Sunday, March 18, 2012

Kerenah dari Seberang: Jangan Panik

Kerana kita (sama ada isteri mahupun suami) mengejar material untuk memenuhi keperluan semasa — rumah, kereta, pakaian berjenama, berekreasi di padang-padang golf dan spa, dsb — maka keperluan mentadbir rumah tangga sebahagian besarnya kita serahkan kepada pihak lain. Pihak lain yang dimaksudkan itu tidak lain tidak bukan ialah pembantu rumah tangga/amah selain pihak taska atau taski sendiri.
 
Pihak pembantu rumah tangga itu, jika dalam tahun-tahun 1960-an, sumber tenaganya masih diperoleh daripada sumber tempatan. Di kampung saya, arwah Penghulu Tajuddin yang saya dan adik kedua saya panggil sebagai Tok Encik itu, memiliki beberapa orang pembantu rumah — tukang kebun, tukang masak, drebar, dll — semuanya orang tempatan dan saya kira daripada kalangan kaum keluarganya jua.

Bapa saudara saya beberapa kali menukar pembantu rumah tangganya — kesemuanya daripada rakyat tempatan — Johor, Pahang, dll. Bos saya di Jabatan Umum semasa di PFB dahulu, mempunyai seorang pembantu rumah tangga rakyat tempatan yang berkhidmat dengannya melebihi tujuh tahun. Hal ini berlaku demikian kerana bapa pembantu rumahnya tidak suka anaknya bekerja di kilang.

Hal seperti itu tidak mungkin berlaku lagi sekarang ini. “Keberuntungan” bos saya itu hampir-hampir tidak mungkin dapat dinikmati oleh orang pada masa ini kerana walaupun mungkin ada ibu bapa yang tidak suka anak-anaknya bekerja di kilang, namun kebanyakan anak hari ini bukan daripada jenis yang mahu mendengar kata. Lagipun, anak-anak kini banyak yang berpendidikan tinggi. Tidak mungkin menjadi amah sesuai untuk mereka.

Kerana semua sebab yang dinyatakan itu, rakyat di negara ini mengalihkan tumpuan ke negara lain untuk mendapatkan sumber tenaga pembantu rumah tangga. Yang paling banyak menjadi pilihan mereka ialah manusia-manusia dari negara yang bersebelahan dengan negara ini — Indonesia, Filipina, dan Thailand. Negara-negara itu memiliki sumber tenaga pembantu rumah tangga yang banyak kerana tidak mampu untuk menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi kepada rakyatnya.

Pembantu rumah tangga Indonesia memang digemari oleh rakyat negara ini. Walaupun ada kalangan mereka yang tidak amanah — mencuri, melarikan anak majikan, malas, dsb (jumlahnya relatif kecil) — mereka tetap menjadi pilihan. Hal ini berlaku demikian mungkin kerana kebudayaan mereka (khususnya bahasa dan agama) yang sama dengan rakyat negara ini yang memerlukan khidmat mereka.

Kerana permintaan yang tinggi terhadap khidmat mereka, pihak yang membekalkan sumber tenaga itu — Indonesia, khususnya, mula bermain tarik tali. Awalnya bekalan sumber dibekukan (atas alasan penderaan wewenang yang dilakukan kepada pembantu rumah tangga rakyat mereka   itu pun jumlahnya relatifnya kecil). Susulan pembekuan itu, perbincangan demi perbincangan dibuat hingga ke peringkat tertinggi (pemimpin kedua-dua buah negara). Khabarnya, keputusan dan persetujuan telah diperoleh daripada perbincangan mereka di Lombok dahulu.

Tup-tup, ada saranan daripada pihak Indonesia yang kaya dengan sumber pembantu rumah tangga itu — bahawa mesti ada pengkhususan tugas, iaitu menjaga anak lain upahnya, masak-memasak lain upahnya, menjaga orang tua lain upahnya, dan mengemas rumah juga lain upahnya. Upah yang ditetapkan oleh pihak Indonesia untuk setiap tugas khusus itu ialah RM700.00 setiap satu. Berapakah jumlah upah bulanan yang diperoleh mereka kalau mereka dikehendaki untuk melakukan tiga jenis pekerjaan?

YAB PM khabarnya terkejut dan hairan. (Mungkin selepas ini beliau berfikir bahawa BR1M pada masa hadapan perlu diluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan RM5000.00 juga kerana saranan dari seberang itu bakal membebankan rakyat yang laki bini terpaksa memerah keringat membangunkan negara. Tidak adil kalau rakyat yang hanya berpendapatan di bawah RM3000.00 sahaja yang beroleh bantuan itu.)

Kita tidak perlu panik sebenarnya. Seperti yang disarankan oleh teman-teman dan saudara-mara saya serta teman penulis yang telah lama menyedari kerenah dari seberang itu, kita tidak boleh lagi terlalu berihsan terhadap mereka. Dalam erti kata lain, kita perlu berkira dan bukan bermurah hati lagi seperti dahulu. Kata mereka, kalau dulu kita banyak memberi mereka secara percuma, kini segala-galanya perlu dikenakan bayaran.

Pembantu rumah tangga yang tinggal bersama-sama di rumah kita perlu dikenakan semua caj — sewa bilik, penggunaan elektrik dan air, makan minum, dsb. Caj itu hendaklah mengikut caj semasa, bukan caj belas ihsan. Jika caj sewa bilik di kawasan kita ialah RM300.00, misalnya, caj itulah yang harus dikenakan kepada mereka. Begitu juga caj untuk penggunaan elektrik dan air. Menonton TV juga harus dicaj, kata mereka. Jika mereka ditugaskan untuk memasak dan berlaku pembaziran, yang terbazir itu juga harus dicaj.

Sampai begitu sekali mereka memberikan saranan dan rasanya saranan itu tidak salah (walaupun saya sendiri tidak sampai hati untuk melakukannya demikian). Walau bagaimanapun, kerana mereka terlalu memikirkan wang, kita juga harus berfikir tentang hal yang sama. Atau jika kita bersedia, janganlah gunakan khidmat pembantu rumah tangga. Berkorbanlah. Biarkan seorang sahaja yang bekerja — suami. Isteri jaga rumah tangga!

No comments:

Post a Comment