Sunday, July 26, 2009

Ajal dan Maut: Masa dan Tempat Tak Akan Dipinda

Saya pernah mendengar cerita yang disampaikan oleh seorang penceramah popular tentang Nabi Allah Sulaiman lewat radio. Saya ingin menurunkannya semula dalam ruangan ini untuk kita ambil iktibar. Jikalau ada kesilapan dalam penceritaan semula ini, saya harap dapat sama-sama kita betulkan, insya-Allah.

Dalam suatu majlis, Nabi Allah Sulaiman dihadap oleh para pembesar baginda. Tiba-tiba, datang seorang tetamu yang tidak dikenali oleh seorang pun daripada para pembesar Nabi Allah Sulaiman itu. Tetamu itu menumpukan pandangannya ke arah salah seorang pembesar Nabi Allah Sulaiman dengan pandangan yang tepat tetapi sedikit aneh.

Hal ini menimbulkan rasa aneh dan kurang senang dalam hati pembesar itu lalu dia mendekati Nabi Allah Sulaiman dan berkata kepadanya, “Wahai Nabi Allah, aku tidak pernah melihat lelaki itu tetapi dia memandangku dengan pandangan aneh sehingga menakutkanku. Siapakah dia, wahai Nabi Allah?”

Nabi Allah Sulaiman pun berkata, “Wahai pembesarku, dialah Izrail, malaikat pencabut nyawa”.

Penjelasan Nabi Allah Sulaiman itu sangat mengejutkan pembesar tersebut. Lalu dia pun berkata lagi kepada Nabi Allah Sulaiman, “Ya Nabi Allah, jika begitu, engkau hantarlah aku ke benua India dengan menggunakan angin yang menjadi kenaikanmu itu supaya aku dapat melarikan diri daripadanya.”

Nabi Allah Sulaiman memperkenankan permintaan pembesarnya itu lalu pembesar itu dihantar ke benua India dengan menggunakan angin.

Tidak berapa lama selepas kejadian itu, Izrail mengunjungi Nabi Allah Sulaiman. Lalu Nabi Allah Sulaiman bertanya kepada Izrail, “Wahai Izrail, mengapakah pada kehadiranmu yang lalu kulihat engkau memandang salah seorang pembesarku dengan pandangan yang berisi keanehan?”

Izrail menjawab, “Pada waktu itu, aku dipertanggungjawabkan Allah untuk mencabut nyawa pembesarmu itu. Tetapi aku hairan, Allah menitahkan aku supaya mencabut nyawanya di benua India tetapi pembesar itu kulihat berada di sisimu di Filistin ini, bukan di benua India. Tetapi, tidak lama selepas aku meninggalkan majlismu itu dan pergi ke benua India, kudapati dia sudah berada di benua India. Lalu, dapatlah kucabut nyawanya itu di sana (pada masa dan di tempat yang betul.)”

Berdasarkan cerita itu, benarlah bahawa hayat kita ini berada dalam “genggaman” Allah sepenuhnya. (Janganlah kita tersilap sehingga mengandaikan Allah bertangan seperti kita sehingga demikian kita mengandaikan-Nya berjari dan mampu menggenggam. Kalimat “genggaman” dalam konteks ini adalah kiasan semata-mata. Zat Allah berbeza daripada apa-apa juga makhluk). Bila dan di mana hayat kita ditamatkan oleh Allah tidak kita ketahui, tetapi yang pasti kita akan mati pada masa dan tempat yang telah tercatat di Loh Mahfuz. Izrail akan mengunjungi kita, sama ada kita nampak dan kenal akan dirinya ataupun tidak.

Saya terlintas untuk menyentuh persoalan mati yang berlaku pada zaman Nabi Allah Sulaiman ini apabila mendapat khabar “tidak baik” tentang pengarah tersohor Yasmin Ahmad yang diserang angin ahmar pada petang Khamis, 23 Julai 2009. Beliau pengsan di TV3 (dikatakan nadinya telah “berhenti” berdenyut kira-kira 30 minit tetapi “kembali” semula semasa berada di Hospital Pakar Damansara). Beliau dibedah dan dikhabarkan kritikal dan berada dalam keadaan koma sejak itu. Mulai saat itu, saya mengikuti khabar beliau itu dengan rapat sehinggalah beliau dijemput Allah ke sisi-Nya pada 25 Julai 2009, jam 11.25 malam. Jenazahnya telah selamat disemadikan pada 26 Julai 2009. Marilah kita sama-sama berdoa agar Allah SWT mencucurkan rahmat ke atas roh arwah Yasmin Ahmad. Kepada Hajah Inom Yon, bondanya, dan Haji Ahmad Hashim, ayahandanya – kedua-duanya saya kenal, serta seluruh ahli keluarga arwah – sabarkan dan tabahkanlah hati dan diri kalian.

Sama-samalah kita hayati syair (ruba’i) Umar Khayyam:

Kalam loh mahfuz mencatat
dan sesudah mencatat
lagi mencatat
.

Segala doa dan ikhtiar
tidak dapat memadamkan catatan Ilahi
biarpun hanya sekerat baris
.

Pun seberapa banyak air mata
sepatah pun tidak akan terhakis
catatan Tuhan Yang Maha Menyayangi
.

Kita telah mencuba, dengan pelbagai ikhtiar – melalui pengetahuan moden dan doa – tetapi Dia telah menentukan bahawa pada hari dan waktu tersebut dan di tempat itu, seorang insan yang bernama Yasmin Ahmad perlu dibawa ke sisi-Nya, di alam baqa, kerana Yasmin adalah hak mutlak-Nya yang dipinjamkan kepada kita untuk sementara.

Al-Fatihah untuk arwah Yasmin Ahmad.

No comments:

Post a Comment