Wednesday, September 29, 2010

Kembar Siam Rupa-rupanya. Patutlah Perangai Sama!

Saya pernah menjadi ahli parti yang menerajui negara sekarang. Saya pernah mewakili cawangan parti itu dalam pemilihan Pemuda Bahagian parti teraju negara itu. Saya pernah melihat dalam pemilihan itu ada kelompok-kelompok – nampak seperti Kelompok A dan Kelompok B. Semasa memilih wakil bahagian ke Persidangan Pemuda peringkat negeri, kelompok ini bertelagah. Apabila Kelompok A melihat kebanyakan nama yang dicalonkan adalah daripada kelompok mereka, wakil Kelompok A segera mencadangkan pencalonan ditutup dan kemudian seorang wakil lain cepat-cepat menyokong.

Kelompok B marah. Pencalonan tidak sepatutnya ditutup, kata mereka. Hal ini segera diadukan kepada Pengerusi. Pengerusi berbincang dan bersetuju pencalonan dibuka semula. Seorang wakil di atas pentas menghentak kerusi yang didudukinya. Mujur kekecohan tidak melarat kepada pergaduhan.

Itu dalam parti teraju negara. Cerita lama. Waktu itu pun, saya cuma ikut-ikut dan diminta untuk membuat pemilihan. Senarai nama calon yang harus dipilih sudah pun diberikan oleh ketua saya yang juga merupakan Ketua Pemuda Bahagian kepada saya dan dua orang lagi wakil.

Sekarang sedang berlangsung pemilihan PKR. Rupa-rupanya kekecohan yang berlaku dalam pemilihan parti teraju negara berlaku juga dalam parti itu. Ada yang kelihatan lebih teruk – katanya ada provokasi dan sabotaj oleh pihak yang tidak berkenaan dengan parti itu. Mungkin benar, mungkin tidak.

Cuma, seharusnya semua orang dalam mana-mana parti berlagaklah sebagai orang dewasa, fahamilah etika, hayatilah roh demokrasi. Gaduh-gaduh buat apa? Kacau hal ehwal pihak lain apakah faedahnya? Yang buruk nama kita, rakyat Malaysia juga. Kita bukannya Taiwan. Belajarlah bersabar, jadilah insan yang berdisiplin.

Hal yang kecil ini menimbulkan persepsi buruk rakyat terhadap PKR, sama dengan persepsi buruk yang tumbuh dalam hati rakyat dengan meluas terhadap parti teraju negara. Sebagai orang berkecuali seperti saya, saya susah hendak menerima hakikat ini. Letih! Parti teraju negara dan PKR kembar Siam rupa-rupanya.

Monday, September 27, 2010

ADUN Galas (PGua Musang) Meninggal Dunia

Jam 1:00 tengah hari, saya membaca Blog MSO yang menyiarkan khabar ADUN Galas Che Hashim Sulaima sedang nazak. Beliau menghidap kanser usus dan sudah beberapa hari dimasukkan ke Hospital Pakar Kampung Baru (KBMC).

Sebentar tadi, kira-kira jam 4:25 petang, dikhabarkan bahawa beliau telah menghembuskan nafas terakhirnya. Al-Fatihah untuknya dan marilah kita berdoa agar roh beliau ditempatkan bersama-sama dengan orang yang beriman.

Alllahyarham berusia 47 tahun dan memenangi DUN Galas yang terletak dalam Parlimen Gua Musang setelah mengalahkan wakil BN, Saufi Deraman dari BN dengan majoriti 676 undi.

Dengan kematian allahyarham, satu pilihan raya kecil bakal berlangsung pada tahun ini.

Kemakbulan Doa Rahsia Allah

Apabila kita merasakan bahawa sesuatu hal itu penting, walaupun pada pandangan sebilangan orang hal itu sangat kecil, berdoalah. Allah SWT sentiasa ada untuk mendengar doa kita. Jika hal yang kita angkat sebagai penting itu memerlukan Dia memakbulkannya pada detik itu juga atau pada hari itu juga, yakinlah bahawa Dia pasti akan memakbulkannya.

Semalam isteri saya memesinbasuh pakaian kerana tidak sempat melakukannya pada hari Sabtu seperti kelazimannya kerana terpaksa pergi ke luar kawasan. Tugas menjemur pakaian terletak di bahu saya. Tatkala menjemur itu, mentari pagi bersinar terang. Oleh sebab itu, isteri saya memesinbasuh pakaian pusingan kedua.

Semasa saya menjemur pakaian yang dimesinbasuh buat kali kedua itu, saya mendongak memandang langit. Awan gelap bergumpal-gumpal di sana sini. Saya langsung teringat bahawa sekarang dapat dikira sebagai musim hujan kerana sudah beberapa hari hujan turun pada tengah hari atau awal petang. Minggu lalu, hujan lebat dan angin kencang teah menumbangkan beberapa batang pokok di sekitar tempat saya bekerja di Petaling Jaya.

Apabila melihat tompok awan hitam yang banyak, saya segera teringat akan “bacaan” arwah nenek saya apabila mendapati awan bakal menurunkan hujan tatkala beliau menjemur pakaian, menjemur padi, menjemur ikan yang diasinkan, dan sebagainya. Beliau akan menyebut dengan berlagu-lagu suatu ungkapan yang menarik, iaitu “Bara-bara api, katak bunting nak mandi”. Benar, saya tahu akan tujuan ungkapan itu – supaya hujan jangan turun. Tetapi, selalunya hujan tetap turun, dan saya serta adik sayalah yang akan bercempera untuk mengangkat kain di ampaian, atau padi di jemuran, dan sebagainya lagi.

Setelah berumah tangga, saya pernah mendengar arwah ibu mentua malah isteri saya sendiri “membaca” ungkapan yang sama dalam dialek Negeri Sembilan tetapi sekadar “Baro-baro api” berulang-ulang kali. Rupa-rupanya ungkapan itu digunakan merentas sempadan oleh masyarakat Melayu – nenek saya di Perak/Selangor dan ibu mentua saya di Negeri Sembilan – atas keyakinan yang sama.

Saya tidak jadi mengungkapkan bacaan itu yang saya bimbangi akan membawa saya ke arah keyakinan yang lain. Sebaliknya, saya langsung bermunajat ke hadrat Allah – “Ya Allah, janganlah Engkau biarkan awan mendung melindungi sinar matahari-Mu pada hari ini. Janganlah Engkau turunkan hujan-Mu di kawasan ini, ya Allah. Sebaliknya, ya Allah, Engkau alihkanlah hujan-Mu itu ke tempat lain untuk seketika.” Demikianlah isi doa saya – kecil pada sebilangan orang tetapi penting kepada saya. (Saya tidak suka memakai pakaian yang kering di dalam rumah kerana menghasilkan bau yang kurang enak.)

Tatkala berdoa itu, di langit ada segumpal awan gelap sedang melindungi matahari. Selepas berdoa, awan itu beredar dan selepas matahari memancar beberapa ketika, segumpal lagi awan gelap menutupi cahaya matahari tetapi hanya seketika. Selepas itu, gumpalan awan gelap yang kedua itu berlalu dan matahari pun memancar seterang-terangnya.

Sehingga jam 3:00 petang, hujan tidak turun. Setelah pasti bahawa semua pakaian kering, saya keluar mengangkatnya. Cuma ada sehelai seluar yang masih lembap di bahagian pinggangnya. Hampir jam 4.00 petang, kakak ipar dan suaminya datang. Kami makan bersama-sama.

Selepas berehat, saya pergi ke belakang rumah untuk membuang dahan-dahan pokok petai belalang yang kembali bertunas selepas pokok itu ditebang oleh pihak MPKj beberapa bulan yang lalu. Saya juga membersihkan sampah sarap yang dibuang oleh jiran-jiran yang seperti tidak faham akan erti kebersihan. Biras saya menyertai saya.

Kami berdua membakar sampah sarap itu. Sekitar jam 5:00 petang, hujan renyai turun seketika. Kami terus melonggokkan dahan-dahan kayu, batang dan dahan pokok palma yang ditebang jiran yang terdampar di situ. Angin yang agak kuat membantu pembakaran. Hampir jam 6:00 kami masuk ke dalam rumah. Sekitar jam 6:30 petang, adik ipar saya dan keluarganya tiba dan tidak lama kemudian hujan turun dengan mencurah-curah.

Subhanallah, alangkah hebatnya Allah SWT! Apa-apa yang kita hajatkan pada hari itu dan kita memang benar-benar mengharapkan bantuan-Nya, Dia langsung menunaikannya. Lantas saya teringat akan doa-doa yang saya panjatkan saban hari selepas solat lima waktu – meminta diberi kekayaan, dibebaskan daripada beban hutang, meminta anak berhenti merokok, dan sebagainya – masih belum dimakbulkan sehingga kini.

Mengapakah demikian? Adakah kerana kita tidak menspesifikkan hajat kita itu – kita tidak mengatakan bentuk hajat kita itu yang sebenarnya dan kita tidak menyatakan bilakah perkara-perkara yang kita minta itu kita kehendaki?

Allah Maha Mengetahui sebab-musabab Dia tidak memakbulkan doa kita. Barangkali Dia merasakan bahawa doa itu lebih elok tidak diperkenankan atau lebih elok lambat diperkenankan. Redholah dan teruslah berdoa! Makbul atau tidak sesuatu doa rahsia Allah.

Sunday, September 26, 2010

Wang Ihsan Bersumberkan Aktiviti Haram

Berbohong terkategori sebagai dosa besar. Selain Islam, saya fikir, semua agama mengetahui dan mengklasifikasikan bahawa berbohong sebagai tidak bermoral. Sesungguhnya, apa-apa yang tidak bermoral dapat merosakkan masyarakat.

Bagi masyarakat Melayu, mereka sangat tahu akan keburukan berbohong ini. Oleh sebab itulah mereka mendendangkannya dalam puisi:

Siakap, senohong, gelama, ikan duri; Bercakap bohong, lama-lama mencuri.

Dalam politik, berbohong memang lumrah. Ada yang berbohong demi mengekalkan keberadaan mereka dalam politik negara, ada yang berbohong demi menyelamatkan diri daripada pembohongan mereka yang terlebih awal, ada yang melakukannya kerana hendak mengeyakan apa-apa yang diperkatakan oleh kelompok mereka, dan sebagainya. Malah, dalam politik, kadangkala pembohongan menjadikan seseorang kelihatan bijaksana.

Baru-baru ini kita diberitahu oleh Pemuda UMNO bahawa YAB Ketua Menteri Pulau Pinang, Sdr Lim Guan Eng (LGE) menggunakan dana daripada kelab lumba kuda sebagai sumber dalam pemberian wang ihsan yang bernilai RM100 kepada warga emas (miskin tegar) di negeri Pulau Pinang. LGE segera menafikan hal itu sekali gus mendakwa pihak Pemuda UMNO berbohong.

Menurut LGE, sebenarnya dana itu hanya digunakan untuk membantu golongan miskin tegar yang bukan beragama Islam (yang jumlahnya hanya 10% peratus daripada kalangan miskin tegar di negeri itu).

Hal ini asalnya didedahkan oleh Blog Pisau.net yang kemudiannya menarik minat Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican untuk membicarakannya. Sebagai hasilnya, Reezal pada akhir minggu lalu mendesak kerajaan negeri (Pulau Pinang) menjelaskan dakwaan Blog itu yang kemudiannya seperti yang dijelaskan tadi, telah segera dinafikan oleh LGE.

Di pihak penerima wang ihsan yang beragama Islam, apabila khabar itu sampai di telinga mereka, timbullah perasaan geram, marah, dan takut di hati mereka. Hal ini berlaku demikian kerana mereka tidak mahu memakan sumber yang ada unsur subahat.

Begitulah alkisahnya. Penjelasan LGE kelihatannya seperti dapat mengangkat kebenaran, iaitu bahawa kerajaan pimpinannya memang ada menerima/mengambil sumber daripada perjudian, tetapi beliau tidak menggunakan wang itu untuk diberikan kepada rakyatnya yang beragama Islam, sebaliknya hanya memberikannya kepada rakyat yang bukan beragama Islam.

Jika hal ini satu pembohongan, sesungguhnya blog Pisau.net dan Datuk Seri Reezal kelihatan bijaksana kerana dapat menimbulkan kesangsian dalam hati penerima bantuan wang ihsan kerajaan negeri yang beragama Islam. Jika ternyata dakwaan itu memang benar, kesangsian itu akan bertukar kepada kebencian yang berkekalan dalam kalangan umat Islam yang menjadi penerima wang ihsan itu.

Kepada semua kerajaan negeri dan Persekutuan, itulah manfaat besar Allah SWT mengharamkan perjudian dan pembohongan. Pengharaman itu membolehkan ruang fitnah yang dapat menjejaskan kedudukan pemimpin dan memporak-perandakan rakyat serta menggugat kestabilan negeri/negara akan tertutup. Oleh sebab itulah maksud ayat yang diulang-ulang dalam surah ar-Rahman itu perlu sangat dihayati dan didalami:

Maka, yang mana satu antara nikmat Tuhan kamu yang hendak kamu dustakan?”

Thursday, September 23, 2010

Pemilihan dalam PKR: Meraikan Demokrasi

Meraikan demokrasi dalam parti politik bermaksud bahawa semua orang boleh menawarkan diri untuk merebut apa-apa jawatan dalam parti. Sama ada mereka akan mendapat pencalonan dan sokongan itu soal lain. Yang penting, demokrasi membenarkan pertandingan, malah menggalakkannya.

Sekarang giliran parti politik yang bernama Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula mengadakan pemilihan pucuk pimpinan parti. Riuh-rendah pemilihan itu, lebih kurang sama dengan pemilihan parti politik lain seperti UMNO, PAS, MCA, dan MIC. Unsur-unsur lonjak-melonjak – tokoh melonjakkan dirinya sendiri dan dilonjakkan oleh penyokong-penyokong dan pengikut-pengikutnya – tidak terlepas daripada mewarnai pemilihan itu. Itu pun suatu bentuk keraian terhadap demokrasi juga.

Pemilihan kali ini lebih tertumpu pada jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden. Susuk yang menjadi tumpuan ialah dua orang tokoh “besar”, iaitu YB Mohamed Azmin Hj Ali (ADUN Bukit Antarabangsa dan MP Gombak) dan YB “tak jadi” YBhg Datuk Mohd. Zaid Ibrahim (Pengerusi Perhubungan PKR Wilayah Persekutuan). Walau bagaimanapun, sehingga kini khabarnya empat orang tokoh sudah melepasi kuota pencalonan untuk jawatan itu. Selain YB Azmin dan Datuk Zaid, dua orang tokoh yang layak ialah YB Tian Chua (MP Batu) dan seorang lagi YB “tak jadi”, Mustafa Kamil Ayub (Pengerusi Biro Antarabangsa Keadilan/Pengerusi Perhubungan PKR Negeri Perak).

Jawatan Naib Presiden juga tidak kurang hebatnya. Sehingga kini, 15 orang tokoh layak bertanding, iaitu YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (MB Selangor), Datuk Seri Chua Jui Meng (bekas anggota kabinet kerajaan BN), YB Tian Chua (MP Batu), YB Fuziah Salleh (MP Kuantan), YB Dr Mansor Othman (ADUN Penanti), YB Dr Lee Boon Chye (MP Gopeng), Sdr Yahya Shaari (mantan Pegawai Khas Menteri Besar Selangor), YB Nurul Izzah Anwar (MP Lembah Pantai), Sdr Shamsul Iskandar (Ketua Angkatan Muda Keadilan), YB R. Sivarasa (MP Subang), YB S. Manickavasagam (MP Kapar), dan YB Xavier Jeyakumar (ADUN Andalas/Eksko Selangor) serta YB Mohd. Azmin, YBhg Datuk Mohd. Zaid Ibrahim, dan Mustafa Kamil Ayob sendiri.

Dalam usaha hendak merebut jawatan Timbalan Presiden, ada kalangan tokoh yang bakal menjadi calon seperti “berperang” dengan beberapa orang. Dia bukan sahaja “berperang” dengan pesaingnya, tetapi “berperang” juga dengan orang yang bakal memberikan laluan kepada jawatan yang direbutkan itu. Suatu bentuk meraikan demokrasikah? Ada juga orang-orang di dalam parti itu, malah orang-orang di luar parti itu, yang turut mewujudkan suasana “perang”.

Hari ini, terdengar pula khabar bahawa Sang Srikandi DSAI, YB Nurul Izzah memberikan isyarat bahawa beliau juga hendak merebut jawatan Naib Presiden. Baguslah, sebagai meraikan demokrasi juga. Cuma, bukankah YB Fuziah Salleh sudah awal-awal lagi menjadi calon favourite daripada kalangan wanita? Kalau sah YB Izzah akan bersaing, terpecah dualah undi wanita. Rasa saya, kesediaan YB Izzah untuk merebut slot Naib Presiden bakal menjejaskan (mungkin menutup terus) peluang YB Fuziah untuk menang jawatan Naib Presiden bagi pihak calon wanita.

Kepada semua tokoh yang bakal bersaing untuk merebut jawatan tinggi parti (walau dalam mana-mana parti politik sekalipun), raikanlah demokrasi dengan mendahulukan rasional. Menolak pencalonan yang dibuat oleh ahli (akar umbi) bukan bermaksud tidak menghormati mereka, tetapi sebagai suatu usaha untuk memantapkan dan mengutuhkan serta mewujudkan perpaduan dan persefahaman dalam parti. Yang eloknya, janganlah ada percekcokan dalam merebut jawatan yang sementara itu, baik percekcokan itu perlu ataupun sebaliknya. Bersainglah secara gentlemen.

Wednesday, September 22, 2010

Hal-hal yang Tidak Masuk Akal

Perkara tidak masuk akal akhir-akhir ini telah mencemari kesiuman kita, sama seperti malware yang sedang mencemari beberapa Blog. Malware, seperti yang kita ketahui, dapat diatasi dan dibasmikan tetapi perkara tidak masuk akal yang mencemari minda kita ada yang tidak dapat dinyahkan.

Dua hari lalu, suatu perkara tidak masuk akal telah mencemari kesiuman kita. Seorang individu berbangsa Melayu yang namanya tidak pernah berada di sisi Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary apatah lagi Tan Sri Ananda Krishna dan Tan Sri Robert Kuok dalam senarai bilionaire Malaysia kononnya telah menyumbangkan RM4 bilion kepada Kerajaan Kelantan. Orang Melayu itu bernama Abdul Rahim Abdul Wahab, Pengerusi Eksekutif syarikat I’DA World Group Sdn. Bhd. (l’DA World).

Yang menjadikan hal itu tidak masuk akal ialah jumlah RM4 bilion itu sangat besar, rasa-rasanya lebih besar daripada wang ihsan tahunan Petronas! I’DA World Group Sdn. Bhd. (l’DA World) syarikat yang mengendalikan perniagaan berasaskan petroleum seperti Petronaskah? Perniagaannya pelbagai seperti perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukharykah? Huh, teringat saya akan Elie Youssef Najem, “jutawan” Lubnan itu. Dia diberitakan hendak mendermakan RM 1 bilion kepada Majlis Kanser Nasional (MAKNA) suatu ketika dahulu! Walau bagaimanapun ternyata lelaki Arab itu penipu besar dan sikapnya yang gemar menipu ke sana dan ke sini itu telah menyebabkan dia dijatuhi hukuman penjara 6 tahun baru-baru ini.

Satu lagi hal yang tidak masuk akal ialah kenyataan Sdr Morat Pora tentang ketetapan SPR yang terkini, iaitu rakyat yang baru mendaftarkan diri sebagai pemilih pada tahun ini tidak layak untuk mengundi jika Pilihan Raya Umum Ke-13 diadakan pada tahun hadapan (Morat Pora ialah Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Pulau Pinang).

Ketetapan SPR itu tidak masuk akal. Hal ini demikian kerana rakyat disuruh segera mendaftar sebagai pemilih apabila telah mencapai umur 21 tahun. Rakyat berkesedaran tinggi yang mencapai usia itu segera memenuhi tanggungjawab tersebut dengan mendaftarkan nama mereka sebagai pemilih baharu berdasarkan empat fasa yang dijadualkan oleh pihak SPR sendiri, iaitu Januari-Mac, April-Jun, Julai-September, dan Oktober-November.

Alangkah aibnyanya SPR kalau satu fasa pendaftaran pemilih baharu pun tidak dapat diproses oleh pihak SPR! Alangkah lembapnya SPR! Alangkah ruginya memperuntukkan sejumlah imbuhan sebagai gaji kepada kakitangan di SPR ini!

Perkara tidak masuk akal ini tujuannya hendak mendungukan rakyat, tetapi yang jelas mereka itulah yang kelihatan lebih dungu.

Dua Lagi Orang Hilang Dikaitkan dengan Suspek Utama Pembunuhan Datuk Sosilawati

Pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga orang rakannya dikategorikan sebagai kejam bukan sahaja disebabkan oleh cara mereka dibunuh, tetapi juga kerana pembunuhan itu telah memisahkan mereka dengan kaum keluarga dan sahabat handai mereka dengan cara yang tidak sepatutnya. Memang betul bahawa kematian telah ditentukan oleh Allah SWT, tetapi melupuskan mayat sehingga tidak dapat ditatap atau diberi penghormatan untuk kali terakhir oleh kaum keluarga dan sahabat handai sangat tidak berperi kemanusiaan.

Hari ini Berita Harian melaporkan bahawa ada satu lagi kes orang hilang (yang melibatkan dua orang individu) yang berkemungkinan besar ada kaitannya dengan suspek utama kes pembunuhan Sosilawati ini. Dua orang individu itu, Shafik Abdullah, 37 tahun (seorang kontraktor), dan sahabat baiknya disahkan sebagai hilang selepas bertemu dengan suspek utama kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik itu. Kedua-dua mereka hilang sejak April 2010 lalu selepas dipercayai menemui peguam berkenaan di satu lokasi di ibu negara atas urusan perniagaan.

Modus operandi kehilangan kedua-dua orang sahabat itu (dipercayai rakan kongsi dalam perniagaan batu permata) hampir sama dengan kehilangan jutawan kosmetik itu. Berdasarkan modus operandi itu, kedua-dua mangsa memberitahu keluarga masing-masing bahawa mereka hendak pergi ke suatu tempat untuk bertemu dengan seseorang (peguam), dipercayai suspek utama kes Sosilawati, atas urusan perniagaan sebelum kedua-duanya hilang. Telefon bimbit mereka tidak dapat dihubungi dan kemudiannya polis menemukan kereta jenis Honda Stream milik Shafik di sebuah kondominium di ibu negara Mei lalu selepas keluarga mereka membuat laporan polis.

Kehilangan itu sudah pasti menyebabkan isteri dan kaum keluarga kedua-dua orang mangsa yang hilang itu ternanti-nanti dan tertanya-tanya akan nasib insan yang hilang itu. Lima bulan berada dalam keadaan yang tidak pasti sudah tentulah mendera dan menekan perasaan kaum keluarganya. Alangkah zalimnya perlakuan orang yang melakukan perbuatan yang seumpama ini!

Cuma, kerana barangkali mereka berdua tidak berprofil tinggi, kehilangan mereka mengambil masa berbulan-bulan untuk dikaitkan dengan kejadian pembunuhan.