Monday, August 22, 2011

Kepergian Azizi Haji Abdullah ke Alam Baqa

Dalam postingnya yang bertajuk “Jemu yang Terpaksa” yang tersiar pada pada 9 April 2011, antara lain insan yang besar jasanya itu mencatatkan begini:

Novel terbaru yang baru siap setebal 299 muka bertajuk ‘MANDALA DUNIA KE DUA’ mujur menjadi peneman. Untuk edit kali ke 8 dan terakhir dapat juga dilakukan secara penyegan. Alhamdulillah rasanya sempat habis sebelum bedah. Jika hayat saya pendek, barangkali inilah novel terakhir saya.

Demikianlah antara lain insan itu menyelitkan luahan perasaannya dalam Blog beliau – http://aziziabdullah.blogspot.com.

Antara sebab insan itu berkata demikian adalah kerana pada waktu itu beliau sedang berada di hospital untuk menjalani pembedahan jantung yang tarikhnya belum dapat dipastikan hingga saat itu. Pembedahan bermaksud bahawa beliau perlu berdepan dengan dua kemungkinan – berjaya atau tidak berjaya. Atas sebab itulah insan itu dengan penuh sedar mengungkapkan kalimat “Jika hayat saya pendek, barangkali inilah novel terakhir saya” itu.

Ternyata bahawa hayat insan itu memang pendek kerana setelah diuji oleh Allah SWT dengan pelbagai komplikasi selepas jantungnya dibedah pada bulan yang sama, insan itu akhirnya dijemput Allah SWT untuk menghadap-Nya semalam (21 Ogos 2011 Masihi/21 Ramadan 1432 Hijrah). Al-Fatihah untuk roh insan itu, Allahyarham (Cikgu) Azizi Haji Abdullah.

Perpindahan beliau ke alam baqa dari alam yang fana ini bermaksud bahawa kita telah kehilangan seorang lagi pengarang besar negara (yang sangat prolifik).

Saya sempat menangani sebuah dua karya beliau. Antaranya termasuklah novel Tukcai, 1991 (semasa berkhidmat di PFB. Judul ini diterbitkan semula oleh pihak Alaf 21 pada 2007, tetapi naskhah yang diterbitkan oleh pihak Alaf 21 ini telah mengalami proses semakan yang ketara kerana pengakhiran ceritanya berbeda daripada pengakhiran cerita pada Edisi 1991). Saya turut menyelenggarakan antologi cerpen mini beliau — Jangan Pisahkan Aku, 1997 (semasa berkhidmat di Sasbadi Sdn Bhd).

Allahyarham memang insan penulis yang hebat kerana banyak karyanya yang mendapat pengiktirafan pada peringkat nasional (kerana memenangi pelbagai sayembara – Hadiah Karya Sastera (Hadiah Sastera Malaysia dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia), Sayembara Cerpen Anjuran Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri, Esso-Gapena, Yayasan Sabah-Gapena, Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank, Anugerah Sri Angkasa, Hadiah Sako, Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP, dan sebagainya). Karyanya ada yang diterjemahkan ke dalam bahasa asing.

Yang merugikan saya ialah walaupun saya pernah memesrai karyanya, saya tidak sempat mengakrabkan diri dengan beliau (seperti sahabat saya, Puan Nor Azah Aziz) kecuali melalui perbualan telefon. Tatkala bertemu dengannya yang menjadi salah seorang penerima anugerah (pemenang) dalam Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank dahulu pun saya tidak sempat berbual mesra dengan beliau.

Antara novel dengan cerpen Allahyarham, saya lebih menyukai cerpen-cerpennya. Saya suka akan “Paku Payung Limau Mandarin”, “Jangan Pisahkan Aku!”, “Seladang”, “Pendoa yang Ikhlas”, “Tulang Pekasam Ikan Puyu”, “Wau Kepala Burung”, “Tersungkap”, dll.

Dalam bidang politik, beliau pernah bertanding atas tiket PAS untuk merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kulim pada PRU 1999, tetapi tewas kepada calon BN/MCA, Yong Pau Chak. Allahyarham memperoleh 5 785 undi berbanding Yong yang mendapat 11 653 undi.

Tidak banyak penulis lain yang “rajin” dan tekal untuk menggarap kisah orang tua dalam karya-karyanya seperti Allahyarham. Tidak banyak juga pengarang yang dapat menggarap, mengolah, dan mengangkat isu yang remeh menjadi begitu penting dalam karyanya seperti Allahyarham. Yang pasti selepas ini, tidak dapat lagi untuk kita ikuti hasil tulisannya dalam Blog dan akhbar sert majalah.

Marilah kita sama-sama berdoa agar segala jasa dan khidmat bakti Allahyarham dalam bidang penulisan dan perguruan/pendidikan menjadi amal jariah untuk dirinya yang memungkinkannya ditempatkan di dalam Jannah Allah bersama-sama dengan insan mukmini dan muslimin yang lain. Amin.

4 comments:

  1. Semua sudah jadi sejarah. Pilihan raya lalu...pengundi KULIM tidak tahu membezakan mana intan mana kaca.....menyesal sekarang pun tidak berguna!!! PAS janganlah sisihkan calonnya yang kalah.Fahamilah Allahyarham juga berjihad melalui penulisan bukan sumpah-seranah berucap sana sini. Alfatiha...buat Pak Haji Azizi....

    ReplyDelete
  2. Salam, Anon,
    Saya fikir orang-orang perjuangan seperti Alahyarham (yang berjuang melalui mata penanya) harus mendapat penghormatan dan anugerah daripada pihak parti.

    Cuma yang saya tahu, Allahyarham tidak bertanding pada PRU lalu seperti yang dilaporkan oleh pihak Utusan Malaysia. Allahyarham bertanding dalam PRU tahun 1999.

    ReplyDelete
  3. Bukan mustahil apabila P.Ramlee dijanjikan anugerah tertinggi, jauh selepas keberangkatannya.Politik yang dipilih dan pena yang menulis..adalah cara beliau melangsungkan wadah hati dan perjuangannya yang dirasakan benar dan amat perlu.Justeru..apa yang beliau ambil dan apa yang ditinggalkan kepada kita akan dunianya, lekuk bekas itulah yang dikatakan jasa, dalam konteks yang bukan kepalang.Dia satu satunya pelopor seni sastera yang mencakupi semua sudut pelosok.Penulis sajak, essei, cerpen, novel, kolumnis dan editor akhbar hatta penulis skrip drama sekalipun.Tokoh penulis paling segar dan konsisten dengan naskah-naskah baru dan tidak pernah sunyi dengan kemenangan dalam pertandingan.Maka dengan roh yang kuat, saya mencadangkan buat pertama kali..kerajaan perlu menganugerahkan SASTERAWAN NEGARA kepada yang telah tiada..kepada beliau, Allahyarham Azizi Hj. Abdullah A.M.N kerana saya penuh yakin, khazanah sastera peninggalan beliau akan terus subur segar..akan terus diperkata.Aameeeen!

    ReplyDelete
  4. Salam, Encik Amri,
    Saya bersetuju dengan saranan itu. Badan-badan tertentu perlu mencadangkannya.

    ReplyDelete