Monday, December 14, 2009

Sekadar Mengingatkan Orang tentang Bahasa

Saya rasa banyak antara kita yang biasa menemukan dan membaca kertas-kertas iklan yang ditampal pada tiang-tiang dan dinding oleh “pengeluar-pengeluar” ubat-ubatan, khususnya yang berkaitan dengan ubat tenaga batin. Malah, iklan yang sama dapat anda temukan dalam blog-blog tertentu (Internet). Pada iklan itu disertakan perincian tertentu termasuk nama pengedar, nombor telefon yang boleh dihubungi oleh sesiapa yang berhajat untuk mendapatkan ubat-ubatan tersebut, dan sebagainya.

Saya memang tidak tertarik untuk membelinya, apatah lagi untuk menghafal nombor telefon yang tertera itu. Yang menjadi tarikan saya ialah isu yang diiklankan, iaitu UBAT KUAT LELAKI. Sebagai orang yang sangat mementingkan bahasa, ada sedikit gangguan di minda saya untuk memahami ubat itu.

Adakah ubat itu untuk menjadikan lelaki kuat atau perkasa? Kalau demikian, para petani, nelayan, buruh, dan lelaki yang melakukan kerja keras perlu mencuba ubat itu. Isteri saya, tatkala hal ini saya bicarakan dengannya, secara bergurau berkata bahawa ubat kuat lelaki ialah wanita! Saya tersenyum.

Sebenarnya, saya rasa, para “pengeluar ubat” itu mengiklankan sejenis ubat yang bukan bermatlamat untuk menjadikan lelaki kuat seperti Badang atau Samson tetapi untuk memantapkan dan menguatkan kelelakian atau kejantanan para lelaki dalam hal yang berkaitan dengan hubungan seks. Jika pandangan saya ini betul, bermakna ungkapan UBAT KUAT LELAKI itu salah! Yang betul dan benar ialah UBAT KUAT KELELAKIAN (maksudnya ubat untuk menguatkan kelelakian bukan ubat untuk menguatkan lelaki!)

Kalau ungkapan itu digunakan, barulah dapat dihuraikan dengan rinci dan lanjut perihal ubat itu. Misalnya, untuk memulakannya, bolehlah dimulakan dengan kalimat seperti “Anda menghadapi masalah di ranjang? Sekarang tidak lagi kerana kelelakian anda akan kembali pulih dengan ubat ini... dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, berhati-hatilah dengan ubat-ubat ini kerana jika tidak berhati-hati, yang sudah sedia kuat dan mantap akan menjadi sebaliknya manakala yang kurang umph akan menjadi bertambah parah.

Thursday, December 10, 2009

Cerita dalam Berita: Keberanian dan Kewarasan

Satu sumber daripada blogger kita, Albanjari Online (politikbanjar.blogspot.com) yang bersumberkan pula daripada Warta Sungai Rapat (wartasgrapat.blogspot.com dengan tagline “Informasi Sahih Komuniti Anda”) memerihalkan suatu berita yang dalam dunia politik Malaysia, tidaklah mengejutkan sangat. Lain halnya dengan orang-orang yang beriman, hal seperti ini sangat menakutkan!

Menurut sumber-sumber itu, seorang pemandu pemimpin kanan negeri telah ditahan oleh pihak berkuasa agama negeri tatkala dia sedang meneguk arak di sebuah pub bersama-sama dengan rakannya. Sebagai pihak yang diamanahkan dengan kuasa untuk menegakkan yang maaruf dan meruntuhkan yang mungkar, pegawai agama yang bertugas telah membawa pemandu dan rakan-rakannya itu ke pejabat untuk diambil keterangan. Walau bagaimanapun, tiada dakwaan dibuat terhadap pemandu itu disebabkan oleh campur tangan “pihak tertentu”. Maka, bebaslah pemandu itu.

Berdasarkan berita itu (jika sahih), ada tiga bentuk kesongsangan yang dilakukan oleh umat Islam dalam berita itu. Pertama, meneguk arak. Kedua, penyalahgunaan kuasa oleh pihak yang lebih berkuasa yang mengarahkan pembebasan pesalah itu. Ketiga, keakuran pihak berkuasa agama negeri terhadap “arahan” yang jelas menyalahi Islam. Sama-samalah kita berdoa agar kita tidak tergolong dalam golongan yang sedemikian.

Yang lebih menarik ialah, adakah pemimpin kanan terbabit sedar/tahu bahawa pemandunya itu “kaki botol”? Jika pemimpin kanan itu tahu atau telah diberitahu akan hal itu, dan beliau tidak mengambil tindakan, beliau – pada pandangan saya – menghampiri sifat tidak waras. Mengambil pemandu yang “kaki botol” sebagai pemandu mendedahkan dirinya kepada pelbagai risiko. Dengan kata yang lebih mudah, perbuatan itu mengancam keselamatan/nyawanya sendiri. Malah, kalau tenaga pemandu itu digunakan untuk orang lain juga, misalnya untuk ahli keluarganya sendiri, pemimpin kanan itu turut mengancam keselamatan dan nyawa ahli keluarganya sendiri!

Saya teringat akan suatu cerita. Seorang pengurus syarikat hendak berangkat ke luar negara atas urusan perniagaan. Tetapi, sebelum berangkat, beliau telah ditemui oleh pengawal keselamatan (jaga) syarikatnya.

“Saya rasa Tuan tidak usah pergi ke pertemuan itu,” kata pengawal keselamatan itu.

“Mengapa pula?” soal pengurus itu dengan rasa hairan kerana beliau berpendapat tugas menasihati bukan tugas seorang pengawal keselamatan! Beliau meneliti wajah pengawal keselamatan itu; dilihatnya pengawal keselamatan itu begitu bersungguh-sungguh.

“Malam tadi saya telah bermimpi bahawa kapal terbang yang Tuan naiki telah terhempas dan semua penumpangnya maut,” kata pengawal keselamatan itu. Ada riak cemas pada wajah pengawal keselamatan itu.

Perkhabaran yang disampaikan oleh pengawal keselamatan itu telah menyebabkan pengurus itu terkejut. Walaupun tidak meyakini mimpi, tetapi apabila memikirkan kesungguhan pengawal keselamatan itu menemuinya untuk menceritakan hal itu, beliau membatalkan pemergiannya. Ternyata mimpi itu benar – kapal terbang yang sepatutnya dinaikinya telah terhempas. Beliau terselamat oleh mimpi yang mendatangi tidur pengawal keselamatannya, begitulah yang difikirkannya (hakikatnya, ajal maut di tangan Allah SWT).

Keesokannya, pengurus itu menulis sepucuk surat penghargaan, memberikan sedikit wang kepada pengawal keselamatan itu di samping memberinya surat pemecatan dan wang ganti rugi. Hal ini tentulah menghairankan pengawal keselamatan itu.

Apabila pengawal keselamatan itu bertanya “Mengapakah saya Tuan pecat sedangkan saya telah menyelamatkan Tuan melalui mimpi saya?”, pengurus itu berkata, “Pada setiap malam, kamu saya bayar gaji untuk mengawal syarikat ini, bukan untuk tidur!”

Kita berharap agar seorang pemimpin mempunyai pemikiran yang seperti ini. Kita juga berharap agar seorang pemimpin membiarkan orang yang bersalah menerima hukumannya, bukan membebaskannya. Kita juga berharap agar orang yang mempunyai kuasa dalam hal-hal agama mendahulukan “arahan” agamanya bukan arahan manusia walaupun manusia itu seorang Sultan.

Wednesday, December 9, 2009

Antara Husnuzan dengan Amanah: Tanggungjawab Kita Yang Mana Satu?

Cerita ini terbebar ke serata pelosok kampung di negara ini. Seorang anak saudara telah pergi ke Mahkamah Tinggi Syariah untuk mendapatkan perintah interim (sementara) terhadap bapa saudaranya (perintah interim itu berjaya diperolehnya) supaya semua harta bapanya, sama ada yang boleh dipindahkan ataupun yang tidak boleh dipindahkan, dibekukan (sementara) sehinggalah keputusan mahkamah dibuat. Si anak saudara juga telah berjaya mendapat perintah injunksi untuk menghalang bapa saudaranya memindahkan atau melucutkan harta-harta (yang dituntutnya).

Si anak saudara itu bernama Jeffri bin Jaffar manakala si bapa saudara bernama Ahmad Dedol. Harta yang menjadi perebutan itu milik Allahyarham Tan Sri Dato’ Jaffar bin Abdul, ayahanda Jeffri Jaffar dan kakanda Ahmad Dedol. Allahyarham Tan Sri Dato’ Jaffar meninggal dunia pada 1 September 2009 lalu (Al-Fatihah).

Allahyarham Tan Sri Jaffar Abdul

(Sumber gambar: The Malay Mail)

Berapakah jumlah harta yang menjadi “perebutan” itu? RM47. Oh, terlupa untuk meletakkan kata “juta” di hujung RM47 angka itu! Nilai harta yang direbutkan itu ialah RM47 juta! RM47.3 juta, lebih tepatnya.

Mungkin ada yang terbelalak biji mata atau kering tekak apabila melihat angka itu. Tetapi, itulah angka yang dilaporkan oleh pihak akhbar. Di blog-blog, ada nada yang seolah-olah mempertikaikan bagaimanakah tokoh yang bernama Tan Sri Jaffar itu beroleh harta kekayaan sebanyak itu?

Allahyarham ialah mantan Timbalan Ketua Polis Negara. Selepas menamatkan perkhidmatan dalam lapangan kepolisan, banyak organisasi/syarikat yang menagih khidmatnya, khususnya sebagai pengerusi/ahli lembaga pengarah syarikat. Antara syarikat/organisasi yang menagih khidmatnya itu termasuklah Cosway Corporation Berhad, Dutaland Berhad, Yinson Holdings Berhad, Olympia Industries Berhad, Silverstone Corporation Berhad, Parkson Holdings Berhad, dan beberapa buah organisasi/syarikat lain. (Allahyarham tentulah diberi sejumlah imbuhan tertentu semasa menjadi Pengerusi/Ahli Lembaga Pengarah syarikat/organisasi tersebut.)

Dengan imbuhan yang diperoleh daripada khidmat baktinya itu, Allahyarham telah berjaya menumpukkan sekian banyak harta. Antara harta yang telah berjaya ditumpukkannya termasuklah hartanah yang bernilai RM9.7 juta di Muar (nilai sekarang. Semasa dia membelinya hartanah itu, barangkali harganya semurah RM100 000); simpanan di Tabung Haji yang berjumlah RM3.8 juta (mungkin setelah bertahun-tahun menyimpannya dan bertambah oleh dividen tahunan yang diperolehnya); pelaburan dalam Amanah Saham Wawasan yang bernilai RM6.5 juta; pelaburan dalam Amanah Saham Didik dengan nilai RM1.3 juta; simpanan tetap dalam Bank Rakyat yang bernilai RM2 juta; dan tiga simpanan tetap yang bernilai RM1 juta setiap satu di BSN. (Semuanya main juta-juta!)

Dikhabarkan, pada hujung bulan Oktober lalu, Ahmad Dedol, telah memperoleh surat kuasa daripada pihak Mahkamah Tinggi di Muar untuk mengurus harta Allahyarham. Beliau diamanahkan untuk mengenal pasti harta Allahyarham, menyelesaikan hutang-piutang Allahyarham, serta membahagi-bahagikan harta Allahyarham mengikut undang-undang Islam. Dalam hal ini, kita tidak ada apa-apa kepentingan untuk memihak. Hal keluarga haruslah diselesaikan oleh mereka.

Cuma, tentang Allahyarham Tan Sri Dato’ Jaffar ini, saya suka menyarankan pembaca supaya kita sama-sama berhusnuzzan terhadapnya walaupun dalam beberapa hal, ada antara syarikat/organisasi yang menjadi tempat Allahyarham berkhidmat itu menimbulkan kesangsian kita (daripada aspek agama kita, wallahu a‘lam).

Atau, kalau ada keperluan dan keberanian, laporkanlah hal kekayaan Allahyarham itu kepada pihak-pihak tertentu supaya satu siasatan dapat dilakukan. Bakal Ketua Pesuruhjaya SPRM bagaimana?

Monday, December 7, 2009

Janganlah Menunggu Musibah Baru Hendak Menegakkan Islam

Alangkah menariknya suasana ini jika dipraktikkan oleh pihak berkuasa agama di negara kita yang beragamarasmikan Islam ini. Para penguatkuasa agama Islam, dengan rendah hati, ikhlas, dan tawaduk mendekati pelaku-pelaku maksiat lalu mentarbiahi, mengkuliahi, dan mendakwahi mereka, dengan matlamat membetulkan aqidah pelaku-pelaku maksiat ini. Alangkah menariknya, untuk membolehkan para penguatkuasa agama Islam menjalankan tanggungjawab Islamnya, sang penguasa memperlihatkan ketawadukan luar biasa dengan memberikan dukungan dua ratus peratus supaya si penguat kuasa melaksanakan syariat Islam dengan sebenar-benarnya.

Tetapi, pemandangan ini tidak kelihatan di negara yang beragamarasmikan Islam ini. Masing-masing penguatkuasa memiliki kuasa yang berbeza. Polis had kuasanya khusus untuk juzuk-juzuk tertentu sahaj. JPJ tanggungjawabnya lebih kecil. Inspektor kesihatan lagi kecil kuasanya. Pegawai penguat kuasa agama hanya menguatkuasakan agama (tetapi agama Islam di negara ini tidak pernah menjadi kuat di tangan mereka).

Kita menjadi hairan kerana kuasa yang ditetapkan kepada semua penguat kuasa yang saya contohkan itu diasingkan daripada Islam. Tidak bolehkah polis yang besar kuasanya daripada penguat kuasa yang lain menjalankan tugas-tugas tarbiah dan dakwah semasa menahan mana-mana “pesalah”. Atau, pihak penguat kuasa JPJ, dengan pengetahuan Islam yang kuat dan mantap, mentarbiahi pemandu yang memandu secara sembrono dengan nas-nas dan peringatan yang mantap.

Begitulah, alangkah cantiknya keadaan itu jika dapat direalisasikan. Tetapi, kelihatannya keadaan itu akan menyebabkan orang yang mengimpikannya “mati celik” kerana hal itu hampir-hampir tidak mungkin dapat direalisasikan. Semuanya kerana kuasa menegakkan Islam dipisah-pisahkan daripada instutusi penguatkuasaan dan ditambah pula individu penguat kuasa itu sendiri tidak kuasa untuk menjadikan Islam sebagai cara mendidik pesalah laku.

Sedang di Aceh, mulai 1 Disember, rakyatnya yang “bersalah”, misalnya kerana tidak berpakaian seperti yang disyariatkan, sudah mula dikuliahi dengan tuntutan Islam, di samping diperjelas perihal peraturan pakaian mengikut Islam berdasarkan pelaksanaan Peraturan Daerah atau Kanun mengenai syariat Islam. Kuasa pelaksanaan telah diberikan kepada pemerintah daerah yang dengan itu, mereka berkuasa untuk mengenakan tuduhan jenayah kepada kesalahan-kesalahan yang berkait dengan meminum minuman keras, berjudi, berzina, dan mencuri.

Aceh, yang pada kurun ke-15 dan beberapa kurun kemudiannya dikenal dengan julukan “Serambi Mekah”, mungkin akan mendapat julukan yang telah lama hilang itu semula. Apabila undang-undang itu dilaksanakan secara tegas, Aceh bakal menjadi wilayah contoh di Indonesia dan mungkin juga di seluruh rantau Asia Tenggara.

Pelaksanaan ini barangkali ada kaitannya dengan kejadian Tsunami 2004 yang melanda wilayah itu sehingga mengorbankan ratusan ribu nyawa. Tsunami 2004 telah menjadikan para agamawan di wilayah itu lantang mengecam pemerintah Aceh yang tidak menguatkuasakan undang-undang syariah. Mereka yakin bahawa musibah yang didatangkan oleh Allah SWT dengan nama Tsunami itu merupakan pembalasan-Nya. Dengan kata lain, kejadian Tsunami 2004 berkait rapat dengan pengabaian penguatkuasaan syariat Islam oleh pemerintah wilayah Aceh.

Tampaknya, jika kita mengidami suasana yang sudah dimulai di Aceh itu turut dipraktikkan di negara kita, kita juga perlu “menanti” kedatangan musibah yang serupa (Na‘uzubi-Lahi min zalik).

Tetapi, pada hemat saya, kepada semua orang yang “melupakan” syariat Islam di negara ini, marilah kita bermula dengan menguatkuasakan syariat tersebut dalam lingkungan yang kecil dahulu – diri dan keluarga kita.
Janganlah dibiarkan lupa melupakan Islam dari dalam batang tubuh dan jiwa kita.

Patriotik Itu Terzahir Juga Melalui Sokongan

Kalau anda menonton perlawanan akhir badminton Super Series Masters Dunia 2009 yang berlangsung di Stadium Tertutup Johor Bahru semalam, sedikit banyak anda pasti teruja. Saya (sekadar menonton di TV), sebelum kelima-lima perlawanan berlangsung, memang berasa teruja kerana negara kita mempunyai tiga wakil dalam perlawanan akhir. Wong Mew Choo bermain dalam perseorangan wanita, Wong Pei Tye dan Chin Ee Hui dalam beregu wanita, dan Lee Chong Wei dalam perseorangan lelaki. Selepas Wong Mew Choo menang sehingga seterunya, Julianne Schenk (Jerman) sesak dada, kebanggaan itu meluap-luap. Begitu juga selepas gandingan Wong Pei Tye-Chin Ee Hui membenam cabaran pasangan Denmark dan disusuli dengan kemenangan Chong Wei ke atas Park Sung Hwan (Korea).

Sebenarnya, saya lebih tertarik semasa menonton perlawanan akhir beregu campuran antara pasangan Denmark (Christinna Pedersen-Joachim Fischer) yang menentang pasangan India (Jwala Gutta-Diju Valiyaveetil). Permainannya biasa sahaja tetapi aksi selepas perlawananlah yang menariknya. Selepas memenangi perlawanan akhir itu, Christinna Pedersen melemparkan raketnya kepada penonton (sama ada Joachim melakukan hal yang sama atau tidak, tidaklah diketahui kerana jurukamera tidak memfokuskan aksinya tentang perlakuan sedemikian). Penonton gembira bukan kepalang menerima hadiah seperti itu. Christinna kemudiannya berkelakar, seperti hendak membuka bajunya untuk dilemparkan kepada penonton (mujur dia tidak melakukanya).

Jung Jae Sung dan Christinna Pedersen
Kemudian, perlawanan yang menarik perhatian saya ialah perlawanan beregu lelaki yang melibatkan pasangan Korea (Lee Yong-dae-Jung Jae Sung) yang menentang pasangan Denmark (Carsten Megensen-Mathias Boe). Selepas perlawanan, seperti Christinna, Jung Jae Sung turut menghadiahkan raket yang membolehkannya memenangi perlawanan itu kepada penonton. Lebar senyuman penonton yang menerima buah tangan Jae Sung itu.

Saya menonton semua aksi akhir itu, khususnya yang melibatkan pemain Malaysia. Saya gembira kerana seperti yang saya katakan, semua pemain Malaysia menang dalam perlawanan masing-masing. Syabas dan tahniah! Tetapi, tidak seperti Christinna Pedersen dan Jung Jae Sung, tidak ada seorang pun pemain Malaysia yang menghadiahkan raket kepada penonton bagi menghargai sokongan penonton yang tidak berbelah bahagi kepada mereka sepanjang kejohanan itu berlangsung. Tampaknya, pemain asing lebih menghargai penonton dan penyokong di negara ini berbanding dengan pemain negara ini.

Tidak mengapalah orang Johor, lain kali kita sokonglah pemain Denmark dan pemain Korea pula! Tak kan kita sahaja yang perlu patriotik.

Thursday, December 3, 2009

Memahami Slogan Negara

Menjadi bercelaru pandangan saya terhadap kerajaan yang memerintah negara sekarang ini. Slogan yang muluk-muluk yang lahir daripada kepala pemimpin-pemimpin tampaknya hanyalah retorik-retorik yang sifatnya cantik pada sebutan, hodoh pada amalan. Dulu ada slogan “Kepimpinan Melalui Teladan (KMT)”, “Bersih, Cekap, Amanah (BCA)”, dan “Cemerlang, Gemilang, Terbilang (CGT)” dan kini ada yang lebih menarik – “1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” (1MRDPD).

Tentang KMT itu, falsafahnya baik tetapi penghayatan dan amalannya tidak perlulah kita gembar-gemburkan lagi kerana hampir tidak ada pemimpin yang dapat dijadikan teladan. BCA lagilah hampeh. Yang tidak bersih, yang tidak cekap, yang tidak amanah sama banyak dengan yang bersih, cekap, dan amanah (kalau kurang pun, sikit saja nisbahnya; entah-entah lebih!). Kalau tidak, tak kanlah indeks rasuah negara ini sampai mengaibkan negara dan rakyatnya. Tentang CGT, pembaca nilailah sendiri! Pada saya, slogan inilah yang paling kabur kejayaannya.

Sekarang 1MRDPD. Tampaknya, melalui slogan ini, yang didahulukan kepada rakyat ialah BEBAN. Subsidi petrol akan dikaji (akan dimasuhkan?) dan khabarnya akan diberikan kepada golongan yang layak sahaja. Walhal, tahun lalu (November 2008), semasa harga minyak mentah jatuh sehingga AS$55.00 setong, petrol RON97 tetap dijual pada harga RM2.00 sedangkan menurut Menterinya pada waktu itu, harga kos bagi petrol itu ialah RM1.61! Kita, semua pengguna, membayar 39 sen melebihi harga yang sebenarnya (tetapi Menteri Kewangan pada waktu itu menyatakan kerajaan membayar subsidi 30 sen pada bahan ini).

Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan khabarnya akan membincangkan cadangan untuk mengurangkan atau menghapuskan subsidi gula pada peringkat kabinet tidak lama lagi. Sebabnya, peruntukan tahunan untuk mensubsidikan gula bagi keperluan rakyat sangat tinggi – RM720 juta, kata beliau! Selain itu, pemansuhan itu juga perlu bagi “melahirkan rakyat sihat” (anda pergilah ke Tukar Tiub, baca posting CARA RAKYAT DITIPU).

Dan sekarang, hal yang tidak kurang sensitifnya kepada rakyat akan dilaksanakan pula, iaitu Kementerian Pelajaran Malaysia akan mengenakan bayaran tambahan kepada pelajar bagi sesi persekolahan tahun 2010. Menurut Ketua Pengarah Pelajaran, bayaran tambahan itu akan digunakan untuk faedah para pelajar – untuk menampung hal ehwal pentadbiran sekolah dan penambahbaikan beberapa kemudahan yang disediakan. Dikatakan juga bahawa yuran itu nanti akan digunakan sebagai insurans untuk menjayakan aktiviti kurikulum pelajar sepanjang sesi persekolahan. Dan kenyataan yang paling menarik daripada beliau ialah “Bayaran tersebut tidak akan membebankan ibu bapa dan para pelajar”.

Orang yang seperti ini, yang hampir semua aktiviti dan belanjanya dibiaya kerajaan melalui elaun dan pelbagai tuntutan – perbatuan, petrol, parkir, penginapan, dll – tahukah mereka erti beban yang sebenarnya?

[Tiga hal di atas hanyalah sebahagian kecil daripada pelbagai “rancangan” kerajaan untuk membebani rakyat yang sebahagiannya telah dan akan dilaksanakan manakala hanya sebahagian kecil sahaja yang dibatalkan.]

Tuesday, December 1, 2009

Jangan Diremehkan "Amaran" Allah

Banyak orang yang memperkatakan perihal siri gegaran “kecil” yang melanda Kuala Pilah pada hari Ahad dan Isnin lepas. Pihak Jabatan Meteorologi melaporkan gegaran itu berukuran sekitar 3.0 skala Richter. Gegaran yang berpusat di 22 km timur Seremban itu dikategorikan oleh pihak Jabatan Meteorologi sebagai “lemah” dan dengan demikian tidaklah perlu dibimbangi.

Saya tidak berani menggolongkan gegaran itu sebagai gempa bumi walaupun hakikatnya gegaran itu memang ada kaitannya dengan gempa bumi. Hal ini berlaku demikian kerana gempa bumi ialah suatu bentuk musibah yang tidak dapat hendak kita bayangkan kedahsyatannya. Ya, kita boleh membayangkannya melalui gambar yang kita lihat tetapi gambar tidak menceritakan perasaan yang dilalui oleh orang yang mengalaminya.

Dalam hal ini, jika Allah SWT menghendaki gegaran itu menjadi kuat dan kekuatan itu ditakdirkan melanda Kuala Pilah, saya fikir, impaknya tidaklah “besar” dan “teruk”. Hal ini demikian kerana Kuala Pilah tidak menempatkan bangunan pencakar langit, jejantas dan jejambat, trek dan rel LRT, dan sebagainya. (Walau bagaimanapun, trauma yang dihadapi penduduknya, seperti yang saya katakan tadi, tidak dapat kita bayangkan.)

Tetapi, seandainya ditakdirkan gegaran “kuat” itu melampaui Kuala Pilah sehingga ke Kuala Lumpur, apakah yang dapat kita bayangkan? Kuala Lumpur dan sekitarnya yang sesetengahnya merupakan bekas kawasan lombong, pada pandangan saya, tidak kuat struktur buminya berbanding dengan Kuala Pilah. Kuala Lumpur dengan bangunan pencakar langit serta jejantas dan jejambat yang bersimpang-siur, terowong-terowong dan sebagainya, pada pandangan saya, akan menanggung impak yang bukan sedikit. Kuala Lumpur akan musnah. Kuala Lumpur akan lumpuh.

Jadi, sebenarnya kita perlu berasa bimbang akan kejadian yang berbentuk “amaran” itu. Tanda yang kecil sedemikian tidak boleh kita remehkan. Kita perlu memikirkan akibatnya supaya ada rasa takut dalam hati kita terhadap “amaran” Allah itu. Apabila tumbuh rasa takut dalam hati kita, kita akan tambah mengakui kebesaran Allah Yang Esa. Hal ini, secara perlahan-lahan, akan menghidupkan ketaqwaan dalam diri kita.

Gegaran itu mungkin “amaran” langsung daripada Allah SWT kepada kita supaya kita ingat, sedar, dan berfikir. Hal ini dilakukan-Nya mungkin disebabkan kita tidak mengendahkan “amaran” yang diberikannya kepada umat manusia melalui beberapa surah yang termuat dalam Al-Quran yang suci itu. Seharusnya, siri gegaran itu “mencelikkan” mata, hati, dan perasaan kita. Kembalilah ke jalannya yang lurus. Janganlah sekadar berdoa supaya kita terhindar daripada malapetaka yang diakibatkan oleh gegaran itu, tetapi berdoalah juga agar Allah SWT menjadikan kita terus istiqomah melakukan suruhan-Nya dan dalam masa yang sama meninggalkan perbuatan yang dilarangnya, terus kekal dalam agamanya, dan terus menjadi orang yang mengimani rukun-rukun iman itu.