Thursday, December 29, 2011

Cerita Sambutan Tahun Baharu Masihi

Berbagai-bagai cara orang menyambut Tahun Baharu mereka. Di negara kita ini, sambutan Tahun Baharu yang paling meriah ialah yang disambut oleh orang-orang Cina (Tahun Baharu Cina) sehingga kerajaan Persekutuan memberikan cuti dua hari kepada orang yang menyambut Tahun Baharu itu.

Hal ini berlaku sebaliknya untuk sambutan Tahun Baharu Hijrah yang disambut sederhana, malah kerajaan Persekutuan sendiri hanya memperuntukkan cuti sehari sahaja kepada orang yang menyambut Tahun Baharu Hijrah ini, sama dengan Deepavali dan Thaipusam.

Walau bagaimanapun, sambutan Tahun Baharu yang paling meriah dirayakan di seluruh dunia, termasuklah di negara ini ialah Tahun Baharu Masihi, seperti yang bakal menjelang dua tiga hari lagi. Sambutan Tahun Baharu Masihi ini dirayakan oleh orang daripada pelbagai bangsa dan agama.

Di negara kita, bersempena dengan kehadiran Tahun Baharu 2012 Masihi ini, Jalan Raja di Dataran Merdeka akan ditutup. Penutupan jalan itu bukan bermula dari hari Sabtu, tetapi bermula sejak hari Jumaat. Penutupan itu pula bukan kerana hendak mengadakan solat sunat hajat, ceramah agama, dan sebagainya tetapi kerana countdown dan show-show hiburan.

Di tempat-tempat lain di negara ini pun akan diadakan sambutan yang serupa. Di Lembah Kelang, khabarnya, hanya Selangor yang mengadakan program yang berbeda. Program Countdown 2012 di negeri itu akan dilangsungkan di Dataran Shah Alam pada Jumaat malam.

Program yang mengisi sambutan itu ialah solat Maghrib berjemaah, sembang santai dengan Imam Muda Ashraf, dan Soal Jawab Agama dengan Ustaz Azhar Idrus dan Zizan Raja Lawak. Pada malam yang berikutnya, di Shah Alam juga, lebih tepatnya di i-City, akan diadakan sambutan ambang Tahun Baharu Masihi secara besar-besaran yang menjurus kepada hiburan.

Yang manakah kelak akan menjadi pilihan kebanyakan orang di Lembah Kelang ini? Ustaz Azhar Idrus memang popular, tetapi adakah tahap popularitinya dalam kalangan generasi muda sama dengan populariti Faizal Tahir, Jamal Abdillah, dan M. Nasir, yang akan “menyerikan” sambutan Tahun Baharu Masihi di Dataran Merdeka kelak?

Perlu juga kita fikirkan, wajarkah Tahun Baharu Masihi ini disambut dan diwara-warakan melalui media massa sehingga menimbulkan rasa kemaruk dalam hati muda-mudi untuk meraikannya, yang sembilan bulan kemudian, kita akan sama-sama “terkejut” apabila banyak perempuan yang membuang bayi mereka?

Fenomena buang bayi ini bukan seperti tsunami yang kehadirannya tidak diduga. Kita tahu bahawa sambutan Tahun Baharu Masihi telah lama menjadi medan hubungan seks bebas dalam kalangan belia. Jadi, bukankah elok sambutan Tahun Baharu Masihi ini disederhanakan atau dimurnikan dengan program-program keagamaan?

Sambutan Tahun Baharu Masihi yang menekankan keseronokan (kerana hadir sekali setiap tahun) perlu diubah dengan kadar yang segera. Keseronokan yang hakiki adalah apabila kita berasa tenang. Rasa tenang dapat kita peroleh dalam solat. Lalu, mengapakah dihebohkan keseronokan yang sehari itu kalau kita dapat menikmatinya saban hari?

Tuesday, December 27, 2011

Belasungkawa: Dia Pergi Jua Akhirnya

Masih tidak lewat rasanya bagi saya untuk menitipkan belasungkawa ini pada ruang yang luas ini.

Dia, Uwan Halimah binti Ibrahim, setelah bertahun-tahun menderitai sakit kanser kulitnya (di pipi), akhirnya dijemput Allah SWT ke rahmatullah pada tanggal 23 Disember 2011 (Jumaat) pada jam kurang lebih 6:30 petang yang baru lalu.

Pemergiannya dilepaskan dengan penuh redho oleh insan-insan yang menyayanginya — putera-putera dan puteri-puterinya serta para cucu dan cicitnya, tentunya. Penderitaannya di dunia yang bertahun-tahun itu, bagi saya sendiri, lepaslah sudah.

Almarhumah saya kenali tatkala dia sudah pun berusia lanjut — menghampiri 70 tahun saya kira. Perkenalan saya dengannya berlaku apabila saya mengenali cucu keduanya yang kemudiannya menjadi isteri saya kini.

Banyak hal yang menjadikan saya menyukai dan mengaguminya. Sikap berdikarinya yang tiada berbanding adalah antara sifatnya yang sering saya puji. Pada usia selanjut itu, beliau mampu menaiki bas (bukan bas ekspres) dari Kuala Pilah di Negeri Sembilan untuk mengunjungi anak-anaknya di Perak, Pulau Pinang, Kedah, apatah lagi almarhumah ibu mentua saya di Selangor.

Kesungguhannya mempelawa sesiapa sahaja yang berkunjung ke rumahnya supaya makan juga mengagumkan saya. Almarhumahlah yang memperkenalkan peribahasa “sepadat-padat peti, sehelai tuala muat juga” kepada saya apabila saya menolak untuk makan kerana terlalu kenyang.

Dan saya menyanjung dua tiga orang putera puterinya, menantu lelakinya, serta beberapa orang cucunya yang begitu sabar melayani kerenah seorang ibu/nenek yang sakit, yang berusaha 150% malah lebih lagi untuk memberikan keselesaan dan kelegaan kepada ibu/nenek yang benar-benar sakit, yang membuang rasa jijik dan mual untuk melayani ibu/nenek yang sakit yang sudah tentu kencing dan beraknya perlu diatur, yang terus menyuapkan makanan kepada ibu/nenek yang sakit walaupun beratus-ratus kali si ibu/nenek itu membentak dan menolak, dan sebagainya itu.

Beruntung kamu, wahai Uwan Halimah binti Ibrahim kerana punya anak cucu yang menghargai setiap detik keberadaanmu di dunia ini, tidak kira waktu kamu sihat ataupun waktu kamu uzur yang semuanya bertitik tolak daripada asuhanmu jua. Beruntung kamu, wahai Uwan Halimah binti Ibrahim, kerana jenazahmu disembahyangi oleh begitu banyak insan.

Aku, seperti putera puterimu dan cucumu yang lain, berdoa agar kamu mendapat keampunan dan rahmat Allah yang Maha Luas itu. Aku juga berdoa agar rohmu dikelompokkan dengan mukminin dan mukminat di dalam Jannah-Nya. Amin.

Al-Fatihah.

Thursday, December 15, 2011

Ke Usia 60 Tahun: Natijahnya

Usia had persaraan pekerja di sektor swasta bakal dinaikkan daripada 55 tahun sebelum ini kepada 60 tahun, sama dengan pekerja di sektor awam. Kerajaan telah pun memberikan persetujuan terhadap usaha yang telah dilakukan oleh MTUC sejak 10 tahun yang lalu. Pihak MEF sendiri bersetuju dengan cadangan itu. Kenaikan itu, menurut laporan Berita Harian, akan menggembirakan lebih 5 juta pekerja di sektor swasta.

Hal kenaikan usia persaraan ini sudah kerap didebatkan baik buruknya oleh masyarakat. Di pihak belia (lepasan sekolah, kolej, dan universiti), kenaikan itu pada pandangan mereka, menjejaskan peluang mereka untuk beroleh pekerjaan sekali gus meningkatkan jumlah pengangguran. Apatah lagi, kata mereka lagi, sehingga kini tidak tampak usaha yang signifikan daripada kerajaan untuk memperbanyak peluang pekerjaan untuk mereka.

Kalaulah hal ini menjadi realiti dalam masa terdekat ini, apakah tindakan pihak KWSP? Keseragaman had usia persaraan di sektor awam dan swasta itu tidakkah nanti akan menimbulkan idea di pihak mereka untuk meningkatkan usia pengeluaran wang caruman pekerja? Sekarang, pekerja boleh mengeluarkan sebahagian caruman mereka pada usia 50 tahun dan kesemua caruman mereka pada usia 55 tahun.

Pelajar yang menuntut di luar negara, malah yang di dalam negara sendiri pun akan berfikir banyak kali untuk bekerja di negara ini kerana peluang mereka untuk menjawat jawatan yang tinggi tipis sekali. Oleh hal yang demikian, mereka pasti berasa lebih seronok untuk bekerja di luar negara. Hal ini sudah tentulah merugikan negara kerana pelaburan mereka memberikan pendidikan kepada golongan ini akhirnya dinikmati oleh negara lain.

Golongan yang memang menyasarkan diri mereka untuk berkhidmat sehingga usia 55 tahun pasti terkilan terhadap peningkatan had usia persaraan ini. Adakah pada usia selewat itu mereka masih berupaya untuk membuat kerja lebih masa yang menjadi tuntutan sesetengah syarikat? Atau wajarkah pekerja yang berusia 59 tahun, misalnya, dipaksa melakukan kerja lebih masa hingga waktu untuk meningkatkan ibadah (yang Islam) terabai?

Pekerja atasan yang hati mereka tidak mulia, rasis, mengamalkan kronisme atau nepotisme akan menjadikan peningkatan had usia persaraan ini peluang terbaik mereka untuk mengangkat pekerja kesukaan mereka sebagai calon bayangan bagi menggantikan tempat mereka. Malah lebih buruk lagi, ada yang menjadikannya sebagai peluang untuk mencantas orang-orang yang tidak disukai mereka, yang bukan sebangsa dengan mereka, yang bukan kroni mereka, dsb.

Yang membimbangkan pihak pengurusan swasta, rasa saya ialah, peningkatan had usia persaraan ini bakal meningkatkan peruntukan/kos rawatan kesihatan kakitangan sekali gus meningkatkan perbelanjaan syarikat. Bagaimanakah mereka hendak menyerap peningkatan perbelanjaan ini? Menaikkan harga produk dan perkhidmatan mereka adalah antara cara/langkah yang bakal dilakukan mereka, tentunya.

Hal ini cuma pandangan peribadi penulis sebagai pekerja sektor swasta yang sangat menanti usia 55 tahun untuk menutup kamus sebagai pekerja yang dikawal oleh waktu pejabat. Tidak mengapalah peningkatan usia persaraan ini diteruskan kalau KWSP tidak mengubah had usia pengeluaran caruman pekerja. Kalau tiada perubahan di pihak KWSP, penulis masih boleh berhenti kerja pada usia 55 tahun dan menggunakan wang caruman sebagai biaya hidup.

Wallahualam.

Tuesday, December 13, 2011

Arak dan Cabutan Bertuah

Sibuk benar saya hingga tidak sempat untuk mengemas kini Blog sendiri dan menelaah Blog teman-teman.

Walau bagaimanapun, kerana hal ini penting menurut hati saya, saya mencuba untuk menyiarkan hal ini dalam Blog saya sebagai iktibar kita bersama.

Syarikat tempat teman saya bekerja mengadakan majlis makan malam tahunannya. Teman saya bertanya kepada pihak AJK Kelab Sosial dan Sukan yang menjadi pengendali majlis itu, “Adakah arak akan dihidangkan pada majlis makan malam tahunan itu kelak ataupun tidak ada?”

Wakil pihak AJK kelab itu menjawab, “Tidak ada!”

Maka, teman saya dan beberapa orang teman se-Islamnya yang lain dengan senang hati meletakkan tanda rait pada ruang HADIR pada surat jemputan yang diedarkan oleh pihak kelab sebagai tanda bersetuju untuk “ikut berseronok” pada majlis yang dikhususkan untuk kakitangan syarikat tempatnya bernaung itu.

Malangnya, kata-kata pihak AJK yang menjadi sumber rujuk teman saya itu langsung tidak boleh dipercayai. Arak, kata rakan saya, ada dihidangkan dalam majlis itu. Kakitangan yang bukan Islam, meneguknya sebebas mungkin dan lebih malang lagi, kata teman saya lagi, ada kakitangan Islam yang “tumpang semangkuk” dengan meneguk air kencing syaitan itu.

Yang lebih mengejutkan teman saya itu ialah kepala syarikatnya sendiri meneguk arak dari dalam jag sambil berdiri di atas meja. Dia sendiri (kepala syarikat itu) kemudiannya sudah berada dalam situasi di luar kawalan (mabuk) dan hal ini dilihat oleh anak-anak buahnya yang bukan Islam dan Islam. Ada kakitangan yang meraikan “kehebatannya” itu dengan bertepuk tangan.

Bukan hendak berbangga, saya sendiri sudah lama tidak menghadiri majlis makan malam tahunan syarikat yang menjadi tempat saya bernaung kerana saya tahu bahawa arak memang akan menjadi minuman wajib yang akan dihidangkan pada majlis serupa itu. Saya fikir, saya tidak perlu bersubahat dan mendapat dosa percuma daripada keberadaan arak pada majlis serupa itu.

Kalaulah saya berada di posisi teman saya itu, saya akan memarahi pihak AJK yang menjadi sumber rujuk saya itu dan kemudian mengajak rakan-rakan Islam yang menghadiri majlis itu pulang, atas dasar tanggungjawab sebagai seorang Islam. Malangnya, teman saya itu terus berada di situ bersama-sama dengan keberadaan arak itu demi cabutan bertuah!

“Engkau dapatkah hadiah daripada cabutan bertuah itu?” Saya bertanya.

“Hampeh! Satu apa pun aku tak dapat...!” Teman saya memperlihatkan raut kecewanya.

Kecewa dia kerana tidak dapat hadiah itu. Astaghfirullah....