankan hal yang demikian.
Tetapi, beliau tetap menamakan saya sebagai imam untuk solat sunat hifzi tahun depan. Sudah tundukkah engkau wahai darah gemuruh pada tahun itu?
Oleh sebab itulah, dalam profil saya, saya membuat pengakuan bahawa ‘Hamba lebih “petah” berbicara lewat tulisan daripada berbicara secara lisan’. Saya memang akan tewas oleh darah gemuruh apabila diminta berbicara dalam majlis rasmi.
Pengalaman bekal hidup, kekecewaan bumbu kematangan. Harapanku ya Allah, darah gemuruh ini Engkau nyahkanlah dari diri ini.
Assalamualaikum, Tuan Zul.
ReplyDeleteTuankah orang yang dimaksudkan dalam catatan ini? Maaf kerana bertanya begitu. Terasa keliru pula jikalau tuanlah orang yang dimaksudkan. Ya, bagaimana mungkin saya tidak keliru sedangkan tuan begitu petah dan lincah berkata-kata di blog ini. Sukar dipercayai, biarpun saya tahu setiap orang itu ada kelebihan dan kekurangan yang tersendiri.
Salam, Cikgu,
ReplyDeleteItulah saya dan kelemahan itu akan datang dengan sangat mendadak walaupun sebelumnya saya biasa-biasa sahaja.