Kita tidak dapat menafikan bahawa apa-apa pun dasar, moto, slogan,
dll yang diperkenalkan oleh pihak mana-mana pun dalam negara ini akan menjadi
sendaan dan gurauan sebilangan orang. Adakalanya dasar itu memang sekadar menjadi
bahan lawak atau lelucon dan hingga demikian tidaklah sampai dipertikaikan
orang. “Dasar Pandang ke Timur” yang diperkenalkan pada tahun 1980-an oleh PM pada
ketika itu dipersendakan oleh kawan saya yang kini entah di mana. “Sebenarnya tujuan
dia mengajak kita memandang ke Timur adalah supaya kita tidak perasan akan perbuatannya
hendak menompokkan harta di Barat,” kata sahabat yang sudah terputus hubungan
dengan saya sejak penghujung 1980-an itu. Saya tertawa oleh leluconnya itu. Slogan
“Kepimpinan Melalui Teladan” yang diperkenalkan oleh PM yang sama pada 1980-an
itu pun menjadi bahan sendaan orang juga. “Tak akan jadi apa-apa kerana
kepimpinan itu cuma lalu sahaja, tak singgah pun. Oleh sebab itulah hampir tidak
ada pemimpin yang dapat kita angkat menjadi suri teladan,” kata sahabat yang
menjadi sahabat kepada sahabat saya pula.
Tetapi, sepanjang ingatan saya, yang paling banyak menjadi
sendaan malah sering menjadi pertikaian orang ialah dasar “1Malaysia” yang berslogankan
“Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” itu. Pada peringkat awal pengenalannya,
“1Malaysia” itu tidak difahami orang. “Apakah yang 1Malaysianya?” Demikian
orang bertanya. Slogan yang mengikutinya pula — “Rakyat Didahulukan, Pencapaian
Diutamakan” — lebih kerap dipersendakan dan dipertikaikan orang kerana banyak
benar dasar, pembaharuan, tindakan, dll yang diperkenalkan oleh pihak yang
memperkenalkan dasar dan slogan itu yang berlawanan dengan roh slogan yang
murni itu. Yang terbaharu, perkara yang bertentangan dengan slogan itu hingga menjadi
bahan pertikaian dan untuk mewajarkannya dibawa pula masuk ke Parlimen ialah
pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) itu. Sistem itu bukan ditentang
oleh rakyat yang berada di belakang pembangkang sahaja, tetapi turut dibantah
oleh rakyat yang berada di belakang kerajaan sendiri. Walaupun rakyat
menentang, kerajaan bertegas untuk melaksanakannya! Jadi, yang didahulukan
siapa?
Satu lagi slogan kerajaan sekarang yang menjadi bahan persendaan
orang ialah slogan “Janji Ditepati” yang menyusul tidak lama selepas kemunculan
“Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” itu. Saya berpendirian bahawa slogan
ini sangat ketara retoriknya kerana dengan menjadikan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian
Diutamakan” sebagai suatu janji (memang slogan itu merupakan suatu janji pun),
kita dapat membuat penilaian tentang sejauh mana slogan “Janji Ditepati” itu
dipatuhi dan ditunaikan. Kita tidak perlu berpatah semula untuk menilai hal ini
kerana yang ada di depan mata sudah dapat membantu kita untuk membuat penilaian
itu — AES. Dalam hal ini, kerajaan berjanji bahawa “Rakyat Didahulukan”.
Ironinya, dalam hal AES ini, “Rakyat Dikesampingkan” secara terang-terangan. Pada
pandangan saya, hal ini berlaku demikian kerana kerajaan sebenarnya telah
membuat janji yang lain — membantu kroni. Dalam konteks AES, kroni yang
dimaksudkan itu tidak lain tidak bukan si pemegang konsesi — ATES Sdn Bhd dan
Beta Tegap Sdn Bhd, bukan Rakyat Malaysia Bhd. Dalam perkataan yang lebih mudah,
slogan “Janji Ditepati” itu hanya “valid”
untuk kroni, bukan rakyat marhaen.
Untuk pengetahuan pihak kerajaan, perkara yang sangat dikehendaki
oleh rakyat yang hingga demikian perlu “Didahulukan” tidak kira dengan cara
apa-apa sekalipun ialah KEADILAN selain
KEJUJURAN bukannya BR1M yang hanya
diperoleh oleh segelintir rakyat apatah lagi AES yang membolehkan orang membuat
keuntungan daripada kesalahan yang dilakukan oleh rakyat. Ketahuilah bahawa kewujudan
AES tidak sekali-kali menggambarkan bahawa rakyat semakin berdisiplin,
sebaliknya yang terlihat daripada kewujudan AES ialah rakyat yang sayang akan
wangnya. Kalau berlaku situasi orang yang melanggar kesalahan di bawah
pengawalan AES itu semakin berkurang dari tahun ke tahun atau lebih drastik
lagi, semua rakyat menjadi sangat kedekut yang hingga demikian ATES Sdn Bhd dan
Beta Tegap Sdn Bhd tidak dapat memungut apa-apa dalam tempoh tiga empat tahun
kemudian, siapakah yang akan membiayai kos pemasangan sistem itu kelak?
As salam
ReplyDeleteSenang saja, tukar kerajaaan dan jika pembangkang pun tak mendengar kita tukar lagi melalui undi,sehingga wujud kerajaan yg benar2 belajar utk 'mendengar pendapat dan belajar menerima teguran'
Wallahualam
Betul, betul, saya sokong. Tukar kerajaan. Kalau terpaksa, guling kerajaan.
DeleteAs-Salam, Puan,
ReplyDeleteHal yang Puan syorkan itu memang menjadi pegangan saya. Tidak timbul soal memperjudikan nasib sesiapa dalam menukar-nukar kerajaan.