Thursday, March 8, 2012

Banjir Kilat Landa Lembah Klang: Peringatan Allah dalam Surah ar-Rum Tidak Ditakuti

Kasihan orang/penduduk KL, lebih tepatnya Lembah Klang, hujan yang turun terus-menerus selama tujuh jam semalam telah menyebabkan berlakunya kejadian banjir kilat dan banjir besar selain tanah runtuh dan pokok tumbang yang telah menjejaskan kehidupan mereka. Orang/penduduk Lembah Klang yang paling terjejas ialah yang tinggal di Kampung Lembah Jaya Utara dan Kampung Pinggir Tiga (di sekitar Bukit Belacan, Ampang). Mereka terpaksa dipindahkan kerana banjir besar yang berpunca daripada limpahan air Sungai Klang telah melanda kampung mereka.

Orang/penduduk di Hulu Langat seperti di Dusun Tua juga tidak terkecuali. Mereka telah terputus hubungan sehingga ada yang terpaksa menyelamatkan diri di bumbung rumah kerana paras air terlalu tinggi. Di Brickfields (di Kampung Attap), seorang remaja lelaki berusia 13 tahun meninggal dunia sebagai akibat tanah runtuh yang berlaku di belakang rumahnya. Banjir kilat turut melanda Jalan Peel, Kampung Baru, Keramat Luar, Bangsar, Jalan Syed Putra serta Kampung Melayu di Subang. Kesesakan yang berlaku di jalan raya semalam sangat teruk.

Mujurlah saya sempat keluar dari kota raya Kuala Lumpur sekitar jam 5.30 petang semalam untuk pergi ke Bandar Baru Ampang (bermalam di rumah adik ipar). Jikalau terlewat, entah berapa lamalah saya akan disajikan jem tanpa roti. Sekitar jam 9:30 malam, kebetulan saya berada berhampiran Bukit Belacan untuk makan malam. Semasa makan, bunyi siren kecemasan bersilih ganti — siren pihak Bomba dan Penyelamat, polis, dan ambulans. Saya menduga bahawa telah berlaku kejadian tanah runtuh di situ, tetapi yang lain mengatakan banjir kilat. Mereka betul.

Jumlah orang/penduduk yang mengalami kerugian harta benda daripada kejadian hujan tujuh jam itu pula bukan sedikit. Ada yang kenderaan mereka ditenggelami air, ada pula yang perkakas rumah mereka ditenggelami air, tetapi yang paling mengejutkan, ada orang yang kehilangan rumah kerana rumah mereka dihanyutkan air (di sekitar Bukit Belacan). Bagaimanakah rupa rumah itu hingga mampu dibawa oleh air — rumah batukah atau rumah papan? Marilah kita berdoa agar mereka yang terlibat diberi kekuatan semangat dan iman untuk mendepani musibah itu.

Terowong SMART yang belanja pembinaannya mencapai RM1.9 bilion itu masih tidak dapat membantu untuk mengatasi masalah banjir kilat di KL sepenuhnya. Hujan untuk tempoh tujuh jam ternyata menjadi beban kepada SMART untuk melencongkan air dalam isi padu yang banyak. Walau bagaimanapun, kita harus bersetuju bahawa tanpa kewujudan terowong itu, banjir yang menimpa kota raya Kuala Lumpur semalam dan beberapa siri kejadian banjir kilat sejak terowong itu mula beroperasi pada Januari 2007 dahulu pasti sangat buruk dan lebih menyusahkan penduduk kota itu.

Jadi, apakah alternatif kita? Banyak pihak yang berkata bahawa kaedah paling ampuh untuk mengatasi masalah/musibah ini adalah dengan cara mengekalkan kewujudan kawasan hutan (walaupun kelihatan sudah terlambat). Bagaimanakah rupa Bukit Belacan (Kampung Lembah Jaya Utara, misalnya) 15-20 tahun yang lalu berbanding dengan rupanya sekarang? Hutan batu (rumah teres dan rumah pangsa) telah mengambil alih hutan pokok di situ dan natijah daripada keadaan itu antaranya adalah seperti yang berlaku semalam — berlakunya banjir besar di situ.

Semua orang yang terlibat dalam hal pembangunan dan petempatan serta sungai dan perparitan elok “memotong jari” masing-masing supaya mereka tidak saling menuding jari. Orang awam juga patut “memotong jari” masing-masing supaya mereka tidak boleh menuding jari kepada pihak berkuasa kerana yang dilakukan oleh pihak berkuasa — membina kediaman, pusat komersial, jalan raya, dll — merupakan suatu keperluan. Jadi, kita sedang berkrisis sebenarnya, sama ada hendak mengekalkan kewujudan hutan atau memenuhi keperluan penduduk (manusia).

Selagi wang dan kemajuan material yang dihambat, selagi ada dalam diri manusia perasaan tidak cukup dan tidak puas hati, atau lebih tepatnya selagi ada manusia menghuni bumi ini, krisis ini tidak akan bernoktah. Manusia, dengan akal yang condong untuk mengaitkan kemajuan dengan ketamadunan biasanya cenderung untuk memusnahkan diri mereka sendiri dan alam yang dipinjamkan oleh Allah SWT kepada mereka. Hal ini telah ditegaskan oleh Allah SWT dalam al-Quranul Karim menerusi firman-Nya dalam surah al-Rum, ayat 41, maksudnya:

“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa-apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang telah dilakukan oleh mereka, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Adakah mereka bertaubat? 

2 comments:

  1. Assalamualaikum Sdr Zul,

    Takziah kepada mereka yang ditimpa musibah seperti yang dicatat. Dalam kita merancang dengan tersusun supaya air sungai tidak melimpah setelah air yang mengalir melalui laluan yang selalunya ditapis dan diserap oleh akar-akar pokok dan kayu supaya air hujan tadi tidak melimpah menjadi banjir tetapi dimusnahkan oleh pembangunan dek keperluan asas iaitu perumahan.
    Saya bertanya kepada diri sendiri, pernahkah saya dan kita semua berdoa seperti yang Rasullah S.A.W lakukan apabila hujan akan turun atau sudah turun? Bila Sdra nukilkan diatas baharu terdetik dihati saya rupanya selama ini boleh dibilang jari saya berbuat demikian. Alangkah baiknya kita semua Muslim berdoa seperti yang diajarkan Rasullah S.A.W. disamping kita membuat persediaan rapi dalam menghadapi banjir yang berpunca dari kita sendiri.

    اَللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا

    “Ya Allah, jadikanlah hujan ini hujan yang membawa manfaat.” (H.R. Al-Bukhary)

    للَّهُمَّ حَوْلَنَا وَلَا عَلَيْنَا اللَّهُمَّ عَلَى الْآكَامِ وَالظِّرَابِ وَبُطُونِ الْأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ

    "Wahai Tuhanku! Turunkanlah hujan di sekitar kami dan janganlah musnahkan kami. Ya Allah! Engkau turunkanlah ia di atas gunung-gunung dan bukit-bukau, di lembah-lembah dan tempat tumbuhnya pokok-pokok.” (H.R. Bukhari-Muslim)

    ReplyDelete
  2. Salam, Sdra Abd. Rahman,
    Doa ialah senjata umat Islam paling ampuh. Mustajabkah doa kita? Kembalikannya kepada Penerima doa. Jika doa tidak makbul, tentulah ada hikmahnya. Hikmah paling besar apabila doa tidak mustajab ialah peluang untuk memuhasabah diri.

    Terima kasih kerana meitipkan doa-doa itu. Besar gunanya, insya-Allah.

    ReplyDelete