Kerana beranggapan bahawa mereka cukup warak dan beriman, ada sebilangan orang yang akrab dengan surau dan masjid, meletakkan orang yang culas ke surau dan masjid pada kedudukan yang menghampiri takat hina. Malah, ada kalangan orang yang kononnya warak dan beriman ini yang enggan mendatangi majlis tahlil atau doa selamat yang dianjurkan oleh orang-orang yang culas itu tadi (kalau majlis tah apa-apa dan majlis doa tak selamat, tentulah mereka langsung tidak menampakkan muka).
Ada kalangan orang yang culas itu, apabila sekali-sekala berjemaah di surau atau masjid, disindir oleh orang yang kononnya warak dan beriman itu dengan ayat-ayat yang menikam hati dan perasaan. “Eh, aku ingat engkau dah pindah!” demikian antara ungkapan yang pernah saya dengar daripada mulut orang yang merasakan diri mereka warak dan beriman itu kepada orang yang culas tersebut. Saya lihat, si culas itu tersenyum kelat sambil menahn geram manakala orang yang kononnya warak dan beriman itu tersenyum sinis.
Saya berasa amat jengkel terhadap perbuatan teman yang kononnya warak dan beriman itu. Memang benar si culas itu jarang-jarang datang berjemaah ke surau berbanding dengan dirinya, tetapi apakah yang diketahui oleh teman yang kononnya warak dan beriman itu tentang masalah yang mungkin dihadapi oleh si culas itu? Mungkin beban kerja telah membataskan kewajibannya untuk bersolat secara berjemaah di surau itu, lalu dia memilih untuk melaksanakannya secara berjemaah di tempat kerjanya!
Dalam hati saya berfikir, apalah salahnya kalau teman yang kononnya warak dan beriman itu berkata, misalnya, “Alhamdulillah, dapat juga sahabat kita ini menghadirikan diri ke surau kita”. Dengan ayat yang Islamik dan bertatasusila itu, khususnya apabila berpangkal dengan kalimat Alhamdulillah, saya yakin bahawa si culas itu pasti gembira. Dia pasti merasakan bahawa kelangkaannya berjemaah di surau selama ini rupa-rupanya disedari oleh jemaah lain, dan dengan itu kemunculannya memang dialu-alukan.
Saya sering menjadikan cerita tentang Barsiso (diceritakan oleh Dato’ Ismail Kamus) yang ibadatnya ditakjubi oleh para malaikat itu sebagai pengajaran dalam kehidupan saya. Orang (Barsiso itu) yang sebahagian besar hayatnya dihabiskan untuk beribadat kepada Allah akhirnya mati dalam kesesatan, iaitu disesatkan oleh iblis laknatullah. Dia terpedaya oleh tipu daya iblis yang mengajaknya melakukan satu dosa kerana kononnya dengan melakukan satu dosa, baru dia benar-benar dapat merasai kemanisan dan kelazatan ibadat.
Dalam konteks ini, mana-mana orang yang menyangkakan dirinya warak dan beriman janganlah mendabik dada bahawa dia akan berada dalam keadaannya yang sekarang sehingga akhir hayatnya. Orang yang jernih dan cantik jalan hidupnya pada awal kehidupannnya (seperti Barsiso itu) boleh pada bila-bila masa tergelincir imannya. Sebaliknya, orang yang mencacamarbakan hidupnya dengan maksiat, boleh beroleh hidayah daripada Allah SWT lalu pengakhiran hidupnya berisi dengan iman dan takwa.
Mana-mana insan yang merasakan dirinya warak dan beriman (ala-ala Rakan Masjid) hingga tergamak untuk menyindir rakan dan mengesampingkan jemputan kenduri mereka semata-mata kerana rakan mereka culas ke masjid, berhentilah berperilaku demikian. Kalau kalian tidak pernah mendakwahi mereka, janganlah pula sampai kalian tergamak untuk menghukum mereka. Sepatutnya, kalian gunakanlah majlis kenduri itu, misalnya, untuk melembutkan hati rakan kalian supaya jinak terhadap surau dan masjid.
Allah SWT berfirman:
Kamu sungguh-sungguh akan diuji terhadap hartamu dan dirimu. Dan (juga) kamu sungguh-sungguh akan mendengar daripada orang-orang yang diberi kitab sebelum kamu dan daripada orang-orang yang mempersekutukan Allah, gangguan yang banyak yang menyakitkan hati. Jika kamu bersabar dan bertakwa, maka sesungguhnya yang demikian itu termasuk urusan yang patut diutamakan.
(Ali- ‘Imran: 186)
Allah SWT juga berfirman:
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu dugaan)? Dan demi sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa-apa yang diketahui oleh Allah tentang orang-orang yang benar-benarnya beriman, dan nyata pula apa-apa yang diketahui-Nya akan orang-orang yang berdusta.
[Al-Ankabut: 2-3]
No comments:
Post a Comment