Monday, May 31, 2010

Konvoi Bantuan, Jihad, dan Israel

Risiko jihad kerap kali melibatkan nyawa. Yang tidak faham akan maksud jihad, jangan membuat olah. Jihad ialah perjuangan. Memberi ibu bapa wang, misalnya, sebahagian daripada jihad. Membantu orang yang tertindas pun suatu bentuk jihad juga. Berjuang di medan perang jihad juga. Memberi sedekah kepada yang menadah tangan pun jihad juga.

Oleh itu, keterlibatan sukarelawan Malaysia dan sukarelawan dari negara lain dalam misi penghantaran bantuan ke Gaza, Palestin adalah antara suatu bentuk jihad. Apabila menyebut Gaza dan Palestin, kita tahu akan keadaan di situ. Risikonya sangat besar kerana bapa segala orang jahat — Zionis yang menguasai negara haram yang dinamakan mereka sebagai Israel itu — berkitar-kitar di Palestin.

Risiko besar ini sudah pastilah melibatkan nyawa. Kita yakin, semua sukarelawan arif akan hakikat ini, iaitu hakikat bahawa Zionis-Israel bila-bila masa akan mengancam nyawa mereka. Penganut fahaman Zionis yang mengitari Palestin ini merupakan suatu puak yang tidak pernah tahu akan erti bantuan kemanusiaan kerana kebinatangan dan kesyaitanan menyeluruhi otak dan perasaan mereka. Tidak kira sesiapa pun, tidak kira ketetapan yang bagaimana sekalipun, pihak yang ingin memperlihatkan kemanusiaan kepada seteru pengamal fahaman Zionis ini akan menjadi seteru penganut fahaman itu.

Oleh sebab itulah pelbagai bantuan yang diusahakan oleh negara dan sukarelawan tertentu bagi membantu rakyat Palestin akan mendapat tentangan mereka, seolah-olah mereka sahajalah yang layak hidup selesa di dunia ini. Pada saat ini (31 Mei 2010), mereka telah “mengerjakan” konvoi (kapal) sukarelawan yang melibatkan rakyat Malaysia. Khabarnya mereka telah membunuh 15 orang dan mencederakan banyak sukarelawan yang lain. Belum diketahui sama ada sukarelawan Malaysia itu (kru televisyen ASTRO) selamat ataupun sebaliknya. Perbuatan mereka menyentap jantung/hati kita, khususnya jantung/hati ahli keluarga setiap rakyat Malaysia yang menyertai misi itu.

Saya ingin melarikan perhatian pembaca daripada kejadian itu kepada suatu hakikat lain. Sebenarnya, kita harus berwaspada untuk menyebut nama Israel itu. Hal ini demikian kerana kata Israel mendukung maksud yang sangat murni. Berdasarkan suatu pengajian yang saya ikuti, Israel bermaksud “Hamba Allah yang Terpilih/Hamba yang Dipilih Allah”. Nama ini ada disebut di dalam al-Quran, banyak kali — biasanya didahului dengan kalimat Bani. Menurut sejarah, nama Israel merupakan suatu gelaran yang diberikan oleh Allah SWT kepada Nabi Yaakub alaihissalam.

Hal ini bermakna bahawa “Hamba Allah yang Terpilih/Hamba yang Dipilih Allah” atau Israel itu bukanlah merujuk kepada para Yahudi yang ada di muka bumi ini pada hari ini apatah lagi yang berfahaman Zionis itu. Hal ini demikian kerana seperti yang ditegaskan, “Hamba Allah yang Terpilih/Hamba yang Dipilih Allah” yang dimaksudkan Allah SWT sebenarnya ialah Nabi Yaakub alaihissalam sahaja. Dalam erti kata yang lebih mudah, para Yahudi yang ada sekarang langsung tidak layak menamakan negara mereka sebagai Israel.

Dan dengan makna yang didukung oleh Israel itu, kita juga tidak wajar ikut menyebutnya untuk merujuk kepada negara haram itu (kerana secara tidak langsung kita mengakui mereka sebagai Hamba Allah yang Terpilih walhal hakikatnya mereka ialah hamba yang dilaknat Allah!)

Kita wajar mengecam serangan Zionis ke atas konvoi bantuan kemanusiaan itu. Tetapi jauh lebih awal daripada kejadian itu, kita perlu mengecam puak Zionis itu kerana memilih nama Israel sebagai nama negara dan nama bangsa mereka. Saya rasa, hal ini pun suatu jihad juga.

Wednesday, May 26, 2010

Jikalau Kerana Sebuah Dusun Maka Binasa Negeri, Haruslah Dusun Itu Dibuangkan

Kisah tekan-menekan dalam parti sudah sangat lazim. Oleh sebab sudah lazim, hal itu tidak menimbulkan keanehan kepada orang ramai walaupun kadangkala orang yang menekan itu ialah kawan baik kepada orang yang kena tekan.

Hal tekan-menekan dalam parti selalunya dilakukan dengan satu tujuan — KUASA. Sama ada orang yang menekan mendapat KUASA itu ataupun sebaliknya tidak penting kerana yang penting orang yang ditekan itu tertekan dan telungkup.

Bekas pemimpin kanan kerajaan pernah mencuba untuk menekan bosnya. Pelbagai saluran digunakannya — ada yang melalui media, ada yang melalui saluran parti. Walaupun usaha itu tidak berjaya, tetapi dampaknya sangat besar.

Seorang Kepala tanah ini mengalami nasib yang sama. Dia ditekan-tekan dan dipulas-pulas sampai terpaksa “melangkah” awal daripada jawatannya. Antara orang yang berada dalam puak yang menekannya termasuklah orang yang “disukainya”.

Seperti yang diketahui, seorang Presiden sebuah pertubuhan yang menjadi komponen sebuah pakatan sedang ditekan-tekan. Oleh sebab Presiden ini agak pelik lakunya, maka orang-orang yang menekannya “diterajangnya” keluar dari parti yang diterajuinya itu.

Dalam situasi yang lebih besar sekarang, ada seorang Kepala sedang melakukan perkara pelik-pelik. Yang milik kita diserahkan, yang haram dihalalkan. Dirinya dilibatkan dengan aneka hal yang kurang elok.

Hal-hal kurang elok itu sekarang kononnya dimanipulasi oleh pihak yang berkepentingan. Kerana hendak menyorok semua hal yang kurang elok itu, kononnya banyaklah tindakan Kepala ini yang merugikan tanah yang dikepalainya.

Ada pihak yang bimbang bahawa akan ada lebih banyak tindakannya yang akan merugikan tanah ini. Kita tidak tahu akan kebenaran hal itu, tetapi kita tahu selalunya demi KUASA orang sanggup melakukan aneka perkara yang menguntungkan dirinya, merugikan diri orang lain.

Mengapakah tidak ada puak yang sekelompok dengan Kepala ini yang menekannya sama seperti mereka menekan Kepala yang seorang lagi itu? Kalau benar Kepala itu dibelit hal kurang elok sehingga menjadi liabiliti, mengapakah dia perlu dilindungi?

Kalau benar dia dimanipulasi dan puak-puaknya sedia maklum akan hal ini, mengapakah tidak diambil suatu langkah memaksanya mengangkat kaki supaya tidak ada kerugian yang lebih besar menimpa tanah ini?

Ingatlah pepatah silam — jikalau kerana sebuah dusun maka binasa negeri, haruslah dusun itu dibuangkan! Kalian tidak tahu akan maksudnya? Tidak mungkin kalian tidak tahu. Kita sama-sama anak Melayu yang berani kerana benar.

Monday, May 24, 2010

Kisah ADUN Kerdau dan ADUN Parit Raja

ADUN Kerdau (Pahang), YB Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63 tahun, seperti yang kita ketahui, sedang berada dalam keadaan kritikal. Keadaan kesihatannya menjadi tidak menentu selepas menjalani pembedahan ulser usus di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh pada 3 April 2010 lalu. Beliau telah dirujukkan ke IJN pada 9 Mei 2010 apabila berlaku masalah pada buah pinggang dan jantungnya. Sehingga kini, keadaannya tidak bertambah baik, malah sedang koma dan memerlukan perhatian yang rapi dan serius.

ADUN Parit Raja (Johor) yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor, YB Abd Aziz Kaprawi, juga menghadapi masalah kesihatan. Beliau mengadu sakit dada dan telah pun menjalani pembedahan pintasan jantung semalam. Pembedahan itu berjaya dan kini beliau sudah pun sedar.

Tidak kira siapa pun anda, marilah kita, khususnya umat Islam, mendoakan keafiatan kedua-dua wakil rakyat itu. Mengharapkan ada PRK daripada keadaan yang menimpa kedua-dua insan tersebut bermaksud bahawa kita mengharapkan kematian mereka. Hal ini kurang wajar malah sangat tidak sopan. Janganlah kita mendahului Allah SWT. Biarlah Dia yang melaksanakan rencana-Nya.

Friday, May 21, 2010

Presiden itu Sedang Ditekan-tekan

Saya sedang meneka-neka perihal perkembangan semasa dalam sebuah pertubuhan. Fasa menekan sedang bermula. Kali ini, fasa menekan itu rasa saya, lebih serius dan terus-menerus. Sama ada kaedah yang digunakan oleh pihak penekan semasa hendak menyungkurkan mantan PM akan digunakan terhadap Presiden yang bukan ahli Yang Berhormat itu, sama-samalah kita tunggu.

Pada fasa ini, langkah pertama telah pun dimulakan oleh penekan yang berjawatan Timbalan Ketua Pemuda pertubuhan itu. Timbalan Ketua Pemuda itu menyeru Presiden itu berundur lebih awal. Sang Presiden yang “sangat Ultraman” itu menyahut seruan Timbalan Ketua Pemuda itu dengan memberinya habuan berupa penyingkiran.

Kini, langkah kedua dimulakan oleh penekan yang berjawatan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat pula. Rasional yang diberikan oleh anggota itu terhadap seruannya ialah Sang Presiden yang Ultraman itu sudah lama sangat berkuku sebagai Presiden pertubuhan itu. Katanya lagi, “Kaum mereka akan bersatu kalau dia (Sang Presiden) meletakkan jawatan”.

32 tahun memimpin sesebuah pertubuhan memang sangat lama dan panjang. Kita tidak pasti mengapa orang berasa seronok memeluk jawatan ketua terlalu lama. Mungkin orang seperti itu merasakan dirinya hebat dan dia ingin mencipta sejarah. Mungkin. Orang yang rasional selalunya akan berundur semasa mereka berada di puncak kejayaan. Ah, orang-orang yang Ultraman tidak mungkin melakukan demikian!

Sang Presiden itu sudah terlalu banyak memangkas, suatu karakter yang hampir sama dengan karakter seorang lagi mantan Presiden sebuah pertubuhan lain. Kita lihat sekali ini, masih tajamkah parang Sang Presiden yang Ultraman itu untuk memangkas orang-orang yang menyerunya berundur.

Alah, berikan sajalah SSM kepadanya! Dia layak, apa!

Judi: Kita yang Kena Membentengi Diri kita

Islam itu syumul, demikianlah yang kita ketahui. Oleh sebab Islam syumul, maka Islam itu cantik. Tidak sukar untuk mencari kesyumulan Islam. Tidak sulit untuk mengenal pasti kecantikan Islam. Perhatikanlah hadis ini:
Sesiapa berkata kepada rakannya, ‘Mari bermain judi’, maka hendaklah ia bersedekah.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Bukankah melalui hadis yang pendek itu dapat kita lihat kesyumulan dan kecantikan Islam? Hal ini demikian kerana tidak mungkin hadis itu menyuruh orang, misalnya, “Sesiapa yang hendak bersedekah, berjudilah dahulu supaya dapat bersedekah dengan lebih banyak” — Na‘uzubilLah. Hal ini demikian kerana walau dalam apa-apa sekalipun, judi menjanjikan kerugian kepada salah seorang (atau lebih) penjudi.

Hal judi di negara kita sudah lama diperkatakan orang. Walau bagaimanapun, sejak seminggu dua ini, hal judi hebat diperkatakan orang apabila kerajaan meluluskan permohonan pihak tertentu untuk melaksanakan judi bola bersempena dengan Piala Dunia 2010 pada Jun ini.

Dalam hal judi bola yang diluluskan oleh kerajaan itu (serta mana-mana judi lain), kita memang wajib menentang, sama ada dengan kelakuan, perkataan, ataupun dengan hati kita. Hal ini selari dengan peringatan Allah SWT dalam surah
al-Maidah, ayat 90-91:
Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya, syaitan itu hanyalah bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan hendak memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, hendakkah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”
Kita (malah orang bukan Islam juga) telah banyak berkata melalui penulisan serta perbuatan seperti berdemo dan sebagainya — untuk menasihati, mengingatkan, malah mencerca pihak yang memberikan kelulusan itu tetapi kata-kata dan perbuatan kita itu seperti menampal kersik ke buluh. Mereka bertelinga tetapi tidak mendengar, mereka berlidah tetapi bisu, mereka berbatang dan bertelur tetapi pengecut!

Oleh sebab mereka seperti tidak mahu berpatah balik — agaknya berpegang pada prinsip yang terkandung dalam peribahasa terlajak perahu dapat diundur, terlajak laku teruskan saja — maka tidak banyak yang dapat kita lakukan. Dengan hati yang berat, kita biarkanlah mereka dengan keputusan itu, tetapi di dalam hati kita jangan sekali-kali kita
redho akan judi itu dan judi-judi yang lain. Hidupkanlah kebencian di dalam hati kita terhadap judi dan terhadap orang-orang yang berjudi! Awasilah kaum keluarga kita daripada mendekati judi itu dan judi-judi yang lain. Bentengi diri kita dengan iman supaya tidak terlibat dengan judi itu dan judi-judi yang lain. Lengkapkan diri kita dengan keberanian untuk menegur orang yang terlibat dengan judi bola itu dan judi-judi yang lain. Kalau ada ihsan di hati kita, kita doakanlah para penjudi itu, termasuklah orang yang meluluskannya, supaya hati mereka turut membenci judi lalu menjauhinya dan menarik balik lesen perjudian itu.

Kepada pihak yang meluluskan judi itu, ingatlah lanjutan ayat dalam surah
al-Maidah (ayat 92):

Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah (janganlah sampai menyalahi perintah Allah dan Rasul-Nya). Oleh itu, jika kamu berpaling (enggan menurut apa-apa yang diperintahkan itu), maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya kewajiban Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata.”
Sebagai rakyat, kami suka mengingatkan kamu. Kami telah membuat kebajikan kepada kamu — dengan memilih kamu sebagai wakil kami. Kamu bernasib baik kerana kemudiannya kamu telah terpilih untuk menjadi ahli jemaah menteri (dan eksko kerajaan negeri). Apabila kamu telah kami pilih sebagai wakil kami dan kemudiannya entah atas dasar apa, kamu terpilih pula untuk menganggotai jemaah menteri atau eksko kerajaan negeri, yang kami harapkan daripada kamu ialah kamu akan membalas kebajikan dan kebaktian yang kami berikan itu.

Kami mengharapkan yang baik-baik daripada kamu demi keselamatan kami daripada kemurkaan Allah SWT. Malangnya kamu memilih untuk mendapat kemurkaan Allah SWT dan pilihan kamu itu bakal mencelakakan kami. Sekarang kami sedar bahawa kebajikan dan kebaktian yang kami curahkan itu seperti menabur bijan ke dalam tasik, tiada ia akan tumbuh. Lalu, kami suka mengingatkan kamu bahawa pokok pisang yang sama tidak akan mengeluarkan buah dua kali. Kami telah memberi kamu kuasa, kami telah menghadiahi kamu pelbagai imbuhan daripada duit kami, tetapi kata-kata dan permintaan kami kamu bakulsampahkan. Kami bukan berdendam, tetapi kami berjanji, jika hak kami terus kami enteng-entengkan, kamu tidak akan kami pilih lagi. Kamu akan kami bakulsampahkan pula.

Wednesday, May 19, 2010

Wanita dan Ahli Parlimen

Wanita sering menyebabkan lelaki tidak dapat menunggang nafsunya dengan betul. Wanita sering menyebabkan orang lelaki tidak dapat mengatur akal fikirannya dengan waras. Wanita sering menyebabkan orang lelaki kelihatan bodoh.

Ketiga-tiga keadaan itu, selain pelbagai keadaan lain yang memperlihatkan kedunguan lelaki apabila melibatkan wanita, mengesahkan ungkapan “Tangan yang menghayun buaian dapat menggoncang dunia”.

Di negara kita, seorang Ahli Parlimen, sekali lagi saya ulangi, seorang Ahli Parlimen, telah membelakangkan undang-undang yang sewajibnya diketahui oleh beliau hanya kerana seorang wanita. Dia telah melakukan kesalahan yang terdapat dalam undang-undang syariah di negara ini, iaitu mengamalkan poligami tanpa kebenaran mahkamah. Apakah akibat langsung daripada perbuatannya itu?

Beliau telah dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000.00 atau penjara enam bulan jika tidak mampu membayar denda itu. Itulah akibat yang ditanggungnya atas perbuatannya itu, yang berpunca daripada kegilaannya terhadap seorang wanita.

Tetapi, kesan yang lebih parah daripada perbuatannya itu ialah beliau telah mencalar imej Ahli-ahli Parlimen yang lain dan jika beliau terus kekal sebagai Ahli Parlimen, kerosakan imej itu akan terus menjadi liabiliti kepada semua Ahli Parlimen.

Wanita tidak salah apa-apa. Mereka pendamping lelaki, oleh itu bijaksanalah mengawal nafsu dan akal.

Jika hendak menambah cabang, beranikan hati. Jika hati tidak berani, bergayutlah pada cabang yang satu itu. Jika masih hendak bercabang-cabang juga, buanglah cabang lama itu. Kalau cabang lama masih disayangi, lupakanlah niat di hati.

Negara kita berundang-undang. Undang-undang perlu sentiasa dipatuhi. Sentiasa!

Tuesday, May 18, 2010

Piala Thomas: Gabungan Tiga Negara Belum Pasti Atasi China

Ada pihak (pemerhati sukan?) yang berkata bahawa jika buah tiga negara — Malaysia, Indonesia, Denmark — bergabung untuk membentuk satu pasukan badminton, pasukan badminton China masih belum tentu dapat ditewaskan (dalam pertandingan Piala Thomas). Begitulah dakwaan seorang penulis sukan di sebuah akhbar arus perdana.

Betulkah dakwaan itu? Kuat sangatkah pasukan badminton China itu sehingga memerlukan gabungan tiga pasukan negara lain untuk menundukkannya? Atau dakwaan itu hanya lahir daripada perasaan takjub penulis itu?

Sebenarnya, kekuatan pasukan badminton China lebih kurang sama dengan kekuatan pasukan lain. Kalau ada pun yang menjadikan pasukan itu istimewa ialah mereka membariskan pemain yang masih muda. Hal ini berbeda dengan Malaysia, Denmark, dan Indonesia yang masih mengitar semula pemain yang sudah berusia. Yang lebih istimewa, mereka mempunyai pemain yang seimbang di semua posisi. Keempat-empat pemain perseorangan mereka dapat diharapkan untuk mengutip mata, begitu juga dengan pemain-pemain beregu mereka.

Sebagai contohnya, Lin Dan dapat menyaingi mana-mana pemain perseorangan pertama dari negara lain. Chen Jin dapat menyaingi mana-mana pemain kedua dari negara lain (apatah lagi Wong Choon Han yang sudah berusia itu). Bao Chunlai atau Chen Long bersedia untuk membaham mana-mana pemain perseorangan ketiga dari negara lain.

Keseimbangan itu muncul tepat pada waktunya, iaitu setiap pemainnya dapat menyaingi pemain negara lain yang sama posisi dengan mereka dalam kejohanan Piala Thomas lalu. Tetapi, sebagai bandingan, kalau Chen Jin bermain di posisi pertama, dia pasti menghadapi kesukaran untuk menewaskan Datuk Lee Chong Wei, Peter Gade, Park Sung Hwan, dan Taufik Hidayat.

Untuk menafikan hakikat ini juga (gabungan tiga negara diperlukan untuk mengalahkan pasukan Piala Thomas China), kita perlu melihat bagaimana pasukan badminton Piala Uber Korea Selatan dapat mengalahkan pasukan badminton Piala Uber China yang kuat, mantap, dan seimbang itu. Pasukan badminton Piala Uber Korea Selatan tidak memerlukan gabungan negara lain untuk mengalahkan pasukan badminton Piala Uber China yang membariskan pemain yang mempunyai ranking tertinggi di dunia.

Pemain-pemain China, Wang Yihan dan Wang Xin, ialah pemain perseorangan ranking pertama dan kedua dunia. Ma Jin/Wang Xiaoli dan Du Jing/Yu Yang pula pemain beregu ranking pertama dan kedua dunia. Kesemua mereka (kecuali Wang Xin) dapat dikalahkan oleh pasukan yang membariskan pemain yang kedudukan ranking mereka tidaklah sebaik mereka. Wang Yihan dikalahkan oleh Bae Seung Hee (21-23, 11-21), Ma Jin/Wang Xiaoli dikalahkan oleh Lee Hyo Jung/Kim Min Jung (21-18, 12-21, 15-21), manakala Du Jing/Yu Yang dikalahkan oleh Lee Kyung Won/Ha Jung Eun mn 21-19, 14-21, 10-21.

Saya berpandangan bahawa, dan saya bersetuju tentang hal ini dengan penulis sukan akhbar perdana itu, iaitu bahawa kekuatan pasukan China terletak pada semangat dan kemampuan mereka untuk bermain sebagai satu pasukan. Samalah halnya dengan skuad badminton Piala Uber Korea Selatan yang memperlihatkan hakikat yang sama. Skuad Malaysia dan Indonesia tampak individualistik. Saya fikir, pemain negara yang ada sekarang perlu mendekati Razif, Jailani, dan Rashid Sidek serta Foo Kok Keong, Soo Beng Kiang, Cheah Soon Kit, dan lain-lain untuk mengetahui dan mempelajari cara-cara mereka memperlihatkan semangat juang yang tinggi sehingga dapat memasuki perlawanan akhir Piala Thomas sebanyak empat kali berturut-turut antara tahun 1988 hingga 1994 dan dalam tempoh itu berjaya menjulang Piala Thomas pada tahun 1992 dahulu.