Thursday, August 25, 2011

Pecutan Akhir

Memang sudah lazimnya manusia, apabila perjalanan yang ditempuh semakin lama dan jauh jaraknya, semakin longlai dan gontailah gerak mereka. Keletihan dan kurangnya daya tahan mental dan fizikal menyebabkan mereka akur terhadap keletihan yang melonglaikan dan menggontaikan mereka.

Walhal, mereka sudah mengetahui takat dan sempadan untuk mereka kemudiannya berehat seketika bagi menarik nafas dan menyedut oksigen supaya diri kembali segar, mata fikir kembali hidup. Tidak ada sebab yang lain yang menjadikan mereka beralah terhadap kelesuan itu selain lemahnya mental mereka.

Oleh sebab itulah Salahuddin al-Ayubi menjadikan qiamulail dan solat tahajud sebagai amalan penting kepada tenteranya. Hal ini dilakukannya demikian kerana beliau tahu bahawa kaedah itu dapat memperkuat mental tenteranya — ya, melawan nikmat tidur dapat mempertajam dan memantapkan mental manusia.

Tetapi di sini, kita saban tahun dapat melihat betapa manusia terus melayan kelesuan mereka kerana tahap kekuatan mental mereka serapuh dan selemau keropok ikan atau keropok udang. Keadaan padat di mana-mana musolla pada minggu awal Ramadhan akan segera bertukar menjadi lompang dan jarang sebelum masuk fasa kedua lagi.

Berbuih-buih mulut para pentazkirah menyebut hal ini saban tahun, berkali-kali sudah muka jemaah putih-merah-hitam disindir pentazkirah, namun peringatan dan sindiran itu tidak lebih seperti melembing langit (kerana langsung tidak berbekas di hati sebilangan jemaah). Kehadiran mereka semakin langka!

Padahal, fasa ketiga dan terakhir menjanjikan kehadiran lailatul qodr. Fasa ketiga dan terakhir juga menjanjikan pembebasan daripada api neraka (walaupun hal ini mungkin palsu, namun kita tidak boleh mengesampingkan kemungkinan kebenarannya. Jangan menjadikannya sebagai wajib memadailah kepada kita.)

Kita sudah mengetahui titik akhirnya — 29 atau 30 Ramadhan. Jadi, mengapakah tidak kita tingkatkan pecutan kita seperti kita menyuruh anak-anak kita meningkatkan pecutan (usaha) mereka dengan mengulang kaji pelajaran bagi menghadapi UPSR, PMR, dan SPM serta STPM pada September, Oktober, November ini?

Amal pada malam lailatul qodr bersamaan dengan 1000 bulan (83 tahun 4 bulan). Hal ini bermaksud bahawa kalau kita dapat menemuinya, kita beroleh kebaikan amalan yang solid untuk 1000 bulan/83 tahun 4 bulan itu. Tetapi hairan, mengapakah kita memilih untuk melayan kelesuan kita?

Kalaupun Idulfitrilah yang menjadi keutamaan, mengapakah tidak dipilih hari-hari sebelum Ramadhan untuk membeli pakaian, langsir, kerusi meja, dan pelbagai kelengkapan lain (bagi memenuhi keutamaan itu). Bersiap lebih awal (kerana Idulfitri sangat penting) akan memberi kita kesempatan untuk beramal bersungguh-sungguh sepanjang Ramadhan.

Bayang-bayangkanlah bahawa Ramadhan ini Ramadhan kita yang terakhir. Mungkin cara ini akan menyedarkan kita, kalau kita tahu hakikat Ramadhan.

2 comments:

  1. Sdr. Zul,

    Mudah-mudahan amal kita, meskipun memang tidak sampai pada tahap cemerlang menurut ukuran aulia, diterima Allah. Yang terpenting ialah pengampunan-Nya. Selamat meneruskan ibadah dalam bulan Ramadhan yang penuh barakah dan Selamat Hari Raya, maaf zahir batin.

    ReplyDelete
  2. Salam, Prof;
    Amin. Kita tidak dapat memaksa Allah mengampunkan dosa kita tetapi kita terpaksa memohon keampunan-Nya.

    Selamat meneruskan puasa Ramadhan dan amal-amal lainnya kepada Prof. Selamat Hari Raya juga untuk Prof sekeluarga, maaf zahir batin dan mohon dihalalkan apa-apa yang diberikan kepada saya.

    ReplyDelete