Sunday, July 10, 2011

Susahkah Hendak Menukar Kerajaan Melalui Pilihan Raya?

Sebelum 9 Julai 2011

Ada rakan saya yang sangat sinis tentang perhimpunan BERSIH. Dia menyuruh saya membeli penyapu dan cangkul untuk menghadiri perarakan BERSIH. Saya terkedu sekejap. Kalau warna kuning pun sudah boleh menyebabkan seseorang itu terperosok ke dalam lokap, cangkul tentulah akan menyebabkan saya ke Penjara Kajang! kata saya.

Beliau menyambung kata-katanya, penyapu dan cangkul itu berguna untuk membersihkan kawasan persekitaran kediaman kita. “Daripada berhimpun ke sana, lebih baik bersihkan rumah sendiri,” begitulah kata rakan saya itu.

Saya fikir, kawan saya bertindak kurang bijaksana dengan berkata seperti itu. Pertama sekali, kata-katanya itu menggambarkan saya sebagai “pemalas” hingga saya perlu diperingatkan dengan kalimat “Daripada berhimpun ke sana, lebih baik bersihkan rumah”.

Yang keduanya, kata-kata itu seperti membayangkan bahawa perhimpunan BERSIH itu tidak mempunyai faedah apa-apa. Kalau saya tidak salah, kawan saya pernah juga menghentam dan mengkritik perihal ketidaktelusan SPR.

Kata-kata yang demikian lambang sebahagian daripada orang yang merelakan dirinya ditindas dan dibodohkan terus-menerus oleh sang penguasa.

Pada 9 Julai 2011

Selepas perhimpunan BERSIH, seperti yang disembangkan oleh sahabat handai serta saya dengan adik-beradik sendiri sebelum 9 Julai, media milik kerajaan, khususnya TV3, akan berkata bahawa perhimpunan itu tidak berjaya kerana hanya dihadiri oleh kira-kira 1,000 orang.

Sangkaan kami meleset rupa-rupanya kerana TV3 melaporkan perhimpunan itu dihadiri oleh 6,000 orang (menurut pengiraan KPN). Mereka meletakkan angka yang lebih tinggi daripada jangkaan kami. Sesungguhnya, saya mempercayai angka yang diletakkan oleh TV3 itu. Ada logiknya, kata hati saya. (Saya tidak dapat melayari Internet sepanjang 9 Julai 2011, ada gangguan.)

Saya bersetuju dengan angka yang dikeluarkan oleh TV3 itu kerana saya melihat sendiri keadaan sesak di laluan masuk ke KL yang diakibatkan oleh sekatan jalan raya yang dilakukan oleh para biruwan yang baruawan. Biras saya sendiri, yang keluar dari Seksyen 23 Shah Alam terpaksa duduk dalam kesesakan lebih empat jam untuk tiba di PJ1, Jalan Klang Lama. Jadi, betullah pada fikiran saya, kerana sekatan itu, hanya 6,000 orang sahaja yang berjaya melepaskan diri untuk berarak atas nama BERSIH.

Rupa-rupanya berita itu bohong jua adanya. Puluhan ribu yang hadir sebenarnya, semalam (malah Al-Jazeera mengatakan 100,000 orang). Saya pun membayangkan, kalau tidak disekat sampai memaksa orang duduk dalam kesesakan hingga empat lima jam atau mungkin lebih, berapa ratus ribukah yang akan berhimpun?

Ulasan yang paling menakjubkan yang saya dengar malam tadi ialah komen KPN sendiri. Dia berkata bahawa pihak yang dipimpinnya memberikan layanan yang baik kepada peserta perhimpunan. Mereka diberi makan minum dan mendapat rawatan tertentu dan disediakan dengan ruang solat. Yang ini sukar untuk dipercayai.

Komen paling “tidak bijaksana” adalah apabila beliau berkata bahawa peserta perarakan bukan hendak mendesak SPR supaya mengadakan pilihan raya yang bersih. Beliau berkata bahawa ada orang yang mengungkapkan laungan RE-FOR-MASI, laungan keramat yang diungkapkan orang lebih sepuluh tahun yang lalu.

Maksud “reformasi” ialah “perubahan atau pembaharuan yang mengarah kepada keadaan yang lebih baik, misalnya dalam sistem sosial, politik, dan kebudayaan sesebuah masyarakat” (Kamus Dewan Edisi Keempat, hlm 1302). Hal ini bermaksud bahawa ungkapan “reformasi” itu sesuai untuk dilaungkan bagi tujuan yang berlainan. Jadi, apakah masalahnya kalau peserta perarakan melaungkan Re-for-ma-si?

Fikiran-fikiran selepas 9 Julai 2011

Tidak banyak negara yang dapat menukar kerajaan melalui pilihan raya (dalam konteks Malaysia, kita merujuknya kepada kerajaan Persekutuan). Presiden dan kerajaan Mesir bukan terguling melalui pilihan raya. Tunisia pun demikian juga halnya. Soeharto sendiri pun tidak digulingkan melalui pilihan raya. Thaksin di Thailand pun tidak diundurkan oleh pilihan raya.

Walau apa-apa pun caranya (sebaik-baiknya biarlah melalui pilihan raya), kerajaan yang memerintah perlu kita ubah-ubah supaya kita mendapat perkhidmatan kelas satu daripada mereka. Kerajaan yang terlalu lama memerintah akan menjadi angkuh sehingga mereka merasakan apa-apa yang dilakukan mereka benar belaka dan apa-apa yang diperkatakan oleh pihak yang membangkang mereka salah semuanya.

Thaksin? Adiknya berkuasa kini? Lama manakah dia dapat bertahan?

Friday, July 1, 2011

Kalau SPR Adil dan Telus

Tulisan ini bukan hendak menyanggah dan mengagah atau mengacah kata-kata Pengerusi SPR di Bangkok seperti yang dilaporkan oleh Bernama Online. Di Bangkok, dikhabarkan bahawa Pengerusi SPR mengeluarkan kenyataan yang bermaksud bahawa SPR adil. Alasan beliau ialah, “kalau SPR tidak adil dan telus, bagaimana pembangkang boleh memenangi lima negeri pada pilihan raya umum lepas?” Beliau seterusnya menambah, “Tak kan nak menang semua negeri baru SPR dianggap adil dan telus!”

Pada akhir kenyataannya, beliau mengisytiharkan, “Kalau SPR gitu (tidak adil), tak kan ia dipanggil untuk menjadi pemerhati antarabangsa bagi pilihan raya umum Thailand ini.... Ini kerana mereka iktiraf dan yakin SPR sebagai badan yang banyak mengendalikan pilihan raya. Mereka yakin pilihan raya Malaysia telus dan bebas.”

Saya mengagumi beliau kerana berani mempertahankan keadilan, kebersihan, ketelusan SPR (dan kita berharap begitulah keadaan yang sebenarnya).

Persoalannya ialah perjalanan dan proses pilihan raya (malah proses sebelum pilihan raya pun) dipenuhi dengan keraguan sehingga tidak menampakkan SPR itu adil, bersih, dan telus. Umum mengetahui bahawa ada tindakan mereka yang dilihat sebagai memihak kepada parti yang memerintah. Mengapakah demikian?

Tidak perlulah diceritakan hal ini dalam tulisan ini kerana pelbagai tulisan yang lebih rinci dapat diikuti tentang keraguan ini (di pihak SPR, keraguan itu dilabel sebagai “dakwaan” sahaja).

Cuma kita hendak bertanya sedikit, sebagai respons terhadap kenyataan Pengerusi itu pada awal tulisan ini (dengan mengandaikan SPR bukan seperti yang dinyatakan oleh Pengerusi itu):

“Kalau SPR adil dan telus, bolehkah parti yang memerintah sekarang menang pada pilihan raya umum lepas?”

Wednesday, June 29, 2011

Haram Pula Berbaju Bersih

Menteri Dalam Negeri berkata, “Kemeja-T Bersih ada berkaitan dengan perhimpunan haram, maka apa sahaja yang mereka pakai adalah haram”. Hal ini bermaksud bahawa Kerajaan telah memutuskan bahawa kemeja-T Bersih 2.0 itu haram dipakai. Sampai bila-bilakah kemeja-T itu haram dipakai, Datuk?

Kita berharap sangatlah agar tidak ada pemimpin lain yang mengharamkan orang memakai apa-apa baju yang di mana-mana bahagian baju itu tertulis perkataan “Bersih”. Janganlah sampai baju yang bertulis dengan cogan kata “Negara Bersih, Rakyat Sihat” dan sebagainya diharamkan juga.

Kadang-kadang kita ini alergi dan fobia tidak tentu fasal. Kerana alergi terhadap lambang bulan PAS, misalnya, seorang pemimpin wanita meminta pihak PETRONAS mengubah logonya yang mirip dengan bulan yang menjadi lambang PAS. Maka, terpaksalah PETRONAS membazirkan wang untuk memenuhi “kealergian” pemimpin wanita itu (pemimpin wanita itu pun semakin tersisih, rasanya).

Yang terlihat pada waktu ini ialah “Bersih” sudah kelihatan sangat kotor dan jijik. “Bersih” sudah menjadi satu perkataan yang digeruni dan dibenci. Bukan sedikit yang marah terhadap Bersih ini. PERKASA marah, Pemuda UMNO marah, pesilat-pesilat pun marah. Malah, gambaran telah pun diberikan oleh puak dan pihak tertentu bahawa mereka bersedia untuk beramuk-amukan dengan pihak Bersih itu.

Kita harus menyokong mana-mana pihak yang menuntut pilihan raya yang bersih. Kaedah tuntutan itu, rasa saya, perlulah waras dan menggunakan “saluran yang betul”. Cuma pada sebilangan orang, di negara ini, “saluran yang betul” itu seperti tersumbat dan dengan itu penggunaannya tidak diminati orang (mungkin kerana IWK tidak membersihkan “saluran yang betul” itu).

Janganlah kerana takut, alergi, fobia terhadap Bersih 2.0 itu, kelak ada pula puak dan pihak yang meminta perkataan “Bersih” dihincitkan daripada Kamus Dewan....

(Sekarang, sudah ada kawan-kawan yang takut untuk menyarung baju berwarna kuning. Tuanku-tuanku jangan pula takut.)

Sunday, June 26, 2011

Bersih 2.0: Alangkah Moleknya Kalau Kerajaan Ikut Serta!

Apakah yang Kotor maka kita sampai perlu ada Bersih 2.0? Apakah yang tidak kena pada Bersih 2.0 maka ada pula puak-puak yang sanggup untuk berlaga dengan Bersih 2.0? Apakah yang tidak kena pada kerajaan sehingga mereka sampai berlaga kepala lutut dan gigi, gentar tidak tentu fasal terhadap Bersih 2.0?

Kalau Bersih 2.0 hanya berhimpun untuk meminta pilihan raya yang bersih, telus, dan tidak menyeleweng, kerajaan janganlah gentar kerana yang disasarkan mereka ialah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Biarlah SPR yang berlaga kepala lutut dan gigi menghadapi perhimpunan itu, kecualilah kalau memang tangan kerajaan ada dalam SPR dan kebetulan tangan itu ada lebih daripada sepuluh jari.

Kalau kerajaan tidak mahu puak-puak ini berhimpun atas nama Bersih 2.0, jengah-jengahlah SPR itu. Cubalah disiasat, adakah SPR begitu kotor hingga ada puak yang hendak berhimpun sebagai Bersih 2.0? Janganlah kerajaan setakat menggelabah hendak menyekat Bersih 2.0 tetapi pada masa yang sama punca mereka yang hendak berhimpun atas nama Bersih 2.0 itu tidak mahu dikaji dan diselidik.

Berusahalah dengan ikhlas untuk mencerdikkan rakyat dengan memberitahu mereka hal yang sebenarnya kerana kalau dibiarkan rakyat sendiri yang berusaha untuk mengetahui hal yang sebenarnya, kerajaan tidak akan dipercayai. Kerajaan yang tidak dipercayai akan tersungkur. Lagi banyak kerajaan menutup kebenaran, lagi besar kebarangkalian untuk kerajaan tersungkur.

Terangkanlah hal yang sebenarnya. Hal yang sebenarnya ini tidak memerlukan kerajaan untuk bercakap. Biarkan SPR yang bercakap. Biarkan mereka yang menerangkan sebab-musabab, misalnya, mengapakah nama orang lain turut menjadi penghuni rumah ibu Azmin Ali sebagai pengundi. Hal tersalah (sengaja?) alamat ini tampak kecil, tetapi sangat kotor. Sebab-sebab seperti itulah yangagaknya menyebabkan Bersih 2.0 hendak diadakan.

Alangkah moleknya kalau kerajaan menyertai Bersih 2.0 untuk menyeru SPR supaya bersih dalam melaksanakan proses pilihan raya di Malaysia! Itu barulah anak jantan!

Saturday, June 25, 2011

Badminton Semakin Kabur

Dalam lapangan sukan, satu-satunya acara yang meletakkan nama Malaysia sejak dahulu (sebelum merdeka) di mata dunia sehingga kini ialah badminton. Sejak 1940-an hingga kini (kecuali pertengahan 1970-an), nama Malaysia dalam sukan ini memang digeruni oleh negara lain.

Piala Thomas, yang menjadi ukuran pencapaian negara di dunia dalam sukan ini pernah dimenangi Malaysia sebanyak lima kali. Malaysia juga digeruni pada pelbagai kejohanan individu yang dianjurkan oleh pelbagai (All England, misalnya). Begitulah Malaysia.

Dalam era moden, sejak 1980-an, Malaysia banyak melahirkan nama besar dalam sukan ini. Misbun, Razif, Jailani, dan Rashid Sidek, Ong Beng Teong, Foo Kok Keong, Ong Ewe Hock, Cheah Soon Kiat, Soo Beng Kiang, Yong Hock Kin, hinggalah yang terkini seperti Wong Choon Hann, Roslin Hashim, Lee Chong Wei, Tan Boon Heong, dan Koo Kean Keat.

Pemain yang paling menonjol sekarang sudah tentulah Lee Chong Wei, Tan Boon Heong, dan Koo Kean Keat. Merekalah yang banyak memenangi pelbagai kejohanan individu. Lee Chong Wei menjadi pemain nombor satu dunia sejak tiga tahun yang lalu. Tan Boon Heong dan Koo Kean Keat pernah menjadi pemain beregu nombor satu dunia beberapa tahun yang lalu.

Walau bagaimanapun, situasi sekarang sangat membimbangkan kerana mereka ini sahajalah yang menonjol. Dalam acara perseorangan, jarak antara Lee Chong Wei dengan pemain negara ini yang lain sangat jauh. Pemain lain dalam acara beregu pun masih kurang menonjol.

Dua kejohanan individu yang terkini menggambarkan hal ini. Dalam Kejohanan Badminton Terbuka Singapura yang berlangsung pada 14-19 Jun yang lalu, tanpa kehadiran Lee Chong Wei, tiada seorang pemain negara pun yang melepasi pusingan pertama. Dalam kategori beregu, tanpa kehadiran Tan Boon Heong dan Koo Kean Keat, tiada satu pasangan negara pun yang melepasi pusingan kedua.

Dalam kejohanan Terbuka Indonesia yang sedang berlangsung sekarang, jika Malaysia tidak diwakili oleh Lee Chong Wei, tidak ada pemain yang melepasi pusingan pertama (Chong Wei akan menentang Peter Gade dalam perlawanan akhir esok). Dalam acara beregu, tanpa kehadiran Tan Boon Heong dan Koo Kean Keat, tiada satu pasangan negara pun yang melepasi pusingan pertama (Tan Boon Heong dan Koo Kean Keat sampai ke peringkat suku akhir manakala yang lain bermain setakat pusingan pertama sahaja).

Begitulah senarionya sekarang. Piala Thomas akan berlangsung pada Mei tahun depan di Wuhan, China. Adakah kita memiliki pasukan yang mantap untuk melayakkan diri dalam kejohanan itu? Kita mungkin tidak melepasi pusingan kelayakan pun kalau tiga orang pemain itu sahajalah yang kita sandarkan harapan.

Kalau harapan masih kita sandarkan pada mereka yang bertiga itu, hanya menjadi juara Sukan Olimpik (pada Julai 2012 di London) sahajalah yang dapat mengubati kekecewaan kita, itu pun kalau mereka tidak cedera.

BAM pun berpolitik jugakah?

Friday, June 24, 2011

Bukan Demi Keselamatan tetapi Kerana Perangai Kita...

Di jalan-jalan raya, khususnya di kawasan kediaman, kawasan sekolah, kawasan hospital, dan kawasan komersial, banyak terdapat bonggol yang menghodohkan jalan raya. Kebanyakan bonggol itu dibina oleh pihak berkuasa tempatan, tetapi ada juga sebilangan penduduk di sesetengah kawasan perumahan dan kawasan komersial yang memandai-mandai untuk membina bonggol serupa itu.

Apakah makna di balik pembinaan atau kewujudan bonggol itu? Tentu banyak orang yang berkata bahawa bonggol itu menggambarkan bahawa rakyat negara ini sangat menitikberatkan soal keselamatan. Kewujudan bonggol yang hodoh itu, kata mereka, dapat mengurangkan kejadian kemalangan di jalan raya kerana kewujudannya menghalang orang daripada memandu atau menunggang kenderaan dengan laju dan melulu.

Sebenarnya, kewujudan bonggol itu pada jalan raya sangatlah memalukan kita kerana yang tergambar daripada kewujudannya itu bukanlah kerana kita ini terkategori sebagai orang yang mementingkan keselamatan. Sebaliknya, yang tergambar daripada kewujudannya itu adalah bahawa kita ini merupakan orang yang sangat tidak berdisiplin dan sangat mementingkan diri.

Buktinya, kalau kita berdisiplin dan tidak mementingkan diri, bonggol itu tidak akan tumbuh di tengah-tengah jalan sehingga mengganggu dan menyusahkan pemanduan kita. Kalau kita sentiasa sedar bahawa kita tidak wajar memandu kenderaan dengan lajudan melulu di kawasan perumahan, sekolah, hospital, dan lain-lain, tentulah bonggol itu tidak akan dibina dan dengan itu belanja pembinaannya dapat disalurkan kepada hal-hal lain yang lebih penting dan utama.

Kalau kita biasa ke surau atau ke masjid pula, kita juga akan berdepan dengan satu situasi yang lebih kurang sama dengan hal yang diperihalkan di atas itu. Dahulu, peti-peti wang kutipan derma di dalam surau atau masjid sekadar berkunci dengan mangga, tidak lebih daripada itu. Malahan, pada zaman kanak-kanak dahulu, ada peti wang kutipan yang langsung tidak berkunci (mungkin tiada wang di dalamnya kerana tiada penderma, wallahua‘lam).

Sekarang, peti wang kutipan derma serupa itu bukan sahaja berkunci dengan mangga, malahan dirantai oleh pihak surau atau masjid. Perbuatan memangga dan mengunci peti wang kutipan derma itu tentulah juga dikatakan orang bahawa kita ini sangat menitikberatkan soal keselamatan harta benda.

Walhal yang sebenarnya, perbuatan memangga dan merantai peti wang kutipan derma itu menggambarkan suatu hakikat yang sangat mengaibkan kita. Rupa-rupanya tahap kejahatan orang kita ini sudah terlalu teruk sehingga wang kutipan derma surau dan masjid pun dijadikan sebagai sumber pendapatan oleh segelintir orang (penyangak) yang saya yakini bahawa mereka itu terdiri daripada kalangan orang kita juga.

Rumah ibadat yang suci murni itu, yang sepatutnya menjadi tempat yang paling selamat untuk apa-apa dan siapa-siapa yang berada di dalamnya, rupa-rupanya sudah menjadi tempat yang tidak selamat lagi. Kalau orang bukan Islam membuat lawatan, dan melihat keadaan ini (peti wang kutipan derma bermangga dan berantai), kita harus berasa malu.

(Tetapi, dalam soal wang kutipan surau dan masjid dikebas orang ini, rasa saya bukanlah pelik sangat pun. Wang zakat yang dipungut oleh pihak yang bertanggungjawab untuk memungut zakat pun dikebas orang, wang dalam tabung untuk orang mengerjakan haji pun pernah dikebas orang, inikan pula wang dalam peti kutipan derma surau dan masjid! Bagaimanakah hendak memangga dan merantai wang pungutan zakat dan wang tabungan haji kalau penjahat memang ada di mana-mana? Selagi ibu bapa mementingkan kerjaya dan harta, pangkat dan jawatan; selagi al-Quran dilihat pada kulitnya sahaja, selagi itulah masalah ini terus melalukan kita.)

Wednesday, June 22, 2011

Politik yang Merosakkan...

Seorang lelaki menjadi seorang anggota agensi keselamatan. Beliau sangat komited dan ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawabnya. Kerana sangat komited dan ikhlas, beliau cepat meningkat ke jawatan-jawatan yang lebih tinggi hinggalah pada suatu ketika beliau diberi tanggungjawab sebagai ketua pasukan agensi keselamatan di sebuah daerah yang terkategori sebagai kawasan hitam.

Sebelum ditugaskan ke daerah itu pun, beliau memang terkenal sebagai seorang pegawai yang tidak pernah memilih bulu dalam menguatkuasakan undang-undang kerana beliau memiliki semboyannya sendiri — “Untuk Mewujudkan Keamanan, Orang Jahat Tidak Harus Wujud”. Oleh itu, setiap unsur yang dilihatnya dapat mencetuskan suasana tidak aman, akan segera diatasinya.

Kebetulan di daerah yang terkategori sebagai kawasan hitam itu, orang yang sebangsa dengannyalah yang banyak mencetuskan masalah, yang banyak menjadi samseng. Beliau mendapati bahawa samseng yang sebangsa dengannya itulah yang banyak melakukan jenayah. Cuma beliau kurang pasti sama ada orang yang sebangsa dengannya itu memang rakyat negara ini atau terkategori sebagai PATI.

Lalu, setelah intipan, risikan, dan usaha-usaha lain dilakukan oleh orang bawahannya, terbukti bahawa memang ada PATI yang terlibat dalam aktiviti kesamsengan di daerah itu dan aktiviti mereka ditunjangi oleh warganegara yang sebangsa dengannya. Oleh itu, beliau telah mengerahkan anggotanya mengawal dan bertindak pada setiap masa. Kawasan panas di kawasan hitam itu ditempur dan banyak samseng ditahan.

Hal ini dilakukannya secara berterusan, bukan mengikut musim atau mengikut mood. “Untuk mendapat hasil tuaian yang baik, tanaman itu harus dijaga sejak hari pertama benihnya ditanam,” begitu kata beliau. Sebagai hasil daripada ketekalan beliau dan orang-orang bawahannya yang pelbagai bangsa itu, orang menjadi sangat takut dan gentar terhadap beliau dan anggota-anggotanya. Keamanan sudah mula bertunas.

Walaupun keamanan sudah mula bertunas, ketua-ketua masyarakat yang sebangsa dengannya tidak puas hati kerana kononnya beliau hanya menumpukan perhatian untuk menempur dan menahan orang-orang yang sebangsa dengannya. Ketua-ketua masyarakat beranggapan bahawa pegawai itu sepatutnya melindungi bangsa mereka, tidak kira mereka PATI apatah lagi warganegara.

“Soal bangsa bukan soal pokok dalam tindakan saya kerana saya bukan menempur dan menangkap bangsa saya tetapi saya menempur dan menangkap penjenayah! Tamadun manakah yang membenarkan kita melindungi bangsa kita yang melakukan jenayah hingga kamu, wahai ketua-ketua masyarakat, menghendaki saya melindungi mereka?” Begitu beliau membidas rungutan ketua-ketua masyarakat itu dalam suatu majlis.

Keegoan untuk melindungi bangsa mereka, walau sejahat mana sekalipun bangsa itu, tetap bertapak di dada ketua-ketua masyarakat yang sebangsa dengan pegawai itu. Saluran politik digunakan. Maka berkumandang dan bersiponganglah suara pemanipulasi di saluran-saluran politik bahawa kononnya tindakan pegawai itu akan mengurangkan sokongan bangsa mereka terhadap kerajaan hingga mengecutkan telur sang politikus.

Kerana politik memandang kuasa sebagai Tuhannya, ancaman yang dimulakan oleh ketua-ketua masyarakat bangsa itu dibincangkan dan dibahaskan. Pegawai itu dipanggil dan dinasihati supaya mengendurkan tindakannya. Kerana pegawai itu enggan berkompromi, dengan kuasa politik yang ada, pegawai itu telah ditukarkan ke bahagian yang tidak memerlukan beliau mengepalai operasi.

Ketua masyarakat menang, melalui saluran politik. Saluran politik pula telah “menggaungkan” seorang pegawai yang berdedikasi yang berusaha untuk mewujudkan keamanan. Diam-diam, pegawai itu menerima hakikat bahawa semboyan “Untuk Mewujudkan Keamanan, Orang Jahat Tidak Harus Wujud” tidak wujud dalam dunia politik. Demi kuasa, politik memang dunia serba mungkin, bisik hatinya.

Beliau segera teringat akan ungkapan keramat Mao Zedong — Politik ialah peperangan tanpa menumpahkan darah. Peperangan ialah politik dengan menumpahkan darah.