Monday, July 27, 2009

Yasmin Ahmad: Mengapakah Selepas Meninggal Dunia?

Jika Saudara Saudari biasa bersolat jenazah, selepas usai bersolat dan berdoa, kita akan ditanyai oleh pemimpin solat itu, “Apakah yang kita katakan kepada jenazah ini?” lalu kita akan menjawab, “Baik!”. Begitulah, pertanyaan itu akan diulang hingga tiga kali dan dijawab “Baik!” sebanyak tiga kali juga. Namun, tidaklah kita ketahui adakah ungkapan “Baik” itu senada dengan yang terbetik di dalam hati jemaah yang berkata “Baik!” itu. Kita berharap, ungkapan itu senadalah.

Tentang hal ini, barangkali Wartawan Kosmo! tidak ikut serta mensolatkan jenazah arwah Yasmin Ahmad pada 26 Julai 2009, maka dengan itu Wartawan tersebut barangkali berfikir bahawa selain yang baik, hal-hal yang kelihatan kurang baik tentang arwah Yasmin Ahmad perlu diceritakan juga. Hal tentang diri arwah Yasmin Ahmad yang sebenarnya perlu diketahui 1Malaysia. Maka dengan itu, dapatlah dibaca oleh banyak orang tentang sisi lain arwah Yasmin Ahmad – “Mati sebagai wanita, diratapi peminat pelbagai kaum” dan “Daripada striker bola kepada pengarah tersohor”.

Berikutan hal itu, dapatlah kita fahami kemarahan Datuk Marina Mahathir, sehingga beliau berkata (dalam MalaysiaKini), “Malangnya terdapat makhluk hina yang dipanggil Kosmo! yang mengaibkan nama baiknya (Yasmin).” Seterusnya, beliau mengungkapkan, “Remuk perasaan keluarganya.”

Saya tidaklah tergamak untuk melabel Wartawan Kosmo! sebagai “makhluk hina” tetapi saya sangat bersetuju dengan pendirian Datuk Marina Mahathir itu bahawa perasaan keluarga arwah Yasmin Ahmad sangat perlu kita hormati. Janganlah dilukai perasaan keluarga yang ditinggalkannya itu, khususnya ibu bapa arwah yang sudah lanjut usia.

Saya tidak pasti, adakah penulisan dan pendedahan itu (kalau benar) wajar pada saat begini? Walau bagaimanapun, saya beranggapan bahawa jika Wartawan Kosmo! jujur, sisi lain tentang arwah Yasmin Ahmad sepatutnya diberitakan sewaktu beliau masih bernyawa. Dengan yang demikian, jika arwah Yasmin Ahmad tidak memilih untuk berdiam diri, dapatlah beliau menjelaskan duduk perkara yang sebenarnya. Mengapakah kalian melaporkannya selepas beliau berada di liang lahad?

Sekali lagi, Al-Fatihah untuk arwah Yasmin Ahmad dan sabarlah Hajah Inom dan Haji Ahmad. Benarlah, kematian itu ujian untuk yang tinggal.

Sunday, July 26, 2009

Ajal dan Maut: Masa dan Tempat Tak Akan Dipinda

Saya pernah mendengar cerita yang disampaikan oleh seorang penceramah popular tentang Nabi Allah Sulaiman lewat radio. Saya ingin menurunkannya semula dalam ruangan ini untuk kita ambil iktibar. Jikalau ada kesilapan dalam penceritaan semula ini, saya harap dapat sama-sama kita betulkan, insya-Allah.

Dalam suatu majlis, Nabi Allah Sulaiman dihadap oleh para pembesar baginda. Tiba-tiba, datang seorang tetamu yang tidak dikenali oleh seorang pun daripada para pembesar Nabi Allah Sulaiman itu. Tetamu itu menumpukan pandangannya ke arah salah seorang pembesar Nabi Allah Sulaiman dengan pandangan yang tepat tetapi sedikit aneh.

Hal ini menimbulkan rasa aneh dan kurang senang dalam hati pembesar itu lalu dia mendekati Nabi Allah Sulaiman dan berkata kepadanya, “Wahai Nabi Allah, aku tidak pernah melihat lelaki itu tetapi dia memandangku dengan pandangan aneh sehingga menakutkanku. Siapakah dia, wahai Nabi Allah?”

Nabi Allah Sulaiman pun berkata, “Wahai pembesarku, dialah Izrail, malaikat pencabut nyawa”.

Penjelasan Nabi Allah Sulaiman itu sangat mengejutkan pembesar tersebut. Lalu dia pun berkata lagi kepada Nabi Allah Sulaiman, “Ya Nabi Allah, jika begitu, engkau hantarlah aku ke benua India dengan menggunakan angin yang menjadi kenaikanmu itu supaya aku dapat melarikan diri daripadanya.”

Nabi Allah Sulaiman memperkenankan permintaan pembesarnya itu lalu pembesar itu dihantar ke benua India dengan menggunakan angin.

Tidak berapa lama selepas kejadian itu, Izrail mengunjungi Nabi Allah Sulaiman. Lalu Nabi Allah Sulaiman bertanya kepada Izrail, “Wahai Izrail, mengapakah pada kehadiranmu yang lalu kulihat engkau memandang salah seorang pembesarku dengan pandangan yang berisi keanehan?”

Izrail menjawab, “Pada waktu itu, aku dipertanggungjawabkan Allah untuk mencabut nyawa pembesarmu itu. Tetapi aku hairan, Allah menitahkan aku supaya mencabut nyawanya di benua India tetapi pembesar itu kulihat berada di sisimu di Filistin ini, bukan di benua India. Tetapi, tidak lama selepas aku meninggalkan majlismu itu dan pergi ke benua India, kudapati dia sudah berada di benua India. Lalu, dapatlah kucabut nyawanya itu di sana (pada masa dan di tempat yang betul.)”

Berdasarkan cerita itu, benarlah bahawa hayat kita ini berada dalam “genggaman” Allah sepenuhnya. (Janganlah kita tersilap sehingga mengandaikan Allah bertangan seperti kita sehingga demikian kita mengandaikan-Nya berjari dan mampu menggenggam. Kalimat “genggaman” dalam konteks ini adalah kiasan semata-mata. Zat Allah berbeza daripada apa-apa juga makhluk). Bila dan di mana hayat kita ditamatkan oleh Allah tidak kita ketahui, tetapi yang pasti kita akan mati pada masa dan tempat yang telah tercatat di Loh Mahfuz. Izrail akan mengunjungi kita, sama ada kita nampak dan kenal akan dirinya ataupun tidak.

Saya terlintas untuk menyentuh persoalan mati yang berlaku pada zaman Nabi Allah Sulaiman ini apabila mendapat khabar “tidak baik” tentang pengarah tersohor Yasmin Ahmad yang diserang angin ahmar pada petang Khamis, 23 Julai 2009. Beliau pengsan di TV3 (dikatakan nadinya telah “berhenti” berdenyut kira-kira 30 minit tetapi “kembali” semula semasa berada di Hospital Pakar Damansara). Beliau dibedah dan dikhabarkan kritikal dan berada dalam keadaan koma sejak itu. Mulai saat itu, saya mengikuti khabar beliau itu dengan rapat sehinggalah beliau dijemput Allah ke sisi-Nya pada 25 Julai 2009, jam 11.25 malam. Jenazahnya telah selamat disemadikan pada 26 Julai 2009. Marilah kita sama-sama berdoa agar Allah SWT mencucurkan rahmat ke atas roh arwah Yasmin Ahmad. Kepada Hajah Inom Yon, bondanya, dan Haji Ahmad Hashim, ayahandanya – kedua-duanya saya kenal, serta seluruh ahli keluarga arwah – sabarkan dan tabahkanlah hati dan diri kalian.

Sama-samalah kita hayati syair (ruba’i) Umar Khayyam:

Kalam loh mahfuz mencatat
dan sesudah mencatat
lagi mencatat
.

Segala doa dan ikhtiar
tidak dapat memadamkan catatan Ilahi
biarpun hanya sekerat baris
.

Pun seberapa banyak air mata
sepatah pun tidak akan terhakis
catatan Tuhan Yang Maha Menyayangi
.

Kita telah mencuba, dengan pelbagai ikhtiar – melalui pengetahuan moden dan doa – tetapi Dia telah menentukan bahawa pada hari dan waktu tersebut dan di tempat itu, seorang insan yang bernama Yasmin Ahmad perlu dibawa ke sisi-Nya, di alam baqa, kerana Yasmin adalah hak mutlak-Nya yang dipinjamkan kepada kita untuk sementara.

Al-Fatihah untuk arwah Yasmin Ahmad.

Friday, July 24, 2009

H1N1: Setiap Orang Perlu Menghidupkan Penggera

KHABAR I
Sudah Ada yang Tewas: Kita Masih Selamba

Yang berikut ini ialah sebahagian daripada kenyataan akhbar oleh YB Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Liow Tiong Lai yang disiarkan melalui laman web Kementerian Kesihatan, http://www.moh.gov.my.

Kes kematian adalah seorang lelaki berusia 30 tahun, warga Indonesia, pelajar tahun pertama di International Center for Education in Islamic Finance, Kuala Lumpur. Daripada maklumat yang diperoleh, kes telah bercuti ke Indonesia dan kembali ke Malaysia pada 5 Julai 2009 dan dilaporkan mula mengalami demam dan batuk sejak kembali bercuti tetapi simptom adalah ringan. Pada 20 Julai 2009 mula demam panas, batuk serta letih, dan pada 21 Julai 2009 telah pergi mendapatkan rawatan di sebuah Pusat Perubatan Swasta di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Selepas menjalani pemeriksaan dan semasa menunggu mengambil ubat, kes tiba-tiba jatuh pengsan. Kes telah diberi bantuan kecemasan di Pusat Perubatan berkenaan, tetapi tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada 11.50 pagi. Pusat Perubatan berkenaan merekodkan penyebab kematian sebagai ‘cardiac arrest due to ventricular fibrillation’.

Pemeriksaan post-mortem telah dijalankan di Hospital Kuala Lumpur pada hari yang sama. Hasil bedah siasat mendapati, kes mempunyai badan yang gemuk, terdapat tanda-tanda pneumonia pada paru-paru dan kelainan pada tisu jantung serta cairan pus-like material’ pada bahagian bawah salur pernafasan. Sebanyak 20 pelbagai jenis spesimen telah diambil untuk ujian virologi, bakteriologi, histopatologi, biokimia dan toksikologi. Ujian virologi dan bakteriologi mendapati spesimen daripada tisu paru-paru dan salurannya adalah positif untuk virus influenza A (H1N1).

Berdasarkan kenyataan YB Menteri Kesihatan itu, kematian tersebut bukanlah berpunca daripada penyakit H1N1 itu sendiri. Sebaliknya, kematian itu ada kaitannya dengan H1N1 (Influenza A (H1N1) related fatality).

Berdasarkan pemerhatian saya, sepanjang wabak ini heboh di negara ini sehinggalah kematian pertama tersebut, masih banyak orang yang kelihatan selamba dengan wabak ini. Masih banyak orang yang makan tanpa membasuh tangan lebih dahulu, batuk dan bersin tanpa menutup mulut dan hidung, dan sebagainya. Amalan memakai topeng kelihatan “janggal” kepada masyarakat dan dengan demikian banyak orang awam yang berkunjung ke hospital tanpa memakai topeng sedangkan kebanyakan kakitangan hospital memakainya.

Yang paling menarik, ada yang berkata penyakit ini tidak berisiko tinggi kepada golongan berusia “muda”. Risikonya lebih terdedah kepada kanak-kanak dan orang-orang tua. Tetapi mangsa pertama itu berusia 30 tahun, walaupun meninggal dunia bukan kerana H1N1 secara langsung. Hal ini bermakna, kita perlu memandang wabak ini dengan serius dan waspada. Jangan selamba lagi.
Yang lebih penting, baik selesema biasa, batuk biasa, badan berasa dedar biasa, segeralah ke klinik. Walaupun simptomnya ringan (seperti mangsa pertama itu), kita tidak boleh ambil ringan.

KHABAR II
Beringat Sebelum Kena

KAHIRAH — Menteri-menteri Kesihatan negara-negara Arab bersetuju untuk melarang golongan tertentu, termasuk warga tua dan kanak-kanak, daripada mengerjakan haji dan umrah pada tahun ini dalam usaha hendak mengekang penularan virus influenza A (H1N1).

“Ibadah haji dan umrah akan diteruskan dengan beberapa syarat,” kata jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Mesir, Encik Ibrahim al-Kerdani, selepas mengadakan mesyuarat dengan Menteri-menteri Kesihatan negara-negara Arab di sini kelmarin.

“Beberapa golongan akan dikecualikan daripada ibadah haji – mereka yang berusia lebih daripada 65 tahun; mereka yang berusia di bawah 12 tahun, dan mereka yang menghidap penyakit kronik,” tambah beliau.

Jika vaksin bagi virus H1N1 berjaya dihasilkan sebelum musim haji, jemaah perlu menyerahkan laporan suntikan vaksin bagi mendapatkan visa haji mereka.

“Walau bagaimanapun, keputusan untuk menyekat golongan itu daripada mengerjakan haji belum lagi disahkan oleh kerajaan negara-negara Arab,” katanya.

Pengarah serantau WHO, Encik Hussein Gezairi, meramalkan Riyadh akan meluluskan saranan itu memandangkan terdapat persetujuan dalam kalangan Menteri Kesihatan negara-negara Arab mengenai isu tersebut.

“Kerajaan Saudi akan menjadikan (syarat-syarat) ini sebagai satu keperluan.. Tidak ada sesiapa yang boleh mendapat visa mereka kecuali keperluan ini dipenuhi,” katanya.

Menteri Kesihatan Arab Saudi, Encik Abdullah bin Abdul Aziz Al-Rabeeah, berkata kerajaannya tidak akan mengehadkan jumlah visa yang dikeluarkan kepada para jemaah.

“Kami tidak akan mengubah peratusan yang diperuntukkan bagi setiap negara. Kami hanya mengubah syarat-syarat tertentu. Bergantung pada negara itu untuk menggantikan jemaah (yang termasuk dalam golongan yang dihalang mengerjakan haji) dengan jemaah lain,” tambah beliau.

Encik Abdullah meramalkan jumlah jemaah haji mungkin berkurangan pada tahun ini. Sehingga dua juta jemaah dijangka membanjiri Makkah dan Madinah sepanjang lima bulan mendatang bagi mengerjakan umrah dan haji.

Isnin lalu, Mesir menjadi negara terbaharu yang memberikan amaran kepada golongan berisiko tinggi agar tidak mengerjakan haji dan umrah. Amaran itu dikeluarkan berikutan kematian seorang wanita Mesir ekoran daripada jangkitan virus H1N1 selepas pulang dari Arab Saudi selepas mengerjakan ibadah umrah.

Menteri Kesihatan Mesir berkata, semua jemaah yang baru pulang dari Arab Saudi akan dikuarantin.

Di Iran, Menteri Kesihatannya mengeluarkan amaran yang sama Selasa lalu tatkala jumlah kes jangkitan H1N1 di negara itu meningkat kepada 16 orang.

Oman turut mengeluarkan nasihat yang sama pada 6 Julai lalu.

Awal bulan ini, Tunisia menghalang jemaah negara itu daripada mengerjakan umrah tahun ini sementara waktu.

Menurut WHO, jumlah kematian ekoran daripada jangkitan virus H1N1 di serata dunia meningkat sekali ganda dalam tempoh tiga minggu – daripada sekitar 330 orang kepada lebih 700 orang sekarang. (AFP, AP)

Saranan dan langkah-langkah yang diambil oleh pihak Menteri-menteri Kesihatan negara-negara Arab itu betul dan tepat. Kuota untuk mengerjakan haji tidak akan dikurangkan kerana golongan yang terlibat – orang yang berusia lebih daripada 65 tahun; kanak-kanak di bawah usia 12 tahun, dan orang yang menghidap penyakit kronik – digantikan dengan orang tidak berkaitan dengan golongan yang dilarang itu.

Bakal-bakal haji yang tergolong dalam tiga golongan itu, walaupun dibelit kecewa, haruslah redho dengan larangan itu – demi kebaikan umat di seluruh dunia.

Friday, July 17, 2009

"Korban" dan "Qurban": Kata dengan Makna Sekular dan Makna Agama

KETIKA berucap untuk merasmikan Seminar Ibadah Korban Menurut Perspektif Islam di Pusat Dakwah Islamiah Paroi dekat Seremban pada 7 Julai 2009 yang lalu, Sahibus Samahah Datuk Mohd. Yusuf Ahmad, Mufti Negeri Sembilan Darul Khusus menyarankan umat Islam menggantikan istilah “korban” yang digunakan secara meluas pada masa ini kepada istilah “qurban”.

Beliau berkata, istilah “qurban” lebih tepat digunakan dalam konteks ibadah yang dilakukan oleh umat Islam pada Hari Raya Aidiladha itu.

Katanya, “qurban” berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud “taat dan patuh dalam usaha untuk mendampingkan diri dengan Allah”. Perkataan “korban” lebih sesuai digunakan bagi menggambarkan mangsa-mangsa yang maut dalam tragedi seperti kemalangan di jalan raya, peperangan atau bencana alam.

Beliau turut memberitahukan perihal perlunya haiwan-haiwan yang digunakan dalam ibadah “qurban” memiliki kualiti terbaik dan diketahui asal usulnya. Lembu yang bakal disembelih pada Hari Raya Aidiladha, misalnya, hendaklah dipastikan tidak memiliki sebarang kecacatan serta tidak dicuri. Beliau menambah, adalah lebih afdal jika haiwan-haiwan tersebut dibeli daripada penternak-penternak yang beragama Islam.
(Sumber: Utusan Malaysia, 8 Julai 2009)

Ulasan saya tentang penggunaan "Korban" dengan "Qurban"

Perkara yang hampir sama dengan saranan Sahibus Samahah Datuk Mohd. Yusuf Ahmad ini ada diulas oleh Profesor Dr. James T. Collins [Profesor Linguistik Melayu-Polynesia, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM] dalam buku beliau “Mukadimah Ilmu Etimologi” (DBP, 2003).

Dalam buku itu, beliau menegaskan:

“Huruf q digunakan sebagai padanan kepada huruf Jawi qaf untuk mengeja kata istilah agama atau kata yang mengenai agama yang berasal daripada bahasa Arab. Ketentuan ini menghasilkan beberapa kata kembar etimologi juga. Misalnya,

qadar keputusan Tuhan
kadar daya, keupayaan

Kedua-duanya berasal daripada kata Arab yang sama. Memang telah diputuskan untuk memberi ejaan khas untuk istilah agama. Keputusan ini munasabah dan dapat megurangkan perbalahan tentang istilah agama dan ejaan bahasa Melayu. Langkah ini harus dipuji, tetapi sayangnya tidak selalu dilaksanakan. Kadang-kadang dua kaedah ejaan dikekalkan untuk kata yang sama, misalnya dalam KDIII, (1994: 1081, 686) terdapat:

qisas Ar pembalasan
kisas Ar pembalasan

Tetapi, lebih disayangkan jika makna agama tidak dibezakan daripada makna sekular. Contohnya, dalam KDIII (1994: 677) terdapat pasangan ini:

kiblat arah ke Kaabah
kiblat arah, mata angin

Tentunya, penentuan arah sembahyang tergolong dalam “istilah agama atau kata yang mengenai agama! Mengapa ejaannya bukan qiblat sesuai dengan ejaan Arabnya (maksudnya huruf pertamanya memang qaf (ق)? Dan qiblat ini wajar dibezakan daripada ‘kiblat Jepun’, ‘berkiblat falsafah eksistensialis’ dan sebagainya.”
(hlm. 36)

Seterusnya beliau menegaskan:

“Alangkah baiknya sekiranya perancangan bahasa Melayu di Malaysia memisahkan secara tegas makna agama daripada makna sekular.”
(hlm. 49-50)

Dengan menyelitkan pandangan dan ulasan daripada Profesor Linguistik itu bukanlah bermakna saya lebih mempercayai Profesor itu daripada Sahibus Samahah Datuk Mohd. Yusuf, malah jauh sekali hendak memperlekeh Sahibus Samahah itu kerana beliau terkemudian dalam memberikan pandangannya berbanding dengan Profesor itu.

Yang hendak saya tegaskan di sini ialah betapa benarnya pandangan dan saranan kedua-dua orang tokoh yang berlainan bidang ini tentang perlunya sesuatu bentuk kata (khususnya daripada bahasa Arab) dibezakan antara maksud agama dengan maksud sekular. Dengan kata lain, pihak yang berautoriti dalam bahasa (tentulah DBP) harus mengambil perhatian terhadap perkara ini supaya tidak berlaku kekeliruan seperti yang dibayangkan oleh Sahibus Samahah itu.

(Untuk perhatian, dalam Kamus Dewan Edisi 4 (KDE4) kata qisas yang dicontohkan oleh Profesor Collins telah diberi maksud “hukuman bunuh sebagai pembalasan”.)

Sebagai tambahan pula, dalam KDE4, beberapa patah kata daripada bahasa Arab yang mempunyai huruf huruf ق (yang mendukung maksud agama) telah menggunakan huruf q sebagai padanannya. Sebagai contohnya, kata buraq, fiqah, maqam, muqaddam, qadim, qari, qariah, dan qunut.

Seperti yang disarankan oleh kedua-dua orang tokoh itu, penetapan bentuk ejaan ini sangat berguna, khususnya apabila terdapat dua bentuk ejaan yang hampir sama yang mendukung maksud sekular dan maksud agama seperti kadim dengan qadim dan makam dengan maqam selain kata "korban" dengan "qurban" yang ditegaskan oleh Sahibus Samahah Datuk Mohd. Yusuf dan kata "kiblat" dengan "qiblat" seperti yang disentuh oleh Profesor Collins.

Isu tentang bentuk kata korban dan qurban dan kata-kata lain yang diberikan dalam post ini diharapkan dapat mencelikkan mata kita tentang perlunya sesuatu kata dalam bahasa Melayu itu diungkapkan dan didokumentasikan mengikut maknanya yang tepat.

Wednesday, July 15, 2009

Mengenal Bentuk Kata: Yang Betul dan Yang Dusta (II)

MENGENAL bentuk kata, sama ada ejaan dan sebutannya, sangat perlu dalam semua bahasa. Dalam bahasa Inggeris, misalnya, dengan mengenal bentuk ejaan yang hampir sama bunyi sebutannya seperti bear dan bare; sea dan see; worse dan worth; dan sebagainya dapatlah kita ketahui perbedaan maknanya.

Begitu juga halnya dengan bahasa Melayu. Kita perlu mengetahui bentuk ejaan dan sebutan yang betul dan baku supaya bentuk yang betul dan baku itu akan menonjol dalam bahasa kita. Apabila semua orang mengetahui bentuk yang betul, standard dan identiti bahasa Melayu akan duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bahasa-bahasa utama dunia yang lain.

Pada kesempatan ini, saya hendak menampilkan kesilapan orang (penulis, wartawan, malah termasuk juga editor dan guru) yang tidak menggunakan bentuk ejaan yang betul dan baku untuk sesuatu kata dalam bahasa Melayu. Kesilapan ini berlaku disebabkan oleh beberapa banyak perkara, iaitu kerana terbiasa, tidak peka, tidak tahu, atau tidak mahu ambil tahu.

Tidak mengapalah kalau yang terbiasa, tidak peka, tidak tahu, atau tidak mahu ambil tahu itu sekadar petani, nelayan, penjaja (bukan hendak merendah-rendahkan mereka). Tetapi, kalau yang terbiasa, tidak peka, tidak tahu, atau tidak mahu ambil tahu itu wartawan, pengarang, editor, guru, malah artis dan politikus, hal ini sesuatu yang tidak patut berlaku. Hal ini demikian kerana golongan yang saya bariskan itu ialah barisan hadapan yang bertanggungjawab untuk mendaulatkan bahasa Melayu melalui penulisan, karya, dan ketokohan mereka.

Bentuk kata yang hendak saya ketengahkan pada kali ini ialah bentuk “celupar” dan “pelusuk” yang sangat lazim digunakan orang dalam penulisan, termasuk dalam blog. Adakah kedua-dua bentuk kata yang saya paparkan itu betul? Jawabannya, SALAH. Jika demikian, bagaimanakah bentuknya yang betul? Bentuk yang betul untuk kedua-dua patah kata itu ialah “celopar” dan “pelosok”.

Kesilapan orang mengeja dan menyebut bentuk “celopar” dan “pelosok” itu mungkin kerana mereka terkeliru dengan sistem keselarasan huruf vokal yang menetapkan bahawa huruf e pepet pada suku kata praakhir sesuatu kata perlu dipadankan dengan huruf u pada suku kata akhir tertutup (e pepet – u). Berdasarkan hakikat itu, maka bentuk “celopar” dan “pelosok”, pada andaian sesetengah orang, haruslah dieja dan disebut sebagai “celupar” dan “pelusuk”.

Sebenarnya, sistem keselarasan huruf vokal yang berpola e pepet – u itu hanya boleh diguna pakai untuk kata yang terdiri daripada dua suku kata sahaja seperti ce/lup dan pe/luh. Untuk kata yang mengandungi lebih daripada dua suku kata seperti ce/lo/par dan pe/lo/sok itu, yang terlibat dengan sistem keselarasan huruf vokal hanyalah dua suku kata yang terakhir sahaja. Sistem ini dapat kita kesan dalam bentuk ejaan yang hampir sama dengan “celopar”, misalnya “berontak”, “selongkar”, dan “terompah” (bukan “beruntak”, “selungkar”, dan “terumpah”) dan kata “pelosok”, misalnya “kelompok”, “pelopor” dan “seronok” (bukan “kelumpuk”, “pelupur”, dan “serunuk”).

Oleh hal yang demikian, sekali lagi saya ingatkan anda supaya menggunakan bentuk yang betul bagi menyerlahkan kecintaan kita terhadap bahasa Melayu. Sukar sangatkah untuk mengingat bentuk-bentuk ejaan itu dengan mengaplikasikan sistem keselarasan huruf vokal itu? Mustahil susah. Kalau anda dapat mengingat bentuk ejaan bahasa Inggeris seperti “island” (dengan peleburan bunyi “s”) serta “fashion” dan “station” (dengan bunyi hujung sh’n yang sama walhal dieja sebagai -shion dan -tion), apakah masalahnya untuk mengingat bentuk-bentuk yang saya bicarakan ini?

Oleh itu, jangan beralasan lagi. Gunakanlah yang betul, dan betulkanlah yang salah.

PAS Terburai di Manek Urai?

Perkara yang berlegar di fikiran orang yang di atas pagar seperti saya tentang PRK di Manek Urai ialah UMNO-BN berpeluang untuk menang di situ. Mengapakah perkara itu berlegar di fikiran saya? Kerana dominasi liputan berita di media arus perdana yang memihak kepada BN-UMNO, kerana limpahan janji yang berkaitan pembangunan dan limpahan kebendaan, kerana calon UMNO ialah bekas Pengurus Bahagian Pemantauan Projek Kesedar (bukan pemborong ikan), kerana corak kepemimpinan DS Mohd. Najib yang positif, dan yang menguatkan keyakinan saya ialah UMNO pernah menang di situ (dalam PRU bukan PRK) pada tahun 2004 dengan majoriti 53 undi. Itulah asas-asas keyakinan saya tentang peluang UMNO untuk menang.

Walau bagaimanapun, selepas keputusan diumumkan, asas keyakinan saya itu hanyalah andaian, bukan hakikat. Yang hakikat hak Allah. Dialah Penentu kepada segala penentu. Hakikatnya ialah UMNO-BN tewas, PAS-PR menang. PAS (Mohd. Fauzi Abdullah) memperoleh 5 348 undi manakala BN (Tuan Aziz Tuan Mat) beroleh 5 283 undi. Majoriti yang diperoleh Mohd. Fauzi Abdullah adalah sebanyak 65 undi.

Ada pihak yang berkata bahawa kekalahan tipis UMNO-BN itu suatu bentuk kemenangan moral. Kata-kata atau ulasan itu mungkin betul jika UMNO-BN sejak awal lagi sudah membayangkan bahawa mereka akan kalah dalam pilihan raya itu. Walau bagaimanapun, ulasan itu hanyalah suatu alasan di pihak yang kalah kerana sebelum pembuangan undi, baik calon UMNO-BN mahupun pemuka-pemukanya, semuanya memperlihatkan keyakinan bahawa mereka akan dapat merampas kerusi DUN Manek Urai itu. Malah, saya sendiri pun menaruh keyakinan yang sama.

Keyakinan UMNO-BN ini, dan saya sendiri, sudah tergambar pada PRK Bukit Gantang dahulu. Selepas PRK Bukit Gantang itu, undi Melayu meningkat dan hal itu menandakan orang Melayu sudah kembali menyokong BN semula. Tetapi, dengan 99.9 peratus pengundi berdaftar di Manek Urai ialah Melayu, dapatkah dakwaan yang mengatakan orang Melayu telah kembali memberikan sokongan kepada UMNO-BN itu diterima? Kalau berdasarkan kemerosotan majoriti yang diperoleh oleh calon PAS, iaitu daripada 1 352 undi kepada 65, dakwaan itu benar. Hal ini demikian kerana UMNO-BN telah berjaya menambah bilangan orang yang menyokong mereka kepada sebanyak 1 287 orang. TAHNIAH!

Walau bagaimanapun, saya berpendirian bahawa orang Melayu dapat dikatakan kembali menyokong UMNO-BN seandainya UMNO-BN menang di Manek Urai walaupun dengan 1 undi. Mengapa? Kerana 99.9 peratus penduduk di situ ialah Melayu. Pemimpin Umno pun sudah lama berkampung di Manek Urai untuk merampas kawasan itu, janji pembangunan pun hari-hari dilaungkan kepada orang-orang Melayu di situ. Jadi, jika mereka -benarbenar sudah beralih arah, mereka pasti akan menerimanya dengan tangan terbuka.

Walau apa-apa pun alasan dan ulasan yang diberikan, PRK di Manek Urai menampakkan suatu hakikat, iaitu PAS terburai di Manek Urai. Tetapi, mereka tidak kalah.

Tuesday, July 14, 2009

Mengenal Bentuk Kata: Yang Betul dan Yang Dusta (I)

BAHASA diungkapkan orang melalui pelbagai kaedah. Yang lazimnya, bahasa diungkapkan orang melalui perbualan. Selebihnya, bahasa diungkapkan melalui ucapan, penulisan (oleh wartawan, sasterawan, penulis blog, dan lain-lain), nyanyian, pantun, puisi, dan sebagainya.

Dalam konteks bahasa Melayu (Malaysia), banyak orang yang masih tidak tahu dan tidak mahu mengungkapkan bahasa Melayu dengan betul, baik, dan baku. Sehingga demikian, ada kalangan orang yang bukan berbahasaibundakan bahasa Melayu (Malaysia) berkata kepada saya bahawa kesalahan bahasa dalam bahasa Melayu (Malaysia) “tidak mengapa” kerana kesalahannya tidak ketara. Sebaliknya, bahasa Inggeris tidak boleh salah kerana sebarang kesalahan dalam bahasa itu sangat terserlah.

Oleh itu, sudah seharusnyalah orang yang berbahasaibundakan bahasa Melayu menanam azam untuk mempelajari bahasa Melayu dengan baik, yakni bertutur dan menulis mengikut hukum tatabahasa yang betul, mengikut bentuk pengucapan yang tepat, menggunakan imbuhan dengan betul, dan sebagainya.

Hal ini saya ketengahkan kerana banyak orang yang tidak mengenal bentuk ejaan dan sebutan yang baku untuk kata-kata tertentu. Contohnya ialah bentuk kata “guris”. Kata ini lazim diungkapkan orang, sama ada pengarang, wartawan, seniman, dan sebagainya untuk “menggambarkan perasaan atau hati yang terluka”.

Sesiapa yang sekadar memicingkan sebelah mata soal bahasa tidak akan menghiraukan bentuk kata itu. Tetapi ketahuilah, semakin diabaikan, semakin galak bentuk “guris” itu digunakan orang.

Sebenarnya, bentuk yang betul untuk “menggambarkan perasaan atau hati yang terluka” bukanlah bentuk “guris” kerana bentuk itu tidak wujud langsung dalam bahasa Melayu (bahasa Malaysia). Tidak percaya? Anda rujukilah Kamus Dewan Edisi Keempat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka ataupun Kamus Besar Bahasa Indonesia terbitan Balai Pustaka. Pasti tidak akan anda temukan bentuk kata “guris” dan bentuk-bentuk yang terbit daripadanya (terguris”, “mengguris”, dll) di dalam kedua-dua buah kamus yang berautoriti itu.

Jadi, apakah bentuk yang wujud untuk “menggambarkan perasaan atau hati yang terluka” dalam bahasa Melayu (Malaysia)? Bentuk yang wujud hanyalah bentuk “gores”. Di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, kata “gores” dan bentuk-bentuk yang terbit daripadanya didefinisikan seperti yang berikut:

gores (gorés) garis, calar, coret (corek); ~ api korek api, mancis;
bergores, bergores-gores bergaris(-garis), bercalar(-calar), berparut(-parut);
menggores menggaris, mencalar, menggarit; ~ hati melukakan (menyakitkan) hati, mengharukan;
menggoreskan menggariskan, menggaritkan: ~ pisau pd meja;
tergores tergaris, tercorek; ~ dlm hati terlintas dlm hati, terfikirkan: tidak ~ dlm hatiku derhaka kepadanya;
goresan yg sudah digores (digaris), tanda atau bekas digores;
penggoresan perihal menggores, pencalaran, penggaritan;
penggores alat (spt pisau dll) utk menggores.

Di dalam Kamus Besar Indonesia pula, kata “gores” dan bentuk-bentuk yang terbit daripadanya didefinisikan seperti yang berikut:

go·res /gorés/ n garis; garit; corek; parut
~ api korek api;
ber·go·res a bergaris; bergarit; bercorek; berparut;
ber·go·res-go·res a bergaris-garis; bergarit-garit; bercorek-corek; berparut-parut;
meng·go·res v menggaris (menggarit, mencoret) dng benda tajam (spt pisau, pena);
~ hati ki menyakitkan hati; merawankan hati;
meng·go·res·kan v menggunakan pisau, pena, dsb untuk menggarit dsb: ~ pena pd kertas; pemuda itu ~ pisau pd kayu untuk mengukir namanya;
ter·go·res v tergaris; tercorek dsb; ~ dl hati, ki terpatri (tersurat mantap atau terkesan tetap) di dl hati;
go·res·an n 1 yg telah digores; bekas digores; 2 hasil menggores;
peng·go·res n 1 alat untuk menggores; 2 orang yg menggores;
peng·go·res·an n proses, cara, perbuatan menggores

Berdasar pada penjelasan itu, jelaslah bahawa pemilihan bentuk “guris” oleh segelintir seniman, editor, wartawan, dan lain-lain untuk menggambarkan kesedihan, kepedihan, dan kelukaan tidak tepat sama sekali. Ketahuilah bahawa, walau bagaimana sedih, pedih, dan terlukanya hati dan perasaan anda, kata yang tepat untuk menggambarkan perasaan itu ialah kata “menggores” ataupun “tergores” dan bentuk-bentuk terbitan "gores" yang lain.

Kemahiran Keibubapaan

Seorang penceramah popular dalam ceramahnya yang saya ikuti (tidak usahlah namanya saya sebutkan) telah mengetengahkan hal keruntuhan akhlak anak-anak. Dalam ceramah itu, beliau ada menyentuh perihal punca anak-anak berperangai seperti haiwan. Beliau memberikan alasan yang mudah, iaitu berpunca daripada pemberian susu lembu kepada bayi. Seharusnya, menurut beliau, susu yang layak dan yang harus dinikmati oleh bayi ialah susu manusia, khususnya susu ibunya.

Beliau juga menambah, keruntuhan moral anak-anak juga ada kaitannya dengan kecuaian ibu bapa. Hal ini demikian kerana semasa berjimak ibu bapa tidak memulakan aktiviti murni itu dengan doa jimak bagi menghindarkan syaitan menyertai aktiviti itu.

Apa-apa yang diketengahkan oleh beliau itu sebenarnya berkait rapat dengan kemahiran keibubapaan. Sebagai umat Islam, kemahiran itu sudah tentulah dapat dipelajari daripada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Perihal berjimak telah diajarkan oleh Rasulullah SAW. Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sekiranya seseorang itu hendak berjimak (bersetubuh) dengan isterinya, hendaklah dia membaca:

بِسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا

(Maksudnya: Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah serta Maha Penyayang. Wahai Tuhanku, jauhilah kami daripada syaitan dan jauhkanlah syaitan daripada apa-apa yang Engkau kurniakan kepada kami.)

Sekiranya perhubungan kelamin itu ditakdirkan mendapat seorang anak, anak itu tidak akan diganggu oleh syaitan untuk selama-lamanya.”
(Sumber: Al-Islam [www.al-islam.com])

Perihal susu yang sepatutnya dinikmati oleh bayi dalam proses tumbesarannya, peristiwa penyusuan Rasulullah SAW merupakan contoh yang terbaik. Apabila dilahirkan, baginda telah dihantar kepada ibu susuannya yang pertama, iaitu Suwaibah yang merupakan hamba perempuan Abu Lahab. Selepas itu, baginda disusukan pula oleh Halimah binti Abu Zuaib As-Saadiah (dikenali juga sebagai Halimah As-Saadiah).

Memang benar, pada zaman itu tidak ada susu tepung tetapi susu lembu dan susu kambing segar mudah diperoleh. Yang menariknya, para penjaga Rasulullah SAW tidak pula memberi baginda susu-susu haiwan itu.

Sebelum itu, tatkala dilahirkan, bayi itu hendaklah diazankan (jika bayi lelaki) atau diiqomatkan (jika bayi perempuan), diberi manisan, dan pelbagai sunah lain.

Semua hal yang dinyatakan itu sebenarnya merupakan kemahiran keibubapaan. Hal ini bermakna, kemahiran keibubapaan bukan bermula selepas anak dilahirkan, sebaliknya bermula sebelum kejadian bayi itu lagi.

Oleh itu, kepada saudara saudari yang bakal bernikah, dalamilah kemahiran-kemahiran itu dan praktiskanlah tanpa kekecualian. Kepada yang sedang menanti kelahiran bayi mereka, ingatlah bahawa susu ibu merupakan sajian makanan dan minuman yang terbaik untuk bayi.
Insya-Allah, niat yang ikhlas untuk mengikuti sunah Nabi dalam hal mendapat anak yang baik akan direstui Allah SWT. Kita tidak mahu anak-anak akan datang berkelakuan lebih buruk daripada manusia-manusia Hollywood itu atau seganas anak-anak gadis yang berkungfu di surau seperti yang terpapar lewat televisyen dan Internet itu. Janganlah membiarkan muka berconteng arang. Sediakanlah payung sebelum hujan.
Nabi telah menunjukkan caranya, kita hanya mengikutinya.

Friday, July 10, 2009

Pemansuhan PPSMI dan Kedaulatan Bahasa Melayu

Keputusan pihak kerajaan memansuhkan P & P Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris seperti yang diumumkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran pada 8 Julai 2009 lalu sangatlah menggembirakan hati kita walaupun pencetus idea itu jelas kurang puas hati. Insan-insan pejuang bahasa seperti Dato' Hassan Ahmad, Dato' A. Samad Said dan SN-SN yang masih hidup itu, Dato' Baha Zain, Prof Abdullah Hassan dan Prof Awang Sariyan serta seluruh insan pencinta bahasa Melayu seperti kita ini seharusnya bersujud syukur kerana sirih telah pulang ke gagang dan pinang telah pulang ke tampuk.

Walaupun ada pihak yang ragu-ragu akan kepulangan bahasa Melayu dalam P & P Matematik dan Sains itu kerana perkara itu hanya akan berlaku kurang lebih tiga tahun lagi – 2012 – kononnya macam-macam boleh berlaku dalam tempoh itu, seperti berubah fikiran, ditekan pihak tertentu, dsb, namun kita harus mengakui ketulusan hati YAB Menteri Pelajaran dan Dr. Puad Zarkashi, timbalannya dalam merealisasikan pemansuhan itu. Kedua-duanya dapat mempengaruhi jemaah menteri (termasuk mantan Menteri Pelajaran) untuk menerima pandangan mereka yang sudah tentulah berdasar pada kajian oleh pihak Kementerian dan Jabatan-jabatan Pelajaran.

Bab pemansuhan itu selesailah sudah walaupun pelaksanaannya dilakukan berperingkat-peringkat. Persoalannya, adakah dengan pulangnya BM ke pangkuan P & P Matematik dan Sains itu bermakna BM telah benar-benar didaulatkan? Tidakkah perancangan yang direncanakan pihak Kementerian Pelajaran untuk memantapkan pengajaran BI bakal mengancam kedaulatan bahasa Melayu?

Saya berpendapat bahawa pengajaran BM juga harus dimantapkan supaya para pelajar dapat bertutur dengan nahu yang betul, baku, dan tepat. Pelajar harus ditanamkan dengan kesedaran untuk mencintai bahasa Melayu lebih daripada bahasa lain. Mereka harus ditanam dengan rasa bangga untuk berbahasa Melayu.

Sukarkah untuk direalisasikan? Ya, sangat sukar kalau dipaksa kerana berat beban yang sedikit dek hati sakit tetapi kalau dilakukan dengan ikhlas dan penuh kerelaan, hasrat itu pasti dapat dijayakan kerana hati yang ringan meringankan beban yang berat.

Setelah melewati usia 50 tahun sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, dan bahasa perpaduan, kita sepatutnya tidak perlu lagi mengeringkan tekak tentang pendaulatan bahasa Melayu ini kerana bahasa itu sepatutnya sedang kembang dan digilai seluruh rakyat.

Friday, July 3, 2009

Agamawan, Ceramah, dan Bahasa

Agamawan - sama ada dipanggil orang "Ulama" atau sekadar "Ustaz" dan "Lebai" - sering berada di depan. Dalam ceramah, sama ada di surau dengan khalayak yang kecil atau di dalam stadium dengan khalayak yang melaut, merekalah yang akan duduk di kerusi penceramah untuk memberikan apa-apa ceramah berkaitan agama - dari sirah Nabi hinggalah tentang fikah, tauhid, waima politik sekalipun.

Ada khalayak pendengar yang merungut, mengapakah sesetengah penceramah - sama ada dipanggil orang "Ulama" atau sekadar "Ustaz" dan "Lebai" - apakala berceramah nada suaranya keras dan lantang sedangkan yang diceramahkan ialah tafsir tertentu daripada al-Quran?

Pada pandangan saya, nada itu tidaklah menjadi soal. Yang penting isi ceramahnya. Kalau diperuntukkan kepadanya waktu selama satu jam, dan isi ceramahnya hanya penuh lelucon, yang kita peroleh hanya hilai tawa. Banyak penceramah yang demikian. Dan penceramah begitu akan tetap diminati kerana ceramahnya penuh lelucon walaupun tidak menyamai peserta "Raja Lawak".

Saya tidak berhasrat untuk bercerita tentang perkara itu. Yang hendak saya sentuh ialah kelemahan penceramah untuk berbahasa dengan betul dan baku.

Pada suatu ketika, saya mengikuti ceramah agama lewat radio. Pada penutup rancangan yang berlangsung lebih kurang setengah jam itu, penceramah diminta membuat kesimpulan tentang topik yang dibicarakan. Beliau dengan penuh semangat menyeru pendengar melakukan amal maaruf dan menjauhi kemungkaran. Dan seterusnya beliau mengajak pendengar bersama-sama "mengingatkan" Tuhan.

Kecil tetapi berbahaya. Kata "mengingatkan" boleh bermakna "memberi ingat". Wah, hebat sungguh kita hingga kita wajar "memberi ingat" kepada Allah! Begitu terserlah ketuanan kita kepada Allah sedangkan yang sepatutnya yang kita serlahkan ialah kehambaan kita sebagai manusia.

Sepatutnya, penceramah itu haruslah menggunakan kata "mengingati" yang bermaksud "mengingat akan". Barulah terserah kehambaan kita kepada Allah.

Ada sebilangan orang berhujah, Allah faham akan apa-apa yang dimaksudkan oleh orang tetapi bukankah baik jika kita mengikut hukum bahasa.

Ada juga penceramah yang berbombastik dengan kata-katanya. Sehingga demikian, sebelum mengetengahkan isi ceramahnya, dia akan melafazkan puji-pujian yang wajar diungkapkan, bermula kepada Allah dan kemudian kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Tetapi, dek seronok berbombastik, dia kemudiannya melafazkan lebih kurang begini:

Marilah kita berserah kepada Allah.... Bersyukurlah kita kepada Allah ini yang memberi kita....

Sedar atau tidak sedar, kata "ini" dalam ayat penceramah itu berperanan sebagai penentu belakang. Dalam hal ini, jika ada ... Allah ini, seolah-olah akan ada Allah itu. Nauzubillah, sesungguhnya Allah itu satu.

Jadi, alangkah baiknya, penceramah agama belajar berbahasa Melayu dengan betul supaya saranan dan matlamat ceramah tepat dan diterima Allah. Dengan berbahasa dengan betul, kelak dapatlah mereka berdoa dengan betul dan doa itu diterima oleh Allah.

Sehingga kini, berapa banyakkah imam dan pendoa-pendoa yang berdoa dengan betul tatkala mendoakan kesejahteraan roh si mati? Bukankah biasa kita dengar mereka berdoa dengan kalimat ini:

"Ya Allah, cucurilah rahmat-Mu ke atas roh si polan si polan ..." ATAU

"Ya Allah, Engkau cucurkanlah roh si polan si polan dengan rahmat-Mu..."

Ketahuilah, kedua-dua doa itu salah dari segi maksudnya.

Yang betul ialah:

"Ya Allah, cucurkanlah rahmat-Mu ke atas roh si polan si polan ..." ATAU

"Ya Allah, Engkau cucurilah roh si polan si polan dengan rahmat-Mu..."

JANGANLAH LAGI KITA BERKATA, "TAK APA. ALLAH FAHAM AKAN MAKSUD KITA."