Wednesday, May 23, 2012

Memahami Rasional Perhijrahan Tokoh

Tampaknya, senario bekas-bekas penjawat awam yang tinggi pangkatnya dalam kerajaan (tokoh) mengambil keputusan untuk menyertai parti pembangkang (PAS, khususnya) masih dan akan terus berlaku. Walaupun penyertaan mereka ke dalam parti yang selain UMNO itu selalunya dikatakan bahawa berkait dengan “rasa tidak percaya mereka terhadap dasar kerajaan yang memerintah”, namun bagi saya penyertaan itu merupakan suatu proses untuk meraikan demokrasi. Dalam erti kata yang lain, setiap individu dalam negara yang mengamalkan demokrasi ini berhak untuk menzahirkan fahaman dan perjuangan politik mereka.

Sejak Oktober tahun lalu, sudah beberapa orang tokoh besar (berjawatan bekas pengarah itu ini dalam jabatan kerajaan) yang telah menyertai PAS. Antara tokoh itu termasuklah Dato’ Adnan bin Ibrahim (bekas Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perak), Laksamana (B) Pertama Haji Mohammad Imran Haji Abd. Hamid (bekas pegawai tinggi Tentera Laut Diraja Malaysia/TLDM), Tuan Haji Ishak Ahmad (bekas Pengarah Kastam Negeri Kedah), dan yang terkini ialah Datuk Fauzi Shaari (bekas Pengarah Siasatan Jenayah PDRM). Khabarnya, Dato’ Mohd Yusof bin Hj. Zainal Abiden (bekas Peguamcara Negara II) pun bakal menyertai PAS pada bulan hadapan.

Sudah tentulah kelompok pembangkang (kelompok kerajaan pun sama juga) akan mewara-warakan berita penyertaan mana-mana tokoh besar dalam kelompok mereka (yang bukan tokoh pun diwara-warakan juga). Hal ini dilakukan demikian oleh mereka kerana penyertaan tokoh-tokoh itu dapat memberikan dampak kepada masyarakat, khususnya golongan yang berdiri atas pagar. Orang-orang yang pernah menjadi orang bawahan tokoh-tokoh itu sedikit banyak mungkin akan mengikut jejak langkah mereka. Dalam erti kata yang lain, penyertaan mereka dalam mana-mana parti sedikit banyak akan menambah dan meningkatkan pengaruh parti yang disertai mereka.

Walau bagaimanapun, masih ada golongan yang singkat akal dalam merasionalkan tindakan golongan profesional ini. Golongan singkat akal ini tanpa rasa segan dan silu menghina dan memburuk-burukkan golongan yang meraikan demokrasi itu. Menurut orang-orang singkat akal ini, kononnya orang-orang seperti ini tidak mengenang jasa kerajaan yang pernah memberi mereka makan dan kononnya mereka ini telah menggigit tangan pihak yang pernah menghulurkan makanan dan bantuan kepada mereka. Malahan, ada golongan singkat akal ini yang menyuruh (menyindir?) tokoh-tokoh yang “berpaling tadah” ini membuat surat permohonan supaya kerajaan menghentikan pembayaran pencen serta pelbagai kemudahan lain yang dinikmati oleh mereka.

Parti politik, yang kewujudannya dibenarkan oleh undang-undang dan Perlembagaan negara, hanyalah suatu medium untuk rakyat negara ini menzahirkan pendirian politik mereka. Pendirian politik individu dalam parti yang menjadi medium itu pun belum tentu sama. Baik Dato’ Adnan, Laksamana (B) Pertama Haji Mohammad Imran, Tuan Haji Ishak, mahupun Datuk Fauzi, dalam kebersamaan, pendapat mereka pasti ada yang berbeda. Perbedaan itu dapat digabungkan dengan menyertai parti/pertubuhan lalu menghasilkan suatu keputusan yang padu. Bukankah elok demikian?

Sama ada mereka hendak memilih parti yang menjadi tunjang kerajaan ataupun parti yang membangkang kerajaan dalam menzahirkan ideologi politik mereka, terpulanglah kepada mereka. Hak mereka perlu dihormati, sama halnya kita menghormati hak ribuan lagi bekas pegawai kanan kerajaan yang masih terus bersama dengan parti yang menjadi tunjang kerajaan.

Jadi, sebagai orang yang meyakini demokrasi, berhentilah daripada mengamalkan politik dendam!

No comments:

Post a Comment