Terkejut juga saya apabila mendapat perkhabaran lewat FB Sdr
Meor Hashim Manap bahawa tokoh muzik, Dato’ Ibrahim Bachik, meninggal dunia
subuh tadi. Al-Fatihah.
Tokoh ini saya kenali namanya kerana beliau menjadi
penerbit rancangan orkestra di RTM pada tahun-tahun 1970-an dan saya
sering mengikuti rancangan itu lewat radio walaupun saya kurang gemar akan orkestra yang
pada pandangan saya banyak menggunakan alat tiupan itu. Walau bagaimanapun, saya suka akan lagu-lagu yang
dialunkan. Pada tempoh itu, sebenarnya saya sekeluarga lebih kenal akan nama Allahyarham
Salim Bachik yang kerap berlakon dalam drama radio. Wajah Allahyarham Salim
Bachik yang manis itu juga, rasanya, lebih sering muncul di akhbar berbanding dengan Allahyarham Dato’ Ibrahim Bachik.
Allahyarham Dato’ Ibrahim Bachik merupakan bekas
kakitangan RTM. Beliau memulakan kerjayanya di Radio Malaysia, Bahagian Melayu
di Rumah Persekutuan dan kemudiannya menjadi juruhebah RTM di Angkasapuri. Beliau
juga turut terlibat dalam penciptaan lagu. Lagu-lagu ciptaannya pernah didendangkan
oleh Tan Sri SM Salim (“Tak Seindah Wajah”), Allahyarham Biduan Dato’ Ahmad
Jais (“Doa Ikhlas Mereda Tangisan” — sangat saya minati pada tahun 1970-an dahulu),
dan Allahyarhamah Biduanita Dato’ Rafeah Buang (“Kenangan di Rantau Abang”).
Allahyarham juga banyak menggubah lagu puisi. Beliaulah
yang bertanggungjawab menggubah puisi “Kekasih” karya Sasterawan/Seniman Negara
Dato’ Dr Usman Awang sebagai lagu. Demikian juga halnya dengan puisi “Melayu
Mudah Lupa” yang pernah dideklamasikan oleh YBhg Tun Dr. Mahathir Mohamad pada
awal alaf baharu dahulu.
Sebagai tokoh seni, beliau pernah menjadi Timbalan
Presiden PAPITA (Persatuan Penyanyi, Pemuzik, dan Penulis Lagu Tanah Air.) Lagu
gubahannya dalam filem “Bila Hati Telah Retak” telah memenangi kategori Lagu Tema
Berkesan dalam Festval Filem Malaysia ke-4 (1983).
Kini, insan seni yang pernah menghiburkan kita telah dijemput
oleh Allah, Khaliqnya, untuk menghadap-Nya. Marilah kita membacakan al-Fatihah
untuk Allahyarham dan marilah kita berdoa agar Allahyarham beroleh tempat di
dalam syurga bersama-sama dengan orang-orang yang beriman. Amin.
Takziah diucapkan kepada seluruh ahli keluarganya.
This comment has been removed by the author.
ReplyDeleteIzinkan saya berkongsi sedikit cerita tentang Allahyarham:
ReplyDeleteSemasa mendengar lagu2 dari Tan Sri SM Salim menerusi Youtube.. ternampak pula sebuah lagu dari M. Bakri "Kenang Daku Dalam Doamu" .. dengan itu, tiba-tiba pula saya terkenang akan arwah guru vocal saya "Dato Ibrahim Bachik", pensyarah di Univeristi Putera Malaysia (UPM). Ketika itu saya tengah belajar Ijazah Profesional, ACCA di Kuala Lumpur pada tahun 1998 (dulu gagal, tak habis, namun sekarang dah dapat ijazah tapi dalam jurusan IT).
Berbalik dengan arwah, dialah sebenarnya yang banyak mendorong saya untuk mempelajari lagu-lagu melayu.. walaupun ketika itu, niat saya hanyalah mahu mempelajari teknik nyanyian, contohnya yang saya pelajari sekarang. Inilah lagu yang pertama saya pelajari.
Sebelum saya menyanyi, saya pernah ckp, "Cikgu, lagu ini rendah dan boleh tak saya belajar lagu2 moden".. dia cakap, "Aziz, kalau nak jadi penyanyi yang bagus, kamu kena belajar dulu lagu-lagu melayu terutama sekali lagu2 P. Ramlee, lagu2nya memang rendah tapi boleh tak kamu bernyanyi dengan bagus? Penyanyi sekarang boleh menyanyi lagu yang bernada tinggi dgn baik tapi boleh tak penyanyi itu menguasai nada rendah dengan baik?"..
Saya juga pernah kena marah, arwah kata, "Inilah orang melayu, tidak pernah komited dengan apa yang dipelajari, macam mana orang melayu mahu maju?".. Kata2 dari arwah cikgu amat terkesan sehingga sekarang.. saya tahu arwah sudah meninggal sebab tahun lepas saya ada ternampak satu article di internet mengatakan dia telah meninggal dunia.
Selain menyanyi, arwah cikgu juga sempat mengajarkan bagaimana hendak membaca, mendengar nota-nota muzik dari lagu dan menuliskannya. Inilah juga yang saya pelajari sekarang di sekolah muzik. Mempelajari vocal bukan setakat belajar menyanyi, sepertimana yang kita saksikan di dalam rancangan realiti TV (Akademi Fantasia). Apa yang mereka pelajari adalah sesuatu yang "Basic", bukan sepenuhnya. Sebenarnya, banyak yang perlu dipelajari, apabila seseorang itu belajar vocal, tidak semestinya juga dia itu lebih hebat dari seorang penyanyi, semua ini terletak pada anugerah yang Allah telah berikan, saya belajar hanya untuk kepuasan diri dan teringin menjadi pengajar vocal selepas habis belajar.
Apa yang saya kesalkan, semasa saya pulang ke Brunei, saya terlupa untuk berjumpa dan memohon maaf dengan arwah cikgu. Walau bagaimanapun, saya berbangga kerana sempat berkenalan dan mendapat sedikit ilmu dari salah seorang tokoh muzik di Malaysia ini. Semua kenangan itu akan sentiasa terpahat di hati.
Doa saya untuk arwah cikgu, "semoga Allah sentiasa merahmati roh cikgu dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.. amin.."..
Allahumma Aamiin.
DeleteBertuah Tuan kerana dapat berguru dengan arwah.